Monday, December 31, 2007

Bekas tahanan Guantanamo bersembunyi

ADELAIDE: David Hicks, orang pertama yang disabitkan bersalah oleh tribunal tentera Amerika Syarikat di Teluk Guantanamo menghabiskan hari kedua kebebasan beliau dengan bersembunyi semalam, selepas dibebaskan dari sebuah penjara Australia. Hicks, bekas koboi Outback dan menyertai tentera Taliban dibebaskan kelmarin dari penjara Yatala di South Australia selepas menjalani hukuman selama sembilan bulan berikutan ditahan selama lima tahun setengah tanpa perbicaraan di penjara Amerika Syarikat di Cuba.

Bapa kepada dua anak berusia 32 tahun itu dibawa dari penjara ke sebuah lokasi rahsia di mana saudaranya berkata bahawa beliau cuba untuk menyesuaikan dengan kehidupan di luar tembok penjara.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan peguamnya, Hick memohon maaf kerana mengelak dari media yang menunggu beliau di luar penjara untuk kenyataan berikutan beliau mengakui menjadi penyokong kepada kumpulan militan terbabit. Hicks yang berjanji untuk tidak bercakap kepada media sebelum Mac 2008 berkata, beliau tidak mahu melakukan sesuatu yang boleh membawa dia pulang semula ke Cuba. “Saya meminta anda menghormati hak peribadi saya kerana saya perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat dan mendapatkan penjagaan perubatan berikutan lima setengah tahun berada di Guantanamo Bay,” kata Hicks.

Beliau ditangkap kerana berjuang bersama Taliban ketika serangan Amerika Syarikat terhadap Afghanistan lewat 2001 dan mengaku bersalah menyediakan bantuan material kepada al-Qaeda. Berdasarkan syarat pembebasan, Hicks bersetuju untuk terus diam mengenai sebarang dakwaan penderaan yang dialami beliau ketika di Guantanamo. - AP

Saturday, December 29, 2007

Pelbagai cerita, tragedi suka duka dilakar 2007

Kejayaan dikecapi harus dipertingkat, kelemahan dibendung demi mencipta harapan 2008 lebih gemilangDUA hari lagi, tirai 2007 ditutup iaitu tahun yang melakar pelbagai cerita dan tragedi suka duka.

Dalam sejarah negara yang pasti diingati beberapa generasi akan datang ialah kejayaan melahirkan angkasawan pertama negara. Kegemilangan itu menjadi bualan serta liputan meluas media asing dengan menempatkan nama Malaysia sebaris dengan negara maju, khususnya Amerika Syarikat, Russia, China, Jepun, India, Arab Saudi dan Israel yang lebih awal menghantar rakyatnya ke angkasa.

Kegembiraan kelahiran angkasawan negara dikongsi seluruh rakyat apabila misi Malaysia meneroka industri aeroangkasa menerusi Program Angkasawan Negara terlaksana dengan penghantaran Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 35, ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dengan menaiki Soyuz TMA-II, pada 10 Oktober lalu. Sepanjang 11 hari berada di ISS, beliau mengendalikan tiga eksperimen saintifik yang disediakan saintis negara. Eksperimen sains hayat membabitkan kajian ke atas empat jenis sel, termasuk dua sel kanser selain dua jenis bakteria dan penghabluran dua jenis protein yang digunakan dalam pelbagai industri. Media Barat turut melaporkan mengenai isu cara angkasawan Islam beribadat di angkasa lepas. Kejayaan itu dianggap sebagai hadiah paling bernilai sempena kemerdekaan negara ke-50.

Malah, sambutan kemerdekaan negara 31 Ogos lalu diselitkan acara mengimbau serta menggamit detik bersejarah pemimpin negara memperjuangkan kemerdekaan pada zaman Tunku Abdul Rahman sehingga beralih kepemimpinan kepada Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Malaysia juga gah dalam bidang perubatan dengan mencatat sejarah kali kedua berjaya melakukan pembedahan pemindahan jantung kepada pelajar, Tee Hui Yee, 14, yang terpaksa bergantung kepada jantung mekanikal.

Warna-warni kecemerlangan Malaysia terus menyaksikan kejayaan pelancaran kereta Nasional, kelima Proton, iaitu Persona (bermaksud Wawasan Untuk Kecantikan) yang mempamerkan industri automatif semakin berkembang pesat.

Dalam bidang politik pula, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Lim Keng Yaik, yang juga Presiden Gerakan untuk tempoh 27 tahun, akhirnya melepaskan jawatan itu kepada timbalannya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. Keng Yaik menjadi presiden sejak 1980 selepas mengambil alih daripada Lim Chong Eu.
Karier politik dan sumbangannya dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) disifatkan agak lama iaitu mencecah 35 tahun akhirnya terhenti di situ dan terus memegang jawatan di kementerian berkenaan sehingga rombakan Kabinet diumumkan nanti.

Bagaimanapun, suasana tenang negara dicemari dengan sedikit kekecohan berikutan demonstrasi jalanan oleh Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) yang mendakwa kerajaan melakukan penindasan, meminggirkan kaum dan penghapusan etnik. Ia menyebabkan lima pemimpin kumpulan itu ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mengancam keamanan dan keselamatan negara.

Turut dipaparkan ialah mengenai siasatan Suruhanjaya Diraja berhubung rakaman klip video mengandungi perbualan telefon antara seorang peguam dengan hakim kanan yang dikatakan mengatur pelantikan hakim.

Institusi Diraja di negara ini, turut berubah wajah, dengan pertabalan Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin secara rasminya memegang tampuk pemerintahan negara sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13. Upacara diadakan penuh gilang gemilang meneruskan tradisi beraja di negara ini. Tuanku Mizan dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada mesyuarat khas Majlis Raja-Raja ke-208 di Istana Negara pada 3 November 2006 bagi menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang tamat tempoh lima tahun baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12 pada 12 Disember 2006. Istiadat pertabalan Baginda diabadikan dalam dokumentari menarik berjudul Becoming A King , disiarkan di saluran National Geographic, pada 27 Ogos lalu terbitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama National Geographic yang turut ditonton 250 juta isi rumah di seluruh dunia.

Dalam melayari saat gembira itu, pelbagai tragedi sedih membabitkan kemalangan jalan raya dan udara, mengisi ruang berita media massa. Rakyat bersedih apabila enam anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terkorban dalam nahas helikopter Nuri di Gunung Bunga Buah, Genting Highlands, Pahang. Semua mayat pegawai dan anggota TUDM yang hilang bersama helikopter Nuri di kawasan Genting Sempah dekat Bentong untuk tempoh beberapa hari akhirnya dijumpai dalam keadaan menyayat hati. Justeru, kerajaan mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan helikopter jenis Sikorsky S61 Sea King atau lebih dikenali sebagai Nuri dalam TUDM selepas digunakan selama 37 tahun. Penggantiannya dilakukan secara berperingkat bermula tahun ini dan diganti sepenuhnya menjelang 2012 dengan pesawat lebih sesuai sejajar tanggungjawab lebih mencabar serta mempunyai spesifikasi lebih moden serta selamat.

Pada 2 Disember menyaksikan satu lagi tragedi menyayat hati apabila tiga anggota Pasukan 10 Briged Para maut selepas penerjunan mereka tersasar dari zon pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi akibat tiupan angin kencang ketika menjalani latihan penerjunan sempena pembukaan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2007 (Lima'07) FAKTA Suka duka sepanjang 2007

2 Disember - tiga anggota Pasukan 10 Briged Para maut selepas penerjunan mereka tersasar akibat angin kencang ketika menjalani latihan penerjunan sempena Lima'07

25 November - Demonstrasi jalanan oleh Hindraf yang mendakwa kerajaan menindas, meminggirkan kaum dan penghapusan etnik.

16 November - Siasatan Suruhanjaya Diraja berhubung rakaman klip video mengandungi perbualan telefon antara seorang peguam dengan hakim kanan yang dikatakan mengatur pelantikan hakim.

10 Oktober - Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berlepas ke ISS dengan menaiki Soyuz TMA-II.

4 Oktober - Negara mencatat sejarah kali kedua melakukan pembedahan pemindahan jantung kepada pelajar, Tee Hui Yee, 14.

17 September - Pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8, kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju .

31 Ogos - Sambutan kemerdekaan negara diselitkan acara mengimbau serta menggamit detik bersejarah pemimpin negara memperjuangkan kemerdekaan sempena 50 tahun kemerdekaan.

15 Ogos - Pelancaran kereta Nasional, kelima Proton, iaitu Persona.

13 Ogos - 22 penumpang bas Super Express milik SKBG terhumban ke dalam parit sedalam lima meter di Kilometer 229.1 Lebuh Raya Utara-Selatan, Bukit Gantang, Taiping.

13 Julai - Enam anggota TUDM terkorban dalam nahas helikopter Nuri di Gunung Bunga Buah, Genting Highlands, Pahang.

26 April - Pertabalan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

8 April - Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Lim Keng Yaik, yang juga Presiden Gerakan untuk tempoh 27 tahun, melepaskan jawatan itu kepada timbalannya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

119. Benazir dibunuh


Bekas Perdana Menteri Pakistan Benazir Bhutto terbunuh dalam satu serangan berani mati yang turut mengorbankan kira-kira 20 penyokongnya selepas menyampaikan ceramah kempen pilihan raya di Rawalpindi hari ini.

‘‘Beliau meninggal dunia pada pukul 5.25 petang (8.25 malam waktu Malaysia) di Hospital Umum Rawalpindi,” kata jurucakap Parti Rakyat Pakistan (PPP), Rehman Malik.

Dalam kejadian itu, Benazir, 54, dilaporkan ditembak di leher dan dada ketika sedang memasuki kenderaannya.

Beliau, ketika itu baru sahaja selesai menyampaikan ceramah kepada beribu-ribu penyokongnya dan sedang berjalan ke arah kenderaannya apabila seorang lelaki menghampirinya dan melepaskan tembakan sebelum meletupkan dirinya.

‘‘Lelaki berkenaan menembak ke arah kereta Benazir ketika beliau tunduk dan lelaki itu kemudian meletupkan dirinya,” kata seorang pegawai polis, Mohammad Shahid.

Pembunuhan itu yang berlaku dua bulan selepas Benazir, yang pernah menjadi Perdana Menteri Pakistan sebanyak dua kali dan merupakan wanita pertama negara itu memegang jawatan tersebut, kembali ke Pakistan untuk bergiat semula dalam politik.

Ini merupakan serangan kedua ke atas Benazir sejak pulang dari tinggal dalam buangan di Britain, Oktober lalu. Pada serangan 19 Oktober lalu, lebih 138 orang terbunuh ketika berarak menyambut kepulangannya.

Sekurang-kurangnya 20 orang yang terkorban dan 56 cedera hari ini terdiri daripada penyokong Benazir dan anggota polis.

‘‘Benazir dan beberapa pemimpin parti PPP dalam perjalanan keluar dari tempat ceramah apabila seorang lelaki tiba-tiba menghampiri mereka sebelum melepaskan tembakan,” kata Yaseen seorang anggota polis yang berada di tempat kejadian.

Ceramah itu diadakan sebagai kempen pilihan raya Pakistan yang akan diadakan pada 8 Januari ini.

Menurut jurucakap Benazir, Farahtullah Babar, beliau baru saja melintasi pagar ketika dalam perjalanan ke keretanya yang terletak 50 meter dari tempat kejadian apabila tiba-tiba satu letupan berlaku.

‘‘Tindakan ini dilakukan oleh mereka yang ingin melihat keadaan di Pakistan huru-hara kerana beliau adalah simbol penyatuan di sini.

‘‘Mereka telah memusnahkan keluarga Bhutto dan merupakan musuh Pakistan,” kata Farahtullah.

Presiden Pakistan Pervez Musharraf telah dimaklumkan secara peribadi mengenai kematian Benazir.

Kejadian ini mengulangi sejarah bapanya, Zulfikar Ali Bhutto yang mati ketika menjadi Perdana Menteri apabila dihukum gantung oleh pihak tentera selepas satu rampasan kuasa.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri dan juga pemimpin pembangkang Nawaz Sharif yang kelihatan terkejut ketika bercakap di luar Hospital Umum Rawalpindi, tempat Benazir meninggal dunia, berkata, dia bersumpah akan meneruskan perjuangan wanita itu.

‘‘Saya berikan jaminan akan meneruskan perjuangan anda mulai sekarang,’’ kata beliau kepada para penyokong Benazir yang menangis dan meraung di luar hospital berkenaan.

‘‘Saya berkongsi kesedihan anda dan juga seluruh negara,’’ kata beliau lagi.
Sementara itu, keadaan di luar hospital itu tegang dengan kebanyakan penyokong Benazir menangis malah ada yang bertindak ganas dengan memecahkan cermin serta menuduh Presiden Pervez Musharraf sebagai dalang dalam kejadian ini.

– Agensi 28/12/07


Sejarah hidup Benazir Bhutto


PEMIMPIN pembangkang yang terkemuka Pakistan Benazir Bhutto terbunuh dalam satu serangan bersenjata dan bom selepas satu perhimpunan awam menjelang pilihan raya di bandar Rawalpindi semalam.

Berikut adalah fakta tentang Benazir:

Benazir Bhutto dilahirkan pada 21 Jun 1953 dalam keluarga berada. Bapanya, Zulfikar Ali Bhutto, merupakan pengasas Parti Rakyat Pakistan (PPP) dan menjadi Presiden dan kemudiannya Perdana Menteri Pakistan dari tahun 1971 hingga 1977.

* Selepas memperoleh ijazah dari Universiti Harvard dan Oxford, beliau pulang ke Pakistan pada 1977, sebelum tentera negara itu merampas kuasa daripada bapanya. Beliau mewarisi kepimpinan dalam PPP selepas bapanya dihukum mati pada 1979 di bawah pemerintahan Jeneral Mohammad Zia-ul-Haq.

* Beliau dilantik sebagai perdana menteri wanita pertama pada 1988 tetapi kemudiannya dipecat oleh presiden ketika itu atas tuduhan rasuah pada tahun 1990. Benazir kembali berkuasa semula pada 1993 selepas pengganti beliau Nawaz Sharif terpaksa meletak jawatan selepas bertelagah dengan Presiden. Beliau kurang menyerlah ketika kali kedua menjadi perdana menteri dan Nawaz kembali berkuasa pada 1996.

* Pada 1999, Benazir dan juga suaminya Asif Ali Zardari, telah dipenjara lima tahun dan didenda $8.6 juta (RM28.38 juta) selepas didakwa menerima rasuah daripada sebuah syarikat asing yang lantik untuk menangani penyelewengan kastam. Mahkamah kemudiannya mengubah keputusan bersalah itu yang disifatkan sebagai berat sebelah. Benazir yang melantik suaminya sebagai menteri pelaburan ketika berkuasa dari tahun 1993 hingga 1996, berada di luar negara ketika beliau disabitkan kesalahan dan beliau memilih untuk tidak pulang ke Pakistan.

* Pada 2006 beliau menyertai Pakatan Pemulihan Demokrasi dengan musuh ketatnya, Nawaz tetapi kedua-duanya bercanggah tentang strategi untuk menangani Presiden tentera Pervez Musharraf. Benazir memutuskan untuk berunding dengan Pervez manakala Nawaz enggan berbuat demikian.

Benazir kembali ke Pakistan pada bulan Oktober 2007 selepas lapan tahun tinggal dalam buangan apabila Musharraf yang telah ditemui untuk membincang peralihan Pakistan ke pemerintahan awam yang demokrasi, memberikan jaminan perlindungan kepada bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan bagi kes-kes rasuah yang lalu.

* Pada masa kepulangan beliau melalui Karachi, seorang penyerang berani mati telah meletupkan dirinya mengorbankan lebih 138 nyawa termasuk penyokongnya.

Pada 26 Disember lalu, Benazir bersumpah untuk memperjuangkan hak pekerja ketika mengadakan kempennya bagai pilihan raya umum Januari.

Bapa Benazir, Zulfikar yang dihukum mati oleh kerajaan Jeneral Zia ul-Haq atas tuduhan membunuh pada 1979, dikebumikan di makam itu.

Adik lelaki Benazir, Murtaza dan Shahnawaz yang juga terkorban akibat keganasan turut dikebumikan di makam dengan kubah putih itu yang dibina atas arahan Benazir.

Benazir adalah anak sulung hasil perkahwinan Zulfikar yang berasal dari Sindh dengan Begum Nusrat Bhutto, warga Pakistan yang berketurunan Iran-Kurdis.

Datuk kepada Benazir Sir Shah Nawaz Bhutto, berhijrah ke Sindh dari kampung asalnya di Bhatto Kalan, di negeri Haryana, India sebelum pemisahan kedua negara itu 60 tahun lalu.

– Reuters

28/12/07

118. Bagaimana pencapaian azam tahun baru

PA azam tahun baru anda?. Bermacam-macam jawapan yang diberikan, ada yang logik pada pendengaran, tidak kurang pula yang terlalu tinggi dari jangkauan. Semuanya boleh saja diterima, kerana pastinya lain orang, berbeza pula azam baru mereka.

Tetapi jika ditanya adakah azam tahun sebelumnya berjaya dicapai, lihat berapa ramai pula yang boleh memberikan jawapan.

Azam tahun baru ibarat janji pada diri sendiri. Masalahnya dengan kita, janji nan satu inilah yang paling mudah untuk diingkari. Tidak perlu sebarang alasan, tidak mengambil masa yang panjang, jauh sekali rasa berdosa pada sesiapa.

Sebab itu bila hujung tahun tiba, kita sedikit pun tidak ambil peduli di tahap mana pencapaian atau perkembangan azam baru yang ditanam untuk tahun itu. Lebih malang, ada yang terlupa pun apa azam baru mereka itu.

Ramai yang memandang sinis kepada perlunya sebuah azam baru. Ada yang beranggapan ia tidak lebih sekadar angan-angan kosong, hanya hangat-hangat tahi ayam.

Lebih menyedihkan, ada pula yang mentertawakan azam tahun baru orang lain, sedangkan tuan empunya badan tidak pernah ada azam sendiri.

Tidak kurang juga yang menempelak dengan alasan jika kita berkeinginan sesuatu, tidak perlu tunggu tahun baru, maksudnya keinginan itu boleh dibuat pada bila-bila masa – awal, tengah atau hujung tahun.

Namun, berapa ramai pula yang sebegitu? Yang tidak memerlukan faktor atau pendorong tertentu untuk memulakan sedikit perubahan dan mencapai apa yang diinginkan dalam kehidupan?

Lalu, apa salahnya jika kedatangan awal tahun baru 2008 ini yang kebetulan pula menjadi budaya kebanyakan orang untuk bersama-sama ambil peluang dan memasang keinginan.

Tidak perlu impian yang terlalu tinggi, memadai apa yang difikirkan mampu untuk dikecapi dalam tempoh 365 hari.

Jika berkemahuan sesuatu yang besar pula, ukurlah baju di badan sendiri. Tidak salah andai apa yang dihajati itu diperpanjangkan ke tahun-tahun akan datang, asal saja bila sampai masa, ia berada dalam genggaman.

Jangan sesekali menjadi orang yang mudah berasa puas dengan apa yang ada. Atau menuai hasil yang sama seperti apa yang diperoleh pada hari semalamnya.

Dalam dunia yang bergerak sangat pantas ini, sikap itu akan membuatkan kita akan ketinggalan.

Benarlah azam baru itu berbalik kepada diri sendiri. Sejauh mana kita menginginkan sesuatu untuk tahun itu, sejauh itulah ia akan mendorong semangat dan tindakan kita.

Sebab itu azam tahun baru ini adalah fasa terbaik untuk kita menilai dan bermuhasabah diri. Jika azam pada diri sendiri pun tidak mampu untuk kita lunasi, bagaimana pula dengan harapan yang diletakkan oleh orang lain pada diri kita?

Justeru, azam baru nanti janganlah pula hanya untuk kepentingan dan keinginan sendiri. Selitkan juga janji kita untuk semua watak yang kita pegang dalam kehidupan ini, baik di dunia mahupun di akhirat.

Alangkah bertuahnya negara jika kita sama-sama berikrar untuk tidak menyumbang masalah yang boleh menggugat keharmonian negara sepanjang tahun depan.

116. Kad debit elak belenggu hutang

ETIAP orang pasti berhadapan dengan masalah membawa wang tunai yang banyak terutama ketika mahu membeli-belah, membuat sesuatu pembayaran seperti pendahuluan membeli rumah atau kereta atau melunaskan bil-bil tertunggak.

Begitu juga bagi mereka yang sering berkunjung ke luar negara baik untuk melancong atau bertugas, membawa wang tunai bukan pilihan yang bijak kerana terdedah kepada bahaya yang tidak diduga – silap-silap hari bulan boleh menjejaskan keselamatan diri sendiri.

Namun apa pilihan yang kita ada selain menggunakan cek kembara (yang tidak diterima secara meluas dan kadangkala menimbulkan banyak masalah) atau kad kredit yang semestinya tidak digemari kerana ia sama seperti kita berhutang.

Lebih-lebih lagi cek kembara dan kad kredit tidak boleh digunakan untuk membeli barangan kecil – kredit kad contohnya mempunyai had minimum tertentu untuk melayakkan seseorang membuat pembelian.

Penggunaan kad kredit tanpa disiplin serta seliaan yang betul juga boleh memupuk budaya berhutang di kalangan kita, malah ia boleh saja menjerumuskan seseorang itu kepada kebankrapan kerana gagal menjelaskan hutang tertunggak berserta kadar faedahnya sekali.

Untuk mengatasi masalah tersebut dan memudahkan orang ramai menguruskan wang tunai masing-masing, terutama ketika membeli-belah, satu gaya hidup baru diperkenalkan iaitu kad debit.

Kad debit adalah kad plastik yang menyediakan kaedah pembayaran alternatif kepada wang tunai ketika melakukan urus niaga. Secara fizikalnya kad debit menyerupai kad kredit, namun dari segi fungsinya ia lebih menyamai menulis sekeping cek.

Bagi pengguna, perbezaan antara kad debit dan kad kredit ialah pembayaran menggunakan debit kad dipotong terus daripada baki akaun simpanan manakala kad kredit pula memberi kebebasan bersyarat kepada pengguna untuk menggunakan wang yang sebenarnya bukan milik mereka.

Saya sendiri mengetahui (mungkin agak lewat) mengenai kad debit ketika bertugas di luar negara apabila salah seorang rakan bertanya bagaimana saya menjelaskan bayaran hotel serta menyempurnakan lain- lain urusan berkaitan kewangan.

Ternyata beliau terkejut apabila diberitahu yang saya membuat pembayaran secara tunai dan membawa bersama wang tunai yang banyak sepanjang kira-kira tiga minggu menyempurnakan tugasan di luar negara.

Saya kemudian diperkenalkan dengan kad debit dan sekembali ke tanah air, tanpa berlengah mengambil kesempatan meninjau perihal kad debit dan mendapati antara bank yang menawarkan kemudahan tersebut ialah AffinBank yang bekerjasama dengan MasterCard untuk menyediakan kemudahan kewangan terbaru ini.

Selepas seminggu menggunakan kad tersebut, sememangnya diakui ia mudah, selamat dan boleh digunakan di mana-mana sahaja hatta untuk membeli bertih jagung sebelum menonton wayang sekalipun.

Konsepnya amat ringkas. Setiap perbelanjaan akan dipotong daripada baki yang terdapat di dalam akaun simpanan atau akaun semasa bank yang mengeluarkan kad debit. Ini bermakna sebanyak mana wang dalam akaun kita sebanyak itulah wang yang boleh dibelanjakan menggunakan kad debit.

Misalnya, saya menggunakan AffinBank Debit MasterCard, setiap kali membuat pembelian, jumlah pembayaran akan dipotong secara automatik daripada akaun simpanan AffinBank saya.

Dengan cara itu, pemegang kad tidak perlu lagi membawa wang tunai yang banyak sebaliknya hanya pastikan akaun anda mempunyai baki yang mencukupi untuk memastikan semua urusan berjalan lancar.

Penggunaan kad ini juga amat meluas. Anda boleh menggunakannya untuk mengisi minyak, membeli sebotol air mineral malah ia juga boleh berfungsi sebagai kad Touch ‘n Go.

Apabila nilai dalam kad di bawah RM50, penambahan nilai akan berlaku secara automatik, oleh itu kita tidak perlu risau tentang baki dalam kad yang tidak mencukupi terutama ketika hendak berjalan jauh.

Begitu juga pemegang kad debit boleh menikmati secawan Latte di Starbuck walaupun tiada wang tunai di dalam poket serta membeli senaskhah surat khabar – kerana kad debit tiada had minimum – sesuatu yang amat berbaloi jika menggunakan kad tersebut.

Menariknya tentang kad ini ialah kita juga tidak perlu bimbang tentang ketiadaan mesin pengeluaran wang tunai kerana semua urusan boleh diselesaikan dengan hanya sekeping kad. Malah untuk AffinBank Debit MasterCard, ia boleh digunakan di mana-mana kaunter yang terpapar logo MasterCard di seluruh dunia.

Selain itu, kad debit ini juga boleh berfungsi sebagai kad ATM – membolehkan pemegang kad tersebut mengeluarkan wang tunai, memindahkan wang dan berurus niaga menerusi Internet.

Selain itu, pemegang kad debit AffinBank MasterCard juga akan menikmati rebat sebanyak 0.5 peratus bagi setiap urus niaga tunggal dan wang itu akan dikreditkan ke dalam akaun scara automatik setiap bulan.

Oleh itu kad debit membolehkan kita mengawal penggunaan wang sendiri. Pemegang kad boleh merancang perbelanjaan bulanan dan menentukan sendiri had perbelanjaan.

116. Elak boros ketika berbelanja

ADA yang merungut tentang kenaikan harga barang-barang keperluan sekolah sebelum sesi persekolahan bermula tidak lama lagi. Contoh yang paling jelas ialah pakaian dan peralatan sekolah yang lain.

Setelah Kementerian Pelajaran mengumumkan pemberian buku teks percuma kepada semua pelajar bermula tahun depan, ditambah pula dengan pemansuhan yuran peperiksaan, para penjaga dibebani pula masalah baru iaitu kenaikan harga barang keperluan bermusim.

Mungkin bagi yang berpendapatan tinggi dan tidak mempunyai ramai anak yang bersekolah, mereka tidak akan berasa bebanannya. Bagi yang bekerja sendiri dan mempunyai anak yang ramai, tentu akan terasa keistimewaan yang diberikan oleh kementerian itu ditarik balik oleh segelintir peniaga yang menangguk di air yang keruh.

Sesetengah peniaga pula menaikkan harga barang keperluan sekolah setelah mengikuti perkembangan semasa. Bermula dengan kenaikan gaji kakitangan kerajaan Julai lepas, maka tidak kira barang apa sekalipun mengalami kenaikan harga. Yang menjadi mangsa ialah pengguna terutamanya mereka yang berpendapatan rendah, sederhana dan bekerja sendiri.

Tugas ibu bapa dalam soal ini ialah memastikan perbelanjaan yang dilakukan mengikut kemampuan. Ibu bapa juga mesti membuat perbandingan harga dengan harapan dapat menjimatkan belanja di samping mendidik peniaga agar tidak mudah menindas atau menekan pengguna.

Berbelanja dengan cara berhemah dan tidak boros dituntut dalam agama Islam. Dalam surah al-Isra’ ayat ke-26 dan ke-27 Allah berfirman: “Dan janganlah engkau pemboros dengan berlebihan. Sesungguhnya orang yang pemboros itu saudara syaitan, sedang syaitan sangat ingkar kepada Tuhannya.”

Ayat tersebut antara lain menyarankan kita agar berhati-hati dalam membelanjakan wang. Walaupun sesetengah orang itu murah rezeki dan mempunyai wang yang banyak, tidak sepatutnya mereka berbelanja dengan cara yang boros.

Allah juga menyarankan agar mereka yang berkemampuan menoleh kepada mereka yang tidak bernasib baik: “Berikanlah kepada kerabat-kerabat haknya, kepada orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan.”

Jelaslah di sini bahawa rezeki yang datang dari Allah tidak sepatutnya kita belanjakan dengan sewenang-wenangnya. Seperti kita sedia maklum, sikap boros berbelanja akan mengundang masalah baru seperti terpaksa menanggung hutang dan sebagainya.

Kesimpulannya, kita dituntut supaya bersederhana dalam segenap aspek termasuk dalam soal-soal perbelanjaan. Bersederhana sangat-sangat dituntut dalam Islam kerana kita akan dapat menyelamatkan diri, institusi keluarga, masyarakat, bangsa dan juga negara.

Friday, December 28, 2007

115. Perancangan teliti jaminan kehidupan masa

PENGHUJUNG 2007 sudah hampir dan pelbagai peristiwa suka duka berlaku di luar perancangan kita. Semua peristiwa yang berlaku adalah kehendak Allah. Di sebalik tirai kejadian baik atau buruk, ada pengajaran bagi orang mahu mengambil iktibar.

Insan bersabar adalah insan yang terpilih dan menang dalam menghadapi ujian kehidupan. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berfikir." (Surah Ali-Imran, ayat 190)

Bukan bencana yang kita minta, tetapi jika ada maklumat atau petanda ramalan yang disampaikan, hendaklah diberi perhatian serta mengambil langkah keselamatan untuk menghadapinya.

Begitu juga dalam menyambut kedatangan tahun baru 2008, seharusnya disambut dengan melakukan melakukan perancangan dan persiapan.

Perancangan hari ini adalah persiapan untuk hari esok. Kita perlu menoleh ke belakang sejenak untuk membuat renungan mengenai pencapaian diri dan ahli keluarga sepanjang 2007. Senaraikan beberapa kekuatan dan kelemahan pencapaian diri, keluarga atau setiap ahli keluarga.

Masih ada perkara dan ruang untuk ditingkatkan serta diperbaiki. Contohnya, anak kita lemah dalam mata pelajaran bahasa Inggeris, maka tumpuan diberi kepada subjek berkenaan. Jika bilangan anak bersekolah bertambah, perlu dibuat perancangan kewangan untuk pendidikan mereka.

Perlu mengambil langkah berjimat cermat atau berbelanja secara berhemah. Membeli mengikut keperluan, bukan ikut yang berkenan di hati supaya perbelanjaan persekolahan anak dapat disempurnakan.

Membuat perancangan kehidupan keluarga boleh mengambil contoh pengurusan organisasi. Keluarga adalah unit kecil dalam masyarakat dan kejayaan menguruskan keluarga membantu ke arah melahirkan masyarakat sejahtera.

Justeru, elok benar jika perancangan untuk keluarga mengikut cara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengurusnya merancang perjalanan organisasi yang mencakupi wawasan, matlamat serta objektif jangka pendek atau panjang untuk keluarga.

Setiap keluarga perlu menetapkan perkara yang ingin dicapai sepanjang 2008 dan merencana program untuk mencapai hasrat berkenaan.

Jika keluarga berhasrat menjadi keluarga cemerlang, maka setiap ahlinya perlu meningkatkan ilmu, iman dan amal; memupuk nilai dan akhlak mulia; memupuk kasih sayang dikalangan ahli keluarga dan jiran; mengurus sumber kewangan dengan cekap dan berhemah serta membina suasana rumah yang bersih, ceria dan bahagia.

Bagi melicinkan pelaksanaan perancangan, ibu bapa perlu memantau dari semasa ke semasa. Ini boleh dilakukan melalui sesi perbualan, perbincangan, ketika perjumpaan keluarga seminggu sekali, ketika makan bersama atau selepas solat berjemaah.

Budaya begini biasanya diamal oleh organisasi atau di tempat kerja, maka alangkah baiknya jika dapat diamalkan dalam institusi keluarga. Keluarga hari ini terdiri daripada ibu bapa dan anak berilmu pengetahuan, profesional serta bekerjaya.

Keluarga yang kompleks ini menghadapi pelbagai cabaran. Justeru, kemahiran membuat keputusan yang bijak dan penyelesaian masalah sangat penting. Merancang adalah satu perkara sangat perlu diberi perhatian.

Institusi keluarga Muslim pastinya memiliki matlamat hidup untuk mencari keredaan Allah dalam setiap perkara dilakukan. Aktiviti kehidupan di dunia adalah sebagai bekalan untuk kehidupan lebih sejahtera di hari akhirat.

Bermula dengan niat mencari reda Allah akan menjana tindakan dan amal bertepatan syariat Islam. Kita menjaga batas halal dan haram, kita sedar mengenai dosa dan pahala serta bagaimana memelihara iman dalam kehidupan seharian.

Pendidikan adalah agenda utama orang Islam dan suruhan Allah melalui firman yang bermaksud: "Bacalah dengan nama Tuhan yang menciptakan." (Surah al-Alaq, ayat 1)

Untuk memastikan setiap diri sentiasa aktif menuntut ilmu, umat Islam digalakkan membaca untuk meningkatkan ilmu. Ibu bapa perlu menyedari tanggungjawab memberi ilmu pengetahuan dan mendidik adab serta akhlak kepada anak.

Di samping menyedia keperluan asas seperti memberi makan minum, pakaian, tempat tinggal yang selamat, ibu bapa bertanggungjawab menghantar anak ke sekolah bagi menimba pengetahuan.

Pada 2008, pelajar akan dibekalkan pinjaman buku teks. Pihak ibu bapa bersama guru perlu memikirkan bagaimana buku ini dapat diguna dan dimanfaat sebaik mungkin.

Semoga perancangan dan persiapan menyambut tahun baru akan mencapai hajat atau matlamat diidamkan.

Siti Aishah Mahamad ialah Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Isap Kuantan, Pahang, yang boleh dihubungi di e-mel wanktajim0@yahoo.com

114. Aspirasi: Agenda perpaduan dan pilihan raya

Sikap tolak ansur semua kaum penentu kestabilan politik, ekonomi negara

DALAM setiap pilihan raya umum di negara ini, apa juga bentuk keputusannya, ia ditentukan oleh faktor perpaduan kaum. Lebih tinggi sikap perpaduan di kalangan kaum di negara ini, lebih tinggilah kemenangan diperoleh oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, jika lebih rendah sikap perpaduan di kalangan rakyat pada sesuatu pilihan raya itu, maka keputusan yang diperoleh oleh kerajaan BN, juga adalah kurang memuaskan.

Walaupun dalam setiap pilihan raya, keputusan mutlak ditentukan pelbagai faktor termasuk politik, ekonomi, sosial, agama, isu setempat, calon dan sebagainya, perpaduan yang wujud di kalangan masyarakat pengundi, menjadi elemen amat penting.

Kepentingan perpaduan di kalangan rakyat dalam pilihan raya bermula sejak kerajaan parti Perikatan lagi. Disebabkan Parti Perikatan yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj mewakili Umno, menyatukan semua kaum utama di negara ini dengan pembabitan MCA dan MIC, parti Perikatan menang besar.

Kegagalan pembangkang selama ini dan selama-lamanya ialah kerana tidak wujud perpaduan di kalangan parti yang berbeza ideologi itu – ibarat langit dan bumi, tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain. Pas dengan slogan menegakkan negara Islam, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan hala tuju perjuangan yang tidak jelas.

Disebabkan rakyat tidak mengerti maksud pembangkang, BN, sebagai kesinambungan daripada parti Perikatan, terus diberi mandat besar untuk memerintah negara.

Dalam proses pilihan raya di Malaysia, walaupun banyak faktor dikaitkan, perkara paling pokok yang harus diberi perhatian ialah soal perpaduan rakyat. Jika tahap perpaduan rakyat berada pada tahap paling tinggi, BN akan menang pilihan raya dengan mudah.

Soal lain, sama ada cemuhan politik yang cuba disemarakkan oleh pembangkang, isu semasa yang cuba dipergunakan oleh pembangkang untuk mempengaruhi undi dan sebagainya, tidak begitu berkesan.

Kerajaan dengan pelbagai sumber dan pengalamannya, begitu mudah menangkis tohmahan daripada pembangkang. Tetapi, pada saat pilihan raya diadakan sedangkan ketika itu tahap perpaduan rakyat begitu rendah, ia adalah perkara yang amat membimbangkan.

Apa alasan yang diambil oleh kerajaan untuk mengadakan pilihan raya, suasana perpaduan rakyat tetap dijadikan petunjuk sama ada pilihan raya boleh diadakan atau sebaliknya.

Melihat kepada perkembangan semasa, kerajaan sebenarnya sudah bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa. Mungkin Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi belum mendapat ilham untuk membubarkan Parlimen atau beliau mungkin memikirkan banyak lagi perkara yang belum diselesaikan.

Abdullah mungkin mahukan segala-galanya begitu mantap sebelum benar-benar mahu menghadapi rakyat. Pelbagai peristiwa yang berlaku kebelakangan ini, sesungguhnya memberi kelebihan kepada kerajaan BN.

Ini termasuk beberapa kejadian perhimpunan haram oleh pelbagai pihak, termasuk tindakan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf).

Peristiwa itu menyebabkan rakyat bertambah sedar betapa pentingnya perpaduan rakyat. Mereka tahu, sekiranya tidak wujud perpaduan rakyat, sudah pasti negara berada dalam keadaan kucar-kacir.

Pembangkang pula sentiasa mengambil kesempatan menangguk di air keruh. Sememangnya mereka mahukan berlaku kekecohan, apatah lagi jika ia membabitkan soal sensitif yang boleh menyemarakkan lagi api kemarahan.

Rakyat makin menyedari perpaduan dan keharmonian yang dikecapi sepanjang tempoh 50 tahun negara merdeka mesti dipertahankan. Pelbagai peristiwa yang berlaku itu, walaupun pahit untuk ditelan, ada hikmahnya.

Sekarang, rakyat sudah tahu siapakah yang mengambil kesempatan dan mengambil peluang untuk menggugat keamanan negara. Tindakan yang berpaksikan kepada kepentingan politik pihak tertentu itu menyebabkan rakyat sedar kesan buruknya dan akan mengelakkan keadaan ini berulang.

Tindakan mereka itu juga menyedarkan pihak berkuasa bahawa sekiranya ada permohonan untuk menganjurkan demonstrasi pada masa akan datang, sebarang kelulusan hendaklah berasaskan kepada pelbagai aspek – adakah ia boleh mencetuskan perbalahan kaum atau sebaliknya dan lebih buruk jika ia mengancam keselamatan awam.

Hanya permohonan yang diyakini berasaskan kepada semangat demokrasi dengan jaminan seratus peratus tidak berlaku sebarang peristiwa mengancam keselamatan dan memudaratkan, akan dipertimbangkan. Selain daripada itu, tidak perlu dilayan.

Dari aspek perpaduan, Perdana Menteri ketika berucap pada sesi keempat Siri Ceramah Global anjuran Khazanah Malaysia baru-baru ini, menegaskan pentingnya tiga nilai utama dihayati oleh rakyat – keadilan, tanggungjawab dan rasa percaya pada diri sendiri. Baginya, ketiga-tiga nilai itu adalah faktor kritikal yang diinginkan bukan saja untuk diri, keluarga, malah sebagai warga negara dan juga sebagai manusia.

Perpaduan rakyat tidak boleh dibincang secara berasingan dengan isu lain kerana ia turut berkait rapat dengan isu sosial, kemiskinan rakyat dan pendidikan. Faktor berkenaan mempunyai pertalian yang begitu rapat dalam konteks perpaduan.

Itulah sebabnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) dirumus dengan matlamat untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan.

Sekiranya jurang antara rakyat kaya dan miskin begitu meluas dan kemiskinan rakyat begitu teruk, tidak wujud ketenteraman dan ini menyukarkan wujudnya perpaduan rakyat.

Sudah tentulah dalam menghadapi isu perpaduan, semua pihak perlu mengamalkan sikap bertolak ansur – tidak semua pihak yang mendapat segala-galanya dan tidak ada pihak juga yang ketinggalan segala-galanya.

Ini termasuk soal nilai keadilan politik, ekonomi dan kebudayaan. Keadilan politik di Malaysia sudah teruji dengan amalan perkongsian kuasa. Apa yang cuba dilakukan oleh kerajaan ialah memastikan tiada satu kaum pun dipinggirkan sebaliknya, setiap kumpulan diberi layanan saksama.

Keadilan kebudayaan yang merujuk kepada identiti setiap masyarakat tetap dipelihara dan dilindungi. Dari segi keadilan ekonomi, kerajaan akan memastikan semua pihak mendapat peluang. Antaranya ialah meringankan beban masyarakat miskin dengan menyediakan peluang yang lebih baik menerusi peluang pekerjaan, perniagaan dan pendidikan.

Sebagai rakyat yang hidup dalam sebuah negara majmuk, setiap pihak perlu menghayati nilai tanggungjawab. Sikap ini perlu melewati semua kaum. Jika semua orang memahaminya, tidak timbul soal pertelingkahan kaum.

Perjalanan untuk menegakkan perpaduan rakyat bukanlah boleh dibina dalam masa yang singkat. Banyak cabaran yang terpaksa dilalui – sedangkan lidah lagi tergigit. Cukuplah sekadar setiap rakyat mengamalkan sikap bertanggungjawab terhadap satu sama lain.

Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Latif ialah Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM).

113. Membudaya ilmu niaga di IPT

Langkah agresif kementerian boleh atasi masalah siswa menganggur

BIDANG perniagaan sudah menjadi semakin penting dan pesat berkembang sebagai satu pengajian. Selaras dengan dasar kerajaan, peningkatan tahap kemajuan negara menyediakan banyak peluang untuk penerokaan perniagaan.

Perniagaan adalah teras kepada pembangunan keusahawanan. Kini subjek keusahawanan sudah menjadi satu subjek penting pelajar pada semua peringkat, bermula pada peringkat sekolah rendah sehingga ke peringkat universiti.

Sejak 2007, Kementerian Pengajian Tinggi mewajibkan kursus Asas Pembudayaan Keusahawanan untuk diikuti mahasiswa daripada semua disiplin pengajian. Ini memberi petunjuk bahawa semua pelajar di institusi pengajian tinggi diwajib belajar ilmu berniaga, malah lebih daripada itu ia sebagai isyarat bahawa graduan universiti perlu mampu berdikari selepas tamat pengajian – mesti pandai berniaga, tidak mengharapkan kerja daripada kerajaan atau swasta.

Sekali imbas program yang dirancang dan dimulakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi ini ada pertindihan dengan usaha yang dilaksanakan lebih awal oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD).

MeCD sudah memulakan usaha pembudayaan keusahawanan daripada kalangan mahasiswa universiti seawal 1998 lagi. Walaupun bermula dengan beberapa buah universiti, kini kementerian itu boleh berbangga dengan pencapaian yang diraih setakat ini.

Semakin ramai graduan dibudayakan ke arah perniagaan, dan semakin ramai yang sudah membabitkan diri dengan perniagaan selepas tamat pengajian. Ini dikatakan berbaloi dengan jumlah wang yang dibelanjakan untuk setiap universiti yang mengikuti program pembudayaan keusahawanan anjuran MeCD.

Setiap universiti yang mengikuti program pembudayaan keusahawanan di kalangan mahasiswa ini diberi peruntukan antara RM100,000 hingga RM200,000 setahun oleh MeCD bergantung kepada perancangan program yang hendak dilaksanakan serta bilangan pelajar yang mengikuti program berkenaan.

Lebih daripada itu, MeCD sanggup berbelanja dengan jumlah yang banyak lagi dalam membiayai acara kemuncak pertandingan keusahawanan di dalam pesta atau karnival yang dipanggil Karniawan untuk mahasiswa pada setiap tahun.

Pesta Karniawan dianjur secara bergilir-gilir oleh universiti yang terbabit. Karniawan 2006 dianjurkan oleh Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang, dan untuk tahun ini dianjurkan oleh Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memaparkan iklan di dada akhbar bahawa mereka sudah berjaya melahirkan usahawan berpotensi seperti Kang Zaid dan Fadzillah selepas tamat pengajian. Tidak silap sekiranya ini adalah sebahagian hasil daripada program MeCD pada peringkat universiti.

Tentu ramai lagi yang berpotensi daripada universiti lain dan yang sudah berjaya hasil daripada program itu, tetapi masih berdiam diri, namun terus mengorak langkah.

Kini Kementerian Pengajian Tinggi pula memberi penekanan lebih agresif. Perbezaan yang nyata daripada MeCD ialah Kementerian Pengajian Tinggi sebagai pihak yang berkuasa terhadap universiti boleh menguatkuasakan pembelajaran secara berstruktur dan mewajibkan peperiksaan ke atas semua pelajar.

MeCD hanya mampu menggalak dan melobi pelajar yang berminat saja. Bantuan dan pembudayaan MeCD dikhususkan kepada pelajar Bumiputera, memandangkan golongan inilah yang perlu dibudayakan kerana bilangan yang masih terlalu kurang membabitkan diri di dalam perniagaan.

Kementerian Pengajian Tinggi pula membuat secara menyeluruh tanpa mengira bangsa, keusahawanan dijadikan subjek kursus yang mesti diambil oleh semua pelajar. Kementerian meletakkan harapan agar setiap mahasiswa yang dilahirkan nanti berpotensi mewujudkan organisasi perniagaan dan secara tidak langsung mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Pembabitan di dalam bidang perniagaan memerlukan pengetahuan dan kemahiran tertentu untuk bersaing dan berdaya maju. Selaras dengan perkembangan ini, kursus di dalam bidang perniagaan wajar ditawarkan kepada semua pelajar pada semua peringkat.

Sebelum menerjunkan diri ke dalam dunia perniagaan, seseorang perlu mempelajari segala selok belok perniagaan. Sukatan pelajaran pengajian perniagaan bertujuan membolehkan pelajar mengetahui, memahami dan menguasai asas ilmu pada tahap awal pengajian mereka.

Di samping itu, ia juga membolehkan pelajar melanjutkan pengajian di dalam bidang ini ke peringkat lebih tinggi atau terus menceburkan diri di dalam perniagaan, mencapai kemahiran amali.

Wajar atau tidak keputusan Kementerian Pengajian Tinggi mewajibkan pengajian pembudayaan keusahawanan kepada semua pelajar tanpa mengira disiplin pengajian adalah satu perkara lain. Permasalahan itu bukannya untuk dibincang di sini.

Kewajaran pada peringkat kerajaan ialah bagaimana perlu diselesaikan masalah graduan menganggur. Sebaik saja mereka menamatkan pengajian, mereka terkapai tanpa pekerjaan – maka alternatif terbaik yang dicadangkan ialah dengan bekerja sendiri, iaitu memulakan perniagaan mereka sendiri.

Satu perkara lagi mungkin yang terbaik untuk difikirkan ialah mengenai impak daripada usaha pembudayaan keusahawanan pada peringkat sekolah dan universiti seperti yang sudah dimulakan. Banyak kemungkinan yang boleh berlaku. Dulu kita sibuk membincangkan mengenai graduan yang dihasilkan oleh universiti sebagai tidak berwibawa, kurang berkebolehan dan tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik.

Faktor itu dikatakan sebagai punca utama mereka menjadi penganggur. Lantas keputusan yang dibuat ialah dengan menggesa pihak universiti agar menyediakan pelbagai kursus seperti kemahiran insaniah serta meningkatkan kemahiran pelajar di dalam bidang mereka menurut keperluan industri.

Matematik dan sains mesti diajar di dalam bahasa Inggeris. Namun pengangguran di kalangan graduan terus meningkat.

Rasanya semua orang tahu bahawa punca utama pengangguran di kalangan graduan adalah kerana pasaran kerja yang sedikit, sedangkan pasaran buruh terutama di kalangan lulusan universiti semakin bertambah dengan kehadiran beratus institusi pengajian tinggi tempatan sama ada awam atau swasta.

Mereka yang tidak berupaya menjadi pekerja kepada majikan terpaksa berdepan dengan suasana pahit kerana tidak mempunyai kemahiran untuk bekerja sendiri. Mungkin di atas dasar ini, graduan digesa mencipta pekerjaan sendiri dengan berniaga. Satu-satunya kemahiran yang boleh diberi dengan agak mudah ketika mereka sedang menuntut di universiti.

Kehadiran mereka yang bijak dan hebat sebagai peniaga nanti akan membawa kepada persaingan perniagaan yang tentunya sengit dan mungkin boleh berakhir kepada satu lagi siri kecelaruan etika di dalam perniagaan seperti yang kita biasa tempuhi pada awal tahun 70-an, di penghujung 80-an dan 90-an.

Namun, impak paling besar yang mungkin akan dihadapi masyarakat dan negara ialah kepada sistem perundangan dan sistem nilai. Kedua-duanya adalah perubahan yang pasti akan berlaku hasil daripada pembudayaan keusahawanan.

Melihat daripada perspektif positif pula, pembudayaan keusahawanan akan menjana lebih banyak perusahaan atau organisasi perniagaan. Organisasi perniagaan yang banyak ini akan mencipta lebih banyak pekerjaan yang pada suatu hari nanti, negara kita sekali lagi akan mengalami kekurangan eksekutif profesional serta tenaga mahir yang diperlukan.

Oleh Sabri Hussin
Penulis ialah pensyarah di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya.

112. Benazir Bhutto dalam kenangan: Tokoh wanita Islam terulung




Hasrat pemimpin PPP kembali berkuasa di Pakistan tidak kesampaian

BENAZIR BHUTTO mengikut jejak bapanya untuk menceburi politik dan kedua-duanya terkorban kerananya. Bapanya, Zulfikar Ali Bhutto, Perdana Menteri Pakistan pada awal 1970-an, dihukum mati di tali gantung pada 1979, manakala Benazir terbunuh dalam serangan pengebom bunuh diri, semalam.

Dua saudara kandungnya – Murtaza dan Shahnawaz – juga mati akibat keganasan. Seperti keluarga Nehru-Gandhi di India, keluarga Bhutto di Pakistan juga terkenal dengan wangsa politiknya.

Dilahirkan pada 1953 di wilayah Sindh dan mendapatkan pendidikan di Universiti Harvard dan Oxford, Benazir mewarisi kepercayaan rakyat yang banyak dipupuk oleh bapanya.

Walaupun pada mulanya Benazir berasa berat hati untuk memasuki politik, beliau muncul dua kali sebagai perdana menteri dengan penggal pertama dari 1988 hingga 1990 dan kedua dari 1993 hingga 1996.

Dalam kedua-dua penggal beliau dipecat oleh presiden atas dakwaan terbabit dengan rasuah. Kerjaya politik Benazir banyak mengalami tempoh turun dan naik.

Popularitinya memuncak ketika beliau kali pertama menjadi Perdana Menteri, Benazir disanjung di seluruh dunia sebagai antara pemimpin wanita terulung.

Ketika usia muda dan masih jelita, Benazir menonjolkan dirinya dengan imej yang segar berbanding persekitaran politik yang banyak didominasi lelaki separuh umur.

Bagaimanapun, selepas kejatuhannya daripada kuasa pada penggal kedua, namanya banyak dikaitkan dengan rasuah dan pentadbiran lemah.

Benazir dikenali dengan azam yang tinggi dan kekerasan hatinya selepas menyaksikan bapanya dipenjara dan didakwa atas tuduhan membunuh oleh Jeneral Zia ul-Haq pada 1977 yang meneraju kerajaan selepas rampasan kuasa.

Benazir dipenjara sejurus sebelum bapanya dihukum mati pada 1979 dan menghabiskan sebahagian besar daripada hukuman penjara lima tahun itu dalam penahanan bersendirian.

Ketika dapat keluar penjara untuk dirawat di hospital, Benazir menubuhkan pejabat Parti Rakyat Pakistan (PPP) di London dan melancarkan kempen untuk menggulingkan Jeneral Zia.

Beliau kembali ke Pakistan pada 1986 dan berjaya menarik sokongan besar pada rapat umum poilitik yang dianjurkan oleh partinya.

Selepas kematian Jeneral Zia dalam satu letupan atas pesawat yang dinaikinya pada 1988, Benazir menjadi antara perdana menteri wanita pertama yang dipilih secara demokratik di negara Islam.

Dalam kedua-dua penggal beliau sebagai Perdana Menteri, peranan dimainkan oleh suaminya, Asif Ali Zardari banyak menimbulkan kontroversi.

Asif Ali memainkan peranan penting dalam kedua-dua penggal pentadbiran Benazir dan dituduh 'mencuri' berjuta-juta duit kerajaan.

Tuduhan itu dinafi keras oleh Asif dan Benazir. Ramai penganalisis politik berpendapat kejatuhan Benazir banyak disumbang oleh sikap tamak suaminya itu.

Namun, selepas 10 tahun, tidak satu pun daripada 18 tuduhan rasuah terhadap Asif Ali dibuktikan di mahkamah. Bagaimanapun, Asif Ali menghabiskan lapan tahun di penjara sementara kesnya dibicara.

Beliau dibebaskan pada 2004 selepas diputuskan mahkamah tuduhan terhadapnya adalah lemah.

Benazir sendiri menghadapi sekurang-kurangnya lima tuduhan rasuah, semuanya tidak diputuskan oleh mahkamah sehingga beliau menerima keampunan pada Oktober 2007.

Ketika tempoh menghadapi tuduhan rasuah, Benazir hidup dalam buangan di Dubai dengan tiga anaknya sebelum disertai Asif Ali pada 2004.

Benazir kembali ke Pakistan pada 18 Oktober selepas Presiden Pervez Musharraf menandatangani undang-undang memberi pengampunan kepada beliau.

Pada sambutan kepulangannya di Karachi, konvoi yang membawa Benazir diserang penyerang bunuh diri tetapi beliau terselamat. Kali ini, beliau menemui ajal di Rawalpindi dan warisan politik bapanya berakhir. – Agensi


PROFIL: Benazir Bhutto

Tarikh Lahir: 21 Jun 1953

Bapa: Zulfikar Ali Bhutto (Pengasas Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang juga Presiden dan Perdana Menteri Pakistan dari 1971 hingga 1977)

Suami: Asif Ali Zardari

Pendidikan: Ijazah dalam bidang Politik (Universiti Harvard dan Universiti Oxford)

Kerjaya Politik:

1979: Memimpin PPP

1988: Perdana Menteri Pakistan

1990: Dilucutkan dari jawatan atas dakwaan rasuah

1993: Dilantik semula sebagai Perdana Menteri

1999: Bersama suami dihukum penjara lima tahun atas dakwaan penyelewengan. Bagaimanapun ketika dakwaan mereka berada di luar negara dan mengambil keputusan untuk tidak pulang ke Pakistan

2006: Menyertai perikatan bagi pemulihan demokrasi di Pakistan bersama Nawaz Sharif. Bagaimanapun kedua-duanya tidak bersependapat dalam soal rundingan bersama Presiden Pervez Musharraf.

2007: Kembali ke Pakistan selepas berada dalam buangan selama lapan tahun.

Tuesday, December 25, 2007

Wishing All Visitors "A Merry Christmas"


Greetings to Visitors from USA, Canada, Germany, Netherland, South Africa, Argentina,France, Spain, Finland, Greece, Sweden, Turkey, Brunei and Taiwan.

Sunday, December 23, 2007

111. Krisis makanan dunia kian meruncing




MANGSA KEMISKINAN: Ratusan wanita berbaris untuk mendapatkan bekalan makanan sambil dikawal ketat pasukan tentera di Kampung Matanda, di timur Congo. Mereka sebahagian daripada 854 juta penduduk dunia yang kelaparan
Laporan terbaru PBB dedah hasil ternakan, pertanian terus susut berbanding kepesatan penduduk

MAKANAN semakin berkurangan. Inilah hakikat yang sudah terbentang di depan mata biarpun laporan mengenainya ditenggelamkan pelbagai paparan krisis politik dan kemelut bencana alam yang berlaku saban hari.

Tidak keterlaluan jika dikatakan impak pemanasan global lebih mendapat perhatian meluas sebahagian besar penduduk dunia, berbanding kekurangan makanan yang kian meruncing seperti dinyatakan laporan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), baru-baru ini.

Laporan yang berupa amaran langsung, mengaitkan perkembangan membimbangkan itu dengan pertambahan penduduk yang meningkat 3 bilion orang kepada 9.5 bilion orang dalam masa 50 tahun. Malangnya, ia tidak seimbang dengan hakikat sumber makanan yang semakin hari kian susut.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) baru-baru ini mendakwa, 30 peratus ternakan semakin pupus dan 75 peratus hasil pertanian kepelbagaian genetik pula sudah lenyap.

Tidak cukup dengan itu, keluasan tanah bagi setiap orang pula semakin susut iaitu daripada 0.38 hektar pada 1970 kepada 0.23 hektar pada 2000 dan cuma 0.15 hektar pada 2050.

Laporan Program Alam Sekitar PBB pula mendedahkan sumber air, daratan, tumbuhan, haiwan dan ikan semuanya semakin susut.

Ini diburukkan lagi dengan hakikat didedahkan Program Makanan Sedunia (WFP) yang menyatakan 57 negara termasuk 29 di Afrika, 19 di Asia dan 9 di Amerika Latin, dilanda banjir buruk yang menjejaskan sumber makanan, selain masalah kemarau dan bahang panas di Asia, Eropah, China, Sudan, Mozambique dan Uruguay.

Tidak hairanlah perkembangan yang membimbangkan itu menyebabkan FAO sudah memberikan amarannya sebagai dinyatakan Ketua Pengarahnya, Jacque Diouf kepada akhbar Telegraph, baru-baru ini.

"Jika anda menggabungkan peningkatan harga minyak dan harga makanan dunia, anda sebenarnya bakal menyaksikan elemen krisis sosial yang teruk pada masa depan."

Kenyataan oleh peneraju FAO yang bertanggungjawab memantau keperluan makanan sebagai 'nadi' manusia itu sememangnya amat menakutkan.

Lebih membimbangkan, kita sebenarnya tidak perlu menunggu sehingga 50 tahun untuk melihat kesan kekurangan makanan yang sebenarnya sudah pun ketara dan mencecah tahap krisis ini.

Buktinya, masalah kekurangan makanan sebegitu ketara di Caracas, Venezuela sehingga terpaksa dicatu. Rusuhan berebutkan makanan di Benggala Barat, Mexico serta di kalangan mangsa ribut Sidr, Bangladesh yang kelaparan juga bukan isu kecil.

Malah, amaran kelaparan sudah pun dilontarkan di kalangan penduduk Jamaica, Nepal, Filipina dan benua kecil Afrika.

"Ada 854 juta penduduk dunia yang kelaparan dan bilangan itu bertambah 4 juta orang, setiap tahun. Kami berdepan masalah kekurangan bekalan makanan yang paling teruk dalam sejarah. Bagi penduduk miskin, jangkauan mereka untuk mendapatkan makanan kian jauh," tegas Pengarah Program Makanan Sedunia (WFP), Josette Sheeran.

Kenyataannya disokong tindakan kerajaan beberapa negara yang terpaksa mengawal kos pengeluaran roti, jagung serta produk tenusu lain.

Namun, usaha itu diburukkan lagi dengan harga kebanyakan makanan utama dunia meningkat mendadak dan mencetuskan pula inflasi makanan sebanyak 18 peratus di China, Indonesia dan Pakistan (13 peratus) 10 peratus atau lebih di Amerika Latin, Russia dan India.

Harga gandum pula meningkat dua kali ganda, jagung meningkat 50 peratus berbanding setahun lalu dan beras – makanan ruji sebahagian besar penduduk Asia, terbukti mahal lebih 20 peratus.

Peningkatan harga makanan itu dikatakan berpunca daripada kenaikan harga minyak yang terus ketara. Pada masa sama, petani Amerika pula bertindak menukar daripada penanaman bijirin kepada tanaman biofuel. Tidak kurang juga ancaman cuaca ekstrem dan permintaan besar daripada negara berpenduduk ramai dunia, India dan China.

Bulan lalu, kerajaan Russia misalnya memaksa syarikat tempatannya membekukan harga susu, roti dan makanan penting lain sehingga 31 Januari ini kerana bimbangkan kesannya ke atas pilihan raya Parlimen.

Sejak tahun lalu, negara seperti India, Yaman, Mexico dan Burkina Faso berdepan kejadian rusuhan makanan – sesuatu yang tidak berlaku sejak berdekad lamanya akibat harga makanan yang masih rendah.

Di Venezuela, kekurangan daging, susu dan ayam juga semakin mencengkam.

Apakah pula tindakan yang diambil bagi mengatasi masalah itu? Ada yang bertindak sendiri, termasuk melancarkan boikot seperti di Argentina apabila penduduknya memulaukan tomato yang dikatakan jauh lebih mahal daripada daging.

Di Itali, rakyatnya mengadakan kempen sehari 'Boikot Pasta' sebagai membantah kenaikan harga makanan berkenaan.

Di Jerman, ahli politik berhaluan kirinya menggesa kerajaan meningkatkan faedah kebajikan bagi membolehkan rakyatnya berdepan peningkatan harga barangan.

Inilah bahan bukti masalah kekurangan makanan yang kian meruncing ini. Silap besar jika ada yang beranggapan kekurangan makanan hanya bersifat sementara dan setempat semata-mata.

Ia juga bukan setakat membabitkan keperluan mengisi perut, tetapi harganya yang meningkat dan kekurangannya boleh mencetuskan ketidakstabilan politik.

Pendek kata, sesebuah negara itu boleh huru hara jadinya jika rakyatnya sukar mendapat makanan, apalagi selepas menikmati 'zaman mewah' selama ini dengan kebanjiran makanan tempatan mahu pun yang diimport.

Zaman mewah makanan yang menyebabkan ramai menutup mata memikirkan makanan pilihan hati atau menggunakan jari mendail khidmat penghantaran makanan ke depan pintu rumah. Bayangkan keadaannya apabila dunia kekurangan beras yang menghasilkan nasi; gandum bagi pembuatan roti, pasta, piza dan roti canai serta gula?

Atau ternakan seperti ayam, itik, lembu, kambing dan ikan yang pupus akibat ancaman penyakit, pencemaran dan ketiadaan tanah untuk diternak. Pasti sukar bukan? Bukan setakat membayangkannya, berdepan dengan hakikatnya juga sukar, apa lagi ia membabitkan kelangsungan atau survival' spesies manusia sendiri.

Persoalannya, apakah penduduk dunia sedia menghadapi zaman kesusutan makanan ini? Apakah alternatif yang kita ada? Setakat menyimpan makanan utama hanya bersifat sementara dan bertumpu kepada individu dan keluarga semata-mata.

Pakar pula melontarkan pelbagai senario bagi menseimbangkan bekalan makanan bagi tempoh mendatang. Ini termasuk memastikan pasaran secara automatik segera bertindak mengatasi kekurangan makanan, kerana harga yang tinggi pasti menggalakkan lebih ramai orang mengutamakan usaha pertanian.

Tidak kurang juga harapan menyaksikan penghasilan biji benih dan teknologi baru yang membolehkan tanaman lebih tahan atau kebal penyakit dan perubahan cuaca ekstrem.

Pakar sebelum ini berkata, jika ramai yang memilih untuk mengurangkan amalan memakan daging, lebih banyak lagi tanah pertanian bagi tujuan pemakanan manusia dan bukannya haiwan, dapat diwujudkan.

Selain itu, usaha perancangan keluarga juga dapat mengurangkan tekanan ke atas permintaan di pasaran makanan dunia. Golongan penting seperti nelayan juga harus dididik untuk mengutamakan kepentingan alam sekitar daripada keuntungan semata-mata. Ikan yang kecil harus dilepaskan semula bagi memastikan sumber makanan penting itu terus wujud.

Paling penting, manusia sendiri - daripada pelbagai peringkat dan di ceruk mana dunia sekali pun harus dididik untuk menghargai makanan dan mengelak pembaziran. Mereka juga harus didedahkan dengan kepentingan menanam sendiri sayuran di tepi rumah yang sekali gus membuktikan sikap menghargai makanan.

Jika manusia terus leka, pepatah tepuk dada tanya selera sukar lagi dipraktikkan apabila makanan sudah pun terhad sehingga mengancam kelangsungan manusia. - Agensi

FAKTA:-

Krisis makanan dunia

3 bilion - Penduduk dunia pada 1957
9.5 - Bilion penduduk pada 2007
854 - Juta kelaparan
4 - Juta pertambahan kelaparan setahun

Tuesday, December 18, 2007

110. Perkukuhkan kembali dasar kebangsaan

DESAS-desus wujudnya perhimpunan bangsa Melayu di Kampung Baru dan orang India di Batu Caves pada Ahad lalu nyata tidak lebih khabar angin semata-mata. Selain itu, ada juga khabar angin yang mendakwa berlaku perhimpunan yang sama di Puchong, Selangor.

Dalam masa yang sama, tokoh tertentu seperti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dikaitkan pula sebagai penggerak untuk mengumpulkan orang Melayu berbalah dengan kaum lain.

Penyebaran khabar angin atau fitnah yang sebelum ini melalui mulut ke mulut dan surat layang kini telah ‘dinaik taraf’ kepada bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel dan laman blog. Ternyata, kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi begitu cenderung disalah guna oleh segelintir individu yang tidak bertanggungjawab lantaran demi kepentingan peribadi yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan massa.

Golongan oportunis ini ibarat duri dalam daging bagi kestabilan sosial di tanah air ini. Barangkali mereka tidak berasa aman melihat keharmonian masyarakat berbilang kaum selama ini.

Kemunculan satu demi satu fitnah yang berkaitan dengan interaksi kaum di negara ini mengundang beberapa persoalan. Pertama, adakah setelah setengah abad kita merdeka masih wujud sikap saling mencurigai antara satu sama lain?

Sejauh mana gambaran bangsa Malaysia yang dikatakan bersatu-padu seperti yang kita lihat dalam majlis seperti rumah terbuka sempena perayaan benar-benar wujud, berterusan dan kukuh tanpa prasangka antara kaum?

Adakah tahap perpaduan masyarakat kita begitu rapuh sehingga begitu mudah segelintir kelompok kaum di negara ini terpengaruh dengan khabar angin yang berbaur perkauman?

Oleh itu, langkah seperti mengenakan tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mereka yang mahu mengocakkan keamanan perlu disusuli dengan suatu pelan jangka panjang yang wajar dilaksanakan mulai sekarang.

Usaha jangka panjang yang dimaksudkan tentu sekali ialah pengukuhan kembali ideologi dan dasar-dasar kebangsaan yang mungkin selama ini telah banyak diabaikan. Ini kerana aspek tersebut begitu diberi perhatian oleh negara luar.

Contoh paling nyata ialah kukuhnya semangat perpaduan dan jati diri bangsa Indonesia kepada prinsip Pancasila dan bahasa Indonesia sebagai unsur penyatu warganya sehingga sukar untuk kita membezakan ciri kaum di kalangan bangsa mereka.

Oleh hal yang sedemikian, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan perlu benar-benar ikhlas dijiwai semangatnya oleh segenap lapisan kaum di negara ini. Begitu juga pengisian makna di sebalik ideologi kebangsaan yang terkandung di dalam Rukun Negara. Hanya melalui dasar dan ideologi kebangsaan inilah darjah perkongsian dan rasa kebersamaan semua lapisan kaum dalam sosiopolitik, ekonomi dan budaya rakyat negara ini dapat ditingkatkan.

Apabila wujud keadaan ini barulah perpaduan yang diimpikan oleh kita semua akan tercapai dan paling penting kukuh dan kebal daripada mudah tumbang dek kerana khabar angin seperti pada masa sekarang ini.

Sebaliknya, selagi landskap masyarakat kita masih menekankan ciri-ciri kaum mengatasi kepentingan dan ciri nasional selagi itulah kita akan berhadapan dengan gejala-gejala yang tidak membantu perpaduan bangsa Malaysia.

Paling perlu diberi perhatian, adakah kelonggaran membenarkan bidang pendidikan yang pelbagai aliran serta media massa yang terpisah-pisah mengikut kaum pada masa ini punca kepada rapuhnya tingkat persefahaman dan perpaduan antara rakyat Malaysia?

Justeru, setiap daripada kita bertanggungjawab untuk menolak dan tidak melayan atau menyebarkan lagi sebarang khabar angin. Kiriman SMS yang seumpama itu boleh sahaja dibalas dengan mesej sebaliknya seperti usah terpengaruh dengan khabar angin demi kebaikan kita bersama.

Paling penting, akar kestabilan negara ini yang terletak pada ideologi dan dasar bercorak kebangsaan perlu dihayati semula. Pemimpin dan pertubuhan sosial harus menyedarkan anggota masyarakat betapa pentingnya semangat perpaduan dan kepentingan nasional diutamakan berbanding sikap keterlaluan melebihkan kepentingan kaum.

* PENULIS ialah pelajar tahun akhir di Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. UM 18/12/07

109. Tanggungjawab memelihara keamanan

INSTITUSI pendidikan di negara kita sangat-sangat mengharapkan agar semua kaum di negara ini dapat hidup aman damai dan hidup bekerjasama serta saling membantu antara satu dengan yang lain supaya keamanan yang kita kecapi setelah memperoleh kemerdekaan dahulu dapat dipertahankan selama-lamanya.

Penekanan nilai-nilai murni dalam beberapa subjek di sekolah tidak kira sekolah rendah atau menengah sebenarnya merupakan satu persediaan ke arah membentuk masyarakat yang berbudi, berjasa, menghormati, rajin, gigih dan segala aspek positif lain yang perlu ada dalam diri seseorang mahupun kumpulan masyarakat.

Semua ini jika difahami dan diamalkan, tidak akan menimbulkan sebarang masalah. Tidak akan terjadi sesuatu yang tidak diingini apatah lagi insiden yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

Tidak mustahil akan ada rasa tidak puas hati di kalangan penduduk disebabkan sesuatu perkara. Bukan mudah mengendalikan hidup tetapi agak malang jika kekurangan itu sebenarnya berpunca daripada diri kita sendiri.

Keamanan berkait rapat dengan ekonomi sesebuah negara. Jika negara tidak aman, ekonomi akan turut tersungkur. Kita akan susah mencari rezeki kerana asyik memikirkan ketidaktentuan dalam urusan pentadbiran negara.

Jika negara tidak aman, tentulah pandangan negatif akan dihalakan ke arah kita. Bagaimana kita hendak membentuk negara kita sebagai negara yang disegani atau menjadi ‘rumah kedua’ bagi orang luar jika di dalam negara kita sendiri berlaku pelbagai masalah yang tidak kita senangi.

Dalam al-Quran, antara lain telah disebutkan bahawa Allah telah mencipta manusia ini berbagai-bagai bangsa, suku dan kaum. Tugas pelbagai kaum dan suku ini bukannya untuk bertelagah tetapi untuk kenal-mengenal antara satu kaum dengan kaum yang lain.

Hormat-menghormati antara kaum akan dapat mewujudkan suasana yang aman dan mudahlah setiap kaum mencari rezeki mengikut landasan dan kemampuan masing-masing.

Jika kita imbau sejarah lampau, terutamanya seperti yang terdapat teks Sejarah Melayu [Sulalatus Salatin], bukankah huru-hara dan kelemahan dalam pentadbiran telah menyebabkan Melaka didatangi oleh orang luar. Kelemahan-kelemahan tersebut sebenarnya berpunca daripada penduduk Melaka yang tidak menghormati undang-undang yang telah digariskan.

Berlakulah fitnah, tuduh-menuduh dan pelbagai unsur negatif lain yang akhirnya membawa kepada campur tangan orang luar. Kita sebagai rakyat yang cinta akan keamanan mestilah berusaha sedaya-upaya supaya sejarah hitam zaman lampau tidak berulang lagi.

Sunday, December 16, 2007

104. AS tipu untuk serang Iran

LAPORAN perisikan Amerika Syarikat (AS) atau NIE bahawa Iran menghentikan program senjata nuklearnya empat tahun lalu menimbulkan sedikit tanda tanya.

Ini kerana ia amat bertentangan dengan laporan itu dua tahun lalu yang dengan penuh yakin menyebut Iran sedang membina senjata nuklear meskipun menerima tekanan antarabangsa.

Adakah ini bermakna laporan perisikan pada 2005 itu palsu dan sengaja direka-reka supaya dunia percaya dengan pembohongan Washington itu?

Laporan NIE mengesahkan penilaian badan pengawas tenaga atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa Teheran ‘tidak mendatangkan bahaya’ kepada dunia.

Pada masa yang sama, perisikan itu mendapati tuduhan bahawa Iran berusaha untuk memiliki senjata itu sengaja dibesar-besarkan sekurang-kurangnya untuk tempoh dua tahun.

Unjuran NIE, telah mencetuskan keraguan baru terhadap kredibiliti White House yang sememangnya telah tercalar sejak lima tahun lalu selepas AS menakluk Iraq hanya berdasarkan amaran yang palsu.

Jika dilihat daripada laporan perisikan AS itu ternyata ia mengemukakan tamparan kepada dasar luar AS terhadap Iran serta segala alasan yang dikemukakan bagi mengenakan pusingan ketiga sekatan ke atas Iran.

Antara alasan utama AS ialah Iran secara sulit sedang memajukan program senjata nuklearnya di sebalik program tenaga nuklear.

Walaupun banyak pihak lega dengan laporan perisikan AS itu tetapi sejauh mana ‘kuasanya’ sehingga dapat menyekat rancangan Washington untuk terus mengenakan sekatan ke atas Teheran?

Dapatkah laporan itu juga memberikan kuasa kepada PBB bagi menghentikan terus rancangan AS hendak menyerang Iran? Dapatkah masyarakat antarabangsa mengenakan tekanan ke atas AS supaya tidak menyerang Iran?

Soalan-soalan yang ditimbulkan itu penting kerana China dan Rusia agak keberatan untuk bersama-sama AS dalam rancangannya mengadakan lagi sekatan secara unilateral atau multilateral itu.

Pada Oktober lepas, Presiden AS, George W. Bush membayangkan tentang ‘Perang Dunia III’ atau ‘perang nuklear’ jika Iran mempunyai senjata nuklear dan tersilap dalam dakwaannya bahawa Teheran secara terbuka mengakui berhasrat memilikinya.

Pandangan itu dipersetujui oleh 16 agensi perisikan AS berkata, tiada usaha yang jelas bahawa Iran mahu mengadakan senjata nuklear dan tindakan menghentikan program yang belum dilaksanakan itu, mempercayainya adalah disebabkan tekanan kuat antarabangsa.

Rumusan juga dibuat bahawa program tersebut kemungkinan dihentikan pada peringkat awal lagi akibat tekanan antarabangsa dan negara itu mungkin merasakan mudah terdedah terhadap kesan isu tersebut berbanding apa yang dijangkakan sebelum ini.

Namun apa yang lebih penting daripada laporan itu ialah cara ia dikemukakan yang bukan sahaja memalukan White House tetapi seluruh kepimpinan politik Amerika Syarikat.

Adakah kerajaan AS selama ini dengan sengaja menyembunyikan segala laporan perisikan yang benar mengenai Iraq memiliki senjata pemusnah besar-besaran sehingga membawa kepada kemusnahan negara tersebut?

Bagaimana pula laporan NIE pada 2005 itu? Adakah perkara yang sama dilakukan oleh kerajaan AS?

Dalam laporan NIE kepada media minggu lalu, Penasihat Keselamatan Nasional Stephen Hadley mengakui bahawa Presiden AS, George W. Bush telah dimaklumi mengenai laporan perisikan terkini mengenai program nuklear Iran seawal Ogos lagi.

Bush yang mengesahkan perkara itu menyatakan pada sidang media dengan menyatakan: “Pada Ogos lalu, saya fikir (Pengarah Perisikan Nasional) Mike McConnell masuk dan berkata, ‘Kami mempunyai maklumat baru’, tetapi dia tidak beritahu apakah maklumat itu.”

Adakah Bush yang sedang ‘mabuk’ dengan propaganda berperang tidak berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai maklumat perisikan terbaru itu dan menunggu sehingga empat bulan kemudian untuk menerima laporan rasminya?

Hakikatnya sekitar Ogos pentadbirannya sedang rancak terlibat dalam kempen propaganda bermusuh dengan Iran.

Bush menyampaikan ucapan-ucapan ‘putar belit’ dengan alasan-alasan yang tidak dapat dibuktikan seperti Iran bertanggungjawab kepada siri serangan pejuang Iraq ke atas tentera Amerika dan mengancam dunia dengan malapetaka serangan nuklear ke atas Iran.

AS yang sedang mengadakan provokasi ke atas Iran itu telah menahan para pegawai diplomatiknya di Iraq.

Kemudian White House mengumumkan pasukan keselamatan Iran iaitu Pengawal Revolusi Islam (IRGG) sebagai ‘pertubuhan pengganas’.

Dalam kempen ini AS nampak sanggup mengambil laporan palsu bagi menghalalkan peperangan ke atas Iran.

Agak mustahil jika Bush dan Naib Presidennya Dick Cheney tidak ingin mengetahui apakah maklumat baru yang diterima.

103. Kesan perlumbaan peluru berpandu

PERBALAHAN di antara Rumah Putih dan Kremlin mengenai pembangunan perisai peluru berpandu ala Star Wars yang dipelopori oleh Washington tidak menghairankan kerana keduadua kuasa besar ini mempunyai kemampuan dan teknologi untuk merealisasikan sistem pertahanan yang kompleks.

Isu sistem perisai tersebut menjadi bertambah rumit apabila Washington mencadangkan Poland dan republik Czech menjadi markas terbaru sistem Star Wars dengan alasan kononnya penempatan tersebut mampu menangkis serangan peluru berpandu milik Iran.

Moscow pula menempelak cadangan Washington dan menuduh strategis Rumah Putih cuba menggunakan penempatan di Eropah Timur untuk mengancam Rusia.

Malah rantau Asia Timur juga tidak terkecuali bergolak gara-gara Washington yang begitu taksub dengan program Star Wars tersebut. Sekutu kuat AS seperti Jepun, Korea Selatan dan Taiwan masing-masing dengan bijak menggunakan alasan ancaman peluru berpandu Korea Utara untuk membangunkan program Star Wars mengikut acuan dan agenda masing-masing.

Sepertimana Moscow, Beijing juga membantah keras pembangunan perisai di ketiga-tiga negara tersebut kerana China berpendapat sistem tersebut sebenarnya ditujukan kepada Beijing dan ancaman Pyongyang hanyalah alasan untuk menghalalkan pembangunan tersebut.

Walaupun rantau ASEAN masih belum melihat mana-mana negara ahli yang bercita-cita membangunkan sistem perisai Star Wars, tetapi perkembangan di sekeliling begitu membimbangkan. Pembangunan perisai di Jepun, Korea Selatan dan Taiwan sudah memberi alasan yang kukuh untuk China membangunkan sistem pertahanan perisai mereka yang tersendiri. Tidak cukup dengan ancaman perlumbaan senjata peluru berpandu di antara sekutu AS dan China, rantau ASEAN bakal melihat perlumbaan yang serupa tetapi kali ini di antara India dan Pakistan.

India beberapa hari lepas telah mengumumkan kejayaan ujian memusnahkan peluru berpandu di udara dengan menggunakan peluru berpandu yang dinamakan Prithvi II. Kemampuan untuk memusnahkan peluru berpandu yang sedang bergerak di udara adalah salah satu syarat penting untuk menjadikan sistem perisai yang dibangunkan berkesan. Kejayaan yang dicapai oleh India dikatakan memberi erti yang penting kerana tidak semua negara yang mempunyai sistem perisai mampu membangunkan teknologi pemusnahan peluru berpandu di udara. Walaupun Jepun, Korea Selatan dan Taiwan memiliki perisai peluru berpandu, tetapi teknologi memusnahkan peluru berpandu diimport dari AS.

Ketika ini hanya AS, Rusia dan Israel memiliki kemampuan seperti yang telah ditunjukkan oleh India. Malah China yang dikatakan mempunyai beratus peluru berpandu sama ada jarak jauh atau dekat, tidak pernah melakukan ujian pemusnahan peluru berpandu.

Perkembangan terbaru ini dikatakan amat membimbangkan kerana pembangunan perisai peluru berpandu India tidak akan mempunyai kekangan dan mampu berkembang tanpa had. Malah Organisasi Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan (DRDO) India, iaitu agensi yang bertanggungjawab terhadap pembangunan perisai peluru berpandu telah mengisytiharkan India bakal memiliki sistem perisai yang lengkap menjelang tahun 2010.

Berbeza dengan kemampuan perisai yang dimiliki oleh Jepun, Korea Selatan dan Taiwan, pembangunan perisai India tidak bergantung kepada perpindahan teknologi dari AS. New Delhi dengan bijak telah menggunakan gabungan teknologi perisai AS, Rusia dan Israel untuk melahirkan Prithvi II. Sebelum menemui kejayaan membangunkan Prithvi II, India hampir melupakan hasrat membangunkan sistem perisai tersebut ekoran dari kegagalan membangunkan sistem yang sama iaitu Trishul.

Sistem perisai Prithvi II walaupun tidak sehebat sistem yang dimiliki oleh AS, Rusia atau Israel, tetapi masih mempunyai jangkauan jarak sehingga 250 kilometer. Tetapi apa yang membimbangkan ialah Prithvi II mampu membawa peledak sehingga 500kg yang sudah pasti mempunyai kemampuan ledakan yang hebat.

Paling tidak menyenangkan mengenai kejayaan terbaru New Delhi ini adalah ia dilakukan beberapa hari selepas Islamabad mengumumkan kejayaan melancarkan peluru berpandu Babur yang mempunyai kemampuan jarak sehingga 500 kilometer. Sudah menjadi lumrah bagi kedua-dua negara ini saling balas- membalas untuk mengatasi kemampuan ketenteraan masing-masing. Apabila India mengadakan ujian ledakan nuklear pada tahun 1998, Pakistan juga turut melakukan ujian yang serupa.

Begitu juga apabila India mengadakan ujian pelancaran ujian peluru berpandu jarak jauh atau dekat, Pakistan turut akan membalas dengan ujian yang lebih hebat.

Tetapi perkembangan pertunjukan kemampuan ketenteraan India dan Pakistan memasuki fasa terbaru kerana New Delhi telah mengisytiharkan bahawa mereka mempunyai kemampuan perisai peluru berpandu. Islamabad sebelum ini tidak pernah terdengar ura-ura untuk membangunkan sistem perisai yang tersendiri dan sudah pasti Pakistan tidak akan berdiam diri tanpa mengambil tindakan yang sewajarnya.

Sejarah perbalahan di antara India dan Pakistan adalah satu manifestasi yang jelas yang dipanggil perlumbaan senjata. Apabila India membangunkan program nuklear, Pakistan pun mengambil langkah yang serupa sehingga pada hari ini kedua-dua negara tersebut mempunyai kemampuan nuklear.

Begitu juga apabila India melancarkan ujian peluru berpandu jarak jauh, Pakistan juga turut melakukan perkara yang sama. Bukan sahaja kedua-dua negara tersebut mempunyai kemampuan peluru berpandu, malah paling membimbangkan peluru berpandu tersebut sudah mempunyai peledak nuklear.

Tidak mengejutkan jika tidak berapa lama lagi Islamabad mengumumkan kejayaan ujian memusnahkan peluru berpandu di udara untuk menyaingi kemampuan Prithvi II New Delhi. Jika Prithvi II mempunyai kemampuan had jarak 250 kilometer, maka sudah pasti Islamabad akan membangunkan sistem perisai Star Wars yang mempunyai had jarak melebihi apa yang dimiliki oleh Prithvi II.

Tidak cukup dengan masalah Star Wars AS di antara Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan China, ASEAN bakal menerima kesan perlumbaan perisai peluru berpandu di antara India dan Pakistan. Adalah dijangkakan perlumbaan pembangunan perisai negara Asia Selatan ini adalah lebih hebat dari Asia Timur kerana New Delhi dan Islamabad bakal membangunkan sistem perisai menggunakan kepakaran dan teknologi yang tersendiri.

Saturday, December 15, 2007

98. Gagal selamatkan Bumi?

SIDANG Kemuncak Perubahan Iklim Antarabangsa di Bali selama lebih 10 hari berakhir semalam.

Mesyuarat itu yang dihadiri oleh 192 buah negara menjadi medan perbahasan hangat sepertimana isu pemanasan global yang dialami di seluruh dunia sekarang.

Bagaimanapun setakat kelmarin belum ada tanda atau kesepakatan satu keputusan atau deklarasi bersama daripada negara peserta.

Negara-negara maju yang didakwa menyebabkan pemanasan global diminta memberikan pampasan atau ganti rugi kepada negara sedang membangun dan negara mundur kerana mereka terpaksa berkorban untuk pembangunan.

Indonesia, umpamanya mahu negara perindustrian membayar pampasan kerana negara-negara maju turut mendapat manfaat daripada peraturan yang dikenakan kepada negara ini bagi melindungi hutan.

Pada persidangan itu, negara maju dituding hanya mementingkan kekayaan ekonomi dan perniagaan, tetapi enggan membantu negara yang membangun dan miskin yang tidak memiliki dana dan teknologi untuk melindungi alam sekitarnya.

Indonesia yang menjadi penyelaras persidangan itu bagaimanapun menafikan dengan keras bahawa persidangan anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu gagal mencapai tujuannya.

Ada pihak yang mendakwa mesyuarat itu seperti sebuah ‘bangunan kertas’ yang mudah terbongkar dan ada yang menyarankan supaya hari persidangan di Bali itu dilanjutkan lagi.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono bagaimanapun menyatakan komitmennya supaya persidangan itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kepentingan semua negara.

Namun apa yang menarik, persidangan itu telah mengangkat bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore sebagai ‘hero’ kerana beliau turut membidas negaranya sendiri kerana dikatakan menjadi ‘penghalang’ kepada kemajuan persidangan itu.

Al Gore yang baru sahaja memenangi Hadiah Nobel Kedamaian kerana memperjuangkan kesan pemanasan dunia, menuduh Amerika Syarikat telah menyekat perjalanan mesyuarat.

Sementara negara Kesatuan Eropah pula dilaporkan mengancam untuk menarik diri daripada mengambil bahagian pada persidangan iklim yang dianjurkan oleh Amerika Syarikat sekiranya negara itu sendiri enggan berkompromi dalam mengurangi pelepasan gas dan karbon. Amerika telah mengundang 16 buah negara Eropah selain China, Jepun, dan India untuk menyertai persidangan tentang iklim bulan depan.

Kenyataan pedas Al Gore di Bali bagaimanapun dilihat sebagai ‘serangan balas’ terhadap Presiden George W. Bush. Beliau juga dilihat memulakan ‘kempen’ politik bagi pilihan raya Presiden negara itu yang dijangka pada penghujung tahun depan.

Al Gore dilaporkan menyarankan kepada para perwakilan yang menyertai persidangan itu untuk mengambil tindakan segera bagi mengatasi pemanasan global. Beliau membayangkan kepada mereka kemungkinan Presiden Amerika yang akan dipilih kelak (pengganti Bush) akan memberikan kerjasama terhadap masalah perubahan iklim yang dihadapi oleh dunia sekarang.

“Negara saya sendiri bertanggungjawab sebagai penghalang utama pada mesyuarat di Bali ini,” tegas Al Gore.

Perlu disebut Amerika dilaporkan menjadi penyumbang terbesar kepada pencemaran udara (kadar pelepasan gas rumah hijau) dan satu-satunya negara perindustrian yang menentang perjanjian perubahan iklim di Kyoto yang disepakati bersama pada 1997.

Bush menolak perjanjian itu kerana bimbang akan menjejaskan ekonomi Amerika Syarikat. Sebaliknya beliau mahu negara yang sedang pesat berkembang dalam sektor industri seperti China dan India mengurangkan had pelepasan gas dan karbon.

Bagaimanapun Kristen Hellmer, seorang perwakilan Amerika ke persidangan itu menafikan tudingan yang dibuat oleh Al Gore.

Delegasi Amerika itu tetap mempertahankan peranan negaranya yang dikatakan turut menyingsing lengan bersama negara lain untuk merangka pakatan baru menggantikan Protokol Kyoto yang dijadual tamat pada tahun 2010.

Negara-negara maju seperti Amerika dan Jepun dilaporkan enggan menyetujui beberapa aspek dalam draf cadangan di Bali yang meminta negara-negara perindustrian mengurangkan perlepasan pencemaran gas dari industri menjelang tahun 2020.

Al Gore menyarankan para delegasi persidangan itu mencari kata sepakat untuk menyelesaikan permasalahan walaupun tanpa sokongan Amerika Syarikat.

Ia bukan masalah politik dan perniagaan, tetapi masa depan generasi akan datang, kata Al Gore.

Ketika perbahasan di peringkat menteri sama ada perlu atau tidak negara maju dikenakan peraturan mengehadkan pembebasan gas, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon turut merayu tindakan yang lebih segera diambil untuk ‘menyelamatkan Bumi’.

Bagaimanapun hanya enam negara bersetuju dengan saranan itu dan menyatakan sokongan terhadap rangka peraturan asas bagi melaksanakan rundingan selanjutnya ke arah merealisasikan satu pakatan baru tentang perubahan iklim dunia.

Wednesday, December 12, 2007

81. Kenang jasa sejarah

SEPARUH abad, jika dinisbahkan kepada manusia melambangkan kematangan dan pengalaman yang mantap dalam kehidupan. Itulah usia negara kita Malaysia, jika diukur dari tarikh kemerdekaan 31 Ogos 1957.

Sejarah mencatatkan terlalu banyak pahit maung yang dilalui untuk mengecap kebebasan yang dinikmati kita, warga Malaysia pada hari ini. Rentetan perjuangan bermandi keringat dan darah, bersulam suka dan duka, menuntut pengorbanan masa, harta, dan nyawa.

British hadir sejak awal abad ke-19 dan membahagikan ‘kek’ Kepulauan Melayu kepada dua bahagian, kawasan utara milik British dan kawasan selatan milik Belanda melalui Perjanjian Inggeris – Belanda 1824. Perjanjian inilah juga yang menjadi prinsip asas persempadanan moden antara Malaysia - Indonesia. Bermula 20 Januari 1874, secara rasminya British membenamkan paku terakhir ke atas keranda kuasa dan maruah masyarakat Melayu dengan termeterainya Perjanjian Pangkor yang mengizinkan penguasaan politik British secara rasmi di negeri-negeri Melayu. Sejak itu, kolonial British membawa masuk imigran dari China dan India bagi mengusahakan kegiatan ekonomi kapitalis bagi menampung keperluan revolusi industri yang meledak di Eropah. Masyarakat majmuk mula terbentuk. Orang Melayu, Cina dan India wujud dalam sempadan geografi yang sama, tetapi tidak berinteraksi dan tidak harmoni. Masing-masing disekat dalam lingkungan fungsi ekonomi yang dicipta British. Melayu, tinggal di luar bandar, mengusahakan pertanian, Cina di bandar, mengusahakan perlombongan, dan India di ladang, mengusahakan perladangan.

Perkembangan yang berlaku menyebabkan British terpaksa menyediakan sistem pendidikan berbeza kepada tiga kaum tersebut. Penyediaan pendidikan bukanlah untuk membentuk masyarakat enlightened tetapi bagi mengesahkan alasan kehadiran British ke Timur adalah untuk mentamadunkan masyarakatnya. Sistem pendidikan berbentuk vernakular dihasilkan dengan mengekalkan setiap kaum dengan identiti bahasa dan negara asal mereka.

Sejarah membuktikan perkembangan pendidikan untuk orang Melayu disekat dan dibantutkan oleh strategi kolonial British bagi mengelakkan pembentukan kesedaran kebangsaan. Ia juga dilakukan bagi memudahkan pengaliran keluar segala hasil kekayaan negeri-negeri Melayu ke Britain tanpa melalui proses ‘audit’ ataupun soal jawab daripada pemilik asal (orang Melayu) hasil kekayaan tersebut. Sekatan pendidikan turut dikenakan terhadap orang India yang menetap di ladang-ladang bagi mengekalkan status quo mereka sebagai ‘anak ladang’. Orang India yang tinggal di bandar-bandar seperti Pulau Pinang dan Melaka, seperti juga orang Melayu, diberi peluang memasuki sekolah Inggeris (Penang Free School dan Malacca Free School) bagi melahirkan segelintir loyal servant kepada pemerintah British. Orang Cina pula memiliki sistem pendidikan tersendiri yang dibiayai oleh pedagang-pedagang dan pelombong Cina. Ia lebih maju daripada pendidikan orang Melayu dan India.

Berdasarkan fakta tersebut, British dilihat membuka peluang sama rata kepada orang Melayu dan India pada zaman kolonial tersebut, walaupun zahirnya ia hanyalah ibarat dilepaskan dalam lingkungan sebuah kandang yang tertutup. Perkara tersebut berlarutan sehinggalah terbentuknya negara merdeka bergelar Persekutuan Malaya. Isu pendidikan vernakular perlu difahami kerana melalui pendidikan inilah terbentuknya polarisasi kaum. Polarisasi ini pula terus- menerus menyalurkan British dengan sumber manusia tanpa sebarang tentangan dan kesulitan dalam kerangka pengkhususan kerja masing-masing. Jika diteliti, pendidikan vernakular pramerdeka ini jugalah yang menjadi asas kepada pembentukan sistem pendidikan moden di negara kita sehingga kini.

Begitulah secara ringkas perjalanan sejarah negara kita sehingga merdeka. Kini setelah 50 tahun kemerdekaan tersebut, muncul segelintir warga Malaysia yang tidak berpuas hati dengan keadaan sosioekonomi yang dibentuk oleh kerajaan, kononnya hak mereka ditindas dan berlakunya gerakan pembersihan etnik. Istilah pembersihan etnik adalah istilah yang terlalu serius dan berat implikasinya. Contoh pembersihan etnik yang sebetulnya adalah seperti yang pernah berlaku di Bosnia-Herzegovina pada awal 1990-an. Satu bangsa manusia dizalimi, ditembak, dirogol dan disembelih tanpa sekatan, tanpa pembelaan dan tanpa justifikasi. Persoalan tuntutan hak terlalu kerdil jika dibandingkan dengan istilah gerakan pembersihan etnik. Tidakkah mereka pernah terfikir yang tindakan menuntut hak dalam lingkungan perkauman dan agama hanya mengundang prejudis daripada kaum-kaum lain yang berada di Malaysia ini? Demonstrasi, walaupun secara perlembagaannya dibenarkan, ia haruslah berada dalam landasan mengemukakan isu-isu yang lebih universal dan jitu, seperti demonstrasi membantah pencerobohan Amerika di Iraq dan pencerobohan Israel di Palestin. Demonstrasi yang dilakukan Bersih misalnya, sesuatu yang bersifat lebih universal isunya. Ia meliputi tuntutan daripada pelbagai kaum dan agama terhadap sistem pengendalian pilihan raya Malaysia. Benar atau tidak kepincangan berlaku, itu persoalan lain.

Justeru warganegara Malaysia seharusnya lebih rasional membangkitkan isu-isu sensitif dengan melihat kepada fakta sejarah yang menunjangi kewujudan dan perpaduan tiga kaum terbesar di Malaysia. Jika British dipersalahkan kerana membawa masuk orang India ke negara ini, apakah orang Melayu turut perlu membantah kepada British kini kerana terpaksa berkongsi kuasa dan sumber ekonomi dengan kaum-kaum lain?

Mungkin rakyat Malaysia wajar merenung kata-kata Mahatma Gandhi: “ I object to violence because when it appears to do good, the good is only temporary, the evil it does is permanent”.

Melalui perbincangan ini, penulis menonjolkan ilmu sejarah sebagai elemen terpenting dalam pembentukan sebuah bangsa yang bersatu padu dan menghargai kebebasan yang dikecapi. Sejarah seperti cermin pandang belakang pada kenderaan, nampak remeh tetapi amat penting dalam pemanduan. Generasi hari ini perlu menyedari sejarah sebagai bidang ilmu yang memandu seluruh bangsa Malaysia. Penyampaian ilmu sejarah di sekolah-sekolah hendaklah menonjolkan inti pati yang tersirat, bukannya menyampaikan fakta dan contoh semata-mata. Pendidikan merupakan fundamental dalam membentuk generasi berkesedaran dan bertamadun.

Pelajar-pelajar sekolah perlu diberitahu apa yang sejarah mampu lakukan dalam konteks semasa. Banyak contoh yang boleh ditonjolkan, antaranya peranan sejarah dalam pembentukan Malaysia iaitu kemasukan Sabah yang didasari oleh fakta sejarah.

* SAHUL HAMID MOHAMED MAIDDIN pensyarah Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Tuesday, December 11, 2007

63. Alam Sekitar : Selamatkan bumi kita

BUMI umpama rumah besar bagi segala hidupan bukan sahaja manusia tetapi serangga, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Bezanya manusia dan hidupan-hidupan lain ialah kita dianugerahkan akal dan kebijaksanaan.

Namun akal dan kebijaksanaan itu sering disalahgunakan. Mungkin dari satu segi, ia tidak nampak salah, tetapi kita harus sedar bahawa setiap tindakan yang diambil perlu memikirkan kesan baik dan buruk kepada hidupan lain juga.

Inilah sebenarnya fungsi manusia. Memberi yang terbaik kepada seluruh hidupan bumi agar sama-sama dapat berasa nikmat yang lebih sempurna. Tindakan memusnahkan alam sewenang- wenangnya jelas bukan tindakan bijak.

Malangnya, peranan ini sering jatuh ke tempat terakhir selagi kesan itu tidak dirasai sendiri. Lihat sahaja di rumah- rumah kita betapa tenaga elektrik secara lumrahnya dibazirkan begitu sahaja. Lampu yang dipasang tidak setakat penuh di dalam rumah tetapi juga melimpah ruah ke luar rumah. Penggunaan pendingin udara tanpa kawalan terus menjadi penyumbang utama kepada penipisan ozon akibat pengeluaran gas chlorofluorocarbon (CFC).

Itu belum termasuk faktor kenderaan. Di ibu negara dan bandar-bandar besar lain, isu kesesakan lalu lintas seolah-olah telah menjadi perkara biasa. Natijahnya ialah semakin banyak karbon dioksida yang dilepaskan.

Lapisan ozon di stratosfera yang semakin nipis membolehkan sinaran ultra ungu sampai ke permukaan bumi lalu menyebabkan suhu meningkat. Selain pendingin udara, CFC juga dihasilkan oleh penyembur aerosol, penggunaan baja organik berterusan dalam pertanian (menghasilkan nitrogen oksida), pembakaran bahan api fosil (nitrogen dioksida), ujian senjata nuklear, peperangan yang menggunakan bahan letupan dan penggunaan jet supersonik

Keadaan ini bukan sahaja mempengaruhi perubahan iklim, tetapi juga penyakit seperti katarak mata dan kanser kulit, mengurangkan proses fotosintesis tumbuh-tumbuhan, memusnahkan sel mikro organisma pada tumbuh-tumbuhan dan binatang, membunuh sistem pelalian manusia dan binatang serta banyak lagi kesan negatif.

Peningkatan suhu menyebabkan pencairan ais atau glasier seterusnya menyaksikan peningkatan aras laut berikutan isi padu air laut yang bertambah. Apabila air laut bertambah, kawasan-kawasan rendah akan mengalami banjir. Bermakna banjir tidak lagi berlaku di negara-negara yang sering dilanda banjir sahaja tetapi juga tempat-tempat lain.

Dan apa yang kita saksikan hari ini adalah fenomena yang terhasil daripada sikap dan tindakan manusia itu sendiri. Jika kesedaran ini muncul sejak lama dulu, apa yang dialami mungkin dapat dielakkan atau kesannya dikurangkan. Perubahan mendadak ini menyedarkan manusia betapa perlunya kita bersama-sama menjaga alam sekitar.

Malah dalam satu undian yang dilakukan di Switzerland baru-baru ini mendapati lebih 80 peratus rakyat negara itu bersedia mengurangkan penggunaan kereta masing-masing sebagai alternatif pencegahan perubahan cuaca ketara.

Undian yang dibuat menerusi akhbar Sonntagsblick itu mendapati 67 peratus pengundi percaya manusia hanya tahu menyalahkan apa yang berlaku dan 63 peratus bersetuju bahawa perubahan cuaca mengancam survival manusia.

Secara keseluruhan, 88 peratus berkata, mereka bersedia menyumbang secara peribadi untuk mengurangkan pengeluaran gas karbon dioksida yang merupakan punca utama pemanasan atmosfera bumi dan merosakkan iklim.

Undian juga mendedahkan sebahagian besar rakyat Swiss mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya. Mereka mendapati kerajaan hanya mengambil langkah yang terlalu sedikit bagi menangani masalah itu setakat ini.

Lebih 80 peratus juga menyokong lebih banyak cukai kenderaan dikenakan ke atas kenderaan yang boleh menampung jumlah minyak yang lebih banyak, begitu juga ke atas pengangkutan awam dan mempertingkatkan kemampuan kenderaan lama agar lebih mesra alam sebagaimana pemulihan yang dilakukan terhadap bangunan.

Dua pertiga daripada tinjauan yang dibuat oleh Institut Isomar membabitkan 1,001 orang antara 31 Januari hingga 3 Februari lalu itu juga mahu pihak berkuasa mewajibkan penjimatan tenaga ke atas lampu dan peralatan elektrik lain.

Minggu lalu, saintis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran berkaitan peningkatan pemanasan global dan bagaimana manusia perlu memainkan peranan mereka bagi mengurangkan perubahan iklim.

Pencairan ais luar biasa dan salji kering yang berlaku di Alps beberapa bulan lalu menimbulkan keadaan panik dan ketakutan di Switzerland kesan daripada perubahan cuaca yang ketara kebelakangan ini.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berkata, negara-negara yang kurang mengambil berat tentang kesan pemanasan global yang sedang melanda dunia bakal menerima kesan yang lebih besar berbanding negara lain.

Tidak menentu

‘‘Tahap pemanasan persekitaran global semakin tidak menentu dan kesan disebabkan perubahan cuaca kian dirasai melangkaui seluruh dunia,” kata Ki- moon dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini sebagai amaran bahawa manusia adalah pihak yang patut dipersalahkan terhadap pemanasan global dan perubahan iklim.

Tambah Ki-moon lagi, semua negara patut melihat kesan perubahan cuaca sebagai perkara merugikan mereka. Beliau menyifatkan dunia berada di ‘‘tahap kritikal’' dan jika tiada tindakan, keadaan akan bertambah lebih buruk.

‘‘Agak menyedihkan apabila di negara- negara miskin seperti Afrika dan negara- negara pulau kecil terpaksa menerima kesan teruk walaupun mereka bukan penyumbang utama kepada pemanasan global,” jelas beliau lagi.

Ki-moon menjadi harapan agensi alam sekitar PBB untuk memainkan peranan lebih penting bagi menjayakan Protokol Kyoto iaitu perjanjian dalam usaha mengurangkan kesan rumah hijau yang akan tamat pada 2012.

Sebagai pengguna, kita juga mempunyai pilihan sama ada mahu melihat masa depan bumi lebih sihat atau sebaliknya. Seperti ditegaskan Ki-moon, semua negara perlu bertindak. Rakyat Switzerland telah mengambil langkah dengan mengatakan kesediaan mereka mengurangkan kesan pemanasan global walau dengan apa cara sekalipun. Kita?