Thursday, April 2, 2009

Perpaduan kaum perlu kerjasama pelbagai pihak

DATUK Seri Najib Razak yang akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, memikul tanggungjawab yang amat berat dalam keadaan hubungan antara kaum yang boleh dikatakan agak renggang, terutama selepas pilihan raya umum tahun lalu. Pelbagai isu ditimbulkan bukan saja oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), malah ahli politik sendiri sama ada daripada pihak pemerintah atau pembangkang. Hakikatnya, perpaduan rakyat sentiasa padu dan tidak terasa sangat timbul persengketaan sehinggalah kumpulan ini mencetus serta menimbulkan pelbagai isu sensitif melewati soal agama dan kaum, sekali gus berupaya menyemai bibit-bibit kebencian antara kaum yang jika tidak ditangani sebaik mungkin, boleh memudaratkan. Kelmarin, Najib dilaporkan berkata sebagai anggota pentadbiran kerajaan, beliau akan berusaha untuk cuba memahami dengan lebih mendalam aspirasi dan cita rasa semua komuniti di negara ini. Menurut Timbalan Perdana Menteri, perkara itu penting bagi membolehkan beliau menilai keperluan pelbagai kaum di negara ini. Mungkin rasa tidak puas hati kaum tertentu antara puncanya wujud seperti masalah hubungan antara kaum sejak kebelakangan ini, apatah lagi apabila campur tangan ahli politik yang menyemarakkan lagi api perkauman. Antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh Najib ialah masalah kemiskinan. Semua 14 parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu mula menyediakan data lengkap mengenai masalah membabitkan kaum masing-masing dan apa kekurangan yang perlu diatasi. Kita berpendapat, pemimpin parti komponen boleh memberi input dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan bagi mengkaji secara mendalam keperluan dan permasalahan dihadapi rakyat pelbagai kaum, termasuk suku etnik di Sarawak dan Sabah. Jika BN boleh menangani pelbagai isu berbangkit, termasuk berusaha sebaik mungkin untuk menangani masalah kemiskinan, rasa tidak puas hati itu mungkin akan berkurangan. Kita tidak mahu lagi isu kemiskinan atau apa saja yang berkaitan kaum dipolitikkan untuk kepentingan politik kepartian. Hasrat Najib itu perlu diikuti oleh pemimpin kanan semua 14 parti komponen BN kerana mereka inilah yang berupaya meyakinkan penyokong masing-masing untuk bersikap lebih rasional apabila menyuarakan masalah kaum yang mereka wakili. Kita juga mengharapkan pihak pembangkang, terutama Pakatan Rakyat untuk sama-sama lebih bertanggungjawab mengawal diri dan penyokong masing-masing daripada terus membangkitkan isu sensitif, daripada menyuarakan isu sebenar dihadapi kaum. Apa yang diusahakan Najib itu ialah untuk memahami aspirasi dan cita rasa semua komuniti dan perlu diberi sokongan semua tanpa sebarang prejudis. Jika semua berbuat demikian, kita percaya negara akan lebih aman. Penyatuan dan perpaduan sebenarnya adalah tunjang kekuatan sesebuah negara. Apa yang perlu dilakukan oleh Najib sekarang ialah mengembalikan kestabilan politik, bermula dari dalam Umno dan BN sendiri. Ini perlu kerana kestabilan politik akan memudahkan usaha menyatukan rakyat dan membawa pembangunan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.

No comments: