KEBELAKANGAN ini banyak perubahan atau pindaan yang ingin dilaksanakan kerajaan. Salah satunya ialah memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Seperti biasa ramai yang mengusulkan pandangan.
Agak merimaskan apabila polemik pemansuhan peperiksaan tersebut dibiarkan berlarutan. Ini kerana banyak pihak tertunggu-tunggu apakah keputusan sebenar kerajaan. Malang apabila isu ini disensasikan dan dipolitikkan pihak tertentu kerana memakan masa yang lama untuk dimuktamadkan.
Seharusnya pindaan, rombakan atau penstrukturan semula tidak dilakukan secara kerap kerana ia akan mengundang tanggapan negatif masyarakat dan inilah yang menyebabkan kerajaan dituduh flip-flop dalam melaksanakan sesuatu keputusan.
Mengenai peperiksaan UPSR dan PMR, secara peribadi, PMR wajar dimansuhkan tetapi tidak bagi UPSR berdasarkan justifikasi berikut. UPSR perlu dikekalkan atas dasar ia menjadi penunjuk aras pencapaian dan keupayaan murid sekolah rendah menerima pendidikan formal selama enam tahun, seterusnya dapat menilai keberkesanan pelajaran dan pembelajaran di sekolah. Pencapaian murid dalam UPSR selama ini meningkat dan peratusan semua lulus dan 100 peratus (%) A juga bertambah. Jadi, mengapa ia perlu dimansuhkan?
Kejayaan tersebut belum memadai kerana masih banyak sekolah luar bandar menunjukkan prestasi yang kurang memberangsangkan. Tahap pencapaian murid juga bergantung kepada kaedah pengajaran dan cara pemahaman yang disampaikan oleh guru.
Tambahan pula kerajaan telah menetapkan bahawa dalam tempoh tertentu pada masa akan datang, setiap bakal guru yang akan mengajar di sekolah rendah perlu memiliki kelayakan ijazah.
Sudah tentu kesemua mereka ini diberikan kepercayaan untuk mengajar di peringkat sekolah rendah. Kemuncaknya, UPSR menjadi penentu kepada sejauh manakah kelayakan tinggi yang dimiliki guru mampu menyediakan murid cemerlang UPSR sekali gus peperiksaan itu menjadi cabaran kepada guru dan murid untuk menempuhnya. Jadi, adakah wajar UPSR dimansuhkan setelah langkah penyediaan guru yang lebih berkualiti diambil?
Soal sistem pembelajaran sekarang berorientasikan peperiksaan sepatutnya tidak timbul kerana peperiksaan itu perlu dan keputusan untuk memansuhkannya dirasakan tidak tepat kerana kita mungkin mempunyai alternatif lain.
Apa gunanya jika UPSR dimansuhkan tetapi diganti dengan peperiksaan lain? Ia sama sahaja dan kita janganlah menjadikan perkara ini sebagai jenaka dengan memansuhkan UPSR tetapi selepas itu diwujudkan pula peperiksaan lain. Ia tetap peperiksaan.
Alternatif yang mungkin boleh dilaksanakan ialah mengekalkan UPSR tetapi konsep atau format peperiksaan itu perlu diubah, tidak hanya berteraskan peperiksaan bertulis sahaja tetapi mungkin boleh ditokok tambah dengan elemen lain dengan turut menyertakan pemarkahan dalam pencapaian luar kelas, keterampilan, mock interview atau kerja kursus mengikut tahap kesesuaian peringkat umur pelajar supaya lebih dinamik dan mengikut spesifikasi yang diinginkan dalam melahirkan pelajar yang lebih berkualiti dan tidak terlalu bergantung dengan keputusan peperiksaan bertulis semata-mata.
Ini membolehkan guru-guru menilai sendiri pelajar yang berpotensi dan menyerlah ketika dalam sesi pembelajaran dan keupayaan menyelesaikan tugasan yang diberikan. Ia secara tidak langsung menepati konsep penilaian berterusan yang menjadi asas kepada pendidikan sepanjang hayat.
Maka dengan itu, para pelajar juga tidaklah terlalu memfokuskan kepada pelajaran akademik sahaja tetapi mereka juga perlu mengambil bahagian dan menonjolkan kemampuan dalam setiap elemen yang akan ditetapkan dalam 'peperiksaan baru' tersebut sepanjang tempoh persekolahan selama enam tahun dan bukannya hanya bersedia pada saat-saat akhir peperiksaan seperti mana yang sering kita dengar dari mulut para pelajar sebagai last minute study.
Atau, mungkin sudah tiba masanya sekolah-sekolah sama ada sekolah rendah mahupun menengah memulakan sistem pointer iaitu dengan mengumpul purata nilaian gred (PNG) dan purata nilaian gred keseluruhan (PNGK) seperti yang diamalkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan universiti. Bagaimanapun, sistem ini agak rumit jika hendak dilaksanakan di sekolah rendah. Justeru, satu mekanisme baru perlu diwujudkan dengan mengguna pakai atau mengaplikasikan sistem ini tetapi disuaipadan dengan tahap sekolah rendah agar lebih relevan.
Melalui sistem ini, pemarkahan pelajar ditentukan berdasarkan peratusan tertentu yang telah ditetapkan untuk beberapa elemen pada setiap semester sepanjang tempoh persekolahan. Sebagai contoh, 40% daripada markah peperiksaan bertulis UPSR akan ditambah dengan kerja kursus (10%), kehadiran (10%), partisipasi dalam kelas, (10%) , dan kokurikulum (30%) setiap semester. Kesemua markah tersebut akan dikumpul dan dikira sebagai purata lalu diterjemahkan sebagai keputusan keseluruhan UPSR serta diberikan gred bagi setiap mata pelajaran. Ini bermakna purata markah yang telah dikumpul sejak darjah 1 hingga 6 akan menunjukkan keupayaan dan nilai sebenar murid itu.
PMR pula dilihat lebih wajar dimansuhkan kerana ia sekadar satu platform untuk menempatkan pelajar ke sekolah dan aliran tertentu apabila mereka menginjak di tingkatan empat dan lima (menengah atas).
Mungkin ada yang menyatakan PMR boleh dijadikan sebagai medan untuk menebus kesilapan dan kegagalan UPSR agar pelajar boleh berhijrah dari sekolah menengah harian biasa ke sekolah berasrama penuh (SBP) atau ke MRSM atau mana-mana sekolah elit setelah mereka memperoleh keputusan yang cemerlang dalam PMR. Ya, mungkin alasan tersebut boleh dijadikan sandaran tetapi adakah menempatkan diri di sekolah pilihan menjadi keutamaan berbanding dengan keputusan cemerlang yang perlu diperoleh?
Di sinilah kita dapat lihat mengapa perlunya UPSR dikekal dan diperkasakan supaya murid mempunyai kesedaran dari awal lagi untuk berusaha dan meningkatkan kemahiran insaniah agar dapat menempatkan diri di sekolah elit dengan pencapaian membanggakan apabila mereka berada di peringkat sekolah menengah.
Kita tidak mahu PMR sekadar dijadikan alat untuk menebus kembali kegagalan UPSR seolah-olah peperiksaan tersebut merupakan talian hayat bagi mereka yang lambat menerima kesedaran. Kita tidak mahu apabila calon UPSR mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan, mereka akan menaruh harapan pula kepada PMR dengan kata-kata ini, "tak apa, PMR nanti aku nak berusaha lebih baik". Ia menggambarkan para pelajar gemar bertangguh dan terlalu mengharap peluang kedua untuk mencapai kejayaan. Tanggapan ini perlu diubah.
Selain itu, kewujudan PMR telah memberi tekanan kepada pelajar khususnya apabila mereka berada di tingkatan tiga. Jika sekolah rendah hanya mempunyai satu peperiksaan iaitu UPSR sepanjang enam tahun persekolahan, mengapa di peringkat sekolah menengah para pelajar perlu menghadapi dua peperiksaan iaitu PMR dan SPM dalam tempoh lima tahun persekolahan? Faktor peringkat umur, tempoh masa dan tahap kesukaran kurikulum juga patut diberikan perhatian.
Tempoh lima tahun dengan dua peperiksaan itu dilihat membebankan pelajar. Adalah lebih baik jika 'halangan' yang perlu dilalui pelajar tingkatan tiga dihapuskan kerana ia akan menawarkan satu nilai masa dan ruang yang selesa bagi pelajar meneruskan pelajaran dan kegiatan luar kelas tanpa dikenakan sekatan dan tekanan peperiksaan.
Perlu diketahui bahawa terdapat sekolah yang mengehadkan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum apabila mereka berada di tingkatan tiga atas alasan mereka harus menumpukan kepada soal akademik, tambahan pula banyak program ilmiah dan kem kecemerlangan telah dirangka pihak sekolah sebagai mempersiapkan diri mereka untuk menghadapi PMR. Ini merupakan satu bentuk tekanan kepada pelajar kerana keinginan mereka untuk bergiat aktif dalam aktiviti luar kelas telah dinafikan.
Maka kewajaran untuk memansuhkan PMR dilihat lebih relevan kerana fungsi dan peranannya tidak menjadi suatu keutamaan jika dibandingkan dengan UPSR.
PENULIS ialah pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia
Monday, June 28, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment