Thursday, July 22, 2010

Sosioekonomi rakyat paling rendah kesan bencana alam

BANJIR dan kemarau - dua bencana alam yang mengancam kehidupan rakyat Kemboja termasuk 500,000 etnik Melayu Cam yang majoriti sebagai pesawah padi di luar bandar serta pedalaman negara itu.

Sebagai negara pertanian dan miskin, sosioekonomi Kemboja sangat rapuh berikutan kebergantungan penduduknya kepada sumber bekalan air semula jadi dari telaga dan sungai yang di luar kawalan kerana tiada sistem pengaliran ke sawah padi serta bekalan air ke rumah kediaman.

Dr Haliza Abdul Rahman, dari Sekolah Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di Kelantan, yang pernah melakukan kajian mengenai Lembangan Mekong dan perubahan cuaca global mendapati Kemboja antara negara paling teruk menerima kesan itu sehingga merubah kitaran hidrologikal serta kehadiran kemarau dan banjir secara ketara. Semua ini memberi kesan ketara terhadap kawasan kediaman, kegiatan pertanian dan kesihatan rata-rata penduduknya.

Beliau berkata, suhu di Kemboja naik 0.8 darjah Celsius sejak 1960 dan terus meningkat lagi antara 0.3 hingga 0.6 darjah Celsius menjelang 2025. Ia diramalkan melonjak 0.7 hingga 2.7 darjah Celsius menjelang 2060.

“Jumlah hujan di Kemboja dijangka meningkat, tetapi magnitutnya tidak menentu. Justeru, negara itu berdepan ancaman terhadap pengeluaran makanan dan keselamatan bekalan makanan,” katanya yang pernah membentangkan kertas kerja bertajuk: Lembangan Sungai Mekong dan Perubahan Cuaca: Ancaman Kepada Kemboja? pada Persidangan Antarabangsa Warisan Melayu di Indochina di Phnom Penh, 25 Jun lalu.

Kajian Kementerian Alam Sekitar Kemboja mendapati perubahan cuaca dijangka meningkat ketika musim hujannya dan mengurangkan hujan pada musim kering.
Ketika ini, 80 peratus penduduk negara itu adalah petani dan data bagi tempoh lima ini mendapati 70 peratus kemusnahan hasil padi disebabkan banjir, 20 peratus lagi akibat kemarau dan baki 10 peratus diserang penyakit.

“Lazimnya, sehingga 2 juta hektar sawah ditanam padi, tetapi (data) pada 2002 mendapati hanya 700,000 hektar diusahakan kerana kekurangan hujan,” katanya.

Data banjir paling buruk pada 2000-2001 menunjukkan 16 wilayah mengalami kerosakan akibat limpahan air Sungai Mekong dan Tonle Sap berikutan hujan lebat.

Bayangkan ketika musim kering, saiz Tonle Sap hanya kira-kira 2,600 kilometer persegi, tetapi zon limpahan airnya meliputi kawasan seluas 16,000 kilometer persegi ketika musim tengkujuh.

Lebih 70 peratus penduduk negara itu juga bergantung sumber protein daripada ikan Tasik Tonle Sap bernilai AS$2 bilion setahun. Lebih 3 juta daripada 15 juta penduduknya bergantung kepada tasik terbesar di Asia Tenggara itu.

Selain pertanian, kesan kemarau turut mengancam 500 spesies ikan air tawar yang sebahagiannya mati ketika musim itu.

“Cuaca yang ekstrem mengancam pengeluaran ikan berikutan kehilangan stok akuakultur serta kemusnahan infrastruktur perikanan dan akuakultur. Perubahan dalam pengeluaran ikan akan memberi impak besar kepada penduduk yang bergantung kepada perikanan sebagai kegiatan utama sara hidup mereka,” katanya.

Perubahan cuaca turut meningkatkan ancaman penyakit seperti demam denggi dan malaria serta impak fizikal serta psikologi lain. Pada 2007, 40,000 kes demam denggi dilaporkan di negara itu dan menyebabkan 404 kematian. Malah pihak berkuasa kesihatan, turut menjangkakan serangan wabak denggi lebih buruk berikutan peningkatan pembiakan nyamuk.

Penduduk Melayu Cam yang majoritinya tinggal dalam zon limpahan banjir tasik Tonle Sap dan Sungai Mekong sentiasa menghadapi fenomena cuaca ekstrim itu sepanjang tahun.

Ketiadaan hasil pertanian untuk dijual menyebabkan mereka tidak mempunyai pendapatan (wang) untuk digunakan bagi keperluan lain sekali gus meletakkan tahap sosioekonomi mereka di tahap paling rendah.

No comments: