Monday, March 31, 2008

Idealisme bangsa mesti seiring Perlembagaan

KETENTUAN masa depan sesuatu bangsa, kelangsungan pembinaan tamadun berpencapaian tinggi, tentunya banyak dicorakkan oleh idealisme bangsa dalam mentafsirkan hala tuju perjuangan dan komitmen terhadap citra hasrat bangsa.

Begitu pun, idealisme bangsa bukanlah satu unsur tenaga yang kuat dalam menggerakkan dinamisme penjanaan kekuatan tindakan, tanpa adanya kerangka yang kukuh dalam menggemblengkan segenap potensi. Idealisme bangsa adalah unsur terpenting dalam mencetuskan aspirasi bangsa bagi memperkukuhkan teras perjuangan dan jati diri bangsa. Bagaimanapun, idealisme bangsa bukanlah sesuatu yang mutlak untuk mengikat komitmen sesuatu bangsa dalam mentakrif dinamisme inti perjuangan bangsa.

Persepsi dan pandangan politik di kalangan elit politik berkuasa, memainkan peranan penting dalam menentu sejauh mana idealisme yang diperjuangkan dalam konteks kebangkitan bangsa merdeka, terus dipertahan, diperkukuh dan ditegakkan selaras dengan arus perkembangan sosial dan pembangunan ekonomi.

Dasar dan tingkah laku politik serta kecenderungan dalam proses pembuatan keputusan menjadi petunjuk terhadap kepekaan pihak berkuasa mempertahankan idealisme bangsa serta usaha tindakan bagi memperkasa kewibawaan dan integriti bangsa. Dalam konteks pembangunan kerangka idealisme bangsa Melayu, khususnya senario pasca kemerdekaan, rujukan utama haruslah bersandarkan kepada peruntukan yang termaktub dalam

Perlembagaan negara, sebagai unsur pengabsahan kontrak sosial. Satu jaminan pengiktirafan untuk hidup bersama dalam satu negara yang dikongsi atas realiti latar belakang sosial, budaya dan agama yang berbeza.

Soal-soal yang berkaitan dengan Perkara 152, bersabit kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Perkara 153, berhubung dengan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, Perkara 3, berkait dengan status Agama Islam sebagai Agama Persekutuan, Perkara 4, berhubung dengan kedudukan Perlembagaan sebagai Undang-undang utama Persekutuan.

Seharusnya dilihat sebagai unsur utama dalam konteks pembentukan idealisme bangsa, khususnya dalam konteks pengukuhan negara bangsa dalam realiti perkongsian kuasa. Peruntukan-peruntukan ini, secara khususnya adalah teras dan tonggak utama dalam membentuk tafsiran idealisme bangsa, serta seharusnya dijadikan kerangka pandu dalam setiap penciptaan dasar sosial, ekonomi, pendidikan dan pembangunan negara. Ini bermakna, reka bentuk kepada tingkah laku politik dalam penentuan dasar pemerintahan sama ada kerajaan pusat atau negeri seharusnya tidak bersalahan dengan peruntukan ini, memandangkan ia telah menjadi kontrak sosial yang diterima semua pihak atau kumpulan etnik, bagi merealisasikan pembinaan negara bangsa.

Jelasnya, Perlembagaan negara seharusnya dijadikan induk panduan dalam konteks pembentukan kerangka pemikiran pembangunan bangsa. Maknanya, segala apa yang tercatat dalam kandungan perlembagaan harus diterjemahkan sebagai teras intisari pembentukan struktur sosial dan dinamisme politik.

Keperluan-keperluan yang berkaitan dengan perkara 4 (1) “Bahawa Perlembagaan Malaysia adalah undang-undang utama (tertinggi) Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas selepas Hari Merdeka yang berlawanan dengan Perlembagaan adalah, setakat mana yang berlawanan itu terbatal. Ini bermakna, tingkah laku politik dan realiti sosial yang bertentangan dengan hasrat dan aspirasi Perlembagaan, sama ada secara tersurat, mahupun secara tersirat dikira sebagai tidak mematuhi ‘roh dan semangat’ Perlembagaan.

Dalam hal ini, ia sama sekali bukanlah kerangka yang sesuai dalam konteks usaha menampilkan idealisme bangsa. Justeru, Perlembagaan harus diletakkan sebagai sumber utama dalam merangka pembentukan persepsi sosial di kalangan masyarakat, bahkan operasi dalam tuntutan politik dan tindakan politik haruslah berlandaskan semangat Perlembagaan.

Penulis ialah pensyarah Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UPSI

No comments: