HITUNGAN detik 31 Ogos 2009 cuma tinggal 18 hari sahaja lagi. Pada tarikh itu, kelak genaplah 52 tahun negara tercinta bernama Malaysia ini mengecapi kemerdekaan. Fasa kedua kemerdekaan tanah air selepas berjaya melepasi tempoh 50 tahun pertama hakikatnya semakin mencabar.
Kematangan dan kebijaksanaan selepas meniti jubli emas pembebasan negara daripada cengkaman penjajah dua tahun lalu semakin diuji oleh satu demi satu ujian - paling getir apabila ia mengusik keharmonian penduduk berbilang kaum di negara ini.
Ujian itu juga semakin nyata. Tanpa perlu bersembunyi jauh sekali menunjukkan konsep saling menghormati, muncul suara-suara mengungkit rasa tidak puas hati perihal yang telah terpateri dan dipersetujui sebaik negara mencapai kemerdekaan.
Tidak diketahui apakah yang mendorong pihak-pihak tertentu begitu berani mengingkari amanat serta sumpah taat setia yang ditumpahkan pemimpin terdahulu sehinggakan keikhlasan Tun Sambanthan, Tun Tan Siew Sin yang diluahkan kepada Tunku Abdul Rahman terpinggir begitu sahaja.
Biar pun amanat dan sumpah setia itu dirakam dan termaktub dalam bentuk tulisan namun tiada siapa yang peduli. Tiada siapa yang mahu memberi nilai kepada persetujuan serta tolak ansur yang terkandung dalam ucapan kedua-dua pemimpin itu.
Seolah-olah semua itu tidak penting. Apa yang lebih menjadi utama dan bernilai bagi pencetus perpecahan adalah melihat kemerdekaan yang sedang dipertahankan, runtuh.
Dan apabila saat keruntuhan itu muncul mereka akan bertepuk tangan lantaran tiada lagi janji setia sehidup mati yang perlu dijaga. Tiada hati juga sensitiviti yang mesti dipelihara kerana segala-galanya akan dilangsungkan mengikut undang-undang rimba yang semestinya memihak kepada kepentingan dan agenda mereka.
Sebab itu Sultan Perak, Sultan Azlah Shah bertitah bahawa negara dalam bahaya jika undang-undang hanya diterima dan dihormati apabila menyebelahi diri atau kumpulan sendiri, dilihat amat berkait rapat dengan perkembangan sejak negara melepasi tempoh 50 tahun merdeka.
Trend tuntutan serta luahan tentang ketidaksamarataan dan ketidakadilan sering berkisar kepada isu-isu yang memihak kepada diri atau kumpulan tertentu. Sementara itu, jika undang-undang itu dengan secara jelas termaktub serta telah dipersetujui sejak puluhan tahun sememangnya untuk kaum tertentu tiba-tiba menjadi tidak sah dan enggan diterima serta dikaitkan sebagai bertentangan dengan prinsip kesamarataan sedangkan dahulu yang diperkatakan adalah kesaksamaan.
Dan apabila peringatan Sultan Azlan dikeluarkan ketika negara berada di bulan memperingati 52 tahun kemerdekaan tanah air, tentunya wujud kebimbangan yang bukan sedikit terhadap kerapuhan masyarakat pelbagai kaum di negara ini yang semakin ketara menampakkan wajahnya.
Apatah lagi ada sahaja unsur "batu api" dan pencetus semangat pelampau yang mahu menagih simpati rakyat supaya turut bangkit menentang undang-undang. Untuk berbuat demikian rakyat dihasut supaya melanggar undang-undang dan mengguna pakai undang-undang rimba semata-mata untuk menghalalkan tuntutan yang sebenarnya tidak diketahui hala tujunya.
Cuma yang dapat dipastikan - setiap tuntutan dan desakan bertujuan meruntuhkan meruntuhkan "budaya bernegara" secara sivil untuk diambil alih oleh "kaedah bernegara" yang mengamalkan budaya hukum rimba dengan yang lemah menjadi 'makanan' kepada yang kuat.
Itu yang menjadi kekhuatiran Sultan Azlan lantaran tidak mahu negara yang menaungi lebih 25 juta rakyat hilang taraf kemerdekaannya semata-mata kerana takrifan istilah kedaulatan undang-undang (rule of law) yang dahulunya hanya satu kini dipelbagaikan mengikut selera serta kepentingan pihak tertentu.
Usia 52 tahun sepatutnya menjadikan rakyat Malaysia semakin matang menilai antara yang baik dan buruk - bukannya mencari jalan untuk mencetuskan permusuhan yang kesannya boleh saja merosakkan negara. Bukan juga pada usia itu baru ada pihak tersedar bahawa negara tempat tumpah darah dan yang melindunginya daripada segala bahaya tidak memerlukan undang-undang.
Pihak-pihak inilah yang menimbulkan trend terbalik - bukan semakin lama semakin mencintai sebaliknya semakin lama semakin benci dan mahu melihat kemerdekaan negara yang subur selama 50 tahun cuba diruntuhkan satu demi satu dengan menjadikan kerencaman kaum sebagai alat propaganda.
Sedangkan sepatutnya semua pihak berusaha memelihara kemerdekaan dan mengukuhkannya dengan pelbagai cara termasuk merapatkan hubungan rakyat pelbagai kaum.
Sebab itu sambutan bulan kemerdekaan penting terutamanya untuk mengingatkan semua pihak bahawa untuk mencapai angka 52 tidak mudah - ia menuntut banyak pengorbanan dan persefahaman. Tuntutan ini yang tidak mahu dipenuhi sekarang .
Natijahnya, kemerdekaan yang kita julang selama hampir 52 tahun semakin tercalar manfaatnya. Umat pelbagai kaum di negara ini bercakaran manakala usaha menidakkan fakta yang dipersetujui di peringkat awal negara mencapai kemerdekaan semakin dipergiatkan.
Malah ada kalangan rakyat Malaysia tanpa segan silu mencerca satu demi satu pemimpin bermula dari zaman awal merdeka hingga sekarang ini seolah-olah kemakmuran yang sedang dikecapi datang dengan sendiri.
Undang-undang yang sepatutnya menjadi jitu dan pelindung rakyat daripada pelbagai onar selepas 52 tahun itu dilihat tidak lagi perlu. Undang-undang kini juga disimpulkan sebagai penyekat kebebasan dan penghalang kemerdekaan yang hakikatnya telah digunakan sepanjang tempoh 52 tahun untuk memelihara kemakmuran dan kepentingan rakyat.
Cabaran fasa kedua kemerdekaan tanah air tidak sama dengan apa yang telah dilalui 50 tahun lalu. Pendekatan bertoleransi, berlembut, bermesyuwarah yang menjadi trend barisan pemimpin terdahulu memerlukan pengubahsuaian secara berkesan.
Bermula daripada raja-raja hingga ke peringkat penghulu di kampung-kampung mesti ada elemen ketegasan untuk menguatkuasakan undang-undang.
Hanya dengan penguatkuasaan undang-undang secara tegas dan berkesan akan ada rasa hormat terhadap prinsip kedaulatan undang-undang yang merupakan tonggak keempat Rukun Negara.
Paling penting hanya dengan penguatkuasaan undang-undang, kemerdekaan yang kita semua - Melayu, Cina, India, Orang Asli dan pelbagai bangsa lagi - nikmati selama hampir 52 tahun dapat dipertahankan.
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia
Wednesday, August 12, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment