Wednesday, August 12, 2009

Pertahankan kuasa politik pribumi

TULISAN saya pada 4 Ogos lalu berakhir dengan pertanyaan: Apakah tindakan politik yang perlu kita buat sekarang? Demonstrasi atau laporan polis lagi?
Berikut ini adalah jawapannya. Saya Melayu lama. Bukan Melayu baru. Perjuangan Melayu lama setelah merdeka bukan untuk "hak asasi dan demokrasi". Ia adalah untuk memastikan kuasa utama yang memerintah bumi warisan ini, terus di tangan pribumi.
Demokrasi tidak berguna, kalau kuasa memerintah dipegang oleh warga yang asal keturunannya bukan dari dunia Melayu. Demokrasi juga tidak bermakna jika hampir seluruh kekayaan negara dibolot oleh kaum bukan pribumi.
Maka kita janganlah "mabuk hak asasi dan demokrasi" dan "taksub parti". Megah berdemonstrasi di jalanan dan jadi alat pemimpin yang enak di atas kerusi.
Ini bukan soal perkauman tetapi amalan di semua negara kecuali di Pulau Singapura. Disebabkan kesilapan percaturan politik kita, pulau milik Melayu itu diserahkan kepada bangsa dari luar Dunia Melayu.
Saya boleh terima pemerintahan rakyat Malaysia keturunan Cina dan India, sekiranya mereka betul-betul sudah menjadi bangsa Malaysia. Seperti orang Inggeris, Perancis, Itali, Jerman, Sepanyol, Yahudi dan Negro Afrika yang betul-betul jadi bangsa Amerika. Seperti orang Cina dan India di Thailand dan Indonesia. Dan mereka itu mestilah bersedia menjunjung Perlembagaan negara kita ini.
Malangnya di negara kita ini, unsur-unsur utama ke-Cinaan dan ke-Indiaan semakin bertambah kukuh berkembang. Sebaliknya ciri-ciri tamadun pribumi pula hendak dihapuskan.
Maka politik permusuhan makin meningkat dan ketenteraman awam tergugat.
Tuanku Sultan Azlan Shah memberi amaran agar tindakan "beberapa individu atau kumpulan tertentu jangan sampai membawa kepada huru-hara". Dan baginda berdoa: "Barang dijauhkan Allah, daripada bangsa menghadapi nasib malang 'menang sorak kampung tergadai', akhirnya terpaksa mengemis di bumi sendiri."
Baginda mengakui, "Raja dan takhta sebenarnya berada di atas politik dan tidak boleh turun untuk berdebat secara terbuka memberi jawapan dan menangkis tohmahan serta fitnah yang dilemparkan."
Akan tetapi, pada hari ulang tahun keputeraan ke-81, baginda terpaksa turun menyatakan titah murka apabila terbukti "Badanbadan penguatkuasa dicabar secara provokatif, masjid dan kesucian Islam rela dinodai, malah institusi raja dan takhta turut dicemar dan dihina menerusi taktik menyemai rasa benci rakyat terhadap raja."
Justeru baginda memperingatkan: "Raja pemerintah bukan daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan. Bahkan segala yang berlaku dalam negara adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran dan pertuturan raja pemerintah."
Oleh yang demikian, rakyat yang taat setia kepada raja dan negara, amat mengharapkan dapat apalah kiranya Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu akan segera mengambil apa juga tindakan yang berkesan bagi menyelesaikan kemelut politik sekarang.
Seperti yang baginda sebutkan, "Raja Berperlembagaan" boleh "bertindak tertakluk kepada kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan".
Baginda telah juga menegaskan: "bahawa raja pemerintah adalah sebahagian daripada institusi negara yang diperuntukkan dengan kuasa budi bicara oleh Perlembagaan untuk melaksanakan 'semak dan imbang' demi memelihara ketenteraman awam, kestabilan negara, kepentingan umum dan kebajikan warga terus terpelihara di samping memastikan perkara-perkara pokok dan fundamental mengenai agama Islam dan orang Melayu kekal di pertahankan".
Maka tiada seorang pun akyat yang taat setia kepada raja, Perlembagaan dan negara ini boleh mempersoalkan tindakan Duli-Duli Yang Maha Mulia menggunakan "kuasa budi bicara" itu, untuk tujuan-tujuan yang disebut di atas.
Yang menentang hanya penderhaka, pengkhianat bangsa dan negara selain kalangan orang Melayu yang mabuk politik dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat kuasa.
Ampun Tuanku. Masa sudah terlewat. Kuasa dan kebijaksanaan mestilah dipergunakan. Patik mohon permintaan ini dipertimbangkan jua. Ini bukan sembah derhaka.
Matlamat merapatkan jurang penguasaan ekonomi Cina-Bumiputera dan menghapuskan pengenalan kaum berdasarkan tempat tinggal, gagal dicapai. Bahkan sumber utama Tragedi 13 Mei ini, semakin ketara.
Jika tindakan dan program yang lebih drastik tidak dilakukan, akan wujud lebih banyak bandar dan taman perumahan Cina.
Justeru pertumbuhan bandar dan taman perumahan tidak boleh dibiarkan sesuka hati pemaju hartanah.
Jangan terlalu mengejar ekonomi, kesan buruk politik dilupakan. Ini cabaran utama untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Lebih banyak wujud bandar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Penang, Petaling Jaya, Subang Jaya, Kota Damansara, Bandar Sunway, akan merombak keseimbangan kuasa politik kerana undi perkauman.
Dan ini akan menjadi bom jangka yang mencari sebab sahaja untuk meledak. Matlamat Satu Malaysia tak akan tercapai.
Perdana Menteri melancarkan pelbagai projek pembangunan, memberi bermacammacam subsidi dan bantuan kepada semua golongan rakyat. Akan tetapi saya tidak pernah mendengar sambutan daripada pemimpin-pemimpin yang mewakili pelbagai kaum dan pertubuhan rakyat. Seolah-olah segala yang diberi dan dirancangkan itu tidak pernah sampai kepada rakyat, pegawai dan kakitangan kerajaan.
Maka kerajaan perlu menukar strategi dan cara. Para menteri dan isteri mereka perlu mengurangkan bicara. Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tidak perlu membuat ucapan dan kenyataan untuk siaran media setiap hari, sepanjang masa.
Apa kata kalau ditugaskan pegawai kerajaan, pemimpin persatuan guru, pegawai dan kakitangan kerajaan dan pelbagai pertubuhan rakyat, wakil buruh, petani dan nelayan - daripada semua kaum - naik ke pentas berpidato dan melancarkan program kerajaan dan menyampaikan bantuan untuk mereka.
Menteri jadi tuan rumah dan menyambut pemimpin rakyat ikut duduk di depan.
Saya tidak dapat mencari jawapan, mengapa ramai pegawai kerajaan bersikap "apati dan tidak apa". Ramai pula yang amat gembira memperkecil-kecilkan, malah mengejek-mengejek kerajaan tempat mereka mendapat rezeki keperluan hidup.
Mengapa orang Melayu suka sangat menghina bangsanya sendiri? Apakah mereka lupa, mereka dapat berada di tempat sekarang kerana yang berkuasa adalah bangsa kita? Maka kerajaan mestilah menukar cara.
Raja Pemerintah telah melangkah keluar dari tembok istana, menitahkan hujah politik secara terbuka, menangkis serangan, membela bangsa. Menteri pun pasti boleh menukar cara. Mengangkat rakyat ke pentas, menggantikan menteri untuk berbicara. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya.
Bahagian kedua rencana ini akan disiarkan esok.

PENULIS ialah bekas Setiausaha Politik kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi Perdana Menteri

No comments: