Tuesday, September 30, 2008

Dilema peniaga Melayu...

Peniaga Melayu tumbuh bagaikan cendawan pada musim perayaan hari raya tahun ini. Bertambahnya peniaga Melayu di dunia perniagaan merupakan satu petanda yang positif kepada perkembangan dan pembangunan ekonomi masyarakat Melayu.

Malahan Nabi Muhammad SAW telah bersabda iaitu 9/10 daripada rezeki Allah SWT letaknya di dalam perniagaan. Semoga perkembangan seperti ini berterusan sehingga ekonomi masyarakat Melayu mencapai ke tahap yang seimbang dengan kaum lain di negara ini.

Dalam keghairahan dan semangat berjinak-jinak merebut peluang dalam perniagaan, saya merasa amat bimbang sekiranya mereka tidak dapat menangani kesan kegawatan ekonomi melanda dunia, yang turut memberi kesan sampingan kepada perniagaan mereka.

Kesan kegawatan ekonomi ini merangsang pembeli untuk memilih barangan pada harga yang termurah tanpa memikirkan soal kualiti.

Baru-baru ini saya berada di Kuala Terengganu dan dapat merasakan bagaimana keperitan yang menimpa peniaga-peniaga Melayu di bazar yang disediakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Majoriti peniaga Melayu merasa tertekan kerana kuih-muih dan pakaian yang dijual tidak laris kerana rakyat lebih suka mengunjungi pasar raya besar yang menawarkan harga kuih buatan kilang yang jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan kualiti kuih buatan surirumah yang dijual oleh pe- niaga Melayu di bazar.

Dalam konteks ini pasar raya berkenaan telah menjalankan tanggungjawabnya menyediakan alternatif kepada rakyat dengan menawarkan harga yang murah kepada pembeli.
Di sebaliknya pula, peniaga-peniaga Melayu terasa perniagaan mereka kian terancam jika kewujudan seperti pasar raya besar terus tumbuh seperti cendawan di Kuala Te- rengganu.

Oleh itu disarankan, pihak Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kemajuan Koperasi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna membuat satu dasar yang baru supaya peniaga Melayu yang baru mulakan perniagaan kecil-kecilan terus maju tanpa digugat dengan kehadiran pasar raya besar terutama di bandar-bandar besar.

Keputusan yang bakal dibuat harus juga memikirkan masalah pembeli yang mahukan harga barangan yang murah.

Mereka mesti membuat satu pelan tindakan 'menang-menang' di mana peniaga kecil-kecilan dan pemborong seperti pasar raya mencapai kesepakatan supaya kesan akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat.

Sementara kita tunggu keputusan atau cadangan daripada pihak tertentu, nasihat saya kepada pembeli Melayu di Kuala Terengganu khasnya, marilah kita memperkasa dan membantu peniaga Melayu kecil-kecilan di bazar dengan membeli barangan mereka.

Formula yang dicadangkan, belilah lima balang kuih raya buatan kilang di pasar raya besar dan satu balang kuih di bazar. Dengan cara ini kita dapat membantu ekonomi bangsa kita dan pada masa yang serupa membantu peniaga Melayu kecil-kecilan di bazar.

Hidupkan malam Raya

HARI Raya Aidilfitri adalah antara hari yang paling ditunggu-tunggu oleh sebahagian besar umat Islam. Ini kerana semasa hari lebaran inilah golongan perantau berpeluang pulang bertemu ibu bapa dan sanak saudara masing-masing.

Sebab itulah, perjalanan jauh walaupun terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas tidak dihirau.

Ibarat lirik lagu Balik Kampung nyanyian Allahyarham Sudirman Hj. Arshad, "perjalanan jauh tak ku rasa, kerana hati ku melonjak sama ingin berjumpa sanak saudara, yang selalu bermain di mata".

Esok, umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri, insya-Allah. Hari kemenangan yang memang patut diraikan selepas kejayaan mengekang hawa nafsu sepanjang sebulan berpuasa Ramadan.

Hari Raya atau eid bermakna kembali. Jadi, Aidilfitri bermaksud kita kembali kepada fitrah iaitu boleh makan dan minum pada siang hari. Sebabnya, umat Islam hanya wajib puasa sepanjang Ramadan. Baki 11 bulan yang lain kita kembali kepada asal atau keadaan sebenar iaitu bebas makan dan minum pada waktu siang.

Dalam keseronokan berhari raya, jangan kita lupa bahawa sambutan Aidilfitri juga adalah ibadat. Justeru, beberapa amalan sunat perlu diutamakan di sebalik kesibukan menukar langsir baru atau memenuhkan meja makan dengan pelbagai juadah.

Bertakbir

Pada malam hari raya, hendaknya ia diisi dengan amalan bertakbir. Bukannya melekat di depan televisyen menonton pelbagai acara hiburan yang disaji. Biar tangan sibuk bekerja merebus ketupat dan masak rendang tetapi lidah kita sentiasa basah dengan lafaz takbir. Takbir bagi menyatakan kesyukuran kepada Allah.

Aidilfitri bermula apabila terbenam matahari hari terakhir Ramadan (mulai waktu Maghrib) sehingga mula solat sunat hari raya.

Galakan bertakbir disebut secara jelas menerusi firman Allah yang bermaksud: ...hendaklah kamu mencukupi bilangan puasa dan bertakbirlah (mengagungkan dan membesarkan) Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada mu, semoga kamu bersyukur. (al-Baqarah: 185).

Malangnya, amalan ini kurang popular terutama di kalangan generasi muda. Ramai daripada golongan ini memilih untuk berkumpul di tepi-tepi jalan, menghisap rokok dan menunggang motosikal. Malah, ada juga yang merempit pada malam hari raya.

Selain bertakbir, kita juga disunat menghidupkan malam raya dengan ibadat lain seperti tilawah al-Quran, solat, tasbih dan istighfar. Pastikan masjid dan surau tidak lengang persis warga kota meninggalkan ibu negara untuk pulang ke kampung.

Ingatlah sabda Rasulullah SAW, "Sesiapa yang menghidupkan malam raya Fitrah dan malam raya Adha dengan mengharapkan pahala, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati sekalian hati. "(Riwayat Ibn Majah).

Bersalaman dan bermaafan

Sudah menjadi amalan masyarakat kita untuk mengambil kesempatan Aidilfitri bagi memohon maaf antara satu sama lain. Tidak ada salahnya berbuat demikian, cuma kita bimbang umat Islam hanya menunggu hari lebaran baru mahu bermaaf- maafan. Sepatutnya amalan tersebut bermula sejak kita menyambut Ramadan lagi.

Ingatlah kisah Baginda SAW dan isterinya, saidatina Aisyah sewaktu Rasulullah pergi berdakwah kepada masyarakat jin. Sebelum keluar rumah, Aisyah berjanji akan menunggu kepulangan Baginda walaupun dilarang oleh Rasulullah.

Dipendekkan cerita, disebabkan terlalu banyak pertanyaan oleh para jin, maka Rasulullah SAW terlewat pulang ke rumahnya.

Setibanya di rumah, Baginda memberi salam tetapi tiada jawapan. Selepas beberapa kali berbuat demikian, maka Baginda pun memutuskan untuk tidur di hadapan pintu rumah kerana menjangkakan isterinya sudah tidur.

Tidak lama kemudian, Aisyah yang terjaga daripada tidur bergegas berlari membuka pintu. Akibat tergesa-gesa, nyaris Aisyah terpijak pipi Rasulullah yang tertidur tadi menyebabkan Baginda terjaga.

Namun, sesuai dengan firman Allah bahawa Rasulullah itu adalah contoh teladan terbaik, kisah itu berakhir dengan kedua-dua pihak memohon kemaafan. Aisyah terlebih dahulu mohon maaf kerana tertidur menyebabkan Baginda terpaksa tidur di luar. Baginda SAW juga turut minta maaf kerana pulang lewat.

Amalan

Begitulah indahnya Islam yang mengajar umatnya sentiasa mengakui kesilapan dan segera memohon maaf. Bukannya menunggu masa atau tarikh-tarikh tertentu berbuat demikian.
Satu lagi kebiasaan masyarakat Melayu ialah amalan bersalam-salaman semasa hari raya.

Ia adalah sifat mulia sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud, "tidaklah dua orang Islam bertemu saling bersalaman dan berjabat tangan melainkan diampunkan dosa mereka sebelum mereka berpisah. (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah).

Bagaimanapun, Islam tidak membenarkan 'matlamat menghalalkan cara'. Amalan ini perlu ada batasnya yang perlu menjaga adab-adab Islam seperti tidak bersalaman dengan golongan yang bukan mahram.

Menunaikan zakat

Satu lagi kefarduan yang mesti ditunaikan adalah membayar zakat fitrah. Jangan menunggu sehingga saat akhir pada pagi sebelum solat hari raya baru terhegeh-hegeh hendak membayarnya. Tunaikan seawal mungkin supaya rukun Islam keempat itu dijelaskan.

Ibnu Abbas menyatakan: "Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang- orang miskin". (Riwayat Abu Daud).

Kelewatan menunaikan zakat menyebabkan ia tidak diterima dan hanya dianggap sedekah yang perlu diqada pada tahun berikutnya.

Solat sunat Hari Raya

Dalam banyak amalan solat, mungkin solat Hari Raya paling digemari oleh semua Muslim. Sebabnya walaupun ada di kalangan umat Islam yang tidak cukup solat fardu lima waktu sehari dan solat Jumaat pun hanya sekali-sekali, namun solat Hari Raya tidak pernah ditinggalkan.

Solat Aidilfitri hukumnya sunat muakkad yang amat dituntut oleh Baginda SAW supaya dilaksanakan oleh orang-orang Islam. Ia disyariatkan oleh Allah pada tahun pertama hijrah. Ia digalakkan kepada pelbagai peringkat umur dan lapisan umat Islam meliputi kaum lelaki, perempuan, kanak-kanak, tua, muda, gadis mahupun janda.

Dalam menunaikan solat ini, kita disunatkan memakai pakaian tercantik dan bersih. Baginda SAW turut makan sedikit sebelum keluar solat Aidilfitri. Ini dijelaskan menerusi sabda Rasulullah SAW: Adalah Nabi SAW tidak beredar pada Hari Raya Aidilfitri hinggalah Baginda makan beberapa biji tamar. (Riwayat Bukhari)

Dalam kesempatan Aidilfitri, serikanlah ia dengan amalan ziarah menziarahi. Rasulullah pernah bersabda, "Wajib kasih sayangku kepada orang-orang yang ziarah menziarahi keranaku". (Riwayat Ahmad).

Pada hari raya, hendaklah kita mengamalkan kesederhanaan termasuklah dalam bab makan-minum. Jangan pula kita amalkan, 'pantang jumpa' habis dimakan semuanya.
Sebab itu diriwayatkan seorang tabib Arab berkata, perut adalah rumah penyakit dan berpantang adalah kepala segala ubat.

Akhir kalam, semoga sambutan Aidilfitri kali ini disambut dengan takbir dan tahmid bukannya hanya dipenuhi dengan menyaksikan pelbagai rancangan hiburan semata-mata.

Akta perpaduan lebih sesuai

Cadangan kepada pengenalan Akta Perhubungan Kaum yang dicadangkan oleh pihak kerajaan semakin mendapat perhatian daripada rakyat. Rata-rata nampaknya mulai menerima hakikat perlunya satu akta khusus untuk menguruskan perhubungan kaum di Malaysia.

Jika rata-rata lapisan masyarakat sudah menerimanya, kerajaan tentu tiada masalah untuk menggubal dan membentangkannya di Parlimen kelak. Tinggal lagi, ada tiga perkara pokok yang perlu diperhalusi sebelum akta ini dilaksanakan.

Pertama skop akta perhubungan kaum; kedua, implikasi akta kepada masa depan perhubungan kaum di Malaysia dari perspektif sosial dan ketiganya peranan pendidikan untuk perpaduan yang perlu dijenamakan semula.

Akta yang secara 'sementaranya' dinamakan Akta Hubungan Kaum ini masih tidak bersifat menyeluruh dan perlu diteliti dengan lebih mendalam.

Asas kepada cadangan akta ini apabila pihak kerajaan mendapati situasi hubungan kaum agak tegang akhir-akhir ini bermula dengan pelbagai tuntutan yang bercanggah dengan semangat kontrak sosial yang difahami ramai sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Tuntutan-tuntutan yang dianggap sensitif khususnya kepada para pimpinan Melayu menyebabkan 'serangan balas' dilakukan oleh sekumpulan ahli politik Melayu terhadap masyarakat Cina dan India.

Jelas sekali elemen yang menjadi isu kepada ketegangan kaum baru-baru ini ialah amarah dan kekecewaan pimpinan Melayu kepada tindakan pimpinan masyarakat Cina dan India yang mempertikaikan kontrak sosial dan ketuanan Melayu di negara ini. Sebenarnya, situasi ini baru salah satu dimensi apabila kita berbincang tentang perpaduan nasional.

Bagaimana nanti pada masa hadapan, ketegangan dalam masyarakat berlaku bukan kerana kaum tetapi berpunca daripada sensitiviti gender, isu agama (sekarang agama tidak lagi menggambarkan identiti sesuatu kaum sepenuhnya), jurang orang kaya dan orang miskin, perbezaan jenis pekerjaan dan sebagainya.

Tentu sahaja Akta Hubungan Kaum tidak relevan lagi dan perlu disemak semula untuk menyelesaikan permasalahan yang bukan bersifat perkauman tetapi lebih berasaskan kepada identiti etnik.

Istilah etnik di sini bermaksud pengawalan sensitiviti untuk tujuan perpaduan nasional tidak hanya terhad kepada skop kaum sahaja tetapi perlu lebih menyeluruh meliputi semua aspek etnisiti seperti sensitiviti budaya majoriti dan minoriti, sensitiviti agama dan kepercayaan, isu hak gender dan kefahaman adat istiadat yang berbeza.

Oleh itu persoalan hubungan kaum hanyalah salah satu daripada banyak lagi komponen lain dalam membina perpaduan di kalangan rakyat di negara ini.

Oleh itu, akta yang dicadangkan itu lebih sesuai dinamakan Akta Perpaduan Nasional supaya skop perundangan akan menjadi lebih menyeluruh dan benar-benar menepati tujuan untuk menguruskan perpaduan negara.

Melalui Akta Perpaduan Nasional ini maka semua aspek yang menyentuh sensitiviti setiap kumpulan etnik serta menjadi ancaman kepada perpaduan nasional boleh diuruskan dengan lebih berkesan.

Seperti dalam semua masyarakat moden yang lain, masyarakat negara ini juga sentiasa mengalami perubahan sama ada secara fizikal, gaya hidup, pengetahuan dan juga mentaliti. Oleh itu Akta Perpaduan Nasional ini perlu diperincikan agar sentiasa terkehadapan dalam menguruskan perubahan masyarakat.

Bagaimanapun, pengenalan akta ini juga akan membawa kepada implikasi yang cukup besar kepada masa depan pembangunan hubungan kaum di Malaysia.

Dulu, apabila pihak kolonial British mendesak supaya pemimpin Melayu bersetuju memberikan kerakyatan kepada kaum Cina dan India, secara perundangannya definisi kerakyatan menyebabkan pengekalan identiti Melayu, Cina dan India serta lain-lain kaum menjadi dominan dan sangat jelas ciri etniknya.

Akibatnya, masyarakat negara ini telah terpisah-pisah dengan membawa pengenalan kaum masing-masing secara meluas. Begitu juga, apabila sistem pendidikan negara diperundangkan berasaskan kaum dengan pengenalan Laporan Pelajaran Barnes 1950, Ordinan Pelajaran 1952, Laporan Fenn Wu 1952, Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 berasaskan ketentuan kaum, terbentuklah dengan begitu kukuh sekali sistem pendidikan vernakular di negara ini.

Sistem pendidikan vernakular yang dilindungi undang-undang telah memisah-misahkan pelajar mengikut kaum secara khusus sehingga mereka tidak berpeluang untuk mengenali kaum-kaum yang lain sehingga tamat persekolahan.

Mendaulatkan

Begitu juga apabila pengenalan Dasar Bahasa Kebangsaan dengan tujuan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, walaupun bertujuan murni tetapi juga secara tidak langsung telah mengukuhkan lagi sempadan etnik apabila kaum bukan Melayu berkeras memperjuangkan supaya bahasa ibunda mereka dikekalkan.

Begitu juga dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang sepatutnya bersifat sepunya tetapi secara tidak langsung dikatakan telah 'mengetepikan identiti kebudayaan bukan Melayu', (sekurang-kurangnya itulah yang kaum bukan Melayu rasa dan fikirkan).

Kini kita akan memperkenalkan pula Akta Hubungan Kaum yang secara jelas dan muktamad akan mendefinisikan setiap kaum mengikut ciri-ciri yang khusus.

Pengenalan akta ini akan menyebabkan setiap kaum diidentifikasikan berasaskan sempadan identiti yang khusus sebagai asas melancarkan urusan perundangan. Maka siapa Melayu, siapa Cina dan siapa India akan menjadi sangat penting kepada akta ini.

Maka tindakan yang dianggap atau diklasifikasikan sebagai bertentangan dengan Akta Hubungan Kaum ini akan ditentukan berasaskan siapakah dan dari kaum manakah seseorang defendan dan plaintif itu datang?

Maka akan timbul beberapa masalah di sini. Misalnya, apakah jika orang Melayu menyentuh sensitiviti kaum Cina/India atau sebaliknya sahaja akan dikenakan pertuduhan, bagaimana pula jika orang Melayu, Cina atau India menyentuh sensitiviti kaum masing-masing?

Apakah perlakuan ini juga dianggap sebagai melanggar Akta Hubungan Kaum yang boleh membawa kepada pertuduhan yang sama.

Bagaimana jika seorang Cina Muslim menyentuh sensitiviti berkaitan agama Islam, apakah larangan akan dikenakan jika ada bantahan bersifat perkauman daripada kalangan orang Melayu atau apakah akta ini sebenarnya hanyalah salinan semula daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri?

Secara teknikal, pastinya ahli undang-undang mempunyai jawapan kepada semua persoalan di atas. Tetapi tentunya akan lebih teratur dan berkesan jika urusan membina perpaduan melalui hubungan kaum ini dilihat terlebih dahulu secara serius oleh pakar-pakar pendidikan perpaduan di negara ini.

Mengapa tidak kita mulakan dengan membina satu kerangka baru pendidikan untuk perpaduan dan dilaksanakan secara serius dan menyeluruh di sekolah dan hanya selepas itu barulah diikuti dengan pengenalan kepada Akta Perpaduan Nasional ini.

Tentu sahaja membina akta lebih mudah berbanding membina kerangka pendidikan untuk perpaduan tetapi percayalah bahawa membina hubungan kaum, hubungan antara agama dan hubungan antara gender adalah lebih kuat pengaruhnya melalui pengalaman pendidikan berbanding pengalaman undang-undang.

Sebagai contoh mendidik anak-anak menghormati Perlembagaan negara jauh lebih baik dan berkesan daripada mengadakan akta dan undang-undang untuk menghukum seseorang warganegara yang mempertikaikan Perlembagaan tersebut. Lebih baik mencegah daripada berubat, itulah nasihat orang tua-tua.

Dengan bermulanya akta ini nanti, maka bentuk hubungan kaum akan berubah kepada berpaksikan perundangan dan tidak lagi atas dasar persefahaman, toleransi dan muhibah sebagaimana yang diamalkan selama ini.

Betul, proses interaksi hubungan kaum masih berlaku seperti dahulu tetapi kewujudan akta ini akan menyebabkan kita lebih cenderung untuk menggunakan undang-undang bagi menyelesaikan isu berkaitan hubungan kaum berbanding yang menggunakan perundingan, tolak ansur dan saling menghormati sebagai asasnya seperti sekarang.

Jika keadaan ini terus menerus berlangsung maka lima puluh tahun lagi pun isu kontrak sosial dan segala macam tuntutan akan masih kedengaran apabila sensitiviti kaum disentuh oleh kaum lain. Bezanya, di negara-negara maju walaupun isu hubungan kaum masih wujud tetapi ketegangan bersifat individu dan tidak dilihat sebagai ketegangan kaum.

Malah setiap kali ketegangan antara dua individu berbeza warna kulit berlaku, isu asal-usul serta keturunan sangat jarang digunakan untuk menyerang atau menghina lawannya.

Masyarakat pula lebih cenderung melihat sesuatu konflik antara dua individu berbeza etnik sebagai isu individu.

Oleh sebab itu, walaupun Akta Hubungan Kaum ini masih ingin diteruskan, peranan pendidikan mestilah pada masa yang sama diperkuatkan.

Pendidikan multi-budaya (multicultural education) perlu mula diperkenalkan sebagai elemen utama kurikulum pendidikan negara.

Pakar pedagogi pendidikan tentu sahaja boleh merungkaikan persoalan bagaimana pendidikan multi budaya ini boleh disampaikan kepada pelajar secara yang paling berkesan sama ada secara merentas kurikulum ataupun sebagai satu mata pelajaran khusus.

Peranan subjek sejarah dalam mengungkap perpaduan kaum nampaknya tidak lagi berjaya seperti yang diharapkan sama ada daripada perspektif isi kandungan dan juga strategi pengajaran dan pembelajaran.

Kerajaan telah pun mendapat sokongan dalam memperkenalkan Akta Hubungan Kaum ini.
Sekalian rakyat yang cintakan keamanan dan kesejahteraan negara tentunya gembira dengan langkah ini. Tinggal lagi, apabila kita sebagai insan yang bermaruah bercakap soal membina hubungan kaum, tidak dapat tidak maka rasa persefahaman, keikhlasan berkomunikasi, toleransi serta saling percaya mempercayai masih penting.

Malah sebenarnya jauh lebih penting daripada kepatuhan kita kepada sebarang akta dan undang-undang buatan manusia.

Monday, September 29, 2008

Korban jalan meningkat jika tak ubah sikap

PERGERAKAN pengguna berkenderaan untuk pulang ke kampung masing-masing bagi menyambut Aidilfitri kini mencapai tahap maksimum. Lebuh raya di Utara, Selatan dan Timur, jalan Persekutuan, jalan negeri dan perbandaran dipenuhi kenderaan mereka yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing. Kesibukan Kuala Lumpur yang sebelum ini mencatat kesesakan trafik bertukar ke bandar atau pekan kecil di seluruh negara dengan peningkatan kenderaan luar biasa, termasuk mereka yang membuat persiapan terakhir untuk merayakannya. Kesesakan dan pertambahan mendadak kenderaan, terutama di kawasan bandar kecil turut mengundang kemalangan jalan raya dan terbaru 10 pengguna jalan raya maut untuk hari keempat Ops Sikap XVII dilancarkan menjadikan sejumlah 45 kematian sehingga kini. Ternyata jumlah itu bakal meningkat, terutama kemalangan di kawasan jalan perbandaran dan negeri apabila tumpuan masyarakat menyambut perayaan di daerah dan bandar kecil.

Sehingga kini didapati penunggang dan pembonceng motosikal menjadi penyumbang utama kematian akibat kemalangan manakala jalan perbandaran, negeri dan Persekutuan menjadi lokasi tertinggi kejadian kemalangan. Kita melihat kadar kemalangan di lebuh raya berkurang sebelum Aidilfitri, namun sekiranya sikap pengguna jalan raya tidak berubah seperti tahun sebelumnya, kadarnya akan kembali meningkat apabila ramai yang pulang selepas Aidilfitri. Bagi kita bukan penguatkuasaan undang-undang sebenarnya yang boleh menurunkan kadar kemalangan jalan raya, namun sikap pengguna sendiri yang boleh memastikan Ops Sikap kali ini mencapai matlamatnya. Jika dilihat latar belakang kemalangan di semua jalan raya di negara ini, sebahagian besarnya berpunca dari sikap pemandu baik kenderaan awam, persendirian atau motosikal yang gagal mematuhi peraturan asas.

Dalam pada itu, keadaan fizikal jalan terutama di laluan Pantai Timur membabitkan Kelantan, Terengganu dan Pahang turut mengundang bahaya apabila kadar pertambahan kenderaan mendadak dalam tempoh singkat. Seperti tahun sebelum ini, kita dapati pihak berkuasa bertindak awal untuk memastikan perjalanan pulang berhari raya tahun ini, berjalan lancar dan kita dapati belum ada lagi laporan mengenai pengguna terkandas di perhentian bas. Dalam pada itu, tindakan awal pihak berkuasa mengesan pemandu bas ekspres mengambil dadah ketika memandu amat dialu-alukan dan sehingga kini tiga pemandu ditahan kerana positif dadah. Sebagai pengguna kita memandang serius masalah pengambilan dadah di kalangan pemandu, terutama bas ekspres kerana ia membabitkan ramai penumpang. Sekiranya berlaku kemalangan, ia tentu sesuatu yang tidak dapat kita bayangkan.

Pemandu di bawah pengaruh dadah inilah yang sering bermaharajalela dan berlumba di jalan raya, yang bukan saja mengancam nyawa penumpang, malah kenderaan lain di jalan raya. Kita berharap, pihak berkuasa meneruskan tindakan ini, termasuk mengadakan pemeriksaan terhadap pemandu bas ekspres di kawasan rawat dan rehat secara rawak bagi mengesan kemungkinan mengambil dadah. Bagaimanapun, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab sendiri untuk memastikan Aidilfitri tahun ini tidak mencatatkan peristiwa duka dalam kehidupan sama ada ketika beraya atau pulang ke ibu kota.

Wednesday, September 24, 2008

Sejarah, Utusan Melayu dan duri dalam daging

SEJARAH tidak pernah berbohong dan ia akan menceritakan kisah-kisah silam dan juga yang baru beberapa jam berlaku. Yang berbohong dan sering memutarbelitkan fakta ialah manusia.

Dalam sejarah, banyak yang boleh dipelajari. Yang baik dijadikan teladan, yang jahat dijadikan sempadan. Itulah sejarah yang sering kita pinggirkan dan tidak diambil berat. Berani saya katakan, rakyat Malaysia - terutamanya generasi muda - semakin tersisih dengan sejarah.

Profesor Datuk Dr. Zainal Kling pernah memberitahu saya bahawa Malaysia akan berada dalam keadaan bahaya sekiranya, rakyatnya tidak tahu sejarah. Sejarah asal usul penubuhan Malaysia, sejarah asal usul politik Malaysia dan menjuruslah kepada sejarah pra dan pasca-Kesultanan Melayu, sudah tidak diambil endah oleh generasi sekarang.

Saya tidak pasti mengapa fenomena ini berlaku, namun, sedikit sebanyak kita boleh salahkan juga kepada sistem pendidikan. Ia diakui Prof. Zainal yang berkata "semakin ramai pelajar sekolah menengah kita yang sudah tidak berminat mempelajari dan mengetahui mengenai sejarah tanah air. Pelajar sains misalnya, tidak minat langsung dan ada yang tidak berpeluang belajar sejarah."

Utusan Melayu turut mempunyai sejarah yang panjang. Namun, saya yakin tidak ramai yang mengenai asal usul akhbar ini, yang pada mula penubuhannya pada 1939 diterbitkan dalam tulisan jawi. Tulisan jawi ialah tulisan rasmi yang digunakan oleh umat Melayu sejak ratusan tahun dalam alam Nusantara ini. Sehinggalah pada tahun 1967 Utusan Malaysia, yang bertulisan rumi diterbitkan dan bergerak seiring dengan abangnya Utusan Melayu bertulisan jawi.

Kini akhbar tulisan jawi hanyalah akhbar sisipan dalam Utusan Malaysia yang diterbitkan secara percuma setiap Isnin dan dikenali sebagai Utusan Melayu Mingguan. Tidak pasti, sampai bila akhbar jawi dan kalam jawi itu sendiri akan bertahan. Yang pasti, cubaan untuk 'menghilangkannya' sudahpun ada.

Sejarah akhbar ini sungguh besar sekali. Pak Said Zahari (Ketua Pengarang Utusan 1959-1961) dalam tulisannya bertajuk Mogok Utusan Kenapa dan Untuk Apa? berkata, Utusan Melayu sejak lahirnya dalam tahun 1939, berikrar akan berkhidmat untuk bangsa, agama dan negara.

Utusan Melayu telah meniupkan semangat kebangsaan, menanamkan bibir-bibit perjuangan pembebasan daripada belenggu penjajahan yang telah menindas dan menginjak maruah mereka sejak ratusan tahun.

Katanya lagi: "Utusan Melayu dilahirkan oleh patriot-patriot Melayu sejati yang mahu mengembalikan keagungan dan maruah bangsanya yang telah luput oleh angkara penjajahan.

Para wartawan dan setiap pekerja lainnya yang bertanggungjawab menerbitkan lembaran-lembaran Utusan Melayu setiap hari adalah pejuang bangsa yang menggunakan Utusan Melayu sebagai senjata dan alat perjuangannya.''

"Penjajah Inggeris tidak pernah senang dengan Utusan Melayu. Dari mula-mula lagi Utusan Melayu sudah menjadi duri dalam daging penjajah Inggeris. Mereka menyedari bahawa kepentingan politik, ekonomi dan keselamatannya di rantau ini akan terancam sekiranya Utusan Melayu dibiarkan dengan dasar dan cita-cita perjuangan serupa itu," kata Pak Said.

Zainuddin Maidin (Ketua Pengarang Utusan 1982-1992) pula pernah menulis: "…sejak Utusan Melayu mendorong kepada penubuhan UMNO, komitmennya kepada perjuangan asal yang merangsangkan pelancaran mogok dan peranan utamanya di dalam menentang konfrontasi Indonesia dan memerangi 'Malaysian Malaysia' Lee Kuan Yew (bekas Perdana Menteri Singapura) adalah menjadi bukti yang amat jelas bahawa Utusan Melayu didokong oleh orang-orang yang berjiwa besar, orang-orang perjuangan yang tidak pernah takut dan gentar. Baik di kiri atau di kanan, mereka adalah anak-anak Utusan Melayu yang berani, penuh dedikasi dan mempunyai perasaan yang amat mendalam terhadap Utusan Melayu."

Sejarahnya, "Utusan Melayu tidak dilahirkan di atas dulang emas. Salah seorang pengasasnya Allahyarham Yusoff Ishak menitiskan air mata apabila ia dapat mencukupkan modal daripada beberapa orang Melayu bagi menerbitkan Utusan Melayu di Singapura pada 29 Mei 1939.
Utusan Melayu lahir dengan semangat yang dibangunkan oleh kemiskinan dan keinsafan."

Hari ini rakyat Malaysia, terutama anak-anak Melayu tidak tahu itu semua. Mereka tidak peduli lagi dengan akhbar yang memperjuangkan apa yang mereka perolehi hari ini. Di sebalik akhbar-akhbar Cina di Malaysia menjadi jualan tertinggi di antara akhbar-akhbar yang ada di negara ini, akhbar Melayu semakin disisihkan.

Orang Melayu sendiri menyisihkan akhbar ini. Dengan jualannya yang semakin menurun, saya tidak pasti sampai bila akhbar keramat ini akan kekal bertapak di atas muka bumi Malaysia ini.
Hari ini juga Utusan Malaysia akan meneruskan perjuangannya, walaupun, ia sering ditohmah sebagai 'duri dalam daging' oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan. Walaupun ia diboikot oleh tiga negeri pembangkang Pulau Pinang, Perak dan Selangor (kecuali Kelantan dan Kedah), walaupun ia dipulau daripada menghadiri acara yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim, wartawannya tidak akan berputus asa. Tindakan itu tidak sedikit pun menjejaskan perjuangannya sebagai Penyebar Fikiran Rakyat. Biarlah Utusan Malaysia menjadi 'duri dalam daging' mereka asalkan maruah agama, bangsa dan negara terpelihara.

Media jangan terlalu beralah

SERINGKALI apabila sesuatu kenyataan dibuat oleh individu tertentu, termasuk oleh tokoh-tokoh politik kemudiannya didapati menjejaskan imej dan prestasi individu berkenaan, maka media akan dipersalahkan.

Terbaru kes Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang juga anggota Exco Kerajaan Selangor berhubung dakwaannya tentang makanan yang disediakan semasa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mungkin sama seperti makanan anjing.

Teresa menuduh akhbar Utusan Malaysia memutar-belitkan kenyataannya. Terpulang kepada umum untuk membuat penghakiman sama ada beliau yang betul atau akhbar Utusan Malaysia memutar belit kenyataan Teresa.

Ini kerana kebanyakan rakyat Malaysia pasti turut mendengar rakaman kenyataan Teresa di kaca televisyen sama ada ketika beliau baru dibebaskan dan semasa membuat penafian.

Laporan bertulis mungkin boleh dipinda atau ditokok tambah bergantung kepada keupayaan kefahaman dan penyusunan ayat oleh wartawan yang menulis, tetapi jika ia dirakam dan dipertontonkan kepada umum, tentu sukar juga untuk mempertikaikan kesahihan laporan tersebut.

Sebagai seorang yang pernah menjadi pengamal media sejak 1973 lagi, saya berpendapat media massa di negara ini terlalu berlembut dan sangat mengalah dalam menghadapi tudingan-tudingan individu dan tokoh yang sering menjadikan media sebagai mangsa untuk menyelamatkan diri apabila imej, prestasi dan reputasi mereka rosak.

Disebabkan sikap berlembut dan mengalah, media arus perdana sering dilihat oleh pihak pembangkang khususnya sebagai tidak jujur dan tidak bertanggungjawab.

Saya sendiri pernah lebih dari sepuluh kali mendengar pemimpin pembangkang yang berserban, berjubah dan berjanggut dengan angkuh berkata, laporan suratkhabar tidak boleh dipercayai, semuanya bohong dan tidak betul kecuali keputusan empat nombor ekor dan TOTO.

Namun saya percaya barisan kepimpinan parti politik baik pembangkang atau pemerintah patut bersyukur kerana tahap kesabaran petugas media di negara ini cukup tinggi.

Mereka jarang bertindak balas terhadap individu dan tokoh yang menghina dan menuding kesalahan terhadap media.

Walhal katakanlah pihak media bertindak balas, umpamanya tidak melaporkan apa yang dicakap serta segala aktiviti Teresa sebagai ahli Parlimen dan anggota exco Selangor selama setahun, pasti dengan sendirinya umum, termasuk para pengundi di kawasan yang diwakili akan mula terlupa namanya.

Natijahnya kalau peranan media tidak penting, pihak pembangkang tidak akan membuat desakan demi desakan supaya mereka juga diberi permit akhbar dan juga kebenaran mengelolakan stesen televisyen dan radio.

Oleh itu sudah sampai masanya untuk media massa, terutama akhbar arus perdana supaya tidak lagi memurahkan halaman yang mahal untuk memuatkan laporan tentang mana-mana individu atau tokoh yang menuduh media putarbelit kenyataan mereka.

Pada pendapat saya, petugas-petugas semua media di negara mesti bersatu demi kemurnian imej, pretasi, reputasi dan profesionalisme dunia media tidak tercalar dan tercemar oleh sikap terlalu berlembut dan suka mengalah.

Petugas media tidak kira dari media cetak atau elektronik mesti bersatu dan menganggap masing-masing adalah satu badan, bila paha kanan dicubit paha kiri pun akan terasa sakitnya.

Kalau Hitler jauh lebih takut berperang dengan sebuah akhbar berbanding berdepan dengan satu division tentera, bermakna kuasa media cukup kuat dan berpengaruh. Mengapa media di negara ini mesti takut dan tunduk hanya kepada seorang ahli Parlimen.

Untuk mengelak daripada terus menjadi mangsa, media mesti menunjukkan belang, antaranya ialah dengan memulau mana-mana tokoh yang cuba bermain api dengan media.

Rakyat mesti sepakat hadapi cabaran ekonomi

CABARAN barisan kepimpinan negara untuk menangani rintangan ekonomi semasa menuntut kerjasama semua pihak termasuk rakyat.

Perlu diakui bahawa kerajaan tidak boleh bersendirian untuk menjayakan setiap program yang telah dirancang untuk merancakkan ekonomi negara.

Rakyat, pertubuhan bukan kerajaan, sektor korporat dan badan swasta mesti menggembleng tenaga dan fikiran untuk membantu kerajaan menjayakan usaha-usaha tersebut.

Bahawa dalam keadaan krisis kewangan yang melanda Amerika Syarikat (AS) sedikit sebanyak memberi kesan kepada ekonomi negara kita, hanya kesepakatan semua pihak membolehkan cabaran seumpama itu ditangani.

Justeru, usaha kerajaan untuk merangka pakej komprehensif menangani cabaran ekonomi untuk jangka sederhana dan panjang mesti disokong sepenuhnya.

Segala hiruk pikuk politik yang boleh menakutkan pelabur untuk membuat pelaburan di negara ini mesti dihentikan.

Tiada siapa pun boleh menidakkan hubung kait politik dan ekonomi lantaran kerajaan yang tidak stabil pada pandangan pelabur akan dijauhi.

Bak kata Timbalan Perdana Menteri yang baru diberi tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan, sebenarnya ekonomi negara kita berada dalam keadaan baik cuma bayangan isu-isu politik menjadikan pencapaiannya agak kabur di mata pelabur.

Oleh itu seboleh mungkin setiap daripada kita mesti memastikan bahawa usaha-usaha kerajaan untuk membangunkan ekonomi tidak dirosakkan oleh cerita-cerita politik sehingga memberi petunjuk tidak betul tentang keadaan sebenar negara kita.

Biarpun kerajaan yakin bahawa asas ekonomi Malaysia mampu bertahan untuk mengharungi ketidaktentuan akibat krisis kewangan dunia namun ia tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan pelbagai pihak.

Pelbagai projek pembangunan rakyat yang telah dirancang di bawah Bajet 2009 serta program Rancangan Malaysia mesti dilaksanakan mengikut perancangan demi kepentingan rakyat jelata.

Dalam suasana sekarang, penurunan inflasi serta ekonomi yang menyentuh kepentingan rakyat mesti diberi keutamaan.

Kesan krisis ekonomi dunia tidak mengenal rakyat golongan bawahan mahu kumpulan atasan, justeru untuk memastikan mereka tidak ditindas, adalah penting jika sentuhan pelan komprehensif ekonomi oleh kerajaan tidak hanya bersifat global.

Ekonomi rakyat bawahan mesti dipelihara lantaran ia menyumbang kepada kestabilan politik sekali gus membantu merancakkan projek-projek pembangunan ekonomi di negara kita.

Selagi 'politik perut' rakyat jelata terutama golongan berpendapatan rendah tidak dijaga selagi itulah kestabilan tidak dapat dikecapi sepenuhnya sekali gus memperlahankan perjalanan ekonomi negara.

Semua pihak mesti bekerjasama menjayakan setiap perancangan kerajaan selain tidak kedekut fikiran untuk sama-mama mencanai idea demi kesejahteraan kita semua.

Elak strategi tentera

BARU dua minggu menduduki kerusi Presiden Pakistan menggantikan Pervez Musharraf, kerajaan Asif Ali Zardari diuji dengan tragedi yang bukan calang-calang - pengeboman berani mati menggunakan trak yang mengorbankan 60 nyawa.
Kejadian pengeboman di Hotel Marriot beberapa minit selepas waktu berbuka lewat petang 21 September lalu itu turut mencederakan lebih 100 orang yang lain, dan meninggalkan kesan kemusnahan yang sangat menakutkan termasuk kawah sedalam 30 meter di hadapan hotel berkenaan.
Kejadian terbaru itu meletakkan pemerintahan Asif Ali ketika ini dalam situasi yang genting dan meninggalkan persoalan yang besar apakah tragedi keganasan seperti itu bakal mewarnai episod pemerintahan suami kepada Benazir Bhutto tersebut.
Ia juga mencetuskan tanda tanya apakah jalan perdamaian sebenar yang diperlukan di bumi Pakistan selepas pemerintahan kerajaan negara itu bersilih ganti dalam selang masa yang singkat.
Menilai tragedi berdarah itu, pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling berkata, ia merupakan isyarat, mesej dan amaran yang cukup jelas yang ditujukan kepada Asif Ali yang pada hari kejadian dijadualkan turut berbuka puasa di hotel berkenaan.
Isyarat itu biarpun tidak sampai membunuh pemimpin itu, namun meninggalkan peringatan yang jelas bahawa Asif Ali perlu mengambil kira kewujudan dan pengaruh kumpulan militan dan pengganas dalam menjalankan dasar pemerintahan barunya.
Pemimpin tertinggi Parti Rakyat Pakistan (PPP) itu dijadualkan menyampaikan ucapan sulung di Parlimen tidak lama lagi sekali gus melambangkan terlaksananya dasar pemerintahan Asif Ali di Pakistan.
Menurut Mohamad Faisol, realiti kewujudan dan pengaruh militan di Pakistan itu bukanlah sesuatu yang boleh dianggap remeh sebaliknya ia semakin kukuh sebagai entiti dalam persekitaran politik di negara itu.
Kekukuhan pengaruh militan dan pengganas itu dapat dilihat semasa era pemerintahan Benazir Bhutto yang mana pengganas dan militan tempatan menjadi tumpuan utama kerajaan bekas Perdana Menteri itu.
Benazir pada ketika itu terpaksa mengadakan pertemuan dengan pihak militan dalam memastikan dasar pemerintahannya tidak terjejas malah, kehadiran kumpulan pengganas juga dapat dilihat sewaktu kembalinya Benazir dari buangan serta dalam peristiwa pembunuhannya pada 2007.
Penggal pemerintahan Nawaz Shariff juga tidak terkecuali daripada dikaitkan dengan kumpulan ekstremis dan militan yang turut merumitkan lagi kerajaan Nawaz yang ketika itu turut berdepan tentangan daripada pihak tentera.
Malah, peletakan jawatan Pervez pada 18 Ogos lalu juga dilihat ada kaitan dengan kumpulan pengganas dan militan dan bukannya disebabkan oleh tekanan daripada parti pembangkang semata-mata, seperti yang banyak dilihat oleh penganalisis antarabangsa.
Tindakan Pervez yang menyokong 'gerakan memerangi keganasan' iaitu pendekatan keras di bawah payung Amerika Syarikat (AS) misalnya, mempengaruhi pergerakan militan dan pengganas menjadi semakin kukuh.
''Keganasan terbaru ini secara jelas bertujuan menarik perhatian kerajaan Asif Ali dan memberikan petunjuk bahawa kumpulan pengganas dan militan sedang memerhatikan pemerintahan beliau.
''Dengan kata lain, Asif Ali perlu melaksanakan dasar yang lebih baik berbanding dasar yang dilaksanakan oleh para pemimpin terdahulu," katanya.
Menurut Mohamad Faisol, serangan kali ini juga sekiranya dinilai dalam konteks yang lebih luas adalah satu bentuk peringatan kepada perlaksanaan dasar luar Pakistan di bawah kerajaan Asif Ali.
Situasi ini dengan mudah dikaitkan dengan tindakan AS yang melancarkan serangan darat ke atas kumpulan pengganas dan militan Afghanistan pada 11 September lalu, yang mana ia dilancarkan tanpa persetujuan Pakistan sekali gus menjejaskan kedaulatan Pakistan sendiri.
Dasar berpeluk tubuh yang diambil Asif Ali sebagai reaksi daripada serangan di Afghanistan itu dilihat sebagai satu kesilapan dan hanya sesuai sekiranya Pervez masih berkuasa, sebaliknya Asif Ali perlu menjalankan pemerintahan yang bebas daripada kongkongan kuasa Barat.
Ketika ditanya apakah pendekatan terbaik dalam menamatkan keganasan berterusan di Pakistan, Mohamad Faisol berkata, berdepan dengan ancaman pengganas dan militan memerlukan pertimbangan yang besar daripada mana-mana pemimpin dan ia tidak boleh menggunakan kekuatan tentera sepenuhnya.
Beliau mengambil contoh pendekatan 'keras' yang digunakan Pervez sebelum ini yang bukan sahaja gagal mengekang keganasan, malah tidak berjaya membendung pendekatan itu yang semakin menjadi budaya dalam masyarakat.
Dalam situasi seperti itu Pakistan katanya, memerlukan gabungan strategi ketenteraan dan sosial politik termasuk perlu memenangi hati dan kepercayaan rakyat dengan melakukan perubahan dalam pemerintahan, menegakkan undang-undang, memenuhi keperluan rakyat dan mengembalikan demokrasi yang sebenar di negara itu.
Strategi sosial yang mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sesebuah kerajaan yang memerintah itu akan menghindari penentangan dan pemberontakan daripada rakyat Pakistan itu sendiri.
''Sesuatu yang perlu difahami, konflik di Pakistan tidak boleh diselesaikan dengan segera, sebaliknya ia adalah sesuatu proses yang memerlukan jangka masa yang panjang,'' katanya.
Dalam persekitaran politik semasa di Pakistan, pendekatan ketenteraan masih diperlukan khususnya untuk memastikan tidak lagi wujud aktiviti perjuangan persenjataan oleh kumpulan-kumpulan tertentu.
''Ia perlu bergerak secara selari dengan strategi sosial agar objektif pembendungan dan pembasmian dapat dicapai," katanya.
Bagaimanapun untuk strategi jangka masa pendek, Mohamad Faisol melihat Asif Ali dan rejimnya perlu memulihkan pemerintahan kerajaan agar 'bersih' dan dasar yang digubal juga tidak boleh menjurus kepada dasar autokratik yang mengabaikan kehendak dan suara rakyat.
Pertemuan dua mata dan pendekatan 'lembut' dengan pihak militan dan pengganas tegas beliau, perlu dilaksanakan agar dapat mententeramkan keadaan persekitaran politik Pakistan.
Situasi ini amat diperlukan kerajaan Asif Ali sebelum beliau dapat merangka dan melaksanakan strategi yang seterusnya.

AS menuju era kemuflisan?

KIRA-KIRA 11 tahun lalu ketika negara-negara Asia seperti Thailand, Indonesia, Korea dan Malaysia dilanda kegawatan ekonomi, Amerika Syarikat (AS) yang merupakan pendokong sistem kapitalis menentang sebarang campur tangan kerajaan dalam membantu syarikat-syarikat yang bermasalah.
Pada AS segala-galanya perlu ditentukan oleh pasaran. Jika sesuatu ekonomi jatuh maka ia tidak boleh dihalang. Syarikat-syarikat berkepentingan nasional tidak boleh diselamatkan oleh kerajaan.
Sebaliknya biar pasaran yang menentukan termasuk membiarkan syarikat terbabit ditelan oleh gergasi luar terutama dari AS.
Ketika itu nasihat atau lebih dibaca sebagai amaran oleh AS kepada negara terbabit termasuk Malaysia ialah biar pasaran yang tentukan caranya, kerajaan jangan masuk campur.
Walaupun negara-negara itu terpaksa berhadapan dengan pelbagai kesukaran seperti kadar pengangguran yang tinggi, kemiskinan meningkat dan keadaan politik menjadi kucar kacir AS tetap bertegas mempertahankan sistem pasaran bebasnya.
Malah, negara kuasa besar itu juga dengan sewenang-wenang menggelar negara-negara terbabit sebagai muflis atau bankrap kerana terpaksa berhutang untuk mengatasi kegawatan ekonomi selain berhadapan dengan belanjawan defisit berbilion dolar.
Malaysia juga tidak terlepas, apabila ia ekonominya dikatakan sebagai bermasalah ekoran belanjawan defisit.
Tetapi hari ini di sebalik segala kebongkakan AS 11 tahun lalu, negara itu terpaksa berhadapan dengan realiti pasaran bebas yang diagung-agungkannya.
AS kini berhadapan dengan krisis kewangan antara yang terburuk dalam sejarahnya yang boleh mengheret kuasa ekonomi itu ke arah kemuflisan.
Walaupun pentadbiran Bush masih lagi mempertahankan ego kononnya ekonomi mereka masih baik, dan krisis yang membabitkan institusi kewangannya terkawal, tetapi hakikatnya ekonomi AS sedang berhadapan dengan masalah besar.
Pada hari ini syarikat-syarikat kapitalis gergasi yang menjadi kebanggaan AS dan ada antaranya berusia lebih 100 tahun tersungkur kerana pentadbiran dan pengurusan pelaburan yang tidak betul.
Firma sekuriti keempat terbesar di AS, Lehman Brothers yang pejabatnya gah tersergam di Time Square, New York kini muflis.
Sebelum itu AS terpaksa mengingkari peraturan ciptaannya sendiri apabila kerajaan mengambil alih syarikat insuransnya yang terbesar, American International Group Inc. (AIG) dengan memberikan pinjaman AS$85 bilion (RM289.9 bilion).
Krisis itu tidak berhenti begitu sahaja. Sejak dua minggu lalu kerajaan AS telah mengambil alih dua syarikat pembiaya pinjaman hartanah terbesar, Fannie Mae dan Freddie Mac. Sementara firma pelaburan terkenal Merrill Lynch telah dipaksa supaya dijual kepada Bank of America kerana diancam kemuflisan.
Kini hampir keseluruhan institusi kewangan di AS terutama yang terbabit dengan pembiayaan pembelian hartanah lumpuh dan pasaran kreditnya kini beku. Antara puncanya ialah pengurusan hutang dan pinjaman yang tidak terkawal hingga membebankan sektor kewangan negara itu.
Atas nama kepentingan rakyat dan demi memastikan rakyat AS terus mempunyai kediaman maka pentadbiran Bush telah meminta Kongres memperuntukan wang pembayar cukai sebanyak AS$700 bilion untuk membeli semua hutang dalam sektor hartanah bagi membolehkan institusi- institusi kewangan terbabit kembali bernafas dan pasaran kreditnya boleh dicairkan semula.
Peruntukan AS$700 bilion itu merupakan usaha kerajaan AS untuk menyelamat atau bailout institusi-institusi kewangannya yang nazak. Langkah itu pernah ditentang oleh AS 11 tahun lalu apabila kerajaan Malaysia mahu membantu syarikat-syarikat berkepentingan nasional menghadapi gelombang krisis ekonomi supaya ia tidak terlepas ke tangan kapitalis luar.
Jika 11 tahun lalu AS lantang menentang, tetapi hari ini itulah langkah yang diambilnya dengan alasan untuk kepentingan rakyat. Itulah alasan yang diberikan oleh Bush dalam memujuk Kongres meluluskan peruntukan AS$700 bilion itu. Sedang kerajaan Malaysia ketika melaksanakan langkah yang sama 11 tahun lalu juga demi kepentingan rakyat.
Tindakan AS itu ibarat meludah ke langit yang mana akhirnya ia jatuh ke muka sendiri. Jumlah AS$700 bilion itu merupakan angka yang cukup besar yang boleh mengheret negara kuasa besar itu ke kancah hutang yang terbesar dalam sejarahnya.
Jika sebelum ini AS melabelkan negara kecil yang berhadapan dengan beban hutang luar dan bajet defisit sebagai negara yang muflis, kini jika faktor dan kriteria itu diambil kira kuasa besar itu juga kini di ambang kemuflisan.
Pada masa kini AS mengalami belanjawan defisit kira-kira AS$3 trilion (RM2,386.98 bilion) setahun. Malah AS$700 juta yang diminta supaya diluluskan segera oleh Kongres dalam usaha untuk menyelamatkan institusi kewangannya turut menekan lagi kedudukan ekonominya secara keseluruhan.
Bersandiwara
Tetapi, sebagai kuasa besar AS tetap angkuh. Pentadbiran Bush tetap bersandiwara. Dalam keadaan ekonomi yang hampir runtuh itu, Bush tetap mendakwa kedudukan ekonomi mereka masih stabil dan mantap.
Jika bajet defisit itu diambil kira ditambah pula dengan kadar pengangguran mencecah tujuh peratus setahun dan disertai dengan krisis yang melanda institusi kewangannya kini, ekonomi AS sebenarnya cukup parah. Krisis itu ibarat meletakkan garam pada luka yang menjadikan ia lebih pedih dan berbisa.
Jika AS$700 bilion itu tidak diluluskan oleh Kongres, sektor hartanah di negara itu akan lumpuh kerana institusi terbabit tidak mampu lagi untuk memberikan pinjaman.
Untuk itu, penggubal dasar di AS kini bersengkang mata mencari penyelesaian kepada krisis itu.
Keadaan bertambah rumit apabila rakyat mempersoalkan hasrat pentadbiran Bush untuk menggunakan wang cukai mereka bagi mengambil alih hutang-hutang institusi kewangan terbabit.
Tetapi apa pilihan yang kerajaan AS ada? Yang penting sistem kewangannya perlu diselamatkan. Institusi ini perlu dipastikan dapat bergerak seperti biasa dan mampu berfungsi sewajarnya.
Caranya ialah dengan membebaskan mereka daripada hutang-hutang lapuk. Untuk itu kerajaan akan menggunakan AS$700 bilion wang rakyat untuk 'membeli' hutang-hutang tersebut.
Tetapi hakikat yang mungkin ramai tidak tahu ialah, cadangan kepada usaha menyelamat itu akan menyebabkan hutang yang ditanggung AS meningkat daripada AS$10.6 trilion (RM36.15 trilion) kepada AS$11.3 trilion (RM38.54 trilion).
Sebab itu para penganalisis menggelar usaha yang dilakukan oleh Washington itu sebagai ibu kepada segala usaha menyelamat atau mother of all bailouts dalam dunia ini.
Kebimbangan yang wujud ialah adakah AS$700 bilion (RM36.25 trilion) itu akan digunakan sewajar dan turut memberi manfaat kepada rakyat. Adakah betul jika AS$700 bilion itu diagih-agihkan pasaran kredit negara kembali cair dan institusi kewangannya pula mampu pulih.
Sebab itu, ahli-ahli Kongres pula mahukan jaminan agar peruntukan itu turut digunakan untuk membantu rakyat dengan istilah yang digunakan 'Main Street' di samping institusi kewangan gergasi di Wall Street yang hilang berbilion dolar kepada keputusan pelaburan yang dangkal.
Rancangan utama pelan menyelamat AS$700 bilion itu ialah untuk mengeluarkan hutang tidak berbayar daripada buku akaun institusi kewangan terbabit dengan harapan mereka dapat meneruskan operasi pinjaman.
Mother of all bailouts ini jika dicampur dengan kos kerajaan mengambil alih Fennie, Freddie dan AIG sebenarnya mencecah AS$1 trilio (RM3.41 trilion).
Apakah maknanya semua itu? Ia boleh ditafsirkan bahawa AS kini sedang menuju ke arah muflis kerana terpaksa menanggung hutang puluhan trilion dolar akibat pengurusan dan pelaburan oleh institusi kewangannya yang tidak cekap.
Kesimpulan ini dibuat berdasarkan kriteria yang digunakan oleh AS sendiri apabila dengan sewenang-wenang melabelkan negara kecil seperti Malaysia sebagai muflis ketika berhadapan dengan krisis kewangan.
Kini AS dikatakan sedang meninjau bantuan daripada Jepun dan China untuk membantunya.
Ia menggarapkan dua negara gergasi Asia itu dapat membeli aset dan menyuntik modal dalam institusi kewangannya supaya kembali bernafas dan seterusnya menggerakkan kembali sistem kewangannya yang hampir lumpuh.

Sunday, September 21, 2008

Soal Jawab: ISA bukan kekang kegiatan orang politik

Pendekatan mencegah sebelum merawat langkah terbaik kekal keharmonian rakyat

PENANGKAPAN penulis blog, Raja Petra Kamaruddin; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Jit Poh, Tan Hoon Cheng, menghangatkan semula perdebatan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Bagi sesetengah pihak, ISA sudah ketinggalan zaman dan bertentangan dengan hak asasi manusia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, mempunyai pandangannya, terutama apabila menyentuh soal keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Ikuti temu bual bersama wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin.AKTA Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dilabel sebagai Draconian (sangat keras) serta sepatutnya hanya digunakan terhadap anasir subversif yang mahu menggulingkan kerajaan dengan cara paksaan dan bukan terhadap ahli politik, wartawan dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan. Apakah penjelasan Datuk Seri.

ISA terhadap pihak yang terbabit dalam aktiviti subversif seperti pengganas Komunis adalah sejarah. Dalam konteks sekarang, ISA adalah undang-undang pencegahan untuk mengelakkan berlaku ancaman kepada ketenteraman awam dan keamanan. Itu adalah objektif utama ISA. ISA bukan tindakan selepas ancaman berlaku, tetapi tindakan pantas bagi mengelakkan sebelum sesuatu perkara berlaku.

Sejak merdeka sama ada secara sedar atau tidak, ISA berjaya memelihara keamanan dan ketenteraman awam. Elemen utama akta ini adalah ketenteraman awam dan keselamatan.

Apakah ketenteraman awam dan keselamatan?

Pertama ialah jika didapati tindakan atau kelakuan seseorang itu boleh melahirkan ancaman kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam seperti menyebabkan konflik, rusuhan dan perang saudara. Ini membabitkan perasaan benci meliputi isu agama, kaum dan budaya.

Kedua, tindakan yang dianggap boleh menjejaskan ekonomi negara seperti boleh menyebabkan ekonomi negara lumpuh, pelabur lari dari negara ini kerana takut akibat keadaan tidak menentu. Begitu juga aktiviti sindiket mengeluarkan kad pengenalan dan pasport palsu yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Pihak yang terbabit boleh dikenakan tindakan bagi mencegah kegiatan terus berlaku. Ketiga, pihak yang mengancam perkhidmatan perlu dan penting seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga boleh dikenakan tindakan ISA.

Masih ramai mengaitkan ISA dengan ketidakadilan dan campur tangan politik.

Orang berkata ISA adalah undang-undang yang membolehkan penahanan di bawah kuasa Menteri (Keselamatan Dalam Negeri) dan penahanan tanpa bicara. Orang selalu lupa bahawa ISA mempunyai dua bahagian penting.

Pertama ialah mengikut Seksyen 73(1) yang memberi kuasa kepada polis mengambil tindakan awal menahan mana-mana pihak yang dianggap boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam. Tindakan ini membolehkan polis menahan seseorang sama ada selama 24 jam, dua hari dan seminggu dengan tempoh maksimum selama 60 hari. Jika dalam jangka masa itu tidak ada kes menunjukkan ada ancaman, pihak polis boleh melepaskan. Perkara ini adalah budi bicara polis sepenuhnya. Ini membolehkan polis menjalankan kerja risikan bagi menentukan perkara ini tidak merosakkan ketenteraman awam.

Penahanan ini bukan suatu kesalahan jenayah dan tidak dituduh mengikut Kanun Keseksaan atau Akta Hasutan. Tempat tahanan berbeza dengan mereka yang ditahan mengikut akta lain. Mereka yang ditahan reman dimasukkan dalam lokap, manakala tahanan ISA mempunyai sel sendiri yang lengkap dengan tempat tidur.

Tahanan ISA mempunyai hak untuk habeas corpus (writ hak untuk mencabar kesahihan penahanan seseorang) berjumpa keluarga, mendapatkan peguam dan apabila dibebaskan tidak mempunyai rekod melakukan kesalahan jenayah atau seperti tertuduh yang dilepaskan kerana tiada kes. Ini adalah semata-mata untuk ketenteraman dan keselamatan awam.

Polis tidak perlu merujuk kepada menteri untuk mengambil tindakan ini. Cuma sebagai Menteri Dalam Negeri, polis akan memberitahu tindakan itu diambil kerana perkara ini akan ditanya oleh pelbagai pihak, itu saja. Hendak melepaskan juga tidak perlu meminta kebenaran menteri. Itu adalah budi bicara polis yang cukup berhati-hati dan teliti.

Bagaimana jika selepas 60 hari dan polis mendapati bahawa seseorang itu mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Jika polis mendapati bahawa orang itu masih menjadi ancaman kepada keselamatan negara, perakuan akan dibuat kepada menteri untuk menahan mengikut Seksyen 8(1) atau 8(5).
Menteri akan melihat hujah polis untuk menahan orang itu. Jika berpuas hati, menteri akan menandatangani dokumen yang dipanggil Detention Order (Perintah Penahanan) selama dua tahun. Tidak bermakna sepanjang tempoh itu, orang itu tidak dapat berjumpa keluarga seminggu sekali dan juga peguam.

Dalam tempoh tiga bulan pertama, kes boleh dirujuk kepada Lembaga Penasihat dan tahanan boleh membawa peguam ketika kesnya didengar. Jika Lembaga Penasihat menyatakan masih menjadi ancaman, tahanannya akan diteruskan dan setiap enam bulan akan ada semakan (sama ada orang itu menjadi ancaman).

Di Kamunting (Perak), tahanan ISA ada surat khabar, boleh bersenam dan tidak duduk seperti macam pesalah jenayah. Dia boleh bertanding pilihan raya dan mendapat rawatan bukan saja di hospital berdekatan, malah rawatan pakar. Makanan juga sangat baik dan kalau ada diet khas seperti vegetarian, kita akan sediakan makanan itu.

Kita kadang-kadang mudah lupa. Kita menganggap seolah-olah penahanan ini bertujuan untuk memuatkan orang politik. Orang politik boleh bertindak mengikut sesuka hati selagi tidak menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam. Kebanyakan orang yang ditahan mengikut ISA adalah berasaskan ancaman gerakan militan dan ideologi yang boleh memecah belahkan serta sikap melampau yang merosakkan keharmonian masyarakat.

Jika polis tidak mengambil tindakan terhadap golongan begini, negara kita porak peranda.
Lihat suasana sekarang, satu isu boleh mencetuskan perasaan tidak menentu, menimbulkan kegelisahan dan kemarahan antara kaum. Di negara ini, masih banyak sensitiviti yang perlu dipelihara dan dikawal dengan baik supaya tidak bertukar menjadi konflik terbuka.

Dalam kes penahanan tiga individu terbabit, beberapa pihak, termasuk di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) mempertikaikan penggunaan ISA. Apakah ketenteraman awam benar-benar tergugat hingga memerlukan ISA digunakan.

Soalan ini patut ditanya kepada polis. Saya tidak ada maklumat yang polis ada kerana polis menggunakan kuasa yang dalam pengetahuan mereka. Saya fikir dalam soal menjaga keselamatan di mana-mana pun, apabila mula mempertikaikan pasukan polis melaksanakan tugas seperti butiran yang ada apabila mengambil sesuatu tindakan, ini akan menggagalkan tindakan pencegahan.

Tetapi kalau kita melihat undang-undang antikeganasan di United Kingdom, pihak berkuasa boleh menahan seseorang kerana semata-mata ada ancaman. Mereka menyerbu dan memecahkan rumah orang Islam kerana dipercayai ada pengganas dan menangkap imam kerana ceramah imam dikatakan membangkitkan semangat.

Kita tidak boleh mengetahui keadaan yang membawa kepada penangkapan mengikut ISA seperti apakah maksud keadaan tidak terkawal dan bagaimana keputusan itu dibuat.

Jika buat begitu, pasukan keselamatan tidak boleh menjalankan tugas kerana setiap hari kena berbahas. Apabila berbahas akan ada perbezaan pandangan. Kita terlupa bahawa selama ini di belakang ada pasukan keselamatan yang menjaga keselamatan. Kita lihat bahawa (sebelum penahanan mengikut ISA) suhu semakin lama semakin panas hingga Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi pandangan bahawa suasana ini perlu dibendung.

Kita hendak bendung atau 'kita tidak boleh percaya cakap polis kerana kita perlu tengok biar bergaduh dulu, baru ambil tindakan'. Saya fikir ini tidak pernah menjadi pendekatan Malaysia dan ini yang menyebabkan wujud kedamaian dan keamanan di negara ini. Polis apabila mengambil tindakan mengambil kira semua faktor itu. Malangnya orang yang memberi komen (mengenai ISA) mempunyai faktor politik sedangkan polis melihat faktor keselamatan. Memang perkara ini adalah kontroversi. Tetapi adakah kerana kemungkinan kontroversi, polis tidak mengutamakan soal keselamatan.

Saya fikir parti komponen BN yang membentuk kerajaan perlu mempunyai satu pemikiran. Kekuatan politik BN ialah kita menyimpan semua perkara yang hangat dalam perbincangan tertutup dan ini tidak mencetuskan reaksi berbeza.

Adakah kerajaan tidak memberi perhatian terhadap pandangan yang mengkritik ISA.

Terdapat dua reaksi terhadap ISA. Jangan ingat orang yang menghentam ISA adalah golongan majoriti. Mereka yang menentang penggunaan ISA adalah golongan yang vocal (lantang) dan mereka melahirkannya dengan menulis surat dan SMS. Saya anggap sebagai kakitangan awam yang menjalankan tugas, itu adalah perkara biasa kerana setiap orang ada pandangan masing-masing.

Bagaimanapun pada masa sama, saya mendapat banyak surat dan SMS memberi sokongan terhadap ISA. Akhirnya saya berfikir orang yang menyokong ISA bukan kerana faktor kaum, budaya dan agama, tetapi takut tercetus pergaduhan dan perselisihan.

Bagaimana tiada ancaman jika pihak antarabangsa mengklasifikasikan Malaysia sebagai tidak stabil dari segi politik, keadaan tidak menentu dan dinasihat tidak melabur. Bukankah itu adalah ancaman kepada keselamatan. Polis mesti ada asas sebelum bertindak mengikut ISA.

Kadang-kadang pihak yang memelihara keselamatan dan ketenteraman awam menjadi mangsa kepada niat kita untuk melahirkan kebebasan daripada golongan yang tidak semesti majoriti.
Golongan majoriti selalunya senyap. Ada orang kata ISA ketinggalan zaman, tetapi akta ini sudah berkembang dan prosedur berubah berbanding peringkat awal.

Pihak yang menentang ISA menggesa mereka yang ditahan ISA diberi peluang membela diri. Sebagai contoh mereka yang ditangkap kerana menghasut didakwa mengikut Akta Hasutan.

Saya bercakap mengenai keselamatan. Sebagai contoh jika menghasut yang boleh menyebabkan keselamatan terjejas dan menimbulkan konflik terbuka atau sifat perkauman yang boleh membangkitkan kegelisahan awam, tindakan ISA akan digunakan.

Katakan seorang yang tidak suka orang Islam meletakkan daging babi di depan rumah orang Islam. Daging itu boleh dibuang sajalah, tetapi ini boleh mencetuskan perbalahan antara orang Islam dan bukan Islam. Begitu juga jika orang Islam mengatakan 'apalah sembahyang pada tokong atau bakar kertas'. Semua sifat tidak bertolak ansur terhadap fahaman berlainan boleh membangkitkan kegelisahan, kemarahan dan menjejaskan ketenteraman awam.

Kita boleh bertindak mengikut Akta Hasutan jika hasutan itu adalah hasutan biasa, tetapi keadaan berbeza jika hasutan menjejaskan keselamatan serta membawa kepada suasana permusuhan dan konflik terbuka, sama ada ia berlaku atau tidak adalah soal lain. Polis akan menganalisis sama ada ia akan berlaku atau tidak.

Antara dua perkara yang dianggap buruk (between two evils), lebih baik kita mencegah berbanding membiarkan rusuhan berlaku. Untuk membetulkan masyarakat selepas rusuhan berlaku adalah lebih susah seperti (pergaduhan antara kaum) di Kampung Medan (Selangor) dan Kampung Rawa (Pulau Pinang). Untuk membina mengambil masa, tetapi untuk meruntuhkan sekelip mata.

Di sebalik wujud tentangan, tangkapan mengikut ISA dilihat agak lewat ketika keresahan dan kebimbangan berhubung isu perkauman sudah lama meruap di kalangan masyarakat.

Saya sudah menjangka jika kita tidak mengambil tindakan, dikatakan gagal melaksanakan tugas. Kalau ambil tindakan, dikatakan sudah lambat. Pada saya, tindakan perlu dilihat kepada tahap. Jika tahap itu boleh lagi tolak ansur, pihak polis tidak mahu mengganggu kebebasan dan kemahuan masyarakat melaksanakan hak.

Polis cukup berhati-hati dan teliti kerana tahu bahawa ini menyentuh soal kebebasan dan hak individu. Saya sendiri sebelum menandatangani benda ini (dokumen ISA), mereka (pegawai bahagian ISA Kementerian Keselamatan Dalam Negeri) ditanya macam-macam soalan hingga pening kepala. Mereka kata Datuk ini susah!

Hendak menahan orang bukan suatu perkara mudah atau kita kata 'orang itu kena tahan, tahan dia'. Tidak boleh! Mesti kaji dengan teliti kerana ada penahanan mengikut ISA mempunyai sistem, iaitu penahanan boleh dipertikaikan, dibawa ke mahkamah, ada jaminan bahawa orang itu tidak teraniaya dan kita hendak tentukan dua keadilan apabila bertindak. Pertama keadilan kepada individu yang hendak ditahan.

Kita tidak menyalahgunakan kuasa serta memberi keadilan dan kesaksamaan. Kedua, jangan lupa bahawa masyarakat juga menuntut keadilan. Kita mesti adil kepada individu serta kepada masyarakat dan negara. Kita mesti saksama terhadap kedua-dua pihak supaya tidak menimbulkan keresahan yang akhirnya orang duduk saja dalam rumah dan malam lengang kerana orang dengan pelbagai kemungkinan. Alhamdulillah sejak merdeka, negara cukup selesa hingga kita lupa bahawa ISA banyak membantu.

Penangkapan wartawan Sin Chew Jit Poh, Tan Hoon Cheng dilihat agak ekstrem dan alasan untuk melindungi keselamatannya juga tidak diterima. Apakah pandangan Datuk Seri.

Saya fikir perkara ini dilihat dalam konteks terpisah. Keselamatan individu ialah jawapan kepada banyak soalan, tetapi yang utama dan telah dialihkan pandangan, jika dilihat temu bual saya ialah mengenai keselamatan.

Bukan keselamatan individu, tetapi secara keseluruhan. Sebagai contoh untuk membuat penangkapan seterusnya, polis kena mulakan dari sesuatu. Polis (dalam kes Tan) bermula dengan mendapatkan orang yang mula-mula menulis, adakah digunakan oleh orang lain untuk mengancam keselamatan, mengapa dia tulis itu, adakah unsur yang mempunyai perkara tersirat yang boleh menjejaskan keselamatan dan siapa yang terbabit. Jika polis hendak tangkap orang lain pun, dia kena berpunca dari sini (Tan).

Jika orang kata mengapa tidak mengambil tindakan terhadap orang tertentu, apabila hendak mengambil tindakan, kita kena kaitkan dan ada rangkaiannya. Jadi perlu ambil punca utama dan bukan kita hendak menahan dan melakukan keganasan terhadap dia.

Penahanan wartawan, sama seperti ahli politik dan peguam memang mendapat perhatian dunia antarabangsa. Soalnya, kita sayang negara atau lebih melihat kepada tekanan luar. Jika negara porak peranda, siapa yang hendak jaga. Orang luar?

Apabila Datuk Zaid Ibrahim (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri) sebagai anggota Kabinet, mempertikaikan penggunaan ISA dan kemudian meletakkan jawatan. Tidakkah ini melemahkan kewajaran tindakan kerajaan menggunakan ISA.

Saya fikir antara tradisi seluruh dunia ialah berpegang kepada tanggungjawab bersama. Jika kita mempunyai pegangan yang betul-betul berlainan di atas prinsip, memang saya fikir tindakannya adalah tepat kerana tidak boleh berkongsi pandangan yang sama.

Kita semua mempunyai pandangan masing-masing terhadap ISA. Saya sendiri mempunyai pandangan peribadi ketika mengamalkan undang-undang dan sebelum menjadi Menteri Dalam Negeri. Apabila saya menjadi sebahagian kumpulan yang bersama, paling penting kita hendak tentukan ialah tidak ada penyalahgunaan kuasa dan menentukan keselamatan negara diletakkan di atas segala kepentingan lain.

Ketika zaman Tun Dr Mahathir (Mohamad), ada anggota Kabinet membuat kenyataan berlainan daripada apa yang diputuskan berhubung pengambilan tanah di Johor untuk membuat Link Kedua.

Komen Dr Mahathir, 'kita ada keputusan dalam Kabinet, kalau sesiapa tidak bersetuju, tidak boleh menyokong keputusan bersama, cara terhormat ialah berhenti dari kerajaan'.

Saya fikir tindakan beliau berhenti (Zaid) adalah elok, tetapi kebanyakan orang apabila berhenti sepatut tidak pergi kepada pembangkang. Kebanyakan orang berhenti kerana ada prinsip, tetapi tetap ahli parti dan bersama kerajaan.

Jika dalam kerajaan, kita sentiasa membangkang, di mana semangat setia kawan? Kekuatan itu adalah tanggungjawab bersama sebagai tradisi yang dipegang oleh anggota Kabinet yang memang ramai peguam.

Ketika kerajaan menggalakkan kebebasan dan bersikap liberal terhadap kebebasan bersuara, ISA digunakan. Tidakkah ini mewujudkan pertentangan yang nyata.

Cuba lihat sejak diperkenalkan, berapa banyak surat khabar ditutup kerana ISA? Cuba lihat Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), kumpulan yang bukan saja dikatakan dimiliki parti pemerintah, tetapi mempunyai hubung kait dengan Umno, tetapi memberi laporan satu muka penuh kepada Zaid dan laporan penuh terhadap tangkapan ISA, memuatkan pandangan semua orang.

Lihat blog dan begitu juga surat khabar lain. Apa yang terkandung dalam The Sun dan Sin Chew Jit Poh? Saya fikir kebebasan cukup banyak.

Jangan mengambil satu kes dan salahkan ISA. Mana ada orang yang ketika menulis memikirkan ISA. Tidak ada! ISA tidak menjadi hambatan tetapi jangan kita menggunakan seolah-olah ISA menghantui kebebasan. ISA hanya datang apabila kita menjejaskan keselamatan. Hendak tulis sebebas-bebasnya, tetapi tidak bermakna bebas itu tidak patuh kepada undang-undang.

Raja Petra dalam temu bual bersama BBC berkata bahawa kerajaan hendak mengekang kebebasan internet. Saya cakap kebebasan tetap ada, tetapi dilaksanakan dalam konteks patuh kepada undang-undang negara. Takkan kita biarkan kebebasan hingga negara porak peranda. Kebebasan mesti dilaksanakan dengan tanggungjawab. Kebebasan mesti menghormati bukan saja hak kita, tetapi hak orang lain, menghormati sensitiviti.

Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dikatakan menyebabkan tidak ada kebebasan. Tetapi Malaysia adalah antara negara yang banyak surat khabar dalam pelbagai bahasa. Banyak pandangan dikeluarkan dalam surat khabar. Saya tengok sangat baik untuk sebuah negara sedang membangun, standard kita dalam sesetengah keadaan terutama di bawah Perdana Menteri sekarang sehebat negara maju.

Selepas 51 tahun merdeka, Datuk Seri melihat hubungan antara kaum masih menjadi masalah besar.

Kita boleh melihat Malaysia sebagai Malaysia dan tidak melihat dari kaca mata kaum atau memperjuangkan kepentingan kaum. Kita meletakkan integrasi sebagai agenda utama.

Masalahnya kita bercakap mengenai Malaysian Malaysia, tetapi hanya bercakap mengenai kepentingan kaum masing-masing. Ini bermakna pihak berkenaan mahu pewarnaan mengikut sudut kaum masing-masing.

Kalau macam itu, kita belum sampai tahap integrasi sebenar yang mahu dicapai. Integrasi bukan bermakna asimilasi. Kita tidak boleh asimilasi orang kerana kita dalam satu masyarakat majmuk. Kepelbagaian menjadi kekuatan kita.

Allah menjadikan orang Melayu cukup tinggi toleransi kerana mengambil unsur budaya lain dan diMelayukan. Budaya Melayu bukan budaya menekan, menerima semua unsur sebab itu boleh menjadi asas kepada keMalaysiaan.

Kedamaian tidak boleh dipaksa dari luar


Dilaporkan oleh akhbar-akhbar Malaysia beberapa waktu dahulu ialah cadangan membina jambatan antara Melaka dan Sumatera Timur. Tetapi oleh kerana pembinaannya merintangi Selat Melaka dianggarkan menelan belanja yang begitu besar sekali, maka tidak ada pihak menyahut cadangan tersebut.
Di samping itu di kalangan negara-negara ASEAN berlaku juga pembinaan “jambatan” lain, antaranya ialah:

- Rancangan Pembangunan Tiga Segi antara Indonesia-Malaysia-Singapura (1989) setelah cadangan dikemukakan oleh Goh Chok Tong, ketika itu Timbalan Perdana Menteri, Singapura. Tumpuan ditujukan kepada Wilayah Riau (Indonesia), selatan Negeri Johor dan Singapura seluruhnya. Ia diberi nama SIJORI.

- Rancangan pembangunan tiga segi antara Indonesia Malaysia-Thailand (1993), iaitu yang meliputi Wilayah Aceh, utara Malaysia dan Selatan Thailand.

- Rancangan Pembangunan antara Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (1994), iaitu melibatkan Brunei, Sabah, Sarawak, Labuan (Malaysia), Sulawesi Utara, Sulawesi Selatan, Maluku, Kalimantan, Sulawesi Tengah, Tenggara Sulawesi dan Irian Jaya (Indonesia) dan Pulau Mindanao, Wilayah Palawan (Filipina).

Hal ini disentuh dalam buku berjudul ASEAN Towards 2020 terbitan ISIS. Ertinya juga bukan Malaysia saja menuju matlamat Wawasan 2020. Turut menulis ialah Profesor Shaharil Talib dari Universiti Malaya, yang mengingatkan antara lainnya bahawa integrasi negara-negara ASEAN juga melibatkan jurusan kebudayaan, pelajaran, sukan, komunikasi, kewangan dan “lain-lain jabatan antara manusia.”

Lalu beliau menyebut tentang “Rumah Bichara” suatu institusi yang wujud pada zaman lampau untuk pelbagai kaum yang mendiami pulau-pulau yang berselerak jauh antara satu sama lain. Beliau mengulangi: “Adalah perlu dewasa ini memulihkan semangat rumah bicara itu di kalangan majlis-majlis bandaran.”

Profesor Shaharil juga menyebut mengenai bangsa Melayu dulu yang berucap dalam satu bahasa dalam urusan perdagangan. Bangsa Melayu merebak di gugusan kepulauan yang jauh, termasuk Minangkabau di Sumatera, Melayu di Selat Melaka, Jawa dan Sunda di Pulau Jawa, Makasar dan Bugis di Pulau Sulawesi, Tausug dan Tagalog di kepulauan Mindanao dan Luzon di Filipina.

Turut menulis ialah Nguyen Quang Tau dari Vietnam yang menyentuh peranan rakyat jelata: “Rakyat adalah pelaku sejarah, rakyat adalah akar umbi segalanya. Hakikat ini diakui sepanjang sejarah pelbagai negara dan bangsa dalam arus sejarah manusia adanya.”

Menurutnya lagi, jika dasar-dasar politik dan dasar-dasar pelbagai kerajaan boleh memenuhi kepentingan-kepentingan, aspirasi dan keperluan rakyat, maka rakyat akan menerima dan menjayakannya. Juga disebut mengenai ASEAN mempunyai penduduk sejumlah 500 juta, kaya dengan pelbagai hasil bumi.

Namun, tegasnya lagi, usaha untuk menyatukan rakyat negara-negara mestilah menginsafi perbezaan-perbezaan dan persamaan-persamaan mereka untuk mencapai persetujuan.

Juga menulis ialah Allahyarham Dr. Noordin Sopiee, dulu Pengerusi ISIS yang menyatakan harapan bahawa menjelang 2020, semoga wujud Komonwel ASEAN berdasarkan kemakmuran bersama. Matlamat pertama dan paling penting ialah kedamaian di setiap negeri kerana ia tidak boleh dipaksa dari luar. Tidak ada negara ASEAN akan benar-benar selamat kecuali ia dalam buaian kedamaian dan kerjasama serantau.

Menulis mengenai pelajaran-pelajaran dan kekhilafan masa lampau ialah Tun Thanat Khomon dari Thailand. Beliau menyebut mengenai “serangan Soros” ke atas mata wang negara-negara ASEAN, iaitu tindakan menghukum mereka kerana tidak mematuhi perintah Barat, khususnya Amerika, supaya tidak menerima keahlian Myanmar. Menurutnya, kelahiran ASEAN ialah kerana sokongan aktif dari Malaysia. Ia bermula dengan penubuhan ASA (Association of Southeast Asia) sebelumnya.

Dalam keadaan sekarang, ASEAN kelihatan sebagai kumpulan serantau yang berjaya sekali dalam dunia, selain Kesatuan Eropah. Ia lahir pada tahun 1967 dan Kongres Pertama ASEAN diadakan pada tahun 1992 di Kuala Lumpur bagi menyambut ulang tahunnya yang ke-25.
Dalam kenangan ialah lahirnya ASEAN dari “debu konfrontasi” seperti pernah diingatkan.

Antara maruah dan kuasa

Sejak kebelakangan ini seolah-olah terdapat satu gerakan terancang untuk memastikan mana-mana juga pihak yang cuba memperjuang atau mempertahankan institusi Melayu akan diserang habis-habisan.

Kelompok berkenaan akan dianggap perkauman dan lebih buruk lagi ada antaranya terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang yang dilihat seolah-olah cuba 'membisukan' mereka.

Akibatnya, bercakap soal kepentingan dan hak istimewa orang Melayu serta agama Islam seolah-olah satu dosa dan mereka yang terlibat perlu dihukum.

Tetapi hakikatnya, kita harus sedar apa yang cuba dilakukan oleh pihak-pihak berkenaan adalah satu strategi terancang untuk memastikan institusi-institusi Melayu terus diganggu gugat.

Keadaan ini samalah seperti di Singapura yang akhirnya Melayu tidak berupaya mempertahankan hatta adat resam mereka sendiri. Semua itu berlaku kerana orang Melayu telah 'diracuni' dengan pemahaman bahawa seandainya bercakap soal kepentingan mereka ia adalah satu perkauman.

Namun kalau dilihat terdapat puak-puak yang lebih perkauman daripada orang Melayu tetapi tidak pernah dianggap bersikap demikian. Malah kalau kita mengkaji blog-blog pembangkang mereka membangkitkan soal-soal yang lebih sensitif dan berbau perkauman.

Tetapi itu tidak pula dianggap perkauman sebaliknya akan disifatkan oleh pihak-pihak yang menyokong mereka termasuk di kalangan sesetengah pemimpin Melayu sendiri bahawa ia kebebasan bersuara. Apa yang paling memualkan ada di kalangan pemimpin yang mewakili parti yang memperjuangkan Islam turut mengikut rentak berkenaan.

Kononnya atas dasar memperjuangkan kesamarataan dan keadilan maka mana-mana pihak tidak harus membangkitkan soal hak-hak orang Melayu dan institusinya.

Mengulas perkara ini, Pensyarah Kanan politik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof.Dr.Mohamed Mustafa Ishak berkata, mana-mana pihak yang memperjuangkan identiti dan institusi bangsanya tidak boleh dianggap perkauman.

Katanya, semua kaum mempunyai identiti tersendiri dan mereka akan cuba mempertahankannya sedaya upaya.

''Contohnya orang Cina mereka pastikan akan mempertahankan tiga identiti penting kaum tersebut iaitu pertubuhan Cina, pendidikan Cina dan media Cina.

''Oleh itu tindakan tersebut tidak boleh dianggap perkauman, begitu juga apabila orang Melayu mempertahankan identiti mereka,'' katanya ketika dihubungi.

Diakui

Walaupun fakta ini diakui oleh semua pihak terutamanya parti pembangkang namun mereka sengaja melupakannya.

Malah mereka cuba memastikan pihak-pihak yang memperjuangkan identiti atau institusi Melayu ini 'tidak hidup selesa', sedikit sahaja suara dilahirkan maka meraunglah mereka menuduh bahawa pihak itu atau pihak ini mengamalkan perkauman.

Apa yang malang, pandangan songsang itu turut disokong oleh pemimpin- pemimpin politik Melayu yang bukan sahaja bersengkongkol dengan puak tersebut malah mereka sendiri bertanggungjawab mengatur strategi bagi menggugat institusi Melayu.

''Orang Melayu perlu faham bahawa apa pun berlaku mereka harus mempertahankan jati diri. Tidak adalah masalah untuk mencapai permodenan tetapi dalam masa yang sama jati diri jangan dilupakan,'' kata Mohamed Mustafa.

Berdasarkan hakikat itu, beliau turut membidas sikap sesetengah pemimpin Melayu yang sanggup mengorbankan sesetengah perkara berkaitan dengan jati diri orang Melayu semata-mata untuk mengejar kemajuan.

''Kita tidak mahu suatu hari kelak orang Melayu menjadi bangsa Creole - satu puak di Afrika yang sudah kehilangan identiti bangsa mereka,'' katanya.

Selain itu, Dr. Mohamed Mustafa berharap masyarakat Malaysia terutama generasi baru perlu memahami bahawa Malaysia bukan bermula pada tahun 1963 atau ketika 1957 tetapi Malaysia sudah bermula ratusan tahun lalu.

''Sebab itulah saya hairan kenapa soal tulisan Jawi di papan tanda jalan perlu menjadi isu, ia sebenarnya sudah menjadi identiti negara ini sejak berpuluh- puluh tahun lalu,'' katanya.

Persoalannya, apakah pemimpin-pemimpin Melayu yang bersengkongkol dengan pihak yang ingin 'memusnahkan' institusi Melayu ini memahami keadaan tersebut? Dan adakah mereka faham bahawa apa yang bakal mereka lakukan mampu menggugat nasib anak cucu kita di masa depan?

Berdasarkan hakikat itu, Dr. Mohamed Mustafa turut membidas pihak tertentu yang memboikot mana-mana pihak yang memperjuangkan Melayu termasuk pemulauan ke atas akhbar Utusan Malaysia kerana dianggap rasis.

''Kalau itulah pemahaman mereka, bagaimana dengan akhbar Cina, tidakkah ia juga rasis kerana mereka turut memaparkan kepentingan masyarakat itu,'' katanya.

Malah kata beliau berbanding dengan Utusan Malaysia, akhbar Cina sepatutnya boleh diragui kerana ramai rakyat negara ini tidak boleh membacanya.

''Jadi adalah lebih baik jika kita tidak menuduh mana-mana akhbar berbentuk perkauman,'' katanya.

Ketika berbual politik dengan seorang pemimpin kanan UMNO, di Shah Alam baru-baru ini, beliau melahirkan rasa bimbang dengan kedudukan orang Melayu sekarang.

Katanya, orang Melayu seolah-olah tidak bertaring lagi sehingga ada pihak yang sanggup mempersoalkan hak-hak mereka. Malah kata beliau, dalam keadaan tertentu orang Melayu bagaikan ditekan untuk membuat keputusan demi memuaskan hati pihak lain, jika tidak kuasa politik mereka akan tergugat.

''Dalam situasi itu kita berada di persimpangan iaitu antara kuasa dan maruah, semua ini terjadi kerana ada orang Melayu yang masih belum sedar bahawa mereka kini semakin diperlekehkan,'' katanya.

Atas sebab itu kata beliau, orang Melayu tidak boleh terlalu mudah bersubahat dengan kelompok yang mempunyai hasrat menganggu gugat institusi-institusi Melayu ini.

Katanya, puak-puak berkenaan melakukan tindakan secara senyap dan berjaya mempengaruhi orang Melayu menyokong mereka melalui hujah-hujah politik yang disampaikan.
Sedar

Justeru kata beliau, UMNO perlu sedar terhadap ancaman ini bukannya terus berebut jawatan sesama mereka.

Malah beliau berkata, dalam menentukan pemimpin dalam pemilihan pada Disember ini, ahli UMNO perlu memastikan mereka memilih pemimpin yang berprinsip dan hipokrit dalam perjuangan.

''Kita bimbang kalau pemimpin hipokrit yang dipilih, perjuangan untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu termasuklah institusinya tidak akan ke mana,'' kata beliau.

Namun apa pun keadaannya, tanpa berhasrat mencetuskan sebarang sentimen perkauman, orang Melayu perlu diingatkan tentang bahaya yang sedang menanti mereka. Pemimpin-pemimpin politik Melayu tertentu tidak harus mengorbankan kepentingan dan maruah bangsa semata-mata demi meraih kuasa politik.

Mereka tidak harus menganggap orang yang dikenakan tindakan undang- undang kerana cuba menghina dan menganggu gugat institusi orang Melayu dan Islam seolah-olah seperti wira.
Apa pun keadaannya, adalah diharapkan orang Melayu akan memahami situasi yang sedang mereka hadapi.

Mereka tidak harus leka dengan mengejar kuasa politik sehingga terlupa ancaman yang sedang menanti. Selain itu mereka juga tidak harus takut mempertahankan apa yang dianggap hak mereka asalkan tindakan berkenaan tidak menggugat kaum-kaum lain.

Ingatlah Malaysia mencapai kemerdekaan dengan perpaduan yang dicapai oleh semua kaum tetapi asas kewujudannya yang bermula dengan Tanah Melayu beratus tahun lalu sebelum kedatangan Portugis tidak harus dilupakan.

Pertahan Perkara 153

Perkembangan politik negara selepas pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 menyaksikan pelbagai perkara yang sepatutnya tidak menjadi pertikaian kini mula dipersoalkan. Satu demi satu perkara yang berkaitan dengan orang Melayu dan umat Islam terus menjadi sasaran pihak tertentu terutama parti pembangkang dalam usaha kononnya untuk mewujudkan kesamarataan antara kaum di negara ini.
Akibatnya, apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mula menjadi sasaran serangan, malah demi kepentingan politik, parti-parti pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus melakukan tindakan yang cenderung ke arah menggugat apa yang sudah ditentukan oleh Perlembagaan. Antara yang paling menjadi sasaran ialah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak-hak keistimewaan orang Melayu. Kononnya atas prinsip untuk menegakkan kesamarataan dan keadilan, peruntukan ini cuba diganggu gugat. Tanpa mahu menoleh kepada sejarah pahit getir mewujudkan Perkara 153, desakan terus ditujukan seolah-olah mahu menjadikan peruntukan ini hanya menjadi catatan sejarah.

Justeru dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan ZULKIFLEE BAKAR, Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik mengingatkan, Perkara 153 bukan sebarangan peruntukan dalam Perlembagaan malah ia menjadi tonggak utama dalam penggubalan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Justeru tegas beliau sebarang usaha untuk menghapuskan DEB sama seperti ‘membunuh’ Perkara 153 yang memberi peruntukan istimewa kepada orang Melayu.

Berdasarkan hakikat itu, dalam pertemuan yang sebahagian hujah beliau berkisar kepada rentetan sejarah terhadap cabaran mempertahankan Perkara 153 melalui semangat DEB, bekas Ketua Menteri Melaka dan Ketua Pemuda UMNO tersebut mengingatkan orang Melayu bahawa penghapusan DEB dan Perkara 153 adalah sebahagian usaha untuk menjadikan negara ini sebuah republik. Usaha ini ada kaitannya dengan konsep Malaysian Malaysia.

Mingguan: Apa kaitan perjuangan untuk menegakkan DEB dalam hubungannya dengan kewujudan peruntukan 153 dalam Perlembagaan?

ABDUL RAHIM: Sebagaimana kita maklum penggubalan DEB dicetuskan di era Almarhum Tunku Abdul Rahman. Ini adalah satu permulaan perjuangan ekonomi bangsa setelah 450 tahun di dalam sejarah ketamadunan Melaka.

Melaka pada masa itu merupakan satu tamadun Melayu yang amat cemerlang. Ia adalah usaha bagi menterjemahkan satu kehebatan Melayu menjadi tamadun yang diiktiraf oleh ahli-ahli sejarah dunia. Perjuangan ekonomi di Melaka bermula apabila orang Melayu menunjukkan kebolehan dengan mentransformasikan sebuah kampung nelayan yang kecil di muara Sungai Melaka menjadi satu bandar kemakmuran yang mampu menarik pelabur-pelabur di rantau ini dan luar sehingga ke Timur Tengah.

Tidak mungkin orang Melayu dapat menjadikan Melaka sebagai satu kuasa penakluk dan pusat ilmu kecuali kebolehan orang Melayu mengeluarkan pemimpin, pengurus dan pekerja yang baik - inilah yang menyusun sesebuah tamadun.

Apabila kita kalah kepada Portugis pada 1511, kita lihat orang Melayu mula dipinggirkan dengan tinggal di kampung-kampung dan bergelumang dengan aktiviti-aktiviti yang tidak produktif.

Oleh kerana ketika itu kita mengamalkan sistem feudal orang Melayu tidak mampu produktif kerana hasil mereka akan diberikan separuh kepada raja dan juga orang-orang besar. Akibatnya orang Melayu hidup dalam keadaan daif, miskin, papa dan kedana.

Hanya pada zaman Allahyarham Tun Razak Hussein, penggubalan terhadap DEB dibuat atas kefahaman bahawa adanya Perkara 153 dalam Perlembagaan yang memberikan hak istimewa orang Melayu. Peruntukan itu termasuklah dari segi pemberian permit, biasiswa, agama Islam, bahasa kebangsaan dan kedaulatan raja-raja Melayu.

Semua itu telah mendorong DEB digubal. Langkah mewujudkan DEB itu bertujuan bagi memastikan pembelaan terhadap orang miskin yang selama 450 tahun tertekan di bawah tapak kaki penjajah.

Atas sebab itulah dalam sejarah moden Malaysia, perjuangan ekonomi bangsa bermula apabila DEB digubal. Ini kerana DEB bertunjangkan pembanterasan kemiskinan dan juga penyusunan semula masyarakat. Ia wujud daripada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan ia mampu dipertahankan biarpun menghadapi pelbagai cabaran dan kecaman daripada pihak tertentu hari ini.

Bagaimana pula kita hendak menegakkan Perkara 153 ini sebagai pengiktirafan kepada hak pribumi bumiputera terhadap negara ini?ABDUL RAHIM: Ia ada kaitan dengan kewujudan Melaka, negeri itu dalam sejarah sebenarnya adalah tamadun yang diperakui oleh dunia dan dalam pembentukan tamadun ini kita mempunyai proses sejarah sebagai pribumi.
Mungkin ada yang bertanya kenapa Melayu jadi penduduk asal? Kenapa tidak Orang Asli yang lebih awal tidak diiktiraf sebagai memulakan tamadun? Mengikut pengukuran sejarah sesuatu bangsa itu kebolehan mewujudkan satu tamadun akan menjadi asas pengiktirafan. Dari segi sejarah, pengiktirafan pribumi diberikan kepada orang Melayu kerana kita terawal, biarpun ada Orang Asli. Ini kerana mereka tidak mewujudkan ketamadunan.


Dalam mewujudkan Perkara 153 dalam Perlembagaan ia bukanlah satu perjuangan yang mudah kita capai. Saya ingin memperbetulkan kesilapan pandangan majoriti mengenai filem Hati Malaya. Filem itu menggambarkan seolah-olah perjuangan menegakkan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalam ada Perkara 153 hanya berlaku apabila wujud UMNO dan Tunku Abdul Rahman.

Tetapi sebenarnya perjuangan mewujudkan Perlembagaan Malaysia yang di dalamnya terkandung Perkara 153 ialah perjalanan sejarah yang lebih jauh daripada ketika wujudnya kumpulan Tunku Abdul Rahman mengambil alih pentadbiran UMNO daripada Dato’ Onn Jaafar.

Ertinya perjuangan menegakkan Perkara 153 itu lebih awal?

ABDUL RAHIM: Ia lebih awal kerana Tunku Abdul Rahman hanya muncul di penghujung. Apa yang saya ingin katakan perjuangan untuk mewujudkan Perkara 153 ini sudah bermula pada zaman komunis lagi. Inilah cabaran pertama. Apabila Bintang Tiga keluar dari hutan ia adalah permulaan kepada satu usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah republik.

Bintang Tiga telah membunuh orang Melayu kerana mengesyaki mereka bersubahat dengan orang Jepun. Kemudian apabila Bintang Tiga sudah membalas dendam dia berhasrat untuk mengisi kekosongan pemerintahan negara ini dengan menjadikan ia sebuah republik.

Maknanya, langkah itu akan memberi pengiktirafan yang sama rata kepada orang Melayu, India dan Cina. Walaupun Bintang Tiga ini ditentang keras namun mereka masih berjaya mempengaruhi orang Melayu. Apa yang perlu difahami seandainya republik diwujudkan maka dengan sendiri Perkara 153 tidak akan wujud.

Malang dalam usaha ia cuba menterjemahkan negara ini menjadi sebuah republik, orang yang sama menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) tetapi dengan babak berbeza. Inilah cabaran kedua kepada orang Melayu kerana matlamat PKM sama iaitu menjadi Malaya sebuah republik.

Semasa menentang pengganas komunis ini, kita terpaksa mengisytiharkan darurat dari tahun 1946 sehingga 1960.

Perbuatan PKM ini adalah satu pukulan kepada sistem politik yang berasaskan kepada Keluhuran Perlembagaan yang mana Perlembagaan itu mempunyai satu peruntukan yang memberikan pengiktirafan kepada penduduk-penduduk pribumi. Ribuan warga keselamatan kita gugur dari 1946 hingga 1960 dan mereka ini bukanlah mati katak. Mereka mati untuk mempertahankan Malaya yang harus dibentuk dengan Perlembagaan tertentu yang mana ia memberikan pengiktirafan kepada pribumi.

Titisan darah wira-wira yang terkorban harus direalisasikan dengan menegakkan satu Perlembagaan yang memberi pengiktirafan kepada pribumi. Kita mesti hargai pengorbanan mereka yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan. Orang ini menjadi asas yang membolehkan pemimpin-pemimpin bergerak untuk mencapai tahap lebih tinggi iaitu merdeka.

Siapa mereka tidak pernah dan jarang disebut. Walaupun mereka dilihat berjuang demi mempertahankan kedaulatan Malaya, tetapi di jiwa sanubari mereka ialah untuk melihat kewujudan sebuah Malaya yang mana Melayu menjadi asas dan tonggaknya.

Cabaran ketiga yang dihadapi oleh DEB yang berkaitan dengan Perkara 153 ialah apabila British cuba mewujudkan Malayan Union. Sebenarnya Malayan Union adalah satu konsep republik seperti mana yang diperjuangkan oleh Bintang Tiga dan juga PKM. Sebab itulah dalam Malayan Union terdapat peruntukan untuk memberi hak kerakyatan berdasarkan Jus soli – ertinya siapa sahaja yang berpijak di bumi Malaya maka ia akan menjadi rakyat Malaya.

Apa sebenarnya yang dilakukan oleh British sehingga ia dilihat boleh menggugat Perkara 153 tersebut?

ABDUL RAHIM: Gabenor British pada masa itu mempengaruhi Dato’ Onn Jaafar untuk memastikan parti UMNO yang ditubuhkan oleh Dato’ Onn itu yang menggabungkan segala kekuatan orang Melayu dapat dibendung melalui Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR).

British mempengaruhi Dato’ Onn dan mendesak beliau supaya UMNO mesti boleh menerima bukan Melayu apabila berbuat demikian ia bermakna menerima Malayan Union. British menjalankan satu politik yang memperalatkan Dato’ Onn Jaafar melalui platform UMNO.

Konsep Malayan Union ini sama seperti mana konsep yang diperjuangkan oleh Bintang Tiga dan Parti Komunis Malaya (PKM). Gabenor British memberi syarat kalau Datuk Onn ingin melihat Tanah Melayu merdeka, orang lain harus mempunyai hak sama dengan orang Melayu.

Pendekatan ini juga cuba membuka keahlian UMNO pada masa itu kepada orang bukan Melayu supaya UMNO menjadi landasan untuk memilih kemerdekaan melalui gagasan Malayan Union.

Tetapi apabila orang Melayu tahu kedudukan raja tidak dihormati, hak keistimewaan orang Melayu tidak dihargai dan soal agama dipinggirkan maka mereka menolak idea tersebut dan Datuk Onn Jaafar. Semua itu adalah cabaran ketiga dalam kita hendak mempertahankan Perkara 153. Nasib baik orang Melayu membuat keputusan menolak cadangan British tersebut kalau tidak UMNO akan menjadi seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Semua itu adalah hasil pengorbanan orang Melayu, orang Melayu kena bunuh bersubahat dengan Jepun dan Bintang Tiga, orang Melayu dibunuh oleh PKM yang hendak menjadikan Tanah Melayu republik dan orang Melayu cuba diperkudakan oleh British dengan memanipulasikan UMNO.

Dalam soal konsep Malaysian Malaysia, tidakkah ia turut menjadi cabaran dalam mempertahankan hak istimewa orang Melayu?

ABDUL RAHIM: Itu merupakan cabaran keempat dalam usaha kita mempertahankan Perkara 153. Ia berlaku apabila Lee Kuan Yew yang menubuhkan PAP memperkenalkan konsep Malaysian Malaysia – konsep ini sebenarnya dijenamakan semula kerana matlamatnya sama iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara republik.

Ertinya, mereka tidak dapat menerima kewujudan Perkara 153, apabila mereka berbuat demikian bermakna mereka tidak dapat menerima DEB. PKR kata hendak ganti DEB kepada Agenda Ekonomi Malaysia.

Jika dikaji Kuan Yew pada masa itu menggempur kekuatan UMNO dan Perikatan di Semenanjung. Kedudukan itu menyebabkan orang Melayu tercabar buat kali keempat dalam sejarah kita. Apa yang dikemukakan oleh Kuan Yew pada masa itu disokong oleh semua orang Cina Singapura dan jika ia disambut oleh orang Cina di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mungkin falsafah Malaysian Malaysia itu akan menjadi kenyataan.

Kini kita menempuh cabaran kelima apabila secara terang-terangan konsep Malaysian Malaysia atau konsep keadilan dan kesamarataan cuba diperjuangkan oleh PKR dan ia cuba menjadikan perkara itu sebagai asas tonggak kepada sistem kenegaraan, ertinya Melayu tidak lagi menjadi tonggak.

Dalam sejarah dunia tidak ada banyak negara dalam tempoh 30 tahun boleh mentransformasikan negara kepada keadaan yang lebih elok. Terlalu banyak negara yang mencapai kemerdekaan sebelum Malaysia terus dicengkam dan diabdikan oleh negara besar.

Dalam berhadapan situasi seumpama itu, apa yang seharusnya kita lakukan?

ABDUL RAHIM: Kita perlu memperkukuhkan ekonomi negara ini. Ia kerana ekonomi menjadi ukuran kekuatan dan maruah sesebuah negara. Lihatlah Singapura, saiznya mungkin sama besar dengan negeri Melaka tetapi saiz ekonominya sama dengan Malaysia. Semua ini didorong oleh saiz ekonomi. Jepun kalau dibandingkan dengan saiz negara China sangat kecil tetapi kenapa Jepun dipandang sangat besar sama dengan Amerika Syarikat (AS)? Semua itu kerana saiz ekonominya.
Kita melihat bahawa Anwar dan PKR menganggap dengan adanya DEB dan Perkara 153 ia adalah satu unsur yang mengukuhkan dominasi orang Melayu dalam sistem politik kita. Sejarah telah meletakkan Perlembagaan kita yang dalamnya ada Perkara 153 dan dari Perkara 153 melahirkan DEB yang membawa pembelaan kepada orang miskin, daif dan terhina ini. Peminggiran golongan ini yang dilakukan sejak 1511 telah meningkat kepada satu tahap yang begitu hebat. Walaupun sama-sama naik tetapi masih terdapat banyak lagi lompang antara kaum, jurang antara luar bandar dengan bandar.

Pada pandangan Tan Sri apa muslihat di sebalik usaha Anwar hendak menggugat DEB itu?

ABDUL RAHIM: Anwar yang membawa satu ideologi baru melihat ada bukti-bukti yang boleh dieksploitasi kerana perjuangan orang-orang dulu melahirkan satu perlembagaan yang ada Perkara 153. Selagi DEB yang mentranformasikan golongan miskin ini menjadi kumpulan sederhana dan makmur terus wujud, selagi itulah tidak ada parti yang dapat menggantikan UMNO. Maknanya dominasi Melayu dalam sistem politik kita akan kekal sampai bila- bila.
Strategi PKR ialah mesti memperlekehkan DEB dan mengubah dasar ini supaya jangan menjadi satu pembuktian yang kuat bahawa perjuangan kita memberi kerakyatan kepada orang bukan Melayu ini dapat diketepikan untuk membolehkan PKR mendominasikannya.
Mereka menggunakan alasan kononnya globalisasi dan nilai-nilai universal, ini telah banyak mempengaruhi golongan muda kita yang buta tentang laluan sejarah. Kalau kita sendiri tidak memberikan penghargaan terhadap pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu yang gugur yang membolehkan asas Perlembagaan yang mengandungi Perkara 153, generasi muda kita senang dipengaruhi. Sebab itu Anwar berhasrat menghancurkan dan memusnahkan DEB dengan mewujudkan Agenda Ekonomi Malaysia.

Jadi apa yang perlu dilakukan oleh orang Melayu dalam berhadapan dengan agenda ekonomi seumpama itu?

ABDUL RAHIM: Agenda Ekonomi Malaysia yang akan dilancarkan adalah satu pengisytiharan yang mesti ditolak. Filosofi dalam agenda itu ialah memberi pengiktirafan kepada semua kaum dengan kaedah pengagihan yang berlainan dengan DEB. DEB lebih kepada status sosial sesuatu kaum.

Kalau bumiputera 65 peratus haknya lebihlah dengan kaum yang 25 peratus atau tujuh peratus. Kita mestilah mengikut keadilan kependudukan. Tetapi asas Agenda Ekonomi Malaysia ialah pengagihan yang sama rata. Itu bukan keadilan tetapi kesamarataan yang diasaskan oleh agenda berkenaan yang berbeza dengan DEB.

Pas yang ada dalam Pakatan Rakyat pula meletakkan perjuangan Islam lebih daripada perjuangan kaum. Mereka tidak peduli tentang kedudukan bahasa Melayu atau ketuanan Melayu kerana pendekatan kepada Islamik cara Pas.

Jadi dari segi keperluan mikro mungkin perjuangan itu universal pendekatan Islam. Sedangkan perjuangan untuk mengangkat martabat memerlukan pendekatan makro untuk melihat setiap strategi itu disusun. Ini kerana budaya, sejarah dan latar belakang kita berlainan dan memerlukan pendekatan yang lebih efektif untuk mengangkat martabat.

Mungkin orang tertanya-tanya kenapa baru sekarang Tan Sri bercakap tentang rentetan sejarah DEB ini?

ABDUL RAHIM: Saya perlu sebutkan perkara ini supaya rakyat Malaysia faham tentang laluan sejarah. Dalam memahami cita-cita untuk untuk lebih makmur dan berilmu, pada masa yang sama kita telah lupa pengorbanan golongan terdahulu terutama wira-wira kita dan orang Melayu yang telah banyak terkorban dalam menegakkan perlembagaan Malaya ketika itu.
Seharusnya ada satu penghargaan terhadap apa yang telah kita buat pada masa yang lalu tentang cita-cita, pengorbanan dan titisan darah sehingga Tunku Abdul Rahman berjaya menuntut tarikh kemerdekaan kita pada 31 Ogos 1957. Jika kita tahu laluan sejarah, soal kontrak sosial atau DEB tidak menjadi debat. Tetapi kini bukan saja debat tetapi nak menghapuskan kedudukan ini. Jadi 16 September itu bukan hari keramat tetapi “hari kiamat”.
DEB bukan menindas kaum lain tetapi sebaliknya untuk membela kaum yang lemah. Kebetulan yang banyak lemah dan papa kedana ialah orang Melayu. Perjuangan yang dibawa oleh PKR ini harus difahami oleh rakyat Malaysia yang rasional serta mempunyai kebijaksanaan membuat keputusan.

Tetapi sokongan kepada PKR ini juga turut diberikan oleh orang Melayu, adakah mereka tidak tahu sejarah ini?

ABDUL RAHIM: Mungkin tidak tahu sejarah. Mungkin juga tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku sekarang. Orang ini lebih mudah dikembalikan kefahaman dan penghayatan bagaimana kita harus membina semangat patriotisme berasaskan kepada laluan sejarah kita yang jelas. PKR bukan memperjuangkan sesuatu yang baru atau landskap politik yang baru. Ini yang kelima dalam siri untuk menghancurkan kedaulatan dan kedudukan Melayu dalam negara kita.

Apakah nasihat Tan Sri kepada orang Melayu?

ABDUL RAHIM: Kita harus menghargai sejarah mengenai betapa susahnya menghadapi keganasan untuk menegak apa yang ada pada hari ini yang telah teruji sejak 51 tahun kita merdeka.