Tuesday, March 25, 2008

Perawatan selamat untuk pesakit

PPUM terus susun strategi tingkat mutu perkhidmatan di hospital BERSAMA Timbalan Pengarah (Ikhtisas) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Jamiyah Hassan

SEBAGAI sebuah hospital yang beroperasi secara intensif apakah kekuatan PPUM? PPUM adalah hospital universiti yang tertua di negara ini. Ia di tubuhkan kira-kira 40 tahun lalu dan pada waktu itu dikenali sebagai Hospital Universiti.

Pada masa sama, fakulti perubatan Universiti Malaya (UM) cawangan Kuala Lumpur diwujudkan selepas kampus induknya di Singapura. Ketika itu, fakulti perubatan UM memerlukan hospital pengajaran bagi membantu pelajar fakulti perubatan menjalani latihan klinikal dalam perawatan pesakit. Bermulanya penubuhan itu, sejarah awal Hospital Universiti mengorak langkah di arena perawatan pesakit. Dalam masa empat dekad PPUM berkembang dan menjadi hospital yang mempunyai pelbagai pengkhususan termasuk program khusus dalam kedoktoran dan program melatih jururawat peringkat diploma dan ijazah. Keutamaan diberikan kepada keperluan asas untuk pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sejak tahun 2000, PPUM menyediakan perkhidmatan tambahan bagi membolehkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan rawatan dengan lebih selesa menerusi sayap swastanya yang menjadi pelengkap kepada operasi sedia ada.

Menjadi hospital pengajaran pertama di negara ini, apakah usaha pihak pengurusan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan?

Walaupun PPUM adalah sebuah hospital universiti, fungsi utamanya masih berkisar kepada perawatan pesakit. Pada kami pesakit amat penting dan kami ingin memberikan perkhidmatan berkualiti, selamat dan tepat pada setiap masa. PPUM mempunyai unit yang menjalankan aktiviti berteraskan kualiti. Pelbagai projek nilai tambah dilaksanakan setiap tahun. Kami menganjurkan minggu kualiti dengan mempamerkan setiap aktiviti kualiti. Ceramah pelbagai topik juga dianjurkan. Lokasi PPUM sendiri yang terletak di pusat bandar raya yang begitu pesat membangun dan maju menuntut warga kerja untuk terus inovatif dan kreatif dalam menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan. PPUM menawarkan perkhidmatan kepada semua golongan masyarakat, jadi kami perlu memenuhi keperluan setiap individu dengan memastikan setiap kes yang dirujuk dikendalikan sebaik mungkin. Peningkatan taraf sosial masyarakat setempat turut menyumbang kepada tuntutan maksimum untuk mendapatkan khidmat lebih selesa. Kemajuan teknologi maklumat (IT) turut mengubah sistem pengurusan dan banyak membantu pihak pengurusan meningkatkan perkhidmatan termasuk penggunaan teknologi tele perubatan. Setiap kali berurusan di hospital kerajaan, antara masalah dibangkitkan pesakit ialah terpaksa menunggu lama.

Bagi menangani masalah ini, apakah langkah berkesan pihak pengurusan?

Memang tidak dinafikan perkara ini adalah antara masalah yang kami hadapi. Setiap hari PPUM menerima hampir 2,500 hingga 2,800 pesakit yang memerlukan rawatan. Tidak semua klinik menghadapi masa menunggu terlalu lama. Salah satu tempat yang menghadapi masalah masa menunggu yang lama ialah di farmasi. Kami kini mengenal pasti pesakit yang datang mendapatkan ubat ulangan tanpa berjumpa doktor menunggu di tempat yang sama. Bagi mengatasi masalah itu, pelbagai usaha dilaksanakan bermula dengan usaha menambah kakitangan kaunter dan pegawai farmasi. Perkhidmatan memesan ubat menggunakan elektronik (e-prescribing) diwujudkan. Satu klinik Pharmcare diwujudkan di farmasi satelit di tingkat dua bangunan utama dalam usaha mengurangkan beban pesakit di kawasan utama farmasi. Ini digunakan untuk pesakit ulangan mengambil ubat tanpa menunggu terlalu lama. Waktu ini juga digunakan untuk memberi pengetahuan dan tunjuk ajar kepada pesakit mengenai ubat yang mereka makan. Kami juga mewujudkan pembaharuan dalam memesan ubat untuk pesakit ulangan iaitu dengan melaksanakan pesanan menerusi pelaksanaan khidmat pesanan ringkas (SMS). Perkhidmatan dilancarkan pada September 2007. Sambutan bagi khidmat ini sungguh menggalakkan. Menerusi kaedah itu, pesakit dimaklumkan mengenai tarikh dan masa mereka perlu mengambil ubat. Bagi pesakit yang hanya datang untuk mengambil ubat, giliran mereka lebih cepat. Pengasingan itu memendekkan tempoh menunggu ketika proses mengambil ubat di kaunter farmasi.

Adakah perkhidmatan lain lebih bersifat inovatif yang akan dilaksanakan PPUM dalam tempoh terdekat?

Ada beberapa perkhidmatan yang masih dalam proses pelaksanaan. Saya rasa penggunaan perkhidmatan SMS ini boleh diperluaskan lagi. Saya berharap kita boleh menggunakannya untuk mengingatkan pesakit mengenai ubat yang perlu diambil. Saya juga berharap kita dapat mewujudkan khidmat mengambil ubat menerusi kaedah pandu lalu. Memandangkan jumlah warga emas di kawasan sekitar semakin meningkat, PPUM akan menawarkan khidmat mengingatkan golongan berkenaan tempoh masa mereka untuk mengambil ubat. Faktor usia menyebabkan golongan ini sering terlupa. Kegagalan mematuhi arahan menjejaskan kesihatan. Perkhidmatan yang sudah dilaksanakan secara meluas di beberapa negara maju itu menjadi penanda aras kepada kemudahan perubatan secara berkesan.

Adakah PPUM berhadapan dengan masalah setiap kali memperkenalkan kaedah canggih dalam sistem pengurusannya?

Pada awalnya ada, bagaimanapun secara perlahan-lahan ia boleh diterima. Pelbagai usaha dilaksanakan termasuk menyediakan maklumat terkini menerusi risalah bagi membolehkan pelanggan mengikuti perkembangan hospital dari semasa ke semasa. Begitu juga dengan penggunaan imbasan sinaran x tanpa filem, pada awalnya pengamal perubatan sendiri sukar menerimanya. Bagaimanapun, dalam proses peralihan mereka diberi peluang menggunakan kaedah konvensional sebelum menjalankan tempoh percubaan beberapa minggu sebelum dilaksanakan secara menyeluruh. Kaedah ini berkesan kerana pesakit yang lazimnya terpaksa menunggu sehingga dua jam menjalani pelbagai proses bermula dengan pendaftaran, imbasan hinggalah kepada keputusan imbasan. Menerusi teknologi terkini proses imbasan lebih mudah dan pelanggan hanya perlu menjalani proses berkenaan selama 10 minit hingga setengah jam.

Selain itu apakah perkhidmatan nilai tambah yang disediakan untuk dimanfaatkan warga PPUM serta masyarakat sekitar?

Kita amat mengutamakan program pengajaran kepada warga kerja kami. Disebabkan tugas kami ialah untuk memberikan perkhidmatan kesihatan, adalah penting bagi memastikan warga kerja kami mempunyai semangat daya saing yang tinggi. Jadi, PPUM menyediakan pelbagai program serta ceramah berkisar isu kesihatan kepada pekerja kami. PPUM turut mewujudkan program pembelajaran bersama yang dinamakan 'Come and learn with me' yang dijalankan pada waktu makan tengah hari setiap bulan. Tujuannya untuk mengajak warga kerja memupuk keinginan sentiasa ingin belajar. Penceramah terdiri daripada pakar dalaman termasuk saya sendiri. Ia diadakan pada waktu makan tengah hari bagi membolehkan mereka hadir tanpa menjejaskan kerja mereka. Antara topik yang dibincangkan ialah, risiko serangan koronari jantung, perancang keluarga, masalah seksual kaum wanita, erectile dysfunction, masalah obesiti dan kanser pangkal rahim. Kami juga mengadakan forum secara percuma untuk masyarakat umum untuk memberi peluang masyarakat sekitar meningkatkan pengetahuan mengenai masalah kesihatan.

Apakah pencapaian PPUM selain daripada perawatan pesakit?

Ada beberapa pencapaian, antaranya PPUM berjaya mendapat pengiktirafan sebagai hospital rakan bayi dua tahun lalu dan ini selaras dengan objektif Kementerian Kesihatan selain aktif mengendalikan program pengajaran kepada masyarakat umum khasnya golongan ibu dan bapa yang sedang menunggu kelahiran bayi mereka.

Apakah rancangan PPUM untuk masa hadapan?

Saya rasa PPUM masih mempunyai banyak ruang untuk menambah baik dalam pelbagai segi perkhidmatan. Bagi menambah nilai perkhidmatan sedia ada dan berkualiti tidak sukar baginya untuk melaksanakan, jika ada kesungguhan semua pihak. Jadi ia suatu yang dinamik dan berterusan. Saya percaya kita akan terus menyusun strategi untuk mencapai perkhidmatan yang berkualiti tinggi. Setiap yang kita lakukan di bidang perawatan pesakit, pastikan ia dilakukan dengan sebaik mungkin. Perkhidmatan itu mestilah dilaksanakan dengan persediaan terperinci untuk kebaikan pesakit. Kita tidak mahu pesakit menjadi lebih sakit apabila mereka mendapat rawatan di hospital. Saya juga ingin nyatakan setiap kakitangan memainkan peranan penting untuk sama bergerak ke arah perkhidmatan yang berkualiti. Perlu ditegaskan di sini bahawa ada kalanya kesilapan akan berlaku. Tidak ada siapa pun yang datang bekerja untuk melakukan kesilapan. Kita perlu belajar daripada kesilapan dan perlu mengambil langkah seterusnya dalam memastikan kesilapan tidak berulang. Jadi, menjadi objektif PPUM memastikan perkhidmatan kami selamat untuk pesakit.

2 comments:

Ismail Rasyada Amk said...

Salam Hormat..
Saya seorang male nurse dari indonesia,,bolehkah kita sharing dala m ilmu perawatn,,atau munkin ada sebarang informasi utk membangun citra juru rawat
waslm.ismail rasyada

Ismail Rasyada Amk said...

laman blog saya; http://infougd.blogspot.com