Friday, November 14, 2008

Berpijaklah di bumi nyata

SELEPAS 51 tahun merdeka, perkembangan ekonomi orang Melayu masih belum begitu menggembirakan. Laporan Penyiasatan Isi Rumah (HIS) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia 2007 yang disiarkan kelmarin telah membuktikannya.

Jika kita meneliti satu persatu perangkaan yang dipaparkan yang melibatkan pendapatan isi rumah untuk tiga kaum utama di Malaysia, ternyata dikategori low end adalah milik kita.

Bagi tahap pendapatan di bawah RM2,000 sebulan, terdapat 1,277,500 isi rumah Melayu digolongkan dalam kategori berkenaan berbanding hanya 389,200 isi rumah untuk kaum Cina dan 154,300 isi rumah bagi kaum India. Tampaknya, kita golongan yang paling mundur antara ketiga-tiga kaum berkenaan.

Maklumat yang menyatakan kedudukan prestasi penjanaan isi rumah ini pada penulis dilihat begitu penting kerana ia berlawanan sama sekali dengan sikap dan pemikiran segelintir orang Melayu pada masa kini.

Pemikiran segelintir orang Melayu hari ini di lihat begitu ekstrem, dinamis dan kritis. Mereka tidak lagi memikirkan survival bangsa mereka. Mereka mahu mencari kelainan, keadilan dan pilihan alternatif baru.

Mereka seolah-olah sudah begitu selesa dengan kehidupan dan pencapaian yang ada. Seakan-akan mereka sudah berjaya dalam segenap segi termasuk ekonomi.

Pelbagai istilah baru meniti di bibir mereka setiap hari. Apa yang ada hari ini tidak pernah mahu disyukuri. Bahkan ada segelintir orang Melayu turut mahu kerajaan yang memimpin sekarang segera diganti.

Keadaan ini menguatkan lagi hujah penulis bahawa segelintir orang Melayu itu sendiri sudah merasakan dirinya mewah. Cukup serba-serbi. Makan dan pakai semuanya tiada masalah lagi.

Jika mengikut fakta sejarah, sekiranya orang Melayu sedang bermasaalah, mereka tidak akan ada masa untuk memikirkan itu semua. Mereka tidak akan ada masa untuk berbalah.

Tetapi, sekarang tampaknya orang Melayu itu sebenarnya bukan semua sudah berjaya. Mewahnya Melayu hanya fantasi, bukan realiti. Yang berjaya hanya sebilangan kecil. Ada lebih daripada satu juta lagi isi rumah Melayu yang rupanya masih kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Jika kita lihat mereka yang berpendapatan isi rumah di bawah RM1,000 sebulan memang boleh dikategorikan berada di bawah tahap kemiskinan jika diambil kira senario sekarang.

Dengan harga barang keperluan harian seperti beras, minyak masak, petrol dan lain-lain yang masih boleh dikatakan tinggi, pendapatan RM1,000 sebulan memang tidak memadai sama sekali.

Bagi yang menjana RM2,000 sebulan pula, mereka hanya setakat boleh bernafas lega sahaja dalam mengharungi kehidupan seharian dengan tahap kos saraan hidup seperti dewasa ini.

Realitinya, taraf hidup kita sebenarnya tidak pernah berubah meskipun kita kelihatan sudah bertambah mewah. Kita jangan lupa, membeli dan memiliki sebuah kereta Proton Saga hari ini analoginya adalah sama sahaja dengan membeli dan memiliki sebuah motosikal pada tahun 1970-an.

Ia adalah keperluan paling asas dalam meneruskan kehidupan harian. Tidak ada yang perlu dibanggakan. Pendek kata, yang bermotosikal Honda EX5 hari ini belum tentu hidup senang. Ada yang mungkin terpaksa membuat dua kerja untuk melengkapi kehendak dan keperluan rumahtangganya.

Kita jangan cepat terasa kehidupan isi rumah sudah mewah hanya kerana sudah mampu membeli dua atau tiga buah motosikal baru ataupun hanya kerana kita sudah mampu memandu kereta Wira atau mempunyai dua keping kad kredit.

Realitinya kehidupan kita tidak semewah mana. Ini kerana kehidupan kita dibantu oleh pelbagai kemudahan kredit dan kewangan yang ada diberikan pada hari ini.

Nak beli kereta, zero down payment. Nak pakai kad kredit, hanya perlukan gaji layak minimum RM1,500. Nak naik kapal terbang, hanya RM79.50 dari Senai ke LCCT. Nak beli perabot, hanya RM22 seminggu. Semua ini berupa kemudahan yang membantu kita meneruskan kehidupan. Oleh itu, kita jadi alpa kerananya.

Kita harus berpijak di bumi nyata. Kita sebenarnya amat jauh ketinggalan dari segi penjanaan ekonomi keluarga berbanding kaum lain di Malaysia. Itulah hakikatnya.

Sekurang-kurangnya angka yang diterbitkan itu dapat menyedarkan kita betapa mundurnya kita dari segi ekonomi. Kita perlu berusaha lebih keras untuk meningkatkan pendapatan isi rumah kita.

Bukan membuang masa di kedai kopi di kepala simpang dengan duduk berbual soal politik dari pagi sampai petang. Sebenarnya kita tidak mampu untuk membuang masa begitu. Biarkan orang politik yang berpolitik. Kita juga tidak mampu untuk bergasak sesama Melayu, kita sebenarnya mesti terus bersatu menguatkan barisan bagi memperkuatkan ekonomi orang melayu.

Jika kita sesama kita terus bercakaran, ekonomi dan masa depan akan terus menjadi malap. Pihak lain yang pantas menghidu peluang pula yang akan mengambil kesempatan di atas sikap kita yang tidak bijaksana.

Ekonomi negara kini hampir 60 peratus dibolot kaum tertentu, dan sekiranya orang Melayu masih terus lena dan bersyak wasangka sesama kita, maka tidak mustahil dalam sepuluh tahun lagi seratus peratus ekonomi kita akan terlepas ke tangan mereka.

Dalam pada itu kuasa politik kita juga, yang tampaknya semakin hari semakin dicabar dan tercabar, akan menyebabkan kita bakal kehilangan daya juang ekonomi dengan lebih cepat lagi.

Ini kerana kedua-duanya berkait rapat dan bergerak seiring dalam menentukan jatuh atau bangunnya orang Melayu.

Oleh itu, sedarlah wahai segelintir orang Melayu yang terlupa. Sebenarnya ada banyak lagi perjuangan lain yang perlu disegerakan. Berpadalah mengkritik rakan sebangsa, bersatulah untuk menguatkan ekonomi bersama.

Kita tidak boleh leka dan lalai selamanya. Perkuatkan ekonomi Melayu yang ketika ini hanya menjadi penumpang ekonomi semasa. Anjakkan minda kita semoga angka itu juga akan turut berubah sama.

Ketuanan melayu hilang tanpa kekuatan ekonomi

KENYATAAN Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S. K. Devamany bahawa kaum Melayu adalah kumpulan terbesar penduduk di negara ini yang pendapatannya di bawah RM1,000 cukup untuk menggambarkan kedudukan sebenar orang Melayu di Malaysia.

Orang Melayu yang dari sudut penguasaan politiknya amat luas tetapi secara realitinya mempunyai pencapaian ekonomi amat rendah. Justeru boleh saja dibayangkan di paras mana kedudukan ekonomi orang Melayu jika penguasaan politiknya amat kecil atau tiada langsung.

Begitu juga di sebalik pelbagai keistimewaan yang diperuntukkan untuk orang Melayu, namun catatan 301,000 isi rumah kaum Melayu memperoleh pendapatan di bawah RM1,000 amat pahit untuk ditelan.

Bukankah jumlah sebanyak itu jatuh dalam kategori miskin tegar dan dalam keadaan Malaysia yang sedang pesat membangun masih terdapat lebih 300,000 Melayu dalam kategori itu umpama tidak masuk akal.

Tetapi itu realiti. Realiti kaum Melayu yang asyik dengan ketuanannya sehingga lupa kepada kelangsungan usaha untuk memperbaiki taraf hidup tanpa terlalu bergantung kepada bantuan serta keistimewaan.

Kita juga tertanya-tanya benarkah usaha untuk membantu meningkatkan ekonomi Melayu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh? Atau langkah-langkah merangsang ekonomi Melayu hanya gah di atas kertas sedangkan manfaatnya tidak sampai ke akar umbi.

Lebih menyedihkan apabila ada pihak mengambil kesempatan mencipta kekayaan sendiri menerusi dasar-dasar yang dikatakan membantu Melayu sekurang-kurangnya untuk keluar dari status miskin tegar.

Sebab itu apabila ada pihak melontarkan pertanyaan apa sebenarnya yang ada pada ketuanan Melayu, kita tidak sepatutnya melenting jauh sekali menunjukkan lagak.

Ini kerana fakta dan angka menceritakan segala-galanya di sebalik ketuanan Melayu yang kita agung-agungkan selama ini sedangkan realitinya Melayu menjadi kumpulan terbesar merempat di negara sendiri.

Barisan kepimpinan Melayu yang asyik memperkatakan perihal ketuanan Melayu sepatutnya berasa malu di atas kegagalan membangkitkan Melayu sekurang-kurangnya untuk berasa selesa tinggal di negara sendiri.

Perlu diingat bahawa momokan ketuanan Melayu yang keterlaluan tanpa berpijak di bumi nyata menutup apa sebenarnya yang berlaku kepada Melayu di bandar dan luar bandar.

Perlu diingat juga bahawa paras pendapatan bawah RM1,000 itu bukan hanya melingkari kelompok Melayu di luar bandar, malah Melayu bandar juga mengalami nasib yang sama

Justeru, dalam kita melaung-laungkan perihal ketuanan Melayu, barisan pemimpin Melayu mesti bersungguh-sungguh menggerakkan kaum Melayu supaya bangkit dan mengubah sikap untuk menjadi lebih berjaya.

Jika penguasaan politik Melayu gagal mengangkat kedudukan kaum Melayu selepas 51 tahun merdeka maka apa gunanya ketuanan Melayu dilaung-laungkan kerana menjadi tuan umpama tidak memberi makna langsung kepada Melayu. Ketuanan Melayu mesti dilihat dari sudut gahnya Melayu bukan sahaja dalam bidang politik, malah ekonomi serta agenda sosialnya juga dipandang tinggi.

Menghindari budaya mengampu

BAGI merealisasikan hasrat kerajaan yang mahukan kakitangannya bersih rasuah, beramanah dalam tugas dan cekap menguruskan kerja, sudah tibalah masanya kakitangan awam menghindarkan diri daripada mengamalkan budaya negatif.

Ini termasuklah budaya mengampu, diampu dan makan ampu yang memang telah sinonim dengan aspek negatif dalam aplikasi persekitaran organisasi.

Budaya mengampu dalam organisasi bukanlah isu baru dalam pembudayaan kerja malah telah begitu lama menjadi amalan praktik warga kerja yang melihat mengampu sebagai satu taktik dan teknik untuk menuju ke puncak kejayaan dalam kerjaya mereka.

Budaya mengampu akan terus wujud selagi wujudnya individu yang menggunakan ampu sebagai senjata untuk mendapat ganjaran yang dikehendaki dan sikap orang yang hendak diampu itu membenarkan aksi mengampu itu diteruskan kerana ada keperluan untuk mendapat habuan daripada si kaki ampu.

Setiap pekerja mempunyai pelbagai objektif yang hendak dicapai dalam pekerjaan mereka dan setiap kehendak untuk pencapaian itulah yang akan menjurus kepada perlakuan untuk mengampu dan diampu. Apabila memperkatakan mengenai budaya mengampu ini, aspek utama yang diperkatakan adalah siapa yang hendak diampu, bagaimana untuk mengampu, mengapa perlu mengampu dan implikasi dari mengampu itu?

Tidak ada pekerja yang hendak mengampu jika dengan mengampu itu tidak membawa apa-apa ganjaran kepada dirinya. Persoalan-persoalan mengenai mengampu perlu dilihat satu persatu dalam usaha untuk memahami dan mengambil panduan mengenai kemampuan sesebuah organisasi itu mengekang budaya mengampu dari terus bertapak kukuh dalam organisasi.

Seseorang pekerja itu hanya akan mengampu individu atau kumpulan kerja yang boleh memberikan ganjaran yang diharapkan oleh mereka hasil daripada sikap mengampu itu. Siapakah yang hendak diampu? Sudah tentu mereka yang mempunyai kuasa yang boleh dimanfaatkan oleh kaki ampu.

Individu yang hendak diampu pula biasanya memiliki kuasa hierarki. Golongan ini mempunyai kedudukan dalam organisasi yang boleh memberi faedah kepada kaki ampu seperti jawatan-jawatan penting dalam dalam organisasi.

Kuasa hierarki itu akan membuatkan warga "semut" terus menghurungi "gula" yang dipercayai akan dapat merasai nikmat kemanisan "gula" tanpa mengetahui akan bahaya manisnya "gula" tersebut.

Kuasa ganjaran pula adalah keupayaan seseorang itu untuk mempengaruhi orang lain dengan mengawal peruntukan ganjaran dan memberi kesan positif atau negatif daripada pengawalan itu. Disebabkan kuasa ganjaran yang dimiliki oleh individu dalam organisasi itulah membuatkan warga kerja yang inginkan ganjaran merasakan bahawa mereka perlu mengampu untuk memperoleh ganjaran positif dan menggelakkan ganjaran negatif.

Kuasa hukuman adalah kuasa yang dimiliki oleh individu dan dengan kuasa itu individu berkaitan boleh melaksanakan hukuman atau mempengaruhi orang lain untuk melaksanakan hukuman ke atas individu yang melakukan kesalahan dan yang berkaitan. Individu yang memiliki kuasa ini dalam organisasi amat ditakuti kerana dengan adanya kuasa ini boleh mempengaruhi keputusan yang membawa kegagalan kerjaya seseorang pekerja seperti penurunan pangkat, menurunkan penilaian prestasi, menyekat pertumbuhan kerjaya dan sebagainya.

Dengan yang demikian, kaki ampu akan sentiasa berbuat apa sahaja yang diinginkan oleh mereka yang memiliki kuasa bagi menggelakkan hukuman yang telah, sedang atau akan dilakukan pada masa hadapan. Pepatah kaki ampu iaitu "menabur baja dahulu, menuai hasil kemudian" inilah yang menjadikan budaya ampu-mengampu ini tidak "lekang dek panas dan tidak pupus dek hujan" dalam organisasi.

Kuasa rujukan pula adalah kuasa yang boleh mempengaruhi orang lain untuk menggunakan rujukannya sebagai tanda penilaian yang positif untuk orang yang dirujuk. Jika positif rujukan yang diberikan kepada individu yang hendak dirujuk, maka positiflah hala tuju kerjaya orang yang menerima rujukan tersebut dan sebaliknya. Disebabkan itulah maka orang yang mempunyai kuasa rujukan sentiasa diberi perhatian dan pujian oleh mereka yang memerlukan rujukan individu berkaitan untuk kejayaan masa depan mereka.

Jenis kuasa yang dimiliki oleh individu dalam organisasi memberi impak kepada budaya ampu mengampu ini. Semakin kuat kuasa yang dimiliki oleh individu dalam organisasi itu, semakin kuat dirinya diampu oleh individu yang memangnya menjadikan mengampu itu sebagai umpan untuk terus "naik lif" dan bukan lagi "naik tangga".

Soalan bagaimana untuk mengampu penting kepada si kaki ampu kerana dengan meletakkan falsafah "di mana ada usaha, di situlah ada kejayaan" "sedangkan gunung sanggup ku daki, inikan pula tangga dua kali", telah menjadikan taktik mengampu sebagai satu rutin harian bagi melancarkan pekerjaannya.

Secara terasnya kaki ampu hanya bijak menggunakan pelbagai teknik dan taktik untuk mengampu. Manakala yang hendak diampu itu hanya mampu untuk menunggu habuan-habuan yang akan diterima. Beberapa taktik yang digunakan oleh kaki ampu untuk mengampu telah "menyemarakkan" lagi situasi "memberi dan menerima" yang akhirnya menuju kepada budaya rasuah. Bagaimana untuk mengampu? Banyak caranya dan bergantung kepada besar atau kecilnya "permintaan" kaki mengampu ini, antaranya dengan memberikan hadiah-hadiah yang menjadi kesukaan mereka yang hendak diampu.

Mengapa perlu mengampu? Soalan ini tidak susah untuk dijawab kerana selagi ada kehendak dan keperluan individu yang hendak dicapai, selagi itulah seseorang itu perlu mengampu. Mengapa perlu mengampu? Jawab si kaki ampu, mengampu itu perlu untuk mendapatkan ganjaran yang mereka kehendaki dengan sedikit keupayaan yang mereka ada.

Selalunya si kaki ampu ini adalah mereka yang tidak banyak memiliki kriteria yang boleh memberi kejayaan pada mereka. Ada juga si kaki ampu ini terdiri daripada mereka yang sentiasa inginkan perhatian dan kejayaan demi kejayaan tanpa perlu melalui banyak rintangan.

Melayu mesti berusaha baiki taraf hidup

Perangkaan Malaysia 2007 menunjukkan bahawa kaum Melayu paling ramai memperoleh pendapatan bawah RM1,000 sebulan iaitu sebanyak 301,000 isi rumah.

Manakala kaum Melayu yang memperoleh pendapatan melebihi RM20,000 melibatkan 16,500 isi rumah sahaja. Jika dibuat perbandingan dengan kaum Cina, kaum Melayu jauh ketinggalan kerana kaum Cina yang memperoleh pendapatan di bawah RM1,000 sebulan melibatkan 50,900 isi rumah sahaja tetapi 27,900 keluarga daripada mereka memperoleh RM2,000 sebulan.

Tegasnya, bagi pendapatan di bawah RM2,000 sebulan didominasi oleh kaum Melayu manakala pendapatan melebihi RM1,000 dikuasai oleh kaum Cina.

Statistik ini memperlihatkan satu senario di mana kaum Melayu masih ketinggalan dalam bidang ekonomi. Oleh itu, kaum Melayu mesti sedar dan cuba meningkatkan ekonomi mereka walaupun tidak dapat menandingi kaum Cina kerana untuk mengurangkan jurang perbezaan bukannya sesuatu yang mustahil.

Sejak dahulu lagi kita mendapati kaum Cina menguasai bidang ekonomi kerana penglibatan mereka dalam bidang perniagaan. Pada tahun 50-an hingga 70-an, kaum Cina bukan hanya tertumpu di kawasan bandar atau pekan-pekan untuk berniaga tetapi juga di kampung-kampung yang didiami oleh orang Melayu dan India.

Walaupun kaum Melayu sudah berani menceburi bidang perniagaan barangbarang runcit di kampung tetapi mereka sebenarnya masih bergantung kepada orang Cina untuk mendapatkan barang yang diniagakan.

Sampai sekarang pun orang Melayu yang berniaga masih meneruskan tradisi tersebut kerana rata-rata pembekal berbangsa Cina memasuki kampung-kampung menghantar barang runcit untuk peniaga Melayu.

Orang Cina yang tinggal di bandar melebarkan perniagaan mereka dengan bentuk perniagaan yang besar, hebat dan lebih mencabar. Di bandar-bandar, tidak berapa kerat peniaga Melayu yang dapat bertahan akibat pelbagai saingan.

Pendapatan di bawah RM1,000 sebulan bagi kaum Melayu sebenarnya dibantu oleh masyarakat Melayu yang tinggal di kampung-kampung yang rata-ratanya terlibat dengan bidang pertanian.

Bidang yang berisiko tinggi ini seolah-olah menjadi darah daging bagi bangsa Melayu dan diwarisi turun-temurun. Kaedah-kaedah moden dalam bidang pertanian belum tentu memberi pulangan yang lumayan kepada mereka kerana harga kebanyakan komoditi seperti kelapa sawit dan getah tidak menentu.

Dalam sektor pekerjaan lain, kita dapati kaum Melayu banyak menguasai bidang yang menawarkan gaji rendah berdasarkan kelayakan mereka. Pekerja-pekerja majlis bandaran atau daerah dikuasai oleh Melayu dan jarang kita lihat orang Cina bekerja membersih longkang, menebas rumput dan sebagainya.

Dalam bidang pendidikan pula, ketika kaum Melayu mula memperoleh kesedaran tentang pentingnya ilmu sedangkan kaum Cina sudah ke depan. Kaum Cina juga lebih gemar menghantar anak-anak mereka ke kolej-kolej yang menyediakan kursus perniagaan, perbankan dan sebagainya sehingga mereka menguasai syarikat-syarikat yang menawarkan gaji yang tinggi.

Penguasaan ekonomi bagi orang Cina menjadikan mereka mampu membeli unit-unit rumah kedai di bandar-bandar dan pekan kemudian diwariskan kepada anak-anak mereka. Oleh itu anak-anak mereka tidak terkial-kial mencari pekerjaan dalam sektor kerajaan mahupun swasta apabila tamat belajar.

Kaum Melayu mestilah menyambut cabaran untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka. Meskipun sekadar memenuhi kawasan-kawasan kampung, tetapi mereka sebenarnya boleh dan mampu mengubah sikap dengan mempelbagaikan sumber ekonomi.

Peluang meneroka bidang-bidang baru terbuka luas asalkan ada kemahuan. Pelbagai kursus ditawarkan untuk mendedahkan masyarakat desa dengan segala macam kemajuan dan pembaharuan dalam bidang yang mereka ceburi.

Apa yang penting ialah masyarakat Melayu mesti menghindarkan sikap malas atau berpeluk tubuh menanti bulan jatuh ke riba.

Rutin harian masyarakat Melayu di kampung-kampung seperti melepak, berbual-bual kosong di warung dan di kalangan anak mudanya pula yang suka merempit akan memburukkan lagi ekonomi kaum Melayu.

Kaum Melayu mesti memperkasa diri mereka dengan segala macam ilmu, memikirkan kaedah menambah pendapatan dan meletakkan minda mereka dalam kelas pertama.

Faktor Melayu masih mundur

TIADA apa yang menghairankan daripada hasil kajian Jabatan Perangkaan Malaysia yang mendedahkan bahawa sebanyak 301,000 isi rumah orang Melayu memperoleh pendapatan di bawah RM1,000 sebulan.

Pendedahan berdasarkan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (HIS) itu hanyalah penegasan berulang bahawa orang Melayu yang merupakan kaum majoriti di negara ini sememangnya jauh ketinggalan daripada sudut ekonomi dengan kaum minoriti lain.

Hakikatnya orang Melayu terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar serta segelintir mereka yang menetap di bandar besar, masih ramai tergolong dalam kumpulan di bawah paras kemiskinan.

Malah, bukanlah sesuatu yang janggal juga jika dikatakan terdapat orang Melayu yang tidak mempunyai pendapatan tetap, serta hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Dengan pendapatan yang tidak seberapa, kemampuan untuk menyediakan sebuah kehidupan yang berkualiti kepada seluruh isi keluarga juga pastinya sangat terhad. Dalam serba kekurangan, ia memberikan lebih cabaran terutamanya bagi keluarga besar, lebih-lebih lagi yang tinggal di bandar serta kawasan-kawasan pinggiran bandar.

Daripada soal makanan, tempat tinggal, pakaian, kesihatan, pendidikan dan pelbagai keperluan asas lain, semuanya terpaksa ditempuh seadanya.

Paling menyedihkan apabila masa depan pendidikan anak-anak juga terpaksa diperjudikan, sementelah ketika ini terdapat pula syarat untuk ibu bapa mencarum bagi pendidikan anak-anak mereka sebelum boleh diberikan pinjaman pendidikan pada masa depan.

Dalam keadaan sudah terbeban untuk meneruskan kehidupan seharian, bagaimana pula untuk ibu bapa ini mencarum bagi masa depan pendidikan anak mereka? Tanpa pendidikan sempurna, maka jalur kemiskinan itu akan beterusan dan diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Di sebalik kenaikan harga barang dan perkhidmatan seperti yang berlaku ketika ini, keadaan sosioekonomi yang lemah tidak boleh mengelak daripada dikaitkan dengan pelbagai isu sosial di kalangan orang Melayu.

Amalan rasuah, merempit di kalangan anak muda, bekerja di lorong-lorong gelap dan pusat hiburan misalnya, adalah senario kehidupan yang boleh dikaitkan dengan desakan kehidupan yang dihimpit oleh kemiskinan.

Tanpa pembangunan ekonomi yang mampan, kelibat orang Melayu di sebalik rencam masalah sosial itu tidak mungkin dapat dihapuskan. Hakikat ini juga meletakkan agenda pembangunan ekonomi Melayu di tempat paling teratas di kalangan pemimpin-pemimpin Melayu.

Kita pastinya berterima kasih daripada apa yang telah diberikan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam kedudukan ekonomi orang Melayu ketika ini. Namun sesuatu yang pasti, masih terlalu banyak yang perlu digerakkan dan diperluaskan oleh dasar seperti ini dalam memastikan kuasa ekonomi orang Melayu berada pada kedudukan yang sama pentingnya dengan kuasa politik yang kita miliki ketika ini.

Ironinya, perbincangan mengenai kemelut orang Melayu bukanlah perkara baru, sebaliknya kekayaan kaum bumiputera dengan kaum-kaum lain ini sudah dibuat perbandingan sejak lama dahulu.

Penting

Antara hakikat yang perlu diakui meskipun agak pahit untuk ditelan ialah orang Melayu tidak berada dalam kelas ekonomi yang penting menyebabkan agak sukar untuk mereka menentukan perjalanan ekonomi yang lebih besar.

Mengambil contoh dalam piramid jawatan di sesebuah syarikat misalnya, meskipun kuota 30 peratus yang diperuntukkan kepada bumiputera dipenuhi, namun kedudukan orang Melayu itu perlu diteliti.

Hakikatnya, dalam senarai jawatan pengurusan tertinggi sesebuah syarikat korporat, kehadiran orang Melayu sangat kecil. Sebaliknya, orang Melayu lebih banyak berada pada kedudukan jawatan yang lebih rendah. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh modal insan orang Melayu sendiri yang tidak cukup kuat untuk bersaing dengan kaum lain.

Tambahan pula untuk melangkah jauh dalam sektor korporat, orang Melayu perlu menepati kriteria yang sangat tinggi, termasuk latar belakang pendidikan yang cemerlang serta menguasai bahasa Inggeris.

Barangkali disinilah kelemahan kebanyakan tenaga pekerja Melayu, yang meskipun merupakan golongan terpelajar dan lepasan pengajian tinggi, namun tidak mampu berbahasa Inggeris dengan baik sehingga menyempitkan peluang pekerjaan dalam sektor berkenaan.

Kenyataan itu sebenarnya hanyalah sebahagian daripada dilema penguasaan ekonomi orang Melayu, kerana hakikatnya, masih banyak isu yang membelenggu keadaan itu. Antaranya peluang-peluang pekerjaan yang lebih didominasi oleh pekerja asing di sebalik tingginya kadar pengangguran di kalangan orang Melayu.

Begitu juga dengan sikap segelintir industri yang meletakkan kriteria tertentu yang tidak memungkinkan orang Melayu untuk bekerja, selain diskriminasi gaji yang menolak kepada keinginan orang Melayu untuk menceburinya.

Dalam membincangkan tentang agenda pembangunan ekonomi Melayu juga, pelbagai saranan diajukan supaya kek ekonomi negara dapat terbahagi secara sama rata dan tidak hanya dimonopoli oleh kaum tertentu semata-mata.

Antaranya ialah dengan menggalakkan orang Melayu menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Tidak dinafikan, cabang perniagaan mampu menjana pendapatan yang lumayan. Malah, ia juga digalakkan dalam Islam yang meletakkannya sebagai sembilan daripada sepuluh pintu rezeki.

Bagaimanapun, dunia perniagaan bukanlah sektor yang boleh diceburi oleh semua orang, sementelah senario ketika ini sangat jelas memperlihatkan dominasi atau monopoli kumpulan tertentu sehingga sukar untuk orang Melayu bersaing. Melainkan perniagaan makanan seperti membuka restoran, gerai-gerai kecil atau warung, sukar untuk melihat kelibat orang Melayu sebagai tauke atau bos dalam cabang perniagaan lain.

Sama ada pasar raya, kedai runcit, bengkel kereta, kedai elektrik, kedai perabot dan sektor perniagaan berpotensi lainnya, semuanya dikuasai oleh kaum selain Melayu.

Tanpa ada rangkaian dan jalinan perniagaan yang kukuh, orang Melayu yang cuba merebut peluang perniagaan ini ibarat sengaja mencari musibah, dan tidak mustahil akan gulung tikar dengan cepat.

Barangkali di sinilah pentingnya peranan pertubuhan dan badan ekonomi Melayu dalam memastikan kelangsungan usahawan Melayu dalam cabang perniagaan. Antara yang perlu diberi penekanan ialah mengenalpasti cabang ekonomi yang mampu dikuasai oleh orang Melayu dan memperluaskannya supaya mampu melahirkan lebih ramai usahawan berjaya.

Badan ekonomi Melayu juga perlu menjadi tunjang kekuatan kepada usahawan Melayu sama ada dari segi modal, program menambah nilai keusahawan atau sokongan logistik lainnya.

Namun, seperti yang dijelaskan oleh Dekan Fakulti Sains Gunaan, Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Dr. Mohamed Yusoff Ismail, harapan yang disandarkan kepada pertubuhan atau badan ekonomi Melayu itu boleh menjadi sia-sia sekiranya ia tidak dapat dipisahkan daripada pengaruh politik.

Campur tangan politik sehingga mewujudkan amalan korupsi katanya, hanya akan memberikan kekayaan kepada kroni atau sekutu individu yang mempunyai kepentingan politik tertentu, sekali gus menutup rezeki mereka yang sepatutnya lebih layak.

''Amalan pemberian projek kepada kroni dan ketirisan dalam pembahagian kekayaan ini membunuh ekonomi orang Melayu kerana ia hanya akan lebih mengkayakan orang yang sudah sedia kaya, dan yang miskin pula akan kekal miskin,'' katanya.

Kerajaan dalam memberi peluang kepada peningkatan ekonomi orang Melayu turut tampil dengan pelbagai projek mega seperti pembanguan lima wilayah ekonomi atau koridor yang meliputi hampir seluruh negeri.

Koridor itu ialah Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC), kesemua dengan nilai pelaburan berjumlah hampir RM840 bilion.

Bagaimanapun, perlu dipastikan pembangunan koridor itu juga bebas daripada ketirisan dan amalan ali baba supaya salah satu matlamatnya iaitu untuk mengukuhkan kuasa ekonomi orang Melayu benar-benar tercapai.

Namun, kuasa itu hanya berada di kalangan pemimpin Melayu, dan sebagaimana kejayaan dan kemajuan orang Melayu dalam lapangan lainnya terletak di tangan mereka, begitulah juga dalam soal memperkasakan kekuatan ekonomi orang Melayu.

Friday, October 31, 2008

Mempromosi kepakaran Malaysia ke luar negara

Amalan kerja, keunikan tempatan boleh dikongsi profesional antarabangsa dalam pelbagai bidang

SALAH satu sifat terpuji rakyat Malaysia ialah merendah diri dan tidak suka memperagakan kebolehannya. Kedua-dua sifat itu selari dengan ajaran semua agama, apatah lagi Islam yang menganjurkan umatnya bersifat tawaduk yang berlawanan dengan sifat tercela seperti ego, sombong dan bangga diri.

Sifat terpuji rakyat Malaysia itu terserlah dalam dewan kuliah, kamar perbincangan, bilik mesyuarat dan ruang seminar. Biasanya orang Malaysia tidak lantang apatah lagi berbangga menyatakan bahawa sistem, kaedah dan amalan mereka terbaik yang wajar diteladani orang lain.

Hal ini juga terbawa-bawa kepada amalan profesional dalam pelbagai bidang. Tidak seperti bangsa Inggeris, Jepun dan Amerika, orang Malaysia tidak terbiasa dengan istilah 'amalan terbaik' atau 'standard kami' dalam sesuatu disiplin ilmu atau amalan profesional. Kalau pun ada, biasanya hanya disebut sebagai garis panduan atau prosedur biasa yang tidak menampakkan rasa bangga dan yakin dengan kebolehan, amalan dan sistem yang kita bina sekian lama.

Hal ini saya kemukakan kerana ketika ini saya terbabit di dalam dua inisiatif 'amalan terbaik' dalam bidang rawatan air minum dan standard serta piawaian peralatan dan teknologi air. Seperti biasa, kumpulan kami menamakannya 'garis panduan'.

Saya dimaklumkan bahawa 'garis panduan' dalam konteks pentadbiran pelbagai agensi di Malaysia adalah satu peraturan yang wajib diamalkan. 'Panduan' itu bermaksud 'standard' yang tidak mempunyai peruntukan perundangan dari segi amalannya. Saya membangkitkan hal ini kerana banyak 'garis panduan' yang diguna pakai di Malaysia sudah lama dirangka dan dilaksanakan (ini tidak termasuk standard dan piawai yang dibangunkan oleh Jabatan Standard Malaysia). Sesetengah garis panduan sudah ada perulangan edisi baru selepas mengambil kira pelbagai perkembangan dan keperluan terkini. Maknanya kita mempunyai prosedur dan amalan terbaik dikemaskini dan diguna pakai dengan meluas.

Di negara maju, khususnya Amerika dan Britain, garis panduan itu dikenali sebagai 'kod amalan' atau 'amalan terbaik'. Kod amalan mempunyai konotasi perundangan yang perlu diguna pakai ahli profesional. Amalan terbaik pula adalah prosedur yang boleh membantu mempertingkatkan keberkesanan dan keberkesanan sesuatu bidang tugas.

Dalam era globalisasi ini, amalan terbaik digunakan dengan meluas di serata dunia. Jika sesebuah syarikat ingin mengambil bahagian dalam projek pembangunan atau menyediakan perkhidmatan profesional maka amalan terbaik menjadi salah satu keperluan.

Banyak negara membangun mengguna pakai garis panduan yang disediakan oleh agensi antarabangsa. Dalam bidang bekalan air minum, misalnya, garis panduan yang disediakan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) – terbaru menerusi edisi keempat – digunakan dengan meluas, termasuk di Malaysia.

Namun demikian, garis panduan itu tidak terperinci dan tidak disokong peruntukan perundangan. Selain itu, garis panduan agensi antarabangsa bersifat generik dan hanya merangkumi aspek utama, misalnya dari segi kualiti, parameter penting dan penyampaian perkhidmatan.

Aspek lain yang lebih terperinci seperti kaedah penyelenggaraan loji, pengurusan aset, pemantauan kualiti dan sebagainya perlu dirujuk kepada manual atau amalan terbaik disediakan pelbagai badan profesional atau agensi penguat kuasa.

Hal sama telah dilaksanakan di Malaysia dalam pelbagai bidang, termasuk pengurusan alam sekitar, perkhidmatan air, sisa pepejal sehinggalah pengurusan kualiti pengajian tinggi.

Namun demikian, kita jarang mengemukakan amalan terbaik dan manual itu pada peringkat antarabangsa. Hal ini mungkin disebabkan sebahagiannya disediakan dalam bahasa Melayu dan membabitkan pelbagai pihak berkepentingan.

Selain itu, kita jarang menulis 'model' atau 'amalan' di Malaysia dalam jurnal akademik berjenama atau menulis buku diterbitkan penerbit antarabangsa. Oleh itu, kita perlu inisiatif berganda mengetengahkannya ke peringkat antarabangsa sebagai suatu alternatif kepada amalan terbaik dan manual disediakan badan profesional dari negara maju.

Hal ini saya timbulkan kerana banyak negara membangun cuba mempelajari dan mengguna pakai model pengurusan dan teknologi dimajukan di Malaysia kerana bersifat lebih praktikal berbanding dengan model dibangunkan di negara maju. Model Malaysia biasanya mengambil kira pelbagai aspek dan realiti seperti pembangunan kepakaran tempatan, inisiatif berasaskan penyelidikan dan kemampuan penyelenggaraan dengan biaya yang terbatas.

Hal ini begitu ketara dari segi skim bekalan air luar bandar dan perkhidmatan pembetungan secara tidak berpusat (decentralised sewage treatment system). Banyak negara dan profesional negara membangun begitu berminat untuk mencontohi model Malaysia khususnya dalam aspek penyediaan kemudahan dengan mengambil kira faktor kemampuan pengguna yang terbatas untuk membayar perkhidmatan disediakan.

Selain itu, keupayaan syarikat tempatan membangunkan kepakaran untuk merekabentuk, membina dan menyelenggara kemudahan canggih juga hampir setanding negara maju. Sehubungan itu, saya mencadangkan agar pihak kerajaan memberi perhatian lebih serius terhadap promosi kepakaran Malaysia kepada negara lain.

Promosi ini perlu dilakukan dengan mengambil kira lima cara aspek berikut:

Memberi mandat dan biaya kepada badan profesional tempatan untuk menyedia atau mengemas kini dokumen kod amalan dan amalan terbaik dalam pelbagai bidang

Mengguna pakai dokumen tersebut dalam pentadbiran dan pengurusan

Membangunkan modal insan dan kepakaran tempatan dengan cara memberi peluang kepada syarikat dan kepakaran tempatan untuk melaksanakan projek bernilai inovatif dan bukan konvensional

Menulis pengalaman dan amalan terbaik itu dalam genre penerbitan berjenama peringkat antarabangsa

Mempromosi kepakaran Malaysia kepada negara lain menerusi syarikat, universiti dan dokumen berkaitan kod amalan profesional tempatan.

Kita juga perlu melaksanakan strategi serampang tiga mata iaitu melaksanakan projek dengan berjaya, membangunkan kepakaran tempatan dan menjadikan projek dan kepakaran tersebut sebagai testimoni untuk melangkah ke pasaran dan cabaran global. Pada hemat saya, pelaksanaan semua projek mega mestilah disyaratkan mempunyai inovasi yang menampakkan citra dan daya kreativiti Malaysia.

Strategi itu membabitkan penggunaan teknologi dan pengetahuan terkini menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mengatasi pelbagai masalah semasa dengan kerjasama erat antara universiti dan industri, sekali gus meningkatkan kemahiran, kecekapan dan daya saing di kalangan profesional untuk menghadapi cabaran di pentas antarabangsa.

Penguatkuasaan bantu jayakan zon larangan merokok

APABILA Kementerian Kesihatan mengumumkan penambahan zon larangan merokok di tempat awam yang kini meliputi premis kaki lima kompleks beli-belah termasuk restoran dan kafe terbuka, sewajarnya kita menyokong langkah itu kerana ia bertujuan melindung mereka yang tidak merokok. Seperti diketahui umum, persekitaran yang tercemar dengan asap rokok boleh mendatangkan kesan buruk kepada bukan perokok, malah kajian mendapati satu pertiga daripada penghidap barah paru-paru adalah di kalangan mereka yang tidak merokok tetapi hidup dalam persekitaran orang merokok. Tidak dapat dinafikan mungkin timbul rasa tidak puas hati, terutama di kalangan perokok tegar yang berasakan hak mereka dinafikan, tetapi mereka perlu sedar bahawa orang lain juga berhak menikmati persekitaran tidak tercemar. Apapun, langkah itu jelas memperlihatkan kesungguhan pihak berkuasa melindungi mereka yang tidak merokok, sekali gus mengurangkan tabiat merokok. Bagaimanapun, dengan menambah zon larangan merokok tanpa diikuti langkah penguatkuasaan tidak akan membawa makna dan berkesan. Kita berharap Kementerian Kesihatan tidak setakat 'bercakap' tetapi bertindak melaksanakan penguatkuasaan larangan itu. Sebelum ini kita dapati masih ramai perokok yang tidak mempedulikan peraturan berkenaan, malah kita boleh melihat sendiri perokok dengan sewenang-wenangnya merokok di kawasan awam termasuk di pekarangan hospital dan klinik kerajaan tanpa rasa takut kepada peraturan dan tindakan penguatkuasaan.

Bagi memenuhi keperluan ini, penambahan tugas penguat kuasa dijangka menjadi sesuatu yang perlu bagi memastikan hasrat kementerian tercapai dalam melaksanakan peraturan berkaitan. Sudah sampai masanya semua pihak, terutama Kementerian Kesihatan mengambil tindakan tegas selepas memperkenalkan peraturan supaya ia tidak dipandang sinis oleh masyarakat, selain dipersendakan perokok. Kaedah berkesan perlu dilaksanakan segera termasuk menahan dan menyaman mereka yang melanggar peraturan. Kehadiran kakitangan penguat kuasa dengan lebih kerap di kawasan larangan yang menjadi tumpuan perokok amatlah perlu bagi memastikan kawasan terbabit bebas asap rokok. Kita juga berharap perokok mematuhi peraturan ditetapkan, malah lebih baik jika perokok terus menghentikan amalan tidak sihat itu yang bukan saja mengundang penyakit kronik kepada dirinya sendiri, tetapi juga turut dilarang agama. Selain penambahan zon larangan merokok, menaikkan harga rokok dan pelbagai kempen lain yang dilaksanakan kerajaan untuk mengurangkan jumlah perokok, Kementerian Kesihatan juga perlu memikirkan cara paling berkesan untuk mendidik masyarakat supaya menjauhi tabiat tidak berfaedah itu, manakala pihak berkuasa agama pula hendaklah sepakat dalam menentukan hukum bagi tabiat merokok kerana pada masa ini ada pelbagai fatwa berbeza sehingga menyebabkan ada pihak yang memperlekeh hukum berkenaan. Sudah tiba masanya pihak berkuasa agama menetapkan satu fatwa mengenai merokok yang dapat diterima pakai di seluruh negara.

Tuesday, October 28, 2008

Pemilikan 30 peratus ekuiti

DAYA saing sesebuah syarikat senaraian awam tidak akan terjejas hanya kerana syarat pemilikan 30 peratus ekuitinya diperuntukkan kepada bumiputera, selagi ia diurus secara berkesan.

Pengurusan syarikat terbabit perlulah memikul tanggungjawab dengan menerajuinya sebagai institusi perniagaan yang turut memikul tanggungjawab lain seperti diamanahkan oleh negara.

Justeru, dasar negara tidak boleh sebegitu mudah cuba dikorbankan semata-mata untuk mencari jalan singkat bagi meningkatkan daya saing sesebuah syarikat.

Atas kepentingan negara, sebarang cadangan untuk menghapuskan pemilikan bumiputera dalam syarikatsyarikat senaraian awam tidak harus timbul sama sekali, lebih-lebih lagi oleh pemimpin sebuah parti komponen Barisan Nasional yang mendukung dasar dan kepentingan negara.

Memang benar, pelbagai sudut perlu dilihat supaya sesebuah syarikat mampu dan lebih berdaya saing lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi dunia sekarang.

Namun, dalam konteks melebarkan pembangunan negara supaya semua kaum memainkan peranan sewajarnya, dasar-dasar asas untuk memperbetulkan sebarang bentuk kepincangan tidak boleh diceroboh atas alasan perniagaan semata-mata.

Faedah kedai rakyat

Terlebih dahulu kita berterima kasih kepada pegawai dan petugas penguatkuasaan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang telah, sedang dan akan memantau pergerakan harga barang di seluruh negara.

Namun begitu, kita juga memahami tidak semua tempat atau lokasi mampu dikunjungi oleh pihak KPDNHEP kerana banyak kekangan seperti kekurangan pegawai dan masalah semasa.
Kemelut harga barang yang dikatakan tidak stabil, berlaku turun naik dan dengan jelas tidak memihak kepada pengguna sudah banyak diperbahaskan. Pelbagai cadangan, usul dan perancangan disuarakan dengan tujuan memberi sedikit keadilan kepada pengguna. Kita sedia maklum dengan keperluan harian pengguna tidak banyak bezanya antara satu sama lain. Mereka memerlukan barangan yang sama dan situasi ini akan mewujudkan permintaan berterusan.

Oleh kerana permintaan yang stabil, berterusan dan kadang kala meningkat mengikut masa, maka peniaga dapat meramal dan menetapkan dengan tepat kuantiti serta harga. Di sini kuasa harga berkisar antara pemborong dan peniaga. Dua pihak ini seakan penentu kepada turun naik harga barangan di pasaran. Peniaga akan meletakkan harga berdasarkan tawaran dari pemborong. Jika pemborong memperolehi bekalan dengan mudah dalam kuantiti yang banyak, maka harga yang bakal ditetapkan peniaga mungkin berpatutan.

Tetapi sering kali kedengaran rungutan pemborong dan peniaga memberi alasan tentang bekalan yang sukar diperolehi. Alasan ini akan membawa kepada peningkatan harga.
Lazimnya situasi sebeginilah yang menjadi asas penetapan harga. Soal harga siling yang telah ditetapkan kerajaan tidak langsung menjadi rujukan.

Pengguna akan merasai kesannya secara langsung. Mereka seperti tidak ada kuasa untuk mempengaruhi kuasa penentu pemborong dan peniaga. Pengguna tidak menetapkan harga tetapi hanya mampu membuat pilihan berdasarkan kemampuan. Tetapi sejauh mana pengguna mampu bersabar untuk tidak memilih barangan tertentu sedangkan pada masa yang sama barangan tersebut amat diperlukan. Mahu tidak mahu pengguna akan membeli dan kes ini bukan kes tunggal tetapi akan berlaku kepada setiap pengguna.

Sebelum ini kita sudah sedia mengetahui akan kewujudan kedai harga patut yang diperkenalkan oleh KPDNHEP. Beberapa kedai atau pasar raya telah dianugerahkan status kedai harga patut kerana berupaya menjual barangan dengan harga yang lebih murah berbanding dengan kedai-kedai yang sedia ada. Tetapi kedai harga patut tidak wujud secara menyeluruh atau berada di semua lokasi di setiap daerah.

Malah ada pengguna yang tidak menyedari akan kewujudan kedai harga patut ini. Tetapi terdapat juga peniaga yang telah dianugerahkan status kedai harga patut mengambil kesempatan dengan meletakkan harga sama dengan kedai-kedai biasa yang lain. Pengguna tidak mudah untuk menyedari hal ini kerana sudah yakin dengan status kedai tersebut.

Dicadangkan agar pihak kerajaan melalui KPDNHEP merancang dan membuka premis seperti pasar raya di setiap daerah di negara ini dan premis itu dinamakan kedai rakyat atau kedai kerajaan. Ia mirip sebuah pasar raya serba lengkap barangan keperluannya dan lebih menumpukan kepada menyediakan barang-barang keperluan harian termasuk barangan basah.

Kedai rakyat boleh diuruskan oleh kakitangan KPDNHEP sendiri atau mengenalpasti peniaga yang mempunyai rekod yang baik untuk dilantik sebagai pengurus. Lokasi kedai rakyat perlu sesuai, strategik dan semua lapisan rakyat boleh sampai dengan mudah. Fikirkan imej atau identiti yang menarik untuk mempengaruhi pengguna datang berbelanja di kedai rakyat. Reka bentuk bangunannya perlu nampak gagah seperti pasar raya-pasar raya terkemuka.

Harga barangan ditentukan sendiri oleh KPDNHEP dan harga yang ditetapkan sudah pasti lebih murah dari apa yang ditawarkan oleh peniaga lain. Keadaan ini akan menguji kebolehan para pegawai di KPDNHEP untuk memastikan keadilan dapat diwujudkan untuk pengguna. Malah, ia juga boleh dijadikan asas untuk memahami masalah yang dialami para peniaga berkaitan harga barang selama ini.

Fungsi utama kedai rakyat ialah menyediakan keperluan harian rakyat dengan harga yang mampu dikawal sepenuhnya dan tidak mengutamakan keuntungan semata-mata. Ia mungkin lebih kepada menjaga kebajikan rakyat secara langsung. Rakyat diberi pilihan untuk mendapatkan barangan keperluan dengan kemampuan yang ada.

Kedai rakyat juga akan menjadi model kepada premis-premis lain supaya tidak rakus mengejar keuntungan semata-mata. Peniaga perlu ada tanggungjawab sosial dengan menawarkan perkhidmatan setanding dengan nilai harga. Bukannya mengambil kesempatan dengan permasalahan semasa untuk menaikkan harga tanpa alasan yang kukuh.

Kedai rakyat juga akan menjadi tempat rujukan utama pengguna mengenai hal-hal kepenggunaan seperti kualiti barang, status halal dan bantuan nasihat. Kewujudan kedai rakyat di setiap daerah akan memudahkan mereka membuat perbandingan harga dengan harga sebenar yang dikeluarkan atau ditetapkan oleh KPDNHEP sendiri.

Inilah fokus dan objektif utama cadangan pembukaan kedai rakyat ini. Pengguna perlu dididik secara langsung di premis perniagaan tentang hak dan kuasa mereka sebagai pengguna. Cara ini lebih menarik dan berkesan di samping saluran media yang lain.

Jika barangan di kedai rakyat sentiasa diletakkan pada tahap yang lebih murah, kita yakin pengguna tidak akan beralih ke kedai lain.

Peniaga lain akan memikirkan strategi baru untuk memastikan pelanggan tidak lari. Pengguna akan terdorong untuk memilih kedai yang disediakan kerajaan kerana khidmat dan rekod kerajaan amat cemerlang dalam hal-hal kebajikan untuk rakyat.

Kewujudan kedai rakyat atau kedai kerajaan ini akan menjadikan negara kita unik dalam aspek penyediaan perkhidmatan kepada rakyat. Mungkin ia agak pelik kerana kita sudah sebati dengan golongan peniaga yang memonopoli dalam menawarkan barang-barang keperluan harian kepada pengguna. Tetapi untuk kebaikan dan langkah meringankan beban rakyat ia patut dimulakan.

KPDNHEP juga mampu memerangi peniaga yang menaikkan harga sewenang-wenangnya kerana kepantasan maklumat harga barangan mudah diperolehi dengan hanya membandingkan harga di kedai rakyat dengan kedai-kedai lain. Pengguna mempunyai ruang yang luas untuk memainkan peranan dalam isu kenaikan harga barang.

Seterusnya, cadangan mewujudkan kedai rakyat ini akan meningkatkan keyakinan rakyat tentang usaha-usaha kerajaan dalam menyemarakkan tradisi membela rakyat yang menjadi slogan penting selama ini.

Jangan pertikai status bahasa Melayu

JIKA sebelum ini status orang Melayu dipertikai dan dikatakan sebagai kaum pendatang, kini bahasa Melayu pula dicabar apabila cuba diganding dan disamaratakan martabatnya dengan bahasa lain di negara ini dengan alasan yang cukup tidak munasabah. Isu yang sensitif sebegini tidak sepatutnya dibangkitkan di kala kita sedang menuju sebuah negara maju dan moden tidak lama lagi.

Keadaan ini secara signifikannya sangat tidak menghormati bahasa kebanggaan rakyat Malaysia dan mencemar semangat Perlembagaan negara kita.

Walaupun setelah bahasa Melayu ditukar menjadi bahasa Malaysia yang menyebabkan ramai yang terasa hati dan sedih, namun ditelan jua dengan harapan semua bangsa di negara ini dapat menerima bahasa keramat ini seadanya dan menjadikannya bahasa unggul di dalam segala urusan.

Sebaliknya, masih ada yang masih berdegil dan cuba menjadi popular dengan membenarkan pemasangan papan tanda nama jalan dalam pelbagai bahasa di kawasan tapak warisan dalam tulisan Jawi, Tamil dan Cina.

Persoalannya ialah perlukan perkara sedemikian dilakukan di kala bahasa Melayu adalah bahasa utama negara.

Keadaan ini seolah-olah menunjukkan bahawa bahasa Melayu masih tidak mendapat tempat di hati kalangan bukan Melayu dan tidak diterima sebagai bahasa kebangsaan walaupun pada hakikatnya bahasa Melayu adalah lambang perpaduan rakyat sejak sebelum merdeka lagi dan simbolik kepada pembentukan bangsa Malaysia pada masa hadapan.

Jika masing-masing kaum cuba menonjolkan keagungan bahasa mereka dan menjadi juara politik murahan serta membelakangkan bahasa Melayu dalam urusan seharian pentadbiran, ini hanya akan merugi dan menggagalkan wawasan kewujudan bangsa Malaysia yang berbilang kaum.

Perlembagaan Persekutuan 1957 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 jelas memperuntukkan kedudukan sebenar, realiti dan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi di negara ini. Untuk itu, bahasa Melayu hendaklah diletakkan di landasan yang betul dalam semua urusan rasmi serta tidak rasmi rakyat dan negara.

Bahasa Melayu juga mestilah menjadi teras kepada sistem pemerintahan, pendidikan, ekonomi, politik dan sebagainya. Namun begitu, ini tidaklah bermakna bahasa ibunda kaum lain dinafikan penggunaannya, malahan perlu digalakkan mengikut lunas dan ruang lingkup yang dibenarkan.

Oleh itu, sebagai warganegara Malaysia yang taat setia, maka semua pihak perlu akur dengan peruntukan yang ada tanpa banyak muslihat atau cuba merendah-rendahkan standard bahasa Melayu di negara sendiri.

Baru-baru ini beberapa badan, tokoh dan pejuang bahasa mengutuk langkah songsang sebuah kerajaan negeri meluluskan pemasangan tanda jalan dalam bahasa lain dan merayu semua pihak menolak sebarang usaha untuk cuba menyamaratakan bahasa kebangsaan dengan bahasa lain.

Bahasa Melayu mestilah menjadi bahasa unggul dan tunggal, bukannya bahasa tunggul yang boleh dipermain serta diperbodohkan begitu sahaja.

Sehubungan itu, kerajaan dan pihak terlibat diharapkan bertindak segera membetulkan keadaan dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mana-mana pihak yang cuba melanggar semangat perlembagaan dan tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan sewajarnya.

Adalah dibimbangi perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini akan membangkitkan kemarahan serta mencetus sesuatu yang boleh menimbulkan kontroversi, provokasi dan pertikaian umum di negara kita apabila peruntukan undang-undang sedia ada tidak lagi dihormati memandangkan perbuatan ini umpama kegiatan subversif yang cuba melemahkan kerajaan, perpaduan kaum dan sistem perundangan.

Dalam masa yang sama, semua kaum di negara ini perlu memahami bahawa usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan bukan milik mutlak orang Melayu.

Adalah menjadi tanggungjawab dan tugas semua rakyat Malaysia menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa terhebat dalam segala lapangan dan disiplin kehidupan di samping dihormati masyarakat dunia sampai bila-bila.

Oleh demikian, rakyat Malaysia mesti berbangga dengan standard dan status bahasa kebangsaan dan menolak sebarang usaha mengecil serta meremehkan peranan, peluang dan dimensi bahasa keempat paling ramai dituturkan di dunia ini.

Pelihara martabat bahasa kebangsaan

HAKIKAT bahawa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub dalam Perlembagaan memang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak sekali pun.

Sebagai bahasa kebangsaan, penggunaan bahasa Malaysia amat dimartabatkan bukan sekadar di peringkat persekolahan malah diusahakan sehingga ke peringkat korporat dan perundangan.

Namun di sebalik usaha bersungguh-sungguh di pihak kerajaan untuk meletakkan bahasa Melayu di tempat yang sepatutnya, ada sahaja cubaan untuk menyanggah, kononnya bahasa lain perlu untuk memberi kefahaman kepada penduduk majoriti di sesuatu kawasan.

Hakikatnya alasan seumpama itu amat menyedihkan dan memalukan. Selepas 51 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan ada lagi kalangan rakyat negara ini yang tidak mahir berbahasa kebangsaan sehingga ke peringkat tidak tahu membaca nama jalan.

Di mana silapnya dasar kita sehingga masih ada kepercayaan sedemikian rupa atau pun terlalu rendahkah nilai bahasa Melayu untuk muncul sebagai bahasa kebangsaan di negara yang majoriti penduduknya berbangsa Melayu?

Apabila bercakap tentang perjuangan hak asasi manusia kita amat berkiblatkan negara-negara maju. Begitu juga apabila melahirkan kekaguman terhadap penguasaan ilmu, kita begitu terpegun dengan negara seperti Jepun. Malangnya apabila bercakap mengenai bahasa, kita lupa bumi yang dipijak serta langit yang dijunjung.

Sebaliknya kita mengutamakan kepentingan serta agenda yang tidak diketahui apa matlamat sebenarnya. Seolah-olah ada kalangan rakyat Malaysia yang keliru akan jati diri serta perkara-perkara yang perlu diberi keutamaan selaras dengan semangat yang telah dipersetujui sejak 51 tahun lalu.

Kekeliruan itu semakin terserlah jika dilihat daripada tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan permohonan Majlis Perbandaran negeri itu untuk memasang tanda nama jalan dalam tulisan jawi, Tamil dan Cina bagi tujuan warisan di jalan-jalan tertentu di Georgetown.

Biar pun Perlembagaan tidak menetapkan hukuman kepada mana-mana pihak yang gagal menjunjung semangat yang terkandung dalamnya, namun tindakan seumpama itu jelas menunjukkan bahawa rasa tidak hormat terhadap kitab utama negara kita.

Adakah setiap peruntukan yang digubal mesti ada klausa hukuman baru pihak-pihak yang berkenaan ingin menunjukkan kepatuhan?

Mengapa kita tidak menoleh kepada Perancis untuk dijadikan contoh terbaik bagaimana satu bahasa mampu menyatukan berpuluh bangsa. Mengapa kejayaan Perancis meneruskan kehebatan tamadunnya menggunakan bahasa kebangsaan yang tidak dirojak dengan bahasa-bahasa lain penduduk di situ langsung tidak dicemburui oleh rakyat pelbagai kaum di negara kita.

Kita tidak tahu bila masyarakat majmuk di Malaysia akan membuka mata, yang pasti tugas memartabatkan bahasa Melayu adalah tanggungjawab semua dan bahasa kebangsaan bukan sekadar perhiasan Perlembagaan.

Sunday, October 19, 2008

Berakhir hegemoni AS

SEPANJANG Oktober ini dunia melihat campur tangan paling besar oleh kerajaan negara-negara kuasa ekonomi dunia dalam sistem kewangan dan perbankan mereka.

Pelbagai pakej menyelamatkan dapat disaksikan sama ada yang berasaskan kepada polisi kewangan atau ketegasan politik yang mana ia dilihat oleh banyak pihak sebagai berakhirnya era liberalisasi dan kapitalis yang diperjuangkan oleh barat selama ini.

Krisis ekonomi yang bermula dengan sub prima di Amerika Syarikat (AS) pada hujung tahun lalu berterusan menghantui sistem kewangan barat hingga menyebabkan institusi kewangan mereka runtuh satu persatu.

Bayangkan hampir semua institusi kewangan terkemuka yang menjadi nadi kepada sistem ekonomi dan kewangan barat terpaksa diselamatkan oleh kerajaan masing-masing - satu dasar yang sama sekali bertentangan dengan liberalisasi kewangan dan sistem kapitalis.

Di AS, syarikat Lehman Brothers yang berusia 160 tahun, kumpulan perbankan City Group, Merryl Lynchm, Morgan Stanly dan beberapa lagi semuanya menuju kemuflisan jika tidak diselamatkan. Di Eropah gergasi kewangan seperti Standard Chartered, HSBC, Barclays dan Royal Bank of Scotland (RBS) semuanya 'lemas' dan perlu diselamatkan.

Kini pelbagai pihak terutama negara-negara membangun dan dunia ketiga tertanya- tanya apa jadi dengan sistem yang dulu menjadi kemegahan barat. Ketika krisis ekonomi Asia kuasa-kuasa besar yang diterajui AS ini menentang sebarang campur tangan kerajaan dalam sistem kewangan masing-masing kononnya atas nama liberalisasi dan pasaran bebas.

Pada hal krisis ekonomi Asia pada 1997-98 bukan berpunca daripada masalah dalaman, tetapi akibat penyangak mata wang yang memanipulasi sistem pasaran bebas dan liberalisasi itu untuk mengaut keuntungan.

Usaha 'menyelamat' yang dilakukan oleh negara-negara lemah tersebut demi menjaga kepentingan nasional supaya tidak terlepas ke pihak luar dianggap sebagai menolong kroni. Malah kebanyakan negara Asia terutama Indonesia, Thailand dan Korea Selatan dipaksa mendapatkan bantuan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) hingga menyebabkan separuh daripada kepentingan nasional tergadai kepada pihak luar.

Tentu kita ingat bagaimana Pengerusi IMF ketika itu, Micheal Camdesus dengan lagaknya berpeluk tubuh menyaksikan Presiden Suharto menandatangani perjanjian untuk mendapatkan pinjaman. Hasil daripada bantuan IMF itu banyak saham syarikat besar milik negara itu terlepas ke tangan pihak asing.

Kepentingan

Dalam kes Korea Selatan, kepentingan syarikat gergasinya Daewoo juga terpaksa dijual kepada pihak luar. Malaysia juga dikritik hebat kerana bertindak menyelamatkan syarikat-syarikat utama terutama sektor perbankan hingga dituduh sebagai membantu kroni.

Tuduhan yang turut disokong oleh pemimpin politik pembangkang. Tetapi lihat hari ini. Apa sudah jadi dengan liberalisasi, deregulasi dan pasaran bebas yang menjadi kebanggaan AS dan sekutunya kira-kira 11 tahun dahulu? Semuanya rebah dan tersungkur ekoran terlalu percaya dengan liberalisasi dan deregulasi hingga boleh dikatakan tidak ada peraturan yang mengawal aktiviti kewangan mereka.

Kini kerajaan AS, Perancis, Jerman dan beberapa yang lain merupakan pemilik utama bank-bank terkemuka dunia. Malah ia juga menandakan berakhirnya penguasaan atau hegemoni ekonomi AS dan krisis kali ini dikatakan bakal mewujudkan satu sistem pasaran kewangan baru.

Ia dikatakan akan menyaksikan peralihan kuasa ekonomi daripada AS dan sekutunya kepada negara- negara seperti China, India, Brazil dan Russia. Kekuatan ekonomi negara-negara ini menjadi pengimbang kepada krisis sekarang yang mampu mengelakkan ekonomi dunia menuju petaka lebih besar.

Keempat-empat negara itu yang semakin aktif dalam pengeluaran, tenaga dan teknologi tertentu merupakan penampan kepada krisis yang sedang berlaku sekarang. Bayangkan simpanan China yang bernilai AS$1.9 trilion, simpanan petroleum Asia Barat AS$1.3 trilion dan Russia AS$500 bilion.

Kemudian ditambah pula dengan simpanan yang ada di Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Singapura yang melebihi AS$5 trilion sudah tentu boleh digunakan untuk mengambil alih kuasa ekonomi dunia.

Negara-negara ini akan menjadi pusat sistem kewangan dunia melalui keupayaan untuk mengambil alih bank dan institusi kewangan ketika pasaran kewangan AS dan Eropah merudum.

Bagi AS dan negara-negara Eropah, krisis yang berterusan menyebabkan kerajaan mereka tidak mempunyai pilihan. Mereka terpaksa campur tangan dan menyelamatkan bank-bank yang sedang tenat. Seluruh dunia dapat melihat perubahan bagaimana kuasa politik campur tangan dengan urusan perniagaan di Washington, London, Paris dan Berlin.

Bank-bank di negara terbabit juga tidak mempunyai pilihan. Ketua-ketua mereka dipanggil diberitahu bahawa kerajaan akan menyuntik kecairan sama ada mereka suka atau tidak atas dasar nasionalisme.

Setiausaha Kewangan AS, Hank Paulson pada 13 Oktober lalu berkata, itu bukan apa yang hendak mereka lakukan tetapi mereka tidak mempunyai pilihan. Katanya, kerajaan terpaksa membeli saham bank-bank terbabit kerana alternatif lain langsung tidak boleh diterima.

Ini merupakan pengakuan jujur bahawa pasaran bebas kini berkubur bersama leburnya sistem perbankan terhebat dunia di AS hingga usaha menyelamatkannya dianggap sebagai tugas nasional. Di United Kingdom, tugas nasional itu ialah menyelamatkan bank kedua terbesarnya RBS dan bank keenam terbesar HBOS yang kini sudah di bawah kawalan kerajaan.

Kerajaan negara itu yang sebelum ini mengkritik langkah menyelamat yang dilakukan Malaysia 11 tahun dulu kini menguasai 60 peratus saham RBS.

Malah bank kelima terbesar di UK, Lloyds juga kini sedang dijadikan milik kerajaan begitu juga dengan bank-bank kecil lain. Sebelum ini, Northern Rock dan Bradford & Bingley 100 peratus dijadikan milik negara. Ia bukti jelas yang menunjukkan negara-negara kuasa besar ini sekadar cakap tidak serupa bikin.

Mereka akan melakukan apa sahaja demi menyelamatkan syarikat-syarikat mereka, iaitu tindakan yang akan dilakukan oleh mana-mana kerajaan pun dalam dunia ini. Pengerusi Federal Reserve AS, Ben Bernan berkata, untuk menangani krisis itu kerajaan AS tidak akan berundur sama sekali.

Matlamat

Katanya, mereka akan melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat itu. Setakat ini AS telah mengepam AS$700 bilion untuk menyelamatkan pasaran kewangannya. Secara keseluruhannya negara itu telah menyuntik AS$1 trilion dengan terma yang digunakan ialah menyuntik kecairan bukannya menyelamat.

Setakat ini tidak ada siapa dapat meramalkan berapa banyak bank akan dijadikan milik kerajaan atau milik negara - satu pendekatan yang ditentang keras oleh pasaran bebas yang diterajui AS tidak lama dulu.

Di AS setakat ini semua nama besar sudah menjadi milik negara iaitu Bank of America, CitiGroup, Wells Fargo, JP Morgan Chase, Goldman Sacks, Morgan Stanley, Merrill Lynch, Bank of New York Mellon dan State Street. Sehingga kini krisis itu belum menampakkan tanda- tanda akan pulih.

Kerajaan AS dan Eropah terus memerhati dengan teliti kedudukan sistem kewangan mereka yang semakin rapuh dan tidak lagi mampu bertahan dengan asakan yang berpunca daripada liberalisasi dan deregulasi yang diperjuangkan sebelum ini.

Kini negara-negara terbabit terpaksa menelan kembali segala kritikan mereka terutama terhadap Malaysia yang menggunakan pendekatan konservatif untuk mengatasi krisis kewangan 1997-98.

Ketika itu kerajaan Malaysia juga 'menyuntik kecairan' bukannya menyelamat syarikat-syarikat kewangannya. Sama seperti yang dilakukan oleh AS dan UK sekarang.

Ketika itu juga kerajaan Malaysia menambat nilai ringgit pada RM3.80 berbanding dolar AS untuk mengelakkan ia daripada terus merudum diheret liberalisasi dan pasaran bebas. Semua itu dilakukan bukan untuk kepentingan kerajaan atau pemimpinnya.

Tetapi atas kepentingan nasional dan rakyat. Alasan yang digunakan oleh AS pada 13 Oktober lalu untuk menjustifikasikan pengambilalihan sembilan bank utamanya oleh kerajaan.

Nampaknya, tidak ada apa yang salah dengan tindakan yang diambil oleh Malaysia 11 tahun lalu. Yang pasti krisis yang melanda itu menyaksikan berakhirnya hegemoni AS ke atas sistem kewangan global. Malah tidak mustahil ia bakal menyaksikan peralihan paksi ekonomi dari barat ke timur.

Tuesday, September 30, 2008

Dilema peniaga Melayu...

Peniaga Melayu tumbuh bagaikan cendawan pada musim perayaan hari raya tahun ini. Bertambahnya peniaga Melayu di dunia perniagaan merupakan satu petanda yang positif kepada perkembangan dan pembangunan ekonomi masyarakat Melayu.

Malahan Nabi Muhammad SAW telah bersabda iaitu 9/10 daripada rezeki Allah SWT letaknya di dalam perniagaan. Semoga perkembangan seperti ini berterusan sehingga ekonomi masyarakat Melayu mencapai ke tahap yang seimbang dengan kaum lain di negara ini.

Dalam keghairahan dan semangat berjinak-jinak merebut peluang dalam perniagaan, saya merasa amat bimbang sekiranya mereka tidak dapat menangani kesan kegawatan ekonomi melanda dunia, yang turut memberi kesan sampingan kepada perniagaan mereka.

Kesan kegawatan ekonomi ini merangsang pembeli untuk memilih barangan pada harga yang termurah tanpa memikirkan soal kualiti.

Baru-baru ini saya berada di Kuala Terengganu dan dapat merasakan bagaimana keperitan yang menimpa peniaga-peniaga Melayu di bazar yang disediakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Majoriti peniaga Melayu merasa tertekan kerana kuih-muih dan pakaian yang dijual tidak laris kerana rakyat lebih suka mengunjungi pasar raya besar yang menawarkan harga kuih buatan kilang yang jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan kualiti kuih buatan surirumah yang dijual oleh pe- niaga Melayu di bazar.

Dalam konteks ini pasar raya berkenaan telah menjalankan tanggungjawabnya menyediakan alternatif kepada rakyat dengan menawarkan harga yang murah kepada pembeli.
Di sebaliknya pula, peniaga-peniaga Melayu terasa perniagaan mereka kian terancam jika kewujudan seperti pasar raya besar terus tumbuh seperti cendawan di Kuala Te- rengganu.

Oleh itu disarankan, pihak Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kemajuan Koperasi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna membuat satu dasar yang baru supaya peniaga Melayu yang baru mulakan perniagaan kecil-kecilan terus maju tanpa digugat dengan kehadiran pasar raya besar terutama di bandar-bandar besar.

Keputusan yang bakal dibuat harus juga memikirkan masalah pembeli yang mahukan harga barangan yang murah.

Mereka mesti membuat satu pelan tindakan 'menang-menang' di mana peniaga kecil-kecilan dan pemborong seperti pasar raya mencapai kesepakatan supaya kesan akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat.

Sementara kita tunggu keputusan atau cadangan daripada pihak tertentu, nasihat saya kepada pembeli Melayu di Kuala Terengganu khasnya, marilah kita memperkasa dan membantu peniaga Melayu kecil-kecilan di bazar dengan membeli barangan mereka.

Formula yang dicadangkan, belilah lima balang kuih raya buatan kilang di pasar raya besar dan satu balang kuih di bazar. Dengan cara ini kita dapat membantu ekonomi bangsa kita dan pada masa yang serupa membantu peniaga Melayu kecil-kecilan di bazar.

Hidupkan malam Raya

HARI Raya Aidilfitri adalah antara hari yang paling ditunggu-tunggu oleh sebahagian besar umat Islam. Ini kerana semasa hari lebaran inilah golongan perantau berpeluang pulang bertemu ibu bapa dan sanak saudara masing-masing.

Sebab itulah, perjalanan jauh walaupun terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas tidak dihirau.

Ibarat lirik lagu Balik Kampung nyanyian Allahyarham Sudirman Hj. Arshad, "perjalanan jauh tak ku rasa, kerana hati ku melonjak sama ingin berjumpa sanak saudara, yang selalu bermain di mata".

Esok, umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri, insya-Allah. Hari kemenangan yang memang patut diraikan selepas kejayaan mengekang hawa nafsu sepanjang sebulan berpuasa Ramadan.

Hari Raya atau eid bermakna kembali. Jadi, Aidilfitri bermaksud kita kembali kepada fitrah iaitu boleh makan dan minum pada siang hari. Sebabnya, umat Islam hanya wajib puasa sepanjang Ramadan. Baki 11 bulan yang lain kita kembali kepada asal atau keadaan sebenar iaitu bebas makan dan minum pada waktu siang.

Dalam keseronokan berhari raya, jangan kita lupa bahawa sambutan Aidilfitri juga adalah ibadat. Justeru, beberapa amalan sunat perlu diutamakan di sebalik kesibukan menukar langsir baru atau memenuhkan meja makan dengan pelbagai juadah.

Bertakbir

Pada malam hari raya, hendaknya ia diisi dengan amalan bertakbir. Bukannya melekat di depan televisyen menonton pelbagai acara hiburan yang disaji. Biar tangan sibuk bekerja merebus ketupat dan masak rendang tetapi lidah kita sentiasa basah dengan lafaz takbir. Takbir bagi menyatakan kesyukuran kepada Allah.

Aidilfitri bermula apabila terbenam matahari hari terakhir Ramadan (mulai waktu Maghrib) sehingga mula solat sunat hari raya.

Galakan bertakbir disebut secara jelas menerusi firman Allah yang bermaksud: ...hendaklah kamu mencukupi bilangan puasa dan bertakbirlah (mengagungkan dan membesarkan) Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada mu, semoga kamu bersyukur. (al-Baqarah: 185).

Malangnya, amalan ini kurang popular terutama di kalangan generasi muda. Ramai daripada golongan ini memilih untuk berkumpul di tepi-tepi jalan, menghisap rokok dan menunggang motosikal. Malah, ada juga yang merempit pada malam hari raya.

Selain bertakbir, kita juga disunat menghidupkan malam raya dengan ibadat lain seperti tilawah al-Quran, solat, tasbih dan istighfar. Pastikan masjid dan surau tidak lengang persis warga kota meninggalkan ibu negara untuk pulang ke kampung.

Ingatlah sabda Rasulullah SAW, "Sesiapa yang menghidupkan malam raya Fitrah dan malam raya Adha dengan mengharapkan pahala, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati sekalian hati. "(Riwayat Ibn Majah).

Bersalaman dan bermaafan

Sudah menjadi amalan masyarakat kita untuk mengambil kesempatan Aidilfitri bagi memohon maaf antara satu sama lain. Tidak ada salahnya berbuat demikian, cuma kita bimbang umat Islam hanya menunggu hari lebaran baru mahu bermaaf- maafan. Sepatutnya amalan tersebut bermula sejak kita menyambut Ramadan lagi.

Ingatlah kisah Baginda SAW dan isterinya, saidatina Aisyah sewaktu Rasulullah pergi berdakwah kepada masyarakat jin. Sebelum keluar rumah, Aisyah berjanji akan menunggu kepulangan Baginda walaupun dilarang oleh Rasulullah.

Dipendekkan cerita, disebabkan terlalu banyak pertanyaan oleh para jin, maka Rasulullah SAW terlewat pulang ke rumahnya.

Setibanya di rumah, Baginda memberi salam tetapi tiada jawapan. Selepas beberapa kali berbuat demikian, maka Baginda pun memutuskan untuk tidur di hadapan pintu rumah kerana menjangkakan isterinya sudah tidur.

Tidak lama kemudian, Aisyah yang terjaga daripada tidur bergegas berlari membuka pintu. Akibat tergesa-gesa, nyaris Aisyah terpijak pipi Rasulullah yang tertidur tadi menyebabkan Baginda terjaga.

Namun, sesuai dengan firman Allah bahawa Rasulullah itu adalah contoh teladan terbaik, kisah itu berakhir dengan kedua-dua pihak memohon kemaafan. Aisyah terlebih dahulu mohon maaf kerana tertidur menyebabkan Baginda terpaksa tidur di luar. Baginda SAW juga turut minta maaf kerana pulang lewat.

Amalan

Begitulah indahnya Islam yang mengajar umatnya sentiasa mengakui kesilapan dan segera memohon maaf. Bukannya menunggu masa atau tarikh-tarikh tertentu berbuat demikian.
Satu lagi kebiasaan masyarakat Melayu ialah amalan bersalam-salaman semasa hari raya.

Ia adalah sifat mulia sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud, "tidaklah dua orang Islam bertemu saling bersalaman dan berjabat tangan melainkan diampunkan dosa mereka sebelum mereka berpisah. (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah).

Bagaimanapun, Islam tidak membenarkan 'matlamat menghalalkan cara'. Amalan ini perlu ada batasnya yang perlu menjaga adab-adab Islam seperti tidak bersalaman dengan golongan yang bukan mahram.

Menunaikan zakat

Satu lagi kefarduan yang mesti ditunaikan adalah membayar zakat fitrah. Jangan menunggu sehingga saat akhir pada pagi sebelum solat hari raya baru terhegeh-hegeh hendak membayarnya. Tunaikan seawal mungkin supaya rukun Islam keempat itu dijelaskan.

Ibnu Abbas menyatakan: "Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang- orang miskin". (Riwayat Abu Daud).

Kelewatan menunaikan zakat menyebabkan ia tidak diterima dan hanya dianggap sedekah yang perlu diqada pada tahun berikutnya.

Solat sunat Hari Raya

Dalam banyak amalan solat, mungkin solat Hari Raya paling digemari oleh semua Muslim. Sebabnya walaupun ada di kalangan umat Islam yang tidak cukup solat fardu lima waktu sehari dan solat Jumaat pun hanya sekali-sekali, namun solat Hari Raya tidak pernah ditinggalkan.

Solat Aidilfitri hukumnya sunat muakkad yang amat dituntut oleh Baginda SAW supaya dilaksanakan oleh orang-orang Islam. Ia disyariatkan oleh Allah pada tahun pertama hijrah. Ia digalakkan kepada pelbagai peringkat umur dan lapisan umat Islam meliputi kaum lelaki, perempuan, kanak-kanak, tua, muda, gadis mahupun janda.

Dalam menunaikan solat ini, kita disunatkan memakai pakaian tercantik dan bersih. Baginda SAW turut makan sedikit sebelum keluar solat Aidilfitri. Ini dijelaskan menerusi sabda Rasulullah SAW: Adalah Nabi SAW tidak beredar pada Hari Raya Aidilfitri hinggalah Baginda makan beberapa biji tamar. (Riwayat Bukhari)

Dalam kesempatan Aidilfitri, serikanlah ia dengan amalan ziarah menziarahi. Rasulullah pernah bersabda, "Wajib kasih sayangku kepada orang-orang yang ziarah menziarahi keranaku". (Riwayat Ahmad).

Pada hari raya, hendaklah kita mengamalkan kesederhanaan termasuklah dalam bab makan-minum. Jangan pula kita amalkan, 'pantang jumpa' habis dimakan semuanya.
Sebab itu diriwayatkan seorang tabib Arab berkata, perut adalah rumah penyakit dan berpantang adalah kepala segala ubat.

Akhir kalam, semoga sambutan Aidilfitri kali ini disambut dengan takbir dan tahmid bukannya hanya dipenuhi dengan menyaksikan pelbagai rancangan hiburan semata-mata.

Akta perpaduan lebih sesuai

Cadangan kepada pengenalan Akta Perhubungan Kaum yang dicadangkan oleh pihak kerajaan semakin mendapat perhatian daripada rakyat. Rata-rata nampaknya mulai menerima hakikat perlunya satu akta khusus untuk menguruskan perhubungan kaum di Malaysia.

Jika rata-rata lapisan masyarakat sudah menerimanya, kerajaan tentu tiada masalah untuk menggubal dan membentangkannya di Parlimen kelak. Tinggal lagi, ada tiga perkara pokok yang perlu diperhalusi sebelum akta ini dilaksanakan.

Pertama skop akta perhubungan kaum; kedua, implikasi akta kepada masa depan perhubungan kaum di Malaysia dari perspektif sosial dan ketiganya peranan pendidikan untuk perpaduan yang perlu dijenamakan semula.

Akta yang secara 'sementaranya' dinamakan Akta Hubungan Kaum ini masih tidak bersifat menyeluruh dan perlu diteliti dengan lebih mendalam.

Asas kepada cadangan akta ini apabila pihak kerajaan mendapati situasi hubungan kaum agak tegang akhir-akhir ini bermula dengan pelbagai tuntutan yang bercanggah dengan semangat kontrak sosial yang difahami ramai sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Tuntutan-tuntutan yang dianggap sensitif khususnya kepada para pimpinan Melayu menyebabkan 'serangan balas' dilakukan oleh sekumpulan ahli politik Melayu terhadap masyarakat Cina dan India.

Jelas sekali elemen yang menjadi isu kepada ketegangan kaum baru-baru ini ialah amarah dan kekecewaan pimpinan Melayu kepada tindakan pimpinan masyarakat Cina dan India yang mempertikaikan kontrak sosial dan ketuanan Melayu di negara ini. Sebenarnya, situasi ini baru salah satu dimensi apabila kita berbincang tentang perpaduan nasional.

Bagaimana nanti pada masa hadapan, ketegangan dalam masyarakat berlaku bukan kerana kaum tetapi berpunca daripada sensitiviti gender, isu agama (sekarang agama tidak lagi menggambarkan identiti sesuatu kaum sepenuhnya), jurang orang kaya dan orang miskin, perbezaan jenis pekerjaan dan sebagainya.

Tentu sahaja Akta Hubungan Kaum tidak relevan lagi dan perlu disemak semula untuk menyelesaikan permasalahan yang bukan bersifat perkauman tetapi lebih berasaskan kepada identiti etnik.

Istilah etnik di sini bermaksud pengawalan sensitiviti untuk tujuan perpaduan nasional tidak hanya terhad kepada skop kaum sahaja tetapi perlu lebih menyeluruh meliputi semua aspek etnisiti seperti sensitiviti budaya majoriti dan minoriti, sensitiviti agama dan kepercayaan, isu hak gender dan kefahaman adat istiadat yang berbeza.

Oleh itu persoalan hubungan kaum hanyalah salah satu daripada banyak lagi komponen lain dalam membina perpaduan di kalangan rakyat di negara ini.

Oleh itu, akta yang dicadangkan itu lebih sesuai dinamakan Akta Perpaduan Nasional supaya skop perundangan akan menjadi lebih menyeluruh dan benar-benar menepati tujuan untuk menguruskan perpaduan negara.

Melalui Akta Perpaduan Nasional ini maka semua aspek yang menyentuh sensitiviti setiap kumpulan etnik serta menjadi ancaman kepada perpaduan nasional boleh diuruskan dengan lebih berkesan.

Seperti dalam semua masyarakat moden yang lain, masyarakat negara ini juga sentiasa mengalami perubahan sama ada secara fizikal, gaya hidup, pengetahuan dan juga mentaliti. Oleh itu Akta Perpaduan Nasional ini perlu diperincikan agar sentiasa terkehadapan dalam menguruskan perubahan masyarakat.

Bagaimanapun, pengenalan akta ini juga akan membawa kepada implikasi yang cukup besar kepada masa depan pembangunan hubungan kaum di Malaysia.

Dulu, apabila pihak kolonial British mendesak supaya pemimpin Melayu bersetuju memberikan kerakyatan kepada kaum Cina dan India, secara perundangannya definisi kerakyatan menyebabkan pengekalan identiti Melayu, Cina dan India serta lain-lain kaum menjadi dominan dan sangat jelas ciri etniknya.

Akibatnya, masyarakat negara ini telah terpisah-pisah dengan membawa pengenalan kaum masing-masing secara meluas. Begitu juga, apabila sistem pendidikan negara diperundangkan berasaskan kaum dengan pengenalan Laporan Pelajaran Barnes 1950, Ordinan Pelajaran 1952, Laporan Fenn Wu 1952, Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 berasaskan ketentuan kaum, terbentuklah dengan begitu kukuh sekali sistem pendidikan vernakular di negara ini.

Sistem pendidikan vernakular yang dilindungi undang-undang telah memisah-misahkan pelajar mengikut kaum secara khusus sehingga mereka tidak berpeluang untuk mengenali kaum-kaum yang lain sehingga tamat persekolahan.

Mendaulatkan

Begitu juga apabila pengenalan Dasar Bahasa Kebangsaan dengan tujuan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, walaupun bertujuan murni tetapi juga secara tidak langsung telah mengukuhkan lagi sempadan etnik apabila kaum bukan Melayu berkeras memperjuangkan supaya bahasa ibunda mereka dikekalkan.

Begitu juga dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang sepatutnya bersifat sepunya tetapi secara tidak langsung dikatakan telah 'mengetepikan identiti kebudayaan bukan Melayu', (sekurang-kurangnya itulah yang kaum bukan Melayu rasa dan fikirkan).

Kini kita akan memperkenalkan pula Akta Hubungan Kaum yang secara jelas dan muktamad akan mendefinisikan setiap kaum mengikut ciri-ciri yang khusus.

Pengenalan akta ini akan menyebabkan setiap kaum diidentifikasikan berasaskan sempadan identiti yang khusus sebagai asas melancarkan urusan perundangan. Maka siapa Melayu, siapa Cina dan siapa India akan menjadi sangat penting kepada akta ini.

Maka tindakan yang dianggap atau diklasifikasikan sebagai bertentangan dengan Akta Hubungan Kaum ini akan ditentukan berasaskan siapakah dan dari kaum manakah seseorang defendan dan plaintif itu datang?

Maka akan timbul beberapa masalah di sini. Misalnya, apakah jika orang Melayu menyentuh sensitiviti kaum Cina/India atau sebaliknya sahaja akan dikenakan pertuduhan, bagaimana pula jika orang Melayu, Cina atau India menyentuh sensitiviti kaum masing-masing?

Apakah perlakuan ini juga dianggap sebagai melanggar Akta Hubungan Kaum yang boleh membawa kepada pertuduhan yang sama.

Bagaimana jika seorang Cina Muslim menyentuh sensitiviti berkaitan agama Islam, apakah larangan akan dikenakan jika ada bantahan bersifat perkauman daripada kalangan orang Melayu atau apakah akta ini sebenarnya hanyalah salinan semula daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri?

Secara teknikal, pastinya ahli undang-undang mempunyai jawapan kepada semua persoalan di atas. Tetapi tentunya akan lebih teratur dan berkesan jika urusan membina perpaduan melalui hubungan kaum ini dilihat terlebih dahulu secara serius oleh pakar-pakar pendidikan perpaduan di negara ini.

Mengapa tidak kita mulakan dengan membina satu kerangka baru pendidikan untuk perpaduan dan dilaksanakan secara serius dan menyeluruh di sekolah dan hanya selepas itu barulah diikuti dengan pengenalan kepada Akta Perpaduan Nasional ini.

Tentu sahaja membina akta lebih mudah berbanding membina kerangka pendidikan untuk perpaduan tetapi percayalah bahawa membina hubungan kaum, hubungan antara agama dan hubungan antara gender adalah lebih kuat pengaruhnya melalui pengalaman pendidikan berbanding pengalaman undang-undang.

Sebagai contoh mendidik anak-anak menghormati Perlembagaan negara jauh lebih baik dan berkesan daripada mengadakan akta dan undang-undang untuk menghukum seseorang warganegara yang mempertikaikan Perlembagaan tersebut. Lebih baik mencegah daripada berubat, itulah nasihat orang tua-tua.

Dengan bermulanya akta ini nanti, maka bentuk hubungan kaum akan berubah kepada berpaksikan perundangan dan tidak lagi atas dasar persefahaman, toleransi dan muhibah sebagaimana yang diamalkan selama ini.

Betul, proses interaksi hubungan kaum masih berlaku seperti dahulu tetapi kewujudan akta ini akan menyebabkan kita lebih cenderung untuk menggunakan undang-undang bagi menyelesaikan isu berkaitan hubungan kaum berbanding yang menggunakan perundingan, tolak ansur dan saling menghormati sebagai asasnya seperti sekarang.

Jika keadaan ini terus menerus berlangsung maka lima puluh tahun lagi pun isu kontrak sosial dan segala macam tuntutan akan masih kedengaran apabila sensitiviti kaum disentuh oleh kaum lain. Bezanya, di negara-negara maju walaupun isu hubungan kaum masih wujud tetapi ketegangan bersifat individu dan tidak dilihat sebagai ketegangan kaum.

Malah setiap kali ketegangan antara dua individu berbeza warna kulit berlaku, isu asal-usul serta keturunan sangat jarang digunakan untuk menyerang atau menghina lawannya.

Masyarakat pula lebih cenderung melihat sesuatu konflik antara dua individu berbeza etnik sebagai isu individu.

Oleh sebab itu, walaupun Akta Hubungan Kaum ini masih ingin diteruskan, peranan pendidikan mestilah pada masa yang sama diperkuatkan.

Pendidikan multi-budaya (multicultural education) perlu mula diperkenalkan sebagai elemen utama kurikulum pendidikan negara.

Pakar pedagogi pendidikan tentu sahaja boleh merungkaikan persoalan bagaimana pendidikan multi budaya ini boleh disampaikan kepada pelajar secara yang paling berkesan sama ada secara merentas kurikulum ataupun sebagai satu mata pelajaran khusus.

Peranan subjek sejarah dalam mengungkap perpaduan kaum nampaknya tidak lagi berjaya seperti yang diharapkan sama ada daripada perspektif isi kandungan dan juga strategi pengajaran dan pembelajaran.

Kerajaan telah pun mendapat sokongan dalam memperkenalkan Akta Hubungan Kaum ini.
Sekalian rakyat yang cintakan keamanan dan kesejahteraan negara tentunya gembira dengan langkah ini. Tinggal lagi, apabila kita sebagai insan yang bermaruah bercakap soal membina hubungan kaum, tidak dapat tidak maka rasa persefahaman, keikhlasan berkomunikasi, toleransi serta saling percaya mempercayai masih penting.

Malah sebenarnya jauh lebih penting daripada kepatuhan kita kepada sebarang akta dan undang-undang buatan manusia.

Monday, September 29, 2008

Korban jalan meningkat jika tak ubah sikap

PERGERAKAN pengguna berkenderaan untuk pulang ke kampung masing-masing bagi menyambut Aidilfitri kini mencapai tahap maksimum. Lebuh raya di Utara, Selatan dan Timur, jalan Persekutuan, jalan negeri dan perbandaran dipenuhi kenderaan mereka yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing. Kesibukan Kuala Lumpur yang sebelum ini mencatat kesesakan trafik bertukar ke bandar atau pekan kecil di seluruh negara dengan peningkatan kenderaan luar biasa, termasuk mereka yang membuat persiapan terakhir untuk merayakannya. Kesesakan dan pertambahan mendadak kenderaan, terutama di kawasan bandar kecil turut mengundang kemalangan jalan raya dan terbaru 10 pengguna jalan raya maut untuk hari keempat Ops Sikap XVII dilancarkan menjadikan sejumlah 45 kematian sehingga kini. Ternyata jumlah itu bakal meningkat, terutama kemalangan di kawasan jalan perbandaran dan negeri apabila tumpuan masyarakat menyambut perayaan di daerah dan bandar kecil.

Sehingga kini didapati penunggang dan pembonceng motosikal menjadi penyumbang utama kematian akibat kemalangan manakala jalan perbandaran, negeri dan Persekutuan menjadi lokasi tertinggi kejadian kemalangan. Kita melihat kadar kemalangan di lebuh raya berkurang sebelum Aidilfitri, namun sekiranya sikap pengguna jalan raya tidak berubah seperti tahun sebelumnya, kadarnya akan kembali meningkat apabila ramai yang pulang selepas Aidilfitri. Bagi kita bukan penguatkuasaan undang-undang sebenarnya yang boleh menurunkan kadar kemalangan jalan raya, namun sikap pengguna sendiri yang boleh memastikan Ops Sikap kali ini mencapai matlamatnya. Jika dilihat latar belakang kemalangan di semua jalan raya di negara ini, sebahagian besarnya berpunca dari sikap pemandu baik kenderaan awam, persendirian atau motosikal yang gagal mematuhi peraturan asas.

Dalam pada itu, keadaan fizikal jalan terutama di laluan Pantai Timur membabitkan Kelantan, Terengganu dan Pahang turut mengundang bahaya apabila kadar pertambahan kenderaan mendadak dalam tempoh singkat. Seperti tahun sebelum ini, kita dapati pihak berkuasa bertindak awal untuk memastikan perjalanan pulang berhari raya tahun ini, berjalan lancar dan kita dapati belum ada lagi laporan mengenai pengguna terkandas di perhentian bas. Dalam pada itu, tindakan awal pihak berkuasa mengesan pemandu bas ekspres mengambil dadah ketika memandu amat dialu-alukan dan sehingga kini tiga pemandu ditahan kerana positif dadah. Sebagai pengguna kita memandang serius masalah pengambilan dadah di kalangan pemandu, terutama bas ekspres kerana ia membabitkan ramai penumpang. Sekiranya berlaku kemalangan, ia tentu sesuatu yang tidak dapat kita bayangkan.

Pemandu di bawah pengaruh dadah inilah yang sering bermaharajalela dan berlumba di jalan raya, yang bukan saja mengancam nyawa penumpang, malah kenderaan lain di jalan raya. Kita berharap, pihak berkuasa meneruskan tindakan ini, termasuk mengadakan pemeriksaan terhadap pemandu bas ekspres di kawasan rawat dan rehat secara rawak bagi mengesan kemungkinan mengambil dadah. Bagaimanapun, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab sendiri untuk memastikan Aidilfitri tahun ini tidak mencatatkan peristiwa duka dalam kehidupan sama ada ketika beraya atau pulang ke ibu kota.

Wednesday, September 24, 2008

Sejarah, Utusan Melayu dan duri dalam daging

SEJARAH tidak pernah berbohong dan ia akan menceritakan kisah-kisah silam dan juga yang baru beberapa jam berlaku. Yang berbohong dan sering memutarbelitkan fakta ialah manusia.

Dalam sejarah, banyak yang boleh dipelajari. Yang baik dijadikan teladan, yang jahat dijadikan sempadan. Itulah sejarah yang sering kita pinggirkan dan tidak diambil berat. Berani saya katakan, rakyat Malaysia - terutamanya generasi muda - semakin tersisih dengan sejarah.

Profesor Datuk Dr. Zainal Kling pernah memberitahu saya bahawa Malaysia akan berada dalam keadaan bahaya sekiranya, rakyatnya tidak tahu sejarah. Sejarah asal usul penubuhan Malaysia, sejarah asal usul politik Malaysia dan menjuruslah kepada sejarah pra dan pasca-Kesultanan Melayu, sudah tidak diambil endah oleh generasi sekarang.

Saya tidak pasti mengapa fenomena ini berlaku, namun, sedikit sebanyak kita boleh salahkan juga kepada sistem pendidikan. Ia diakui Prof. Zainal yang berkata "semakin ramai pelajar sekolah menengah kita yang sudah tidak berminat mempelajari dan mengetahui mengenai sejarah tanah air. Pelajar sains misalnya, tidak minat langsung dan ada yang tidak berpeluang belajar sejarah."

Utusan Melayu turut mempunyai sejarah yang panjang. Namun, saya yakin tidak ramai yang mengenai asal usul akhbar ini, yang pada mula penubuhannya pada 1939 diterbitkan dalam tulisan jawi. Tulisan jawi ialah tulisan rasmi yang digunakan oleh umat Melayu sejak ratusan tahun dalam alam Nusantara ini. Sehinggalah pada tahun 1967 Utusan Malaysia, yang bertulisan rumi diterbitkan dan bergerak seiring dengan abangnya Utusan Melayu bertulisan jawi.

Kini akhbar tulisan jawi hanyalah akhbar sisipan dalam Utusan Malaysia yang diterbitkan secara percuma setiap Isnin dan dikenali sebagai Utusan Melayu Mingguan. Tidak pasti, sampai bila akhbar jawi dan kalam jawi itu sendiri akan bertahan. Yang pasti, cubaan untuk 'menghilangkannya' sudahpun ada.

Sejarah akhbar ini sungguh besar sekali. Pak Said Zahari (Ketua Pengarang Utusan 1959-1961) dalam tulisannya bertajuk Mogok Utusan Kenapa dan Untuk Apa? berkata, Utusan Melayu sejak lahirnya dalam tahun 1939, berikrar akan berkhidmat untuk bangsa, agama dan negara.

Utusan Melayu telah meniupkan semangat kebangsaan, menanamkan bibir-bibit perjuangan pembebasan daripada belenggu penjajahan yang telah menindas dan menginjak maruah mereka sejak ratusan tahun.

Katanya lagi: "Utusan Melayu dilahirkan oleh patriot-patriot Melayu sejati yang mahu mengembalikan keagungan dan maruah bangsanya yang telah luput oleh angkara penjajahan.

Para wartawan dan setiap pekerja lainnya yang bertanggungjawab menerbitkan lembaran-lembaran Utusan Melayu setiap hari adalah pejuang bangsa yang menggunakan Utusan Melayu sebagai senjata dan alat perjuangannya.''

"Penjajah Inggeris tidak pernah senang dengan Utusan Melayu. Dari mula-mula lagi Utusan Melayu sudah menjadi duri dalam daging penjajah Inggeris. Mereka menyedari bahawa kepentingan politik, ekonomi dan keselamatannya di rantau ini akan terancam sekiranya Utusan Melayu dibiarkan dengan dasar dan cita-cita perjuangan serupa itu," kata Pak Said.

Zainuddin Maidin (Ketua Pengarang Utusan 1982-1992) pula pernah menulis: "…sejak Utusan Melayu mendorong kepada penubuhan UMNO, komitmennya kepada perjuangan asal yang merangsangkan pelancaran mogok dan peranan utamanya di dalam menentang konfrontasi Indonesia dan memerangi 'Malaysian Malaysia' Lee Kuan Yew (bekas Perdana Menteri Singapura) adalah menjadi bukti yang amat jelas bahawa Utusan Melayu didokong oleh orang-orang yang berjiwa besar, orang-orang perjuangan yang tidak pernah takut dan gentar. Baik di kiri atau di kanan, mereka adalah anak-anak Utusan Melayu yang berani, penuh dedikasi dan mempunyai perasaan yang amat mendalam terhadap Utusan Melayu."

Sejarahnya, "Utusan Melayu tidak dilahirkan di atas dulang emas. Salah seorang pengasasnya Allahyarham Yusoff Ishak menitiskan air mata apabila ia dapat mencukupkan modal daripada beberapa orang Melayu bagi menerbitkan Utusan Melayu di Singapura pada 29 Mei 1939.
Utusan Melayu lahir dengan semangat yang dibangunkan oleh kemiskinan dan keinsafan."

Hari ini rakyat Malaysia, terutama anak-anak Melayu tidak tahu itu semua. Mereka tidak peduli lagi dengan akhbar yang memperjuangkan apa yang mereka perolehi hari ini. Di sebalik akhbar-akhbar Cina di Malaysia menjadi jualan tertinggi di antara akhbar-akhbar yang ada di negara ini, akhbar Melayu semakin disisihkan.

Orang Melayu sendiri menyisihkan akhbar ini. Dengan jualannya yang semakin menurun, saya tidak pasti sampai bila akhbar keramat ini akan kekal bertapak di atas muka bumi Malaysia ini.
Hari ini juga Utusan Malaysia akan meneruskan perjuangannya, walaupun, ia sering ditohmah sebagai 'duri dalam daging' oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan. Walaupun ia diboikot oleh tiga negeri pembangkang Pulau Pinang, Perak dan Selangor (kecuali Kelantan dan Kedah), walaupun ia dipulau daripada menghadiri acara yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim, wartawannya tidak akan berputus asa. Tindakan itu tidak sedikit pun menjejaskan perjuangannya sebagai Penyebar Fikiran Rakyat. Biarlah Utusan Malaysia menjadi 'duri dalam daging' mereka asalkan maruah agama, bangsa dan negara terpelihara.

Media jangan terlalu beralah

SERINGKALI apabila sesuatu kenyataan dibuat oleh individu tertentu, termasuk oleh tokoh-tokoh politik kemudiannya didapati menjejaskan imej dan prestasi individu berkenaan, maka media akan dipersalahkan.

Terbaru kes Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang juga anggota Exco Kerajaan Selangor berhubung dakwaannya tentang makanan yang disediakan semasa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mungkin sama seperti makanan anjing.

Teresa menuduh akhbar Utusan Malaysia memutar-belitkan kenyataannya. Terpulang kepada umum untuk membuat penghakiman sama ada beliau yang betul atau akhbar Utusan Malaysia memutar belit kenyataan Teresa.

Ini kerana kebanyakan rakyat Malaysia pasti turut mendengar rakaman kenyataan Teresa di kaca televisyen sama ada ketika beliau baru dibebaskan dan semasa membuat penafian.

Laporan bertulis mungkin boleh dipinda atau ditokok tambah bergantung kepada keupayaan kefahaman dan penyusunan ayat oleh wartawan yang menulis, tetapi jika ia dirakam dan dipertontonkan kepada umum, tentu sukar juga untuk mempertikaikan kesahihan laporan tersebut.

Sebagai seorang yang pernah menjadi pengamal media sejak 1973 lagi, saya berpendapat media massa di negara ini terlalu berlembut dan sangat mengalah dalam menghadapi tudingan-tudingan individu dan tokoh yang sering menjadikan media sebagai mangsa untuk menyelamatkan diri apabila imej, prestasi dan reputasi mereka rosak.

Disebabkan sikap berlembut dan mengalah, media arus perdana sering dilihat oleh pihak pembangkang khususnya sebagai tidak jujur dan tidak bertanggungjawab.

Saya sendiri pernah lebih dari sepuluh kali mendengar pemimpin pembangkang yang berserban, berjubah dan berjanggut dengan angkuh berkata, laporan suratkhabar tidak boleh dipercayai, semuanya bohong dan tidak betul kecuali keputusan empat nombor ekor dan TOTO.

Namun saya percaya barisan kepimpinan parti politik baik pembangkang atau pemerintah patut bersyukur kerana tahap kesabaran petugas media di negara ini cukup tinggi.

Mereka jarang bertindak balas terhadap individu dan tokoh yang menghina dan menuding kesalahan terhadap media.

Walhal katakanlah pihak media bertindak balas, umpamanya tidak melaporkan apa yang dicakap serta segala aktiviti Teresa sebagai ahli Parlimen dan anggota exco Selangor selama setahun, pasti dengan sendirinya umum, termasuk para pengundi di kawasan yang diwakili akan mula terlupa namanya.

Natijahnya kalau peranan media tidak penting, pihak pembangkang tidak akan membuat desakan demi desakan supaya mereka juga diberi permit akhbar dan juga kebenaran mengelolakan stesen televisyen dan radio.

Oleh itu sudah sampai masanya untuk media massa, terutama akhbar arus perdana supaya tidak lagi memurahkan halaman yang mahal untuk memuatkan laporan tentang mana-mana individu atau tokoh yang menuduh media putarbelit kenyataan mereka.

Pada pendapat saya, petugas-petugas semua media di negara mesti bersatu demi kemurnian imej, pretasi, reputasi dan profesionalisme dunia media tidak tercalar dan tercemar oleh sikap terlalu berlembut dan suka mengalah.

Petugas media tidak kira dari media cetak atau elektronik mesti bersatu dan menganggap masing-masing adalah satu badan, bila paha kanan dicubit paha kiri pun akan terasa sakitnya.

Kalau Hitler jauh lebih takut berperang dengan sebuah akhbar berbanding berdepan dengan satu division tentera, bermakna kuasa media cukup kuat dan berpengaruh. Mengapa media di negara ini mesti takut dan tunduk hanya kepada seorang ahli Parlimen.

Untuk mengelak daripada terus menjadi mangsa, media mesti menunjukkan belang, antaranya ialah dengan memulau mana-mana tokoh yang cuba bermain api dengan media.

Rakyat mesti sepakat hadapi cabaran ekonomi

CABARAN barisan kepimpinan negara untuk menangani rintangan ekonomi semasa menuntut kerjasama semua pihak termasuk rakyat.

Perlu diakui bahawa kerajaan tidak boleh bersendirian untuk menjayakan setiap program yang telah dirancang untuk merancakkan ekonomi negara.

Rakyat, pertubuhan bukan kerajaan, sektor korporat dan badan swasta mesti menggembleng tenaga dan fikiran untuk membantu kerajaan menjayakan usaha-usaha tersebut.

Bahawa dalam keadaan krisis kewangan yang melanda Amerika Syarikat (AS) sedikit sebanyak memberi kesan kepada ekonomi negara kita, hanya kesepakatan semua pihak membolehkan cabaran seumpama itu ditangani.

Justeru, usaha kerajaan untuk merangka pakej komprehensif menangani cabaran ekonomi untuk jangka sederhana dan panjang mesti disokong sepenuhnya.

Segala hiruk pikuk politik yang boleh menakutkan pelabur untuk membuat pelaburan di negara ini mesti dihentikan.

Tiada siapa pun boleh menidakkan hubung kait politik dan ekonomi lantaran kerajaan yang tidak stabil pada pandangan pelabur akan dijauhi.

Bak kata Timbalan Perdana Menteri yang baru diberi tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan, sebenarnya ekonomi negara kita berada dalam keadaan baik cuma bayangan isu-isu politik menjadikan pencapaiannya agak kabur di mata pelabur.

Oleh itu seboleh mungkin setiap daripada kita mesti memastikan bahawa usaha-usaha kerajaan untuk membangunkan ekonomi tidak dirosakkan oleh cerita-cerita politik sehingga memberi petunjuk tidak betul tentang keadaan sebenar negara kita.

Biarpun kerajaan yakin bahawa asas ekonomi Malaysia mampu bertahan untuk mengharungi ketidaktentuan akibat krisis kewangan dunia namun ia tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan pelbagai pihak.

Pelbagai projek pembangunan rakyat yang telah dirancang di bawah Bajet 2009 serta program Rancangan Malaysia mesti dilaksanakan mengikut perancangan demi kepentingan rakyat jelata.

Dalam suasana sekarang, penurunan inflasi serta ekonomi yang menyentuh kepentingan rakyat mesti diberi keutamaan.

Kesan krisis ekonomi dunia tidak mengenal rakyat golongan bawahan mahu kumpulan atasan, justeru untuk memastikan mereka tidak ditindas, adalah penting jika sentuhan pelan komprehensif ekonomi oleh kerajaan tidak hanya bersifat global.

Ekonomi rakyat bawahan mesti dipelihara lantaran ia menyumbang kepada kestabilan politik sekali gus membantu merancakkan projek-projek pembangunan ekonomi di negara kita.

Selagi 'politik perut' rakyat jelata terutama golongan berpendapatan rendah tidak dijaga selagi itulah kestabilan tidak dapat dikecapi sepenuhnya sekali gus memperlahankan perjalanan ekonomi negara.

Semua pihak mesti bekerjasama menjayakan setiap perancangan kerajaan selain tidak kedekut fikiran untuk sama-mama mencanai idea demi kesejahteraan kita semua.

Elak strategi tentera

BARU dua minggu menduduki kerusi Presiden Pakistan menggantikan Pervez Musharraf, kerajaan Asif Ali Zardari diuji dengan tragedi yang bukan calang-calang - pengeboman berani mati menggunakan trak yang mengorbankan 60 nyawa.
Kejadian pengeboman di Hotel Marriot beberapa minit selepas waktu berbuka lewat petang 21 September lalu itu turut mencederakan lebih 100 orang yang lain, dan meninggalkan kesan kemusnahan yang sangat menakutkan termasuk kawah sedalam 30 meter di hadapan hotel berkenaan.
Kejadian terbaru itu meletakkan pemerintahan Asif Ali ketika ini dalam situasi yang genting dan meninggalkan persoalan yang besar apakah tragedi keganasan seperti itu bakal mewarnai episod pemerintahan suami kepada Benazir Bhutto tersebut.
Ia juga mencetuskan tanda tanya apakah jalan perdamaian sebenar yang diperlukan di bumi Pakistan selepas pemerintahan kerajaan negara itu bersilih ganti dalam selang masa yang singkat.
Menilai tragedi berdarah itu, pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling berkata, ia merupakan isyarat, mesej dan amaran yang cukup jelas yang ditujukan kepada Asif Ali yang pada hari kejadian dijadualkan turut berbuka puasa di hotel berkenaan.
Isyarat itu biarpun tidak sampai membunuh pemimpin itu, namun meninggalkan peringatan yang jelas bahawa Asif Ali perlu mengambil kira kewujudan dan pengaruh kumpulan militan dan pengganas dalam menjalankan dasar pemerintahan barunya.
Pemimpin tertinggi Parti Rakyat Pakistan (PPP) itu dijadualkan menyampaikan ucapan sulung di Parlimen tidak lama lagi sekali gus melambangkan terlaksananya dasar pemerintahan Asif Ali di Pakistan.
Menurut Mohamad Faisol, realiti kewujudan dan pengaruh militan di Pakistan itu bukanlah sesuatu yang boleh dianggap remeh sebaliknya ia semakin kukuh sebagai entiti dalam persekitaran politik di negara itu.
Kekukuhan pengaruh militan dan pengganas itu dapat dilihat semasa era pemerintahan Benazir Bhutto yang mana pengganas dan militan tempatan menjadi tumpuan utama kerajaan bekas Perdana Menteri itu.
Benazir pada ketika itu terpaksa mengadakan pertemuan dengan pihak militan dalam memastikan dasar pemerintahannya tidak terjejas malah, kehadiran kumpulan pengganas juga dapat dilihat sewaktu kembalinya Benazir dari buangan serta dalam peristiwa pembunuhannya pada 2007.
Penggal pemerintahan Nawaz Shariff juga tidak terkecuali daripada dikaitkan dengan kumpulan ekstremis dan militan yang turut merumitkan lagi kerajaan Nawaz yang ketika itu turut berdepan tentangan daripada pihak tentera.
Malah, peletakan jawatan Pervez pada 18 Ogos lalu juga dilihat ada kaitan dengan kumpulan pengganas dan militan dan bukannya disebabkan oleh tekanan daripada parti pembangkang semata-mata, seperti yang banyak dilihat oleh penganalisis antarabangsa.
Tindakan Pervez yang menyokong 'gerakan memerangi keganasan' iaitu pendekatan keras di bawah payung Amerika Syarikat (AS) misalnya, mempengaruhi pergerakan militan dan pengganas menjadi semakin kukuh.
''Keganasan terbaru ini secara jelas bertujuan menarik perhatian kerajaan Asif Ali dan memberikan petunjuk bahawa kumpulan pengganas dan militan sedang memerhatikan pemerintahan beliau.
''Dengan kata lain, Asif Ali perlu melaksanakan dasar yang lebih baik berbanding dasar yang dilaksanakan oleh para pemimpin terdahulu," katanya.
Menurut Mohamad Faisol, serangan kali ini juga sekiranya dinilai dalam konteks yang lebih luas adalah satu bentuk peringatan kepada perlaksanaan dasar luar Pakistan di bawah kerajaan Asif Ali.
Situasi ini dengan mudah dikaitkan dengan tindakan AS yang melancarkan serangan darat ke atas kumpulan pengganas dan militan Afghanistan pada 11 September lalu, yang mana ia dilancarkan tanpa persetujuan Pakistan sekali gus menjejaskan kedaulatan Pakistan sendiri.
Dasar berpeluk tubuh yang diambil Asif Ali sebagai reaksi daripada serangan di Afghanistan itu dilihat sebagai satu kesilapan dan hanya sesuai sekiranya Pervez masih berkuasa, sebaliknya Asif Ali perlu menjalankan pemerintahan yang bebas daripada kongkongan kuasa Barat.
Ketika ditanya apakah pendekatan terbaik dalam menamatkan keganasan berterusan di Pakistan, Mohamad Faisol berkata, berdepan dengan ancaman pengganas dan militan memerlukan pertimbangan yang besar daripada mana-mana pemimpin dan ia tidak boleh menggunakan kekuatan tentera sepenuhnya.
Beliau mengambil contoh pendekatan 'keras' yang digunakan Pervez sebelum ini yang bukan sahaja gagal mengekang keganasan, malah tidak berjaya membendung pendekatan itu yang semakin menjadi budaya dalam masyarakat.
Dalam situasi seperti itu Pakistan katanya, memerlukan gabungan strategi ketenteraan dan sosial politik termasuk perlu memenangi hati dan kepercayaan rakyat dengan melakukan perubahan dalam pemerintahan, menegakkan undang-undang, memenuhi keperluan rakyat dan mengembalikan demokrasi yang sebenar di negara itu.
Strategi sosial yang mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sesebuah kerajaan yang memerintah itu akan menghindari penentangan dan pemberontakan daripada rakyat Pakistan itu sendiri.
''Sesuatu yang perlu difahami, konflik di Pakistan tidak boleh diselesaikan dengan segera, sebaliknya ia adalah sesuatu proses yang memerlukan jangka masa yang panjang,'' katanya.
Dalam persekitaran politik semasa di Pakistan, pendekatan ketenteraan masih diperlukan khususnya untuk memastikan tidak lagi wujud aktiviti perjuangan persenjataan oleh kumpulan-kumpulan tertentu.
''Ia perlu bergerak secara selari dengan strategi sosial agar objektif pembendungan dan pembasmian dapat dicapai," katanya.
Bagaimanapun untuk strategi jangka masa pendek, Mohamad Faisol melihat Asif Ali dan rejimnya perlu memulihkan pemerintahan kerajaan agar 'bersih' dan dasar yang digubal juga tidak boleh menjurus kepada dasar autokratik yang mengabaikan kehendak dan suara rakyat.
Pertemuan dua mata dan pendekatan 'lembut' dengan pihak militan dan pengganas tegas beliau, perlu dilaksanakan agar dapat mententeramkan keadaan persekitaran politik Pakistan.
Situasi ini amat diperlukan kerajaan Asif Ali sebelum beliau dapat merangka dan melaksanakan strategi yang seterusnya.