Sunday, April 20, 2008

Kepentingan negara, rakyat diutamakan

ISU kebanjiran pendatang asing, wanita Malaysia yang ditangkap di luar negara kerana menyeludup dadah, isu kebebasan akhbar dan pelbagai isu berkaitan keselamatan kini terletak pada bahu Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Syed Hamid Albar. Sejak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri disatukan semula dengan KDN, tanggungjawab beliau semakin berat. Wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin dan Mohd Azis Ngah mendapatkan penjelasan beliau mengenai beberapa isu kebelakangan ini.

ANTARA isu lama yang menjadi perhatian ialah kebanjiran pekerja asing, termasuk pendatang tanpa izin. Mengapa keadaan ini berlaku seolah-olah tiada penyelesaian.

Pembangunan dan kemajuan ekonomi pesat Malaysia menyebabkan bekalan tenaga pekerja tempatan tidak mencukupi dan pada masa sama, kerajaan tidak mahu membantutkan pertumbuhan ekonomi. Ini menyebabkan kita mencari bekalan di luar negara. Kedua, perkembangan sekarang menyebabkan ramai suami isteri bekerja dan memerlukan pembantu rumah. Pembantu rumah tempatan tidak mencukupi dan sekali lagi, kita melihat kepada negara jiran untuk mendapat bekalan. Oleh kerana sempadan negara panjang dan luas, ada orang mencari jalan pintas, membawa masuk pekerja asing secara tidak sah. Ini menimbulkan eksploitasi dan salah faham dengan negara sumber. Oleh itu, kerajaan mengadakan peraturan dan pelbagai perjanjian. Kita tidak boleh nafikan keadaan yang berlaku bukan kerana kurang undang-undang, tetapi pelaksanaan.

Kita banyak memberi kelonggaran kerana ada permintaan negara jiran dan negara pembekal tenaga kerja. Jadi kita ada pertimbangan kemanusiaan. Bagaimanapun, ada majikan tidak mahu mengikut saluran sah kerana menganggap lebih mudah mengambil pekerja asing secara langsung walaupun tidak sah kerana boleh dibayar gaji rendah. Kalau kita kumpulkan semua warga asing, jumlah mereka besar, kira-kira 10 peratus daripada penduduk Malaysia. Keadaan ini tidak sihat. Kehadiran pekerja tanpa izin menimbulkan masalah seperti perkhidmatan di hospital kerajaan. Majikan tidak mengambil insurans untuk pekerja asing dan apabila sakit dimasukkan ke hospital kerajaan kerana murah. Tetapi ada yang tidak mampu bayar sebab majikan tak mahu bayar. Kita perlu lihat aspek majikan. Ada peraturan tidak dilaksanakan seperti tempoh untuk tenaga profesional bekerja adalah tidak melebihi 10 tahun dan apabila tamat tempoh, perlu digantikan orang lain. Bagaimanapun, selalunya ada rayuan.

Tempoh pekerja tidak mahir hanya lima tahun, tetapi mereka biasanya tinggal melebihi had itu dan menimbulkan masalah apabila berkahwin dengan rakyat tempatan. Adakah kelonggaran kawalan di sempadan turut menyumbang kepada masalah ini. Pada peringkat kementerian, saya mengarahkan kawalan sempadan diperketatkan dan ini membabitkan semua agensi berkaitan pendatang tanpa izin. Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk Polis Marin serta tentera boleh melakukan tindakan bersepadu. Keupayaan kita perlu dipertingkatkan. Begitu juga Rela dan Jabatan Imigresen perlu dikemas kini bukan saja tenaga manusia, tetapi aset yang ada bagi membolehkan kita melaksanakan tugas dengan baik. Kita juga sebenarnya perlu mendapat kerjasama negara jiran supaya sempadan negara masing-masing tidak digunakan sebagai laluan pendatang tanpa izin serta tidak menghantar pekerja tanpa mengikut saluran yang dipersetujui. Saya akui rakyat mengharapkan masalah ini diselesaikan segera kerana tertunggak begitu lama. Selain itu, kita perlu memikirkan kepentingan negara kerana pergantungan kepada pekerja asing dalam jumlah besar bagi tempoh jangka panjang akan menimbulkan masalah. Kita perlu melaksanakan pengambilan pekerja asing berasaskan permintaan. Lebih penting ialah melatih rakyat tempatan bekerja di sektor kritikal seperti ladang atau pembinaan. Kalau perlu bayar gaji tinggi, ia perlu difikirkan kerana banyak negara yang kos pekerja tinggi seperti di Eropah menjadi negara pengeksport utama. Singapura dan Sweden adalah contoh mudah. Yang penting meningkatkan produktiviti dan keupayaan bersaing. Rakyat tidak boleh terlalu memilih kerja kerana akhirnya ia akan dikuasai orang luar. Lihat peniaga kecil yang kini dikuasai warga asing. Kita bagi lesen, tetapi diserahkan kepada orang lain. Contoh lain yang baik ialah Taiwan, sebuah negara kecil tetapi sangat kompetitif. Jumlah penduduk hampir sama dengan Malaysia, iaitu kira-kira 23 juta orang, tetapi hanya ada 400,000 pekerja asing. Masalahnya ialah pelaksanaan. Kita tidak banyak berusaha untuk rakyat Malaysia. Pergilah cari pekerja di kampung dan bandar yang ada sumber tenaga kerja dan penganggur. Iklankan kerja kosong dan latih mereka. Kemasukan pekerja asing sepatutnya mengikut keperluan, tetapi yang berlaku ialah ramai pekerja asing masuk tidak mempunyai pekerjaan. Ini tidak sepatutnya berlaku. Syarikat yang membawa masuk pekerja asing perlu memastikan pekerja berkenaan mempunyai pekerjaan di negara ini. Tindakan tegas perlu diambil terhadap syarikat yang melanggar peraturan. Begitu juga dengan peranan ejen atau orang tengah yang pergi ke kedutaan dan negara asal pekerja terbabit serta menjanjikan macam-macam. Ada yang dikatakan terbabit dalam sindiket perdagangan manusia. Akhirnya kerajaan juga yang susah. Contohnya kes rakyat Bangladesh tersadai. Semua itu perlu diselesaikan dengan kerjasama kedutaan dan menyediakan tempat persinggahan. Dalam sesetengah kes, ada syarikat yang sebenarnya belum dapat kontrak sesuatu projek memohon permit membawa masuk pekerja asing. Apabila disiasat di mana hendak ditempatkan pekerja, mereka cakap kerja belum ada dan masih menunggu kontrak itu. Sebenarnya setiap rakyat Malaysia perlu bekerjasama dan sedar kerana akhirnya semua ini akan menyusahkan negara. Kita janjikan macam-macam dan harapan mereka sangat tinggi apabila datang ke sini, tetapi harapan mereka musnah. Kementerian akan senarai hitam syarikat begini. Bagaimana dengan kedudukan warga asing yang tidak diiktiraf negara asal mereka. Memang ada yang masuk tanpa dokumen kerana negara asal tidak menerima mereka dan menyediakan dokumen berkaitan. Kita yang bermasalah kerana tidak boleh hantar balik mengikut peraturan antarabangsa kerana mereka tiada dokumen. Kadang-kadang mereka datang secara haram dan melaporkan kepada UNHCR (Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian). Mereka kemudian mendapat kad pelarian. Oleh kerana Malaysia terlalu terbuka, kementerian perlu bertindak secara bersepadu. Di Sabah, masih banyak kes perlu diproses dan memerlukan kerjasama Kerajaan Filipina kerana ramai yang masuk tanpa dokumen, tetapi mereka mengaku rakyat negara itu. Dalam kes pelarian Rohingya, kerajaan Myanmar tidak mengaku mereka rakyat negara itu. Ini membebankan kita. Kita juga perlu melihat permohonan penduduk tetap. Beribu-ribu dokumen diterima untuk menjadi menjadi rakyat Malaysia kerana lama tinggal di sini. Akhirnya, kita kena menjaga kepentingan negara kerana terlalu ramai orang tidak puas hati dan mengadu. Untuk menjadi rakyat Malaysia, ia bukan hak, tetapi keistimewaan yang kita berikan. Ia adalah proses yang mengambil masa lama. Berapa ramai warga asing yang menerima kerakyatan Malaysia. Sejak merdeka hingga sekarang, kita sudah memberi kerakyatan kepada lebih dua juta orang mengikut undang-undang dan keperluan. Dulu ramai penduduk bukan Melayu yang mohon. Ramai yang kini hendak menjadi rakyat Malaysia. Mereka pilih negara ini kerana pelbagai alasan seperti sudah berkahwin di sini, anak dan isteri adalah warga negara. Kita perlu selesaikan, tidak patut tertunggak lama tetapi kita perlu pastikan mereka dapat memberi sumbangan kepada Malaysia. Pastikan mereka taat kepada Malaysia dan ini memang dilakukan oleh mana-mana negara. Proses mendapatkan kerakyatan bukan secara automatik. Kita nak pastikan individu yang menjadi rakyat Malaysia betul-betul taat setia, cintakan negara dan menjadi aset negara. Adakah mendapat kerakyatan dihadkan kepada golongan profesional yang dilihat boleh menjadi aset penting. Bagaimana dengan golongan lain. Kalau kita pilih profesional yang sudah tinggal lama di sini dan memang memohon, mungkin lebih mudah mereka mendapat kerakyatan. Tetapi bagi orang lain yang tak kenal negara lain melainkan Malaysia, sudah tinggal lama di sini dan anak mereka juga berjaya, mungkin boleh dipertimbangkan. Kalau kita hanya memilih golongan tertentu, ini bermakna anak golongan lain tidak mendapat hak. Anak seorang guru atau miskin tidak bermakna mereka tidak boleh meningkatkan mobiliti sosial (perubahan taraf hidup). Tidak semestinya pasangan suami isteri berijazah dan anak mereka juga pandai dan terbaik. Singapura sudah buat begitu, tetapi tidak berjaya. Yang penting ialah pendedahan, pendidikan serta peluang yang diberikan. Kita kena tengok kes itu berdasarkan merit dengan ukuran paling penting ialah bagaimana mereka membudayakan diri dengan Malaysia dan kesetiaan kepada negara. Mereka juga tidak boleh menjadi beban kepada Malaysia. Mengapa banyak kes penyalahgunaan visa oleh warga asing dilaporkan berlaku. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku, tetapi apabila ada visa bebas, iaitu yang diberikan sebaik tiba di negara ini, tidak kira mereka dari negara benua Afrika atau mana-mana negara lain. Kita perlu mengkaji semula pengeluaran visa begini. Bukan kita hendak hentikan, tetapi perlu ada ciri keselamatan untuk memastikan hanya pelancong tulen datang atau mereka yang mempunyai pekerjaan di negara ini. Ketika ini, ada yang datang dengan visa pelajar. Bukan bekerja ketika cuti, tetapi terus bekerja sepenuh masa. Ada yang datang dengan visa yang sah selama sebulan, tetapi terus bekerja di negara ini. Kita melihat kehadiran warga asing begini tidak tertumpu kepada sesebuah negara. Sebagai contoh, penyalahgunaan visa yang dikeluarkan sebaik tiba di negara ini banyak membabitkan warga asing dari negara Asia. Kemasukan dari negara jiran yang mudah melalui sempadan juga menimbulkan masalah. Penduduk dari negara Asean boleh datang tanpa visa. Apabila saya memperkatakan perkara ini, sesetengah negara menyuarakan reaksi marah dengan mendakwa kita mengamalkan dasar perlindungan. Saya fikir orang silap faham. Perdagangan bebas tidak termasuk kebebasan pergerakan manusia dari dari sebuah negara ke negara lain. Ia tidak berkait dengan WTO (Pertubuhan Perdagangan Dunia). Ia adalah perkara berasingan. Jika tidak, negara kecil yang maju dan berjaya akan diambil alih oleh negara yang pekerjaan dalam negara tidak mencukupi atau ekonomi tidak begitu maju, tetapi mempunyai bekalan tenaga manusia yang banyak. Akhirnya tiada orang tempatan langsung. Saya fikir dalam isu tertentu, pendekatan Malaysia adalah membantu memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat negara sahabat, tetapi bukan berdasarkan pintu yang terbuka seluas-luasnya. Ia adalah berdasarkan keperluan dalam negara. Dalam sektor perladangan dan pembinaan, pekerja asing sudah lama digunakan. Sudah sampai masa mesti ada program untuk menentukan meMalaysiakan sektor ini menjadi kenyataan. Takkanlah dalam sektor ini, tiada langsung rakyat tempatan hendak bekerja. Jika kita pergi ke kawasan tertentu, kadang-kadang ada golongan muda tidak bekerja dan terbabit dalam penyalahgunaan dadah serta jenayah. Saya fikir kita mengambil jalan pintas menyebabkan peluang rakyat tempatan tertutup. Jika visa disalahgunakan, adakah kementerian akan mencadangkan kepada Kabinet supaya visa tertentu dimansuhkan. Kita akan minta mesyuarat antara agensi diadakan untuk melihat semua aspek bagi menentukan pekerja asing yang datang ke negara ini berasaskan keperluan dan permintaan. Saya juga sudah mengarahkan memperketatkan tindakan penguatkuasaan bersepadu di sempadan. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, baru-baru ini mengesyorkan untuk mengenakan levi terhadap setiap pekerja asing di negeri itu. Bolehkah cadangan itu dilaksanakan. Mengikut Senarai Persekutuan dalam Perlembagaan, perkara seperti levi dan mengenakan cukai adalah hak Kerajaan Persekutuan. Negeri tidak boleh mengenakan levi terhadap pekerja asing. Memang tidak boleh dilaksanakan. Melaksanakan cadangan itu bermakna mengambil kuasa Persekutuan. Kalau kenakan juga, hasilnya kena beri kepada Kerajaan Persekutuan. Indeks Kebebasan Akhbar tahun lalu meletakkan Malaysia di tangga 124, merosot berbanding 92 pada 2006. Pada masa sama walaupun bersifat tanggapan, masyarakat melihat media massa di negara ini tidak bebas menyebabkan media alternatif seperti blog menjadi pilihan. Masyarakat boleh menjadikan keputusan tidak menyambung permit penerbitan akhbar Makkkal Osai sebagai bukti. Adakah ini boleh diterima. Masalah kita di dunia ini ialah semua standard, nilai dan kriteria kebebasan ditentukan Barat. Walaupun permit perlu diperbaharui setiap tahun, jumlah akhbar di negara kita lebih banyak berbanding Barat. Kalau tengok kandungan akhbar tempatan, termasuk yang dimiliki parti yang mempelopori kerajaan, akhbar berkenaan lebih pedas mengkritik isu yang menjadi kepentingan awam. Kalau Barat benar-benar faham senario tempatan dan tidak hanya membaca berdasarkan ukuran pembangkang atau blog, Barat akan melihat Malaysia mempunyai banyak surat khabar. Hak asasi pun begitu. Barat membuat tuduhan melulu bahawa kita membunuh orang secara rahsia. Kita tidak sepatutnya hanya melihat isu dalaman. Lihat kebebasan Barat. Ketika Perang Iraq atau Afghanistan, media Barat seperti CNN atau BBC dikawal, perlu ada tapisan tertentu konon atas kepentingan nasional. Tetapi tiada siapa bercakap mereka dikawal. Dalam kes Makkal Osai, sudah banyak kali kita memberi amaran kerana membangkitkan perasaan dan sentimen. Apakah pilihan kita? Pilihan kita ialah hendak menentukan keamanan dan kedamaian, bukan melahirkan konflik dan salah faham. Negara kita majmuk. Semua rakyat mempunyai hak. Kita mahu melindungi hak asasi kumpulan kecil dengan memudaratkan kumpulan teramai? Kalau tindakan kekerasan atau demonstrasi, orang yang tidak boleh berniaga lebih ramai berbanding yang berdemonstrasi. Pada saya, membaharui permit setiap tahun lebih teori berbanding praktikal. Dari segi teori, kita mempunyai kuasa, siapa yang kita arahkan? Tak ada! Kadang-kadang orang kata, berita ini tidak boleh dipakai. Itu bukan sekatan, tetapi kita hendak mendapatkan pertimbangan kalau berita itu boleh memudaratkan. Kalau lihat berita elektronik dan cetak, kita tidak mencampuri urusan pengarang atau kandungan berita. Sepatutnya media konvensional mempunyai pembaca atau penonton tersendiri. Kalau samakan dengan blog, nilainya sudah berbeza. Setiap kali saya bercakap dengan media massa, mereka membandingkan 'nanti orang tak baca kita.' Kalau kita ada perkara menarik dan membawa kepada keprihatinan rakyat, orang akan baca. Blog ada di seluruh dunia, tetapi surat khabar masih hidup. Memang benar dari segi perkembangan masa kini, kita tidak boleh mengelakkan media alternatif, tetapi jangan pula media konvensional mengikut blog. Tengok kalau ada rancangan perbahasan dalam televisyen berhubung isu tertentu, bilangan penonton naik semula. Kalau buat liputan mengenai kebebasan kehakiman sekarang, orang beli surat khabar. Saya fikir surat khabar perlu mencari sudut surat khabar dan tidak mengikut blog. Surat khabar mempunyai standard dan pembaca tersendiri, tetapi kalau hanya melaporkan berita hari ini orang itu buka itu dan rasmi ini, memang orang tidak baca kerana tiada nilai berita. Surat khabar lebih tahu apa yang ada nilai berita dan pembaca mahu. Mengutuk saja bukan tugas media massa. Media massa sepatutnya melaporkan perkara untuk melahirkan pemikiran. Pengaruh media kuat. Sebab itu saya lihat sekarang orang yang melayari blog mula mempertimbangkan semula. Ketika pilihan raya, macam-macam mereka buat dan orang muda pun baca. Bagaimanapun, orang muda ini berfikir. Kalau mereka baca surat khabar dan mendapati tidak menarik, memang mereka tengok perkara lain yang menarik. Saya fikir seharusnya ada laporan meluas.

Rencana: Bos lelaki atau wanita lebih hebat

JIKA diberi pilihan, anda mahu bekerja dengan majikan wanita atau lelaki?

Ada yang berpendapat majikan lelaki lebih bagus dan cool berbanding wanita yang selalu mengikut emosi serta cerewet! Benarkah? Mungkin sebagai wanita, mereka lebih selesa bekerja dengan majikan wanita kerana lebih memahami tetapi ada juga pekerja wanita berasa majikan wanita ada kala lebih memihak kepada pekerja lelaki dan bersikap pilih kasih. Atau mungkin, bos lelaki banyak pula kerenahnya lebih-lebih lagi jika pekerjanya wanita.

Ada yang mengatakan majikan lelaki lebih tegas dan tidak 'beri muka' malah lebih teruk lagi, ada pula kes salah laku seperti gangguan seksual. Isu menarik bertajuk Bos Lelaki vs Bos Wanita, dibincangkan dalam rancangan Keluarga Di 9 (KD9) bersama Farah Adeeba Mohd Ashraf. Dua ahli panel, Mohamed Syairoz Mohd Odman, 31, dan Norizad Mohamad Zain, 40, berdebat menegakkan pendirian masing-masing, menjadikan set KD9 panas seketika.

Mohamed yang pernah bekerja dengan dua majikan wanita dan tiga majikan lelaki, berpendirian lelaki adalah majikan terbaik. Menerusi pengalaman, dia berpendapat majikan lelaki lebih fleksibel dan terbuka menerima cadangan orang bawahan berbanding wanita.

Majikan lelaki juga lebih memberi sokongan kepada pekerja untuk lebih maju. Pendapat Mohamed disangkal Norizad. Menurut perunding pemasaran ini, dia lebih selesa bekerja dengan majikan wanita kerana mereka lebih memahami dan teliti. Sebagai wanita siapa lagi yang lebih memahami selain wanita sendiri. Justeru, dia pernah bekerja untuk suatu tempoh agak lama bersama majikan wanita.

Pendapat Norizad yang majikan wanita lebih bersikap mendengar dan tempat mengadu, ada benarnya. Hakikatnya, wanita mempunyai dua tanggungjawab - di pejabat dan di rumah. Sebagai majikan di pejabat, memerlukan mereka membuat keputusan tepat dan cekap manakala di rumah menjadi isteri serta ibu. Malah, setiap kali anak sakit, ibu yang mengambil cuti, setiap kali kad laporan pelajar keluar, ibu juga yang ke sekolah.

Di rumah, wanita juga yang terpaksa memasak, mengemas dan mengurus hal rumah tangga lain. Ada juga suami yang kurang memahami, mendesak isteri pulang awal atau suami menggunakan alasan kesibukan isteri untuk melakukan aktiviti tambahan kerana kesepian. Dengan kata lain, majikan wanita beremosi dan tertekan disebabkan lelaki atau suami!

Mohamed berpendapat majikan yang baik perlu bersikap profesional dan tidak membawa masalah di rumah ke pejabat. Jangan menjadikan pekerja sebagai mangsa atau 'punching back' meluahkan kemarahan. Jika majikan wanita yang masih bujang, ramai di antara mereka lebih sukar difahami dan ada kala memaksa pekerja mengikut rentak mereka.

Kadangkala harapan mereka tinggi menggunung dan segala-galanya mesti sempurna menyebabkan anak buah berasa tertekan dan tidak dapat meningkatkan prestasi kerja mereka. Sebaliknya ada juga yang berpandangan majikan lelaki lebih mengamalkan sikap asal siap manakala majikan wanita lebih teliti. Sebab itu, wanita dilabelkan cerewet, tegas dan kadangkala agak mengongkong.

Malah, kita perlu mengakui dunia ini memang didominasi lelaki sebab itu untuk maju wanita terpaksa menjadi lelaki iaitu mereka perlu lebih agresif dan ada kalanya tidak berhati perut. Mungkin pekerja lebih menghormati majikan sebegini. Ada juga yang berpendapat sekiranya majikan lelaki garang dan mendesak, ia sifat semula jadi lelaki tetapi sekiranya wanita bersikap sama, ia dianggap majikan kejam dan tidak seiring dengan sifat kewanitaan.

Mungkin juga, lelaki berasa keegoaan mereka tercabar dan tidak selesa sekiranya menerima arahan daripada wanita. Apa pun, tidak semua majikan wanita atau lelaki kurang disenangi. Majikan seharusnya bijak menangani sikap pekerja mereka. Setiap orang ada kerenah masing-masing dan sebagai majikan yang baik dan efisien, mereka perlu bersikap adil dan saksama selain menghormati di antara satu sama lain.

Majikan juga perlu ada garis sempadan dengan pekerja. Jangan terlalu tegas dan tidak juga terlalu mesra kerana mudah disalah erti terutama jika berbeza jantina, hatta boleh menjurus kepada perkara negatif dan pandangan serong orang keliling.

Tuesday, April 8, 2008

Epal ikon baru pelancongan Sarawak



MAC dan Jun adalah masa memetik epal di Ladang Buduk Nur, Ba Kelalan.
Pesta Epal setiap Mac dan Jun di Ladang Kampung Buduk Nur, Ba Kelalan tarikan istimewa pengunjung SUHU siang hari 25°C hingga 32°C manakala malam 15°C menjadikan Kampung Buduk Nur di Ba Kelalan, Lawas Sarawak memiliki keistimewaan. Kampung paling hujung di utara Sarawak yang bersempadan dengan Kalimantan Indonesia itu adalah lokasi 10 hektar ladang epal berjenama 'Ba Kelalan'. Mungkin anda tidak pernah terfikir, epal boleh ditanam secara komersial di Malaysia. Bagaimanapun di Buduk Nur, epal bukan saja menjadi ikon baru pelancongannya tetapi juga lambang kerjasama sekampung.

Sewaktu kumpulan media bertandang ke Buduk Nur, kami bukan saja disambut pemilik kebun epal, Tagal Paran, 74, dan ahli keluarganya malah penduduk kampung dan wakil rakyatnya Nelson Balang Rining yang menyambut dengan tarian selamat datang. Buduk Nur adalah satu daripada sembilan kampung di Ba Kelalan. Majoriti penduduknya suku kaum Lun Bawang (atau bermaksud Orang Gunung). Kedudukannya yang 2,900 kaki dari aras laut ditambah bentuk muka bumi bergunung ganang dan tanah tinggi berbalam, menjadikan cuaca Ba Kelalan sejuk dan sesuai untuk tanaman seperti epal, oren, avocado dan markisa. Walaupun jauh dari Kuching, Ba Kelalan dihubungi dengan penerbangan terus dari Miri ke Ba Kelalan menggunakan pesawat kecil ‘twin otter’ yang mengambil masa kurang 50 minit. Manakala dari Lawas, memandu ke Ba Kelalan sebaiknya menggunakan pacuan empat roda dan mengambil masa sekitar lima jam (bagi penduduk tempatan).

EPAL Ba Kelalan dijual RM10 sekilogram di ladang.

Bagaimanapun semua kepenatan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Miri dan Miri ke Ba Kelalan lenyap sebaik menjejakkan kaki ke Buduk Nur. Ladang epal milik Pak Tagal terletak di hujung landasan kapal terbang. Justeru awal-awal lagi kami sudah diingatkan perlu memanjat tangga untuk sampai ke sana. Ba Kelalan memang terkenal dengan pelancongan berasaskan alam semula jadi dan cabaran. Justeru, memanjat tangga bukanlah terlalu sukar. Apatah lagi wartawan yang mengikuti rombongan anjuran Tourism Malaysia dan Borneo Jungle Safari itu ketika itu sudah bermandi peluh dan hujan dalam aktiviti merentas hutan sebelum ke ladang epal. Selain kedudukan ladang epal yang sedikit tinggi dari kawasan lain di Buduk Nur, ia juga turut bersempadan dengan sawah padi, antara punca rezeki utama penduduk di sini.
Dari jauh kelihatan pokok epal ditanam berbaris dan tumbuh dengan ketinggian di paras bahu lelaki dewasa. Bagaimanapun, mungkin waktu kami tiba di Ba Kelalan bukanlah masa yang baik. Selain buah epal yang sudah hampir habis dipetik dari ladang atas faktor kualiti dan tujuan komersial, hujan juga turun renyai. Mujur juga hujan tidak lebat membolehkan kami ‘berpesta epal’. Ada kira-kira 2,000 pokok ditanam di situ. Manakala ada empat jenis epal dikeluarkan, epal merah yang dikenali sebagai ‘Rome Beauty’ epal kuning kehijauan ‘Mana Lagi’, epal hijau ‘Granny Smith’ dan sejenis lagi epal merah dikenali sebagai ‘Anna’. Antara empat jenis itu, Rome Beauty boleh dikatakan agak lasak. Walaupun digolongkan sebagai epal merah, ia tidak merah sepenuhnya tetapi bercampur hijau. Apatah lagi saiznya lebih besar berbanding yang lain, ia lebih menjadi pilihan di kalangan pelancong yang membelinya sebagai buah tangan. Walaupun sedikit masam, tetapi Rome Beauty rangup berbanding Anna sejenis lagi epal merah yang bersaiz kecil dan sangat lembut seperti sutera. Anna bagaimanapun dipasarkan di bandar terdekat saja kerana ia mudah lebam jika dibiarkan terlalu lama selepas dipetik. Manakala epal jenis Granny Smith adalah kacukan benih dari Australia yang dibawa balik bakanya oleh seorang daripada lima anak Pak Tagal, Mendiang Dr Judson Sakai Tagal, bekas Menteri Muda Pembangunan, Infrastuktur dan Komunikasi Sarawak yang terbunuh dalam nahas helikopter pada Julai 2004. Antara empat jenis yang ditanam, epal Mana Lagi cukup menarik perhatian. Kata Pak Tagal, benih asal Mana Lagi dibawa dari Batu Malang di Indonesia sebelum dikacukkan dengan benih epal lain. Warnanya kuning kehijauan dan baunya harum jika sudah cukup tua. Kata Pak Tagal, ada cerita tersendiri di balik nama Mana Lagi. Kononnya, di Batu Malang seorang pelancong menyukai keenakan dan kerapuhan epal Mana Lagi dan bertanya mana lagi? mana lagi? dan akhirnya nama itu melekat. Satu ketika dulu, ladang itu ditanam dengan lapan jenis epal. Bagaimanapun, atas faktor kualiti, ia dihadkan kepada empat jenis saja. “Epal yang ditanam sekarang yang terbaik dari lapan jenis. Dulu kami berhadapan dengan masalah buah epal yang cepat buruk dan lebam dan sukar dipasarkan,” katanya. Epal Ba Kelalan kata Pak Tagal, akan dipetik dua kali setahun iaitu Mac dan Jun. Memetik epal bukan hanya kerja keluarga dan pekerja saja, tetapi bagaikan pesta untuk seluruh penduduk Kampung Buduk Nur. Malah sesekali acara itu disertai pelancong tempatan dan turut menjadi tumpuan segelintir pelancong Eropah. Biasanya sepohon pokok epal mengeluarkan hampir 300 biji. Setiap kali musim memetik epal tiba, ladang itu boleh menghasilkan hampir satu tan biji epal. Bagaimanapun jumlah itu tidak mencukupi bagi memenuhi permintaan. Selain dijual di sekitar kampung, epal Ba Kelalan turut dijual di Lawas, Limbang dan Kota Kinabalu. Kata Pak Tagal, jumlah itu belum ditolak epal yang kurang kualitinya dari segi saiz dan bentuk Epal begitu tidak akan dipasarkan sebaliknya dijadikan jus dan jem. Menyedari Buduk Nur semakin dikenali sebagai lokasi tanaman epal di Malaysia, ia menerima makin ramai pelancong setiap tahun. Justeru bagi memastikan epal sentiasa ada di Ba Kelalan dan pelancong boleh datang dan memetiknya di luar musim, Pak Tagal dan Mutang sedang berusaha untuk menambahkan keluasan ladang. Begitupun usaha itu kata Mutang, mungkin sukar kerana masalah kekurangan pekerja. Kebanyakan anak muda di Buduk Nur lebih berminat bekerja sendiri atau berhijrah ke bandar berhampiran seperti Lawas selain bekerja di Brunei dan Kuala Lumpur. Selain itu, kebanyakan warga Ba Kelalan lebih tertumpu pada penanaman padi. Beras di Ba Kelalan adalah beras berkualiti yang cukup terkenal dengan nama Beras Bario. Ketika ini Pak Tagal mengusahakan ladang epal dengan bantuan Mutang dan beberapa pekerja mahir yang dibawa dari Indonesia. “Untuk mendapatkan hasil yang baik, masa penanaman epal itu penting. Penghasilan epal juga bergantung pada cuaca. Walaupun epal mungkin hanya boleh ditanam di kawasan suhu tertentu tetapi ia masih memerlukan matahari. Jika kerap hujan, sukar untuk pokok menghasilkan banyak buah. Tetapi kalau hujan sedikit, pokok dapat dipangkas dan buah lebih banyak,” katanya. Kata Pak Tagal, kos penyelenggaraan ladang mencecah antara RM10,000 ke RM15,000 setahun termasuk membeli ubat dan baja. Info Jika anda berminat menyertai Pesta Epal Ba Kelalan Jun ini, Penerbangan Malaysia menyediakan perkhidmatan twin otter terus dari Miri ke Ba Kelalan setiap hari Rabu manakala pakej percutian Pesta Epal Ba Kelalan ada disediakan oleh Borneo Jungle Safari di talian 03-22604981 (Kuala Lumpur) atau 08-5435736/08-419737 (Miri). Benih Mana Lagi dibawa dari Indonesia SEJARAH tanaman epal di Ba kelalan bermula ketika Andrew Balang Paran, 71, menyertai majlis keagamaan di Batu Malang, Indonesia pada 1974. Kata Andrew, dia teruja melihat kebanyakan penduduk di Batu Malang ketika itu menanam pokok epal di tepi rumah mereka seperti menanam pokok betik. “Ia kelihatan sangat mudah dan pokok epal itu sangat subur,” katanya. Terlintas di hati Andrew untuk membawa balik benih epal berkenaan dan menanamnya di kampung halamannya, Buduk Nur, Ba Kelalan, Lawas kerana cuacanya yang hampir sama. Andrew tidak perlu membeli benih epal Mana Lagi yang dibawanya dari Batu Malang. Sebaliknya ia diberi percuma oleh rakan-rakannya di Batu Malang. Selepas mendapat kelulusan Jabatan Pertanian Indonesia, Andrew membawa balik 20 anak benih epal menerusi Singapura sebelum tiba di Kuching dan akhirnya sampai di Buduk Nur. “Perjalanannya sangat jauh tetapi dalam hati saya sentiasa ingin mencuba menanam epal dan melihat hasilnya,” katanya yang ditemui ketika Pesta Epal Ba Kelalan, baru-baru ini. Andrew berkata, ketika di lapangan terbang, seorang pegawai kastam dengan sinis bertanya: Bolehkah pokok epal di tanam di sini? Beliau ketika itu hanya menjawab akan mencubanya. Setahun selepas ditanam, walaupun pokok epal itu tumbuh subur dan membesar, ia tidak berbuah. “Saya hampir putus asa dan meminta pertolongan daripada Jabatan Pertanian,” katanya. Ketika itu Jabatan Pertanian banyak memberi bantuan seperti baja dan mengacukkannya dengan epal jenis lain. Bagaimanapun, tiga tahun menanti pokok epalnya masih tidak berbuah. Andrew akhirnya putus asa dan tidak mahu menjaganya. Deretan pokok epal yang hidup subur tetapi tidak berbuah itu diserahkan pada abangnya Tagal Paran pada 1977. “Waktu itu saya sudah tidak mahu jaga lagi dan serahkan pada abang. Saya katakan padanya buatlah apa saja dengan pokok itu. Kalau pokok epal itu berbuah di bawah jagaannya, itu rezeki dialah,” katanya. Di tangan abangnya Tagal Paran, kebun epal yang asalnya hanya ditanam dengan 20 batang pokok itu diluaskan. Banyak baka epal dari luar negara selain Indonesia dibawa masuk. Malah, Andrew dan mendiang anak saudaranya, Datuk Dr Judson Sakai Tagal turut ke Australia dan Indonesia untuk membeli benih pokok epal. Setahun selepas diserahkan kepada abangnya, pokok epal itu mula berputik dan berbuah. Andrew menyifatkan dirinya masih bertuah walaupun pokok epal itu bukan lagi di bawah jagaannya tetapi dia masih berpeluang melihat ladang itu berkembang dan hari ini menjadi ikon pelancongan di Ba Kelalan. Info Epal Ba Kelalan

Ladang epal Ba Kelalan terletak di Kampung Buduk Nur, Lawas, Sarawak
Ladang berkeluasan 10 hektar itu dimiliki oleh Tagal Paran.
Suhu di Buduk Nur adalah, 25°C hingga 32°C (pada siang hari) manakala malam 15°C.
Terdapat kira-kira 2,000 pokok ditanam di situ.

Ada empat jenis epal yang ditanam, 'Rome Beauty', 'Mana Lagi', 'Granny Smith' dan 'Anna'.
Setiap kali musim memetik epal tiba, ladang itu boleh menghasilkan hampir satu tan biji epal
Kos penyelenggaraan ladang mencecah antara RM10,000 ke RM15,000 setahun termasuk membeli ubat dan baja.