Tuesday, March 25, 2008

Mengangkat martabat jururawat di Malaysia

DARIPADA 75,000 orang jururawat di negara ini, hanya tiga peratus yang memiliki ijazah kejururawatan, kata Rohani Arshad, Profesor Madya Kejururawatan yang pertama di institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Sains Kejururawatan, Universiti Malaya (UM) menyifatkan faktor penghalang utama adalah kerana timbulnya sikap ‘buat apa nak buat kursus ijazah’ di kalangan jururawat.

Sebaliknya, Rohani menegaskan dengan memiliki ijazah, mereka boleh melaksanakan tugas dengan penuh keyakinan dan mengembangkan lagi keupayaan mereka.

“Ini baik untuk pelanggan, iaitu pesakit, keluarga mereka serta pekerja penjagaan kesihatan yang lain,” jelas Rohani, merujuk kepada mereka yang bekerja dalam industri kejururawatan.

Beliau percaya dengan memiliki ijazah, pengalaman yang diraih itu akan dapat membantu jururawat dalam aspek utama seperti berfikir secara kritikal, membuat keputusan dan pembaikan secara kognitif. Ketika ini, negara tidak mempunyai ramai jururawat pakar, kata Rohani.

“Kita masih mempunyai kekurangan kronik dari segi jumlah jururawat yang diperlukan. Bila saja jururawat muda keluar dari kolej latihan dengan diploma, mereka terus ditugaskan di wad hospital.

Hanya segelintir saja yang mahu meneruskan pengajian kejururawatan ke tahap lebih tinggi,” katanya. Rohani berkata, mereka (yang segelintir) ini sanggup mengorbankan kehidupan keluarga dan wang untuk mengejar pelajaran yang lebih tinggi.

Ada di antara mereka yang mengambil cuti tanpa gaji serta menggunakan perbelanjaan sendiri untuk mengikuti kursus ijazah. Rohani berkata, mereka melihat perlunya ada ijazah kejururawatan yang boleh membantu mereka pergi jauh dalam industri ini.

Ketika ini, jururawat di hospital mempunyai beban kerja yang tinggi dan mereka tidak ada banyak masa untuk latihan bagi pembangunan kerjaya.

“Tetapi pengajian kejururawatan bukan berhenti di situ, kerana mereka masih boleh membaca jurnal. Jurnal-jurnal ini mudah didapati, jururawat juga boleh dapat sumber lain melalui internet,” kata Rohani.

Beliau berkata, perlu ada satu ’budaya’ di mana ketua jururawat sebuah wad atau unit adalah seorang yang mempunyai ijazah kejururawatan. “Tetapi, budaya seperti ini masih belum boleh dicapai ketika ini,” katanya. Kata Rohani, UM sudah mengambil inisiatif dengan menganjurkan program ijazah untuk jururawat pakar.

“Ketika ini juga, belum ada graduan peringkat sarjana kejururawatan yang dilahirkan melalui kursus di negara ini. Hanya ada lima jururawat yang sedang mengikuti kursus sarjana kejururawatan di UM pada masa ini,” katanya.

Rohani juga adalah penerima Anugerah Tokoh Jururawat Seri Zamrud 2008, anugerah penghargaan Kementerian kesihatan terhadap sumbangan jururawat di negara ini. Beliau memulakan kerjayanya sebagai jururawat pada 1969 dan kemudian mengkhusus dalam bidang kejururawatan pediatrik di Sydney, Australia. Rohani mempunyai Ijazah Sarjana Kejururawatan dan Pendidikan, University Edinburgh, United Kingdom pada 1993. Ketika ini, beliau adalah calon PhD dalam Pendidikan di Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Sebelum dinobatkan anugerah berkenaan, Rohani sememangnya sudah melakar sejarah hidup yang agak menarik sebagai seorang jururawat selama 35 tahun. Beliau pernah bertugas sebagai jururawat, ketua jururawat dan pegawai kejururawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), yang dulunya dikenali sebagai Hospital Universiti, sebuah hospital pengajar yang ulung di negara ini. Beliau bertukar ke bidang pendidikan kejururawatan daripada pentadbiran kejururawatan pada 1995.

Rohani juga dilantik sebagai perunding untuk program kejururawatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kolej Universiti Sedaya, Universiti Sarawak (Unimas) dan OUM. Rohani adalah juga pemeriksa luar untuk Sekolah Jururawat UM, Kolej Kejururawatan Puteri, Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Masterskill selain daripada penasihat akademik untuk Akademi Sains Kesihatan Bersekutu Malaysia (MAHSA). Beliau masih menjalankan usaha supaya bidang kejururawatan di Malaysia mencapai tahap penghormatan antarabangsa yang lebih tinggi.

Rohani meminta supaya kerajaan dapat menubuhkan satu jawatan petugas pada peringkat kebangsaan untuk reformasi dalam industri kejururawatan. “Jawatankuasa ini perlu melihat apakah masalah sebenarnya dalam pendidikan kejururawatan dan apakah situasi sebenar dalam industri kejururawatan di Malaysia,” kata beliau.

No comments: