Monday, June 15, 2009

Masalah Sosial Remaja : 'Jiwa kosong, dahaga perhatian’'

PEGANGAN agama yang longgar serta penekanan ibu bapa yang terlalu mementingkan pencapaian akademik adalah antara penyebab utama jiwa pelajar tertekan lalu mudah terjebak dalam kejadian tidak diingini termasuk jenayah. Tidak cukup dengan itu, pelajar yang rata-ratanya berada dalam lingkungan usia kritikal turut tertekan akibat kesuntukan masa - menghadiri sesi persekolahan biasa pada waktu pagi atau petang disusuli sekolah agama atau kelas tuisyen yang perlu diikuti.

“Ini menjadikan kehidupan mereka amat tertekan. Jadual mereka padat dengan tanggungjawab akademik serta perlu memenuhi tuntutan ibu bapa sepanjang masa.

“Jiwa mereka kosong kerana tidak mempunyai masa untuk diri sendiri seperti relaks atau melakukan kegiatan yang diingini. Keadaan mungkin dapat dielakkan jika mereka mempunyai pegangan agama kerana jiwa dan rohani mereka terisi,” kata pakar motivasi remaja, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, ketika dihubungi baru-baru ini. Berikutan itu, mereka menjadikan kesempatan menemui atau lepak bersama rakan-rakan di dalam atau luar sekolah, sebagai saluran melepaskan tekanan.

“Keadaan bahaya apabila mereka tidak pedulikan latar belakang rakan, asalkan boleh serasi. Jika rakan yang baik, tidak mengapa, tetapi andai kawan yang digauli itu nakal, ia boleh menarik pelajar itu terjebak sama.”

Faktor lain, katanya, adalah disebabkan keadaan diri pelajar sebagai golongan ‘pencari perhatian.’

“Pelajar bukan saja golongan yang suka mencuba pelbagai perkara baru. Tetapi mereka juga dahagakan perhatian, biarpun caranya berbeza antara satu individu kepada yang lain. Bagi pelajar cerdik, masalah itu tidak timbul kerana mereka sentiasa dipuji.

“Tetapi bagaimana dengan pelajar yang tidak pernah dipuji guru mahu pun ibu bapa sendiri? Ini menyebabkan ada di antara sanggup melakukan perkara seperti jenayah dan seterusnya dipuji rakan dalam kumpulan itu.

“Jika dihukum di khalayak ramai sekali pun, ada di antaranya berasa seronok dan bangga kerana sudah mendapat perhatian pelajar lain.”

Katanya, perkembangan masa kini yang menyaksikan kemudahan maklumat di hujung jari, juga mendedahkan pelajar kepada pelbagai pengaruh bahaya. Dr Tengku Asmadi menyifatkan usia 14 hingga 15 tahun sebagai tempoh paling kritikal kerana pelajar itu dalam proses menuju keremajaan dan mencari identiti.

“Apa juga pengaruh yang datang, mudah meresap masuk. Keadaan mungkin sebaliknya jika mereka mempunyai benteng pertahanan diri dan mental hasil kekuatan rohani serta asuhan ibu bapa yang baik.” Bagi menangani masalah ini, beliau berkata, ia seharusnya bermula di rumah dan barulah diikuti peranan guru dan sekolah.

“Ibu bapa perlu sedar mereka yang menetapkan acuan dan seterusnya diisi guru dan bahan lain yang menjadi sumber rujukan pelajar. Andai acuan itu lemah, sudah pasti diri pelajar itu juga goyah dan bermasalah," katanya.

Aib juvana remaja

Remaja makin bangga, seronok buat jenayah

MEREKA mencuri, merogol, menjual diri, membunuh selain terbabit pergaduhan dan samseng. Ini bukan profil penjenayah yang diburu mahupun sudah bergelar banduan, sebaliknya senario terkini golongan pelajar yang kian membimbangkan.

MEREKA sanggup mencuri, merogol, menjual diri serta membunuh selain terbabit dalam pergaduhan dan samseng. Malah ada yang bertindak di luar batasan adab dan pegangan apabila sanggup menjual diri pada harga serendah RM50 setiap pelanggan untuk mendapatkan wang.

Ini bukanlah profil penjenayah yang diburu mahupun sudah bergelar banduan, sebaliknya senario terkini golongan pelajar yang kian membimbangkan.

Pelajar yang menjadi harapan sebagai generasi pelapis dan sepatutnya bergelut memperlengkapkan diri menjadi insan serba boleh demi masa depan, sebaliknya mencurah tumpuan dan masa muda berharga dengan melakukan pelbagai jenayah seperti mereka yang bertaraf profesional.

Atas alasan mahu mendapatkan populariti, meraih wang mudah serta mendapat perhatian rakan sebaya, pelajar berusia 13 hingga 18 tahun ini sudah tidak lagi malu melakukan jenayah.

Silap jika ada yang beranggapan ini trend semasa bersifat sementara dan hanyalah gelojak jiwa muda remaja yang lebih suka mencuba perkara baru.

Buktinya, statistik serta kajian pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi tempatan, menunjukkan betapa jenayah pelajar di dalam mahu pun di luar sekolah, bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan. Ia diakui sendiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, minggu lalu yang memetik statistik menunjukkan peningkatan kes jenayah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri dan kesalahan lain membabitkan anak muda itu.

Selain peningkatan kes, jumlah tangkapan pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun juga turut mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Buktinya, bagi sepanjang 2007, sejumlah 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan. Angka itu meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes tahun lalu yang menyaksikan seramai 3,725 pelajar ditahan.

Belum pun reda kejutan akibat kenyataan Musa, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pula mendedahkan, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini saja, seramai 295 pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun terbabit pelbagai kes jenayah termasuk membunuh. Sambil mengakui trend itu amat membimbangkan, Lee berkata kebanyakan pelajar itu terbabit dalam kes curi motosikal selain kes pecah rumah, mencederakan orang lain dan rogol.

Lebih menyedihkan, walaupun kelab pencegahan jenayah sudah dilancarkan di 3,764 sekolah sejak 1994, ia ternyata tidak berjaya membendung kadar peningkatan jenayah di kalangan pelajar.

Keadaan juga tiada jauh bezanya di sekolah. Hasil kajian Petunjuk Keselamatan dan Jenayah di Sekolah anjuran Universiti Malaya yang diumumkan tahun lalu, menunjukkan empat masalah utama di sekolah adalah kecurian, buli, pergaduhan dan gangsterisme atau samseng.

Kajian setahun pada 2006 - 2007 dilakukan Pensyarah Fakulti Pendidikan UM Profesor Madya Dr Tie Fatt Hee, membabitkan 740 responden di kira-kira 12 sekolah di Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

"Kajian awal ini cuma membabitkan pelajar berusia 16 tahun yang disifatkan tahap usia penting sebelum memasuki Tingkatan Lima dan seterusnya menyertai masyarakat. Apa yang boleh dirumuskan, jenayah di sekolah tetap berlaku sama ada di kawasan bandar mahu pun luar bandar.

"Bagi saya, perkembangan ini amat membimbangkan biarpun hakikatnya jenayah di sekolah ini masih dianggap terkawal jika dibandingkan dengan bilangan murid di seluruh negara," kata Dr Tie ketika ditemui, baru-baru ini.

Lebih membimbangkan, katanya, 46 peratus responden itu mengakui pembelajaran mereka terganggu akibat ancaman jenayah di sekolah yang sekali gus boleh menjejaskan pencapaian akademik mereka.

"Kita perlu ingat, masalah disiplin di sekolah ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba sebaliknya ia membabitkan proses yang berpanjangan. Seperti juga penyakit, ia mempunyai simptom atau petanda awal tertentu yang perlu ditangani seberapa segera.

"Jika ia dibiarkan melarat, tanpa sebarang tindakan oleh pihak sekolah, jenayah ini boleh melarat melangkaui kawasan sekolah."

Dr Tie yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan dan undang-undang, berkata apa yang menyedihkan, majoriti pelajar yang ditemui menerusi kajian itu, mengakui menjadikan kawan atau rakan sebagai rujukan utama dalam sistem sokongan mereka. "Di mana peranan ibu bapa dan guru-guru yang sepatutnya di hierarki atas sistem sokongan itu dan menjadi tempat utama pelajar mengadu masalah mereka?

Ini jelas menjadi satu kepincangan kerana kita perlu sedari, ada bahayanya apabila pelajar menjadikan rakan sebagai pakar rujuk mereka, terutama jika rakan itu juga bermasalah.

" Sehubungan itu, beliau menegaskan, sudah tiba masanya semua pihak - ibu bapa, sekolah dan masyarakat menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah jenayah di kalangan pelajar ini.

"Guru yang menyedari pelajar bermasalah perlu segera memaklumkan kepada pihak sekolah bagi tindakan susulan termasuk memanggil ibu bapa dan pihak polis. Ibu bapa pula harus bersikap prihatin apabila dipanggil dan bukannya menuding jari ke arah pihak sekolah.

"Selain itu, kita juga harus menerapkan kepentingan kaedah pendidikan berkaitan undang-undang yang mana pelajar didedahkan dengan jenayah dan jenis hukuman serta hak mereka," katanya.


INFO: Masalah juvana

5.4 juta pelajar di seluruh negara

Indeks pembabitan pelajar dalam jenayah 0.03 peratus berbanding jumlah keseluruhan
Usia pelajar bermasalah 13 - 18 tahun

Statistik polis:
2007 - 1,837 kes jenayah dan 3,383 pelajar ditahan;
2008 - Meningkat kepada 2,218 kes dan 3,725 pelajar ditahan.

Kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Malaysia, 48.1 peratus mat rempit berpunca akibat kebosanan, 38 peratus bertujuan mengisi masa lapang dan 27.8 peratus dipengaruhi kawan.

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia - Seramai 295 pelajar terbabit dalam pelbagai jenayah sepanjang tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Kajian Universiti Malaya - masalah disiplin utama di sekolah adalah kecurian, buli, pergaduhan dan gangsterisme.

Isu bahasa Inggeris perlu ditangani secara holistik

Rakyat harus diyakinkan usaha tingkat mutu bahasa kedua tidak abai perhatian terhadap bahasa Melayu SEJAK Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran membuka perbahasan terbuka mengenai kemungkinan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diwajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk melayakkan mereka menerima sijil penuh seminggu lalu, pelbagai pandangan dan idea dilontarkan sama ada melalui media, laman web, kedai kopi serta masjid dan surau.

Sementara ada membincangkannya secara rasional berdasarkan hujah dan fakta, tidak kurang juga yang membicarakannya dengan penuh emosi, bergantung kepada latar belakang pendidikan, budaya, kerjaya dan politik masing-masing.

Yang jelas, pendekatan Muhyiddin membuka perbahasan terbuka mengenai isu yang penting dan membabitkan masa depan negara seperti ini perlu dipuji. Pendekatan kita selama ini ialah melaksanakannya dulu dan berbalah kemudian seperti berlaku kepada dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang masih hangat diperkatakan sekarang.

Berbalik kepada soal kemungkinan wajib lulus Bahasa Inggeris dalam SPM, kebimbangan sesetengah pihak bahawa pelajar luar bandar, sebahagian besarnya Melayu, yang tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka amat rendah, akan menjadi mangsa, perlu diberi perhatian serius apabila Kementerian Pelajaran memperhalusi semua pandangan nanti. Jika laporan muka depan NST semalam boleh dijadikan ukuran, kebimbangan itu memang berasas.

Menurut laporan itu, pada kadar satu daripada empat calon SPM gagal dalam subjek Bahasa Inggeris setiap tahun sekarang, lebih 130,000 pelajar atau 30 peratus calon tidak mendapat sijil penuh jika dasar 'wajib lulus' dilaksanakan. Bayangkan kesannya kepada masa depan pelajar terbabit kerana SPM adalah sijil asas untuk mencari pekerjaan dan melanjutkan penggajian ke peringkat lebih tinggi. Atas kebimbangan yang serupa, ramai membantah pelaksanaan PPSMI sekarang.
Memang tiada siapa menafikan bahawa tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan generasi sekarang, terutama di kalangan Melayu luar bandar amat rendah sehingga menyukarkan mereka bersaing di alam pekerjaan dan perniagaan. Semua pihak akur bahawa kemampuan menguasai Bahasa Inggeris memberi nilai tambah kepada setiap individu, apa lagi dalam era globalisasi sekarang.

Hakikat bahawa Malaysia, dalam usia kemerdekaannya yang lebih muda berbanding negara lain di Asia tetapi mampu mencapai tahap kemajuan seperti sekarang, selain kerana kestabilan politik dan kebijaksanaan kepemimpinan, turut dipengaruhi oleh tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan sebahagian besar kalangan pentadbir, profesional, peniaga, pendidik dan graduan Melayu sejak selepas merdeka sehingga lebih sedekad lalu.

Soalnya kenapa generasi itu, yang kebanyakannya berasal dari luar bandar, belajar dalam serba kesempitan dan tidak terdedah kepada dunia elektronik dan siber seperti sekarang mampu menguasai bahasa Inggeris jauh lebih baik dengan generasi muda hari ini?

Kita percaya pelbagai jawapan sudah diberikan kepada persoalan ini, yang antaranya dasar kementerian sering berubah terutama apabila menteri bertukar dan mutu pengajaran Bahasa Inggeris itu sendiri. Sebagai contoh, sejak awak 1980-an, Bahasa Inggeris diajar menggunakan kaedah `Communicative English', menggantikan pendekatan terdahulu yang menumpukan perhatian kepada pemahaman tatabahasa, dengan alasan mahu meningkatkan penggunaannya sebagai bahasa perhubungan.

Malangnya, kaedah itu bukan saja gagal meningkatkan mutu penguasaan Bahasa Inggeris pelajar secara lisan seperti yang diinginkan tetapi menyebabkan sebahagian besar pelajar tidak mampu menulis sebaris ayat dalam bahasa itu menggunakan nahu dan ejaan yang betul. Kesannya bukan setakat menyebabkan pelajar cemerlang SPM terpaksa mengikuti kursus Bahasa Inggeris semula secara intensif apabila melanjutkan pelajaran di peringkat universiti atau sebelum ke luar negara, tetapi menyebabkan ramai yang 'tewas' sebelum bersaing di alam pekerjaan terutama di sektor swasta.

Anehnya, ramai pula pelajar Melayu yang gagal Bahasa Inggeris pada peringkat SPM tetapi mampu menguasai bahasa itu apabila menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang memberi penekanan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang betul. Begitu juga kanak-kanak yang belajar di tadika dengan menekankan program khusus pengajaran Bahasa Inggeris mampu menguasai bahasa itu dalam tempoh singkat, sedangkan enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah, majoriti pelajar terutama di luar bandar tidak mampu menguasai bahasa itu. Dalam hubungan ini, kita sependapat dengan banyak pihak bahawa isu kelemahan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar ini perlu ditangani secara holistik dengan mengambil kira punca masalahnya.

Jika ia berpunca daripada kaedah pengajaran dan kemampuan guru yang mengajar, masalah itu harus ditangani dulu. Barangkali kaedah digunakan pada peringkat institut pengajian tinggi yang membolehkan ramai pelajar Melayu, walaupun lemah bahasa Inggeris pada peringkat SPM tetapi mampu menguasai bahasa itu apabila menamatkan pengajian, boleh dicontohi. Pandangan banyak pihak bahawa mutu pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah kerajaan berbanding sekolah atau institusi swasta jauh berbeza, menyebabkan jurang luas antara pelajar masing-masing, perlu dilihat secara serius.

Namun, kita percaya dengan keterbukaan Kementerian Pelajaran yang mendapatkan pandangan semua pihak berhubung permasalahan ini, cadangan untuk mewajibkan pelajar lulus Bahasa Inggeris dalam SPM, tidak mungkin dilaksanakan dalam waktu terdekat. Paling awal ia boleh dilaksanakan ialah lima tahun lagi iaitu apabila kumpulan pelajar Tingkatan Satu pada 2010 akan menduduki peperiksaan SPM pada 2014.

Dalam tempoh lima tahun itu, bukan saja masalah membabitkan kaedah pengajaran dan mutu guru Bahasa Inggeris di sekolah kerajaan dapat ditangani, tetapi rakyat harus diberi keyakinan mengenai keikhlasan kerajaan untuk meningkatkan mutu penguasaan bahasa kedua itu di kalangan generasi muda tanpa mengorbankan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, yang semakin dipersoalkan sekarang.

Pilih guru yang benar-benar mahu berkhidmat

LANGKAH Kementerian Pelajaran memanjangkan tempoh Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) mulai tahun depan dijangka mampu memantapkan lagi profesion perguruan terutama membabitkan graduan lepasan universiti. Berbanding pelatih yang mengikuti program ijazah perguruan di institusi pendidikan guru (IPG) yang terpaksa menghabiskan sehingga lima tahun untuk memperoleh ijazah sebelum ditawarkan mengajar di sekolah, tempoh yang diambil oleh pelatih KPLI adalah singkat, iaitu hanya setahun sebelum ini. Kita menyokong langkah Bahagian Pendidikan Guru (BPG) untuk memanjangkan tempoh kursus menjadi 18 bulan kepada pelatih berkenaan sebelum ditempatkan di sekolah di seluruh negara. Ini penting untuk memastikan guru terbabit mampu menguasai sepenuhnya pedagogi pendidikan yang menjadi teras kursus sebelum berdepan dengan pelajar di sekolah. Jika pelatih yang mengambil ijazah Sarjana Muda Perguruan dan program Sarjana Muda Pendidikan di universiti tempatan mengambil masa yang lama untuk diiktiraf, maka tidak adil bagi pelatih KPLI hanya mengikuti kursus singkat terus diserapkan menjadi guru. Tambah lagi, langkah diambil BPG itu adalah lanjutan terhadap kajian yang mendapati tempoh singkat bagi melatih pelatih KPLI menyumbang kepada kegagalan melahirkan guru berkualiti di kalangan lepasan berkenaan.

Dalam pada itu, langkah memanjangkan tempoh kursus dijangka dapat mengurangkan mereka yang semata-mata ingin mengejar pekerjaan, tanpa melihat kecenderungan sama ada mereka boleh menjadi guru cemerlang atau setakat makan gaji. Ini penting bagi negara mendapatkan mereka yang betul-betul layak dan meminati bidang perguruan, bukan menjadikan perguruan sebagai pilihan selepas tidak mendapat pekerjaan lain. Tidak hairanlah dianggarkan sejumlah 100,000 lepasan universiti yang masih menganggur memohon KPLI tahun ini bagi mendapatkan pekerjaan. Berbanding, bidang lain, perguruan memerlukan mereka yang bukan saja berminat untuk mengajar malah mendampingi kanak-kanak yang bakal menjadi anak didik mereka. Bukan mudah untuk menjadi guru baik yang lengkap dengan ilmu pendidikan membabitkan psikomotor, afektif dan kognitif yang dapat mendidik kanak-kanak untuk menjadi insan yang sempurna mental dan fizikalnya.

Selain itu, kita berharap Kementerian Pelajaran dapat menyaring calon yang benar-benar layak untuk menjadi guru bagi memastikan mutu pendidikan di negara ini mencapai tahap yang diharapkan. Kita berasakan kementerian perlu mengetatkan langkah pengambilan, selain memanjangkan tempoh kursus kerana kita tidak mahu sekolah menjadi tempat lambakan guru yang ingin mudah mendapat pekerjaan. Jika ini berlaku, ia amat malang bagi sistem pendidikan kita kerana guru yang tidak berminat atau tidak sanggup mengorbankan jiwa raga untuk mendidik, akan berdepan dengan rasa kecewa dan bosan selepas bertahun-tahun mengajar.

Guru yang cemerlang dan terbilang amat kita perlukan bagi mendidik 5.4 juta pelajar di hampir 10,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Dengan jumlah 386,031 guru di seluruh negara, kita amat berharap mutu pendidikan negara akan terus dipertingkatkan sejajar dengan proses kemajuan dan pembangunan negara.

Rahsia epal Ba'Kelalan

MEMILIH sesuatu yang unik bukanlah laluan mudah untuk ditempuhi. Namun seorang warga emas di pedalaman Sarawak membuktikan setiap keazaman yang disulam usaha gigih pastinya membuahkan hasil.

Ketika penduduk lain gigih mengusahakan tanaman padi bukit, Tagal Paran atau lebih mesra dengan panggilan Pak Tagal memilih epal sebagai tanaman di tanah ladangnya di Ba' Kelalan, Miri.

Kini populariti ladang epal seluas tiga hektar yang diusahakannya sejak lebih 20 tahun lalu itu 'mengatasi' populariti beras Adan, beras berkualiti tinggi yang juga ikon produk dari penempatan suku kaum Lun Bawang itu.

Kejayaan tersebut menjadikan lelaki berusia 75 tahun itu sebagai individu 'terpenting' dan paling popular setiap kali masyarakat Ba' Kelalan menerima kunjungan pelawat.

"Tiada orang lain yang akan dicari, mereka semua mahu mendengar cerita epal daripada Pak Tagal," ujar salah seorang penduduk.

Setiap tahun, ribuan pelancong berkunjung ke Ba' Kelalan. Masa paling sibuk adalah ketika Festival Menuai Epal yang diadakan pada bulan Jun dan Disember setiap tahun.

Ba' Kelalan yang berada pada ketinggian kira-kira 1,000 meter dari aras laut itu mempunyai suhu rendah sepanjang tahun yang membolehkan epal dan tanaman seperti strawberi, anggur dan tomato hidup di situ.

Umum menyedari kewujudan epal di Ba' Kelalan tetapi tidak ramai yang mengetahui keistimewaan epal tempatan itu. Tidak kurang juga yang mengkritik dan mengatakannya tidak cukup saiz, tidak manis dan rupanya kurang menarik.

Tetapi bukan itu yang dipersetujui oleh 20 wakil media pada lawatan ke Rata Farm Sdn. Bhd. milik Pak Tagal semasa ekspedisi Isuzu Dura-Mission, baru-baru ini.

Pengalaman memetik dan menikmati kerangupan epal segar di ladang yang terletak bersebelahan dengan lapangan terbang kecil itu meninggalkan kenangan manis buat kami semua.

Hasil kaedah pertanian yang dipertingkatkan, empat jenis epal iaitu Manalagi, Tropikal, Anna dan Rome Beauty yang ditanam di situ hampir menyamai kualiti epal yang diimport.

Menurut Pak Tagal, sebanyak 1.5 tan epal dituai daripada 3,000 pokok epal pada setiap musim. Namun, jumlah itu hanya cukup untuk pasaran di sekitar Miri, Lawas dan Brunei.

''Permintaan sangat tinggi dan antara yang paling mendapat sambutan adalah epal jenis Manalagi kerana rasanya yang manis dan bau yang harum. Ia dijual pada harga RM10 sekilogram.

'Dari segi saiz epal di sini tidaklah terlalu kecil. Berat lebih kurang 200 gram sebiji dan yang paling berat pernah dituai adalah 500 gram,'' jelas Pak Tagal lagi.

Selain rasa yang sedap, keistimewaan epal Ba'Kelalan juga adalah kerana mempunyai dua musim sedangkan di negara-negara beriklim sejuk lain epal hanya berbuah sekali setahun.

Rahsianya melalui teknik 'musim sejuk tiruan' yang dilakukan dengan menanggalkan daun-daun pokok secara manual. Selepas daun 'digugurkan', pokok epal biasanya akan berbunga dan berbuah semula.

"Teknik ini hanya boleh dilakukan beberapa minggu selepas musim menuai,'' jelas beliau.

Selain itu, kelebihan epal Ba'Kelalan juga adalah kerana penggunaan racun serangga yang minimum, malah langsung tidak menggunakan pengilat lilin seperti kebanyakan buah -epal yang diimport.

Cuma cabaran utama pada masa kini adalah kerja-kerja pemasaran kerana kawasan itu bergantung kepada pengangkutan udara tiga kali seminggu (MASWings) manakala jalan darat hanya boleh dimasuki dengan pacuan empat roda.

Namun Pak Tagal percaya kedudukan Ba' Kelalan yang terletak bersebelahan dengan Sabah, berhampiran sempadan Brunei dan Indonesia menjadikan kawasan di sekitar tiga buah kampung di situ berpotensi untuk dikembangkan sebagai pusat tanaman epal.

''Sebenarnya kami masih menantikan jalan raya yang dapat menghubungkan kami dengan pekan terdekat iaitu Lawas atau Miri.

''Laluan darat yang dibina akan membantu merubah masa depan epal di Ba' Kelalan,"ujarnya penuh harapan.

Tambah beliau, sistem perhubungan yang baik juga dapat membantu memudahkan kajian dan penyelidikan dilakukan di situ. Buat masa ini, tugas menguruskan ladang bergantung kepada pengalaman dua pekerja Indonesia yang dibawa masuk dari Jawa Timur.

"Saya percaya banyak pihak di luar sana yang berminat untuk datang membuat kajian pertanian di sini," jelasnya sambil menuding jari ke arah sekumpulan pelajar yang berada di tengah ladang.
Bioindustri

Mereka adalah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Bioindustri, Universiti Putra Malaysia (UPM-Kampus Bintulu) yang sedang menjalani latihan praktikal selama dua bulan di Ba' Kelalan.
Salah seorang pelajar, G. Sivarajan M. Ganesan ketika ditemui berkata, projek perintis UPM itu bertujuan mengkaji aspek-aspek penting berkaitan penanaman epal di kawasan itu.

Kajian yang dilakukan termasuk pemeriksaan kesesuaian tanah, keamatan cahaya, kandungan klorofil daun dan mengenal pasti baka-baka yang terbaik.

Ujarnya, setiap anggota kumpulan dibahagikan tugasan tersendiri dan sebarang penemuan, perkembangan dan hasil kajian yang diperolehi dalam tempoh itu akan dibawa pulang ke makmal universiti untuk dianalisis pensyarah.

"Selain itu kami juga merekodkan jenis-jenis penyakit yang menyebabkan kecacatan dan kemerosotan pada pokok-pokok epal," jelasnya lagi.

Bagi Nur Atikah Mohd. Azman, 22, epal Ba' Kelalan mempunyai potensi untuk dikomersialkan secara meluas sekiranya mendapat suntikan teknologi pertanian yang berterusan.

Ujarnya, proses kacukan baka-baka yang sedia ada dengan baka liar atau baka dari luar negara pasti membawa kepada penghasilan baka yang lebih baik.

"Buat masa ini kacukan hanya dilakukan antara anak-anak pokok epal liar dengan empat baka sedia ada. Buah berkualiti terbaik biasanya hasil kacukan tiga jenis baka," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, proses itu tidak akan tercapai dalam jangka masa yang singkat.

Sebaliknya memerlukan penyelidikan dan kajian pertanian yang mendalam.

Walaupun terpisah jauh dari dunia luar, Nur Atikah dan rakan-rakan yang masih mempunyai masa sebulan di Ba' Kelalan mengakui kesempatan 'mengenali' pokok-pokok epal di situ sebagai pengalaman yang sangat berharga.

"Kami menghabiskan masa sepanjang hari di kebun epal Pak Tagal. Walaupun ladang ini tidaklah terlalu luas, tetapi banyak perkara yang boleh kami pelajari," akuinya.

Asal-usul epal di Ba' Kelalan

Menyelusuri sejarah epal di Ba' Kelalan menemukan Mega dengan Andrew Balang Paran atau lebih dikenali sebagai Pak Balang. Nama beliau terpahat sebagai individu yang bertanggungjawab membawa masuk epal ke tengah-tengah Kepulauan Borneo itu.

Menurut Pak Balang, segalanya bermula pada tahun 1974 semasa beliau melawat Batu Malang, Indonesia.

"Ketika berada di sana saya lihat pokok-pokok epal tumbuh segar dengan buah-buah yang ranum. Terlintas di fikiran untuk membawa pulang dan menanamnya di kebun saya.

"Kira-kira 10 pohon 'diseludup' melalui lapangan terbang Miri ketika itu. Puas juga saya memujuk pegawai kastam di lapangan terbang untuk 'melepaskan' pokok-pokok berkenaan ketika diperiksa," ujarnya.

Selepas beberapa tahun, epal yang ditanam dan dibaja dengan tahi lembu itu mula membuahkan hasil. Tetapi ketika itu buahnya agak kecil, masam dan pohonnya mudah diserang penyakit.
Bekas kakitangan kerajaan pertama di Ba' Kelalan itu sempat membiak kira-kira 300 pokok epal sebelum menyerahkan ladang berkenaan kepada abangnya sendiri, Pak Tagal, yang menguruskan ladang sehingga ke hari ini.

Menurut Pak Balang, tugas yang dipikul abangnya tidak mudah kerana pokok-pokok epal berada dalam keadaan tenat akibat diserang penyakit. Malangnya juga pada ketika itu, jabatan pertanian tidak dapat membantu kerana mereka tidak tahu apa-apa pasal epal.

Menyedari pokok-pokok epalnya berada dalam keadaan tenat, Pak Tagal kemudian berangkat ke Batu Malang untuk mempelajari kaedah penanaman epal secara lebih lanjut.

Kini, Pak Tagal tersenyum bangga di atas setiap keringat yang dititiskan ke tanah ladangnya. Harapan beliau adalah untuk melihat lebih banyak ladang epal dibuka di bumi Ba' Kelalan.