Malaysia sering diiktiraf sebagai negara Islam contoh oleh masyarakat antarabangsa. Pengiktirafan ini dibuat sama ada dalam ucapan pemimpin dunia, persidangan antarabangsa, dokumen, buku dan sebagainya. Dalam apa juga isu membabitkan Islam, Malaysia biasanya berada di barisan depan. Pelbagai institusi dan organisasi Islam atau bukan Islam, juga memberi pengiktirafan yang sama kepada Malaysia. Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, ketika berucap di Kaherah dua bulan lalu, menyifatkan Malaysia sebagai negara Islam yang maju dan progresif serta boleh dijadikan contoh. Pendekatan yang digunakan pula tidak sesekali mengetepikan atau mengabaikan kepentingan kaum atau penganut agama lain. Dasar sederhana dan pragmatik yang diamalkan umat Islam serta pemimpin negara ini berjaya mewujudkan toleransi kaum serta agama. Hal ini juga membolehkan usaha mempelopori dan memajukan sistem ekonomi Islam dijayakan dengan berkesan sehingga pertumbuhannya kini sejajar dengan sistem konvensional. Malaysia kini dikenali sebagai pusat pertumbuhan dan perkembangan sistem kewangan Islam utama dunia. Demikian juga usaha memartabatkan ilmu Islam.
Penubuhan pusat pengajian, institusi penyelidikan dan agensi kefahaman Islam bertaraf antarabangsa terus subur. Ia menarik kedatangan ramai cendekiawan dan tokoh ilmuwan Islam ke negara ini. Mereka melihat sendiri model yang dipraktikkan di sini dan mencari jalan bagaimana ia boleh disesuaikan di negara masing-masing. Sehubungan itu, kenyataan Datuk Seri Najib Razak kelmarin bahawa Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk berkongsi dengan dunia mengenai keunikannya sebagai negara Islam komprehensif bukan sekadar satu perakuan kepada pencapaian umat Islam di negara ini. Ia sebenarnya pengiktirafan kepada seluruh masyarakat berbilang kaum dan agama yang menjadikan pelbagai inisiatif menegakkan syiar Islam di negara ini sebagai sebahagian cara hidup mereka. Pembabitan dalam pelbagai produk kewangan Islam contohnya, menjadi bukti nyata bahawa ia boleh diterima pakai. Ia membuktikan kesejagatan Islam. Konsep itulah yang boleh dijadikan langkah pertama untuk memastikan Islam dapat difahami dan dihormati dengan lebih baik oleh masyarakat dunia. Kita tidak mahu dunia terus membuat tafsiran serong terhadap Islam atau mana-mana agama sekali pun seperti mengaitkannya dengan pelampau serta keganasan. Dalam konteks ini, setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agama, perlu berusaha mempertahankan kesinambungan perkembangan syiar Islam di negara ini. Setiap kita harus berbangga dengan pencapaian itu dan menjadikannya unsur yang kukuh untuk menyatupadukan, bukannya memecahbelahkan masyarakat. Kemampuan Malaysia menegakkan syiar Islam sehingga diiktiraf sebagai negara Islam contoh oleh kuasa utama dunia seperti Amerika Syarikat itu bukan kejayaan eksklusif umat Islam di negara ini. Sebaliknya ia adalah hasil komitmen bersama setiap rakyat, seperti yang digariskan oleh gagasan 1Malaysia dan perlu terus dipertahankan.
Friday, August 7, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment