Sunday, June 29, 2008

Meneruskan agenda RMK-9

SEJAUH mana Malaysia bakal berjaya mencapai matlamatnya menjadi sebuah negara maju hanyalah masa yang akan menentukannya.

Namun begitu, sehingga kini, apa yang jelas negara masih berada di landasan yang betul untuk mengharungi satu perjalanan yang panjang dan banyak cabaran yang bakal dihadapi oleh negara.

Sungguhpun begitu, seperti mana kata orang bijak pandai, permulaan yang dilakukan dengan baik kebiasaannya akan berakhir dengan kebaikan juga.

Selepas kira-kira dua tahun , RMK-9 dilancarkan dan menggariskan hala tuju pembangunan lima tahun pertama negara dalam fasa kedua pelaksanaan Wawasan 2020, sedikit sebanyak usaha yang dilakukan menampakkan tanda-tanda awal terdapat keberhasilannya.

Pengumuman Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen pada Khamis lalu, memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk benar-benar memastikan kejayaan terhadap apa yang dirancang.

Penilaian itu dibuat untuk memastikan usaha-usaha sebelumnya akan membuahkan hasil dan keutamaan projek pembangunan disusun semula mengikut keperluan ekonomi semasa.

Tidak dinafikan bahawa pastinya akan kedapatan sesetengah pihak yang tetap mempersoalkan pencapaian yang sedia ada sekali gus berusaha menanamkan rasa sangsi pada hati orang ramai tentang pencapaian yang sebenarnya.
Persoalannya adakah wajar, kita ‘menutup mata dan memekakkan telinga’ dan enggan mengakui adanya kejayaan, biarpun cuma sekelumit.

Mungkin kenyataan Perdana Menteri adalah benar ketika membentangkan bahawa pencapaian dalam tempoh masa pelaksanaan RMK-9 bukan hanya terbatas kepada perancangan mahupun retorik semata-mata tetapi telah terjelma dalam pencapaian yang hakiki.

Biarpun belum menjelang tempoh tiga tahun, tempoh kebiasaannya kajian separuh penggal dilakukan, negara telahpun mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara pada kadar yang boleh dibanggakan iaitu sebanyak 6.1 peratus setahun.

Pada masa yang sama, beberapa kejayaan lain juga dicapai dalam meningkatkan pendapatan per kapita, pengurangan defisit fiskal, penurunan kadar kemiskinan serta pengurangan jurang ekonomi antara kumpulan etnik, antara wilayah dan antara bandar dan luar bandar.

Sebagai contoh, pendapatan per kapita berdasarkan pariti kuasa membeli meningkat lebih tinggi sebanyak 14.2 peratus kepada RM46,478 pada tahun 2007 yang dicapai dalam suasana harga yang stabil.

Tidak kurang tokoh ekonomi dan perniagaan turut mengakui bahawa kajian separuh penggal RMK-9 berjaya menunjukkan prestasi yang menggalakkan kerana banyak sasaran yang dicapai dan juga pencapaian itu perlu diteruskan.

Kajian itu menunjukkan bahawa kewujudan kelas menengah yang amat penting dalam berperanan memastikan perniagaan domestik terus berkembang terutama dalam sektor peruncitan.

Usaha

Pada masa yang sama, kerajaan terus dilihat memberikan tumpuan kepada pengukuhan kedudukan kewangan kerajaan dan tindakan itu dapat dilihat melalui usaha untuk mengekalkan kadar defisit fiskal pada tahap 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2010 selepas berada paras 5.6 peratus pada tahun 2002 dan 3.2 peratus pada 2007.

Sungguhpun begitu, pembentangan kajian separuh penggal RMK-9 tidak harus dilihat sebagai melaksanakan rutin biasa tetapi sebaliknya ini merupakan langkah kerajaan untuk mendepani keadaan yang makin sukar ketika ekonomi AS yang tidak menentu dan juga peningkatan harga minyak dunia yang ternyata memberikan kesan yang besar kepada pertumbuhan negara-negara sejagat termasuk Malaysia.

Sebagai contoh, Presiden Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) , Chakib Khelil, dalam satu pengumuman terbarunya, menjangkakan harga minyak mentah dunia akan berada pada paras AS$150 hingga AS$170 setong dalam tempoh terdekat, sekaligus akan menjejaskan lagi tahap perkembangan ekonomi dunia ketika Barat terus menekan Iran berhubung krisis nuklear.

Maka tidak menghairankan apabila kerajaan bertindak membentangkan kajian lebih awal daripada kebiasaan yang dilakukan pada kajian separuh penggal rancangan lima tahun sebelumnya untuk memastikan langkah-langkah sewajarnya diambil bagi menjamin kesinambungan agenda pembangunan negara terutamanya dalam suasana yang semakin mencabar kini.

Tanpa tindakan yang sewajarnya kenaikan harga minyak terutamanya serta kemelut yang berlanjutan berlaku dalam pasaran kewangan dunia akan menyebabkan ekonomi negara turut menerima tempias dan bakal dilanda masalah.

Berdasarkan jangkaan pertumbuhan ekonomi dunia yang sederhana sebanyak 4.1 peratus setahun bagi tempoh 2008-2010, pertumbuhan Malaysia dijangka mampu berkembang secara purata 6.0 peratus setahun.

Namun begitu, dengan jangkaan kemungkinan berlaku kemelesetan ekonomi dunia, keadaan sebenar yang ada mungkin tidak menyebelahi negara kita.

Hakikatnya negara kini berdepan dengan pelbagai cabaran yang sangat getir akibat daripada faktor luaran yang sememangnya berada di luar kawalan kita. Malah, sesetengah para penganalisis melihat keadaan menjadi lebih mencabar terutamanya pada tempoh 2008 hingga 2009.

Sehubungan itu, kerajaan dikatakan mengambil langkah yang wajar apabila meningkatkan peruntukan perbelanjaan sebanyak RM30 bilion atau 15 peratus untuk menjadikan jumlah keseluruhan kepada RM230 bilion berikutan terdapatnya peningkatan kos projek sedia ada akibat daripada kenaikan harga bahan-bahan binaan selain digunakan untuk tujuan pembangunan koridor ekonomi dan pembangunan bahan makanan yang mencukupi.

Ini akan membolehkan kerajaan melaksanakan fasa kedua dalam RMK-9 supaya benar-benar mampu memastikan agar mutu hidup rakyat terpelihara dan pada masa yang sama pendapatan ditingkatkan, jaring keselamatan sosial terus dilaksanakan dan diperkasakan.

Pelaksanaan ini dilakukan selari dengan pembinaan infrastruktur-infrastruktur, pembangunan insan dan perkembangan sektor pertumbuhan baharu yang akan terus dipacu untuk keperluan jangka panjang pembangunan negara.

Peruntukan tambahan bukan bermakna kerajaan bakal berbelanja sewenang-wenangnya tetapi sebaliknya mempertingkatkan disiplin fiskal dengan memastikan setiap projek yang dilakukan adalah benar-benar membawa manfaat di samping mengurangkan ketirisan serta menggalakkan amalan terbaik dalam pelaksanaan projek.

Bersandarkan hakikat itu juga, kajian separuh penggal dijadikan masa untuk kerajaan mengkaji semula projek-projek yang bakal dilaksanakan dalam RMK-9 supaya hanya projek mesra rakyat diberikan tumpuan. Projek mesra rakyat meliputi penyediaan kemudahaan asas dan memberikan faedah secara langsung kepada rakyat seperti bekalan air, elektrik, kemudahan kesihatan, pendidikan dan pembasmian kemiskinan serta keselamatan awam.

Ini disebabkan oleh projek pembangunan RMK-9 adalah dirancang dan dilaksanakan bagi tujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat dan membangunkan negara serta pelaksanaannya bukan hanya dilakukan secara berpilih-pilih tetapi sebaliknya merangkumi seluruh negara tanpa mengambil kira sama ada kerajaan negeri dikuasai oleh parti pembangkang atau sebaliknya.

Kepentingan

Kesungguhan kerajaan dalam mengotakan janji mengutamakan kepentingan rakyat dalam menjayakan RMK-9 dapat dilihat apabila projek-projek yang ‘kurang penting’ dikaji semula pelaksanaannya seperti projek monorel bernilai RM2 bilion di Pulau Pinang, Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) RM1.5 bilion dan juga bangunan memorial di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta pusat-pusat pentadbiran negeri.

Pada masa yang sama, kerajaan juga terus memberikan tumpuan ke arah mengukuhkan lagi kedudukan kewangan termasuk memastikan pengagihan diberikan mengikut keutamaan. Selain itu, peruntukan dipastikan mempunyai mobiliti untuk disalurkan kepada keutamaan lain yang memerlukannya.

Namun begitu di sebalik semakan semula yang dilakukan dalam kajian separuh penggal RMK-9, negara masih perlu membuktikan keupayaannya mampu mendepani cabaran terutamanya dalam memastikan kadar defisit fiskal kekal pada purata 3.2 peratus bagi tahun 2006-2010 berbanding sasaran asal RMK-9 sebanyak 3.4 peratus daripada KDNK.

Menurut pakar-pakar ekonomi, kadar defisit fiskal sebanyak 3.2 peratus sukar untuk dipertahankan dalam tempoh 2008 hingga 2010 sekiranya kerajaan tidak mempunyai perbelanjaan yang mencukupi, tambahan pula dengan terdapatnya kemungkinan besar harga minyak dunia yang tidak mudah mengalami penurunan dalam tempoh masa terdekat dan ekonomi global juga pastinya terus malap.

Tambahan pula kadar berkenaan telahpun dikatakan berkembang kepada 4.4 peratus daripada KDNK pada suku pertama 2008. Ini berdasarkan jangkaan keadaan itu boleh diburukkan oleh faktor-faktor seperti isu subsidi bahan api, penangguhan berterusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan tekanan terhadap perbelanjaan kerajaan.

Ini bermakna kerajaan perlu mencari strategi-strategi lain termasuk pump priming (penjana pertumbuhan) untuk menghadapi sebarang kemungkinan meskipun setelah mengkaji semula pencapaian RMK-9 kerana terdapat projek-projek yang diberikan penekanan seperti koridor ekonomi mengambil masa yang panjang sebelum dapat memberikan hasilnya.

Pada masa yang sama, ketidaktentuan politik selepas pilihan raya umum pada bulan Mac 2008 yang menyaksikan terdapatnya bahaya policy paralysis ketika Perdana Menteri dan parti pemerintah Barisan Nasional mungkin teralih tumpuan akibat kegiatan politiking dan kemelut dalaman sekurang- kurang menjelang enam bulan akan datang sehingga berlangsung Perhimpunan Agung UMNO dan pemilihan parti juga menjadi kebimbangan.

Ketika usaha dilakukan untuk mengatasi kesukaran yang dialami sewajarnya rakyat turut sama berganding bahu untuk membantu kerajaan. Ini bermakna semua pihak perlu tabah dan bersatu hati dalam menangani krisis kenaikan harga minyak dan komoditi.

Tanpa sokongan semua pihak hasrat kerajaan untuk membolehkan Malaysia muncul sebagai negara maju tidak akan tercapai tetapi sebaliknya rakyat pula akan menderita sekiranya apa yang dihasratkan dan dirancang untuk menjayakan RMK-9 gagal dilaksanakan.

No comments: