Monday, March 15, 2010

Setinggan tak serik

Operasi meroboh penempatan haram dihuni warga asing tiada kesudahan

KOTA KINABALU: Walaupun sudah bertahun-tahun Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), di sini melaksanakan operasi meroboh rumah setinggan bagi membanteras masalah penempatan haram di bandar raya ini, ia masih gagal mencapai sasaran.

Buktinya, bancian DBKK pada awal tahun ini mendapati masih ada kira-kira 5,000 rumah setinggan di sekitar bandar raya ini dengan anggaran 10,000 penghuni yang kebanyakannya membina semula rumah di tapak yang dirobohkan sebelum ini. Bancian itu turut mengenal pasti 26 kawasan tumpuan penempatan setinggan dengan Menggatal, Inanam, Likas dan Sembulan antara lokasi utama penempatan haram yang kebanyakannya dihuni pendatang asing.

Persoalannya, bagaimana ia berlaku sedangkan DBKK melaksanakan operasi meroboh setinggan dengan anggaran kira-kira 1,000 rumah dirobohkan setahun tetapi apabila dibanci semula, rumah setinggan masih bertambah.

Ketua Pengarah DBKK, Yeo Boon Hai, berkata sebahagian besar setinggan dikesan dalam bancian terbaru itu ialah rumah baru yang didirikan semula di tapak setinggan yang pernah dirobohkan DBKK tahun lalu.

Katanya, sikap degil penghuni setinggan yang tidak serik membina semula rumah yang sudah dirobohkan adalah punca utama keadaan itu, menyebabkan sasaran membanteras masalah setinggan sukar dicapai sepenuhnya.
“Tahun lalu DBKK merobohkan 2,000 rumah setinggan tetapi bancian bulan lalu mendapati masih ada 5,000 rumah di 26 penempatan setinggan, termasuk yang pernah dirobohkan tahun lalu.

“Ini menunjukkan banyak rumah setinggan baru dibina semula di penempatan yang pernah dirobohkan. DBKK akan memperhebat operasi merobohkan rumah setinggan tahun ini bagi menghapuskan masalah itu,” katanya.

Beliau berkata, walaupun sudah banyak rumah setinggan dirobohkan, tindakan penghuninya membina semua penempatan haram mereka menyukarkan DBKK ‘menghapuskan’ masalah rumah haram.

Penempatan haram di belakang Likas Square dan Pusat Perdagangan Sabah, adalah antara kawasan setinggan yang tidak pernah selesai dirobohkan hingga sekarang berikutan penghuninya membina semula rumah.

Dalam operasi terbaru di kawasan itu yang disertai 30 anggota penguat kuasa DBKK awal bulan ini, 32 rumah dihuni warga asing dirobohkan.

“Bukan kali pertama kami merobohkannya tetapi penghuninya tidak pernah serik,” katanya.

Keadaan sama berlaku di kawasan setinggan lain seperti di Kampung Suang Parai dan penempatan haram tepi sungai serta kawasan bakau di belakang pusat beli-belah 1Borneo di Jalan Sulaman.

DBKK pernah menjalankan operasi besar-besaran di kawasan itu pada 2008 dan tahun lalu tetapi tinjauan mendapati masih ada rumah baru dibina semula dengan kebanyakannya dalam kawasan bakau bagi menyukarkan operasi meroboh.

Yeo berkata, usaha membanteras rumah setinggan bukan setakat untuk membersihkan bandar raya daripada penempatan haram tidak terurus, malah mengatasi kebanjiran pendatang asing di negeri ini.

“Kebanyakan penempatan haram dihuni warga asing. Kami yakin dengan terhapusnya rumah setinggan, usaha membanteras pendatang asing dapat dilaksanakan serentak,” katanya.

Beliau berkata, usaha membanteras masalah setinggan sejajar penguatkuasaan Undang-undang Kecil Bangunan Bandaraya Kota Kinabalu 1951 yang merangkumi semua binaan haram dalam kawasan bandar raya.

Usaha DBKK membanteras setinggan juga penting bagi mengatasi pencemaran sampah kerana sebahagian besar sampah yang mencemari sungai dan laut berpunca daripada setinggan.

Mereka juga dikenal pasti antara penyebab gangguan bekalan elektrik di bandar raya akibat tindakan penyambungan haram untuk mendapatkan bekalan tenaga elektrik secara percuma.

Berita Harian 15/03/10

No comments: