2010/06/24
Semakin ramai lepasan SPM cemerlang ikuti matrikulasi kecewa tidak diitawarkan jurusan diminati di universiti
AYAH mahu kamu belajar sampai masuk universiti. Keluar nanti jadi doktor. Belajar rajin-rajin supaya boleh masuk universiti. Keluarga kita bukannya ada duit nak hantar kamu ke kolej swasta.”
Tekanan sebegini selalu sangat diberikan ibu bapa kepada anak mereka terutama bagi yang mahu menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini kerana bagi ibu bapa, tiada jalan terbaik bagi merencanakan masa depan anak mereka kecuali mengejar ijazah di universiti terkemuka.
Jika ditanya pada pelajar, ramai yang menyatakan keinginan untuk mengikuti pengajian ijazah berbanding diploma, sedangkan sudah ramai pelajar berjaya mencapai kedudukan tinggi dalam kerjaya hanya bermula dengan diploma.
Mungkin atas sebab itulah, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar membuat kenyataan seolah-olah mempertikaikan keberkesanan sistem matrikulasi dalam menjanjikan peluang kemasukan ke jurusan ijazah, selain sijil matrikulasi sendiri tidak layak dijadikan dokumen rasmi menyertai pasaran pekerjaan.
Kata Dr Sahol Hamid, jika dibuat perbandingan, pelajar yang memasuki jurusan matrikulasi terpaksa bersaing dengan pelajar bukan Bumiputera yang mengambil peperiksaan STPM dan kebiasaannya, mereka akan mengisi tempat dalam jurusan perdana, misalnya perubatan dan perakaunan.
Keadaan ini menyebabkan ramai pelajar Melayu yang juga lulus cemerlang tetapi gagal dalam kiraan merit akan diserapkan ke jurusan bukan pilihan mereka, sekali gus bakal melahirkan bakal pekerja kurang berkualiti disebabkan ia bukan pilihan mereka.
Ia sekali gus merugikan industri, malah dikatakan antara penyebab ramai pelajar lepasan ijazah memilih menjadi guru dengan menyertai Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI).
“Jumlah pelajar matrikulasi gagal mendapat tempat dalam jurusan yang mereka minat semakin ramai. Boleh dikatakan membimbangkan dan perlu tindakan segera. Realitinya, ramai yang tak sedar bahawa ada jalan lain untuk menyertai kursus yang mereka lebih berminat.
“Pengambilan pelajar matrikulasi perlu dikurangkan supaya lebih fokus dapat diberikan. Ia penting bagi memastikan mereka yang memasuki matrikulasi mendapat tempat dalam jurusan yang mereka minat.
“Tempat ke universiti untuk pelajar matrikulasi memang cukup tetapi masalahnya ialah jurusan. Bukan semua 30,000 pelajar matrikulasi berjaya, ada yang gagal,” katanya.
Beliau berkata, tempoh pengajian dalam bidang matrikulasi selama setahun pendek berbanding dua tahun bagi pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan tiga tahun bagi diploma, sekali gus mewujudkan tekanan tinggi terhadap pelajar matrikulasi untuk menghabiskan pelajaran dalam masa singkat.
“Budaya pelajar Melayu belajar sangat berbeza. Orang kita tak tahan tekanan. Mereka sebenarnya hebat tetapi ada budaya belajar tersendiri.
“Mereka bukan manja tetapi memerlukan tempoh agak panjang untuk membiasakan diri. Sebenarnya, jika diberi ruang dan masa secukupnya, orang kita (Melayu) mampu tampil hebat,” katanya.
Beliau berkata, persoalan lain ialah adakah pelajar matrikulasi sekadar menghafal untuk lulus cemerlang atau benar-benar menguasai ilmu yang diajar.
Dr Sahol berpendapat lebih menguntungkan jika pelajar memasuki jurusan peringkat diploma terlebih dulu kerana ia akan membolehkan mereka memasuki kursus diminati dan pasti ada tempat di universiti yang mempunyai pelbagai cabang kursus.
Selain itu, katanya, pembelajaran pada peringkat diploma lebih sesuai untuk membina daya pemikiran mengikut umur dan memberi peluang pelajar menyerap tekanan dengan lebih baik kerana tempoh pengajian lebih selesa selama tiga tahun.
“Peluang untuk lulus dalam jurusan peringkat diploma pula tinggi. Ketika ini mereka mempunyai dua peluang saluran iaitu ke peringkat ijazah atau memasuki industri. Berbanding ketika di matrikulasi, ramai yang gagal mendapat tempat sesuai.
“Sekurang-kurangnya, jika memasuki kursus diploma dan gagal mendapat kelulusan cemerlang, mereka masih boleh bekerja. Peratusan gagal dalam diploma pula tidak lebih lima peratus,” katanya.
Katanya, meskipun banyak manfaat jika memasuki kursus diploma, tidak ramai sedar kerana berasakan ia adalah peringkat rendah berbanding matrikulasi. Selain itu, pihak sekolah atau kaunselor sendiri kurang faham mengenai faedah dan keburukan sesuatu kursus.
Merujuk kepada peluang kerjaya, Dr Sahol berkata kebanyakan syarikat atau industri lebih berminat dengan pelajar berkemahiran dan yang memiliki diploma.
“Saya kerap dikunjungi wakil industri yang lebih berminat dengan pelajar diploma kerana mereka berkemahiran,” katanya.
Justeru, beliau berpendapat Kementerian Pelajaran tidak perlu membuat pengambilan terlalu ramai untuk peringkat matrikulasi bagi mengelakkan pelajar Melayu tidak rugi dan gagal memperoleh kursus yang dikehendaki.
Ini kerana, katanya, pengamatannya ke atas kualiti pelajar di universiti dan lepasan diploma yang menyambung pengajian ke peringkat ijazah lebih berkualiti berbanding mereka yang menyertai matrikulasi terlebih dulu.
Matrikulasi ‘Bazir masa dua tahun jika gagal ikuti kursus diminati’
2010/06/24
MATRIKULASI sebenarnya merugikan orang Melayu lantaran ramai yang menempuh tempoh pengajian selama satu hingga dua tahun yang dianggap sia-sia kerana akhirnya tidak berjaya mendapat tempat dalam kursus yang dikehendaki, sedangkan mereka adalah kumpulan pelajar berpotensi dan cemerlang pada peringkat SPM.”
Itu antara pandangan yang dilontarkan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim, ketika diminta mengulas mengenai senario kedudukan pelajar matrikulasi terutama membabitkan pelajar Bumiputera.
Kata beliau, majikan ketika ini lebih gemar memilih pekerja yang mempunyai kemahiran khusus serta lebih fokus.
“Secara perhitungan kasar, pelajar yang gagal peringkat matrikulasi sudah membazirkan masa selama hampir dua tahun, sedangkan jika mereka mengikuti program diploma, dalam masa lima tahun, mereka sudah boleh menyelesaikan pengajian sehingga ke peringkat ijazah. Malah, ada yang boleh mendapat ijazah dalam masa empat tahun.
“Berbeza dengan pelajar matrikulasi, kebanyakan mereka terpaksa melalui tempoh pengajian hampir enam tahun untuk memiliki ijazah, sedangkan mereka pelajar cemerlang,” katanya.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Pahang, Mohd Aedlan Nur Ahmad, berkata beliau sendiri adalah produk matrikulasi yang dikecewakan kerana tidak mendapat kursus dikehendaki meskipun kelulusannya layak untuk memasuki bidang berkenaan.
“Ketika matrikulasi saya memilih bidang biologi tetapi ditawarkan untuk kursus dalam bidang kejuruteraan. Ia menyebabkan saya terpaksa belajar semula bidang fizik. Ia membuktikan dakwaan ramai orang yang matrikulasi sebagai tiket untuk masuk ke IPT tanpa mengambil kira kursus yang diingini.
“Bagi saya, pelajar diploma lebih baik sebabnya sejak awal lagi sudah didedahkan dengan bidang kursus tertentu dan alam pengajian di IPT. Berbeza dengan pengalaman di matrikulasi, setahun di sana bagai tiada apa-apa. Saya sebenarnya cemburu melihat rakan dari program diploma.
“Mereka (pelajar diploma) nampak seakan-akan sudah menguasai banyak bidang berbanding kami yang lahir daripada program matrikulasi. Mereka juga menguasai banyak ilmu luar kelas termasuk kepemimpinan. Pendek kata, mereka lebih matang,” katanya.
Bagi Mohd Aedlan, paling mengecewakan ialah sepanjang pengamatannya, hampir lebih separuh daripada pelajar di matrikulasi tidak mendapat tempat dalam jurusan yang diingini.
Berbeza pula pandangan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Hilmi Juhari, yang beranggapan pemikiran pelajar matrikulasi lebih terbuka dan mampu diberi pendedahan bersaing dengan ramai pelajar.
Justeru, baginya, tidak timbul soal rasa kecewa jika tidak mendapat tempat dalam jurusan yang dikehendaki kerana sebenarnya matrikulasi satu laluan untuk ke IPT dengan ada dua lagi saluran lain iaitu diploma dan STPM.
Namun, dia mengakui jika dilihat dari segi kualiti pelajar ijazah di IPT, ia lebih dikuasai lepasan diploma yang kelihatan lebih matang serta mudah menguasai sesuatu bidang, mungkin kerana tempoh pengajian mereka sebelum ini yang lebih lama berbanding hanya setahun ketika di matrikulasi.
Friday, June 25, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment