Monday, July 20, 2009

ISA sangat relevan bagi tujuan pencegahan

NENEK moyang kita mewariskan pintalan untaian kata-kata: “Mencegah lebih baik daripada mengubati”. Mereka juga berpesan”: “Beringat-ingat sebelum kena, berjimat-jimat sebelum habis, jangan sudah terhantuk baru tengadah”.
Maka pada pendapat saya, bagi menjaga keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan negara, kata-kata hikmat yang ditinggalkan itu wajib dijadikan panduan.
Ia agar negara ini tidak berdepan dengan situasi yang berlaku di Indonesia dan Thailand iaitu contoh paling dekat dengan kita.
Akta Keselamatan Dalam Negeri atau Internal Security Act dan lebih tersohor dikenali sebagai ISA secara tidak langsung merupakan antara alat atau saluran terbaik untuk merealisasikan pesanan nenek moyang kita itu.
Dalam keadaan banyak pihak yang akhir-
akhir ini seperti terlalu mengharapkan keadaan huru-hara berlaku di negara ini, maka penggunaan ISA sangat relevan.
Malah ia menjadi alat utama untuk membendung demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram daripada berleluasa dan memudaratkan keselamatan negara.
ISA boleh dijadikan pencegah kepada pertumbuhan bibit yang mendatangkan bencana kepada negara. Ia boleh menjadi isyarat untuk “beringat-ingat sebelum kena”. ISA boleh menjadi siren peringatan supaya berjimat-jimat sebelum habis dan semboyan untuk menyedarkan semua pihak supaya jangan sudah terhantuk baru hendak tengadah.
Walaupun ISA pada umumnya untuk menghalang dan mencegah kegiatan komunis yang telah menamatkan perjuangan bersenjatanya ekoran termeterainya perjanjian damai kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya di Hotel Lee Garden di Hatyai pada 2 Disember 1989. Namun ia tidak bermakna negara sudah bersih daripada semua ancaman.
Pada saya ada pihak yang kemaruk untuk menyaksikan keadaan huru-hara berlaku di negara ini. Namun hasrat mereka terbantut dan sukar untuk dilaksanakan kerana adanya ISA. Oleh itu, desakan demi desakan dibuat supaya ISA dimansuhkan. Ia untuk memudahkan mereka menggerak misi memusnahkan keharmonian negara.
Walaupun mungkin wujud segelintir yang ‘teraniaya’ oleh beberapa kelemahan dalam pelaksanaannya, namun akta itu tidak seharusnya dimansuhkan. Cukuplah sekadar melakukan beberapa pindaan sahaja agar tidak ada pihak yang teraniaya.
ISA atau pelaksanaan apa-apa bentuk perundangan sekalipun bukannya menjadi musuh kepada orang biasa iaitu orang yang tidak berbuat apa-apa kesalahan atau tidak ada niat melakukannya. Segala bentuk perundangan, termasuk ISA menjadi lawan kepada penjenayah dan pengacau ketenteraman awam.
Kerana itu orang kampung biasa, malah majoriti rakyat negara ini tidak rasa takut dan gerun kepada ISA. Malah ramai yang tidak tahu pun apa itu ISA, apatah lagi untuk menentang dan menyertai gerakan menghapuskan ISA.
Rakyat negara ini, terutama pihak polis sebagai pemelihara keamanan, boleh nampak individu atau golongan yang bagaimanakah yang menentang ISA ini dan mahu ia dimansuhkan.
Maka sangat tidak wajar untuk ISA dimansuhkan. Tanpa ISA, kejadian-kejadian sebagaimana yang berlaku di Indonesia dan Thailand akan turut berlaku di Malaysia nanti.
ISA hanya memerlukan pindaan jika benar-benar terdesak. Sebaik-baiknya, ia dikekalkan seperti sekarang kerana ISA bukan musuh majoriti rakyat Malaysia. Ia hanya menjadi masalah segelintir kecil rakyat. Itu pun di kalangan mereka yang jemu untuk melihat keamanan berkekalan di negara ini.
Oleh itu, kerajaan seharusnya tidak tunduk kepada desakan segelintir kecil rakyat yang mahu ISA dimansuhkan. Fikirkanlah kebaikan dan manfaat yang dicetuskan oleh pelaksanaan akta tersebut.

Tingkatkan mutu pengangkutan awam, kasihani pengguna

Tingkatkan mutu pengangkutan awam, kasihani pengguna
KENAIKAN tambang pengangkutan awam sudah termaktub. Ia diterima dengan pelbagai perasaan. Namun telah menjadi adat, kenaikan itu pasti akan berlaku. Apatah lagi kali terakhir tambang pengangkutan awam naik sekitar lima tahun lalu.
Kita ketepikan dahulu soal sama ada kenaikan itu akan membebankan pengguna atau tidak.
Persoalan utama di sini ialah bagaimana untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam seiring dengan kenaikan tambang. Sekiranya kenaikan tambang tidak dapat dielak, adakah pengguna mendapat jaminan kualiti sebagai balasan?
Adakah kenaikan tambang ini akan setara dengan tawaran untuk kualiti perkhidmatan? Rakyat atau lebih tepat, pengguna, sudah bosan dengan janji-janji untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Yang diperlukan ketika ini ialah janji berkenaan dikotakan. Kita tidak lagi mahu mendengar janji-janji muluk tetapi hasilnya tetap sama. Tiada perubahan malah dalam sesetengah kes, kualiti semakin buruk.
Jika rasional kenaikan tambang dikaitkan antara lain dengan kenaikan kos penyelenggaraan, maka pengguna berharap ia akan dimanfaatkan untuk menyelenggara.
Biarlah keadaan fizikal pengangkutan awam selepas ini semakin selesa. Jangan ada lagi bas yang berjalan tersengguk-sengguk atau mati di tengah jalan. Alasannya enjin terlalu panas, masalah brek ataupun sistem pendingin hawa yang tidak berfungsi.
Pengguna juga pastinya berharap agar soal ketepatan masa lebih dititikberatkan. Ketika ini pengguna bas henti-henti, ekspres, sistem transit aliran ringan mahupun komuter sering merungut mengenai ketepatan waktu.
Dalam soal ini, sistem pengangkutan awam kita masih ketinggalan. Walaupun masalah itu dikenal pasti sejak sekian lama namun tiada langkah berkesan untuk mengatasinya.
Masalah lapuk tersebut masih terus menjadi "masalah". Ia lebih ketara pada waktu puncak iaitu pada awal pagi ketika orang ramai keluar bekerja dan ketika pulang kerja.
Setiap kali masalah ini diutarakan, akan ada janji untuk mengatasinya. Namun ia tetap di takuk lama. Yang menderita pastinya pengguna. Mereka tiada pilihan selain menggunakan pengangkutan awam.
Itu tidak lagi mengambil kira soal sistem pendingin hawa yang tidak berfungsi atau tidak mampu menampung jumlah penumpang yang ramai pada satu-satu masa.
Apabila disentuh soal mutu pengangkutan awam, rasanya tidak lengkap jika tidak disentuh soal teksi.
Sehingga kini, kualiti perkhidmatan teksi masih terus menjadi rungutan. Ia juga belum selesai walaupun isunya itu telah dibangkitkan lebih dua dekad lalu.
Soal pemandu teksi mengenakan tambang sesuka hati bukan isu baru. Begitu juga dengan kerenah pemandu yang enggan melalui kawasan-kawasan tertentu pada waktu sesak.
Masalah itu tiada kena mengena dengan kenaikan tambang. Bagi pemandu seperti itu, tambang naik atau tidak, mereka tetap sama. Tambang yang dikenakan oleh mereka bukannya berdasarkan kiraan meter.
Bagaimanapun masalah utama yang mesti diberi perhatian oleh kerajaan khususnya Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) ialah keadaan 'fizikal' pemandu.
Ramai pengguna pernah berdepan dengan pemandu yang berpenampilan kurang menyenangkan. Ada yang mengadu pernah menaiki teksi yang dipandu oleh pemandu berambut panjang yang diikat tocang. Malah ada yang bertindik telinga.
Mungkin bagi sesetengah orang keadaan itu tidak apa-apa. Namun ramai yang beranggapan ia sangat-sangat tidak menyenangkan.
Jadi, pantau-pantaulah keadaan itu, jangan biarkan pengguna terus tertekan. Biarlah kenaikan tambang setanding dengan kualiti yang ditawarkan. Biar semua berdepan dengan situasi "menang-menang".

No comments: