Friday, January 11, 2008

Komited laksana setiap pekerjaan

RAMAI yang memperkatakan tentang kecenderungan majikan mengambil pekerja asing. Ada yang melihat kecenderungan ini berpunca daripada kos untuk menggaji pekerja asing yang lebih rendah berbanding pekerja tempatan.

Maka, wujud cadangan agar kos ini disamakan supaya pekerja tempatan tidak menjadi pilihan kedua hanya kerana unsur gaji.

Dalam pada itu, ada pula yang mengatakan bahawa majikan mengambil pekerja asing kerana kerja-kerja tersebut tidak menarik minat warga tempatan. Hal ini dikaitkan pula dengan hakikat bahawa kerja-kerja yang dimaksudkan itu merupakan kerja-kerja yang bertaraf dan bergaji rendah.

Maka, timbul pula cadangan supaya diwujudkan gaji minimum yang tinggi bagi menarik minat warga tempatan untuk melakukan kerja-kerja itu. Andaian ini seolah-olah mengatakan bahawa jika gaji seorang pencuci pejabat dinaikkan menjadi RM1,000 sebulan, maka kita tidak lagi akan melihat pencuci pejabat daripada kalangan warga asing. Benarkah andaian ini?

Benarkah majikan mengambil pekerja asing hanya kerana kosnya yang rendah? Rendah benarkah kos mengambil pekerja asing berbanding pekerja tempatan? Kita perlu ingat, dalam kebanyakan kes, majikan perlu menyediakan tempat tinggal untuk pekerja asing ini. Itu tidak termasuk kos permulaan yang tinggi untuk membawa mereka masuk ke Malaysia. Atau mungkinkah ada sebab lain yang menyebabkan majikan cenderung mengambil pekerja asing walaupun terpaksa menanggung kos yang sedikit tinggi?

Ramai daripada kita pernah mengunjungi kedai makan, baik kedai makan Melayu, restoran mamak mahupun gerai tomyam. Cuba nilaikan layanan yang kita terima di kedai-kedai ini. Di restoran mamak, khususnya yang menggaji pekerja dari India, kita akan segera dilayani. Malah, tanpa mencatatkan pesanan sekalipun, mereka masih boleh menghantarkan pesanan yang betul dalam masa yang singkat. Di gerai-gerai tomyam yang diusahakan oleh orang Pattani juga begitu keadaannya.

Tetapi di kedai-kedai yang pekerjanya orang Melayu, layanan yang kita terima seringkali berbeza (walaupun tidak semua). Kita perlu duduk lama sebelum dilayan - malah perlu memanggil pelayan untuk membuat pesanan; pesanan dicatat (itu pun dilakukan secara sambil lewa) tetapi lain yang dipesan, lain pula yang tiba; dan, kita sukar melihat senyuman di wajah pelayan-pelayan ini. Malah, baru-baru ini, di sebuah cawangan kedai sate yang terkenal, pekerjanya (warga tempatan) mengambil pesanan sambil membaca khidmat pesanan ringkas (sms).

Itu di kedai makan. Kerjanya tidak seberat menjadi buruh binaan. Sama juga keadaannya di tempat lain. Penulis yakin, para pembaca juga dapat membezakan mutu perkhidmatan yang diterima daripada pekerja asing dan pekerja tempatan. Jadi, bila majikan menggaji pekerja asing, apakah ia berpunca daripada kos yang lebih murah semata-mata atau kerana sikap mereka yang lebih bersungguh-sungguh terhadap pekerjaan?

Apakah sesuatu pekerjaan itu perlu dilaksanakan dengan baik hanya jika ia memberikan gaji yang baik sahaja? Bukankah setiap pekerjaan itu perlu dilaksanakan dengan baik kerana ia satu tuntutan akibat amanah yang telah kita ambil? Lazimnya, sesuatu pekerjaan, tidak kira nama atau tarafnya, banyak bergantung kepada kelayakan pekerja tadi. Jadi, walau apa pun pekerjaannya, ia mestilah dilaksanakan dengan sebaik mungkin supaya keseluruhan organisasi itu dapat berjalan dengan lancar.

Teringat penulis kepada kartun “Higgly Town Heroes” yang sering ditonton oleh anak penulis di salah satu saluran televisyen berbayar. Pada setiap episod kartun ini, kumpulan kanak-kanak itu akan berhadapan dengan sesuatu masalah yang hanya boleh diselesaikan oleh orang dewasa. Bila ini berlaku, maka, akan muncul wira untuk menyelesaikan masalah tersebut. Wira-wira ini muncul dalam pelbagai bentuk pekerjaan seperti doktor haiwan, doktor gigi, tukang sapu dan sebagainya.

Bagi penulis, apa yang menariknya tentang rancangan ini ialah ia mendidik anak-anak bahawa semua bentuk pekerjaan, walau sekecil mana pun nampaknya, ada peranan yang besar dan sama pentingnya dengan pekerjaan-pekerjaan lain demi kelancaran perjalanan seluruh Higgly Town itu. Di samping itu, cerita ini juga sentiasa mengingatkan kanak-kanak bahawa walau apa pun jenis pekerjaan yang dimiliki, ia perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan sebaik mungkin.

Mungkin kerana tiadanya penekanan seumpama ini menyebabkan ada sebahagian warga tempatan tidak mahu membuat kerja yang dilihatnya sebagai pekerjaan bertaraf rendah. Malah, untuk pekerjaan yang bertaraf tinggi pun, ada yang tidak bersungguh-sungguh melakukannya.

Bagi orang Islam, memegang sesuatu pekerjaan itu adalah satu amanah dan menjadi kewajipan kita untuk melaksanakan tugas itu dengan sebaik mungkin. Sesuatu perlu dilakukan supaya ahli masyarakat kita lebih bersemangat dalam melaksanakan tugas, tanpa mengira apa pun pekerjaan mereka.

* PENULIS ialah Fellow Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

No comments: