Wednesday, May 28, 2008

Hidup sederhana bantu lestari alam

Kehidupan moden berasas gaya dorong permintaan, pengeluaran tak seimbang

KEHIDUPAN moden kini penuh dengan kepelbagaian dan kerencaman. Dalam segala aspek kehidupan kita mempunyai banyak pilihan. Dari satu segi, hal ini memudahkan kita membuat pilihan yang sesuai dengan keperluan, cita rasa, sumber kewangan dan minat masing-masing.

Harga juga menjadi faktor pendorong kita membuat pilihan sesuatu barang dan perkhidmatan, selain mewujudkan persaingan sengit di kalangan pengeluar dan peruncit.

Persaingan ini menguntungkan pengguna dengan penawaran harga lebih kompetitif. Selain harga, persaingan juga membuka peluang pemasaran menerusi pelbagai media dan strategi. Inilah yang menyuburkan perkembangan fahaman kepenggunaan yang tidak lagi diasaskan kepada keperluan, tetapi turut diwarnai cita rasa, minat, gaya, imej, trend dan ikutan.

Kadangkala kita terpaksa akur dengan gaya dan model terkini biarpun bukan keperluan asas. Dari semasa ke semasa dengan publisiti dan strategi pemasaran agresif kita semakin bergantung kepada kemudahan, peralatan, perkhidmatan canggih dan gaya terkini.

Sekadar contoh, saya tidak lagi menggunakan pena untuk menulis artikel, surat apatah lagi buku sejak lebih 10 tahun lalu. Pena hanya digunakan untuk membuat catatan ringkas atau menandatangani surat.

Dengan kata lain, saya memerlukan komputer untuk menulis dan menyimpan rekod serta maklumat. Perkakasan komputer juga semakin terkini dan canggih.

Saya tidak lagi boleh menggunakan komputer meja (desktop) sebab sebahagian besar masa menulis tidak lagi di pejabat atau di rumah, sebaliknya bergantung kepada ruang masa yang ada.
Oleh itu, komputer riba menjadi satu keperluan. Disebabkan bahu saya selalu sakit, maka berat komputer riba mestilah ringan, tidak lebih 1.2 kilogram (kg). Perisian pula lebih spesifik dan mestilah boleh dipindahkan menerusi kemudahan internet.

Begitu juga dengan urusan lain dalam kehidupan. Ia menjadi semakin beraneka, rencam dan canggih. Hal ini begitu ketara dalam bidang perdagangan, pendidikan, komunikasi, pengangkutan dan pemakanan. Memang diakui bahawa kerencaman dan kecanggihan ini banyak kelebihan dan manfaatnya. Urusan hidup menjadi lebih cepat, mudah, 'sempurna, dan bergaya, walaupun perlu diteliti dari segi keberkesanan dan kosnya.

Namun, kepelbagaian dan kerencaman ini juga menyebabkan hidup kita semakin sukar dan sering melelahkan. Kita terpaksa mengikuti perkembangan sesuatu kemudahan, peralatan atau perkhidmatan untuk membolehkan kita tidak ketinggalan zaman, walaupun ia bukan satu keperluan, apatah lagi satu kewajipan.

Biasanya kita menukar peralatan seperti telefon bimbit, jam atau kamera setiap dua atau tiga tahun sekali. Bagi mereka yang prihatin dan mengikuti gaya dan perkembangan terkini, hampir setiap tahun bertukar model baru. Begitu juga dengan pakaian, komputer dan perabot. Ada hartawan pula kerap menukar kereta model terbaru biarpun kereta lama masih baru digunakan.

Dari perspektif ekonomi, keadaan ini dianggap baik dan merangsang pertumbuhan ekonomi. Konsumerisme sedemikian menyumbang ke arah peningkatan gaya hidup lebih kompetitif. Tandanya masyarakat semakin maju dan mewah. Dari perspektif pelestarian alam pula, konsumerisme sedemikian ada kekangannya.

Dengan cara hidup berasaskan cita rasa dan gaya terkini bukan suatu keperluan mendorong pengeluaran dan permintaan yang tidak lestari. Memang sistem kapitalisme tidak menyekat aktiviti ekonomi asalkan ada persetujuan antara pengeluar dengan pengguna. Namun, jika permintaan berlebihan, maka kesannya akan ketara kepada pelestarian sumber, sama ada sumber asli atau sumber boleh diperbaharui.

Dalam hal ini, kita perlu melihat prinsip pengurusan alam sekitar, iaitu semakin banyak barang dihasilkan semakin banyak sumber alam digunakan untuk membekalkan bahan mentah dan keperluan operasi. Jika bahan mentah terpaksa diproses terlebih dulu seperti membuat benang dan pewarna bagi menghasilkan pakaian, maka semakin banyak sumber diperlukan. Sumber itu termasuk bahan mentah asli, tenaga, elektrik, air dan sebagainya, kemudian diproses untuk dijadikan barang siap untuk dijual.

Biasanya pakar alam sekitar akan menentukan tahap kelestarian sesuatu barang menggunakan kaedah analisis kitaran hayat (AKH). Dari perspektif lebih luas, analisis tapak ekologi (ATE) digunakan untuk menilai komitmen kita terhadap kehidupan lestari. ATE bertujuan mengukur permintaan sumber alam merangkumi air, mineral, kayu, bahan binaan, biojisim dan sebagainya dengan membandingkan terhadap keupayaan ekosistem untuk menghasilkannya semula (regenerasi).

Pada asasnya, ATE adalah anggaran keluasan tanah dan air diperlukan seseorang manusia apabila menggunakan sesuatu produk atau perkhidmatan dengan membandingkan keupayaan sumber alam menghasilkan semula sumber itu. Tapak ekologi per kapita (gha per kapita) adalah cara menentukan penggunaan sumber secara relatif mengenai konsep keupayaan menanggung ekosistem dan lebihan penggunaan.

Konsep tapak ekologi juga semakin lumrah digunakan untuk mendidik orang ramai menghayati cara hidup lebih lestari. Ketika ini, secara global ATE menunjukkan penggunaan sumber mengatasi lebih 23 peratus berbanding dengan kadar regenerasi sumber. Secara purata, setiap warga dunia mempunyai 1.9 gha per kapita bagi pembangunan lestari.

Menurut laporan Global Footprint Network pada 2006, tapak ekologi di United Kingdom ialah 5.6, berbanding Australia 6.6, Jepun 4.4, Jerman 4.5, China 1.6, India 0.8 dan Malaysia 2.2 gha.

Kenapa negara maju mempunyai tapak ekologi lebih tinggi berbanding kebanyakan negara membangun?

Warga negara maju hidup secara mewah dari segi penggunaan sumber, sementara cara hidup sederhana seperti anjuran agama dan falsafah lestari semakin terhakis. Wang lebihan digunakan untuk berlibur, bercuti dan berhutang lagi.

Mereka tidak lagi membeli, melanggan dan menggunakan sesuatu barang, perkhidmatan atau apa saja kegiatan hidup berasaskan kepada keperluan hidup, sebaliknya hanya kepada cita rasa, minat, gaya, imej dan trend semasa.

Konsep konsumerisme hijau dan tapak ekologi mengajar kita memahami bahawa falsafah dan cara hidup memainkan peranan penting dalam kelangsungan kehidupan lestari. Kita bukan saja tidak boleh mencemarkan alam sekitar dengan pelbagai buangan, memusnahkan sistem ekologi dan hutan, malah kita juga perlu hidup secara sederhana.

Makan apabila lapar, membeli apabila tiada dan memikirkan kesejahteraan sejagat melebihi kepentingan individu.

Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Masyarakat perlu ubah tabiat makan

Kenaikan harga beras sehingga 50 peratus baru-baru ini amat dirasai oleh penduduk Malaysia. Apa tidaknya, ini kerana nasi adalah makanan ruji kita. Lebih memeritkan lagi ialah kenaikan harga barang keperluan lain seperti sayur-sayuran, susu tepung dan minyak masak.
Kenaikan harga barang ini turut disokong oleh peningkatan Indeks Harga Pengguna sebanyak 2.7 peratus bagi tempoh Januari hingga April 2008 berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto AZLI AHAD menemu bual Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma’amor Osman bagi mengupas isu ini.
MEGA: Apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh pengguna dalam menghadapi situasi kenaikan harga barang yang berlaku sekarang?
DR. MA’AMOR: Pada asasnya, isu kenaikan harga barang, kekurangan barang keperluan dan sikap peniaga, memerlukan perubahan dari segi sikap pengguna.
Realitinya, penduduk China dan India yang dulu dikategorikan miskin kini sudah ada kemampuan membuat permintaan terhadap produk yang lebih baik.
Kedua, hal seperti pemanasan global, kekurangan kawasan pertanian dan peningkatan kos menghasilkan pertanian serta minat terhadap sektor perladangan yang semakin menurun adalah antara punca berlakunya krisis makanan hari ini.
Selain itu, sejarah negara yang dijajah selama 446 tahun berjaya mendoktrinkan yang pertanian itu kotor, tidak menguntungkan dan kita perlukan perindustrian untuk maju.
Pastinya, ini agak terkeluar daripada rangsangan Islam di mana Rasulullah SAW sangat menekankan kepentingan pertanian. Pertanian pula bukan sahaja bercucuk-tanam tetapi merangkumi binatang ternakan.
Rasulullah bersabda, “Sekiranya hari kiamat hendak terjadi, sedangkan di tangan salah seorang antara kalian ada biji kurma dan dia mampu menanamnya sebelum terjadi kiamat, maka hendaklah dia menanamnya.” (riwayat Imam Ahmad dan Imam Bukhari).
Persoalannya, adakah minda kita juga dijajah sehingga kita tidak mampu mencapai tahap pertanian sara diri sebagaimana di Amerika Syarikat (AS) dan Britain yang menyediakan subsidi besar kepada pertanian.
Untuk itu, kita perlu mengambil langkah yang realistik. Sebenarnya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memberi penekanan kepada sektor pertanian sejak mengambil alih pemerintahan negara pada Oktober 2003.
Bagaimanapun, kadar pertumbuhan pertanian ini agak lambat. Ia mungkin perlukan tempoh 10 tahun untuk melihatnya lebih signifikan. Oleh sebab itu, kini kita perlu memikirkan cara untuk mempercepatkan pertumbuhan pertanian.
Saya lebih suka mencadangkan agar subsidi beras itu diguna bagi membangunkan infrastruktur pertanian terutama padi supaya kita boleh mencapai tahap sara diri. Pada masa yang sama kita boleh mengurangkan import beras.
Kita perlu ada pelan Keselamatan Makanan Kebangsaan kerana apabila terlalu bergantung kepada import, kita akan menghadapi masalah apabila berlaku wabak atau perang. Setiap negara pengeluar makanan sudah tentu pentingkan rakyat mereka sendiri daripada mengeksport.
Sebagai pengguna, kita perlu membetulkan sikap. Apa yang diperlukan ialah karbohidrat. Dan tidak semestinya kita hanya makan nasi atau gandum untuk dapatkannya. Ia boleh diperoleh dalam bentuk lain iaitu dengan makan ubi kayu atau keledek. Bukan kita nak makan keledek ini setiap hari tetapi memadai dua atau tiga kali seminggu. Soalnya, kita perlu mendidik orang ramai dalam bab ini.
Salah satu penyebab kekurangan makanan ialah keengganan mengusahakan tanah. Dilaporkan terdapat kira-kira 280,000 hektar tanah terbiar seluruh negara. Kebanyakan tanah ini adalah kepunyaan orang Melayu atau tanah pusaka.
Menurut penemuan kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pada tahun 2006, didapati bahawa 20,000 tan sisa kumbahan dijana setiap hari yang mana 45 peratus daripadanya adalah makanan terbuang. Adakah ini bermaksud masyarakat kita suka membazir?
DR. MA’AMOR: Saya setuju dengan hasil kajian CAP ini. Kita dapat lihat pembaziran berlaku lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan. Ini jelas apabila kita memilih sajian bufet untuk berbuka puasa. Sikap suka membazir ini sangat sukar dibuang.
Allah berfirman, Sesungguhnya orang yang boros (suka membazir) itu adalah saudara syaitan...(al-Israk: 27)
Apabila berlaku pembaziran maka wujudlah reverse cycle. Lebihan makanan itu dibuang dalam longkang, longkang jadi tersumbat dan mendorong pembiakan makhluk perosak seperti lalat, nyamuk dan tikus yang membawa vektor penyakit.
Memanglah kalau menuding jari dalam bab pembaziran ini tidak akan selesaikan masalah. Kita perlukan kepada pendekatan pendidikan, insentif dan hukuman kepada masyarakat. Insentif diberikan kepada syarikat atau pengusaha yang mengamalkan kebersihan dan kitar semula seperti mereka diberi rating yang lebih baik berbanding saingan mereka.
Saya percaya tokoh agama boleh memainkan peranan dalam hal ini. Mereka tidak kira agama apa pun boleh mengajar penganutnya supaya berjimat-cermat. Dalam Islam memang perkara ini sudah lama diketahui cuma persoalannya bagaimana ia hendak dilaksanakan.
Di Malaysia, orang kita mati kerana terlebih makan. Apa komen Datuk?
DR. MA’AMOR: Dalam bab makan ini Allah telah memberi peringatan dalam firman-Nya: “Dan makanlah dan minumlah, dan jangan kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.” (Al-A’raf: 31).
Ada beberapa penyakit yang berkaitan dengan budaya pemakanan kita. Antaranya ialah diabetis, obesiti, hipertension dan rendah imuniti.
Sebab itu Islam menekankan kepada aspek pencegahan. Ini dijelaskan menerusi firman Allah, “... Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan...” (al-Baqarah: 195)
Umat Islam sepatutnya menjadi contoh dalam bab makan ini. Sebab Islam amat mementingkan pencegahan daripada kebinasaan termasuklah serangan penyakit yang diperolehi (acquired).
Penyakit oro-faecal pula adalah akibat pemakanan yang kurang bersih. Antaranya ialah cirit birit dan penularan cacing pada kanak-kanak. Pemakanan mustahak kerana ia menjamin hidup yang selesa dan bahagia.
Dalam menghadapi krisis sekarang, adakah pengguna di negara ini mempunyai ‘kuasa’ untuk menghalang cubaan menaikkan harga oleh para peruncit?
DR. MA’AMOR: Pengguna perlu memberi mesej yang betul kepada peniaga. Jika pengguna bersatu, insya-Allah kita ada ‘kuasa’ untuk menghalang perbuatan segelintir peniaga yang suka membuat untung atas kesengsaraan orang lain.
Pengguna juga perlu merancang perbelanjaan mereka. Membeli ikut keutamaan bukan ikut perasaan. Jangan mudah percaya dengan khabar angin sehingga cetuskan pembelian panik. Ini membuka peluang kepada peniaga ambil kesempatan menyorok barang dan menjualnya dengan harga yang lebih tinggi.
Pada masa yang sama, kelemahan penguatkuasaan perlu diatasi. Kita mempunyai Akta Anti Sorok dan juga Akta Perdagangan Adil yang patut dikembangkan dalam menangani masalah ini.
Pada masa yang sama, perlu dielak monopoli. Kadang-kadang kita perlukan saingan untuk mendapatkan sumber seperti gula dan beras yang pelbagai.
Sudah pasti, tugas PPIM lebih berat dalam situasi sekarang. Adakah pengguna di Malaysia kini lebih peka dengan hak mereka?
DR. MA’AMOR: PPIM sudah berusia 12 tahun. Kalau dulu pengguna ini lihat dan percaya tetapi kini bertukar kepada lihat dan terpedaya (seeing is deceiving).
Ini menyebabkan pengguna diberi gambaran salah sehingga mengambil tindakan yang tidak bijak.
Apa yang jelas, penyertaan pengguna masih jauh daripada jangkaan aktivis pengguna. PPIM yang ditubuhkan atas dasar Islam, turut menekankan kepada tanggungjawab pengguna. Sebabnya, ramai yang suka salahkan orang lain tetapi apabila kita ajak mereka sama-sama bertanggungjawab mereka mengelak.
Saya menyeru masyarakat pengguna di negara kita agar bersatu. Kalau tidak bersatu memang nampaknya kita tidak berkesan. Saya menjangka lagi lima tahun kita dapat kesan yang lebih efektif.

Doktor langgar etika mesti dihukum berat

MENTERI Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai semalam menegaskan bahawa kementeriannya memandang serius kes seorang doktor dan jururawat yang terlibat dalam kegiatan memperdagangkan bayi.
Pihaknya tidak akan teragak-agak untuk segera merujuk kes tersebut kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) untuk dikenakan tindakan termasuk dibatalkan keahlian mereka.
Demi memperoleh keuntungan dan kemewahan hidup yang cepat, kita kesal dengan tindakan doktor terbabit yang sanggup mencemar profesion perubatan melakukan perbuatan itu.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bidang perubatan di negara kita seringkali dicabar dengan pelbagai kes kecuaian dan pengabaian yang berlaku kepada kepada para pesakit yang mendapat rawatan di klinik dan hospital.
Ada banyak kes yang terpaksa dirujuk kepada pihak atasan dan tidak kurang pula yang terpaksa naik turun mahkamah bagi mencari titik penyelesaian.
Ditambah pula dengan kes terbaru ini yang sama sekali tidak harus berlaku kepada seorang doktor yang selama ini berpegang kepada etika kedoktoran yang ketat.
Perbuatan yang tidak bermoral dan melanggar etika ini bukan saja bertentangan sebagai seorang doktor, malah sikap kemanusiaan dalam diri doktor sebegini.
Sebelum ini ada juga laporan akhbar yang mendedahkan tentang penglibatan segelintir doktor di klinik-klinik swasta dengan penjualan ubat batuk khusus kepada para penagih ubat tersebut di beberapa bandar di Selangor.
KepercayaanApa yang berlaku ini sudah tentu menggusarkan orang ramai yang selama ini menaruh kepercayaan kepada semua doktor agar dapat memberi perkhidmatan kesihatan terbaik dalam profesion mereka.
Biarpun hanya seorang dua doktor yang terlibat, kesannya akan terpalit kepada kepada semua yang terbabit dengan bidang kedoktoran dan perubatan di negara ini.
Kita menyeru pihak bertanggungjawab terutamanya MMC agar segera mengambil tindakan kepada mana-mana doktor yang terbabit dengan kes jenayah ini.
Bukan saja sindiket menjual bayi dan ubat batuk, tetapi juga apa-apa perbuatan lain termasuk menjual ubatubatan tanpa preskripsi perubatan, agar para pengguna yang selama ini meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap para doktor tidak lagi ragu-ragu dan gusar untuk mendapatkan rawatan daripada mereka.
Bagi para doktor pula, mereka hendaklah sanggup menghadapi apa jua risiko termasuk dibawa ke muka pengadilan kerana sengaja menidakkan kepercayaan orang ramai dengan melibatkan diri dalam apa jua perbuatan yang boleh membawa mudarat dan keselamatan masyarakat umum.
Ilmu kedoktoran yang dimiliki tidak seharusnya dirosakkan semata-mata kerana mengejar pendapatan lebih dan kemewahan hidup dengan melakukan perbuatan jenayah yang amat tidak selari dengan kerjaya mereka.
Media juga diseru agar tidak menyembunyikan kesalahan doktor dan jururawat yang terbabit dalam kes jenayah ini. Dedahkan perbuatan mereka agar diketahui orang ramai, supaya memberi peringatan kepada para doktor yang lain agar tidak mengulangi kesalahan serupa.

Perlu imbangi kenaikan harga minyak

KENAIKAN harga minyak sehingga melebihi paras AS$135 setong menyebabkan semua orang gelisah. Ia merupakan fenomena global yang dirasai hampir seluruh negara di dunia. Ia juga menjadi isu yang amat sensitif di Malaysia yang juga adalah negara pengeluar minyak.
Sekarang dalam keadaan harga minyak meningkat hampir 50 peratus, penganalisis ekonomi, politik dan penyelidik mulai mencurigai kemampuan Malaysia menanggung subsidi yang diberikan kepada bahan api negara. Mereka menjangka bahawa sudah tiba masanya bagi Malaysia menimbang semula dan bergerak sekali lagi untuk merombak harga minyak sedia ada.
Sebelum jangkaan ini menjadi kenyataan, kita mungkin boleh membuat sedikit analisis tentang kesannya kepada ekonomi dan rakyat secara umum berasaskan apa yang berlaku mutakhir ini.
Pada kali terakhir harga minyak dinaikkan dahulu, kita dapati banyak harga barang lain naik, termasuk harga tambang perkhidmatan awam. Kalau dahulu Perdana Menteri sentiasa mengingatkan para pengusaha supaya tidak menaikkan harga barangan 10 peratus kalau minyak naik 10 peratus, tetapi pada kali terakhir harga minyak dinaikkan kita dapati harga barang lain meningkat tidak menentu. Bahkan ada barangan yang peratus kenaikannya melebihi peratusan kenaikan harga minyak tanpa dapat dikawal.
Industri perumahan pada waktu ini terjejas teruk kerana kenaikan harga besi. Ada ramalan di kalangan para pemaju bahawa sekiranya kerajaan tidak mengawal dengan baik, harga rumah mungkin akan terus melambung sehingga 30 peratus berikutan kenaikan harga besi dan simen.
Ini ditambah lagi dengan kemelut kekurangan beras dan makanan asasi dunia. Sebagaimana yang kita tahu, kenaikan harga beras hampir sekali ganda. Kalau dahulu beras yang biasa kita makan boleh dibeli dengan harga RM20 satu kampit sepuluh kilogram, sekarang ia sudah menjadi RM38. Adalah tidak mustahil sekiranya satu kenaikan lagi diberikan untuk harga minyak di Malaysia, harga sekampit beras yang kita beli RM38 hari ini menjadi RM50. Apa agaknya kesan kepada isi rumah yang berpendapatan RM1,000 sebulan dengan anak yang melebihi dua orang? Ini sudah tentu suatu beban yang amat berat.
Kita boleh bicara mengenai diskriminasi harga dengan hanya memberi subsidi minyak kepada golongan berpendapatan rendah. Tetapi mampukah kita memberi subsidi kepada harga barangan lain yang akan naik berikutan kenaikan harga minyak? Saya percaya hal ini merupakan suatu perkara yang perlu difikirkan secara serius dan cermat. Kalau kita tidak mampu melakukan pengawalan yang berkesan, sudah pasti golongan berpendapatan rendah akan tetap menerima nasib yang lebih buruk kerana inflasi.
Kalau minyak menjadi isu penting kepada parti pembangkang dahulu, kita jangan ingat ia akan mati dengan berakhirnya pilihan raya ke-12 baru-baru ini. Ia akan terus bergelora kerana kita juga adalah pengeluar minyak. Negara pengeluar selalunya mampu menawarkan pada paras harga yang rendah berbanding negara pengimport. Perbandingan ini boleh dibuat dengan negara Brunei dan negara-negara Arab.
Seandainya kita terpaksa membayar lebih apabila mengimport minyak, namun Petronas juga akan menerima pendapatan yang lebih lagi apabila mengeksport minyaknya yang lebih berkualiti. Jika tahun lalu Petronas mendapat untung RM80 bilion, tidak mustahil Petronas akan memperoleh untung RM150 bilion dan mampu membantu meningkatkan pendapatan negara.
Selain itu, harus diingat bahawa ringgit Malaysia semakin kukuh. Jadi, meskipun harga minyak naik pada nilai dolar Amerika Syarikat tetapi Malaysia dapat membelinya pada harga yang lebih baik kerana nilai mata wangnya yang semakin meningkat di akhir-akhir ini. Jika ditambah dengan pelbagai hasil kerajaan daripada perkembangan ekonomi secara keseluruhan, semua ini bermakna kerajaan memang berupaya meneruskan subsidi tanpa mengorbankan pembangunan negara yang mapan.
Kita tidak seperti negara lain yang mana apabila harga minyak dinaikkan boleh membawa kepada rusuhan. Namun wajarlah pakar ekonomi, para penyelidik dan pihak kerajaan berfikir panjang sebelum mengambil apa-apa tindakan.
Apa yang kita harus ingat ialah minyak merupakan ibu bagi segala barangan dan perkhidmatan. Kenaikannya boleh mencetuskan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan lain yang mungkin lebih buruk daripada kesan kenaikan harga minyak semata-mata. Kalau fulus mereka yang berpendapatan rendah tidak mampu ditingkatkan, tindakan menaikkan harga minyak boleh menyukarkan kehidupan mereka, sekalipun ia dibuat dalam bentuk subsidi kepada golongan berpendapatan rendah.

Berhenti kongsi subsidi dengan warga asing

ISU penduduk negara jiran turut menikmati subsidi minyak dan barangan keperluan lain seperti gula sememangnya telah lama diperkatakan.
Baik secara sah di sisi undang-undang mahu pun secara haram, penduduk di negara jiran sememangnya tidak melepaskan peluang untuk menikmati keistimewaan tersebut.
Bukan baru sekarang kita mendengar rakyat negara jiran terutama di sempadan negara membeli petrol dan diesel bersubsidi.
Begitu juga dengan kegiatan penyeludupan barangan kawalan yang disubsidi harganya oleh kerajaan seperti gula ke Indonesia dan Thailand.
Kesemuanya itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Malaysia kerana keistimewaan yang sepatutnya terhad kepada penduduk di sini terpaksa dikongsi dengan orang lain.
Itu belum lagi diambil kira 'perkongsian subsidi' dengan warga asing yang menetap di negara ini baik secara sah mahu pun secara haram.
Tiada peraturan yang mensyaratkan warga asing membeli tepung, beras atau gula pada kadar yang terhad, malah mereka bebas membeli sebanyak mana yang diperlukan.
Kita sendiri lihat bagaimana kalangan warga asing menikmati kos perubatan yang murah harganya di hospital-hospital kerajaan dan klinik-klinik desa. Sedangkan secara dasarnya mereka tidak layak berbuat demikian tetapi didorong oleh sikap perikemanusiaan, maka mereka diberi kelonggaran untuk berbuat demikian.
Pendek kata dalam meneruskan kelangsungan hidup dan menikmati keistimewaan harga subsidi, rakyat Malaysia terpaksa bersaing dengan warga asing serta penduduk di negara jiran.
Ada ketikanya demi mengisi tembolok penduduk di negara jiran yang sanggup menawarkan harga lebih, kita terpaksa menanggung risiko ketiadaan bekalan seperti yang terjadi dalam kes kekurangan bekalan gula dan minyak masak.
Justeru keputusan kerajaan melarang semua stesen minyak di sempadan Thailand dan Singapura menjual petrol dan diesel kepada kenderaan asing sewajarnya dikuatkuasakan dengan cekap dan berkesan.
Kita tidak mahu larangan dikeluarkan tetapi mekanismenya tidak sempurna menyebabkan masih ada ruang untuk larangan tersebut disalahgunakan.
Lebih penting lagi penempatan anggota penguatkuasa di kawasan yang telah dikenal pasti mesti disegerakan supaya pemantauan dapat dijalankan agar larangan tersebut benar-benar dipatuhi.
Para peniaga mempunyai pelbagai strategi untuk 'menjaga hati jiran', oleh itu penyeliaan terhadap operasi pengusaha stesen minyak di sempadan Thailand dan Singapura mesti dilakukan secara bersungguh-sungguh.
Sebarang taktik untuk terus membekalkan petrol dan diesel kepada 'pelanggan setia' mereka hendaklah diselidiki selain setiap pengusaha diberi kesedaran untuk bersikap patriotik.
Setiap janji kerajaan untuk mengenakan hukuman berat kepada pengusaha stesen yang melanggar larangan tersebut hendaklah dilaksanakan agar menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Subsidi hanya untuk golongan memerlukan

APABILA kerajaan melarang semua stesen minyak di sempadan Thailand dan Singapura menjual petrol dan diesel kepada kenderaan berdaftar dari negara-negara terbabit berkuat kuasa Jumaat ini, ia perlu dilihat secara tepat dan wajar.
Kewajarannya ialah langkah sedemikian dapat memastikan minyak subsidi tidak sewenang-wenangnya dibeli oleh rakyat negara jiran yang pasti akan mengambil kesempatan daripada keistimewaan tersebut.
Barangkali dari satu sudut, ada yang berpandangan bukan satu kesalahan kepada pelancong dari negara jiran yang berkereta melancong ke negara ini untuk mengisi minyak kenderaan mereka.
Cuma, mereka hanya tidak dibenarkan datang ke negara ini dengan tangki minyak separuh kosong atau tangki 'reserve' semata-semata dan pulang semula ke negara mereka dengan 'minyak yang cukup'.
Kalau dilihat sejarah, Singapura sebenarnya sudah lama mengaplikasikan sistem dan menguatkuasakan undang-undang bagi kenderaan mereka yang ingin memasuki Malaysia.
Pihak berkuasa Singapura memastikan dengan tegas kenderaan dari negara terbabit mesti mengisi tiga perempat penuh tangki kereta apabila menyeberangi Tambak Johor dalam usaha menjaga kepentingan stesen-stesen minyak di negara mereka dan bukan kerana isu subsidi.
Ketika itu, isu kenaikan petrol belum lagi serius, tetapi kekangan pihak berkuasa negara itu menangani berpuluh ribu kenderaan mereka untuk masuk ke negara ini dengan alasan 'melancong' walaupun hanya sehari berada di seberang Tambak, berjaya menyekat 'pembelian' petrol secara besar-besaran khususnya di stesen-stesen minyak di Johor.
Bagaimanapun, dengan kenaikan harga petrol yang melambung di pasaran dunia, kini giliran Malaysia pula mengambil langkah menyekat kenderaan asing ini membeli petrol di negara ini dengan sewenang-wenangnya.
SenarioSenario itu juga menyebabkan kerajaan terpaksa memperuntukkan subsidi petrol dan diesel yang menelan belanja sebanyak RM56 bilion setahun bagi menampung dan membantu rakyat berpendapatan sederhana dan rendah yang menggunakan kenderaan.
Lantas, larangan membabitkan semua stesen minyak yang terletak dalam lingkungan 30 hingga 50 kilometer di setiap pintu masuk sempadan negara antara dua negara jiran itu untuk menjual petrol dan diesel kepada kenderaan asing akan dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ia akan membabitkan 200 hingga 300 pemilik stesen minyak di kawasan yang telah dikenalpasti.
Bagaimanapun, sejauh mana ketirisan dan kebocoran menjual minyak ini tidak akan berlaku tetap menjadi persoalan. Ini kerana petrol dan diesel subsidi tetap akan dijual walaupun dengan apa cara sekali pun dan tidak semestinya diisi dengan menggunakan kenderaan milik warga asing itu sahaja.
MekanismeJusteru, kerajaan perlu mencari mekanisme baru bagaimanapun kenderaan asing tidak membeli petrol dan diesel subsidi atau menentukan siapa golongan kaya di negara ini yang dicadangkan perlu membeli petrol dengan mengikut harga pasaran semasa.
Bagi kenderaan asing yang menggunakan kenderaan untuk masuk ke negara ini dengan pelbagai tujuan, sama ada untuk lawatan keluarga atau pun melancong, apakah mekanisme untuk menyekat mereka ini daripada terus membeli minyak subsidi?
Apakah wajar mereka disekat daripada membeli petrol dan diesel sepanjang berada di negara ini atau larangan itu hanya berkuat kuasa ketika mereka hendak meninggalkan negara ini.
Apa yang menjadi masalah dan agak merumitkan dalam menangani isu ini ialah apabila pemilik kenderaan asing tetap membeli petrol dan diesel apabila berada di negara ini dan secara tidak langsung, mereka terbabit tetap menikmati kemudahan yang disediakan itu.
Bagi golongan kaya di negara ini pula, ada cadangan agar mereka membayar harga petrol dan diesel mengikut pasaran semasa dan tidak layak menerima subsidi bahan api tersebut daripada kerajaan.
Justeru, kerajaan perlu mengenalpasti siapa golongan itu dan siapa pula golongan sasar yang seharusnya diberikan subsidi petrol dan diesel.
Walaupun apa pun tindakan yang akan diambil oleh kerajaan, ia perlu mengambil kira faktor sampingan lain, kesan daripada pelbagai subsidi termasuk subsidi bahan api.
Seperti kata Ketua Jabatan Ekonomi, London School of Economics and Political Science (LSE), Prof. Danny Quah, subsidi perlu dihapuskan bagi mengekang peningkatan kadar inflasi secara berterusan di negara ini.

Menguruskan subsidi secara bijak

DALAM sejarah ekonomi, dunia pernah dikejutkan dengan beberapa siri kegawatan dan krisis yang serius disebabkan oleh beberapa serangan ke atas ekonomi antarabangsa.
Antaranya krisis ekonomi yang berlaku pada awal 1920-an ekoran merudumnya pasaran saham serta peningkatan harga minyak mendadak pada 80-an sehingga menyebabkan beberapa negara muflis.
Malah, Malaysia sendiri hampir rebah ketika krisis ekonomi pada 90-an disebabkan spekulasi mata wang yang menyaksikan beberapa negara terutamanya di rantau ini sehingga kini masih terjerat dengan hutang dan inflasi yang tinggi.
Hakikatnya, bahang kegawatan ekonomi sekali lagi dirasai dunia ketika ini dan apa yang lebih membimbangkan, ia diramal oleh penganalisis bakal meninggalkan kesan yang lebih dahsyat kepada seluruh negara berbanding krisis ekonomi yang pernah berlaku sebelum ini.
Ini kerana ketidaktentuan ekonomi kini dipengaruhi oleh dua faktor utama iaitu harga minyak mentah yang terus melambung serta bekalan bahan makanan global yang semakin menyusut.
Dalam situasi sebegitu, baik negara miskin atau maju yang kaya raya, krisis ekonomi tidak dapat dielakkan dan semakin memburuk apabila rakyat yang kelaparan merusuh di jalanan seperti yang berlaku di Argentina dan Chile.
Negara juga tidak terkecuali daripada menerima kesan kemelesetan ekonomi dunia ketika ini namun dalam memastikan rakyat tidak menerima tekanannya secara langsung, kerajaan tampil dengan pelbagai insentif termasuk pemberian subsidi.
Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, timbul persoalan mengenai pengurusan dan pengagihan subsidi yang dikatakan turut menguntungkan golongan berpendapatan tinggi, malah lebih teruk turut dinikmati oleh warga asing.
Keadaan itu pastinya satu kerugian buat negara yang memperuntukkan kira-kira RM56 bilion setahun bagi pemberian subsidi kepada rakyat apabila kelebihan itu turut digunakan oleh pihak yang tidak layak.
Malah dalam sesetengah kes, kumpulan sasar iaitu golongan berpendapatan rendah pula tercicir dalam pengagihan subsidi berkenaan disebabkan beberapa faktor.
Justeru, sudah tiba masanya kerajaan membentuk satu mekanisme yang lebih sistematik dalam pengurusan pemberian subsidi kepada rakyat bagi memastikan hanya kumpulan yang layak sahaja berhak menikmati bantuan tersebut.
Mekanisme itu seperti yang dijelaskan oleh Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohammad Noorizzuddin Nooh, boleh dilaksanakan dengan membina pangkalan data bagi memudahkan kerajaan mengenalpasti golongan yang layak untuk diberikan subsidi seterusnya menikmatinya secara langsung.
Pangkalan data itu jelas beliau, dibina berdasarkan maklumat penduduk terutamanya mengenai pendapatan dan jumlah tanggungan isi rumah yang diperoleh daripada setiap agensi di bawah kementerian.
LayakSelain dapat mengenalpasti kumpulan yang layak diberikan subsidi ujarnya, pangkalan data itu juga dapat memastikan kerajaan mengurus dan memantau pemberian subsidi dengan lebih cepat dan berkesan.
''Bagaimanapun pembinaan pangkalan data ini memerlukan kajian terperinci dan menyeluruh daripada kerajaan kerana ia mungkin akan mencetuskan polemik pada masa depan berhubung kerahsiaan maklumat peribadi individu," katanya.
Dalam mengurus perbelanjaan subsidi negara juga, Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Fauzi Mohd. Jani berkata, langkah yang boleh diambil kerajaan adalah dengan memberikan keutamaan kepada barang kawalan yang diberikan subsidi.
Mengambil contoh barang kawalan dalam kategori makanan, kerajaan katanya, boleh mengurangkan 10 bahan makanan yang diberikan subsidi kepada hanya tiga atau empat bahan makanan mengikut keutamaan keperluan di kalangan pengguna.
Bahan makanan utama itu antaranya susu, minyak masak dan beras manakala bahan makanan lain seperti gula, garam, ikan, padi, roti dan ayam ditentukan harganya secara pasaran terbuka.
Ketiga-tiga bahan makanan itu jelas beliau, mempunyai kaitan yang sangat rapat (emotional attachment) dengan rakyat dan meskipun terdapat beberapa pihak yang mencadangkan bahan makanan lain seperti ubi bagi menggantikan beras, ia memerlukan tempoh penyesuaian yang panjang
''Seperti gula dan garam misalnya, penggunaan kedua-dua bahan makanan ini di kalangan rakyat sudah melebihi daripada keperluan dan kerajaan boleh mengurangkan subsidi ke atas bahan makanan tersebut.
''Tetapi mekanismenya tidak boleh dilakukan secara keterlaluan sehingga menimbulkan kejutan di kalangan rakyat kerana ia masih lagi merupakan bahan keperluan," katanya.
Selain memberikan keutamaan subsidi kepada bahan makanan mengikut keperluan, kerajaan tambah Mohd. Fauzi, boleh mengurus pemberian subsidi dengan membezakan bahan makanan itu sama ada untuk keperluan harian di rumah atau bagi tujuan kegunaan perniagaan.
Apa yang berlaku ketika ini, pengguna biasa dan pengusaha komersial seperti pengusaha restoran membeli barangan kawalan pada harga yang sama sekali gus tidak membezakan subsidi untuk kumpulan yang lebih memerlukan.
Namun, dalam membezakan barang kawalan kepada kategori pengguna itu, ia dibimbangi menimbulkan implikasi lain kepada pengguna apabila bahan makanan siap berasaskan barangan kawalan itu dijual pada harga yang lebih tinggi.
Justeru bagi mengelak situasi itu, kerajaan perlu mengawal harga barangan kawalan tersebut di peringkat-peringkat tertentu seperti pengeluaran di ladang, pemborong sehinggalah peruncit.
Kawalan harga itu boleh dijalankan oleh jawatankuasa yang dibentuk khas bagi menentukan tingkat-tingkat harga yang dibenarkan setiap minggu dan memastikan setiap peringkat tidak melebihi harga siling yang ditetapkan.
''Selain memastikan harga untuk pengguna kekal murah, kaedah ini dapat memastikan semua pihak terlibat tidak teraniaya dan mendapat keuntungan yang cukup bagi insentif ekonomi yang dikeluarkan," katanya.
Mengambil contoh mekanisme pengawalan kekurangan beras, langkah berkesan, katanya, tidak hanya menyuntik subsidi yang besar dengan mengimport beras yang semakin mahal, sebaliknya mengawal harga bahan makanan itu di pasaran tempatan dengan bijak.
Apa yang berlaku ketika ini, kerajaan hanya mengawal harga Beras Super Special Tempatan (SST) 15 peratus hancur yang dibeli oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana sebaliknya tidak mengawal harga SST 10 dan lima peratus hancur.
Akibatnya, harga beras SST 10 dan lima peratus hancur melambung hampir sekali ganda menyebabkan golongan berpendapatan tinggi beralih kepada beras SST 15 peratus hancur sekali gus mewujudkan tekanan permintaan yang tinggi di kalangan pengguna.
''Dalam keadaan ini, kerajaan terpaksa berbelanja lebih untuk mengimport beras SST 15 peratus hancur daripada Thailand sedangkan bentuk subsidi itu tidak diperlukan sekiranya kerajaan turut mengawal harga beras SST 10 dan lima peratus hancur," katanya.
Dalam mengurus pemberian subsidi secara langsung kepada kumpulan yang lebih berhak pula, Mohd. Fauzi mencadangkan, kerajaan menggunakan kaedah pemberian kupon seperti yang dilaksanakan di Amerika Syarikat dan Indonesia.
Kupon atau baucer itu katanya, boleh diagihkan menerusi pejabat-pejabat daerah setelah mengenalpasti golongan yang benar-benar layak dan boleh ditukar di kedai-kedai runcit.
''Kaedah pemberian kupon ini sebenarnya lebih menjimatkan berbanding memindahkan subsidi kepada barangan kawalan tertentu atau membiarkan harga bahan makanan seperti beras SST10 dan 5 tanpa kawalan," ujarnya.
Menyentuh mengenai langkah kerajaan melarang penjualan petrol dan diesel kepada kenderaan asing di sempadan Thailand dan Singapura, beliau berpendapat, adalah lebih baik jika bahan bakar itu dijual mengikut harga pasaran.

Tuesday, May 27, 2008

Elemen kekuasaan negara

PADA awal tahun 1990-an, dengan perpecahan bekas Kesatuan Soviet, ramai berpendapat situasi keselamatan global akan bertambah baik.
Sebaliknya, perkembangan satu setengah dekad itu menyedarkan pelbagai pihak bahawa dunia kini berhadapan cabaran keselamatan yang lebih kompleks berbanding konfrontasi politik dan ketenteraan antara Amerika Syarikat (AS)-Soviet (Rusia) semasa era Perang Dingin.
Namun, cabaran keselamatan tersebut bukanlah sesuatu yang baru.
Pada era pasca Perang Dingin, perlumbaan senjata sebagai contoh, telah membentuk perkembangan ketenteraan secara kualitatif.
Selain dari Rusia dan AS, yang telah mengaplikasikan keupayaan teknologi tinggi bagi mempertingkatkan kecanggihan dan ketepatan sistem persenjataan, negara seperti Jepun, India, China, Korea Selatan dan negara-negara ASEAN sendiri juga memperuntukkan sebahagian besar bajet untuk pembangunan senjata berteknologi tinggi.
Pada masa sama, terdapat peningkatan ketara dalam isu-isu membabitkan perebutan wilayah dan sumber, konflik etnik dan agama, persaingan strategik maritim dan ancaman keganasan.
Peningkatan insiden membabitkan konflik etnik telah menyumbang kepada kemunculan pemikir nasionalis dan pejuang pemisah.
Perjuangan pemikir nasionalis radikal yang memperjuangkan pembentukan sebuah negara etnik 'homogenous' telah mengheret banyak negara ke dalam kancah pergolakan politik dan perang saudara.
Konflik keagamaan selalu dikaitkan dengan pertembungan kefahaman antara agama yang universal membabitkan isu kepercayaan dan politik atau konfrontasi antara agama dengan fahaman sekular.
Persaingan strategik maritim masa kini pula tertumpu pada kedaulatan wilayah, juridiksi perundangan maritim, sumber maritim dan penguasaan jalur perdagangan strategik.
Ancaman keganasan merupakan cabaran keselamatan paling utama selepas insiden 11 September 2001 di AS.
Kesukaran dalam meramalkan bentuk aktiviti pihak pengganas dan merangka langkah-langkah pencegahan keganasan yang efektif menyebabkan masyarakat terus dihambat perasaan tidak selamat.
Sejak permulaan abad ke-21, terdapat peningkatan secara konsensus di kalangan negara bahawa ciri keselamatan paling dinamik pada era masa kini ialah persaingan untuk mencapai pembentukan kuasa nasional menyeluruh.
Faktor paling penting dalam pembentukan kuasa nasional ialah revolusi teknologi tinggi yang berterusan.
Banyak negara terutamanya negara kuasa besar dunia, mengeksploitasi teknologi tinggi baru ini dengan menggabungkan pembangunan ekonomi dan ketenteraan.
Kesan paling ketara dalam persaingan pembentukan kuasa nasional menyeluruh antara negara bergantung sepenuhnya pada impak yang dihasilkan melalui order strategik antarabangsanya.
Secara tradisi, elemen kekuatan sesebuah negara mencakupi keupayaan penguasaan wilayah kedaulatan, pemilikan sumber alam, penduduk, ekonomi dan kekuatan tentera.
Wilayah kedaulatan negara merangkumi penguasaan unsur maritim dan daratan, kepulauan serta pesisir pantai.
Kelebihan faktor geografi ke atas wilayah sesebuah negara merupakan teras terpenting yang menyumbang kepada kekuasaan dan kekuatan ekonomi sesebuah negara.
Keupayaan ketenteraan pula telah lama dianggap sebagai petunjuk terpenting dalam menentukan pembentukan kuasa nasional menyeluruh sesebuah negara.
Dari sudut keupayaan strategik dan konvensional ketenteraan, ia dinilai menerusi saiz dan kualiti sesebuah angkatan tentera, kekuatan strategik, sistem kepimpinan, infrastruktur ketenteraan dan sistem logistik angkatan tentera negara tersebut.
Unsur terpentingKekuatan ekonomi pula dilihat sebagai unsur terpenting kepada pembangunan kuasa ketenteraan. Namun kekuatan ekonomi tidak mudah untuk ditukarkan kepada kekuatan tentera sesebuah negara.
Elemen pembentukan kuasa nasional sesebuah negara di atas merupakan faktor tersurat yang dapat diukur dengan jelas.
Namun, faktor tersirat yang membentuk elemen-elemen kekuasaan sebuah negara terkandung dalam kekuatan politik, terutamanya kerajaan, rakyat negara, perpaduan, ketahanan serta semangat kenegaraan mereka.
Kerajaan hanya merupakan salah satu dari elemen perlembagaan sesebuah negara. Namun, kerajaan merupakan tunjang kepada sesebuah negara kerana tanpa kerajaan, sesebuah negara itu tidak akan dapat berfungsi.
Kualiti sesebuah kerajaan bakal menentukan sama ada lain-lain elemen yang membentuk kuasa nasional menjadi satu institusi yang efisien.
Sebuah kerajaan yang berkualiti tinggi boleh menggerakkan lain-lain elemen yang membentuk kuasa nasional untuk mempromosikan pembangunannya dalam sistem negara global menerusi polisi luar dan domestiknya.
Bagaimanapun, sumber yang terhad memaksa kerajaan meneliti keutamaan dalam merangka pelan pembangunan negara dan menetapkan polisi umum yang bersesuaian bagi menyokong strategi tersebut.
Perlu diketahui bahawa pembentukan kuasa nasional hanya boleh berlaku sejajar dengan kestabilan politik sesebuah negara.
Terdapat banyak bukti bahawa kestabilan politik sesebuah negara dibentuk berdasarkan keutuhan sistem kepimpinan negara dan untuk membolehkan negara tersebut mengekalkan kestabilan, kewujudan sistem pimpinan berpusat diperlukan. Namun, limitasi perlu ditetapkan ke atas had kuasa pemimpin sistem berpusat tersebut.
Selain sistem kepimpinan, usaha mempromosi kestabilan politik juga perlu merangkumi langkah-langkah penting kepada kesejahteraan hidup rakyat.
Pertama, sesebuah negara perlu membentuk sistem pengurusan fleksibel dan cekap bertujuan menarik tumpuan golongan berbakat ke dalam persekitaran kerja kondusif.
Sehubungan ini, pembentukan satu sistem latihan kepimpinan jangka panjang diwujudkan untuk menggalakkan persaingan sihat antara mereka yang berpotensi.
Kedua, negara perlu melihat ancaman rasuah yang boleh meranapkan kestabilan politik negara.
Rasuah adalah faktor penting yang menentukan kredibiliti sistem kepimpinan negara dan kestabilan sesebuah rejim. Usaha menghalang atau menghapuskan rasuah, dilihat sebagai satu inisiatif positif mempromosikan minat masyarakat terhadap politik negara.
Ketiga, membantu masyarakat mengadaptasi perubahan sosial hasil daripada pembangunan masyarakat berinformasi.
Ini kerana maklumat dilihat akan menggantikan kepentingan wang sebagai sumber utama kekuasaan sesebuah masyarakat.
Mereka yang berkeupayaan mengawal informasi akan muncul sebagai masyarakat berpengaruh.
Keempat, untuk memuaskan keperluan material manusia dalam konteks pembangunan ekonomi yang berterusan.
Kelima, untuk mewujudkan satu situasi mampan bagi membolehkan masyarakat pelbagai etnik memelihara dan mengembangkan budaya masing-masing.
Elemen ketidakstabilan dalam etnik dan bangsa boleh dihindari sekiranya kita dapat mengekalkan keharmonian politik dalam mempromosikan budaya saling menghormati dan kerjasama ekonomi.
KeteganganKeenam, meningkatkan tahap pendidikan masyarakat untuk menyatukan persamaan pemikiran demi mengurangkan ketegangan terhadap isu-isu yang berkemungkinan membangkitkan perasaan tidak puas hati dan ketegangan kaum.
Sebagai usaha pengukuhan ke arah mendidik masyarakat yang stabil dari sudut ekonomi dan sosial, adalah wajar bagi kerajaan melancarkan kempen propaganda untuk menyedarkan masyarakat bahawa polisi negara yang dibentuk secara asasnya adalah berkhidmat untuk kepentingan mereka.
Sementara itu, perdebatan akademik tidak berasas berkaitan isu nasional perlu dielakkan, terutama yang tidak relevan dengan polisi yang bakal diimplementasi serta berkisar sekitar kumpulan pengacau.
Bagi negara majmuk seperti Malaysia, tugas yang diamanahkan kepada kerajaan adalah lebih mencabar. Setiap kumpulan etnik mempunyai kepentingan tersendiri dan untuk bermuafakat, jauh dari berpuas hati, tuntutan yang bercanggah daripada pelbagai kumpulan etnik telah membebankan sumber negara yang terhad.
Pilihan raya umum yang lalu telah mewujudkan apa yang dilihat sebagai Kerajaan Persekutuan yang lemah.
Bagaimanapun, ia telah menonjolkan ciri-ciri positif yang konstruktif. Ia telah membuka kepada perdebatan umum terhadap persoalan 'apakah Malaysia yang kita ingini' dan pihak kerajaan atau pembangkang boleh menilai semula visi nasional Malaysia serta meneroka cara yang lebih praktikal dalam merealisasikannya.
Bagaimanapun, adalah amat mengecewakan apabila isu-isu politik dan sosial yang boleh memecahbelahkan masyarakat serta memberi implikasi terhadap keselamatan negara ditimbulkan secara berterusan.
Ini boleh memburukkan lagi keadaan, di samping mewujudkan ketegangan kaum dalam masyarakat majmuk negara ini.
Kita perlu peka akan akibat yang sedang ditanggung oleh beberapa negara luar ekoran kegagalan mereka menangani konflik antara kaum secara berkesan.
Malaysia yakin, melalui interaksi konstruktif antara pelbagai kumpulan etnik dalam negara ini, bakal memperkukuhkan lagi ketahanan nasional serta berupaya menghasilkan satu model integrasi nasional yang boleh dijadikan contoh oleh negara-negara lain.

Tuesday, May 13, 2008

Kenakan hukuman berat peniaga ingkar

PENGERUSI Persatuan Pengilang Beras Cina/Melayu Kedah, Datuk Chew Giok Kun berkata, pihaknya percaya di sebalik kes kekurangan beras ST15 yang agak kritikal dalam negara sekarang, telah berlaku perbuatan menyorok bekalan makanan asasi tersebut.

Selain itu, menurut beliau, ada pihak yang menghasilkan beras super special tempatan lima peratus beras hancur (SST5) yang harganya lebih mahal.

Kejadian inilah juga yang berlaku apabila ramai pengguna yang merungut tentang kekurangan bekalan gula dan tepung di pasaran tempatan pada tahun lalu.

Antaranya wujud keadaan di mana para pembekal dengan sengaja menyembunyikan bekalan barangan dengan memberi isyarat bahawa bekalan barangan tidak mencukupi, maka harga barangan tersebut akan naik dengan sendirinya.

Ada ketikanya terdapatnya 'komplot' antara pengeluar dan pembekal untuk menyimpan beras sendiri bagi mencorakkan suasana yang boleh memaksa kenaikan harga barangan keperluan di pasaran.

Komplot kerjasama sebegini lebih berjaya dilakukan jika hanya ada beberapa pengeluar atau pembekal dalam pasaran. Oleh itu, besar kemungkinan kenaikan harga barang dan perkhidmatan disebabkan komplot ini yang bertujuan mengeksploitasi pengguna, kerana objektif utamanya ialah meraih keuntungan maksimum.

Kita menyambut baik Langkah Bernas dan Persatuan Pengilang Beras Cina/Melayu Kedah/Perlis yang telah bersetuju untuk membuat penghantaran terus beras super tempatan 15 peratus beras hancur (ST15) kepada para peruncit tanpa melalui pemborong bagi memastikan bekalan lebih cepat tiba untuk pengguna.

Langkah tersebut juga akan dapat mengelak beras dipalsukan grednya kepada yang lebih mahal oleh pengusaha yang tidak bertanggungjawab yang mahu mengaut keuntungan mudah.

Walaupun ia merupakan langkah jangka pendek, namun sekurang-kurangnya ia dapat menjamin bekalan tersedia di pasaran, dan memudahkan para pengguna khususnya yang berpendapatan rendah untuk memperoleh bekalan.

Sepatutnya, dalam membendung kekurangan beras dan senario kenaikan mendadak harga beras ini, semua pihak harus bergandingan dengan pihak kerajaan bagi menanganinya.

Amat tidak wajar jika terdapat pihak pemborong umpamanya yang secara sengaja mengambil kesempatan untuk menyorok bekalan semata-mata inginkan keuntungan sekelip mata.

Antara alasan pemborong dan peniaga kedai runcit ialah kononnya pengilang menaikkan harga sehingga mereka tiada pilihan lain kecuali menjual pada harga lebih tinggi kepada peruncit.

Bukan saja beras, pemantauan terhadap 255 jenis barang pengguna perlu dibuat secara berterusan dan menyeluruh bukan saja ke atas peruncit malah pengilang dan pemborong yang boleh menipu dengan cara halus.

Ketegasan pasukan penguat kuasa bukan sahaja untuk memantau perbuatan menyorok dan menaikkan harga barang bagi memastikan para pemborong degil ini dikenakan hukuman yang setimpal supaya mereka serik.

Nama-nama pemborong dan pembekal yang ingkar juga mesti terus dipamerkan kepada khalayak umum supaya timbul rasa malu dan takut untuk mengulangi kesilapan yang sama di masa depan.

Jika kejadian menyorok beras ini benar-benar berlaku, maka golongan yang terlibat ini telah menganggap tanggungjawab sosial bukan lagi objektif mereka.

Paling teruk dan amat malang lagi adalah golongan ini tidak memiliki nilai-nilai kemanusiaan sejati.

Dari sudut Islam, mereka daripada golongan ini tidak mempunyai sifat qanaah, iaitu berpada-pada dengan apa yang diperoleh.

Trend menyorok bekalan keperluan utama pengguna dan menaikkan harga sesuka hati ini jelas menunjukkan bahawa para peniaga tidak pernah takut jauh sekali serik untuk mengulangi jenayah kecil yang mereka lakukan itu.

Di samping mengharapkan ketegasan pihak berkuasa, kita sebagai pengguna juga perlu lebih bijak memainkan peranan untuk 'mengajar' pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Sunday, May 11, 2008

Kuasa melayu belum terhakis


Hari ini 11 Mei 2008, UMNO menyambut ulang tahunnya yang ke-62. Berbanding tahun-tahun sebelumnya, sambutan kali ini dianggap menjadi pentas terbaik untuk parti berkenaan bermuhasabah berikutan prestasi dalam Pilihan raya Umum ke-12, baru-baru ini.
Pelbagai tafsiran dibuat mengenai kekuatan UMNO berikutan keputusan berkenaan, apatah lagi apabila Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen manakala empat negeri terlepas kepada pembangkang iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Di Wilayah Persekutuan pula, BN hanya menang tiga daripada 13 kerusi dan BN juga gagal menawan kembali Kelantan. Sokongan yang diterima oleh Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga dijadikan sandaran untuk menimbulkan persepsi bahawa UMNO kini semakin ditolak oleh orang Melayu.

Walaupun pelbagai tafsiran dibuat berhubung kedudukan UMNO, namun Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempunyai pandangan beliau sendiri.
Dalam wawancara khas dengan Mingguan Malaysia yang dijawab secara bertulis oleh Perdana Menteri, beliau mengulas pandangan-pandangan yang dilemparkan kepada UMNO.

Bagi Abdullah, UMNO tidak mengalami kemerosotan sokongan daripada orang Melayu biarpun prestasi parti itu agak menurun dalam pilihan raya umum.

‘‘UMNO masih kekal tunjang kekuatan Melayu,’’ itulah hujah Abdullah.

Bagi Perdana Menteri, UMNO tetap dengan perjuangan asal dan tetap mempertahankan maruah Melayu. Menurut beliau, orang Melayu tidak meninggalkan UMNO dan kuasa Melayu belum terhakis.

Dalam wawancara itu juga, beliau turut mengulas mengenai dakwaan kononnya UMNO tunduk kepada tekanan parti komponen BN. Bagi Perdana Menteri tidak timbul soal tunduk kerana apa juga keputusan yang dibuat dalam BN ia dilakukan secara konsensus.
Sempena sambutan ulang tahun UMNO hari ini, Abdullah memberikan pesanan kepada ahli-ahli parti dengan berkata, “Kita tidak ada masa untuk bertelagah atau memikirkan mengenai apa jawatan yang perlu kita pegang semata-mata kerana ada Mesyuarat Agung.’’

MINGGUAN: Bagaimana Datuk Seri melihat UMNO selepas enam dekad?

ABDULLAH: Selepas enam dekad, UMNO telah mengalami pelbagai peristiwa, rintangan dan cabaran politik dalam sejarahnya. Ujian dan cabaran ini datang dalam pelbagai bentuk.
Yang terbesar adalah masalah parti-parti serpihan yang tumbuh dan tertubuh apabila beberapa pemimpin telah membawa pengikut-pengikut mereka keluar parti UMNO atas sebab-sebab yang berbeza dari semasa ke semasa.
Bermula dengan Pas pada tahun 1951; Parti Negara yang dipimpin sendiri oleh Datuk Onn, Pengasas UMNO; Parti Melayu Semangat 46 yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan yang mutakhir adalah PKR di bawah pimpinan "de facto leader"nya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Apapun yang berlaku, sejarah melihat UMNO terus dengan perjuangannya untuk membela orang-orang Melayu, orang-orang Islam dan di samping itu menjadi pelopor kepada perjuangan untuk semua orang Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa bagi mendapat tempat dan perhatian dalam negara ini.
Jangan pula kita lupa, di sebalik peristiwa-peristiwa tersebut, UMNO terus memenangi setiap pilihan raya umum bermula dari pilihan raya pertama pada tahun 1955 dan seterusnya, selama 12 kali berturut-turut termasuk pilihan raya pada tahun ini. Kemenangan UMNO adalah bersama parti-parti komponen dalam Perikatan dan seterusnya dalam Barisan Nasional (BN).
Keputusan pilihan raya umum (PRU) lalu menunjukkan sokongan orang Melayu di beberapa negeri semakin terhakis, apakah ini menunjukkan bahawa UMNO tidak lagi dilihat sebagai tunjang kekuatan Melayu?

ABDULLAH: Kalau diperhatikan secara teliti akan keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu, UMNO tidak mengalami kemerosotan seperti yang didakwa. UMNO memenangi 85 peratus daripada kerusi yang ditandinginya tetapi majoriti yang telah diperoleh oleh calon-calon UMNO kurang daripada yang diperoleh dalam pilihan raya umum 2004.
Walaupun begitu, orang Melayu tidak meninggalkan UMNO secara total. Kuasa orang Melayu belum terhakis. Saya setuju jika prestasi kita diperkatakan menurun, tetapi UMNO masih kekal sebagai tunjang kekuatan Melayu.

Sebagai Presiden UMNO, apakah yang dilakukan oleh Datuk Seri dalam usaha mengembalikan semula keyakinan orang Melayu terhadap UMNO di semua peringkat?

ABDULLAH: Sebaik sahaja tamat Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu, saya telah menemui semua ahli Perhubungan UMNO Negeri di seluruh negara yang terdiri daripada Ketua-Ketua Bahagian UMNO di setiap bahagian. Mereka telah menyuarakan pandangan, saranan, pendapat dan cara-cara memperkukuhkan semula parti.
Pertemuan ini telah diadakan di kediaman saya dalam beberapa siri secara tertutup. Pertemuan tersebut diikuti dengan lawatan Jawatankuasa Pengurusan ke negeri-negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Pertemuan-pertemuan selanjutnya akan diadakan dari semasa ke semasa.
Pada pendapat saya, di samping usaha mengukuhkan parti, UMNO bersama-sama dengan parti-parti komponen lain dalam BN perlu meyakinkan rakyat tentang kemampuan Kerajaan Barisan Nasional untuk memberikan khidmat yang terbaik, melaksanakan tanggungjawabnya dan memenuhi janji-janji yang dibuat dalam PRU ke-11 dan 12 yang lalu.

Ada pandangan yang menyatakan kemerosotan sokongan terhadap UMNO juga disebabkan oleh kepimpinan parti yang dilihat terlalu liberal dan sering tunduk kepada tekanan parti komponen BN. Apa komen Datuk Seri?

ABDULLAH: UMNO bukanlah parti yang tunduk kepada tekanan daripada mana-mana pihak. Jika ada apa-apa permohonan yang wajar, UMNO tidak keberatan untuk memberi sokongan kepada permohonan tersebut. Ini adalah amalan yang berlaku dalam muafakat BN. Parti-parti komponen dalam BN semuanya membuat keputusan mengenai satusatu perkara berasaskan konsensus. Soal liberal dan sikap terbuka tidak timbul.

Dalam Kongres Permuafakatan Melayu di Johor Bahru, mereka mendesak supaya UMNO dan Melayu tidak terlalu tunduk kepada tekanan kaum lain termasuk komponen BN. Apakah jaminan bahawa UMNO akan benar-benar tegas dalam soal ini?

ABDULLAH: UMNO tetap dengan perjuangan asal. UMNO tetap mempertahankan maruah Melayu. Itu sudah termaktub dalam perlembagaannya. Yang penting dan perlu diingat adalah UMNO berada dalam Barisan Nasional. Muafakat dan kebijaksanaan, kesederhanaan serta keadilan dan kesaksamaan perlu menjadi amalan dalam mengambil tindakan.

Sama ada hendak akui atau tidak, salah satu sebab kenapa UMNO dikatakan ditolak oleh orang Melayu di peringkat akar umbi ialah kerana parti itu kini dilihat seperti 'dikuasai' golongan elit. Apa kata Datuk Seri?

ABDULLAH: Sekali lagi ingin saya tegaskan, UMNO tidak ditolak di akar umbi. Di luar bandar UMNO tetap kukuh. Kekuatan UMNO dibina dari peringkat cawangan, bahagian dan seterusnya peringkat Majlis Tertinggi. Yang menganggotai barisan kepimpinan parti terdiri daripada mereka yang mendapat sokongan ahli-ahli parti di semua peringkat. Di samping itu, kebanyakan mereka terdiri daripada individu-individu yang telah memenangi pilihan raya dengan sokongan majoriti rakyat.
Bagaimana hendak membina balik semangat perjuangan yang sudah terhakis itu?
ABDULLAH: Semangat juang tentulah mesti relevan dengan masa. Dulu perjuangan menuntut kemerdekaan. Selepas merdeka, perjuangan bagaimana mengisi kemerdekaan sehingga berjaya. Bila berjaya, perjuangannya adalah bagaimana mengurus kejayaan. Tiada yang terhakis. Cuma kaedah dan isi perjuangan berbeza kerana peredaran masa. Tetapi soal pokok, iaitu pembelaan nasib bangsa, agama dan negara terus menjadi 'core' kepada perjuangan. Mungkin ini yang perlu dihidupkan semula, diperkukuhkan. Sejarah perjuangan bangsa perlu diterap semula.
'Legitimacy' kewujudan orang Melayu di bumi ini mesti difahami oleh semua kaum tanpa menjejaskan hak-hak kaum lain.
Bagaimana hendak mengembalikan rasa bangga menjadi ahli UMNO?

ABDULLAH: UMNO mesti terus memperkasa dan membangunkan bangsanya melalui penguasaan ilmu pengetahuan, kedaulatan bahasa, kemuliaan akhlak dan agama, integriti dan maruah bangsa, kedaulatan Raja-Raja dan kesucian Islam. Semua ini adalah perkara-perkara yang tidak boleh dikompromi. Kita tidak boleh membiarkan perkara ini terhakis dan dipinggirkan. Itulah intipati perjuangan yang menjadi kebanggaan kita.

Pilihan raya umum yang lalu juga menunjukkan generasi muda Melayu seolah-olah tidak peduli terhadap apa yang akan terjadi kepada UMNO, oleh itu apakah usaha yang akan dilakukan oleh UMNO untuk memberi pemahaman dan menarik sokongan golongan berkenaan?

ABDULLAH: Inilah cabaran besar kepada golongan muda dalam UMNO khususnya Pergerakan Pemuda dan Puteri bagi memastikan orang muda Melayu mengetahui, memahami dan menghayati sejarah perjuangan UMNO.
UMNO mesti pergi kepada mereka, tidak boleh membiarkan atau menunggu mereka datang. Pemuda UMNO mesti mencari ahli-ahli baru, menyebar risalah, memilih 'kader' dan melatih mereka. Golongan muda mesti didekati dan diajak bersama. Secara tegas, Pemuda dan Puteri UMNO mesti menjadi contoh sebagai pejuang yang bersemangat patriotik, berintegriti dan berjaya dalam hidup mereka serta tidak angkuh.

Bagaimana Datuk Seri melihat sokongan orang Melayu terhadap parti-parti lain seperti Pas dan PKR, apakah kehadiran mereka boleh menghakis populariti UMNO dan bolehkah mereka mengambil alih peranan UMNO membela Melayu?

ABDULLAH: UMNO parti sederhana. Kita bela Islam, kita bela Melayu, tetapi dalam waktu yang sama kita bela juga kaum-kaum lain yang berbeza agama.
Saya percaya, rakyat akan terus memilih UMNO sekiranya mereka memahami perjuangan dan dasar UMNO. UMNO tidak boleh membiarkan persepsi buruk yang dilemparkan oleh pembangkang terhadapnya.
UMNO mesti berkerja kuat untuk melenyapkan persepsi negatif tersebut. Jika ini dapat dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam memberikan khidmat kepada rakyat, UMNO akan tetap menjadi parti pilihan pertama rakyat Malaysia.
Tahun ini UMNO akan berhadapan dengan pemilihan parti. Pada pandangan Datuk Seri barisan kepimpinan seperti manakah yang sepatutnya dibentuk dalam UMNO bagi memastikan ia terus relevan dan diterima kembali oleh rakyat?
ABDULLAH: Perjuangan asal UMNO mesti terus dikekalkan. Kita mahu pemimpin yang ikhlas, jujur, beramanah serta memahami perjuangan UMNO. Perjalanan kita masih jauh. Bangsa-bangsa yang besar memerlukan antara 100-150 tahun untuk membina tamadun mereka.
Kita baru 50 tahun tetapi kita sudah mula menunjukkan kejayaan. Kita mesti mengurus kejayaan kita ini dengan baik serta memperbaiki kelemahan kita. Kita mesti bersatu dan bersetia. Itu sahaja rahsia dan petuanya.

Sempena ulang tahun UMNO yang ke-62, apakah seruan Datuk Seri kepada ahli UMNO dan orang Melayu?

ABDULLAH: Slogan UMNO cukup jelas dan sentiasa relevan. Bersatu, Bersetia, Berkhidmat. Kita tidak ada masa untuk bertelagah atau memikirkan mengenai apa jawatan yang perlu kita pegang semata-mata kerana ada Mesyuarat Agung.
Parti kita telah mendapat mandat rakyat untuk terus mentadbir negara ini. Kita mesti menguruskan kejayaan ini dengan baik dan menangani masalah dengan penuh hemah, jujur dan bertanggungjawab.
Banyak kerja yang kita mesti lakukan. Kita mesti memastikan negara terus aman, stabil dan makmur. Kualiti hidup rakyat mesti terus diperbaiki. Bekalan makanan mencukupi dan kita mesti menyediakan tempat tinggal yang selesa dan elok, serta menjamin kebebasan rakyat untuk terus hidup di negara ini dengan harmoni dan selesa. UMNO dan orang Melayu mesti menguruskan kejayaan yang telah dibina selama ini untuk terus menjadi bangsa yang bermaruah dan dihormati.

Friday, May 9, 2008

Majlis ilmu bukan pentas lawak

"RAKYAT Malaysia suka berhibur. Semua rancangan hiburan akan ditonton walaupun ia tidak menghiburkan."

Inilah maklum balas seorang teman bila penulis menyuarakan pandangan terbitkanlah apa sahaja rancangan hiburan di Malaysia, pasti akan ada yang meminatinya.

Mungkin ada benarnya pengamatan teman penulis. Semua rancangan hiburan yang diterbit dan disiarkan di televisyen akan mendapat sambutan walaupun kadangkala kita tidak berasa terhibur dengannya.

Benar, naluri untuk berhibur itu adalah salah satu fitrah manusia. Saidina Ali ibn Abi Talib pernah berkata: "Sesungguhnya, hati itu boleh menjadi bosan seperti badan.

Oleh itu, carilah kebijaksanaan demi kepentingan hati. Rehatkanlah hatimu sekadarnya, sebab hati itu, apabila tidak suka, boleh menjadi buta."

Dalam kata-kata lain, hiburan adalah salah satu pengisian untuk tubuh badan kita yang juga memerlukan rehat. Namun, apabila masyarakat juga mahu terhibur ketika menghadiri majlis ilmu, ia merisaukan penulis.

Dalam usaha Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) memberikan kefahaman tentang Islam, institusi ini kerap menganjurkan seminar dan bengkel. Di penghujung majlis ilmu seperti itu, para peserta diminta menilai pengisian serta kemudahan seminar yang telah dihadiri dengan mengisi borang maklum balas pelanggan. Penilaian ini akan menjadi panduan kepada IKIM untuk memperbaiki mutu seminar yang akan dianjurkan di masa akan datang.

Setelah melihat maklum balas para peserta tahun demi tahun, antara maklum balas yang akan ditulis pada hampir setiap seminar tanpa mengira khalayaknya ialah 'penceramah perlu menyelitkan unsur jenaka dalam ceramahnya'. Kegagalan penceramah menyelitkan unsur jenaka ini seringkali juga dijadikan sebab mengapa peserta berasa mengantuk sepanjang seminar tersebut.

Permintaan terhadap penceramah yang boleh berjenaka tidak terhad di Dewan Besar IKIM sahaja. Kita juga dapat menonton aksi mereka di kaca televisyen, di masjid serta mendengar jenaka tersebut di corong-corong radio.

Ini kerana pemilik stesen televisyen dan radio serta penganjur ceramah dan seminar di seluruh negara terpaksa akur dengan permintaan khalayak yang suka kepada penceramah yang boleh berjenaka.

Secara tidak langsung, ini memberi cabaran hebat kepada semua penceramah dan ahli akademik yang ingin memberi ceramah atau membentangkan kertas kerja. Jika dulu, mereka hanya perlu menguasai bidang yang ingin diperkatakan serta mampu bercakap di khalayak ramai.

Kini, mereka juga perlu ada kebolehan untuk berjenaka jika mahu memastikan khalayak tidak tertidur ketika mereka bercakap.

Sesungguhnya, penceramah yang memenuhi ciri-ciri di atas memang wujud. Kemampuan mereka berjenaka (berlawak) memang tidak dapat dinafikan. Malah, ramai yang mengakui sesetengah penceramah itu mampu membuat mereka 'tak kering gusi'.

Namun, apakah matlamat sebenar bila kita berceramah? Memastikan matlamat seminar tercapai atau membuat orang ketawa?

MembosankanPenceramah yang tidak pandai berjenaka mungkin membosankan khalayaknya tetapi sejauh mana kita dapat tentukan bahawa penceramah yang pandai berjenaka dapat memastikan khalayak memahami apa yang diperkatakan serta menterjemahkan kefahaman itu kepada tindakan yang sewajarnya?

Sedangkan Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda yang bermaksud: Siapa yang banyak ketawanya akan berkurangan kehebatannya, dan siapa yang suka bergurau, nanti dia akan dipermain-mainkan orang.

Ada yang berasakan bahawa unsur jenaka itu penting untuk mengelakkan bosan dan mengantuk. Ini penulis setuju. Namun, seperti kata Saidina Ali tadi, "rehatkanlah hatimu sekadarnya…". Penulis ulangi, "…sekadarnya", bukan sepanjang masa. Tambah pula, apa yang lebih penting dalam menuntut ilmu ialah usaha yang bersungguh-sungguh (jihad).

Untuk itu, ketika menghadiri majlis ilmu, niat kita perlu betul dan menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan bahawa diri kita berada dalam keadaan yang bersiap siaga tahap tinggi untuk menerima ilmu tersebut sehingga ke akhirnya. Sama ada penceramah pandai berjenaka atau tidak, itu bukan masalahnya. Namanya juga 'penceramah', bukan 'pelawak'.

Sebagai khalayak majlis ilmu, tanggungjawab kita ialah untuk mendapatkan ilmu dan mengamalkannya. Perbuatan menuntut ilmu amat digalakkan oleh agama Islam sehingga ia dijanjikan pahala yang besar di sisi Allah.

Namun, selain mendapatkan ilmu, khalayak juga bertanggungjawab untuk mengamalkan ilmu yang diterima itu. Ini juga adalah satu tanggungjawab yang besar kerana Allah memberi amaran kepada mereka yang tahu tentang sesuatu ilmu atau kebaikan tetapi tidak mengamalkannya. Oleh itu, berhentilah mengharap untuk berhibur di majlis ilmu. Kita ada pentas lain untuk tujuan itu.

Tuesday, May 6, 2008

Ubah sikap tangani isu bekalan, harga makanan

JUMAAT lalu kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.5 bilion untuk memastikan bekalan makanan negara terjamin.
Peruntukan di bawah Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara itu termasuk bagi meningkatkan stok beras negara.
Kerajaan juga akan melaksanakan tujuh langkah jangka pendek dan sederhana sehingga tahun 2010 di tanah-tanah pertanian seluruh negara bagi menjamin bekalan makanan negara mencukupi.
Ia termasuk pemberian insentif dan subsidi kepada para petani bagi meningkatkan pengeluaran padi sekali gus mengurangkan penggantungan negara terhadap beras import.
Matlamat kerajaan jelas iaitu mahu rakyat Malaysia memenuhi keperluan sendiri supaya jika berlaku ketidaktentuan bekalan dan harga di pasaran dunia, kesannya tidak begitu dirasakan.
Namun kesungguhan kerajaan itu tidak akan ke mana jika rakyat enggan mengubah diri serta sikap supaya lebih bertanggungjawab menangani isu kenaikan harga dan kekurangan bekalan makanan.
Tiada gunanya kerajaan meluluskan peruntukan berbilion ringgit tetapi rakyat masih berpeluk tubuh menunggu rezeki turun dari langit.
Tanah-tanah yang berpotensi untuk kegiatan pertanian dibiarkan tanpa tanaman manakala kawasan lapang tidak dimanfaatkan untuk aktiviti sara diri.
Maka wujudlah trend 'membeli segala-galanya' hatta sebatang serai sekalipun sedangkan menanam pokok serai untuk kegunaan sendiri bukannya memerlukan tanah yang luas.
Apabila segala-gala perlu dibeli akan timbul pula rungutan tentang kenaikan kos sara hidup terutama di bandar-bandar besar. Sedangkan kegelisahan itu boleh diredakan jika setiap rakyat mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan.
Sebab itu apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed mengumumkan pelaksanaan Program Bumi Hijau, semua rakyat mesti mengambil bahagian menjayakannya.
Sudah tiba masanya pengguna di negara ini memberi perhatian kepada program tersebut yang menggalakkan penduduk bercucuk tanam, menternak ayam dan membela ikan di kawasan bandar dan desa.
Peruntukan sebanyak RM20 juta untuk program tersebut mesti dimanfaatkan sepenuhnya supaya kelak pengguna negara ini dapat mengurangkan beban kos hidup yang semakin tinggi.
Hakikatnya tiada alasan untuk rakyat di negara ini untuk tidak mengusahakan tanah-tanah terbiar baik untuk aktiviti sara diri mahupun projek pertanian berskala besar.
Segala kemudahan, subsidi dan pinjaman telah disediakan dengan kerenah birokrasi yang semakin minimum. Selain itu, setiap rakyat juga mesti mengubah cara hidup dengan berbelanja mengikut kemampuan dan berjimat ketika dunia mengalami kekurangan bekalan makanan sekarang.
Biarpun usaha-usaha seumpama itu nampak kecil tetapi kesan jangka panjangnya sangat besar ke arah membentuk masyarakat pengguna yang berdikari dan berdaya saing.

Destinasi produk halal dunia

JIKA mengikut sasaran kerajaan, negara sebenarnya masih berbaki kira-kira dua tahun lagi untuk mencapai hasrat sebagai sebuah negara Hab Halal Dunia iaitu pada 2010.
Namun tidak keterlaluan jika dikatakan negara sebenarnya sudah pun berjaya menjadi salah satu destinasi eksport dan import terpenting produk halal di pasaran antarabangsa.
Keyakinan itu adalah bersandarkan kepada kejayaan negara menarik minat pelabur dan syarikat asing untuk mendalami industri perdagangan halal di negara ini.
Platform itu pula pastinya paling menyerlah menerusi penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas), yang merupakan pameran produk halal terbesar di dunia.
Mula dianjurkan pada 2004, acara tahunan Mihas ini merupakan medan kepada seluruh penggiat industri halal berhimpun untuk membina jaringan perdagangan antarabangsa dalam memasarkan produk-produk halal ke seluruh dunia.
Ia tidak hanya membina peluang kerjasama perniagaan produk-produk halal berasaskan makanan semata-mata, tetapi turut diperluaskan kepada prospek kepenggunaan berteraskan cara hidup Islam.
MempromosiProduk-produk bukan berasaskan makanan itu termasuk perkhidmatan awam, perbankan dan pelaburan, pemprosesan dan banyak lagi.
Memasuki tahun penganjuran buat kali yang kelima tahun ini, Mihas 2008 akan berlangsung bermula esok hingga 11 Mei ini bertempat di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur.
Ia dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sebagai satu langkah mempromosi negara sebagai negara hab halal utama di dunia.
Mihas 2008 bakal disertai oleh hampir 500 syarikat dengan lebih 300 daripadanya adalah syarikat tempatan manakala selebihnya dari luar negara yang akan mengisi 600 petak pameran.
Selain pameran, Mihas 2008 seperti penganjuran sebelum ini juga akan dipenuhi dengan beberapa sesi dialog perdagangan dan seminar membabitkan beberapa tokoh penting di dalam industri.
Turut diadakan ialah Forum Halal Dunia 2008 membariskan pemimpin-pemimpin utama negara yang akan membincangkan pelbagai isu berkaitan industri halal antaranya cabaran dan pembangunan sektor ini di kalangan syarikat multinasional merentasi negara-negara Islam dan bukan Islam.
Mihas 2008 juga bakal disertai oleh lebih 20 negara luar antaranya Australia, Afrika Selatan, Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Lebih menarik, Mihas 2008 juga buat pertama kali akan menyaksikan penyertaan tiga negara baru iaitu Bosnia, Ukraine dan Serbia manakala China pula bakal menghantar delegasi terbanyak iaitu dari 100 syarikat.
Tidak hanya sekadar sebuah pameran perdagangan, Mihas seperti kata Pengarah Produk dan Perkhidmatan Matrade, Wan Norma Wan Daud, mempunyai misi yang lebih besar iaitu untuk menarik pembeli tempatan dan asing seterusnya menghasilkan jualan yang lebih besar.
Ia sekali gus bertujuan mencapai sasaran untuk meningkatkan jumlah jualan sehingga 30 peratus daripada RM260 juta jualan sebenar dan jualan berpotensi yang berjaya dikutip pada penganjuran tahun lalu.
Untuk itu kata beliau, Matrade pada Mihas 2008 turut meningkatkan bilangan pembeli yang dijemput menerusi misi belian kepada 500 syarikat berbanding hanya 260 syarikat dari 26 buah negara tahun lalu.
Pentingnya penganjuran sebuah perdagangan halal ini melihat kepada kuasa kepenggunaan di kalangan umat Islam di seluruh dunia yang kini berjumlah kira-kira 1.8 bilion penduduk.
Daripada jumlah itu, lebih 60 peratus umat Islam adalah penduduk Asia sekali gus menjadikan penganjuran Mihas di negara ini sebagai satu medan terbaik kepada negara rantau ini meningkatkan jaringan perdagangan berteraskan produk halal.
Ia juga secara tidak langsung membuka peluang yang sangat luas kepada pengusaha produk halal terutamanya syarikat-syarikat tempatan mencari kerjasama perniagaan antarabangsa untuk memasarkan produk halal mereka kepada pengguna yang lebih spesifik.
Apatah lagi, Mihas kali ini dijangka dihadiri oleh lebih daripada 35,000 pengunjung dengan kehadiran delegasi daripada kira-kira 64 buah negara di seluruh dunia.
Sesuatu yang sangat membanggakan, Mihas juga menjadi medan kepada negara untuk mempromosikan persijilan halal negara sekali gus berkongsi kepakaran dan kelebihan itu dengan negara-negara lain.
Malaysia boleh dikatakan antara negara terkehadapan dalam penggunaan persijilan halal di dunia malah, persijilan halal negara turut diguna pakai dan diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Destinasi terbaikPersijilan halal Malaysia iaitu MS 1500:2004 dilancarkan pada 2005 dan merupakan standard pertama seumpamanya di dunia dan dengan status itu, negara menjadi destinasi pilihan perdagangan produk halal.
Pentingnya persijilan halal ini diterima dan diperluaskan di kalangan negara-negara lain adalah bagi memudahkan Malaysia membina jaringan perniagaan dengan lebih meluas di peringkat antarabangsa.
Ia juga bertujuan memastikan status halal produk-produk yang diperdagangkan disahkan dengan lebih jelas oleh negara pengeluar sebelum boleh dijual di negara ini dan juga sebaliknya.
Dalam konteks persijilan halal itu juga, Malaysia memainkan peranan yang sangat penting sebagai sebuah negara yang pernah mengetuai Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) apabila persijilan halal negara kini diterima pakai dan digunakan di semua negara anggota.
Dengan sasaran menjadikan persijilan halal Malaysia itu sebagai penanda aras kepada produk halal di dunia, ia secara tidak langsung turut mempromosikan produk-produk negara OIC yang lain.
Mengecilkan skop manfaat penganjuran Mihas 2008 kepada syarikat tempatan, peluang ini seharusnya direbut oleh pengusaha bukan Melayu terutamanya, untuk memahami aspek dan keperluan dalam memenuhi kehendak pasaran produk halal di negara ini.
Ia adalah sesuatu yang wajar melihat kepada kuasa membeli yang lebih besar di kalangan orang Melayu dan beragama Islam di negara ini sedangkan dalam masa yang sama, kebanyakan produk sama ada berasaskan makanan atau perkhidmatan lebih banyak ditawarkan oleh pengusaha bukan Melayu.
DiterimaJusteru bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila statistik yang dipetik daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menunjukkan bahawa majoriti permohonan sijil pengesahan dan logo halal diterima daripada usahawan berbangsa lain.
Malah, pernah dilaporkan beberapa tahun lalu bahawa permohonan sijil pengesahan dan logo halal membabitkan pengusaha bukan Melayu mencecah sehingga 80 peratus.
Daripada jumlah itu, jelaslah bahawa pengusaha bukan Melayu mendominasi sektor produk halal di negara ini dan kepentingan dalam memastikan produk mereka itu sah digunakan oleh umat Islam di negara ini menjadi aspek yang paling utama.
Ia bagi mengelakkan timbulnya pelbagai keraguan dan polemik seperti yang berlaku sebelum ini apabila terdapat beberapa laporan mengenai produk berasaskan makanan terutamanya dikatakan tidak melalui proses penyediaan yang halal.
Justeru, kedatangan Mihas 2008 sewajarnya digunakan sebaik mungkin bagi pengusaha bukan Melayu tidak hanya untuk memahami sektor produk halal untuk keperluan penduduk Islam di negara ini, malah juga mencari peluang membina jaringan perdagangan di negara-negara lain terutamanya negara Islam.
Bagi pengusaha Melayu pula, Mihas 2008 juga sewajarnya memberi peluang yang sama malah mungkin jaminan perdagangan yang lebih baik di pasaran antarabangsa dengan kemampuan negara menghampiri status negara hab halal utama di dunia.

Kebebasan bersuara dalam kerangka undang-undang

SUARA-SUARA garang berkumandang selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12). Seolah-olah keputusan pilihan raya yang memberi kemenangan besar kepada pembangkang sebagai lesen untuk mengkritik sesiapa saja.
Kebebasan bersuara sebenarnya berlandaskan hukum timbal balik. Sanggup menerima pendapat yang berbeza dan bukan sekadar memaksa orang lain menerima pendapat kita.
Sebagai contoh ialah kecaman-kecaman yang dilemparkan oleh pihak-pihak yang tidak menyukai tindakan bekas Presiden Jimmy Carter bertemu dengan pemimpin-pemimpin Hamas.
Dalam hal ini Carter dicemuh semata-mata kerana beliau mempunyai pendapat yang berlainan dengan orang lain. Hinggakan Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggunakan perkataan "bigot" terhadap Carter.
Hal yang sama terjadi di Malaysia. Sesiapa sahaja yang menyuarakan pendapat berlainan dengan kumpulan tertentu yang menganggap diri mereka demokratik akan dikecam hebat. Seolah-olah kebebasan bersuara hanya untuk mereka sahaja.
Soalnya adakah Malaysia bersedia mengamalkan kebebasan akhbar tanpa batas. Penulis sangsi.
Berdasarkan kepada komen-komen dan kejadian-kejadian selepas pilihan raya, penulis tidak pasti sama ada rakyat Malaysia sudah boleh berfikir di luar kotak etnik masing-masing.
Ini termasuklah komen-komen terhadap raja-raja Melayu dan kakitangan kerajaan berbangsa Melayu. Boleh dikatakan Melayu bersalah dan menjadi punca kepada segala permasalahan Malaysia. Sedangkan pada realitinya orang Melayu terlalu banyak berkorban.
Hinggakan songkok yang merupakan sebahagian daripada pakaian rasmi kerajaan juga menjadi isu. Kaum bukan Melayu yang memakai songkok dianggap mengkhianati budaya asal mereka.
Menghiris hati Perbuatan seumpama ini sebenarnya menghiris hati orang Melayu dan dianggap biadab kepada raja-raja Melayu.
Masalah ini sebenarnya mudah diselesaikan. Kalau sekiranya tidak mahu memakai songkok jangan ambil jawatan Speaker Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dan jawatan-jawatan lain yang songkok merupakan pakaian rasmi.
Kalau tidak, mesti patuh undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan sama seperti undang-undang negeri berkaitan dengan pelantikan Menteri Besar.
Diharap kebebasan bersuara tidak menjadikan negara kucar-kacir.
Dalam hal ini kenyataan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan lain-lain akta yang dianggap membantut kebebasan tidak akan dibatalkan ada kebenarannya.
Apa yang penting ialah keamanan untuk semua dan bukan kebebasan tanpa batas untuk satu kumpulan minoriti. Malahan undang-undang seperti ISA digunakan di beberapa negara maju dewasa ini.
Ketika di Filipina era awal 90-an, ada akhbar-akhbar yang menghina Presiden negara tersebut dengan perkataan seperti "Presiden bodoh". Jelaslah akhbar-akhbar negara tersebut meracau-racau kerana mabuk kebebasan selepas lebih 20 tahun di bawah kerajaan diktator.
Kebebasan bersuara juga diamal dengan bebas di Thailand. Namun ada batasnya. Di negara itu tidak siapa yang boleh menghina raja. Mereka boleh didakwa di bawah undang-undang lese majeste.
Raja Thai dihormati oleh setiap golongan rakyat dan dianggap sebagai jelmaan Buddha. Rakyat (termasuk orang Islam) bahkan Perdana Menteri merangkak atau duduk di lantai ketika menyembah raja. Rakyat Thailand tidak mengkritik raja secara terbuka kalau pun ada yang tidak bersetuju dengan pendapat raja.
Kebebasan bersuara di Malaysia sudah lebih daripada Thailand atau A.S. Nilai hormat dan budaya Melayu telah dinodai oleh budaya asing yang semakin ganas.
Perbuatan segelintir rakyat mengambil undang-undang di tangan sendiri tanpa mengikut peraturan bukanlah budaya kita. Kalaupun tidak bersetuju dengan sesuatu perkara bertindaklah mengikut lunas-lunas undang-undang.
Paling penting gunakanlah kebebasan bersuara untuk semua kaum dan bukan semata-mata untuk memperjuangkan agenda sesuatu etnik sahaja. Umpamanya tekanan MIC dan penyokong-penyokong Hindraf supaya lima pemimpin mereka yang ditahan di bawah ISA dibebaskan.
Begitu juga dengan politik ugut mengugut. Pihak tertentu juga mesti ingat orang lain juga boleh mengambil tindakan yang sama di atas dasar timbal balas.

Menggerakkan daya gelombang membaca

SETIAP sesuatu yang tercipta di dunia ini mengeluarkan gelombang, percaya atau tidak, walaupun seketul batu yang kecil.
Setiap gelombang mempunyai sifat dan daya kekuatannya yang tersendiri. Seperti gelombang Alpha yang didapati adalah antara bentuk gelombang yang paling 'tenang'. Tsunami yang melanda Aceh pada Disember 2004 pula adalah gelombang 'pemusnah' yang terkenal dengan kekuatan hentaman yang belum pernah terjadi sebelum ini.
Begitu juga dengan usaha untuk mewujudkan gelombang membaca, terutamanya di kalangan rakyat Malaysia. Ia juga perlu mempunyai sifat dan daya kekuatannya tersendiri. Mungkin telah banyak bahan rujukan yang ditulis secara tidak langsung mengenai usaha mewujudkan gelombang ini. Namun begitu, satu usaha yang lebih proaktif dan bersepadu perlu diwujudkan.
Persoalannya, bagaimana?
Untuk mewujudkan daya-daya penggerak gelombang membaca, beberapa ciri daya-daya itu perlu diperjelas dan dibincangkan. Seperti mana para saintis mengkaji, menulis dan menerima komen membina untuk melengkapkan kajian mereka, begitu juga yang harus berlaku kepada perbincangan isu-isu yang melibatkan pewujudan budaya 'baru' di dalam masyarakat kita, seperti budaya membaca.
Antara daya-daya yang perlu diwujudkan ialah daya penggerak iaitu manusia itu sendiri. Mereka yang 'terpilih' perlulah mempunyai ilmu yang cukup untuk memperkatakan tentang budaya membaca, perihal dunia buku, epistomologi, biblioholism dan sebagainya yang amat berkaitan dengan masyarakat, membaca dan budaya.
Ciri-ciri lain yang perlu ada, jika dapat dirujuk pada The Tipping Point, tulisan Malcom Gladwell ialah seseorang penggerak itu perlulah dikategorikan di dalam The Law of the Few. Gladwell telah membicarakan tentang teorinya ini dengan mencadangkan bahawa walaupun hanya menggunakan sejumlah kumpulan manusia yang sedikit, perubahan besar akan berlaku.
Namun begitu, sejumlah kumpulan manusia yang sedikit itu perlulah pula mempunyai ciri-ciri yang memungkinkan mereka dikenali sebagai Penggerak. Tiga ciri-ciri tersebut ialah penghubung (connector), pakar (maven) dan jurujual (salesman).
Penghubung ialah mereka yang mempunyai 'kuasa semula jadi' yang dapat menghubungkan masyarakat dengan seseorang individu. Beliau perlulah berkuasa (dalam erti kata masyarakat mendengar dan menerima nasihatnya) dan setiap individu di dalam masyarakat dihubungkan secara langsung atau tidak langsung kepada penghubung tersebut.
Manakala pakar ialah mereka yang mempunyai ilmu dan memahami selok-belok bidang tersebut.
Dan jurujual ialah mereka yang mempunyai ciri-ciri semula jadi yang dapat menarik perhatian masyarakat terhadap perkara atau objek yang menjadi barangan jualannya.
Buku dan industri buku itu sendiri adalah daya penariknya. Buku tidak boleh dianggap sebagai bebanan kepada seseorang atau sesuatu masyarakat. Buku perlu dilihat sebagai penyumbang kepada ekonomi dan perubahan sosiobudaya. Buku perlu 'diubah suai' bersesuaian dengan kehendak masyarakat. Di dalam masyarakat maju seperti di negara-negara Barat dan maju, buku tidak lagi dilihat sebagai sebuah hasil karya yang membosankan atau mempunyai reka kulit buku yang langsung tidak menarik. Perubahan perlu dilakukan dan sesebuah syarikat penerbitan perlu berani berinovasi. Inovasi pula perlulah diikuti dengan penyelidikan dan pembangunan. Maka untuk itu faktor kewangan perlu diambil kira.
Penerbit perlu sanggup mengeluarkan sejumlah wang daripada modalnya untuk memastikan buku-buku terbitannya kelak diterima oleh masyarakat, yang bukan sekadar melihat isinya, malah kulit dan kualiti penerbitannya itu.
Industri buku, terutamanya kedai-kedai buku perlu berani tampil dengan perubahan. Reka letak rak-rak buku, kaedah-kaedah pemasaran terkini dan alat-alat bantu pemasaran perlu diambil kira.
Masyarakat itu sendiri merupakan daya penolak. Sesuatu budaya adalah terhasil daripada amalan yang telah diamal dan diterima oleh sesuatu masyarakat. Ia tentunya mengambil tempoh masa tertentu untuk berevolusi. Bagaimana ia bermula, tentunya daripada seseorang individu yang kemudiannya diterima pakai oleh keluarga tersebut, lantas diterima dan diamalkan oleh masyarakat setempat. Kita sebagai umat Melayu di Malaysia tentunya mempunyai 1,001 amalan yang telah sebati dengan umat ini sendiri. Dan disebabkan itulah budaya terhasil dan menjadi darah daging pengamalnya.
Begitu juga dengan budaya membaca yang diperbincangkan di dalam tulisan ini. Ia perlu diamalkan terlebih dahulu oleh individu-individu yang telah dikenal pasti sebagai penggerak. Lantas, penggeraklah juga yang akan menolaknya ke hadapan supaya kemudiannya dapat dijadikan amalan masyarakat setempat.
Ia tentunya bukan satu perkara yang mudah. Daya-daya yang telah dibincangkan di atas perlulah mengalami proses evolusi yang akan mengambil masa. Sekiranya daya-daya tersebut dapat diwujudkan terlebih dahulu, tidak mustahil siri gelombang akan wujud. Tidak besar, kecil pun memadailah sebagai permulaan. Gelombang-gelombang air di lautan, walaupun mungkin ada yang kecil, tetapi tidak mustahil berupaya mewujudkan siri gelombang air yang lebih besar, lantas dapat meranapkan pantai-pantai berbatu di pesisirnya. Itulah kekuatan sesebuah gelombang.