Monday, November 2, 2009

Masa sesuai bincang sekolah satu aliran

Ketepi muslihat politik, emosi laksana dasar baru pelajaran

ISU berhubung cadangan melaksanakan sekolah satu aliran yang selama ini dianggap 'taboo' muncul kembali apabila tokoh sejarah dan akademik, Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim minggu lalu menyarankan sistem pendidikan negara disusun semula bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai.

Bercakap selepas menghadiri program wacana 'One Malaysia: Cabaran dan Harapan' sempena program semarak perpaduan dan patriotisme Institut Pendidikan Guru Malaysia peringkat kebangsaan di Bukit Mertajam, beliau menyifatkan sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu. Prof Khoo yang turut membayangkan ada pihak akan membantah cadangan itu, meminta mereka menilai semula sejauh mana sistem pendidikan sekarang boleh membantu mengukuhkan pembentukan negara bangsa.



Saranan profesor itu, yang beliau sendiri pernah lontarkan beberapa kali sebelum ini, tidak begitu mengundang reaksi sehinggalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambutnya dengan berkata, beliau secara peribadi bersetuju dengan sekolah satu aliran tetapi memahami bahawa dari segi sejarah, sistem persekolahan negara ini mempunyai pelbagai aliran. Sehubungan itu, beliau mahu perbincangan mengenai cadangan berkenaan diteruskan bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh daripada semua pihak.

Seperti dijangka, apabila isu seumpama itu disentuh oleh pemimpin kanan kerajaan, ia terus mengundang pelbagai reaksi. Seperti biasa juga, MCA, MIC dan pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil adalah antara paling awal menyuarakan bantahan seolah-olah cadangan itu bakal menjadi kenyataan dalam tempoh setahun dua ini. Kerana itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin terpaksa menjelaskan bahawa kerajaan akan mengambil kira pandangan rakyat sebelum membuat keputusan melaksanakan sekolah satu aliran bagi menjaga sensitiviti kaum di negara ini.

"Kerajaan akan hanya mengubah sesuatu dasar sekiranya dipersetujui rakyat dan jika sebaliknya, dasar sedia ada akan dikekalkan. Perubahan kepada sistem satu aliran memerlukan anjakan besar dari segi dasar dan ia juga menimbulkan persoalan sama ada masyarakat negara ini bersedia untuk menafikan hak memilih jenis pendidikan," kata Perdana Menteri.

Akhir tahun lalu, apabila Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir menyarankan penyatuan sistem persekolahan, beliau bukan saja dikutuk oleh pelbagai pihak, malah ada yang menuduhnya sebagai menghasut. Namun, suasana politik ketika itu berbeza, manakala Mukhriz, pula adalah seorang calon bagi kerusi Ketua Pergerakan Pemuda Umno. Walaupun niatnya ketika membuat saranan itu mungkin jujur untuk melihat satu sistem pendidikan yang mampu mengatasi masalah perpaduan kaum di negara ini, beliau masih dilihat sebagai bermain politik menjelang pemilihan Umno.

Bagaimanapun, Prof Khoo bukan ahli politik dan bukan juga seorang Melayu. Sebagai ahli sejarah dan akademik serta berjiwa Malaysia sejati, beliau mengambil peluang daripada iklim semasa politik negara dan penerimaan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri, dengan menimbulkan semula saranan itu. Sebagai ahli sejarah, beliau bercakap berdasarkan fakta. Hakikatnya, cadangan sekolah satu aliran bukannya perkara baru, malah lebih tua usianya daripada umur Malaysia merdeka.

Laporan Jawatankuasa Barnes 1950 memperakukan agar semua sekolah yang ada di Malaya ketika itu diubah menjadi sekolah kebangsaan, dengan murid daripada pelbagai kaum diajar melalui perantaraan bahasa Melayu dan Inggeris. Cadangan itu kemudian mendapat sokongan daripada Penyata Razak 1956, yang antara lain menyebut: "Tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini adalah bermaksud hendak menyatukan murid-murid dari semua bangsa di dalam negara ini dengan menggunakan satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan serta-merta melainkan hendaklah dibuat secara beransur-ansur."

Malangnya selepas lebih setengah abad kedua-dua perakuan yang bertujuan melahirkan satu bangsa Malaysia sebenar itu dibuat, ia bukan saja belum menjadi kenyataan, malah cadangan dan perbincangan mengenainya pun sering kali mencetuskan pertelingkahan. Lebih malang lagi, bantahan terhadap cadangan itu bukannya daripada parti pembangkang tetapi oleh parti-parti komponen dalam kerajaan sendiri, yang sepatutnya menjadikan sebarang usaha ke arah penyatuan bangsa sebagai agenda utama pemimpin mereka.

Ternyata mereka lebih mengutamakan kepentingan diri dan agenda politik jangka pendek daripada matlamat mewariskan sebuah negara yang bebas perkauman kepada generasi masa depan. Walaupun ada pihak berpendapat pelaksanaan sistem satu aliran bukan faktor tunggal ke arah penyatuan bangsa Malaysia, langkah menutup terus perbincangan secara rasional dan jujur mengenainya, menjauhkan lagi rakyat daripada mencapai matlamat itu.

Justeru, apabila saranan terbaru mengenai sekolah satu aliran ini mendapat sokongan beberapa Ahli Parlimen pembangkang, ia memberi harapan baru walaupun pelaksanaannya mungkin mengambil masa panjang dan memerlukan pengubahsuaian. Gagasan 1Malaysia menjadikan saranan ke arah mewujudkan sekolah satu aliran kembali relevan dan perbincangan sihat mengenainya di pelbagai peringkat rakyat harus digalakkan.

Mengambil semangat Penyata Razak yang menyarankan supaya pelaksanaan sistem itu dilakukan secara beransur-ansur, inilah masa paling sesuai untuk memulakannya dengan perbincangan yang bebas daripada emosi dan muslihat politik. Pertubuhan bukan kerajaan, kumpulan pemikir dan institusi pengajian tinggi termasuk swasta boleh memulakan inisiatif ini kerana mereka lebih dipercayai rakyat daripada parti politik. Walaupun ada golongan yang akan terus mempolitikkan isu ini, biarlah rakyat membuat keputusan. Yang pasti, rakyat terutama generasi muda boleh menilai apa yang terbaik untuk masa depan mereka dan negara jika diberi kefahaman yang jelas mengenai baik buruk cadangan itu.

No comments: