Tuesday, May 15, 2012

GOLONGAN belia kini berjumlah 11.9 juta atau merangkumi sekitar 40 peratus daripada lebih 29 juta penduduk negara ini. Tidak menghairankan apabila tumpuan banyak diberikan untuk membela nasib dan masa depan mereka kerana belia juga bakal mewarisi dan menjaga kelangsungan agama, bangsa dan negara kelak.
Ada juga yang berpendapat golongan belia kini terlalu dimanjakan dengan bermacam pemberian dan kemudahan tetapi muda-mudi ini seharusnya dibantu mencapai potensi optimum mereka seperti mana mereka yang dibantu sejak negara merdeka lagi.
Bersesuaian dengan tema sambutan tahun ini, 'Jadikan Hari Esok Lebih Baik Dari Hari Ini', pelbagai program dan usaha digerakkan kerajaan dan golongan 'senior' bagi memastikan kedaulatan Malaysia terlindung sehingga ke anak cucu.
Semua yang diberi dan disediakan untuk muda mudi kini juga merupakan satu simbol kepercayaan daripada kepimpinan sedia ada agar golongan belia akan meneruskan perjuangan, melindungi apa yang sudah dicapai dan mengejar kemuncak kejayaan.
Oleh itu, golongan belia juga perlu menghargai segala usaha tersebut, bukan sahaja dengan menghormati mereka yang lebih tua malahan membalas kepercayaan itu sewajarnya.
Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, permainan politik yang melampau telah mengaburi mata sebahagian rakyat sehinggakan semua perkara dilihat sebagai cubaan memancing undi.
Hakikatnya, kalangan belia sendiri sudah dewasa pemikirannya dan dapat membezakan antara politik sempit dan usaha jangka panjang demi anak bangsa dan tanah tumpah darah.
Walaupun ramai yang riuh-rendah menjadi boneka pihak dengan agenda peribadi, lebih ramai lagi belia yang bersyukur dalam diam dan berterima kasih dalam menjalankan tanggungjawab pendidikan dan pekerjaan masing-masing.
Bagi Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Abdul Manap, belia kini perlu sedar pembangunan yang telah dikecapi adalah hasil usaha generasi terdahulu. Tegasnya, muda-mudi perlu berterima kasih kepada orang terdahulu yang banyak berkorban dan tidak berhenti berusaha demi mewariskan masa depan yang lebih baik dan selesa.
"Kita patut bersyukur sangat dilahirkan di Malaysia. Tetapi, belia juga perlu lebih berilmu, berinformasi dan mempunyai wawasan dan cita-cita. Walaupun perkembangan teknologi memudahkan generasi Y mendapat maklumat, kita perlu sedar kehidupan kini juga semakin mencabar," katanya.
Beliau berpendapat peranan teknologi, masyarakat dan institusi berkaitan juga akan mempengaruhi perkembangan belia dan kerana itu muda mudi kena pandai berfikir akan baik dan buruknya sesuatu pilihan dan perbuatan.
Mengambil contoh cubaan sesetengah pihak menggunakan belia untuk agenda peribadi, beliau berharap golongan belia melihat jika ia membawa nikmat jangka pendek atau jangka panjang.
"Orang muda mudah melihat usaha oleh pembangkang memainkan isu tertentu terutamanya melibatkan kewangan, perumahan dan kerjaya, sebagai satu pembelaan.
"Namun, mereka perlu pandai berfikir dengan matang tentang baik buruk usaha tersebut terhadap masa depan diri sendiri dan juga generasi berikutnya," katanya.
Tambahnya, saranan memansuhkan pinjaman pendidikan mungkin bagus untuk menghapuskan hutang belia kini tetapi menimbulkan tanda tanya dari mana generasi pelajar berikutnya mahu mendapatkan bantuan pendidikan.
Anuar turut menyelar penyertaan belia dalam sebarang demonstrasi kerana mereka telahpun diberikan peluang dan ruang untuk berkongsi pandangan dan meluahkan perasaan.
"Gunakanlah saluran sedia ada untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit, banyak lagi cara lebih baik untuk menyuarakan pandangan.
"Malahan, usaha membentuk Parlimen Belia juga akan memberi suara kepada akar umbi berkongsi pandangan dan pendapat tentang isu-isu bersama kerajaan," jelasnya.
Khusus untuk belia Felda, beliau menasihatkan muda-mudi generasi baru Felda tidak terlalu seronok dengan apa yang sudah diberi dan disediakan kerajaan.
"Kerajaan 'membelai' warga Felda kerana menghargai generasi pertama peneroka yang bersusah payah menempuh arus hidup, oleh itu kita juga tidak boleh bergantung kepada Felda semata-mata. Jika Perdana Menteri berani membuat transformasi, kita juga kena berani transformasikan minda agar mampu berdikari walaupun jika berada di luar Felda," tegasnya.
Menurutnya lagi, generasi Felda di dalam atau luar tanah rancangan perlu mempunyai kekuatan dan kemampuan berdikari agar boleh sama-sama membantu saudara mereka di tanah rancangan yang masih memerlukan bantuan.
Beliau menekankan, apa yang dicapai kini merupakan satu kesinambungan kejayaan Felda selama 55 tahun dan generasi muda perlu teruskan dan menjaga kelangsungannya.
Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Zaidi Aziz pula berpendapat belia kini sukar membayangkan keperitan ketika zaman awal kemerdekaan kerana mereka tidak merasainya sendiri.
"Mereka perlu diterapkan dengan rasa cinta kepada negara, bukan sahaja oleh kerajaan malahan ibu bapa sendiri.
"Untuk mengatakan belia kini terlalu dimanjakan juga tidak adil kerana kerajaan dan ibu bapa mereka tentu tidak mahu anak-anak muda ini merasai keperitan seperti zaman dahulu," jelasnya.
Tambahnya, apa yang diberikan kepada belia kini adalah apa yang diperlukan mereka dan muda mudi perlu sedar semua itu juga adalah demi masa depan mereka kelak.
Beliau memberi contoh bagaimana ibu bapa dahulu menghantar anak ke sekolah agar menjadi manusia berguna tetapi kini ibu bapa menghantar anak ke sekolah agar menjadi bijaksana.
"Zaman sudah berubah tetapi hakikatnya apa yang ibu bapa dan kerajaan berikan dahulu dan kini adalah untuk masa depan belia sendiri. Pokok pangkalnya, terpulang kepada masing-masing apa yang mereka mahu untuk diri sendiri," ujarnya.
Tegasnya, jika belia bijak melihat sejarah silam, mereka akan tahu menghargai apa yang sedia ada kerana apa yang berlaku kini bermula dari dahulu lagi dan bukannya hadir secara tiba-tiba.
Mohd. Zaidi juga menyaran agar muda mudi tidak terikut-ikut dengan cara Barat dan 'kebebasan mutlak' di sana kerana kebebasan itu perlu ada batasannya.
"Pendekatan, cara dan budaya kita juga jauh berbeza dengan Barat, kita ada adab dan tata susila sebagai masyarakat Timur.
"Hak kebebasan itu ada batasnya, masalah tidak selesai juga jika asyik mengikut segala cara orang Barat," katanya.
Untuk itu, beliau berharap pihak kerajaan akan terus merapatkan jurang hubungan dengan golongan belia kerana zaman sudah berubah dan memerlukan pendekatan lebih sesuai dengan tahap pemikiran dan pendidikan muda mudi kini.
Namun, beliau merasakan belia sendiri perlu memahami bukan semua permintaan mereka dapat dipenuhi sepanjang masa dan tidak sepatutnya cepat melatah jika masih ada peluang untuk mencuba lagi.
"Seperti mana ibu bapa yang tidak dapat memberi semua yang diminta anak kerana faktor kemampuan, belia juga perlu hargai apa yang diberi dan mencuba lagi atau berusaha lebih kuat mendapatkan apa yang mereka perlukan.
"Gunakan saluran yang sedia ada dan berikan peranan kepada kerajaan dan pihak terbabit untuk laksanakan penambahbaikan, bukannya melatah mengikuti demonstrasi jalanan," jelas Mohd. Zaidi.

No comments: