Wednesday, September 24, 2008

AS menuju era kemuflisan?

KIRA-KIRA 11 tahun lalu ketika negara-negara Asia seperti Thailand, Indonesia, Korea dan Malaysia dilanda kegawatan ekonomi, Amerika Syarikat (AS) yang merupakan pendokong sistem kapitalis menentang sebarang campur tangan kerajaan dalam membantu syarikat-syarikat yang bermasalah.
Pada AS segala-galanya perlu ditentukan oleh pasaran. Jika sesuatu ekonomi jatuh maka ia tidak boleh dihalang. Syarikat-syarikat berkepentingan nasional tidak boleh diselamatkan oleh kerajaan.
Sebaliknya biar pasaran yang menentukan termasuk membiarkan syarikat terbabit ditelan oleh gergasi luar terutama dari AS.
Ketika itu nasihat atau lebih dibaca sebagai amaran oleh AS kepada negara terbabit termasuk Malaysia ialah biar pasaran yang tentukan caranya, kerajaan jangan masuk campur.
Walaupun negara-negara itu terpaksa berhadapan dengan pelbagai kesukaran seperti kadar pengangguran yang tinggi, kemiskinan meningkat dan keadaan politik menjadi kucar kacir AS tetap bertegas mempertahankan sistem pasaran bebasnya.
Malah, negara kuasa besar itu juga dengan sewenang-wenang menggelar negara-negara terbabit sebagai muflis atau bankrap kerana terpaksa berhutang untuk mengatasi kegawatan ekonomi selain berhadapan dengan belanjawan defisit berbilion dolar.
Malaysia juga tidak terlepas, apabila ia ekonominya dikatakan sebagai bermasalah ekoran belanjawan defisit.
Tetapi hari ini di sebalik segala kebongkakan AS 11 tahun lalu, negara itu terpaksa berhadapan dengan realiti pasaran bebas yang diagung-agungkannya.
AS kini berhadapan dengan krisis kewangan antara yang terburuk dalam sejarahnya yang boleh mengheret kuasa ekonomi itu ke arah kemuflisan.
Walaupun pentadbiran Bush masih lagi mempertahankan ego kononnya ekonomi mereka masih baik, dan krisis yang membabitkan institusi kewangannya terkawal, tetapi hakikatnya ekonomi AS sedang berhadapan dengan masalah besar.
Pada hari ini syarikat-syarikat kapitalis gergasi yang menjadi kebanggaan AS dan ada antaranya berusia lebih 100 tahun tersungkur kerana pentadbiran dan pengurusan pelaburan yang tidak betul.
Firma sekuriti keempat terbesar di AS, Lehman Brothers yang pejabatnya gah tersergam di Time Square, New York kini muflis.
Sebelum itu AS terpaksa mengingkari peraturan ciptaannya sendiri apabila kerajaan mengambil alih syarikat insuransnya yang terbesar, American International Group Inc. (AIG) dengan memberikan pinjaman AS$85 bilion (RM289.9 bilion).
Krisis itu tidak berhenti begitu sahaja. Sejak dua minggu lalu kerajaan AS telah mengambil alih dua syarikat pembiaya pinjaman hartanah terbesar, Fannie Mae dan Freddie Mac. Sementara firma pelaburan terkenal Merrill Lynch telah dipaksa supaya dijual kepada Bank of America kerana diancam kemuflisan.
Kini hampir keseluruhan institusi kewangan di AS terutama yang terbabit dengan pembiayaan pembelian hartanah lumpuh dan pasaran kreditnya kini beku. Antara puncanya ialah pengurusan hutang dan pinjaman yang tidak terkawal hingga membebankan sektor kewangan negara itu.
Atas nama kepentingan rakyat dan demi memastikan rakyat AS terus mempunyai kediaman maka pentadbiran Bush telah meminta Kongres memperuntukan wang pembayar cukai sebanyak AS$700 bilion untuk membeli semua hutang dalam sektor hartanah bagi membolehkan institusi- institusi kewangan terbabit kembali bernafas dan pasaran kreditnya boleh dicairkan semula.
Peruntukan AS$700 bilion itu merupakan usaha kerajaan AS untuk menyelamat atau bailout institusi-institusi kewangannya yang nazak. Langkah itu pernah ditentang oleh AS 11 tahun lalu apabila kerajaan Malaysia mahu membantu syarikat-syarikat berkepentingan nasional menghadapi gelombang krisis ekonomi supaya ia tidak terlepas ke tangan kapitalis luar.
Jika 11 tahun lalu AS lantang menentang, tetapi hari ini itulah langkah yang diambilnya dengan alasan untuk kepentingan rakyat. Itulah alasan yang diberikan oleh Bush dalam memujuk Kongres meluluskan peruntukan AS$700 bilion itu. Sedang kerajaan Malaysia ketika melaksanakan langkah yang sama 11 tahun lalu juga demi kepentingan rakyat.
Tindakan AS itu ibarat meludah ke langit yang mana akhirnya ia jatuh ke muka sendiri. Jumlah AS$700 bilion itu merupakan angka yang cukup besar yang boleh mengheret negara kuasa besar itu ke kancah hutang yang terbesar dalam sejarahnya.
Jika sebelum ini AS melabelkan negara kecil yang berhadapan dengan beban hutang luar dan bajet defisit sebagai negara yang muflis, kini jika faktor dan kriteria itu diambil kira kuasa besar itu juga kini di ambang kemuflisan.
Pada masa kini AS mengalami belanjawan defisit kira-kira AS$3 trilion (RM2,386.98 bilion) setahun. Malah AS$700 juta yang diminta supaya diluluskan segera oleh Kongres dalam usaha untuk menyelamatkan institusi kewangannya turut menekan lagi kedudukan ekonominya secara keseluruhan.
Bersandiwara
Tetapi, sebagai kuasa besar AS tetap angkuh. Pentadbiran Bush tetap bersandiwara. Dalam keadaan ekonomi yang hampir runtuh itu, Bush tetap mendakwa kedudukan ekonomi mereka masih stabil dan mantap.
Jika bajet defisit itu diambil kira ditambah pula dengan kadar pengangguran mencecah tujuh peratus setahun dan disertai dengan krisis yang melanda institusi kewangannya kini, ekonomi AS sebenarnya cukup parah. Krisis itu ibarat meletakkan garam pada luka yang menjadikan ia lebih pedih dan berbisa.
Jika AS$700 bilion itu tidak diluluskan oleh Kongres, sektor hartanah di negara itu akan lumpuh kerana institusi terbabit tidak mampu lagi untuk memberikan pinjaman.
Untuk itu, penggubal dasar di AS kini bersengkang mata mencari penyelesaian kepada krisis itu.
Keadaan bertambah rumit apabila rakyat mempersoalkan hasrat pentadbiran Bush untuk menggunakan wang cukai mereka bagi mengambil alih hutang-hutang institusi kewangan terbabit.
Tetapi apa pilihan yang kerajaan AS ada? Yang penting sistem kewangannya perlu diselamatkan. Institusi ini perlu dipastikan dapat bergerak seperti biasa dan mampu berfungsi sewajarnya.
Caranya ialah dengan membebaskan mereka daripada hutang-hutang lapuk. Untuk itu kerajaan akan menggunakan AS$700 bilion wang rakyat untuk 'membeli' hutang-hutang tersebut.
Tetapi hakikat yang mungkin ramai tidak tahu ialah, cadangan kepada usaha menyelamat itu akan menyebabkan hutang yang ditanggung AS meningkat daripada AS$10.6 trilion (RM36.15 trilion) kepada AS$11.3 trilion (RM38.54 trilion).
Sebab itu para penganalisis menggelar usaha yang dilakukan oleh Washington itu sebagai ibu kepada segala usaha menyelamat atau mother of all bailouts dalam dunia ini.
Kebimbangan yang wujud ialah adakah AS$700 bilion (RM36.25 trilion) itu akan digunakan sewajar dan turut memberi manfaat kepada rakyat. Adakah betul jika AS$700 bilion itu diagih-agihkan pasaran kredit negara kembali cair dan institusi kewangannya pula mampu pulih.
Sebab itu, ahli-ahli Kongres pula mahukan jaminan agar peruntukan itu turut digunakan untuk membantu rakyat dengan istilah yang digunakan 'Main Street' di samping institusi kewangan gergasi di Wall Street yang hilang berbilion dolar kepada keputusan pelaburan yang dangkal.
Rancangan utama pelan menyelamat AS$700 bilion itu ialah untuk mengeluarkan hutang tidak berbayar daripada buku akaun institusi kewangan terbabit dengan harapan mereka dapat meneruskan operasi pinjaman.
Mother of all bailouts ini jika dicampur dengan kos kerajaan mengambil alih Fennie, Freddie dan AIG sebenarnya mencecah AS$1 trilio (RM3.41 trilion).
Apakah maknanya semua itu? Ia boleh ditafsirkan bahawa AS kini sedang menuju ke arah muflis kerana terpaksa menanggung hutang puluhan trilion dolar akibat pengurusan dan pelaburan oleh institusi kewangannya yang tidak cekap.
Kesimpulan ini dibuat berdasarkan kriteria yang digunakan oleh AS sendiri apabila dengan sewenang-wenang melabelkan negara kecil seperti Malaysia sebagai muflis ketika berhadapan dengan krisis kewangan.
Kini AS dikatakan sedang meninjau bantuan daripada Jepun dan China untuk membantunya.
Ia menggarapkan dua negara gergasi Asia itu dapat membeli aset dan menyuntik modal dalam institusi kewangannya supaya kembali bernafas dan seterusnya menggerakkan kembali sistem kewangannya yang hampir lumpuh.

Sunday, September 21, 2008

Soal Jawab: ISA bukan kekang kegiatan orang politik

Pendekatan mencegah sebelum merawat langkah terbaik kekal keharmonian rakyat

PENANGKAPAN penulis blog, Raja Petra Kamaruddin; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Jit Poh, Tan Hoon Cheng, menghangatkan semula perdebatan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Bagi sesetengah pihak, ISA sudah ketinggalan zaman dan bertentangan dengan hak asasi manusia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, mempunyai pandangannya, terutama apabila menyentuh soal keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Ikuti temu bual bersama wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin.AKTA Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dilabel sebagai Draconian (sangat keras) serta sepatutnya hanya digunakan terhadap anasir subversif yang mahu menggulingkan kerajaan dengan cara paksaan dan bukan terhadap ahli politik, wartawan dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan. Apakah penjelasan Datuk Seri.

ISA terhadap pihak yang terbabit dalam aktiviti subversif seperti pengganas Komunis adalah sejarah. Dalam konteks sekarang, ISA adalah undang-undang pencegahan untuk mengelakkan berlaku ancaman kepada ketenteraman awam dan keamanan. Itu adalah objektif utama ISA. ISA bukan tindakan selepas ancaman berlaku, tetapi tindakan pantas bagi mengelakkan sebelum sesuatu perkara berlaku.

Sejak merdeka sama ada secara sedar atau tidak, ISA berjaya memelihara keamanan dan ketenteraman awam. Elemen utama akta ini adalah ketenteraman awam dan keselamatan.

Apakah ketenteraman awam dan keselamatan?

Pertama ialah jika didapati tindakan atau kelakuan seseorang itu boleh melahirkan ancaman kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam seperti menyebabkan konflik, rusuhan dan perang saudara. Ini membabitkan perasaan benci meliputi isu agama, kaum dan budaya.

Kedua, tindakan yang dianggap boleh menjejaskan ekonomi negara seperti boleh menyebabkan ekonomi negara lumpuh, pelabur lari dari negara ini kerana takut akibat keadaan tidak menentu. Begitu juga aktiviti sindiket mengeluarkan kad pengenalan dan pasport palsu yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Pihak yang terbabit boleh dikenakan tindakan bagi mencegah kegiatan terus berlaku. Ketiga, pihak yang mengancam perkhidmatan perlu dan penting seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga boleh dikenakan tindakan ISA.

Masih ramai mengaitkan ISA dengan ketidakadilan dan campur tangan politik.

Orang berkata ISA adalah undang-undang yang membolehkan penahanan di bawah kuasa Menteri (Keselamatan Dalam Negeri) dan penahanan tanpa bicara. Orang selalu lupa bahawa ISA mempunyai dua bahagian penting.

Pertama ialah mengikut Seksyen 73(1) yang memberi kuasa kepada polis mengambil tindakan awal menahan mana-mana pihak yang dianggap boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam. Tindakan ini membolehkan polis menahan seseorang sama ada selama 24 jam, dua hari dan seminggu dengan tempoh maksimum selama 60 hari. Jika dalam jangka masa itu tidak ada kes menunjukkan ada ancaman, pihak polis boleh melepaskan. Perkara ini adalah budi bicara polis sepenuhnya. Ini membolehkan polis menjalankan kerja risikan bagi menentukan perkara ini tidak merosakkan ketenteraman awam.

Penahanan ini bukan suatu kesalahan jenayah dan tidak dituduh mengikut Kanun Keseksaan atau Akta Hasutan. Tempat tahanan berbeza dengan mereka yang ditahan mengikut akta lain. Mereka yang ditahan reman dimasukkan dalam lokap, manakala tahanan ISA mempunyai sel sendiri yang lengkap dengan tempat tidur.

Tahanan ISA mempunyai hak untuk habeas corpus (writ hak untuk mencabar kesahihan penahanan seseorang) berjumpa keluarga, mendapatkan peguam dan apabila dibebaskan tidak mempunyai rekod melakukan kesalahan jenayah atau seperti tertuduh yang dilepaskan kerana tiada kes. Ini adalah semata-mata untuk ketenteraman dan keselamatan awam.

Polis tidak perlu merujuk kepada menteri untuk mengambil tindakan ini. Cuma sebagai Menteri Dalam Negeri, polis akan memberitahu tindakan itu diambil kerana perkara ini akan ditanya oleh pelbagai pihak, itu saja. Hendak melepaskan juga tidak perlu meminta kebenaran menteri. Itu adalah budi bicara polis yang cukup berhati-hati dan teliti.

Bagaimana jika selepas 60 hari dan polis mendapati bahawa seseorang itu mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Jika polis mendapati bahawa orang itu masih menjadi ancaman kepada keselamatan negara, perakuan akan dibuat kepada menteri untuk menahan mengikut Seksyen 8(1) atau 8(5).
Menteri akan melihat hujah polis untuk menahan orang itu. Jika berpuas hati, menteri akan menandatangani dokumen yang dipanggil Detention Order (Perintah Penahanan) selama dua tahun. Tidak bermakna sepanjang tempoh itu, orang itu tidak dapat berjumpa keluarga seminggu sekali dan juga peguam.

Dalam tempoh tiga bulan pertama, kes boleh dirujuk kepada Lembaga Penasihat dan tahanan boleh membawa peguam ketika kesnya didengar. Jika Lembaga Penasihat menyatakan masih menjadi ancaman, tahanannya akan diteruskan dan setiap enam bulan akan ada semakan (sama ada orang itu menjadi ancaman).

Di Kamunting (Perak), tahanan ISA ada surat khabar, boleh bersenam dan tidak duduk seperti macam pesalah jenayah. Dia boleh bertanding pilihan raya dan mendapat rawatan bukan saja di hospital berdekatan, malah rawatan pakar. Makanan juga sangat baik dan kalau ada diet khas seperti vegetarian, kita akan sediakan makanan itu.

Kita kadang-kadang mudah lupa. Kita menganggap seolah-olah penahanan ini bertujuan untuk memuatkan orang politik. Orang politik boleh bertindak mengikut sesuka hati selagi tidak menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam. Kebanyakan orang yang ditahan mengikut ISA adalah berasaskan ancaman gerakan militan dan ideologi yang boleh memecah belahkan serta sikap melampau yang merosakkan keharmonian masyarakat.

Jika polis tidak mengambil tindakan terhadap golongan begini, negara kita porak peranda.
Lihat suasana sekarang, satu isu boleh mencetuskan perasaan tidak menentu, menimbulkan kegelisahan dan kemarahan antara kaum. Di negara ini, masih banyak sensitiviti yang perlu dipelihara dan dikawal dengan baik supaya tidak bertukar menjadi konflik terbuka.

Dalam kes penahanan tiga individu terbabit, beberapa pihak, termasuk di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) mempertikaikan penggunaan ISA. Apakah ketenteraman awam benar-benar tergugat hingga memerlukan ISA digunakan.

Soalan ini patut ditanya kepada polis. Saya tidak ada maklumat yang polis ada kerana polis menggunakan kuasa yang dalam pengetahuan mereka. Saya fikir dalam soal menjaga keselamatan di mana-mana pun, apabila mula mempertikaikan pasukan polis melaksanakan tugas seperti butiran yang ada apabila mengambil sesuatu tindakan, ini akan menggagalkan tindakan pencegahan.

Tetapi kalau kita melihat undang-undang antikeganasan di United Kingdom, pihak berkuasa boleh menahan seseorang kerana semata-mata ada ancaman. Mereka menyerbu dan memecahkan rumah orang Islam kerana dipercayai ada pengganas dan menangkap imam kerana ceramah imam dikatakan membangkitkan semangat.

Kita tidak boleh mengetahui keadaan yang membawa kepada penangkapan mengikut ISA seperti apakah maksud keadaan tidak terkawal dan bagaimana keputusan itu dibuat.

Jika buat begitu, pasukan keselamatan tidak boleh menjalankan tugas kerana setiap hari kena berbahas. Apabila berbahas akan ada perbezaan pandangan. Kita terlupa bahawa selama ini di belakang ada pasukan keselamatan yang menjaga keselamatan. Kita lihat bahawa (sebelum penahanan mengikut ISA) suhu semakin lama semakin panas hingga Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi pandangan bahawa suasana ini perlu dibendung.

Kita hendak bendung atau 'kita tidak boleh percaya cakap polis kerana kita perlu tengok biar bergaduh dulu, baru ambil tindakan'. Saya fikir ini tidak pernah menjadi pendekatan Malaysia dan ini yang menyebabkan wujud kedamaian dan keamanan di negara ini. Polis apabila mengambil tindakan mengambil kira semua faktor itu. Malangnya orang yang memberi komen (mengenai ISA) mempunyai faktor politik sedangkan polis melihat faktor keselamatan. Memang perkara ini adalah kontroversi. Tetapi adakah kerana kemungkinan kontroversi, polis tidak mengutamakan soal keselamatan.

Saya fikir parti komponen BN yang membentuk kerajaan perlu mempunyai satu pemikiran. Kekuatan politik BN ialah kita menyimpan semua perkara yang hangat dalam perbincangan tertutup dan ini tidak mencetuskan reaksi berbeza.

Adakah kerajaan tidak memberi perhatian terhadap pandangan yang mengkritik ISA.

Terdapat dua reaksi terhadap ISA. Jangan ingat orang yang menghentam ISA adalah golongan majoriti. Mereka yang menentang penggunaan ISA adalah golongan yang vocal (lantang) dan mereka melahirkannya dengan menulis surat dan SMS. Saya anggap sebagai kakitangan awam yang menjalankan tugas, itu adalah perkara biasa kerana setiap orang ada pandangan masing-masing.

Bagaimanapun pada masa sama, saya mendapat banyak surat dan SMS memberi sokongan terhadap ISA. Akhirnya saya berfikir orang yang menyokong ISA bukan kerana faktor kaum, budaya dan agama, tetapi takut tercetus pergaduhan dan perselisihan.

Bagaimana tiada ancaman jika pihak antarabangsa mengklasifikasikan Malaysia sebagai tidak stabil dari segi politik, keadaan tidak menentu dan dinasihat tidak melabur. Bukankah itu adalah ancaman kepada keselamatan. Polis mesti ada asas sebelum bertindak mengikut ISA.

Kadang-kadang pihak yang memelihara keselamatan dan ketenteraman awam menjadi mangsa kepada niat kita untuk melahirkan kebebasan daripada golongan yang tidak semesti majoriti.
Golongan majoriti selalunya senyap. Ada orang kata ISA ketinggalan zaman, tetapi akta ini sudah berkembang dan prosedur berubah berbanding peringkat awal.

Pihak yang menentang ISA menggesa mereka yang ditahan ISA diberi peluang membela diri. Sebagai contoh mereka yang ditangkap kerana menghasut didakwa mengikut Akta Hasutan.

Saya bercakap mengenai keselamatan. Sebagai contoh jika menghasut yang boleh menyebabkan keselamatan terjejas dan menimbulkan konflik terbuka atau sifat perkauman yang boleh membangkitkan kegelisahan awam, tindakan ISA akan digunakan.

Katakan seorang yang tidak suka orang Islam meletakkan daging babi di depan rumah orang Islam. Daging itu boleh dibuang sajalah, tetapi ini boleh mencetuskan perbalahan antara orang Islam dan bukan Islam. Begitu juga jika orang Islam mengatakan 'apalah sembahyang pada tokong atau bakar kertas'. Semua sifat tidak bertolak ansur terhadap fahaman berlainan boleh membangkitkan kegelisahan, kemarahan dan menjejaskan ketenteraman awam.

Kita boleh bertindak mengikut Akta Hasutan jika hasutan itu adalah hasutan biasa, tetapi keadaan berbeza jika hasutan menjejaskan keselamatan serta membawa kepada suasana permusuhan dan konflik terbuka, sama ada ia berlaku atau tidak adalah soal lain. Polis akan menganalisis sama ada ia akan berlaku atau tidak.

Antara dua perkara yang dianggap buruk (between two evils), lebih baik kita mencegah berbanding membiarkan rusuhan berlaku. Untuk membetulkan masyarakat selepas rusuhan berlaku adalah lebih susah seperti (pergaduhan antara kaum) di Kampung Medan (Selangor) dan Kampung Rawa (Pulau Pinang). Untuk membina mengambil masa, tetapi untuk meruntuhkan sekelip mata.

Di sebalik wujud tentangan, tangkapan mengikut ISA dilihat agak lewat ketika keresahan dan kebimbangan berhubung isu perkauman sudah lama meruap di kalangan masyarakat.

Saya sudah menjangka jika kita tidak mengambil tindakan, dikatakan gagal melaksanakan tugas. Kalau ambil tindakan, dikatakan sudah lambat. Pada saya, tindakan perlu dilihat kepada tahap. Jika tahap itu boleh lagi tolak ansur, pihak polis tidak mahu mengganggu kebebasan dan kemahuan masyarakat melaksanakan hak.

Polis cukup berhati-hati dan teliti kerana tahu bahawa ini menyentuh soal kebebasan dan hak individu. Saya sendiri sebelum menandatangani benda ini (dokumen ISA), mereka (pegawai bahagian ISA Kementerian Keselamatan Dalam Negeri) ditanya macam-macam soalan hingga pening kepala. Mereka kata Datuk ini susah!

Hendak menahan orang bukan suatu perkara mudah atau kita kata 'orang itu kena tahan, tahan dia'. Tidak boleh! Mesti kaji dengan teliti kerana ada penahanan mengikut ISA mempunyai sistem, iaitu penahanan boleh dipertikaikan, dibawa ke mahkamah, ada jaminan bahawa orang itu tidak teraniaya dan kita hendak tentukan dua keadilan apabila bertindak. Pertama keadilan kepada individu yang hendak ditahan.

Kita tidak menyalahgunakan kuasa serta memberi keadilan dan kesaksamaan. Kedua, jangan lupa bahawa masyarakat juga menuntut keadilan. Kita mesti adil kepada individu serta kepada masyarakat dan negara. Kita mesti saksama terhadap kedua-dua pihak supaya tidak menimbulkan keresahan yang akhirnya orang duduk saja dalam rumah dan malam lengang kerana orang dengan pelbagai kemungkinan. Alhamdulillah sejak merdeka, negara cukup selesa hingga kita lupa bahawa ISA banyak membantu.

Penangkapan wartawan Sin Chew Jit Poh, Tan Hoon Cheng dilihat agak ekstrem dan alasan untuk melindungi keselamatannya juga tidak diterima. Apakah pandangan Datuk Seri.

Saya fikir perkara ini dilihat dalam konteks terpisah. Keselamatan individu ialah jawapan kepada banyak soalan, tetapi yang utama dan telah dialihkan pandangan, jika dilihat temu bual saya ialah mengenai keselamatan.

Bukan keselamatan individu, tetapi secara keseluruhan. Sebagai contoh untuk membuat penangkapan seterusnya, polis kena mulakan dari sesuatu. Polis (dalam kes Tan) bermula dengan mendapatkan orang yang mula-mula menulis, adakah digunakan oleh orang lain untuk mengancam keselamatan, mengapa dia tulis itu, adakah unsur yang mempunyai perkara tersirat yang boleh menjejaskan keselamatan dan siapa yang terbabit. Jika polis hendak tangkap orang lain pun, dia kena berpunca dari sini (Tan).

Jika orang kata mengapa tidak mengambil tindakan terhadap orang tertentu, apabila hendak mengambil tindakan, kita kena kaitkan dan ada rangkaiannya. Jadi perlu ambil punca utama dan bukan kita hendak menahan dan melakukan keganasan terhadap dia.

Penahanan wartawan, sama seperti ahli politik dan peguam memang mendapat perhatian dunia antarabangsa. Soalnya, kita sayang negara atau lebih melihat kepada tekanan luar. Jika negara porak peranda, siapa yang hendak jaga. Orang luar?

Apabila Datuk Zaid Ibrahim (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri) sebagai anggota Kabinet, mempertikaikan penggunaan ISA dan kemudian meletakkan jawatan. Tidakkah ini melemahkan kewajaran tindakan kerajaan menggunakan ISA.

Saya fikir antara tradisi seluruh dunia ialah berpegang kepada tanggungjawab bersama. Jika kita mempunyai pegangan yang betul-betul berlainan di atas prinsip, memang saya fikir tindakannya adalah tepat kerana tidak boleh berkongsi pandangan yang sama.

Kita semua mempunyai pandangan masing-masing terhadap ISA. Saya sendiri mempunyai pandangan peribadi ketika mengamalkan undang-undang dan sebelum menjadi Menteri Dalam Negeri. Apabila saya menjadi sebahagian kumpulan yang bersama, paling penting kita hendak tentukan ialah tidak ada penyalahgunaan kuasa dan menentukan keselamatan negara diletakkan di atas segala kepentingan lain.

Ketika zaman Tun Dr Mahathir (Mohamad), ada anggota Kabinet membuat kenyataan berlainan daripada apa yang diputuskan berhubung pengambilan tanah di Johor untuk membuat Link Kedua.

Komen Dr Mahathir, 'kita ada keputusan dalam Kabinet, kalau sesiapa tidak bersetuju, tidak boleh menyokong keputusan bersama, cara terhormat ialah berhenti dari kerajaan'.

Saya fikir tindakan beliau berhenti (Zaid) adalah elok, tetapi kebanyakan orang apabila berhenti sepatut tidak pergi kepada pembangkang. Kebanyakan orang berhenti kerana ada prinsip, tetapi tetap ahli parti dan bersama kerajaan.

Jika dalam kerajaan, kita sentiasa membangkang, di mana semangat setia kawan? Kekuatan itu adalah tanggungjawab bersama sebagai tradisi yang dipegang oleh anggota Kabinet yang memang ramai peguam.

Ketika kerajaan menggalakkan kebebasan dan bersikap liberal terhadap kebebasan bersuara, ISA digunakan. Tidakkah ini mewujudkan pertentangan yang nyata.

Cuba lihat sejak diperkenalkan, berapa banyak surat khabar ditutup kerana ISA? Cuba lihat Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), kumpulan yang bukan saja dikatakan dimiliki parti pemerintah, tetapi mempunyai hubung kait dengan Umno, tetapi memberi laporan satu muka penuh kepada Zaid dan laporan penuh terhadap tangkapan ISA, memuatkan pandangan semua orang.

Lihat blog dan begitu juga surat khabar lain. Apa yang terkandung dalam The Sun dan Sin Chew Jit Poh? Saya fikir kebebasan cukup banyak.

Jangan mengambil satu kes dan salahkan ISA. Mana ada orang yang ketika menulis memikirkan ISA. Tidak ada! ISA tidak menjadi hambatan tetapi jangan kita menggunakan seolah-olah ISA menghantui kebebasan. ISA hanya datang apabila kita menjejaskan keselamatan. Hendak tulis sebebas-bebasnya, tetapi tidak bermakna bebas itu tidak patuh kepada undang-undang.

Raja Petra dalam temu bual bersama BBC berkata bahawa kerajaan hendak mengekang kebebasan internet. Saya cakap kebebasan tetap ada, tetapi dilaksanakan dalam konteks patuh kepada undang-undang negara. Takkan kita biarkan kebebasan hingga negara porak peranda. Kebebasan mesti dilaksanakan dengan tanggungjawab. Kebebasan mesti menghormati bukan saja hak kita, tetapi hak orang lain, menghormati sensitiviti.

Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dikatakan menyebabkan tidak ada kebebasan. Tetapi Malaysia adalah antara negara yang banyak surat khabar dalam pelbagai bahasa. Banyak pandangan dikeluarkan dalam surat khabar. Saya tengok sangat baik untuk sebuah negara sedang membangun, standard kita dalam sesetengah keadaan terutama di bawah Perdana Menteri sekarang sehebat negara maju.

Selepas 51 tahun merdeka, Datuk Seri melihat hubungan antara kaum masih menjadi masalah besar.

Kita boleh melihat Malaysia sebagai Malaysia dan tidak melihat dari kaca mata kaum atau memperjuangkan kepentingan kaum. Kita meletakkan integrasi sebagai agenda utama.

Masalahnya kita bercakap mengenai Malaysian Malaysia, tetapi hanya bercakap mengenai kepentingan kaum masing-masing. Ini bermakna pihak berkenaan mahu pewarnaan mengikut sudut kaum masing-masing.

Kalau macam itu, kita belum sampai tahap integrasi sebenar yang mahu dicapai. Integrasi bukan bermakna asimilasi. Kita tidak boleh asimilasi orang kerana kita dalam satu masyarakat majmuk. Kepelbagaian menjadi kekuatan kita.

Allah menjadikan orang Melayu cukup tinggi toleransi kerana mengambil unsur budaya lain dan diMelayukan. Budaya Melayu bukan budaya menekan, menerima semua unsur sebab itu boleh menjadi asas kepada keMalaysiaan.

Kedamaian tidak boleh dipaksa dari luar


Dilaporkan oleh akhbar-akhbar Malaysia beberapa waktu dahulu ialah cadangan membina jambatan antara Melaka dan Sumatera Timur. Tetapi oleh kerana pembinaannya merintangi Selat Melaka dianggarkan menelan belanja yang begitu besar sekali, maka tidak ada pihak menyahut cadangan tersebut.
Di samping itu di kalangan negara-negara ASEAN berlaku juga pembinaan “jambatan” lain, antaranya ialah:

- Rancangan Pembangunan Tiga Segi antara Indonesia-Malaysia-Singapura (1989) setelah cadangan dikemukakan oleh Goh Chok Tong, ketika itu Timbalan Perdana Menteri, Singapura. Tumpuan ditujukan kepada Wilayah Riau (Indonesia), selatan Negeri Johor dan Singapura seluruhnya. Ia diberi nama SIJORI.

- Rancangan pembangunan tiga segi antara Indonesia Malaysia-Thailand (1993), iaitu yang meliputi Wilayah Aceh, utara Malaysia dan Selatan Thailand.

- Rancangan Pembangunan antara Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (1994), iaitu melibatkan Brunei, Sabah, Sarawak, Labuan (Malaysia), Sulawesi Utara, Sulawesi Selatan, Maluku, Kalimantan, Sulawesi Tengah, Tenggara Sulawesi dan Irian Jaya (Indonesia) dan Pulau Mindanao, Wilayah Palawan (Filipina).

Hal ini disentuh dalam buku berjudul ASEAN Towards 2020 terbitan ISIS. Ertinya juga bukan Malaysia saja menuju matlamat Wawasan 2020. Turut menulis ialah Profesor Shaharil Talib dari Universiti Malaya, yang mengingatkan antara lainnya bahawa integrasi negara-negara ASEAN juga melibatkan jurusan kebudayaan, pelajaran, sukan, komunikasi, kewangan dan “lain-lain jabatan antara manusia.”

Lalu beliau menyebut tentang “Rumah Bichara” suatu institusi yang wujud pada zaman lampau untuk pelbagai kaum yang mendiami pulau-pulau yang berselerak jauh antara satu sama lain. Beliau mengulangi: “Adalah perlu dewasa ini memulihkan semangat rumah bicara itu di kalangan majlis-majlis bandaran.”

Profesor Shaharil juga menyebut mengenai bangsa Melayu dulu yang berucap dalam satu bahasa dalam urusan perdagangan. Bangsa Melayu merebak di gugusan kepulauan yang jauh, termasuk Minangkabau di Sumatera, Melayu di Selat Melaka, Jawa dan Sunda di Pulau Jawa, Makasar dan Bugis di Pulau Sulawesi, Tausug dan Tagalog di kepulauan Mindanao dan Luzon di Filipina.

Turut menulis ialah Nguyen Quang Tau dari Vietnam yang menyentuh peranan rakyat jelata: “Rakyat adalah pelaku sejarah, rakyat adalah akar umbi segalanya. Hakikat ini diakui sepanjang sejarah pelbagai negara dan bangsa dalam arus sejarah manusia adanya.”

Menurutnya lagi, jika dasar-dasar politik dan dasar-dasar pelbagai kerajaan boleh memenuhi kepentingan-kepentingan, aspirasi dan keperluan rakyat, maka rakyat akan menerima dan menjayakannya. Juga disebut mengenai ASEAN mempunyai penduduk sejumlah 500 juta, kaya dengan pelbagai hasil bumi.

Namun, tegasnya lagi, usaha untuk menyatukan rakyat negara-negara mestilah menginsafi perbezaan-perbezaan dan persamaan-persamaan mereka untuk mencapai persetujuan.

Juga menulis ialah Allahyarham Dr. Noordin Sopiee, dulu Pengerusi ISIS yang menyatakan harapan bahawa menjelang 2020, semoga wujud Komonwel ASEAN berdasarkan kemakmuran bersama. Matlamat pertama dan paling penting ialah kedamaian di setiap negeri kerana ia tidak boleh dipaksa dari luar. Tidak ada negara ASEAN akan benar-benar selamat kecuali ia dalam buaian kedamaian dan kerjasama serantau.

Menulis mengenai pelajaran-pelajaran dan kekhilafan masa lampau ialah Tun Thanat Khomon dari Thailand. Beliau menyebut mengenai “serangan Soros” ke atas mata wang negara-negara ASEAN, iaitu tindakan menghukum mereka kerana tidak mematuhi perintah Barat, khususnya Amerika, supaya tidak menerima keahlian Myanmar. Menurutnya, kelahiran ASEAN ialah kerana sokongan aktif dari Malaysia. Ia bermula dengan penubuhan ASA (Association of Southeast Asia) sebelumnya.

Dalam keadaan sekarang, ASEAN kelihatan sebagai kumpulan serantau yang berjaya sekali dalam dunia, selain Kesatuan Eropah. Ia lahir pada tahun 1967 dan Kongres Pertama ASEAN diadakan pada tahun 1992 di Kuala Lumpur bagi menyambut ulang tahunnya yang ke-25.
Dalam kenangan ialah lahirnya ASEAN dari “debu konfrontasi” seperti pernah diingatkan.

Antara maruah dan kuasa

Sejak kebelakangan ini seolah-olah terdapat satu gerakan terancang untuk memastikan mana-mana juga pihak yang cuba memperjuang atau mempertahankan institusi Melayu akan diserang habis-habisan.

Kelompok berkenaan akan dianggap perkauman dan lebih buruk lagi ada antaranya terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang yang dilihat seolah-olah cuba 'membisukan' mereka.

Akibatnya, bercakap soal kepentingan dan hak istimewa orang Melayu serta agama Islam seolah-olah satu dosa dan mereka yang terlibat perlu dihukum.

Tetapi hakikatnya, kita harus sedar apa yang cuba dilakukan oleh pihak-pihak berkenaan adalah satu strategi terancang untuk memastikan institusi-institusi Melayu terus diganggu gugat.

Keadaan ini samalah seperti di Singapura yang akhirnya Melayu tidak berupaya mempertahankan hatta adat resam mereka sendiri. Semua itu berlaku kerana orang Melayu telah 'diracuni' dengan pemahaman bahawa seandainya bercakap soal kepentingan mereka ia adalah satu perkauman.

Namun kalau dilihat terdapat puak-puak yang lebih perkauman daripada orang Melayu tetapi tidak pernah dianggap bersikap demikian. Malah kalau kita mengkaji blog-blog pembangkang mereka membangkitkan soal-soal yang lebih sensitif dan berbau perkauman.

Tetapi itu tidak pula dianggap perkauman sebaliknya akan disifatkan oleh pihak-pihak yang menyokong mereka termasuk di kalangan sesetengah pemimpin Melayu sendiri bahawa ia kebebasan bersuara. Apa yang paling memualkan ada di kalangan pemimpin yang mewakili parti yang memperjuangkan Islam turut mengikut rentak berkenaan.

Kononnya atas dasar memperjuangkan kesamarataan dan keadilan maka mana-mana pihak tidak harus membangkitkan soal hak-hak orang Melayu dan institusinya.

Mengulas perkara ini, Pensyarah Kanan politik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof.Dr.Mohamed Mustafa Ishak berkata, mana-mana pihak yang memperjuangkan identiti dan institusi bangsanya tidak boleh dianggap perkauman.

Katanya, semua kaum mempunyai identiti tersendiri dan mereka akan cuba mempertahankannya sedaya upaya.

''Contohnya orang Cina mereka pastikan akan mempertahankan tiga identiti penting kaum tersebut iaitu pertubuhan Cina, pendidikan Cina dan media Cina.

''Oleh itu tindakan tersebut tidak boleh dianggap perkauman, begitu juga apabila orang Melayu mempertahankan identiti mereka,'' katanya ketika dihubungi.

Diakui

Walaupun fakta ini diakui oleh semua pihak terutamanya parti pembangkang namun mereka sengaja melupakannya.

Malah mereka cuba memastikan pihak-pihak yang memperjuangkan identiti atau institusi Melayu ini 'tidak hidup selesa', sedikit sahaja suara dilahirkan maka meraunglah mereka menuduh bahawa pihak itu atau pihak ini mengamalkan perkauman.

Apa yang malang, pandangan songsang itu turut disokong oleh pemimpin- pemimpin politik Melayu yang bukan sahaja bersengkongkol dengan puak tersebut malah mereka sendiri bertanggungjawab mengatur strategi bagi menggugat institusi Melayu.

''Orang Melayu perlu faham bahawa apa pun berlaku mereka harus mempertahankan jati diri. Tidak adalah masalah untuk mencapai permodenan tetapi dalam masa yang sama jati diri jangan dilupakan,'' kata Mohamed Mustafa.

Berdasarkan hakikat itu, beliau turut membidas sikap sesetengah pemimpin Melayu yang sanggup mengorbankan sesetengah perkara berkaitan dengan jati diri orang Melayu semata-mata untuk mengejar kemajuan.

''Kita tidak mahu suatu hari kelak orang Melayu menjadi bangsa Creole - satu puak di Afrika yang sudah kehilangan identiti bangsa mereka,'' katanya.

Selain itu, Dr. Mohamed Mustafa berharap masyarakat Malaysia terutama generasi baru perlu memahami bahawa Malaysia bukan bermula pada tahun 1963 atau ketika 1957 tetapi Malaysia sudah bermula ratusan tahun lalu.

''Sebab itulah saya hairan kenapa soal tulisan Jawi di papan tanda jalan perlu menjadi isu, ia sebenarnya sudah menjadi identiti negara ini sejak berpuluh- puluh tahun lalu,'' katanya.

Persoalannya, apakah pemimpin-pemimpin Melayu yang bersengkongkol dengan pihak yang ingin 'memusnahkan' institusi Melayu ini memahami keadaan tersebut? Dan adakah mereka faham bahawa apa yang bakal mereka lakukan mampu menggugat nasib anak cucu kita di masa depan?

Berdasarkan hakikat itu, Dr. Mohamed Mustafa turut membidas pihak tertentu yang memboikot mana-mana pihak yang memperjuangkan Melayu termasuk pemulauan ke atas akhbar Utusan Malaysia kerana dianggap rasis.

''Kalau itulah pemahaman mereka, bagaimana dengan akhbar Cina, tidakkah ia juga rasis kerana mereka turut memaparkan kepentingan masyarakat itu,'' katanya.

Malah kata beliau berbanding dengan Utusan Malaysia, akhbar Cina sepatutnya boleh diragui kerana ramai rakyat negara ini tidak boleh membacanya.

''Jadi adalah lebih baik jika kita tidak menuduh mana-mana akhbar berbentuk perkauman,'' katanya.

Ketika berbual politik dengan seorang pemimpin kanan UMNO, di Shah Alam baru-baru ini, beliau melahirkan rasa bimbang dengan kedudukan orang Melayu sekarang.

Katanya, orang Melayu seolah-olah tidak bertaring lagi sehingga ada pihak yang sanggup mempersoalkan hak-hak mereka. Malah kata beliau, dalam keadaan tertentu orang Melayu bagaikan ditekan untuk membuat keputusan demi memuaskan hati pihak lain, jika tidak kuasa politik mereka akan tergugat.

''Dalam situasi itu kita berada di persimpangan iaitu antara kuasa dan maruah, semua ini terjadi kerana ada orang Melayu yang masih belum sedar bahawa mereka kini semakin diperlekehkan,'' katanya.

Atas sebab itu kata beliau, orang Melayu tidak boleh terlalu mudah bersubahat dengan kelompok yang mempunyai hasrat menganggu gugat institusi-institusi Melayu ini.

Katanya, puak-puak berkenaan melakukan tindakan secara senyap dan berjaya mempengaruhi orang Melayu menyokong mereka melalui hujah-hujah politik yang disampaikan.
Sedar

Justeru kata beliau, UMNO perlu sedar terhadap ancaman ini bukannya terus berebut jawatan sesama mereka.

Malah beliau berkata, dalam menentukan pemimpin dalam pemilihan pada Disember ini, ahli UMNO perlu memastikan mereka memilih pemimpin yang berprinsip dan hipokrit dalam perjuangan.

''Kita bimbang kalau pemimpin hipokrit yang dipilih, perjuangan untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu termasuklah institusinya tidak akan ke mana,'' kata beliau.

Namun apa pun keadaannya, tanpa berhasrat mencetuskan sebarang sentimen perkauman, orang Melayu perlu diingatkan tentang bahaya yang sedang menanti mereka. Pemimpin-pemimpin politik Melayu tertentu tidak harus mengorbankan kepentingan dan maruah bangsa semata-mata demi meraih kuasa politik.

Mereka tidak harus menganggap orang yang dikenakan tindakan undang- undang kerana cuba menghina dan menganggu gugat institusi orang Melayu dan Islam seolah-olah seperti wira.
Apa pun keadaannya, adalah diharapkan orang Melayu akan memahami situasi yang sedang mereka hadapi.

Mereka tidak harus leka dengan mengejar kuasa politik sehingga terlupa ancaman yang sedang menanti. Selain itu mereka juga tidak harus takut mempertahankan apa yang dianggap hak mereka asalkan tindakan berkenaan tidak menggugat kaum-kaum lain.

Ingatlah Malaysia mencapai kemerdekaan dengan perpaduan yang dicapai oleh semua kaum tetapi asas kewujudannya yang bermula dengan Tanah Melayu beratus tahun lalu sebelum kedatangan Portugis tidak harus dilupakan.

Pertahan Perkara 153

Perkembangan politik negara selepas pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 menyaksikan pelbagai perkara yang sepatutnya tidak menjadi pertikaian kini mula dipersoalkan. Satu demi satu perkara yang berkaitan dengan orang Melayu dan umat Islam terus menjadi sasaran pihak tertentu terutama parti pembangkang dalam usaha kononnya untuk mewujudkan kesamarataan antara kaum di negara ini.
Akibatnya, apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mula menjadi sasaran serangan, malah demi kepentingan politik, parti-parti pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus melakukan tindakan yang cenderung ke arah menggugat apa yang sudah ditentukan oleh Perlembagaan. Antara yang paling menjadi sasaran ialah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak-hak keistimewaan orang Melayu. Kononnya atas prinsip untuk menegakkan kesamarataan dan keadilan, peruntukan ini cuba diganggu gugat. Tanpa mahu menoleh kepada sejarah pahit getir mewujudkan Perkara 153, desakan terus ditujukan seolah-olah mahu menjadikan peruntukan ini hanya menjadi catatan sejarah.

Justeru dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan ZULKIFLEE BAKAR, Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik mengingatkan, Perkara 153 bukan sebarangan peruntukan dalam Perlembagaan malah ia menjadi tonggak utama dalam penggubalan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Justeru tegas beliau sebarang usaha untuk menghapuskan DEB sama seperti ‘membunuh’ Perkara 153 yang memberi peruntukan istimewa kepada orang Melayu.

Berdasarkan hakikat itu, dalam pertemuan yang sebahagian hujah beliau berkisar kepada rentetan sejarah terhadap cabaran mempertahankan Perkara 153 melalui semangat DEB, bekas Ketua Menteri Melaka dan Ketua Pemuda UMNO tersebut mengingatkan orang Melayu bahawa penghapusan DEB dan Perkara 153 adalah sebahagian usaha untuk menjadikan negara ini sebuah republik. Usaha ini ada kaitannya dengan konsep Malaysian Malaysia.

Mingguan: Apa kaitan perjuangan untuk menegakkan DEB dalam hubungannya dengan kewujudan peruntukan 153 dalam Perlembagaan?

ABDUL RAHIM: Sebagaimana kita maklum penggubalan DEB dicetuskan di era Almarhum Tunku Abdul Rahman. Ini adalah satu permulaan perjuangan ekonomi bangsa setelah 450 tahun di dalam sejarah ketamadunan Melaka.

Melaka pada masa itu merupakan satu tamadun Melayu yang amat cemerlang. Ia adalah usaha bagi menterjemahkan satu kehebatan Melayu menjadi tamadun yang diiktiraf oleh ahli-ahli sejarah dunia. Perjuangan ekonomi di Melaka bermula apabila orang Melayu menunjukkan kebolehan dengan mentransformasikan sebuah kampung nelayan yang kecil di muara Sungai Melaka menjadi satu bandar kemakmuran yang mampu menarik pelabur-pelabur di rantau ini dan luar sehingga ke Timur Tengah.

Tidak mungkin orang Melayu dapat menjadikan Melaka sebagai satu kuasa penakluk dan pusat ilmu kecuali kebolehan orang Melayu mengeluarkan pemimpin, pengurus dan pekerja yang baik - inilah yang menyusun sesebuah tamadun.

Apabila kita kalah kepada Portugis pada 1511, kita lihat orang Melayu mula dipinggirkan dengan tinggal di kampung-kampung dan bergelumang dengan aktiviti-aktiviti yang tidak produktif.

Oleh kerana ketika itu kita mengamalkan sistem feudal orang Melayu tidak mampu produktif kerana hasil mereka akan diberikan separuh kepada raja dan juga orang-orang besar. Akibatnya orang Melayu hidup dalam keadaan daif, miskin, papa dan kedana.

Hanya pada zaman Allahyarham Tun Razak Hussein, penggubalan terhadap DEB dibuat atas kefahaman bahawa adanya Perkara 153 dalam Perlembagaan yang memberikan hak istimewa orang Melayu. Peruntukan itu termasuklah dari segi pemberian permit, biasiswa, agama Islam, bahasa kebangsaan dan kedaulatan raja-raja Melayu.

Semua itu telah mendorong DEB digubal. Langkah mewujudkan DEB itu bertujuan bagi memastikan pembelaan terhadap orang miskin yang selama 450 tahun tertekan di bawah tapak kaki penjajah.

Atas sebab itulah dalam sejarah moden Malaysia, perjuangan ekonomi bangsa bermula apabila DEB digubal. Ini kerana DEB bertunjangkan pembanterasan kemiskinan dan juga penyusunan semula masyarakat. Ia wujud daripada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan ia mampu dipertahankan biarpun menghadapi pelbagai cabaran dan kecaman daripada pihak tertentu hari ini.

Bagaimana pula kita hendak menegakkan Perkara 153 ini sebagai pengiktirafan kepada hak pribumi bumiputera terhadap negara ini?ABDUL RAHIM: Ia ada kaitan dengan kewujudan Melaka, negeri itu dalam sejarah sebenarnya adalah tamadun yang diperakui oleh dunia dan dalam pembentukan tamadun ini kita mempunyai proses sejarah sebagai pribumi.
Mungkin ada yang bertanya kenapa Melayu jadi penduduk asal? Kenapa tidak Orang Asli yang lebih awal tidak diiktiraf sebagai memulakan tamadun? Mengikut pengukuran sejarah sesuatu bangsa itu kebolehan mewujudkan satu tamadun akan menjadi asas pengiktirafan. Dari segi sejarah, pengiktirafan pribumi diberikan kepada orang Melayu kerana kita terawal, biarpun ada Orang Asli. Ini kerana mereka tidak mewujudkan ketamadunan.


Dalam mewujudkan Perkara 153 dalam Perlembagaan ia bukanlah satu perjuangan yang mudah kita capai. Saya ingin memperbetulkan kesilapan pandangan majoriti mengenai filem Hati Malaya. Filem itu menggambarkan seolah-olah perjuangan menegakkan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalam ada Perkara 153 hanya berlaku apabila wujud UMNO dan Tunku Abdul Rahman.

Tetapi sebenarnya perjuangan mewujudkan Perlembagaan Malaysia yang di dalamnya terkandung Perkara 153 ialah perjalanan sejarah yang lebih jauh daripada ketika wujudnya kumpulan Tunku Abdul Rahman mengambil alih pentadbiran UMNO daripada Dato’ Onn Jaafar.

Ertinya perjuangan menegakkan Perkara 153 itu lebih awal?

ABDUL RAHIM: Ia lebih awal kerana Tunku Abdul Rahman hanya muncul di penghujung. Apa yang saya ingin katakan perjuangan untuk mewujudkan Perkara 153 ini sudah bermula pada zaman komunis lagi. Inilah cabaran pertama. Apabila Bintang Tiga keluar dari hutan ia adalah permulaan kepada satu usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah republik.

Bintang Tiga telah membunuh orang Melayu kerana mengesyaki mereka bersubahat dengan orang Jepun. Kemudian apabila Bintang Tiga sudah membalas dendam dia berhasrat untuk mengisi kekosongan pemerintahan negara ini dengan menjadikan ia sebuah republik.

Maknanya, langkah itu akan memberi pengiktirafan yang sama rata kepada orang Melayu, India dan Cina. Walaupun Bintang Tiga ini ditentang keras namun mereka masih berjaya mempengaruhi orang Melayu. Apa yang perlu difahami seandainya republik diwujudkan maka dengan sendiri Perkara 153 tidak akan wujud.

Malang dalam usaha ia cuba menterjemahkan negara ini menjadi sebuah republik, orang yang sama menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) tetapi dengan babak berbeza. Inilah cabaran kedua kepada orang Melayu kerana matlamat PKM sama iaitu menjadi Malaya sebuah republik.

Semasa menentang pengganas komunis ini, kita terpaksa mengisytiharkan darurat dari tahun 1946 sehingga 1960.

Perbuatan PKM ini adalah satu pukulan kepada sistem politik yang berasaskan kepada Keluhuran Perlembagaan yang mana Perlembagaan itu mempunyai satu peruntukan yang memberikan pengiktirafan kepada penduduk-penduduk pribumi. Ribuan warga keselamatan kita gugur dari 1946 hingga 1960 dan mereka ini bukanlah mati katak. Mereka mati untuk mempertahankan Malaya yang harus dibentuk dengan Perlembagaan tertentu yang mana ia memberikan pengiktirafan kepada pribumi.

Titisan darah wira-wira yang terkorban harus direalisasikan dengan menegakkan satu Perlembagaan yang memberi pengiktirafan kepada pribumi. Kita mesti hargai pengorbanan mereka yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan. Orang ini menjadi asas yang membolehkan pemimpin-pemimpin bergerak untuk mencapai tahap lebih tinggi iaitu merdeka.

Siapa mereka tidak pernah dan jarang disebut. Walaupun mereka dilihat berjuang demi mempertahankan kedaulatan Malaya, tetapi di jiwa sanubari mereka ialah untuk melihat kewujudan sebuah Malaya yang mana Melayu menjadi asas dan tonggaknya.

Cabaran ketiga yang dihadapi oleh DEB yang berkaitan dengan Perkara 153 ialah apabila British cuba mewujudkan Malayan Union. Sebenarnya Malayan Union adalah satu konsep republik seperti mana yang diperjuangkan oleh Bintang Tiga dan juga PKM. Sebab itulah dalam Malayan Union terdapat peruntukan untuk memberi hak kerakyatan berdasarkan Jus soli – ertinya siapa sahaja yang berpijak di bumi Malaya maka ia akan menjadi rakyat Malaya.

Apa sebenarnya yang dilakukan oleh British sehingga ia dilihat boleh menggugat Perkara 153 tersebut?

ABDUL RAHIM: Gabenor British pada masa itu mempengaruhi Dato’ Onn Jaafar untuk memastikan parti UMNO yang ditubuhkan oleh Dato’ Onn itu yang menggabungkan segala kekuatan orang Melayu dapat dibendung melalui Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR).

British mempengaruhi Dato’ Onn dan mendesak beliau supaya UMNO mesti boleh menerima bukan Melayu apabila berbuat demikian ia bermakna menerima Malayan Union. British menjalankan satu politik yang memperalatkan Dato’ Onn Jaafar melalui platform UMNO.

Konsep Malayan Union ini sama seperti mana konsep yang diperjuangkan oleh Bintang Tiga dan Parti Komunis Malaya (PKM). Gabenor British memberi syarat kalau Datuk Onn ingin melihat Tanah Melayu merdeka, orang lain harus mempunyai hak sama dengan orang Melayu.

Pendekatan ini juga cuba membuka keahlian UMNO pada masa itu kepada orang bukan Melayu supaya UMNO menjadi landasan untuk memilih kemerdekaan melalui gagasan Malayan Union.

Tetapi apabila orang Melayu tahu kedudukan raja tidak dihormati, hak keistimewaan orang Melayu tidak dihargai dan soal agama dipinggirkan maka mereka menolak idea tersebut dan Datuk Onn Jaafar. Semua itu adalah cabaran ketiga dalam kita hendak mempertahankan Perkara 153. Nasib baik orang Melayu membuat keputusan menolak cadangan British tersebut kalau tidak UMNO akan menjadi seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Semua itu adalah hasil pengorbanan orang Melayu, orang Melayu kena bunuh bersubahat dengan Jepun dan Bintang Tiga, orang Melayu dibunuh oleh PKM yang hendak menjadikan Tanah Melayu republik dan orang Melayu cuba diperkudakan oleh British dengan memanipulasikan UMNO.

Dalam soal konsep Malaysian Malaysia, tidakkah ia turut menjadi cabaran dalam mempertahankan hak istimewa orang Melayu?

ABDUL RAHIM: Itu merupakan cabaran keempat dalam usaha kita mempertahankan Perkara 153. Ia berlaku apabila Lee Kuan Yew yang menubuhkan PAP memperkenalkan konsep Malaysian Malaysia – konsep ini sebenarnya dijenamakan semula kerana matlamatnya sama iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara republik.

Ertinya, mereka tidak dapat menerima kewujudan Perkara 153, apabila mereka berbuat demikian bermakna mereka tidak dapat menerima DEB. PKR kata hendak ganti DEB kepada Agenda Ekonomi Malaysia.

Jika dikaji Kuan Yew pada masa itu menggempur kekuatan UMNO dan Perikatan di Semenanjung. Kedudukan itu menyebabkan orang Melayu tercabar buat kali keempat dalam sejarah kita. Apa yang dikemukakan oleh Kuan Yew pada masa itu disokong oleh semua orang Cina Singapura dan jika ia disambut oleh orang Cina di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mungkin falsafah Malaysian Malaysia itu akan menjadi kenyataan.

Kini kita menempuh cabaran kelima apabila secara terang-terangan konsep Malaysian Malaysia atau konsep keadilan dan kesamarataan cuba diperjuangkan oleh PKR dan ia cuba menjadikan perkara itu sebagai asas tonggak kepada sistem kenegaraan, ertinya Melayu tidak lagi menjadi tonggak.

Dalam sejarah dunia tidak ada banyak negara dalam tempoh 30 tahun boleh mentransformasikan negara kepada keadaan yang lebih elok. Terlalu banyak negara yang mencapai kemerdekaan sebelum Malaysia terus dicengkam dan diabdikan oleh negara besar.

Dalam berhadapan situasi seumpama itu, apa yang seharusnya kita lakukan?

ABDUL RAHIM: Kita perlu memperkukuhkan ekonomi negara ini. Ia kerana ekonomi menjadi ukuran kekuatan dan maruah sesebuah negara. Lihatlah Singapura, saiznya mungkin sama besar dengan negeri Melaka tetapi saiz ekonominya sama dengan Malaysia. Semua ini didorong oleh saiz ekonomi. Jepun kalau dibandingkan dengan saiz negara China sangat kecil tetapi kenapa Jepun dipandang sangat besar sama dengan Amerika Syarikat (AS)? Semua itu kerana saiz ekonominya.
Kita melihat bahawa Anwar dan PKR menganggap dengan adanya DEB dan Perkara 153 ia adalah satu unsur yang mengukuhkan dominasi orang Melayu dalam sistem politik kita. Sejarah telah meletakkan Perlembagaan kita yang dalamnya ada Perkara 153 dan dari Perkara 153 melahirkan DEB yang membawa pembelaan kepada orang miskin, daif dan terhina ini. Peminggiran golongan ini yang dilakukan sejak 1511 telah meningkat kepada satu tahap yang begitu hebat. Walaupun sama-sama naik tetapi masih terdapat banyak lagi lompang antara kaum, jurang antara luar bandar dengan bandar.

Pada pandangan Tan Sri apa muslihat di sebalik usaha Anwar hendak menggugat DEB itu?

ABDUL RAHIM: Anwar yang membawa satu ideologi baru melihat ada bukti-bukti yang boleh dieksploitasi kerana perjuangan orang-orang dulu melahirkan satu perlembagaan yang ada Perkara 153. Selagi DEB yang mentranformasikan golongan miskin ini menjadi kumpulan sederhana dan makmur terus wujud, selagi itulah tidak ada parti yang dapat menggantikan UMNO. Maknanya dominasi Melayu dalam sistem politik kita akan kekal sampai bila- bila.
Strategi PKR ialah mesti memperlekehkan DEB dan mengubah dasar ini supaya jangan menjadi satu pembuktian yang kuat bahawa perjuangan kita memberi kerakyatan kepada orang bukan Melayu ini dapat diketepikan untuk membolehkan PKR mendominasikannya.
Mereka menggunakan alasan kononnya globalisasi dan nilai-nilai universal, ini telah banyak mempengaruhi golongan muda kita yang buta tentang laluan sejarah. Kalau kita sendiri tidak memberikan penghargaan terhadap pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu yang gugur yang membolehkan asas Perlembagaan yang mengandungi Perkara 153, generasi muda kita senang dipengaruhi. Sebab itu Anwar berhasrat menghancurkan dan memusnahkan DEB dengan mewujudkan Agenda Ekonomi Malaysia.

Jadi apa yang perlu dilakukan oleh orang Melayu dalam berhadapan dengan agenda ekonomi seumpama itu?

ABDUL RAHIM: Agenda Ekonomi Malaysia yang akan dilancarkan adalah satu pengisytiharan yang mesti ditolak. Filosofi dalam agenda itu ialah memberi pengiktirafan kepada semua kaum dengan kaedah pengagihan yang berlainan dengan DEB. DEB lebih kepada status sosial sesuatu kaum.

Kalau bumiputera 65 peratus haknya lebihlah dengan kaum yang 25 peratus atau tujuh peratus. Kita mestilah mengikut keadilan kependudukan. Tetapi asas Agenda Ekonomi Malaysia ialah pengagihan yang sama rata. Itu bukan keadilan tetapi kesamarataan yang diasaskan oleh agenda berkenaan yang berbeza dengan DEB.

Pas yang ada dalam Pakatan Rakyat pula meletakkan perjuangan Islam lebih daripada perjuangan kaum. Mereka tidak peduli tentang kedudukan bahasa Melayu atau ketuanan Melayu kerana pendekatan kepada Islamik cara Pas.

Jadi dari segi keperluan mikro mungkin perjuangan itu universal pendekatan Islam. Sedangkan perjuangan untuk mengangkat martabat memerlukan pendekatan makro untuk melihat setiap strategi itu disusun. Ini kerana budaya, sejarah dan latar belakang kita berlainan dan memerlukan pendekatan yang lebih efektif untuk mengangkat martabat.

Mungkin orang tertanya-tanya kenapa baru sekarang Tan Sri bercakap tentang rentetan sejarah DEB ini?

ABDUL RAHIM: Saya perlu sebutkan perkara ini supaya rakyat Malaysia faham tentang laluan sejarah. Dalam memahami cita-cita untuk untuk lebih makmur dan berilmu, pada masa yang sama kita telah lupa pengorbanan golongan terdahulu terutama wira-wira kita dan orang Melayu yang telah banyak terkorban dalam menegakkan perlembagaan Malaya ketika itu.
Seharusnya ada satu penghargaan terhadap apa yang telah kita buat pada masa yang lalu tentang cita-cita, pengorbanan dan titisan darah sehingga Tunku Abdul Rahman berjaya menuntut tarikh kemerdekaan kita pada 31 Ogos 1957. Jika kita tahu laluan sejarah, soal kontrak sosial atau DEB tidak menjadi debat. Tetapi kini bukan saja debat tetapi nak menghapuskan kedudukan ini. Jadi 16 September itu bukan hari keramat tetapi “hari kiamat”.
DEB bukan menindas kaum lain tetapi sebaliknya untuk membela kaum yang lemah. Kebetulan yang banyak lemah dan papa kedana ialah orang Melayu. Perjuangan yang dibawa oleh PKR ini harus difahami oleh rakyat Malaysia yang rasional serta mempunyai kebijaksanaan membuat keputusan.

Tetapi sokongan kepada PKR ini juga turut diberikan oleh orang Melayu, adakah mereka tidak tahu sejarah ini?

ABDUL RAHIM: Mungkin tidak tahu sejarah. Mungkin juga tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku sekarang. Orang ini lebih mudah dikembalikan kefahaman dan penghayatan bagaimana kita harus membina semangat patriotisme berasaskan kepada laluan sejarah kita yang jelas. PKR bukan memperjuangkan sesuatu yang baru atau landskap politik yang baru. Ini yang kelima dalam siri untuk menghancurkan kedaulatan dan kedudukan Melayu dalam negara kita.

Apakah nasihat Tan Sri kepada orang Melayu?

ABDUL RAHIM: Kita harus menghargai sejarah mengenai betapa susahnya menghadapi keganasan untuk menegak apa yang ada pada hari ini yang telah teruji sejak 51 tahun kita merdeka.

Tuesday, September 16, 2008

Tentera pertingkat keselamatan nasional

Aktiviti ketenteraan zaman kontemporari membabitkan aspek pengurusan krisis dan konflik

TENTERA adalah komponen penting dalam kekuasaan sesebuah negara dan tunggak kepada keselamatan nasional. Bagi kebanyakan kita, kekuasaan tentera di sesebuah negara adalah jelas dan ketara dari segi persenjataan dan peralatan.

Tanggungjawab utama tentera adalah mempertahankan kedaulatan negara dan integriti wilayah daripada pencerobohan luar dan juga mempertahankan kestabilan politik dan sosial negara. Bagi mereka yang mengetahui dan memahami, pembangunan keupayaan ketenteraan sesebuah negara tidak pernah 'berautonomi'. Pembangunan dalam tentera menuntut penciptaan produksi teknologi yang inovatif bagi sistem persenjataan dan keistimewaan atau keunikan dalam sistem pengurusan hal ehwal tentera.

Namun, pembangunan ketenteraan yang kontemporari juga berkembang bagi melindungi aspek politik dan ekonomi. Selain fungsi tradisinya mempertahankan kestabilan politik domestik, aktiviti tentera pada zaman kontemporari juga membabitkan aspek seperti pengurusan krisis dan konflik, perlucutan senjata, kawalan persenjataan dan operasi pengaman antarabangsa. Oleh demikian, dapat diperhatikan strategi negara kini lebih tertumpu kepada usaha mengelakkan peperangan, bukannya untuk bertempur. Mereka semakin meletakkan keselamatan nasional kepada pembangunan keupayaan ketenteraan. Kuasa tentera adalah instrumen utama yang membolehkan sesebuah negara menyedari matlamat polisi luar negara, mempertahankan kestabilan politik serta menyokong peranan dan pembabitan negara di arena antarabangsa.

Secara umumnya bagi kebanyakan negara, tentera adalah komponen asas yang melengkapkan pembangunan nasional dan tentera juga kuasa penting dalam proses permodenan negara. Maka dapat dilihat, pembangunan keupayaan ketenteraan adalah perlu bukan saja bagi memperkukuhkan kerajaan, kestabilan politik dan sosial, malah juga perkembangan ekonomi.

Keupayaan tentera secara umumnya dianggap terserlah dalam kuasa nasional dan instrumennya dalam mempertahankan keselamatan negara. Pembangunan kontemporari juga memperlihatkan bahawa soft power sesebuah negara semakin ketara muncul sebagai penyumbang kepada kekuatan nasional yang komprehensif. Kebangkitan kepentingan soft power' kepada sesebuah negara ini disebabkan oleh faktor globalisasi ekonomi yang secara tidak langsung melucutkan kuasa tentera sebagai kaedah dalam menyelesaikan pertikaian ekonomi.

Walaupun meningkatnya kepentingan misi pelbagai, fungsi utama kuasa tentera adalah untuk menghalang pencerobohan dan melindungi keselamatan ekonomi dengan cara memastikan akses kepada sumber yang penting, kepada survival negara dan pembangunannya adalah selamat. Ini menjelaskan mengapa komponen kekuatan nasional negara adalah bersifat 'bukan ketenteraan'.
Pembangunan soft power selalunya ditentukan oleh badan politik sesebuah negara, tradisi sejarah, pembangunan strategi dan persekitaran geografinya.

Tentera adalah ukuran kepada kuasa nasional dan keselamatan negara dibina berdasarkan kepada keupayaan ketenteraan. Bagaimanapun, pembangunan keupayaan tentera dalam setiap negara ditentukan oleh perubahan aliran sama ada pada peringkat serantau mahupun keselamatan global serta persekitaran strategik. Berdasarkan kepada perkiraan ini, saya membuat beberapa pemerhatian: Pertama, wujud konsensus umum di dunia bahawa peranan tentera adalah untuk mempertahankan keselamatan negara, kepentingan pembangunan dan menangani ancaman keselamatan sama ada tradisional mahupun bukan tradisional. Kehendak ini meletakkan tentera untuk mengadaptasikan perubahan dari segi misi bagi memastikan ia mampu menguruskan krisis dan mempertahankan keamanan serta kestabilan domestik dan rantau dalam situasi kompleks secara efektif. Kedua, peranan tentera dalam peperangan zaman kini sudah menjadi semakin terhad, kebiasaannya untuk mencapai objektif politik saja. Pada masa kini, kebanyakan negara mencari penyelesaian politik kepada pertikaian dan konflik.

Operasi tentera pula hanya akan diguna pakai sebagai kaedah membantu untuk mencapai penyelesaian itu. Peperangan kini juga tidak lagi berfungsi untuk mencapai kemenangan sepenuhnya ke atas musuh, sebaliknya lebih kepada mewujudkan syarat bagi mencapai penyelesaian politik. Ketiga, isu etnik dilihat memberikan cabaran serius kepada tentera di negara yang berbilang kaum seperti Malaysia dan beberapa lagi negara Asean. Isu etnik ini tidak mudah dicari penyelesaian kerana secara umumnya semua etnik minoriti adalah protagonis kepada separatisme. Pihak pemisah etnik di Thailand dan Filipina misalnya menuntut kemerdekaan sebagai matlamat utama perjuangan mereka. Malah, dalam mencapai matlamat, ada kumpulan pemisah mengamalkan racism bagi menghasut rakyat ketika berkempen pilihan raya bertujuan untuk memasuki organ kuasa politik di sesebuah negara.

Taktik ini mengeksploitasi skandal yang tidak sahih bertujuan 'membunuh' personaliti tertentu dan memainkan isu sensitif politik dan ekonomi. Ini bagi meraih populariti sehingga boleh menggugat hubungan antara etnik dan mewujudkan ketegangan yang mungkin mengheret kepada kekalutan politik dan ketidakstabilan sesebuah negara. Malah ada juga yang cuba merampas kuasa dengan cara kekerasan dan melakukan serangan keganasan.

Kini, dapat kita lihat kumpulan pemisah yang radikal mudah bertapak dalam negara anggota Asean kerana wujudnya pertikaian politik dan perang saudara. Keempat, adalah penting untuk menyedari bahawa syarat yang mustahak untuk kita menikmati kehidupan yang aman dan stabil adalah membangunkan kuasa nasional. Adalah sama pentingnya untuk menyedari bahawa kecekapan dan efektifnya pertahanan negara memerlukan peralihan yang sistematik dalam sumber nasional kita kepada keupayaan tentera menerusi mobilisasi dan organisasi yang efektif.

Faktor bagi kebanyakan negara yang lemah dan kurang efektif dari segi ketenteraan adalah disebabkan ketidakmampuan mereka untuk mengurus sumber bagi penentangan apabila diancam oleh pihak luar. Ada juga keperluan untuk memahami bahawa kini wujud perubahan dari segi fokus dalam konflik antarabangsa kepada ekonomi, sains dan teknologi bagi perkembangan kuasa nasional yang komprehensif sebagai sasaran strategik.

Kelima, disebabkan kedudukan fizikal Malaysia, perpisahan wilayah di timur dan barat wilayah oleh perairan yang luas, keunikan bentuk dan semula jadi keadaan tanah, menyebabkan negara ini mudah dibolosi pihak musuh sama ada secara udara atau laut.

Dalam hal ini, Malaysia harus mengambil kepentingan laut sebagai barisan pertahanan pertama. Ada juga kemungkinan peperangan akan datang terhadap Malaysia, tercetus di lautan terbuka. Bagi menghadapi jenis peperangan itu, tentera kita perlu mencapai mobiliti yang luas dan dapat merangkumkan kombinasi baik dengan pihak udara, memiliki kuasa perisikan peperangan elektronik dan pasukan gerak cepat.

Dalam konteks ini, kelebihan dalam kawalan kuasa udara dilihat sebagai syarat utama kepada kejayaan mutlak dalam sesuatu peperangan. Keenam, dalam hubung kait dengan di atas, adalah jelas bahawa tanggungjawab pertahanan negara sudah melalui perubahan kualitatif dengan ada cabaran yang lebih kompleks kini.

Bagi memenuhi cabaran itu, kita perlu menyesuaikan arah pembangunan angkatan tentera kita dengan pemerhatian yang lebih kepada teknologi tinggi dan aplikasi serta latihan operasi bersama. Tentera secara tradisi dianggap sebagai sebuah institusi perang, simbol kepada kuasa nasional dan tunggak kepada keselamatan negara. Penjelasan berhubung tanggungjawab tentera ini masih lagi relevan kepada zaman kontemporari kini.

Namun, kebanyakan angkatan tentera di dunia kini tidak mungkin berperang dengan mana-mana negara musuh dalam pertempuran berskala besar. Rutin harian tentera kini lebih kepada operasi asymmetrical seperti menghadapi ancaman pengganas, puak pemisah etnik dan ekstrim agama serta membantu mengekalkan keamanan dan kestabilan politik domestik. Maka dapat disimpulkan bahawa tentera adalah asas kepada keseluruhan keselamatan nasional.

Walaupun persiapan pihak tentera adalah opsyen efektif ke arah peperangan dan menghalang pencerobohan luar, situasi semasa di rantau Asia Tenggara memberi petunjuk bahawa diplomasi juga berperanan utama untuk mempromosi keamanan dan kestabilan serantau. Meskipun wujud pertikaian di kalangan negara anggota Asean, konflik antara negara tidak mungkin akan berlaku di rantau ini.

Faktor yang mungkin mencetuskan konflik di rantau ini diyakini dapat dikawal dan ia dapat diselesaikan menerusi kerjasama politik dan keselamatan serantau. Dalam pada itu, fokus utama negara-negara serantau kini adalah pembangunan ekonomi. Maka dapat diperhatikan bahawa negara anggota lebih berminat untuk mempromosikan keamanan dan kestabilan serantau daripada mengambil kesempatan keadaan krisis bagi kepentingan mereka sendiri.

Leftenan Jeneral Datuk Mohd Salleh Ismail ialah Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Kementerian Pertahanan

Merenung sejarah di sebalik penubuhan Persekutuan Malaysia

HARI ini, 16 September 2008 genap 45 tahun Persekutuan Malaysia dibentuk dengan gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah (Brunei menarik diri pada saat akhir dan tidak menyertai Malaysia, walaupun bersetuju pada mulanya).

Singapura kemudiannya keluar daripada Persekutuan pada Ogos 1965 selepas hampir dua tahun dalam Persekutuan Malaysia. Sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia ini seharusnya difahami semua warga negara Malaysia tidak kira apa bangsa dan keturunan, kerana ini adalah sejarah negara. Tanpa memahami sejarah negara, warga akan kurang mengerti apa sudah berlaku dan yang sedang berlaku kini. Apa yang berlaku pada hari ini mempunyai hubungan dengan apa yang berlaku semalam. Setiap warga harus melihat sejarah kerana ia mempunyai banyak pengajaran dan boleh mengelak keburukan berulang.

Malaysia dibentuk bukan dengan mudah dan terpaksa melalui beberapa proses yang agak mencabar. Hubungan di antara pergolakan dan konflik luaran yang berlaku dan masalah dalaman dalam tahun sekitar penubuhan Persekutuan Malaysia perlu difahami. Pembentukan Malaysia adalah dengan restu penjajah British bagi menyelamatkan Singapura daripada jatuh kepada kuasa komunis. Perkembangan politik di Singapura pada awal 1960-an mungkin membawa kebangkitan kuasa komunis di Singapura dan melemah/mengalahkan pengaruh Parti Tindakan Rakyat (PAP). Jika Singapura menjadi sebuah kuasa komunis, ia bukan hanya membawa ancaman kepada kepentingan British dan kuasa Barat lain di Singapura dan Tanah Melayu saja, malah juga kepentingan British dan kuasa Barat lain (khususnya Amerika Syarikat) di seluruh Asia Tenggara.

Atas alasan ini pihak British bersetuju menyerahkan Singapura, menggabungkannya dengan Persekutuan Tanah Melayu. Harus diingat juga bahawa Singapura adalah tanah jajahan British yang amat 'disayangi' di Asia Tenggara. Kalau tidak kerana ancaman komunis dalam politik Singapura yang mula berlaku dengan jelas sejak awal 1961, pihak British tidak mungkin menyerahkan Singapura dan bersetuju dengan pembentukan Persekutuan Malaysia.

Persoalan percaturan kuasa dalam politik antarabangsa dan serantau, mempunyai hubungan rapat dengan pembentukan Malaysia pada 1963. Sekiranya bentuk percaturan dan pola kuasa politik antarabangsa tidak seperti yang berlaku, maka pembentukan Malaysia mungkin berbeza dengan apa yang sudah berlaku. Walaupun ancaman komunis pada peringkat serantau dan domestik mengancam keselamatan, perkiraan kestabilan politik tempatan dan kedudukan politik bangsa Melayu/Bumiputera dalam jangka panjang tidak dipandang remeh oleh Tunku Abdul Rahman.

Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu itu menolak pembentukan sebuah persekutuan yang hanya menggabungkan Tanah Melayu dan Singapura kerana ia akan membentuk sebuah kumpulan dominan yang tidak bersifat dominan Melayu. Orang Melayu tidak lagi akan menjadi kumpulan dominan dalam persekutuan yang akan menggabungkan Tanah Melayu dan Singapura. Ini akan membawa bahaya besar kepada kedudukan masa depan bangsa Melayu dan kestabilan politik negara keseluruhannya.

Dengan hanya gabungan Tanah Melayu dan Singapura akan menyelamatkan pengaruh komunis, tetapi dalam jangka panjang politik orang Melayu dan Malaysia amnya tidak akan stabil dan benar-benar terjamin. Orang Cina akan menjadi kumpulan dominan dan mungkin akan menguasai kuasa politik dalam Persekutuan Malaysia yang dibentuk itu. Inilah perkiraan Tunku bahawa kuasa politik utama dan kumpulan dominan mesti berada dalam tangan orang Melayu.

Perkiraan Tunku ini dalam jangka panjang adalah bagi membentuk sebuah nation-state yang lebih menjurus kepada one state, one nation atau lebih menghampiri kepada ciri-ciri ini iaitu bilangan penduduk Melayu dan Bumiputera lebih besar peratusannya. Ini mempunyai hubungan rapat dengan darjah kestabilan politik. Semakin besar kumpulan dominan Melayu/Bumiputera maka akan lebih besar kestabilan dan semestinya bilangan besar bukan-Melayu akan tidak menjamin kedudukan orang Melayu. Ini juga selaras dengan prinsip dan sejarah perjuangan bapa-bapa pejuang kemerdekaan Tanah Melayu dan kemerdekaan yang baru dicapai pada 1957. Dari sinilah timbulnya perkiraan baru bahawa Persekutuan Malaysia akan dipersetujui oleh Tunku sekiranya British bersetuju menyerahkan semua tanah jajahan British di pulau Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Brunei ke dalam persekutuan baru. Dengan kemasukan wilayah jajahan British di Borneo ini akan menyumbang kepada jumlah penduduk Melayu dan Bumiputera yang lebih ramai dan lebih menjamin kedudukan politik orang Melayu.

Akhirnya selepas melalui satu proses yang agak mencabar, maka Persekutuan Malaysia dibentuk pada 16 September 1963 dengan gabungan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Singapura meninggalkan Malaysia pada Ogos 1965 kerana beberapa masalah politik dan hubungan dengan isu perkauman yang bercanggah dengan falsafah politik Persekutuan Tanah Melayu pimpinan Tunku. Umno dan PAP tidak boleh bersama dalam banyak hal kerana asas falsafah politik dan sosial yang berkaitan dengan etnik yang sangat berbeza.

Pimpinan Tunku menolak prinsip 'Malaysian-Malaysia' iaitu persamaan hak sama rata tanpa mengambil kira batas kaum dan agama. Pimpinan Tunku menerima prinsip persamaan hak di kalangan rakyat Malaysia, cuma beberapa perkiraan berkaitan dengan asal keturunan dan faktor sosioagama budaya tertentu, diambil kira bagi membentuk keadaan lebih adil dan harmoni. Apa yang termaktub dalam Perlembagaan adalah jelas, misalnya apa yang dinyatakan dalam Perkara 8.

Garis kasar hubungan kaum dijelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan yang diterima sebahagian besar rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia bebas bersuara dan mengemukakan pendapat dalam hal tertentu, tetapi ada hadnya bagi menjamin keharmonian hidup dalam negara berbilang kaum sebagaimana digariskan dalam perkara 10 (A) misalnya: batasan hak kebebasan bersuara daripada menyentuh kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam, hak keistimewaan orang Melayu. Menyambut 45 tahun penubuhan Malaysia, kita sepatutnya merenung rahsia besar yang tersirat, agar kita tidak tersasar daripada falsafah perjuangan asal pejuang silam berjuang, membina dan mengisi kemerdekaan.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu

Monday, September 15, 2008

Tindakan ISA perlu demi kesejahteraan negara

Perbuatan boleh cetus konflik, bahayakan ketenteraman awam jika pihak berkuasa tidak tegas

TINDAKAN polis menahan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng (dibebaskan 18 jam kemudian) mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kelmarin serta memberi amaran kepada tiga akhbar Sin Chew Daily, The Sun dan Suara Keadilan – kerana membangkitkan isu perkauman, walaupun mencemarkan sedikit prinsip kebebasan bersuara yang cuba diperkenalkan kerajaan sejak beberapa tahun lalu, perlu bagi memastikan ketenteraman rakyat pelbagai kaum di negara ini terus terpelihara.

Malah ada yang berpendapat tindakan itu agak terlambat jika beberapa perbuatan, kenyataan dan ucapan, terutama oleh sesetengah pemimpin politik, pertubuhan bukan kerajaan dan badan profesional tertentu membabitkan sensitiviti kaum, agama dan keistimewaan Bumiputera sejak akhir-akhir ini diambil kira.

Itu belum termasuk kandungan dan ulasan oleh peserta yang bersembunyi di sebalik nama samaran dalam laman web mengenai isu sensitif yang agak 'taboo' di kalangan sebahagian besar rakyat suatu ketika dulu. Kalau dulu, fitnah, dakwaan dan tuduhan seumpama itu hanya boleh disebarkan di kalangan kumpulan tertentu menerusi surat layang, sesiapa yang mempunyai komputer termasuk kanak-kanak sekolah, kini boleh membaca tulisan seperti itu.

Bahayanya ialah apabila mereka yang buta sejarah dan tidak mengetahui latar belakang sesuatu isu itu menerimanya bulat-bulat. Menurut pihak berkuasa, ketiga-tiga orang itu ditahan kerana polis mempunyai alasan yang cukup kuat untuk mempercayai bahawa tindakan mereka sebelum ini boleh mencetuskan konflik yang membahayakan ketenteraman awam jika tindakan tidak diambil segera Penahanan Raja Petra, editor laman web Malaysia Today dikatakan berkaitan dua ulasan artikelnya bertajuk 'I promise to be a good, non hypocritical Muslim' yang menggunakan ayat-ayat menghina orang Islam dan 'Not All Arabs are descendents of the Prophet' menyiarkan ulasan menghina orang Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Sebelum itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan membuat laporan polis berhubung penyiaran artikel berkenaan. Kok yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara dan Exco kerajaan Selangor ditahan ekoran petisyen sekumpulan penduduk Puchong yang membantah kenyataannya mengenai laungan azan di sebuah masjid di kawasan itu. Tan, yang dibebaskan kelmarin ialah wartawan yang menulis berita mengenai ucapan berbaur perkauman oleh Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail.

Polis membebaskan Tan selepas berpuas hati dengan hasil soal siasat yang dijalankan terhadapnya. Apa yang berlaku kelmarin mengingatkan kita kepada Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987 di mana polis secara besar-besaran menahan 106 orang terdiri daripada pemimpin parti politik, aktivis sosial dan badan bukan kerajaan mengikut ISA serta menarik balik permit akhbar The Star, The Sunday Star, Sin Chew Poh dan Watan.

Walaupun dari segi jumlah yang ditahan kelmarin jauh lebih kecil berbanding pada 1987, tangkapan terbesar selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969, dan jaminan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar sendiri kelmarin bahawa tiada lagi tahanan selepas ini, suasana politik menjelang penahanan itu tidak banyak berbeza.

Operasi Lalang dilakukan bagi menghalang ketegangan kaum yang memuncak ketika itu ekoran isu sekolah aliran Cina, bertukar menjadi rusuhan. Kertas Putih yang diterbitkan kerajaan bagi menjelaskan penangkapan itu berkata, tindakan pelbagai kumpulan memainkan isu-isu sensitif sehingga mewujudkan ketegangan kaum memaksa pihak berkuasa bertindak tegas bagi mengawal keadaan. J

ika ketegangan kaum menjelang Operasi Lalang hanya berkisar kepada isu sekolah aliran Cina, apa yang berlaku kini adalah rentetan pelbagai isu yang dimainkan oleh golongan tertentu selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 yang menyaksikan pembangkang menguasai lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga kerajaan Barisan Nasional.

Kemenangan mereka dan sikap terbuka kerajaan menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan dan mula memandang ringan sensitiviti kaum yang dipelihara selama ini.

Kemenangan pembangkang juga menyebabkan ada segelintir pemimpin mereka dan pertubuhan tertentu mula mempersoalkan perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan seperti hak Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi. Kontroversi ucapan berbaur perkauman Ahmad adalah luahan tindak balas 'majoriti senyap' yang melihat perkembangan itu dengan penuh kebimbangan.

Berdasarkan senario inilah, tindakan polis menggunakan ISA kelmarin diharap meredakan ketegangan yang terkumpul sejak beberapa bulan lalu agar ia tidak merebak ke tahap yang lebih buruk sehingga menjejaskan keharmonian dan ketenteraman rakyat yang dipertahankan selama ini.

Memang sentiasa ada pihak yang menuduh penggunaan ISA dan beberapa undang-undang lain bagi mengendurkan ketegangan kaum sebagai mencemarkan demokrasi, kebebasan dan ketelusan yang diuar-uarkan kerajaan.

Bagaimanapun, yang lebih penting ialah kesejahteraan rakyat secara keseluruhan, bukannya segelintir golongan yang mahukan kebebasan tanpa tanggungjawab.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, majoriti rakyat negara ini sama ada Pak Mat di Kelantan, Ah Chong di Pulau Pinang atau Muthu di Sentul sudah bosan dengan ucapan pemimpin politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang. Yang mereka mahu ialah tindakan dan pelaksanaan seperti dijanjikan dalam manifesto parti masing-masing sewaktu kempen pilihan raya umum lalu.

Harapan mereka, selepas kemelut ini reda, kebajikan mereka mula diberi perhatian dalam erti kata sebenar.

Pandangan & Pendapat : Sains, Matematik dalam bahasa Inggeris perlu dinilai semula

DESAKAN 38 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya kerajaan melaksanakan semula pengajaran subjek Sains dan Matematik serta subjek lain dalam bahasa Melayu kecuali bagi subjek bahasa pilihan perlu diberi perhatian serius.

Ini berikutan kegagalan 146,000 murid sekolah negara ini memahami aspek asas subjek Sains dan Matematik yang diajar menerusi sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Malah, laporan keputusan peperiksaan serta kajian oleh beberapa pihak mendapati 30 peratus murid gagal memahami langsung subjek Sains dan Matematik yang diajar menerusi sistem PPSMI. Tahun lalu saja, 146,000 atau 30 peratus murid yang mengambil peperiksaan awam menjadi mangsa PPSMI apabila mencatat gred D dan E bagi subjek Sains dan Matematik.

Kebanyakannya gagal memahami aspek paling asas subjek berkenaan dan ini menjadi beban kepada mereka sehingga ke sekolah menegah. Sebelum ini, beberapa pihak turut menggesa kerajaan mengembalikan semula penggunaan bahasa Melayu bagi menggantikan PPSMI, yang dilaksanakan sejak 2003, jika ia gagal mencapai matlamat.

Kita percaya masalah ini, jika dibiarkan berterusan akan turut menyebabkan jurang lebih ketara antara masyarakat bandar dengan luar bandar. Malah, semakan audit terhadap Laporan Kajian Penilaian Pelaksanaan Program PPSMI mendapati penguasaan bahasa Inggeris majoriti guru Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah masih rendah.

Kajian yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran pada tahun lalu itu bertujuan mengumpul maklumat mengenai status kesediaan guru dan pelajar bagi program PPSMI. Kerana itu, kerajaan perlu menimbang mengembalikan semula pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik menggunakan bahasa Melayu bagi memartabatkan serta memperkasakannya sebagai bahasa dunia.

Penggunaan bahasa Inggeris gagal menunjukkan kejayaan, sebaliknya merugikan orang Melayu. Malah, hasil kajian sekumpulan pendidik sebelum ini mendapati 87.7 peratus murid Melayu tidak dapat menguasai bahasa Inggeris. Sudah banyak negara berusaha mendaulatkan bahasa asing, tetapi akhirnya gagal dengan bangsa yang diciplaknya.

Contohnya, negara Afrika yang menggunakan bahasa asing sebagai bahasa pengantar di sekolah, tidak juga mencapai kemajuan besar.

Sebaliknya, negara yang mendaulatkan bahasa sendiri termasuk Jepun, Korea, Perancis, China dan Jerman, maju dalam pelbagai bidang termasuk sains dan matematik.

Kalau kita mahir dalam bahasa Jerman, kita kena ambil kursus bahasa berkenaan dan konsepnya sama dengan PPSMI iaitu kita perlu belajar bahasa Inggeris itu sendiri, tetapi bukan menerusi Sains atau Matematik.

Wednesday, September 10, 2008

Kembalikan Ramadan sebagai bulan kemenangan

ramadan adalah bulan di mana al-Quran diturunkan dari Lauhul Mahfuz ke Baytul Izza. Ia adalah bulan di mana terdapat satu malam; Lailatul Qadar iaitu malam yang terbaik di antara seribu bulan pada yang menyaksikan keagungan-Nya. Ia juga bulan di mana Allah SWT memerintahkan umat Islam berpuasa, mengikat syaitan-syaitan, mengunci pintu-pintu neraka dan membuka seluas-luasnya pintu syurga, membenarkan umat Islam meninggikan ketaatan dan kekuatan kepada Tuhan mereka.

Di bawah kepimpinan Rasulullah SAW, negara Islam telah berjaya mengalahkan puak terkemuka di kalangan bangsa Arab, iaitu puak kafir Quraish dalam Perang Badar. Meskipun pada masa itu, negara Islam mempunyai pasukan tentera yang kecil dari segi bilangan, mempunyai kelengkapan perang yang tidak mencukupi dan berhadapan dengan musuh Allah yang tiga kali ganda bilangannya termasuk yang terkuat dan paling berpengalaman dalam peperangan.

Satu lagi peristiwa Ramadan adalah pembukaan Kota Mekah (Fatah Mekkah). Pembukaan ini telah menundukkan puak Quraish di bawah kekuasaan pemerintahan Islam sekali gus menghapuskan kekejaman mereka terhadap bangsa lain dan juga memudahkan jalan untuk perluasan Daulah Islamiyyah ke serata pelosok dunia.

Dan pada abad kepimpinan Islam selepas era Rasulullah dan Khulafa' ar Rashidun, Daulah Islam Khilafah mencapai kemenangan yang besar ke atas musuh-musuh Islam dalam bulan Ramadan.

Kaum Muslim telah berjaya mengusir tentera Salib dari As-Syam sepenuhnya walaupun sebahagiannya telah cuba diusir semenjak berabad-abad lamanya. Jadi, dapat dilihat, ketika kaum Muslimin ditadbir dan dihukum dengan peraturan Islam, Allah SWT telah memperlihatkan bahawa bulan Ramadan adalah bulan kemenangan umat Islam ke atas musuh-musuhnya.

Tetapi alangkah sedihnya pada Ramadan kali ini, kaum Muslimin berhadapan dengan penaklukan oleh musuh-musuh Islam di setiap pelosok ruang kehidupan mereka. Sekali lagi pada Ramadan kali ini, kaum Muslimin menghitung jumlah kematian saudara-saudara mereka hasil daripada kerja tangan para penjajah yang menakluk tanah-tanah kaum muslimin di Afghanistan, Iraq, Palestin, Kashmir dan banyak lagi.

Ramadan ini, kaum muslimin mengharungi kepayahan dan kesempitan hidup kerana sumber-sumber alamnya dikuasai dan dieksploitasi penjajah. Umat Islam tidak sepatutnya berpuas hati menyembahkan diri kepada Allah dengan berpuasa dan bersolat sahaja.

Sebaliknya, menjadi kewajipan kita untuk bekerja ke arah penerapan agama Allah dan memastikan keutuhan nya agar Ramadan kembali menjadi saksi ke atas kemenangan kaum Muslim.

Kesamarataan tidak semestinya membawa keadilan

Adakah rakyat Malaysia berbilang kaum hari ini termasuk kalangan para pemimpin tidak memahami atau sengaja menidakkan perbezaan antara kesamarataan dan keadilan?
Ini kerana kedua-dua konsep tersebut yang nampak sama maksudnya tetapi berbeza gagal difahami apabila melihatkan pendirian dan tindakan yang dilakukan mutakhir ini.

Akibatnya, berlakulah ketidakadilan pada ketika kesamarataan terlalu diberi penekanan yang seterusnya menyebabkan sebelah pihak semakin "memendam rasa" manakala sebelah pihak lagi seperti "naik lemak".

Adakah pemberian tanah ribuan ekar dan peruntukan beratus-ratus ribu ringgit untuk tujuan penempatan, pendidikan dan kebudayaan kepada bukan Melayu seperti yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri Perak itu benar-benar adil kepada orang Melayu yang masih banyak perlu diberi perhatian di negara ini?

Perlu ditegaskan, kesamarataan (equality) tidak semestinya membawa keadilan (equity).
Apatah lagi dalam konteks negara ini yang rupa bentuk bangsa Malaysia dan perpaduannya begitu rapuh kerana kaum bukan bumiputera masih kuat dicengkam rasa perkauman sedangkan orang Melayu pula terlalu banyak bertolak-ansur.

Walaupun dalam Fasal (8) Perkara 1 Perlembagaan Malaysia menyatakan semua orang adalah sama rata dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang tetapi itu bukanlah tiket untuk pihak tertentu yang antinasionalisme sebaliknya kuat cauvinismenya mengeksploitasi peruntukan itu demi kepentingan politik kepartian masingmasing.

Kedudukan bahasa kebangsaan (Perkara 152), agama Persekutuan (Perkara 3) serta kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera (Perkara 153) yang merupakan sebahagian daripada antara unsur-unsur tradisi dalam Perlembagaan negara ini tidak wajar sewenang-wenangnya "dikaji semula" dengan tujuan menghapuskannya atas alasan mahu mewujudkan kesamarataan dengan kelompok etnik lain.

Apa yang berlaku di seberang Tambak Johor wajar diteladani agar virus "pisang berbuah dua kali" tidak merebak ke negara ini. Jika diteliti senarai Kabinet Singapura didapati hanya seorang sahaja menteri Melayu iaitu Yaacob Ibrahim daripada kira-kira 20 portfolio yang ada, manakala etnik India Singapura yang merupakan kelompok ketiga terbesar mempunyai empat orang menteri.

Adakah itu adil kepada etnik Melayu sebagai penduduk asal dan kelompok kedua terbesar di republik itu sedangkan jumlah dan kedudukan portfolio yang dipegang oleh menteri berketurunan India pun mengatasi Melayu?

Malah, penekanan melampau akan konsep kesamarataan turut mengheret kepada ketidakadilan yang seterusnya menimbulkan rasa tidak puas hati orang Melayu sebagai penduduk asal kawasan yang dikategorikan dunia Melayu ini. Ironinya, kesamarataan yang ditekankan pun tidak wujud apabila sebelah pihak sahaja dilebihkan.

Ini dapat dilihat daripada keluhan seorang pembaca akhbar Berita Harian Singapura (3 September 2008) yang khuatir melihatkan semakin banyaknya papan tanda dan siaran TV berbahasa Inggeris dan Mandarin serta ramai pegawai tinggi pemerintah di negaranya kini yang tidak tahu bertutur bahasa Melayu.

Tidakkah keadaan tersebut telah atau bakal menimpa negara ini jika peralihan kerajaan baru yang diuar-uarkan pada 16 September menjadi kenyataan akibat tidak faham akan perbezaan konsep kesamarataan dan keadilan?

Tuntutan dan desakan yang semakin kuat hari ini seolah-olah menggambarkan orang Cina dan India ditindas serba-serbi selama kedatangan keturunan mereka ke tanah air ini sejak kurun ke-19 lalu yang kemudiannya dengan mudah memperoleh kerakyatan ketika di ambang kemerdekaan seterusnya hidup selesa sehingga hari ini.
Oleh itu, pemahaman dan tafsiran semua pihak berhubun
g konsep kesamarataan dan keadilan mestilah jelas.

Pemimpin-pemimpin Melayu sama ada daripada Pakatan Rakyat (PKR-PasDAP) mahupun UMNO/BN mesti berhati-hati dalam strategi dan tindakan politik mereka agar tidak membawa bala kepada generasi bangsanya sendiri kemudian hari.

Pendek kata, keadilan itu adalah setiap orang dapat apa yang sepatutnya dia perolehi bukannya mesti sama banyak atau mesti ada sama seperti orang Melayu/bumiputera miliki.
Dalam masa yang sama, orang bukan Melayu mesti sedar diri akan di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung.

MOHD. ARIF ATAN

Tercabarnya hubungan etnik

SEMUANYA bermula dengan media. Kerana dua tiga ayat berkaitan isu 'pendatang' dan 'keturunan pendatang' maka hebohlah seluruh Malaysia.

Secara fakta sejarah dan berdasarkan cara kita menguruskan hubungan etnik di negara ini sama ada dasar pendidikan, agihan kuasa politik atau agihan ekonomi, sukar untuk kita melihat konsep bangsa Malaysia yang sebenar-benarnya wujud dalam tempoh lima puluh tahun akan datang.

Penulis mengikuti dengan teliti tulisan oleh Dr. Hassan Ahmad dan Prof Dr. Zainal Kling baru-baru ini berkaitan etnisiti. Kedua-duanya menunjukkan nada yang sama, iaitu kecewa dengan sikap 'keturunan pendatang' di negara ini.

Sikap beramaran yang ditunjukkan oleh mereka tentunya akan meningkatkan rasa jengkel bukan Melayu kepada masyarakat Melayu. Tetapi apa yang ditulis oleh mereka adalah jelas dan telah dinyatakan dengan tertib dan penuh ilmiah. Tinggal lagi bolehkah 'keturunan pendatang' dapat menerima pandangan tersebut dan melupakan apa yang telah berlaku semasa kempen pilihan raya yang lalu?

Cakap-cakap orang ramai berkaitan pergolakan hubungan etnik bermula selepas berakhirnya pilihan raya awal tahun ini. Sememangnya bahang panasnya telah mula dirasai sekarang apabila timbulnya pelbagai tuntutan di kalangan masyarakat bukan Melayu kepada pihak pemerintah.

Persoalan keistimewaan orang Melayu, hal ehwal Islam dan kuasa raja-raja Melayu mula dipertikaikan. Semakin banyak tulisan di blog-blog serta laman web membincangkan hal ini. Tuntutan yang menjejaskan hubungan etnik ini dikaitkan dengan kelemahan sokongan yang diperolehi parti pemerintah dalam pilihan raya lalu.

Secara lebih khusus, kepincangan hubungan etnik ini timbul berasaskan kepada empat faktor utama iaitu kehilangan sokongan di pihak parti pemerintah khususnya UMNO yang berasaskan kaum dan bertambah sokongan kepada parti pembangkang yang multietnik.

Kedua, pergolakan dalam UMNO dan kesatuan Pakatan Rakyat yang semakin 'menjadi'. Ketiga, persaingan menyediakan ganjaran dan memenuhi tuntutan kumpulan minoriti oleh parti Melayu untuk meraih sokongan di kalangan bukan Melayu (anugerah tanah untuk sekolah persendirian Cina di Perak adalah contoh yang terbaru).

Keempatnya, didorong oleh sikap keterbukaan sebahagian orang Melayu khususnya di bandar yang menolak parti berasaskan kaum dan tidak lagi kisah dengan usaha mempertahankan keistimewaan dan ketuanan Melayu.

Gabungan faktor ini telah mewujudkan kelemahan yang kumulatif kepada kepimpinan Barisan Nasional khususnya UMNO.

Oleh itu, pihak kerajaan perlu segera memperbaiki hubungan etnik ini secara serius. Sama ada suka atau tidak, kontrak sosial mestilah disosialisasi di dalam pendidikan kita. Anak-anak Melayu, Cina dan India khususnya perlu dididik untuk memahami serta menghormati kontrak sosial.

Bukan kerana agenda ketuanan Melayu tetapi kerana kontrak sosial ini adalah asas untuk membina sebuah bangsa Malaysia. Kontrak sosial yang telah berevolusi selama 50 tahun walaupun belum berupaya membina satu bangsa Malaysia tetapi terbukti berjaya mempertahankan keharmonian etnik di negara ini.

Kontrak ini sudah jelas maksudnya tidak pernah menghasilkan etnik yang tertindas. Misalnya, walaupun orang Melayu adalah majoriti dari segi bilangannya tetapi tidak langsung memberikan isyarat untuk memonopoli ekonomi negara.

Faktanya, lebih ramai orang Melayu yang berada di dalam kumpulan status sosial ekonomi bawahan berbanding orang Cina dan India. Malah bilangan profesional dan peniaga di kalangan etnik Cina dan India lebih ramai berbanding orang Melayu.

Secara politik, walaupun orang Melayu dan bumiputera merupakan 62 peratus penduduk negara ini, perwakilan di DUN dan Parlimen menunjukkan agihan kerusi pilihan raya tidak pernah menguntungkan orang Melayu.

Malah ahli Yang Berhormat yang terpilih untuk berbincang dan meluluskan keputusan dan dasar negara bukanlah diasaskan kepada perwakilan kaum tetapi atas dasar kebersamaan di kalangan parti komponen.

Secara nisbah orang Cina dan India mempunyai perwakilan yang lebih daripada orang Melayu untuk mewakili etnik masing-masing.

Sejarahnya, orang Melayu memang telah banyak berkorban dan menyumbang kepada pembangunan negara ini, kaum Cina dan India juga tidak kurang pentingnya, turut memberikan sumbangan yang besar. Maka, tindakan menuding jari dan memperkecilkan sumbangan kaum lain bukanlah sesuatu tindakan yang bijak dan terhormat.

Oleh itu pengajaran yang sangat besar daripada peristiwa selepas pilihan raya umum ke-12 ialah perlunya pendidikan multibudaya (multicultural education) dikembang di sekolah-sekolah kita.

Sangat penting untuk anak-anak kita mengenali secara dekat budaya etnik lain supaya mereka akan lebih serasi dan selesa berinteraksi khususnya selepas zaman persekolahan.

Sistem pendidikan vernakular sudah ketinggalan zaman dan ternyata gagal menguruskan kehidupan majmuk rakyat negara ini. Sampai bila konsep pecah perintah perlu dipertahankan atas nama mempertahankan identiti etnik sehingga menimbulkan rasa perkauman yang semakin menebal dan sukar dipulihkan lagi.

Soal siapa tuan dan siapa 'keturunan pendatang' akan terus-menerus diadudombakan dalam masyarakat di negara ini.

Hari ini generasi yang belajar dalam sistem pendidikan vernakular mengungkit-ungkit soal ketuanan dan 'keturunan pendatang', maka jika sistem pendidikan vernakular ini dikekalkan maka anak cucu kita juga akan mengungkit-ungkit perkara yang sama pada masa depan. Sedih rasanya jika kita mewariskan kepada generasi masa depan yang akan terus menerus mengulangi kesilapan kita.

Tak berbaloi rasanya kita berjaya sampai ke bulan, kalau sesama kita bertelagah dan bercakaran tentang perkara yang telah dipersetujui sebaik sahaja kita merdeka dulu, lima puluh tahun dulu. Kembalilah kepada semangat dan iltizam pejuang bangsa terdahulu, hormati perjanjian yang telah mereka bina bersama demi mempertahankan keamanan, keharmonian dan kestabilan hidup di bumi bertuah ini, bumi Malaysia.

Pelihara ketenteraman

RAKYAT Malaysia tentu tidak lupa tanggal 2 September 1998. Pada tarikh tersebut sepuluh tahun lalu Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Selepas daripada tarikh itu landskap politik Malaysia berubah. Wujud kumpulan yang menggelarkan diri mereka reformasi kononnya memperjuangkan keadilan demi seorang pemimpin yang tidak pernah bersalah di mata mereka.

Manakala satu kumpulan rakyat meneruskan taat setia menyokong kepimpinan sedia ada sehingga kerajaan yang dibentuk sejak 51 tahun lalu masih mampu mengekalkan kedudukan serta fungsinya sehingga sekarang ini.

Tidak kurang pentingnya, selepas daripada tarikh itu perjalanan hidup rakyat Malaysia diganggu dan terganggu oleh kerenah penyokong Anwar yang membuat onar sehingga menimbulkan kesulitan kepada pelbagai pihak.

Tidak mempedulikan kesejahteraan rakyat dan ketenteraman awam, kumpulan itu tanpa mengenal erti lelah jauh sekali jemu berdemonstrasi, mencaci, memaki hamun dan menghentam kerajaan serta barisan pemimpin yang dikategorikan sebagai zalim.

Dan sejak tarikh itu, kehidupan di bandar raya Kuala Lumpur tidak pernah tenteram, ada sahaja onar yang dilakukan oleh kumpulan reformasi sehingga menuntut pasukan keselamatan melaksanakan langkah-langkah yang secara tidak langsung menjejaskan kelancaran hidup warga kota.

Sekatan jalan raya, gerakan antirusuhan membabitkan pasukan polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa dijalankan sehingga mengakibatkan kesesakan jalan raya selain menimbulkan rasa bimbang orang ramai untuk keluar menjalani urusan seharian.

Tindakan Anwar menjalankan siri jelajah serata negara sambil mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang sarat dengan unsur provokasi membakar semangat penyokongnya yang ketika itu menutup mata, telinga dan hati untuk apa juga saranan supaya ketenteraman awam dipelihara.

Rakyat tentu tidak lupa ada peniaga yang terpaksa menanggung kerugian gara-gara siri demonstrasi dan rusuhan yang jika tidak ditangani secara bijak ketika itu boleh sahaja memusnahkan negara.

Apabila pertuduhan rasuah ke atas Anwar dibicarakan di mahkamah, kumpulan ini membuat hal lagi, mereka berdemonstrasi sambil mengeji sistem keadilan di negara ini dengan pelbagai kata nista.

Anwar dibawa ke mahkamah dari Penjara Sungai Buloh sambil penyokongnya berhimpun di luar mahkamah dan senario seumpama itu kekal biar pun jumlah peserta reformasi semakin menyusut dari semasa ke semasa sehingga kes rasuah dan kes liwat selesaikan dibicarakan.

Genap enam tahun Anwar dipecat daripada Kabinet dan menjalani hukuman penjara, beliau dibebaskan selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuannya terhadap sabitan bagi kesalahan liwat.

Timbul lagi kekecohan apabila Anwar menggalakkan penampilannya dengan status Penasihat Parti Keadilan dan pertuduhan kes liwat kali kedua melibatkan pembantu peribadinya pula.
Keadaan di Kuala Lumpur kembali tidak selesa apabila ada sahaja sekatan jalan raya dibuat termasuk pada hujung minggu sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Selepas sepuluh tahun daripada tarikh beliau dipecat, hari ini Anwar dibawa ke mahkamah untuk ke sekian kalinya bagi membolehkan pertuduhan beliau meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan disebut semula selepas Anwar mengaku tidak bersalah pada Jun lalu.

Semestinya dalam keadaan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu baru sahaja diraikan kerana menang besar dalam pilihan raya kecil baru-baru ini, tumpuan berlebihan ke atas beliau tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Tahap kepercayaan dan keyakinan para pengikutnya pasti semakin meningkat dan dalam keadaan seperti ini semangat serta keghairahan untuk memastikan pemimpin mereka tidak disumbat dalam penjara sekali lagi mewajarkan segala tindakan biar pun di luar rasional.

Apatah lagi kali ini kehadiran Anwar bukan bermula dari Penjara Sungai Buloh yang menggunakan kenderaan khas sambil diiringi pegawai penjara dan anggota polis.

Bermakna ketika itu para penyokong Anwar hanya berpeluang berhimpun di perkarangan mahkamah bagi memberikan sokongan selain merendah-rendahkan imej negara dan bukannya sangat untuk mengikuti kes yang sedang dibicarakan.

Kali ini perjalanan Ketua Pembangkang itu pasti bermula di kediamannya di Bukit Segambut. Di situ penyokong-penyokong Anwar yang sedang bersemangat menunggu tertubuhnya kerajaan baru pada 16 September ini tidak boleh tidak akan memenuhi setiap ruang yang ada.

Sokongan padu terhadap Perdana Menteri impian mereka mesti ditunjukkan dan dalam menyatakan sokongan itu adalah menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia terutama warga kota supaya jangan ada timbul provokasi sehingga menimbulkan suasana yang tidak tenteram sekali lagi.

Kesempatan berada dalam lingkungan penyokong kuat Anwar memberi gambaran yang amat jelas bahawa di pemikiran mereka tiada siapa yang dapat menandingi kehebatannya.

Bagi mereka, Anwar selayaknya menjadi Perdana Menteri kerana imejnya yang Islamik selain pertuturannya tidak lekang menyebut istilah-istilah hebat serta kisah perjuangan tokoh-tokoh terkemuka dunia. Anwar dilihat seorang pemimpin ideal yang tiada cacat cela.

Bagi penyokong Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, penjara hanya akan memusnahkan harapan serta impian untuk melihat Anwar merintis jalan ke Putrajaya. Dan bagi mereka Anwar pemimpin agung yang tidak selayaknya disumbat di penjara apatah lagi untuk kesalahan yang mereka sendiri percaya dan yakin bahawa Anwar sama sekali tidak akan dan tidak pernah melakukannya.

Justeru adalah menjadi harapan insan-insan yang mempunyai urusan harian untuk dibereskan serta warga kerja yang memerlukan perjalanan ke tempat kerja tanpa sebarang sekatan, agar penyokong-penyokong Anwar bersikap rasional dan menghormati undang-undang.

Sebutan semula pertuduhan kes liwat itu bukan bermakna Anwar secara automatik meniti hari di dalam lokap. Lagi pun Anwar belum didapati bersalah. Akan ada tarikh lain yang diputuskan hari ini untuk membolehkan kes tersebut dibicarakan. Reaksi keterlaluan serta tindakan mengiringi 'hero' secara beramai-ramai hanya akan mengusutkan keadaan dan menimbulkan kesulitan di kalangan orang ramai.

Lebih penting jangan ada pihak yang menangguk di air keruh, sehingga bukan sahaja mengganggu kelancaran kes yang disebut semula malah menimbulkan kemarahan orang ramai gara-gara urusan harian mereka terjejas.

Patuhi arahan pihak berkuasa yang berperanan memastikan ketenteraman awam di seluruh negara terpelihara.

Perlu diingatkan bahawa negara kita mengamalkan sistem demokrasi dengan kerajaan yang memerintah terbentuk melalui pilihan raya atau melalui peti undi. Kita tidak dapat menerima cara atau kaedah mencapai sesuatu itu melalui tunjuk perasaan di jalan-jalan raya apatah lagi bagi menuntut keadilan.

Oleh itu jangan sesekali cuba mengganggu perjalanan kes Anwar dengan pelbagai spekulasi dan tindak-tanduk.