Thursday, July 22, 2010

Dunia perlu tahu kisah sebenar penderitaan di Gaza

KESENGSARAAN penduduk Gaza sukar untuk digambarkan dalam dunia moden ini, namun itulah realiti yang terpaksa dihadapi di bawah sekatan rejim Zionis Yahudi di Palestin. Penderitaan didedahkan media massa dan bantahan masyarakat antarabangsa yang menentang kekejaman tentera Yahudi tidak sedikit pun dapat meringankan penderitaan mereka, sebaliknya Yahudi semakin angkuh kerana mendapat sokongan negara sekutunya, Amerika Syarikat dan Britain.

Namun, keganasan Yahudi yang terus bertindak kejam ke atas rakyat Palestin tanpa belas kasihan, tidak akan mematah semangat rakyat Malaysia untuk terus menyokong dan menghantar misi bantuan bagi meringankan kesengsaraan mereka. Kita yakin ramai rakyat Malaysia yang simpati dan sedia berkongsi penderitaan yang dialami kira-kira 1.5 juta rakyat Palestin di Gaza

Ini dibuktikan dengan penghantaran pasukan sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) yang membawa pelbagai bantuan kemanusiaan ke Gaza selama empat hari yang berakhir kelmarin. Yang pasti, kehadiran PBSM dari Malaysia yang membawa pelbagai bantuan kemanusiaan ke Gaza itu dapat membuka mata masyarakat antarabangsa betapa penduduk Gaza sangat terdesak untuk mendapatkan bahan makanan, pakaian dan ubat-ubatan bagi meneruskan kehidupan yang serba kekurangan, angkara kekejaman rejim Yahudi yang tidak berperikemanusiaan. Untuk keperluan kesihatan, membeli perkakasan baru serta meningkatkan kepakaran dalam bidang perubatan saja, mereka memerlukan RM16 juta. Justeru, rakyat Malaysia yang sentiasa mengikuti pergolakan di Palestin, wajar tampil untuk menyokong misi bantuan kemanusiaan ke Gaza. Ini termasuk Program Ramadan anjuran PBSM bagi mengumpulkan makanan untuk penduduk serta pakaian kanak-kanak Palestin menjelang Aidilfitri tidak lama lagi. Program ini memerlukan sumbangan individu, persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun badan korporat.

Misi PBSM pastinya turut membawa pulang pelbagai fakta dan bukti baru mengenai kekejaman Yahudi yang mengenakan pelbagai sekatan ke atas penduduk Palestin. Sekurang-kurangnya anggota misi itu membawa pulang pengalaman untuk diceritakan dan digambarkan sebagai paparan rakyat di negara ini. Inilah hakikat yang tersingkap di sebalik runtuhan bangunan, kehancuran tamadun dan kesengsaraan penduduk Gaza.

Semua ini dapat dikongsi dan direnung bersama untuk dijadikan pedoman dan panduan. Selama ini, media pro Zionis atau yang dibiayai pemodal Yahudi sentiasa memutarbelitkan fakta mengenai kejadian yang berlaku di Palestin. Kini, media laman sembang sosial adalah saluran terbaik menceritakan kepada dunia apa yang sebenarnya berlaku kepada penduduk Palestin sejak ditindas Yahudi lebih 60 tahun lalu.

Malaysia perlu terus mempelopori gerakan membantu penduduk Palestin dalam pelbagai aspek lain. Kita percaya cadangan PBSM mengadakan program pertukaran doktor dari Malaysia dan Gaza boleh membantu meningkatkan mutu perkhidmatan perubatan dan kesihatan di negara berkenaan pada masa depan. Kita juga boleh menimbangkan membawa keluar kanak-kanak Palestin yang cedera untuk mendapatkan rawatan serta menjalani proses pemulihan fizikal dan trauma di negara ini.

Sosioekonomi rakyat paling rendah kesan bencana alam

BANJIR dan kemarau - dua bencana alam yang mengancam kehidupan rakyat Kemboja termasuk 500,000 etnik Melayu Cam yang majoriti sebagai pesawah padi di luar bandar serta pedalaman negara itu.

Sebagai negara pertanian dan miskin, sosioekonomi Kemboja sangat rapuh berikutan kebergantungan penduduknya kepada sumber bekalan air semula jadi dari telaga dan sungai yang di luar kawalan kerana tiada sistem pengaliran ke sawah padi serta bekalan air ke rumah kediaman.

Dr Haliza Abdul Rahman, dari Sekolah Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di Kelantan, yang pernah melakukan kajian mengenai Lembangan Mekong dan perubahan cuaca global mendapati Kemboja antara negara paling teruk menerima kesan itu sehingga merubah kitaran hidrologikal serta kehadiran kemarau dan banjir secara ketara. Semua ini memberi kesan ketara terhadap kawasan kediaman, kegiatan pertanian dan kesihatan rata-rata penduduknya.

Beliau berkata, suhu di Kemboja naik 0.8 darjah Celsius sejak 1960 dan terus meningkat lagi antara 0.3 hingga 0.6 darjah Celsius menjelang 2025. Ia diramalkan melonjak 0.7 hingga 2.7 darjah Celsius menjelang 2060.

“Jumlah hujan di Kemboja dijangka meningkat, tetapi magnitutnya tidak menentu. Justeru, negara itu berdepan ancaman terhadap pengeluaran makanan dan keselamatan bekalan makanan,” katanya yang pernah membentangkan kertas kerja bertajuk: Lembangan Sungai Mekong dan Perubahan Cuaca: Ancaman Kepada Kemboja? pada Persidangan Antarabangsa Warisan Melayu di Indochina di Phnom Penh, 25 Jun lalu.

Kajian Kementerian Alam Sekitar Kemboja mendapati perubahan cuaca dijangka meningkat ketika musim hujannya dan mengurangkan hujan pada musim kering.
Ketika ini, 80 peratus penduduk negara itu adalah petani dan data bagi tempoh lima ini mendapati 70 peratus kemusnahan hasil padi disebabkan banjir, 20 peratus lagi akibat kemarau dan baki 10 peratus diserang penyakit.

“Lazimnya, sehingga 2 juta hektar sawah ditanam padi, tetapi (data) pada 2002 mendapati hanya 700,000 hektar diusahakan kerana kekurangan hujan,” katanya.

Data banjir paling buruk pada 2000-2001 menunjukkan 16 wilayah mengalami kerosakan akibat limpahan air Sungai Mekong dan Tonle Sap berikutan hujan lebat.

Bayangkan ketika musim kering, saiz Tonle Sap hanya kira-kira 2,600 kilometer persegi, tetapi zon limpahan airnya meliputi kawasan seluas 16,000 kilometer persegi ketika musim tengkujuh.

Lebih 70 peratus penduduk negara itu juga bergantung sumber protein daripada ikan Tasik Tonle Sap bernilai AS$2 bilion setahun. Lebih 3 juta daripada 15 juta penduduknya bergantung kepada tasik terbesar di Asia Tenggara itu.

Selain pertanian, kesan kemarau turut mengancam 500 spesies ikan air tawar yang sebahagiannya mati ketika musim itu.

“Cuaca yang ekstrem mengancam pengeluaran ikan berikutan kehilangan stok akuakultur serta kemusnahan infrastruktur perikanan dan akuakultur. Perubahan dalam pengeluaran ikan akan memberi impak besar kepada penduduk yang bergantung kepada perikanan sebagai kegiatan utama sara hidup mereka,” katanya.

Perubahan cuaca turut meningkatkan ancaman penyakit seperti demam denggi dan malaria serta impak fizikal serta psikologi lain. Pada 2007, 40,000 kes demam denggi dilaporkan di negara itu dan menyebabkan 404 kematian. Malah pihak berkuasa kesihatan, turut menjangkakan serangan wabak denggi lebih buruk berikutan peningkatan pembiakan nyamuk.

Penduduk Melayu Cam yang majoritinya tinggal dalam zon limpahan banjir tasik Tonle Sap dan Sungai Mekong sentiasa menghadapi fenomena cuaca ekstrim itu sepanjang tahun.

Ketiadaan hasil pertanian untuk dijual menyebabkan mereka tidak mempunyai pendapatan (wang) untuk digunakan bagi keperluan lain sekali gus meletakkan tahap sosioekonomi mereka di tahap paling rendah.

Wednesday, July 21, 2010

Perpaduan ummah bukan hanya isu politik

Agenda harus merangkumi keseluruhan sektor kehidupan

DISKUSI perpaduan ummah di negara kita pada kali ini harus berbeza daripada kebiasaannya sekiranya kita ingin melihat cita-citanya terjelma. Sejak mengikuti wacananya beberapa minggu yang lalu mengenai perkara ini, kita mendapati, ia seperti akan mengulangi kegagalan seperti sebelumnya. Ini disebabkan oleh dua faktor berikut:

Pertama, kita mendapati, tema perbincangan berkaitan agenda perpaduan ummah ini masih berkisar sekitar aspek penyatuan politik antara dua parti terbesar yang mewakili umat Melayu-Islam di negara ini iaitu UMNO dan PAS. Seperti yang kita sedia tahu, tema ini sudah kesekian kali dibahaskan dan ternyata tidak dapat direalisasikan.

Faktor kedua pula ialah kerana penonjolan matlamat bagi usaha perpaduan ini yang sering dirujuk bagi memastikan kuasa politik Melayu di negara ini terus kekal dan kebal. Matlamat ini murni, namun dari sudut berlainan, ia sebenarnya sudah tidak lagi sejajar dengan perkembangan struktur nilai dan budaya baru yang tumbuh dalam negara sejak beberapa dekad terakhir ini.

Pada saya, sekiranya kita ingin melihat agenda perpaduan ummah di negara ini dapat benar-benar dijayakan, maka ia harus memenuhi beberapa prasyarat berikut:

Pertama, agenda perpaduan ummah ini harus merentasi dua parti politik terbesar UMNO dan PAS ini. Sekiranya kita masih terikat dengan dua pertubuhan ini dan menganggap bahawa perpaduan kedua parti ini akan membawa kepada perpaduan ummah seluruhnya, maka ini bererti kerangka pemikiran kita tidak sejajar dengan pertumbuhan struktur sosio-politik di negara kita mutakhir ini.

Apakah asas kepada penyataan ini? Asasnya ialah, secara hakikatnya, kedua-dua pertubuhan politik UMNO dan PAS cuma mewakili sebahagian daripada aspirasi umat Islam di negara ini dari sudut politik. Harus diakui iaitu, kedua-dua pertubuhan ini kini hanya antara pilihan yang ada bagi umat Islam menyatakan cita-cita dan hasrat politik mereka. Ada beberapa lagi pertubuhan politik yang dianggotai oleh sebahagian besar juga umat Islam secara sah di negara ini yang tidak boleh sama sekali dikesampingkan di dalam konteks perbicaraan berhubung agenda perpaduan ummah.
Dalam keadaan sama, kita juga harus menyedari iaitu proses pembangunan ummah di negara ini kini tidak hanya lagi disumbangkan menerusi saluran politik saja. Mutakhir ini, elemen masyarakat madani atau pertubuhan sivil sudah menyumbang secara berkesan terhadap pembangunan ummah. Pertubuhan masyarakat madani ini tumbuh di dalam pelbagai bidang dan pengkhususan sama ada berorientasi agama, sosial dan ekonomi, sudah mengambil daya usaha tinggi menjayakan pembangunan ummah pada peringkat akar umbi. Dalam hubungan ini, aspek politik kini hanya menjadi sebahagian daripada keseluruhan unsur yang pelbagai di dalam struktur ummah di negara kita hari ini.

Rentetan itu, kita juga perlu mengambil kira sumbangan dan peranan dewan perniagaan, yayasan malah syarikat yang dipimpin oleh warga umat Islam yang juga mempunyai pengaruhnya dan kekuatannya yang tersendiri di dalam konteks pembangunan ummah seluruhnya.

Dalam erti kata lain, struktur sosio-politik umat Islam di negara ini kini sudah begitu dinamik dan rencam. Seluruh unsur saling berkait dan berperanan di dalam mewakili dan menjayakan agenda ummah. Tidak ada mana-mana unsur ini yang memonopoli yang lain kerana semuanya berada dalam suasana hidup bersifat organik yang saling di dalam keadaan memerlukan.

Inilah antara asas berfikir secara keseluruhan yang harus menjadi aspek penting untuk diperhalusi sekiranya usaha menggerakkan perpaduan ummah ini ingin dijayakan. Dalam maksud lain, sekiranya kita ingin melihat agenda perpaduan ummah ini dapat direalisasikan, maka ia harus merentasi sempadan dua politik terbesar UMNO dan PAS. Agenda perpaduan ummah ini harus bersifat menyeluruh dengan membabitkan seluruh sektor kehidupan ummah masa kini meliputi unsur ekonomi, sosial dan budaya. Agenda perpaduan tidak harus hanya tertumpu kepada aspek penyatuan politik semata-mata.

Antara perkara lain yang juga perlu diperhalusi semula ialah berkaitan matlamat akhir bagi usaha perpaduan ummah ini. Seperti yang dinyatakan sebelumnya, matlamat yang ditonjolkan ialah berkaitan kepentingan bagi memastikan kuasa politik Melayu sentiasa terpelihara.

Seperti disebutkan, walaupun cita-cita ini murni, pada pandangan saya, penghuraiannya harus lebih meluas dan teliti. Matlamat utama agenda perpaduan ummah ini harus tertumpu kepada cita-cita bagi membina kekuatan umat Islam di dalam memastikan ketahanan negara Malaysia mendepani cabaran sezaman.

Menerusi kaca mata ini, agenda perpaduan ummah ialah satu bentuk daya usaha umat Islam bermatlamat untuk mengukuhkan kedudukan mereka dari pelbagai aspek kehidupan meliputi pelbagai seperti keilmuan, kebudayaan, ekonomi, keutuhan sosial dan politik. Selaku kelompok tonggak, kekuatan umat Islam dari pelbagai sudut akan menyumbang secara langsung terhadap pembangunan keupayaan dan kualiti kepemimpinan Malaysia di pentas nasional dan antarabangsa.

Kita yakin perluasan huraian mengenai matlamat dan cita-cita perpaduan ummah ini mustahak sekali. Kejelasan dan dinamika matlamat ini mampu menarik penyertaan yang menyeluruh segenap unsur dari struktur kehidupan umat Islam semasa ke arah menjayakannya.

Perluasan huraian matlamat ini juga boleh mendorong kepada suatu perbahasan yang sihat dan produktif mengenainya dari segenap peringkat masyarakat.

Sekiranya agenda perpaduan ini dipandang prejudis dan ditanggap mempunyai tujuan tersirat oleh mana-mana pihak, maka ia tentu tidak akan mencapai kejayaan. Apatah lagi sekiranya agenda perpaduan ummah ini dilihat mempunyai tujuan dan kepentingan politik tersendiri oleh mana-mana pertubuhan atau kumpulan masyarakat.

Inilah antara beberapa aspek penting yang perlu terlebih dulu diperdebatkan dalam media arus perdana berhubung agenda perpaduan ummah yang kini semakin subur diwacanakan. Diskusi berkaitan aspek ruang lingkup dan cita-cita murni daripada agenda perpaduan ummah ini adalah asas pemikiran awal yang harus digiatkan kerana ia boleh menyumbang kepada mewujudkan sebuah persekitaran yang sihat ke arah penterjemahannya.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)