KINI kita kian merasakan kemerosotan semangat kebangsaan atau nasionalisme Malaysia. Apakah hal itu berlaku kerana sifat kepelbagaian kita, lalu mengakibatkan terjadinya perpecahan persepsi. Kita terdiri daripada pelbagai kaum, menganuti pelbagai agama dan kepercayaan serta amalan budaya dan adat resam yang tidak sama. Gagasan 1Malaysia bermatlamatkan 'Kesatuan Dalam Kepelbagaian', tetapi apakah kita benar-benar memahaminya? Di manakah letaknya teras-teras perpaduan dan nilai berasaskan penerimaan, prinsip kenegaraan (berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara) serta keadilan sosial. Ada puak politik sudah tidak memandang penting lagi akan aspirasi Perlembagaan itu, lalu dengan mudah memperlekeh prinsip-prinsipnya dan memperkecilkan tonggak-tonggak kenegaraan yang pokok. Malah, ada gerakan pihak tertentu mahu merobek dan mengubahnya.
Suatu waktu kita pernah mendengar bagaimana rakyat Malaysia memperleceh negara sendiri di luar negara atau bertindak memburuk-burukkan Malaysia di mata dunia. Mereka sanggup bersekongkol dengan tokoh-tokoh asing atau menggunakan media asing. Mereka bukan tidak tahu, 'menepuk air di dulang akan terpercik ke muka sendiri'. Rakyat negara maju seperti Korea dan Jepun tidak pula menghina negara sendiri. Orang Singapura pun tidak begitu. Mereka sentiasa mempertahankan negara sendiri. Kalau istilah 'kiasu' dikaitkan dengan sikap tidak mahu mengalah, amalan orang Jepun dengan budaya Jepunnya. 'Kiasu' menunjangi semangat Singapura, rakyatnya sedia memperbaiki kelemahan negara, tetapi tidak memburukkannya. Di Malaysia, konsep perjuangan dalam ungkapan 'biar berputih tulang jangan berputih mata' terbiar di tangan sendiri. Ada orang sanggup menjadi lalang, mudah meliuk lintuk ke sana dan ke mari.
Kita ada satu dekad lagi untuk mencapai Wawasan 2020. Kita mahu maju bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi maju dalam kematangan berpolitik. Rakyat menjiwai kesatuan bangsa Malaysia sepenuhnya. Aspek sosial dan kebajikan, kesejahteraan dan ketinggian nilai moral dan akhlak kekal terpelihara.
Kadang-kadang fenomenanya kritikal disebabkan suasana politik yang sukar dibaca, adanya gerakan pembangkang yang ekstrem dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan sendiri yang tidak konsisten, sekalipun dasar-dasar itu bermatlamat membina nasionalisme Malaysia. Cuba lihat di mana nasionalisme kebudayaan, nasionalisme bahasa dan kekentalan semangat patriotisme terhadap negara yang satu ini. Jika nilai-nilai budaya perkauman dibiarkan mengatasi nilai-nilai kenegaraan, keterlaluan faham 'multi-culturalisme', 'pluralisme', 'laissez faire' tanpa batas, maka di manakah mungkin lahir segera sifat-sifat kenegaraan atau kebangsaan Malaysia itu?
Nasionalisme sesebuah negara maju dicerminkan oleh kekuatan kebudayaan dan jati diri bangsanya. Jadi, kesayangan dan kecintaan terhadap negara sebenarnya menjadi kayu pengukur akan nasionalisme bangsa Malaysia itu. Di sana sini, orang-orang politik pula menggunakan istilah semahu-mahunya tanpa jelas, tepat dan mendukungi makna falsafah atau kebenaran maknawiahnya.
Misalnya, kata 'bangsa' yang merujuk kepada 'negara' atau kita sebagai satu bangsa Malaysia disamakan dengan erti kaum. Memang rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik, tetapi mereka itu tetap bersatu atas nama satu bangsa, yakni bangsa Malaysia.
Kaum Cina atau India warga Malaysia, adalah sebahagian daripada bangsa Malaysia. Kebangsaan (nationality) mereka adalah kebangsaan Malaysia. Namun, kedangkalan ilmu persuratan dan buta sejarah lambat laun akan meruntuhkan peradaban sendiri, apalagi jika kaki di sini tetapi akal di bumi orang.
Di sinilah, peranan sistem dan kurikulum pendidikan dalam nasionalisme. Kenapa tidak dijadikan sejarah dan sastera subjek wajib merentasi kurikulum?. Kita hanya ada satu Malaysia. Kemusnahan negara mengakibatkan kemusnahan kita. Orang politik selalu bermain dengan api perkauman.
Konsep negara maju yang mahu kita bina itu mengikut acuan kita sendiri. Maknanya acuan budaya. Apakah acuan barat atau acuan asing dari segala ceruk rantau dunia yang mahu kita pakai? Kemajuan sepenuhnya itu untuk apa dan untuk siapa? Tanyakan diri bagaimana sifat-sifat perpaduan negara yang kita maksudkan, formula integrasi sosialnya, budaya ekonomi secara mana? Nyatakan rupa bentuk keadilan sosial yang mahu kita bina agar kemiskinan dapat kita hapuskan tanpa mengira kaum. Jika Melayu dan bumiputera diberikan keutamaan dan keistimewaan kerana kemunduran, kemiskinan dan kedaifan mereka, kenapa hakikat ini sukar diterima?
Itulah juga tuntutan Perlembagaan. Sepatutnya tidak ada cemburu seandainya Model Baru Ekonomi (MBE), bermula dengan Rancangan Malaysia Kesepuluh itu memasukkan satu bahagian khusus tentang mekanisme menyelesaikan isu ini.
Kenapa semangat kebangsaan atau nasionalisme kita merosot? Jika nasionalisme kita merosot, apakah ada jaminan bahawa kita akan dapat mencapai tahap sebuah negara maju? Jepun, Korea Selatan, Perancis, Jerman, dan beberapa negara lain adalah contoh negara-negara yang mencapai kekuatan kerana nasionalisme budayanya yang tinggi. Keyakinan asing kepada negara kita terletak kepada tahap keyakinan kita.
Kita kehilangan nasionalisme kerana rakyat kita berjiwa perkauman. Kita akan dipandang rendah apabila kita sendiri tidak memandang tinggi akan diri dan bangsa sendiri. Menjelang tahun 2020, kita mahu melihat sistem pemerintahan yang mantap sesuai dengan keyakinan baru yang dipupuk.
DATUK A. AZIZ DERAMAN ialah AJK Gapena dan Mantan Ketua Pengarah DBP/Mantan Ketua Pengarah Kebudayaan
Monday, June 28, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment