DI manakah masyarakat sekitar pekan kecil Sungai Choh, Hulu Selangor ketika seorang bayi dilemparkan ke dalam timbunan sampah di pekan itu, kelmarin?
Mungkin masyarakat sekitar ada ternampak seseorang melemparkan 'sampah' itu, tetapi menganggap bungkusan itu adalah sampah biasa. Jadi, mereka fikir... biarkan sahaja kerana itu memang lokasi tempat membuang sampah.
Hanya apabila seseorang lain mendapati bungkusan itu mengandungi mayat seorang bayi, barulah masyarakat menunjukkan reaksi terkejut dan kesal. Mungkin bagi sesetengah orang adalah tidak adil untuk kita menyalahkan masyarakat sekitar kawasan tersebut kerana sesiapa pun pasti tidak dapat menjangka apakah isi kandungan bungkusan yang dibuang itu.
Namun, jika masyarakat bijak 'membaca' riak wajah dan gerak geri pelaku terbabit, nescaya jika bayi itu masih bernyawa, ia dapat diselamatkan iaitu sebaik sahaja bungkusan itu dicampak ke dalam timbunan sampah, segeralah pergi ke situ untuk membuat pemeriksaan. Jika di dalamnya terdapat seorang bayi yang masih bernyawa, ambil dan bawa ke klinik atau hospital berdekatan sebelum melaporkannya kepada pihak polis. Tetapi, jika hanya janin kaku ditemui, maka segera lapor ke balai polis berdekatan.
Tidak sukar untuk 'membaca' kelakuan dan air muka orang yang mahu melakukan kesalahan. Keadaan diri mereka pasti 'tidak tentu hala' dan asyik meninjau di kawasan sekitar dengan mata yang meliar. Namun sukar juga untuk membuat 'tangkapan' kerana menghampiri mereka yang mahu mencampakkan bungkusan yang dicurigai akan menyebabkan pelaku lari lintang pukang. Biasanya, itulah yang akan berlaku. Jika itu berlaku, pastikan nombor pendaftaran kereta atau motosikal serta jenis kenderaan pelaku dicatatkan. Tetapi jika bungkusan itu dibuang pada waktu tengah malam yang mana tiada orang berada di sekitarnya, apakah yang boleh kita lakukan.
Kebiasaannya, individu yang melakukan perbuatan itu akan memilih waktu 'selamat' untuk melakukannya. Perbuatan mereka begitu licik dan kerana itulah, sehingga hari ini, tidak banyak kes membuang bayi dapat diselesaikan. Ini menyebabkan pelaku masih bebas dan mungkin akan mengulangi perbuatan yang sama. Berbanding dengan kes mendera kanak-kanak, ia lebih mudah untuk dikesan kerana mangsa dera akan dihantar ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan.
Maka di sini, peranan masyarakat terutama jiran tetangga paling berkesan dalam membantu menangani kes buang bayi. Mustahil suara tangisan bayi atau kanak-kanak yang didera tidak dapat didengari dari rumah sebelah. Kebanyakan kes berlaku di kawasan perumahan biasa yang dinding rumah diperbuat daripada bahan tidak kalis bunyi. Jika tiba-tiba muncul suara bayi yang menangis kuat di rumah sebelah yang diketahui jiran hanya didiami oleh anak-anak gadis sahaja, maka tentulah suara tangisan itu sesuatu yang luar biasa. Sebagai jiran yang prihatin, periksalah apa sebenarnya yang berlaku. Mungkin langkah pantas itu akan dapat menyelamatkan satu nyawa.
Setiausaha Agung Kelab Belia Graduan 1Malaysia, Ezaruddin Abd. Rahman berkata, tanpa kerjasama masyarakat dalam membantu menangani gejala membuang bayi, masalah itu bukan sahaja akan berterusan, malah akan bertambah teruk.
Justeru, katanya, sikap masyarakat yang tidak suka mengambil tahu apa yang berlaku di kawasan kediaman masing-masing perlu diubah.
Menurutnya, masyarakat yang prihatin adalah masyarakat yang mengambil tahu apa yang berlaku di sekitarnya.
Namun, katanya, memandangkan masyarakat hari ini tidak lagi mengamalkan hidup bermasyarakat seperti zaman dahulu, maka perlu ada usaha untuk mengembalikan dan seterusnya mengukuhkan amalan hidup tersebut.
"Kita boleh 'memaksa' masyarakat agar kembali kepada landasan hidup bermasyarakat. Antara yang boleh dilakukan adalah pihak berkuasa tempatan mewajibkan pasukan Rukun Tetangga diwujudkan di setiap kawasan perumahan.
"Tugas anggota Rukun Tetangga itu bukan sekadar mengawal pada waktu malam, malah mengadakan aktiviti yang boleh merapatkan silaturahim komuniti.
"Menerusinya, ukhuwah dan perpaduan masyarakat setempat bukan sahaja dapat diperkukuhkan, malah semangat kejiranan yang tinggi dapat diwujudkan.
"Dengan memiliki semangat itu, barulah setiap anggota komuniti saling mengambil tahu antara satu sama lain," ujarnya.
Selain itu, katanya, memandangkan pelajar universiti semakin banyak terlibat dalam gejala sosial tersebut, maka kawasan perumahan di luar kampus yang didiami pelajar perlu juga mempunyai seorang penyelia atau penggawa kediaman.
"Jika setiap hostel pelajar di dalam kampus mempunyai penggawa, maka setiap kawasan perumahan luar kampus yang didiami pelajar juga perlu ada seorang penggawa yang dilantik daripada kalangan penduduk.
''Pihak universiti boleh memberi elaun kepada mereka, namun saya yakin kebanyakan penduduk lebih suka membuat kerja sukarela, asalkan kawasan kediaman mereka bebas daripada gejala sosial," katanya.
Beliau mengemukakan cadangan itu berdasarkan pengalamannya sebagai pelajar di sebuah universiti tempatan di Selangor.
Katanya, sepanjang menjadi pelajar, beliau mendapati terdapat pelajar bersekedudukan sehingga melahirkan anak.
"Jadi, jika ada seorang penggawa dari kalangan penduduk, maka gejala itu dapat dibendung," katanya.
Naib Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Pahang, Datuk Rosni Zahari yakin sikap masyarakat boleh diubah jika kempen seperti Kami Prihatin anjuran akhbar Utusan Malaysia diperbanyakkan.
Katanya, kadang kala masyarakat memerlukan satu kejutan untuk menyedarkan mereka daripada tidur lena akibat leka dengan urusan peribadi.
"Saya yakin masyarakat ada kesedaran, cuma ia mengambil masa sedikit untuk berubah," ujarnya.
Bagaimanapun, jika kempen yang diadakan masih tidak berkesan, maka tindakan lebih tegas seperti meminda seksyen Kanun Keseksaan boleh dilakukan.
Beliau berkata, akta berkaitan yang ada sekarang boleh dipinda agar ada ketakutan dalam diri mereka yang ingin melakukan perbuatan membuang bayi atau mendera kanak-kanak.
"Memandangkan ia adalah satu jenayah, maka hukuman yang lebih keras dan setimpal dengan perbuatan kejam mereka wajar diperkenalkan," katanya.
Tuesday, April 13, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment