Tuesday, November 24, 2009

Transformasi pertanian perlu digiatkan

Transformasi sektor pertanian perlu dipergiatkan bermula daripada peringkat tanaman hingga ke pemasaran hasil pertanian

Sektor tersebut merupakan antara sektor yang menjadi sumber terpenting pendapatan rakyat luar bandar dan pertumbuhan ekonomi negara. Sektor itu perlu dipertingkat serta diperkasakan kerana ia memainkan peranan yang lebih besar dalam menjana ekonomi negara sebagai paksi ketiga pertumbuhan ekonomi.

Mencontohi kelebihan sekolah Cina

ISU mengenai kecenderungan ibu bapa Melayu menghantar anak-anak ke sekolah aliran Cina pernah beberapa kali menimbulkan polemik sebelum ini.

Awal 2002 misalnya, kecemerlangan sekolah Cina menarik perhatian apabila Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) mendedahkan terdapat kira-kira 60,000 orang pelajar Melayu mendapat pendidikan di sekolah aliran Cina.

Ketika itu, peningkatan pelajar Melayu tersebut dikaitkan dengan corak pemikiran ibu bapa yang liberal dan lebih moden terutamanya yang tinggal di luar bandar.

Namun, apabila jumlah pelajar Melayu semakin meningkat saban tahun, ia tidak lagi dilihat dari sudut tersebut. Sebaliknya lebih kepada kemampuan sekolah aliran Cina melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang terutamanya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Sekolah Cina juga menjadi tumpuan kerana kelebihan bahasa Mandarin dan Inggeris yang bakal dikuasai oleh pelajar Melayu. Kedua-dua bahasa itu merupakan bahasa utama global hari ini dan merupakan aset penting yang perlu dikuasai.

Sementelah, kemasukan ke sekolah Cina juga sangat mudah apatah lagi dengan hakikat bahawa terdapat kira-kira 1,200 sekolah aliran itu di seluruh negara ketika ini. Menjadi kumpulan minoriti di sekolah Cina juga menyebabkan pelajar Melayu lebih bersemangat untuk bersaing seterusnya mencatatkan keputusan membanggakan.

Inilah juga yang dibuktikan oleh hampir majoriti anak-anak Melayu yang belajar di sekolah Cina. Hakikat itu semakin menguatkan keyakinan ibu bapa termasuk di luar bandar untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah Cina.

Justeru, apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan kajian terperinci berhubung kaedah pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik di sekolah Cina, ia pastinya ada kaitan dengan keyakinan ibu bapa terhadap sekolah kebangsaan. Beliau yang juga Menteri Pelajaran merujuk kepada keberkesanan sekolah Cina yang mencatatkan keputusan cemerlang bagi kedua-dua mata pelajaran itu berbanding sekolah-sekolah lain.

Pada kebanyakan masa dalam perbandingan antara sekolah Cina dan kebangsaan, model pendidikan yang diguna pakai seringkali dijadikan asas penilaian. Model pendidikan nasional di sekolah kebangsaan sering dianggap lapuk kerana tidak banyak berubah sejak lebih 20 tahun lalu. Sistem pendidikan sekolah kebangsaan juga dilihat lebih banyak terikat kepada sukatan pelajaran dan pekeliling Kementerian Pendidikan semata-mata.

Sedangkan di sekolah Cina, persekitaran pendidikannya sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa. Sekolah Cina juga dikatakan lebih menekankan aspek kecemerlangan dalam banyak perkara menerusi pendekatan latihan serta guru yang kreatif. Mata pelajaran Sains dan Matematik misalnya, begitu ditekankan di sekolah Cina.

Berbeza dengan sekolah kebangsaan, isu kekurangan guru berkemahiran bagi subjek kritikal tersebut boleh dikatakan kedengaran saban tahun. Dalam hal ini, maka adalah wajar untuk kerajaan mencontohi model sekolah Cina meskipun dalam beberapa aspek lain, sekolah kebangsaan sebenarnya lebih baik berbanding sekolah aliran tersebut.

Seperti yang dikongsi oleh pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, ada beberapa perkara yang menjadikan sekolah Cina begitu cemerlang dalam Matematik dan Sains.

Pertamanya jelas pensyarah Sosiologi Pendidikan di Fakulti Pendidikan universiti berkenaan, adalah kesatuan terhadap kepentingan menguasai mata pelajaran itu. Ia wujud di kalangan ibu bapa, pentadbiran sekolah dan para guru yang akhirnya mengalir kepada pelajar itu sendiri.

Kesatuan sikap itu diterjemahkan dalam bentuk program yang bukan dibuat secara tahunan tetapi dijalankan setiap hari di sekolah dan di rumah. Di sekolah kebangsaan, pendekatan seperti itu juga ada diamalkan termasuk menerusi penganjuran kem Sains dan Matematik oleh kementerian. Tetapi ia kebiasaannya diadakan pada tiga bukan terakhir sebelum peperiksaan utama.

''Tindakan ini tidak mampu menzahirkan kumpulan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam jumlah yang ramai," ujar Timbalan Pengarah Pusat Perkembangan Pelajar UKM itu.

Faktor kedua mengapa sekolah Cina lebih cemerlang dalam subjek Sains dan Matematik adalah kerana adanya dana yang besar.

Dana itu pula tidak sewenang-wenangnya dibelanjakan sebaliknya digunakan bagi tujuan pencapaian akademik yang cemerlang.

Pengurusan perbelanjaan itu, kata Anuar, ada kaitan dengan budaya sekolah kebangsaan yang terlalu banyak mengadakan sambutan majlis atau acara tertentu. Ia secara tidak langsung menganggu tumpuan guru terutamanya dalam persediaan mengajar Sains dan Matematik yang memerlukan lebih tumpuan.

Faktor ketiga pula tambah Anuar, adalah bentuk pengajaran yang diterapkan.

Beliau yang mempunyai pengalaman belajar di sekolah Cina menjelaskan, bentuk pengajaran latih tubi lebih banyak ditekankan berbanding sekolah kebangsaan.

Menurut Anuar, seorang murid darjah empat misalnya, akan diarahkan oleh guru membuat latih tubi matematik antara 50 hingga seratus soalan setiap hari.

Di peringkat darjah enam pula, sebuah buku tulis latihan matematik yang mengandungi 100 muka surat akan habis digunakan dalam tempoh satu minggu sahaja.

"Malangnya kaedah ini kurang mendapat perhatian di kalangan guru sekolah kebangsaan kerana terpaksa memeriksa begitu banyak latihan pelajar," ujar beliau.

Dengan kelebihan-kelebihan di sekolah Cina itu, maka bukanlah sesuatu yang menghairankan sekiranya jumlah pelajar kaum lain terutamanya Melayu terus meningkat.

Dari satu sudut, perkembangan ini sememangnya sesuatu yang positif kerana ia memberi peluang kepada anak-anak Melayu menguasai kecemerlangan yang diterapkan di sekolah Cina.

Tetapi dari sudut yang lain, ia menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan terhakisnya keyakinan ibu bapa terhadap sekolah kebangsaan dalam melahirkan pelajar cemerlang terutamanya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Dalam jangka masa panjang, trend itu sekiranya terus meningkat akan menyebabkan peranan sekolah kebangsaan sebagai wadah perpaduan menjadi tidak lagi relevan. Malah, ia juga boleh menggugat usaha dan perancangan kerajaan untuk menjadikan sekolah kebangsaan sebagai induk kepada pendidikan. Maka, seharusnya sekolah kebangsaan segera berubah menjadi lebih baik.

Bagaimanapun menurut Anuar, dalam mencontohi model sekolah Cina, kerajaan juga perlu melihat kepada model-model sekolah agama persekutuan dan sekolah asrama penuh yang berprestasi tinggi. Ini kerana, harus diingat, sekolah Cina hanya terbaik dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan bahasa Inggeris sahaja.

Apa yang berlaku ialah pelajar sekolah Cina akan melanjutkan pengajian di kolej dan dengan sebahagian kecil sahaja memilih ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Justeru, pemahaman mereka tentang negara bangsa, kemasyarakatan, pembudayaan bahasa Melayu dan juga kebudayaan kebangsaan adalah sangat minimum.

''Oleh itu menjadikan sekolah Cina sebagai satu-satunya model mungkin kurang tepat," katanya.

Sebagai alternatif memperkasakan subjek Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan secara jangka panjang, beberapa pendekatan dilihat sangat tepat untuk dilaksanakan.

Antaranya tambah Anuar, adalah dengan melakukan transformasi secara besar-besaran dalam latihan guru Sains, Matematik dan bahasa Inggeris.

Kaedah pembelajaran dan pengajaran subjek itu juga harus berteraskan latih tubi dan bukannya secara deduktif sahaja. Fakulti pendidikan di setiap institusi pengajian tinggi dan institut perguruan harus menggerakkan usaha untuk menonjolkan kaedah baru bagi pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu.

Di samping itu, program kolaborasi guru sekolah Cina dan sekolah kebangsaan dalam tiga mata pelajaran itu juga wajar diadakan secara berterusan.

''Malah, kerajaan juga boleh melantik guru Sains dan Matematik dari sekolah Cina yang bersara untuk mengajar di sekolah kebangsaan," ujar Anuar.

Pembangunan mapan utamakan rakyat

ISU pembangunan mapan sering diperdebatkan sejak konsep ini diperkenalkan pada 1987 dalam Laporan Bruntland. Pembangunan mapan atau lestari memberi implikasi berbeza terhadap asas perancangan negara sama ada fizikal, sosial mahupun ekonomi.

Ia bermakna perlu wujudnya keseimbangan daripada segi ekonomi, alam sekitar dan sosial serta budaya masyarakat. Namun persoalannya adakah wujud keseimbangan yang dimaksudkan itu atau yang kita cari selama ini?

Rentak dan irama pembangunan telah berubah sejak Sidang Kemuncak Bumi Rio de Jeneiro pada 1992. Semua negara diberi amaran tentang perlunya manusia menjaga dan memulihara alam sekitar sewaktu giat mengejar kemajuan. Walaupun begitu, konsep pembangunan mapan itu sukar untuk ditakrif, difahami dan lebih-lebih lagi digunakan dalam aspek pembangunan negara. Ia telah mengundang perbahasan berterusan.

Kepelbagaian takrif tentang pembangunan mapan muncul berikutan keperluan untuk menyesuaikan tuntutan pembangunan mapan dengan keadaan setempat sesebuah negara. Lazimnya, konsep ini dikaitkan dengan suatu bentuk pembangunan seimbang. Ekonomi tumbuh segar bagi membina kekayaan. Kekayaan pula digunakan untuk membangunkan jati diri masyarakat. Dalam masa yang sama alam sekitar yang masih segar perlu dijaga dan dipelihara sementara yang rosak dipulihara. Ini supaya nikmat kemajuan masa kini boleh pula dinikmati oleh generasi akan datang.

Justeru, pembangunan itu harus seimbang antara ketiga-tiga komponen pembangunan mapan tadi.

Namun harus disedari bahawa sesuatu yang berada dalam keadaan keseimbangan itu tidak mungkin akan dapat melonjakkan perubahan. Jadi sebagai negara yang bergerak ke taraf negara maju, keseimbangan pembangunan perlu diperhalusi.

Hingga kini Malaysia belum memiliki takrifnya sendiri tentang pembangunan mapan. Walaupun begitu, prinsip-prinsip asas pembangunan mapan telah diterima pakai oleh Malaysia. Negara juga mempertahankan ekuiti antara generasi dalam tanggungjawab pembangunan, membangun hubungan manusia dengan alam sekitar yang lebih beretika, meningkatkan amalan terbaik bagi kegiatan dalam dunia korporat dan sebagainya. Kini, agenda pembangunan di setiap negara menggunakan konsep mapan bagi mendasari program pembangunan masing-masing.

Switzerland telah memberikan iltizam tanpa berbelah bagi untuk menggerakkan pembangunan berlandaskan konsep tersebut dengan memasukkan pembangunan mapan ke dalam perlembagaan negaranya. Sementara negara-negara miskin di Afrika mengubah suai konsep itu dengan menekankan soal pembangunan beretika.

Walaupun Malaysia mengamalkan prinsipprinsip mapan tetapi pembangunan di negara ini mengikut acuannya sendiri dengan tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi segar, kelestarian sosial diperteguhkan walaupun pada ketika tertentu alam sekitarnya terpaksa dikorbankan.

Oleh kerana Malaysia sendiri masih belum dapat menggerakkan secara lebih terarah intipati pembangunan mapan itu, negara terusterusan dihantui oleh pelbagai isu yang amat pelbagai sifatnya.

Daripada isu sampah-sarap yang terbiar hinggalah kepada perumahan terbengkalai. Ia mengundang pelbagai reaksi.

Apa yang tersirat di sebalik falsafah pembangunan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang jarang disentuh ialah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaya huni (livable country).

Pertumbuhan ekonomi yang tinggi dituntut untuk menjana pembangunan. Pembangunan modal insan yang berintegriti, beretika dan beriltizam; serta penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar menjadi tunjang pembangunan lestari yang mendasari prinsip negara berdaya huni.

Ketiga-tiga aspek tersebut perlu diharmoni dan diserasikan untuk memacu negara ke mercu kejayaan. Gagasan ini diperlihatkan melalui Wawasan 2020 dan diperhalusi menerusi Misi Nasional 2057. Lebih nyata, gagasan ini diterjemahkan melalui pembentangan Bajet 2007, 2008, 2009 dan diperteguhkan lagi dalam Bajet 2010.

Setelah menempuh tahun-tahun yang sukar untuk mencapai pembangunan yang diimpikan pada awal kurun ke-19, segala sumber semulajadi - bijih timah, hutan dan getah - telah disedut ke negara Britain untuk menyokong Revolusi Industri di sana.

Kini kita sendiri mengemudi negara menuju ke sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Walaupun demikian, pemusnahan alam sekitar pastinya berlaku untuk membangunkan kawasan pertanian. Dan setelah sekian lama, asakan pembangunan yang hebat ini kemudiannya merubah kawasan pertanian menjadi kawasan tepu bina atau bandar. Malahan ada juga kawasan yang berhutan bertukar menjadi kawasan perumahan, industri dan komersial.

Penduduk bandar melebihi jumlah 70 peratus penduduk negara ini. Namun jika mengikut sesetengah takrifan kawasan bandar, hampir 90 peratus penduduk Selangor kini tinggal di kawasan perbandaran. Justeru, adalah amat wajar untuk menubuhkan sebuah kementerian yang menjaga kepentingan warga bandar yang rata-ratanya berada di kalangan kelas bawahan dan selebihnya kelas menengah dan atasan.

Keputusan kerajaan untuk menukar nama Kementerian Wilayah Persekutuan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar semasa pembentangan Bajet 2010 amat dialu-alukan. Ia bukan sahaja akan memberikan kelegaan kepada warga bandar tetapi juga untuk meneruskan kelangsungan politik kerajaan sendiri kerana tidak semua penduduk bandar yang mampu mengharungi kehidupan yang kian mendesak.

Sebagai negara yang pesat membangun, Malaysia terpaksa juga berdepan dengan pelbagai kebenaran yang boleh menggugat kesejahteraan warga bandar. Malah menggugat keutuhannya sebagai sebuah negara merdeka dan akhirnya boleh menafikan gagasan Satu Malaysia.

Salah satu kebenaran yang terus-menerus menggegar ketenangan warga bandarnya adalah kemiskinan. Warga bandar dilihat paling mudah terancam (vulnerable) kerana peningkatan harga petroleum yang berterusan misalnya akan terus menggugat rentak kehidupan masyarakat bandar yang bergantung sepenuhnya kepada sumber tenaga tersebut untuk sebarang aktiviti ekonomi mahupun sosial.

Sementara jumlah warga yang diisytihar muflis, terlibat dengan pinjaman ah long, hutang kad kredit menunjukkan kehidupan di bandar yang kian mencengkam warganya.

Satu-satunya jalan terbaik untuk keluar dari situasi itu ialah meluaskan amalan cara hidup beretika. Amalan yang sewajarnya dimulakan dari dalam diri setiap insan untuk memastikan kehidupan mereka akan terus berada di dalam kesejahteraan pada masa kini dan masa hadapan.

Hubung kait antara pembangunan mapan yang diterjemahkan dalam bentuk bandar lestari dengan menelitinya melalui konsep bandar berdaya huni (livable city).

Konsep daya huni (livable) digembleng untuk meneliti aspek kelestarian bandar dalam konteks pembangunan lestari memberi makna bahawa penduduknya sentiasa ceria, sibuk dengan pelbagai aktiviti ekonomi, sosial dan fizikal yang segar, hening kehijauan, selamat, menarik dan sihat.

Maka tumpuan adalah terhadap masyarakat dan kehidupan harian sebagaimana yang dijelmakan dalam aspek pemikiran urbanisme baru. Ciri-ciri daya huni itu dirungkai menerusi kesan tindakan penduduk dalam kawasan perbandaran yang menggunakan perkhidmatan bandar setiap hari. Pendekatan itu membolehkan pemerhatian dibuat menerusi ruang dan masa dalam jangka singkat seperti dalam satu putaran harian.

Kumpulan penyelidik yang menggelarkan kumpulannya sebagai Kumpulan Penyelidikan Pembandaran Lestari (Sustainable Urbanization Research Group), di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini secara berterusan dan aktif melihat isu-isu pembangunan dan pembandaran mapan serta meneroka makna dan permasalahan yang berkait dengannya melalui konsep bandar berdaya huni tadi.

Konsep ini yang diartikulasikan menerusi keberdayahuniannya yang menjadikan bandar itu lebih "hidup dan menceriakan" penghuninya dari semua lapisan etnik dan peringkat umur. Sesuatu bandar itu sewajarnya bersih, penuh kehijauan, sihat, selamat, mempunyai daya tarikan sosioekonomi, wujud pertumbuhan ekonomi dan sebagainya. Semua komponen ini apabila wujudnya akan membawa kepada kesejahteraan bandar.

Dalam mengartikulasikan bandar berdaya huni ini, kepentingan pelbagai pihak diambil kira untuk membolehkan pengumpulan maklumat dan data yang lebih menyeluruh dari alam sekitar tabii, alam sekitar binaan, aktiviti ekonomi, dan aspek sosio-budaya masyarakatnya. Konsep daya huni bandar ini juga cuba melewati aras antara disiplin dan transdisiplin dalam penghayatan dan pengukuran bandar berdaya huni dan memenuhi hasrat besar negara untuk mencapai kesejahteraan yang diidamkan.

PENULIS ialah Felo Penyelidik dan Pensyarah Kanan, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Friday, November 20, 2009

Penjenayah disanjung, polis disinggung

ADA saja tindakan anggota polis yang tidak disenangi pihak tertentu. Apabila kadar jenayah meningkat, polis disalahkan dan dituduh tidak buat kerja. Polis dilabel makan gaji buta. Mereka juga dikatakan tidak peka.

Apabila ada penjenayah ditembak mati, lain pula cerita. Polis dikatakan membunuh dengan niat. Polis dituduh menyalahgunakan kuasa. Lebih teruk lagi tindakan polis dikaitkan dengan perkauman.

Tetapi jika polis yang ditembak mati oleh penjenayah atau polis terkorban dalam gerakan membanteras jenayah, tidak ada siapa peduli.

Tiada siapa yang membangkitkan kaum atau bangsa apa si penjenayah yang menyebabkan anggota polis itu terkorban atau tercedera. Tiada siapa juga mencadangkan supaya ditubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat kematian anggota polis.

Seperti yang ditegaskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak ada siapa yang simpati, jauh sekali mahu menghulurkan bantuan.

Paling-paling pun ayat yang terlontar daripada mulut kumpulan tertentu adalah: ''Oleh kerana dia (anggota yang terkorban) memilih untuk menjadi polis, maka ditembak penjenayah adalah takdir.''

Tidak pula mereka mengaitkan takdir dengan pilihan orang tertentu untuk bergelumang dengan jenayah sehingga rekod jenayah yang dicatatkan boleh saja dijadikan siri ensiklopedia.

Adakah di paras itu ukuran rasa hormat dan penghargaan rakyat negara ini terhadap tugas anggota polis? Adakah sebegitu adab rakyat Malaysia - penjenayah disanjung, anggota keselamatan disinggung?

Secetek itukah pemikiran kalangan rakyat negara ini sehingga tindakan polis dinilai berasaskan kaum dan bukannya alasan munasabah setiap das 'tindakan' yang dilepaskan?

Begitu juga dengan kes kematian penjenayah dalam tahanan. Jika melibatkan kaum tertentu, pantas anggota polis atau petugas penjara dituduh sebagai pembunuh. Seolah-olah apabila penjenayah itu terdiri daripada kaum tertentu maka niat polis tidak lain tidak bukan semata-mata untuk menamatkan riwayat hidup mereka?

Hakikatnya persepsi yang mengaitkan tindakan polis dengan penjenayah yang tercedera atau mati ditembak berasaskan kaum cukup untuk menggambarkan sejauh mana rakyat di negara ini saling percaya mempercayai.

Dan selepas lebih 50 tahun merdeka masih ada tanggapan seperti itu menunjukkan hubungan antara kaum masih rapuh. Lebih bahaya lagi apabila kerapuhan itu diserlahkan dalam usaha pihak berkuasa membanteras jenayah. Sedangkan proses membersihkan negara daripada jenayah hakikatnya tidak mengenal kaum dan tidak pernah ada batas atau sempadannya.

Bukankah sepatutnya kefahaman yang mesti ada dalam pemikiran rakyat Malaysia begini bentuknya - jika anggota polis terkhilaf dalam tindakannya sehingga membawa kematian di pihak penjenayah, ia bukan kerana perkauman.

Kekhilafan itu semestinya didorong oleh kelalaian di pihak polis itu sendiri dan bukannya kerana bangsa seseorang atau kumpulan penjenayah yang terlibat.

Secara asasnya, tugas polis itu sendiri berhadapan dengan jenayah dan penjenayah. Justeru mempertahankan diri sendiri dan orang lain adalah 'senjata' utama mereka. Jika ada yang terkorban dalam proses tersebut, perlu diteliti puncanya. Mengaitkan tindakan tersebut dengan kaum tertentu sahaja bukan jawapan malah ia mengundang bahaya yang boleh memporak-perandakan negara.

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
pengarang@utusan.com.my

Monday, November 2, 2009

Masa sesuai bincang sekolah satu aliran

Ketepi muslihat politik, emosi laksana dasar baru pelajaran

ISU berhubung cadangan melaksanakan sekolah satu aliran yang selama ini dianggap 'taboo' muncul kembali apabila tokoh sejarah dan akademik, Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim minggu lalu menyarankan sistem pendidikan negara disusun semula bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai.

Bercakap selepas menghadiri program wacana 'One Malaysia: Cabaran dan Harapan' sempena program semarak perpaduan dan patriotisme Institut Pendidikan Guru Malaysia peringkat kebangsaan di Bukit Mertajam, beliau menyifatkan sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu. Prof Khoo yang turut membayangkan ada pihak akan membantah cadangan itu, meminta mereka menilai semula sejauh mana sistem pendidikan sekarang boleh membantu mengukuhkan pembentukan negara bangsa.



Saranan profesor itu, yang beliau sendiri pernah lontarkan beberapa kali sebelum ini, tidak begitu mengundang reaksi sehinggalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambutnya dengan berkata, beliau secara peribadi bersetuju dengan sekolah satu aliran tetapi memahami bahawa dari segi sejarah, sistem persekolahan negara ini mempunyai pelbagai aliran. Sehubungan itu, beliau mahu perbincangan mengenai cadangan berkenaan diteruskan bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh daripada semua pihak.

Seperti dijangka, apabila isu seumpama itu disentuh oleh pemimpin kanan kerajaan, ia terus mengundang pelbagai reaksi. Seperti biasa juga, MCA, MIC dan pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil adalah antara paling awal menyuarakan bantahan seolah-olah cadangan itu bakal menjadi kenyataan dalam tempoh setahun dua ini. Kerana itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin terpaksa menjelaskan bahawa kerajaan akan mengambil kira pandangan rakyat sebelum membuat keputusan melaksanakan sekolah satu aliran bagi menjaga sensitiviti kaum di negara ini.

"Kerajaan akan hanya mengubah sesuatu dasar sekiranya dipersetujui rakyat dan jika sebaliknya, dasar sedia ada akan dikekalkan. Perubahan kepada sistem satu aliran memerlukan anjakan besar dari segi dasar dan ia juga menimbulkan persoalan sama ada masyarakat negara ini bersedia untuk menafikan hak memilih jenis pendidikan," kata Perdana Menteri.

Akhir tahun lalu, apabila Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir menyarankan penyatuan sistem persekolahan, beliau bukan saja dikutuk oleh pelbagai pihak, malah ada yang menuduhnya sebagai menghasut. Namun, suasana politik ketika itu berbeza, manakala Mukhriz, pula adalah seorang calon bagi kerusi Ketua Pergerakan Pemuda Umno. Walaupun niatnya ketika membuat saranan itu mungkin jujur untuk melihat satu sistem pendidikan yang mampu mengatasi masalah perpaduan kaum di negara ini, beliau masih dilihat sebagai bermain politik menjelang pemilihan Umno.

Bagaimanapun, Prof Khoo bukan ahli politik dan bukan juga seorang Melayu. Sebagai ahli sejarah dan akademik serta berjiwa Malaysia sejati, beliau mengambil peluang daripada iklim semasa politik negara dan penerimaan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri, dengan menimbulkan semula saranan itu. Sebagai ahli sejarah, beliau bercakap berdasarkan fakta. Hakikatnya, cadangan sekolah satu aliran bukannya perkara baru, malah lebih tua usianya daripada umur Malaysia merdeka.

Laporan Jawatankuasa Barnes 1950 memperakukan agar semua sekolah yang ada di Malaya ketika itu diubah menjadi sekolah kebangsaan, dengan murid daripada pelbagai kaum diajar melalui perantaraan bahasa Melayu dan Inggeris. Cadangan itu kemudian mendapat sokongan daripada Penyata Razak 1956, yang antara lain menyebut: "Tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini adalah bermaksud hendak menyatukan murid-murid dari semua bangsa di dalam negara ini dengan menggunakan satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan serta-merta melainkan hendaklah dibuat secara beransur-ansur."

Malangnya selepas lebih setengah abad kedua-dua perakuan yang bertujuan melahirkan satu bangsa Malaysia sebenar itu dibuat, ia bukan saja belum menjadi kenyataan, malah cadangan dan perbincangan mengenainya pun sering kali mencetuskan pertelingkahan. Lebih malang lagi, bantahan terhadap cadangan itu bukannya daripada parti pembangkang tetapi oleh parti-parti komponen dalam kerajaan sendiri, yang sepatutnya menjadikan sebarang usaha ke arah penyatuan bangsa sebagai agenda utama pemimpin mereka.

Ternyata mereka lebih mengutamakan kepentingan diri dan agenda politik jangka pendek daripada matlamat mewariskan sebuah negara yang bebas perkauman kepada generasi masa depan. Walaupun ada pihak berpendapat pelaksanaan sistem satu aliran bukan faktor tunggal ke arah penyatuan bangsa Malaysia, langkah menutup terus perbincangan secara rasional dan jujur mengenainya, menjauhkan lagi rakyat daripada mencapai matlamat itu.

Justeru, apabila saranan terbaru mengenai sekolah satu aliran ini mendapat sokongan beberapa Ahli Parlimen pembangkang, ia memberi harapan baru walaupun pelaksanaannya mungkin mengambil masa panjang dan memerlukan pengubahsuaian. Gagasan 1Malaysia menjadikan saranan ke arah mewujudkan sekolah satu aliran kembali relevan dan perbincangan sihat mengenainya di pelbagai peringkat rakyat harus digalakkan.

Mengambil semangat Penyata Razak yang menyarankan supaya pelaksanaan sistem itu dilakukan secara beransur-ansur, inilah masa paling sesuai untuk memulakannya dengan perbincangan yang bebas daripada emosi dan muslihat politik. Pertubuhan bukan kerajaan, kumpulan pemikir dan institusi pengajian tinggi termasuk swasta boleh memulakan inisiatif ini kerana mereka lebih dipercayai rakyat daripada parti politik. Walaupun ada golongan yang akan terus mempolitikkan isu ini, biarlah rakyat membuat keputusan. Yang pasti, rakyat terutama generasi muda boleh menilai apa yang terbaik untuk masa depan mereka dan negara jika diberi kefahaman yang jelas mengenai baik buruk cadangan itu.

Setiap kaum di Malaysia diberi peluang pilih sistem pendidikan sendiri

PELAKSANAAN dasar sekolah satu aliran di negara ini adalah idea yang baik dan ia juga bukan isu baru tetapi ditimbulkan dari semasa ke semasa, bergantung kepada suasana politik semasa. Didorong oleh pendekatan gagasan 1Malaysia, membuatkan tokoh akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Khay Kim melontarkan cadangan itu baru-baru ini dengan gesaan supaya kerajaan menyusun semula sistem pendidikan negara melalui pelaksanaan sekolah satu aliran. Ini bukan kali pertama Prof Khoo membuat saranan itu tetapi setiap kali beliau mengemukakan cadangan berkenaan, bantahan akan kedengaran. Prof Khoo ada alasan tersendiri apabila menyifatkan sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu. Cadangan itu turut disambut baik Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang di Dewan Rakyat kerana yakin perpaduan antara kaum perlu menjadi matlamat utama kerajaan dan dengan itu sekolah satu aliran mungkin menjadi titik tolak ke arah itu. Namun, seperti dijangka Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Persatuan Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Malaysia tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana mereka percaya setiap bangsa di negara ini mempunyai warisan kebudayaan, termasuk bahasa ibunda yang perlu dipertahankan menerusi pendidikan asas. Malah dua parti komponen BN yang berasaskan kaum, MCA dan MIC juga mahu sistem pendidikan sekolah pelbagai aliran dikekalkan, sekali gus menolak sepenuhnya cadangan melaksanakan sekolah satu aliran di negara ini.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin menutup isu berkenaan apabila menyatakan bahawa dasar sekolah satu aliran hanya akan dilaksanakan apabila rakyat mahu dan bersedia menerimanya sesuai dengan semangat 1Malaysia. Ini bermakna, masyarakat belum bersedia untuk membuat perubahan itu kerana masih ada kelompok kaum yang membantah saranan ke arah itu. Kita bersetuju dengan penolakan Najib itu kerana tidak ada gunanya kerajaan mengubah dasar kepada sekolah satu aliran jika keputusan itu boleh menyebabkan perbalahan dan ketegangan dalam politik, masyarakat dan sosial. Kita tidak mahu isu ini pula menjadi kontroversi yang berupaya merenggangkan hubungan antara kaum yang sudah melalui pelbagai isu sejak kebelakangan ini. Dengan itu, ketegasan yang dibuat Najib menyerlahkan kewibawaannya untuk mengekalkan keharmonian dalam masyarakat. Ini juga selaras dengan matlamat membawa perpaduan selaras semangat 1Malaysia. Ini juga bermakna, kerajaan sekarang sentiasa mengambil kira pandangan rakyat terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan bagi menjaga sensitiviti kaum di negara ini dengan memberi peluang setiap etnik berhak memilih jenis pendidikan yang mereka mahu. Mungkin mereka yang membantah itu akhirnya nanti akan menerima sistem pendidikan satu aliran meskipun kita terpaksa menunggu 10, 20 atau 30 tahun lagi apabila rakyat bersedia menerima satu bangsa Malaysia.