Monday, November 2, 2009

Setiap kaum di Malaysia diberi peluang pilih sistem pendidikan sendiri

PELAKSANAAN dasar sekolah satu aliran di negara ini adalah idea yang baik dan ia juga bukan isu baru tetapi ditimbulkan dari semasa ke semasa, bergantung kepada suasana politik semasa. Didorong oleh pendekatan gagasan 1Malaysia, membuatkan tokoh akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Khay Kim melontarkan cadangan itu baru-baru ini dengan gesaan supaya kerajaan menyusun semula sistem pendidikan negara melalui pelaksanaan sekolah satu aliran. Ini bukan kali pertama Prof Khoo membuat saranan itu tetapi setiap kali beliau mengemukakan cadangan berkenaan, bantahan akan kedengaran. Prof Khoo ada alasan tersendiri apabila menyifatkan sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu. Cadangan itu turut disambut baik Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang di Dewan Rakyat kerana yakin perpaduan antara kaum perlu menjadi matlamat utama kerajaan dan dengan itu sekolah satu aliran mungkin menjadi titik tolak ke arah itu. Namun, seperti dijangka Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Persatuan Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Malaysia tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana mereka percaya setiap bangsa di negara ini mempunyai warisan kebudayaan, termasuk bahasa ibunda yang perlu dipertahankan menerusi pendidikan asas. Malah dua parti komponen BN yang berasaskan kaum, MCA dan MIC juga mahu sistem pendidikan sekolah pelbagai aliran dikekalkan, sekali gus menolak sepenuhnya cadangan melaksanakan sekolah satu aliran di negara ini.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin menutup isu berkenaan apabila menyatakan bahawa dasar sekolah satu aliran hanya akan dilaksanakan apabila rakyat mahu dan bersedia menerimanya sesuai dengan semangat 1Malaysia. Ini bermakna, masyarakat belum bersedia untuk membuat perubahan itu kerana masih ada kelompok kaum yang membantah saranan ke arah itu. Kita bersetuju dengan penolakan Najib itu kerana tidak ada gunanya kerajaan mengubah dasar kepada sekolah satu aliran jika keputusan itu boleh menyebabkan perbalahan dan ketegangan dalam politik, masyarakat dan sosial. Kita tidak mahu isu ini pula menjadi kontroversi yang berupaya merenggangkan hubungan antara kaum yang sudah melalui pelbagai isu sejak kebelakangan ini. Dengan itu, ketegasan yang dibuat Najib menyerlahkan kewibawaannya untuk mengekalkan keharmonian dalam masyarakat. Ini juga selaras dengan matlamat membawa perpaduan selaras semangat 1Malaysia. Ini juga bermakna, kerajaan sekarang sentiasa mengambil kira pandangan rakyat terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan bagi menjaga sensitiviti kaum di negara ini dengan memberi peluang setiap etnik berhak memilih jenis pendidikan yang mereka mahu. Mungkin mereka yang membantah itu akhirnya nanti akan menerima sistem pendidikan satu aliran meskipun kita terpaksa menunggu 10, 20 atau 30 tahun lagi apabila rakyat bersedia menerima satu bangsa Malaysia.

No comments: