Kehidupan moden berasas gaya dorong permintaan, pengeluaran tak seimbang
KEHIDUPAN moden kini penuh dengan kepelbagaian dan kerencaman. Dalam segala aspek kehidupan kita mempunyai banyak pilihan. Dari satu segi, hal ini memudahkan kita membuat pilihan yang sesuai dengan keperluan, cita rasa, sumber kewangan dan minat masing-masing.
Harga juga menjadi faktor pendorong kita membuat pilihan sesuatu barang dan perkhidmatan, selain mewujudkan persaingan sengit di kalangan pengeluar dan peruncit.
Persaingan ini menguntungkan pengguna dengan penawaran harga lebih kompetitif. Selain harga, persaingan juga membuka peluang pemasaran menerusi pelbagai media dan strategi. Inilah yang menyuburkan perkembangan fahaman kepenggunaan yang tidak lagi diasaskan kepada keperluan, tetapi turut diwarnai cita rasa, minat, gaya, imej, trend dan ikutan.
Kadangkala kita terpaksa akur dengan gaya dan model terkini biarpun bukan keperluan asas. Dari semasa ke semasa dengan publisiti dan strategi pemasaran agresif kita semakin bergantung kepada kemudahan, peralatan, perkhidmatan canggih dan gaya terkini.
Sekadar contoh, saya tidak lagi menggunakan pena untuk menulis artikel, surat apatah lagi buku sejak lebih 10 tahun lalu. Pena hanya digunakan untuk membuat catatan ringkas atau menandatangani surat.
Dengan kata lain, saya memerlukan komputer untuk menulis dan menyimpan rekod serta maklumat. Perkakasan komputer juga semakin terkini dan canggih.
Saya tidak lagi boleh menggunakan komputer meja (desktop) sebab sebahagian besar masa menulis tidak lagi di pejabat atau di rumah, sebaliknya bergantung kepada ruang masa yang ada.
Oleh itu, komputer riba menjadi satu keperluan. Disebabkan bahu saya selalu sakit, maka berat komputer riba mestilah ringan, tidak lebih 1.2 kilogram (kg). Perisian pula lebih spesifik dan mestilah boleh dipindahkan menerusi kemudahan internet.
Begitu juga dengan urusan lain dalam kehidupan. Ia menjadi semakin beraneka, rencam dan canggih. Hal ini begitu ketara dalam bidang perdagangan, pendidikan, komunikasi, pengangkutan dan pemakanan. Memang diakui bahawa kerencaman dan kecanggihan ini banyak kelebihan dan manfaatnya. Urusan hidup menjadi lebih cepat, mudah, 'sempurna, dan bergaya, walaupun perlu diteliti dari segi keberkesanan dan kosnya.
Namun, kepelbagaian dan kerencaman ini juga menyebabkan hidup kita semakin sukar dan sering melelahkan. Kita terpaksa mengikuti perkembangan sesuatu kemudahan, peralatan atau perkhidmatan untuk membolehkan kita tidak ketinggalan zaman, walaupun ia bukan satu keperluan, apatah lagi satu kewajipan.
Biasanya kita menukar peralatan seperti telefon bimbit, jam atau kamera setiap dua atau tiga tahun sekali. Bagi mereka yang prihatin dan mengikuti gaya dan perkembangan terkini, hampir setiap tahun bertukar model baru. Begitu juga dengan pakaian, komputer dan perabot. Ada hartawan pula kerap menukar kereta model terbaru biarpun kereta lama masih baru digunakan.
Dari perspektif ekonomi, keadaan ini dianggap baik dan merangsang pertumbuhan ekonomi. Konsumerisme sedemikian menyumbang ke arah peningkatan gaya hidup lebih kompetitif. Tandanya masyarakat semakin maju dan mewah. Dari perspektif pelestarian alam pula, konsumerisme sedemikian ada kekangannya.
Dengan cara hidup berasaskan cita rasa dan gaya terkini bukan suatu keperluan mendorong pengeluaran dan permintaan yang tidak lestari. Memang sistem kapitalisme tidak menyekat aktiviti ekonomi asalkan ada persetujuan antara pengeluar dengan pengguna. Namun, jika permintaan berlebihan, maka kesannya akan ketara kepada pelestarian sumber, sama ada sumber asli atau sumber boleh diperbaharui.
Dalam hal ini, kita perlu melihat prinsip pengurusan alam sekitar, iaitu semakin banyak barang dihasilkan semakin banyak sumber alam digunakan untuk membekalkan bahan mentah dan keperluan operasi. Jika bahan mentah terpaksa diproses terlebih dulu seperti membuat benang dan pewarna bagi menghasilkan pakaian, maka semakin banyak sumber diperlukan. Sumber itu termasuk bahan mentah asli, tenaga, elektrik, air dan sebagainya, kemudian diproses untuk dijadikan barang siap untuk dijual.
Biasanya pakar alam sekitar akan menentukan tahap kelestarian sesuatu barang menggunakan kaedah analisis kitaran hayat (AKH). Dari perspektif lebih luas, analisis tapak ekologi (ATE) digunakan untuk menilai komitmen kita terhadap kehidupan lestari. ATE bertujuan mengukur permintaan sumber alam merangkumi air, mineral, kayu, bahan binaan, biojisim dan sebagainya dengan membandingkan terhadap keupayaan ekosistem untuk menghasilkannya semula (regenerasi).
Pada asasnya, ATE adalah anggaran keluasan tanah dan air diperlukan seseorang manusia apabila menggunakan sesuatu produk atau perkhidmatan dengan membandingkan keupayaan sumber alam menghasilkan semula sumber itu. Tapak ekologi per kapita (gha per kapita) adalah cara menentukan penggunaan sumber secara relatif mengenai konsep keupayaan menanggung ekosistem dan lebihan penggunaan.
Konsep tapak ekologi juga semakin lumrah digunakan untuk mendidik orang ramai menghayati cara hidup lebih lestari. Ketika ini, secara global ATE menunjukkan penggunaan sumber mengatasi lebih 23 peratus berbanding dengan kadar regenerasi sumber. Secara purata, setiap warga dunia mempunyai 1.9 gha per kapita bagi pembangunan lestari.
Menurut laporan Global Footprint Network pada 2006, tapak ekologi di United Kingdom ialah 5.6, berbanding Australia 6.6, Jepun 4.4, Jerman 4.5, China 1.6, India 0.8 dan Malaysia 2.2 gha.
Kenapa negara maju mempunyai tapak ekologi lebih tinggi berbanding kebanyakan negara membangun?
Warga negara maju hidup secara mewah dari segi penggunaan sumber, sementara cara hidup sederhana seperti anjuran agama dan falsafah lestari semakin terhakis. Wang lebihan digunakan untuk berlibur, bercuti dan berhutang lagi.
Mereka tidak lagi membeli, melanggan dan menggunakan sesuatu barang, perkhidmatan atau apa saja kegiatan hidup berasaskan kepada keperluan hidup, sebaliknya hanya kepada cita rasa, minat, gaya, imej dan trend semasa.
Konsep konsumerisme hijau dan tapak ekologi mengajar kita memahami bahawa falsafah dan cara hidup memainkan peranan penting dalam kelangsungan kehidupan lestari. Kita bukan saja tidak boleh mencemarkan alam sekitar dengan pelbagai buangan, memusnahkan sistem ekologi dan hutan, malah kita juga perlu hidup secara sederhana.
Makan apabila lapar, membeli apabila tiada dan memikirkan kesejahteraan sejagat melebihi kepentingan individu.
Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Wednesday, May 28, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment