Tuesday, July 14, 2009

Background

KERJA-KERJA kemanusiaan tidak mengenal erti penat, masalah atau halangan, malah sering kali ia melampaui kemampuan diri secara fizikal, mental atau kemampuan. Namun, setiap pengorbanan berbaloi apabila ia berjaya dilaksanakan. Itulah wajah dipamerkan Huwaida Arraf dan Ramzi Kysia, apabila diterjah pelbagai persoalan mengenai pembabitan dalam Free Gaza Movement (FGM) yang menghapuskan latar belakang sebagai anak kelahiran Palestin, tetapi memiliki kewarganegaraan Israel, Amerika dan Lebanon. Bekerjaya sebagai peguam, suara tegas mereka hanya untuk mendesak Israel supaya membebaskan rakyat Palestin daripada penderitaan yang sudah berlarutan hampir setengah abad.
Tiba di Kuala Lumpur sebagai tetamu Yayasan Perdana, yang dinaungi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Huwaida dan Ramzi, mengaku mereka sanggup bergolok bergadai untuk membantu rakyat Palestin secara langsung - tatkala majoriti masyarakat dunia hanya mampu melahirkan kata-kata simpati. “Hari ini kami hampir muflis dan tidak tahu daripada mana mendapatkan sumber kewangan bagi meneruskan misi kemanusiaan untuk membantu rakyat Palestin. FGM menerima semakin banyak sokongan global, malah yang mengikuti kami juga bukan calang-calang manusia kerana ia termasuk ahli politik, pemenang hadiah nobel dan wartawan. “Tetapi misi ini memerlukan sumber kewangan yang besar dan apabila kapal kami Spirit of Humanity, dirampas tentera Israel, kami kini kembali ke perjuangan asal mengumpul semula wang atau mencari penderma yang boleh menyumbang sebuah kapal,” kata Huwaida yang baru berusia 33 tahun, meninggalkan kerjaya sebagai peguam bagi menumpu sepenuh perhatian terhadap misi untuk membantu bangsanya yang masih berada di dalam ‘kepungan’ Israel.
Huwaira dan Ramzi memulakan FGM tiga tahun lalu dan terpaksa meminjam untuk melancarkan misi pertamanya pada 22 Ogos tahun lalu dengan menjadi kumpulan pertama menghantar bantuan kemanusiaan melalui jalan laut menerusi pelabuhan Cyprus. Dengan dua bot nelayan yang belayar pada kelajuan 7 knot, seramai 44 orang daripada pelbagai kepakaran menjadi kumpulan antarabangsa yang pertama tiba di Pelabuhan Gaza dalam tempoh 41 tahun. Perjalanan lebih 30 jam dan mula diawasi tentera laut Israel sebaik saja dikesan, tetapi tidak diganggu sehingga membolehkan mereka menjejakkan kaki di bumi Palestin. “Tidak dapat saya gambarkan perasaan ketika itu. Semua orang kata ia adalah kerja gila, belayar memasuki wilayah Israel dan lima bot tentera negara itu mengawasi perjalanan kami, tetapi kami amat bernasib baik kerana tidak ditahan. “Mungkin ketika itu dengan publisiti besar-besaran dan ramai pula wartawan berada di dalam kapal terbabit, Israel tidak mahu menunjukkan sikap agresif kerana sedang diperhati masyarakat antarabangsa.
“Ribuan penduduk Palestin datang menyambut kami, walaupun bantuan yang dibawa tidak sebanyak orang yang berada dalam bot terbabit, ia sedikit sebanyak membantu dan lebih penting memberi mereka harapan bahawa ada kumpulan yang sanggup mengharungi lautan untuk menghulur bantuan,” kata Huwaida mengenai misi pertama yang turut membawa keluar beberapa penduduk Palestin. Sejak itu, empat lagi pengembaraan ke Pelabuhan Gaza tidak dihalang tentera laut Israel dan ia disertai pelbagai jenis manusia, termasuk Ahli Parlimen Barat dan Eropah, sukarelawan kemanusiaan dan wartawan menaiki bot lebih selesa, manakala perjalanan jauh itu dapat disingkatkan selama 15 jam saja. “Kami berjaya membawa begitu banyak bantuan kepada rakyat Palestin seperti bekalan buku, sehingga kami melancarkan kempen ‘Right To Read’ yang membolehkan masyarakat dunia menghulur bantuan buku kepada rakyat Palestin,” kata Ramzi. Bagaimanapun, populariti yang semakin hebat diterima FGM menaikkan kemarahan Israel dan pada misi yang dilancarkan pada 30 Disember lalu, bot FGM ketika itu yang dikenali sebagai Dignity dilanggar tiga kali tentera laut Israel, iaitu 90 batu nautika dari pelabuhan Gaza. “Bot itu hampir karam, namun kami bernasib baik kerana kapten kapal yang berpengalaman berjaya memperbaiki enjin bot dan membawa kami pulang ke pelabuhan Cyprus,” kata Huwaida mengingatkan pengalaman pertama berdepan tentera Israel yang bertindak agresif. Namun, itu bukan pengalaman pertamanya kerana misi FGM selepas itu turut dihalang Israel dan yang terakhir bulan lalu, bot baru FGM, Spirit of Humanity, dirampas dan semua anak kapal termasuk Huwaida, anggota Kongres Amerika, Cynthia McKinney dan pemenang hadiah nobel, Mairead Maguire, ditahan dan dipenjara. Dr Mahathir ketika mendengar penangkapan itu terus membuat kenyataan membidas tindakan Israel kerana tergamak menahan kapal yang membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin, lebih buruk tangkapan dibuat di perairan antarabangsa. “Hakikat bahawa Kerajaan Israel melakukan tindakan ini ketika kapal dan sukarelawannya berada di perairan antarabangsa mencerminkan keangkuhan pentadbiran Zionis. Lebih buruk ia dilakukan dengan tujuan menghukum, langsung tidak mengendahkan bantahan masyarakat antarabangsa yang lebih menunjukkan bahaya Israel kepada keamanan dunia. “Lebih menghina, Presiden Barrack Obama baru-baru ini berkata Israel mesti membenarkan bantuan kemanusiaan disalur kepada rakyat Palestin di Gaza yang kini berada dalam kepungan Tel Aviv,” tegas Dr Mahathir yang membuat kenyataan sebagai Pengerusi Pertubuhan Keamanan Global Perdana. Ternyata Dr Mahathir tidak berhenti setakat mengkritik Israel, sebaliknya jemputan kepada kedua-dua orang kuat FGM ini mempunyai misi lain, dan bekas Perdana Menteri Malaysia ini dijangka akan ke Cyprus pertengahan bulan ini untuk melihat sendiri mengenai cara terbaik membantu kumpulan ini menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin dengan lebih berkesan. Huwaida dan Ramzi juga tidak bertapis dalam memohon bantuan global, termasuk rakyat Malaysia untuk meneruskan impian mereka bagi membantu rakyat Palestin. “Jika anda melihat sendiri cara kehidupan mereka, terkepung di dalam kawasan Israel dikelilingi tembok batu dan kawat besi, tanpa bekalan perubatan, makanan serta keperluan asas lain, anda juga akan menjadi seperti saya... sanggup melakukan apa saja untuk memastikan hak kemanusiaan dikembali kepada rakyat Palestin. “Apa lagi saya seorang keturunan Palestin, kesedihan dan kemarahan saya sudah tentu berganda. Tetapi dalam hal ini, tidak kira siapa anda atau apa bangsa anda, Ramzi seorang Lebanon, suami saya seorang rakyat Amerika, kami sanggup mengorbankan apa saja untuk membantu segala yang terdaya bagi membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel,” kata Huwaida sayu. Mereka yang ingin mengikuti misi kemanusiaan FGM perlu menandatangani surat ‘berani mati’ serta wasiat awal, tetapi bagi yang ingin menderma, terutama bantuan kewangan untuk membolehkan pertubuhan ini membeli sebuah lagi kapal kargo boleh melayari www.FreeGaza.org.

No comments: