Friday, August 7, 2009

Budaya inovasi bukan dimonopoli ilmuwan

MANUSIA kreatif? Pada pandangan sesetengah kalangan, mereka ialah golongan penggiat seni dan selebriti seperti kartunis Lat atau penyanyi Datuk Siti Nurhaliza. Manusia inovatif? Pada pandangan umum ialah golongan yang berpakaian santai tetapi mahir menggunakan peralatan canggih dan sentiasa mengikuti perkembangan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta berpendapatan lumayan seperti Datuk Seri Tony Fernandes. Kritis dan tidak begitu sensitif dengan cara konvensional! Demikian tanggapan terhadap kelompok kreatif dan inovatif – yang nampaknya semakin berperanan besar dalam ekonomi moden. Apakah tanggapan sedemikian tepat dan wajar? Persoalan ini penting kerana kerajaan sedang melaksanakan transformasi menjadikan kreativiti dan inovasi sebagai penjana nilai tinggi dalam model ekonomi baru. Model ekonomi itu memerlukan perubahan struktural dari segi modal insan dan bentuk kegiatan ekonomi yang akan dimajukan di Malaysia.

Maka, definisi kreatif dan inovatif menjadi persoalan yang relevan dibahaskan, khususnya dalam konteks pembangunan modal insan dari pendidikan prasekolah sehinggalah pengajian tinggi. Sehubungan itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menganjurkan Syarahan Perdana Naib Canselor pada petang 11 Ogos nanti di Kampus Kuala Lumpur untuk menjelaskan peranan universiti dalam model ekonomi baru berteraskan kreativiti dan inovasi. Syarahan berjudul 'Universiti, Kreativiti, Inovasi' itu cuba mengemukakan gagasan baru untuk membolehkan universiti memainkan peranan lebih menyerlah dan bermakna sebagai pencetus utama kreativiti dan inovasi dalam konteks institusi dan pembabitan warga tempatan, selain memantapkan lagi peranan tradisionalnya sebagai pusat perkembangan ilmu dan pemugar tradisi intelektual. Satu daripada nilai aspirasi terkandung dalam konsep 1Malaysia ialah budaya inovasi. Dalam pengertian mudah, budaya inovasi merujuk kepada kesediaan berubah, mencuba perkara dan cara baru dalam seluruh aspek kehidupan untuk kemakmuran, kedamaian, kesenangan, kesejahteraan dan kelestarian menerusi penyelesaian kreatif. Kreativiti membabitkan pemikiran, idea dan gagasan baru. Inovasi pula menjurus kepada penambahbaikan dan penyesuaian kepada pemikiran, idea atau gagasan sedia ada sehingga memberi nilai tambah baru yang boleh diguna pakai, dimanfaatkan, dijadikan asas serta dasar lebih produktif, dan bagi produk serta perkhidmatan, dikomersialkan.

No comments: