EPISOD kemelut Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sudah selesai sepenuhnya. Kerajaan bijak mengambil keputusan untuk menamatkan 'riwayat' PPSMI sebagai respons kepada sebahagian masyarakat yang ingin bahasa ibunda diutamakan di negara ini.
Pada masa yang sama memang tidak dinafikan PPSMI juga mempunyai kelebihan di dalam beberapa perkara berkaitan pembangunan negara dan masyarakat.
Suara para pejuang pemansuhan PPSMI pun tidak kedengaran lagi. Mungkin lelah berdemonstrasi masih belum kebah sepenuhnya. Tetapi nampaknya nasionalis bahasa ini selepas pemansuhan PPSMI tidak pula kelihatan bersungguh-sungguh untuk memperkasa bahasa Melayu.
Kalaupun ada, mungkin aktiviti kegiatan perkembangan bahasa Melayu berkisar di kalangan ahli persatuan sahaja.
Tiada siapa yang tahu kerana tiada promosi berterusan dan hebahan dilakukan kepada masyarakat massa.
Hakikatnya, pemansuhan PPSMI tidak pernah menjanjikan bahasa Melayu akan berkembang dengan sendirinya di bumi Malaysia apatah lagi di peringkat antarabangsa. Bahasa Melayu perlukan usaha berterusan untuk menjadikannya kukuh sebagai nadi kepada identiti rakyat Malaysia khususnya orang Melayu.
Sebenarnya terdapat lebih kurang 6,000 bahasa dituturkan oleh penduduk dunia hari ini. Malangnya lebih separuh daripadanya sedang diancam kepupusan kerana kekurangan penutur hari demi hari.
Misalnya terdapat lebih kurang 300 jenis bahasa yang dituturkan oleh kurang dari satu juta penutur. Ia sebagai petanda bahawa bahasa-bahasa ini juga akan pupus satu hari nanti jika tidak dipertahankan dan diperkasa segera. Kepupusan bahasa mula berlaku kerana penutur asalnya tidak lagi bertutur dalam bahasa ibunda tetapi memilih untuk bertutur di dalam bahasa asing.
Kajian menunjukkan kadar kepupusan bahasa di dunia sejak 500 tahun lalu jauh lebih tinggi berbanding dengan kepupusan jenis burung dan spesies mamalia.
Pada 2006, Steve Sutherland, seorang profesor di Universiti East Anglia, United Kingdom melaporkan, kadar kepupusan bahasa di dunia sejak 500 tahun lalu adalah sebanyak 4.5 peratus berbanding burung pada kadar 1.3 peratus dan mamalia sebanyak 1.9 peratus.
Kajian beliau juga menunjukkan bahawa tiga bahasa paling utama di dunia ialah Mandarin, Inggeris dan Sepanyol yang dituturkan di kebanyakan penjuru dunia. Ketiga-tiga bahasa ini pula semakin berkembang dengan pesatnya.
Sifat bahasa seperti juga kebanyakan ciptaan manusia yang lain akan datang dan pupus jika tidak dipelihara dan dikembangkan. Malah sejarah manusia menunjukkan sejak 2,000 tahun lalu hanya tinggal beberapa bahasa kuno yang kekal dituturkan sehingga kini.
Antaranya ialah bahas Basque, Greek, Hebrew dan Latin. Kajian oleh Ethnologue, sebuah badan antarabangsa berkaitan perkembangan bahasa dunia pula mengesahkan, kini terdapat 417 bahasa sedang berada di peringkat terakhir kepupusannya. Antaranya ialah bahasa Luo di Cameroon, Klamath di Oregon dan Saami Pite di Sweden dan Norway.
Asas kepada kepupusan bahasa ialah bilangan penutur dan pengguna menjadi semakin lama semakin berkurang.
Sebagai contoh apabila semakin kurang orang Melayu bertutur dan menggunakan bahasa Melayu, lama-kelamaan jumlah penuturnya semakin mengecil dan akhirnya bahasa Melayu akan menjadi tidak signifikan lalu pupus walaupun populasi masyarakat Melayu semakin bertambah.
Kepupusan bahasa disebabkan oleh beberapa faktor seperti migrasi secara besar-besaran ke negara lain, bencana alam yang besar dan undang-undang atau dasar pemerintah yang menjadikan sesuatu bahasa lain sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan dan urusan rasmi. Pada masa yang sama meminggirkan atau melupakan bahasa ibunda sendiri.
Sebagai contoh pengamalan bahasa Inggeris di Australia menyebabkan kaum asli tempatan yang pada suatu masa lalu dikatakan mempunyai 400 bahasa kini tinggal hanya 25 bahasa akibat larangan bahasa tempatan dalam sistem pendidikan serta dasar penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di dalam sistem pendidikan di Australia.
Apakah kesannya bila sesuatu bahasa mengalami kepupusan? Bangsa itu secara langsung akan hilang identiti dan jati diri. Apabila sesuatu bahasa kumpulan etnik pupus maka cara hidup, adat budaya serta ilmu pengetahuan masyarakat juga akan pupus. Pelbagai pantang larang, norma dan nilai hidup, kepercayaan serta upacara perayaan kemasyarakatan akan turut pupus.
Mungkin kisah nasib bahasa Maori boleh dijadikan peringatan. Suatu masa dahulu sebelum New Zealand dikuasai oleh masyarakat Eropah, bahasa Maori merupakan bahasa utama masyarakat asal di kepulauan negara tersebut.
Kehadiran masyarakat Eropah yang kemudiannya menetap di New Zealand menyebabkan bahasa Inggeris dikembangkan sehingga mengancam kewujudan bahasa Maori. Satu ketika sekitar awal abad ke-20, kanak-kanak Maori mula dilarang bercakap dengan menggunakan bahasa Maori di sekolah-sekolah kerajaan.
Kemudiannya kerajaan mula meminggirkan kepentingan pengajaran bahasa Maori di sekolah. Kesannya sehingga tahun 1980-an tinggal sekitar 20 peratus sahaja di kalangan masyarakat Maori yang boleh bertutur bahasa ibunda mereka.
Kebanyakan orang Maori yang menguasai bahasa Inggeris berpindah ke bandar-bandar besar dan tidak lagi mengamalkan bahasa Maori. Malah mereka juga mula meninggalkan adat resam dan budaya Maori sebaliknya mengasimilasikan diri dengan budaya masyarakat Eropah.
Sekarang dilaporkan hanya seorang daripada empat etnik Maori yang boleh bertutur bahasa ibunda mereka. Jumlah ini juga semakin mengecil hari demi hari. Peliknya dalam Perlembagaan New Zealand, bahasa Maori diiktiraf dan masih kekal sebagai bahasa rasmi negara tersebut.
Tetapi apalah ertinya wujud sebagai bahasa rasmi tetapi sudah tiada lagi kedaulatan dan maruahnya.
Masyarakat Maori pada hari ini bukan sahaja tidak lagi bertutur dalam bahasa ibunda mereka tetapi telah menggunakan sepenuhnya budaya serta amalan hidup gaya Eropah.
Kalau sekerat dua orang Melayu yang menguasai bahasa Inggeris tentulah identiti kemelayuan mereka tidak akan hilang kerana identiti kemelayuan ini datang dari suasana yang dikuasai oleh majoriti yang bertutur bahasa Melayu.
Kalau tidak percaya cuba letakkan seorang dua kanak-kanak Melayu di bumi England. Biarkan mereka untuk puluhan tahun sampai beranak pinak di sana. Benarkah mereka akan sangat mementingkan jati diri Melayu bila mana di sekeliling mereka tiada suasana kemelayuan?
Hanya majoriti Melayu sahaja akan membina rasa kemelayuan. Jika minoriti Melayu yang menguasai bahasa Melayu sedikit demi sedikit identiti kemelayuan pasti akan hilang begitu sahaja.
Percayalah, jati diri bangsa dan bahasa adalah satu. Hilang satu maka matilah yang satu lagi. Apakah akan jadi bila seorang datuk dan cucunya berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris, tentunya nasihat dan simpulan bahasa tiada lagi kemelayuannya. Tiada lagi bidalan kata dan peribahasa Melayu sampai ke telinga cucunya.
Bila sudah bertutur bahasa Inggeris maka tentulah bidalan kata dalam bahasa itu lebih sedap bunyinya. Mungkin anda tersenyum membacanya, tetapi itu hakikatnya nanti. Bila hilang bahasa Melayu maka hilanglah jiwa bangsa Melayu.
Terbukti dalam sejarah negara bahawa kejayaan Universiti Kebangsaan Malaysia yang pernah berada dalam antara 200 universiti terbaik di dunia adalah lahir daripada kebijaksanaan pejuang bangsa Melayu satu masa lalu. Penggunaan bahasa Melayu di peringkat keilmuan sama sekali tidak pernah merugikan bangsa Melayu, jauh sekali menjadikan bangsa Melayu suatu bangsa yang terkebelakang.
Kita harus mesti banyak bersabar dan terus konsisten berusaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bertaraf dunia. Bukannya menanam kepercayaan bahawa bahasa Melayu adalah untuk bangsa yang mundur.
Pada masa yang sama kita perlu juga terus berusaha meningkatkan kemahiran di dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi. Tiada apa yang akan merugikan kita jika berjaya menguasai lebih satu bahasa.
Kini dunia secara relatifnya sudah semakin mengecil. Warga dunia bukan sahaja ingin menambah ilmu dari satu atau dua bahasa utama sahaja. Mereka inginkan lebih daripada itu. bahasa Melayu mesti dikembangkan untuk dikongsi dengan masyarakat dunia dan bukannya disimpan di dalam perpustakaan semata-mata.
Persepsi kepimpinan negara dan masyarakat mesti berubah tentang keupayaan bahasa Melayu, berubah kepada yang lebih baik tentunya. Sekali lagi, kita harus banyak bersabar, bersyukur dan terus berusaha untuk memakmurkan bahasa Melayu. Memang benarlah kata bidalan Melayu lama, "Bahasa Jiwa Bangsa".
PENULIS adalah Timbalan Pengarah (Akademik Kolej), Pusat Perkembangan Pelajar, Universiti Kebangsaan Malaysia
Friday, December 4, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment