Wednesday, June 18, 2008

Pekebun kecil mesti ubah minda selepas hutang lupus

KIRA-kira 33,957 pekebun kecil di seluruh negara pasti gembira dengan langkah Risda melupuskan hutang lapuk mereka berjumlah RM139.64 juta yang tertunggak. Langkah itu bagi membantu pekebun kecil memberi tumpuan kepada kegiatan lain yang boleh meningkatkan taraf hidup.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib, jumlah itu adalah daripada keseluruhan pinjaman RM204.7 juta yang diberikan sejak 1979. Ia bertujuan meringankan beban kewangan pekebun kecil berikutan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup disebabkan kenaikan harga bahan api. Pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan yang dilupuskan itu meliputi Kredit Sara Hidup, Pinjaman Pengurusan Mini Estet dan Pinjaman Perumahan Mini Estet. Asalnya pinjaman itu adalah untuk membantu kos menanam semula di bawah Kredit Sara Hidup, kos pembangunan Mini Estet di bawah Pinjaman Pengurusan Mini Estet dan pinjaman membina rumah di bawah Skim Pinjaman Perumahan Mini Estet.

Keputusan melupuskan pinjaman itu memang ditunggu-tunggu oleh pekebun kecil dan seperti kata Pengerusi Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Datuk Aliasak Ambia, sebelum ini sudah banyak permohonan dikemukakan supaya hutang itu dilupuskan. Ini bukan kali pertama kerajaan berbuat demikian kerana pada pertengahan 1980-an, Risda pernah melupuskan hutang sara hidup bernilai RM90 juta, iaitu pinjaman yang dibuat pekebun kecil sementara menunggu tanaman mengeluarkan hasil.

Sebenarnya, tindakan melupuskan hutang lapuk itu adalah tepat kerana sudah lama iaitu sejak 1979 dan jika Risda ingin mengutip balik, ia pasti tidak akan berjaya. Ia membabitkan masa yang sangat lama dan kos yang tinggi untuk berbuat demikian, apatah lagi ada di kalangan penghutang itu dikatakan sudah meninggal dunia dan urusan menjejak waris mereka pula sukar. Namun, ketika pekebun kecil bergembira dengan langkah itu, mereka juga harus bersyukur dan memahami keadaan. Amalan menghapuskan hutang bukan satu langkah yang boleh digalakkan sangat meskipun kita menerima hakikat kesukaran pekebun kecil membayar balik.

Kadang-kala tindakan popular boleh memberi kesan negatif untuk jangka panjang jika tidak ditangani dengan sebaik mungkin. Hukum-hakam akan menyukarkan pemberi pinjaman jika peminjam mempunyai rekod sukar membayar balik. Kita bersimpati dan memahami keadaan hidup pekebun kecil tetapi pada masa sama, kita sedar kehidupan pekebun kecil sudah jauh berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan lonjakan harga getah dan minyak sawit.

Dalam keadaan sekarang, mungkin pendapatan pekebun kecil lebih banyak berbanding kerani yang tinggal di bandar. Kemiskinan di bandar sebenarnya lebih teruk berbanding orang miskin di luar bandar kerana mereka kini dihimpit pula dengan kenaikan sara hidup berikutan lonjakan harga minyak. Ramai pekebun kecil menikmati kehidupan yang senang-lenang apabila harga minyak sawit terus naik yang akhir Februari lalu misalnya, harga melonjak ke paras tertinggi RM4,400 satu tan. Begitu juga dengan penoreh getah yang ada di antara mereka berpendapatan hingga RM4,000 sebulan.

Kita berharap pekebun kecil mula mengorak langkah untuk lebih berdikari, bersedia untuk menggunakan teknik moden mengusahakan kebun dan menjadikan pinjaman yang diberikan kerajaan untuk menggandakan lagi usaha. Mentaliti mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata perlu diubah dan bantuan baja misalnya, hendaklah digunakan sebaik mungkin, bukan untuk dijual semula bagi mengaut keuntungan segera.

Hanya perubahan minda akan membantu mengubah nasib kehidupan mereka bagi jangka panjang.

18.08.2008

No comments: