Thursday, February 7, 2008

Budaya antijenayah patut jadi cara hidup

YAYASAN Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) meminta rakyat Malaysia berusaha mencapai tahap jenayah sifar dengan membentuk budaya antijenayah dan menjadikan keselamatan sebagai cara hidup.

Usaha membasmi jenayah tidak akan berkesan dan berkekalan kecuali seseorang itu bertekad dan bersedia untuk mengamalkan budaya antijenayah dan menjadikan keselamatan sebagai cara hidup.

Memandangkan ada peningkatan kejadian jenayah dilaporkan di media, sudah sampai masanya bukan saja pihak berkuasa tetapi semua lapisan masyarakat diberi kesedaran mengenai penting tindakan pantas dan berkesan menangani isu dan punca jenayah.

Misalnya, aduan atau cadangan dikemukakan kepada pihak berkuasa mengenai langkah yang boleh dilakukan untuk mengelakkan berlakujenayah perlu ditangani segera. Setiap aduan bersangkutan pencegahan jenayah perlu diberi perhatian.

Jika ada aduan mengenai pemasangan lampu jalan untuk mengatasi masalah jalan atau lorong gelap atau aduan memerlukan tindakan untuk meningkatkan keselamatan jalan ke sekolah dan -taman perumahan, maka ia perlu diambil tindakan segera.

Oleh kerana kejadian jenayah berterusan dan kenyataan bahawa pihak penguat kuasa undang-undang saja tidak mampu mengatasi masalah itu, kerajaan perlu mengadakan dasar dan program sosial berkesan untuk mengekang dan membasmi jenayah.
Bagaimanapun, kerajaan juga memerlukan pihak lain berkepentingan seperti peniaga, penduduk, pekerja profesional dan orang ramai untuk memerangi jenayah.

Oleh itu, pembuat dasar, ahli akademik dan pelbagai lapisan masyarakat perlu bersatu menghadapi cabaran dan menjadikan bandar, pekan dan kampung selamat didiami. Usaha berterusan perlu dilakukan untuk mengurangkan kadar jenayah dan perasaan takut terhadapnya di samping mewujudkan kejiranan dan bandar lebih selamat agar perniagaan dan penduduk boleh maju.

Agenda untuk mengawal dan membasmi jenayah memerlukan usaha bersinergi, bersepadu dan bersungguh-sungguh semua pihak. Semua pihak mempunyai peranan dan tugas untuk dilakukan untuk memerangi jenayah. Orang awam perlu diberi kesedaran bahawa tanggungjawab memerangi jenayah adalah tanggung jawab bersama.

Sejak penubuhannya, MCPF terbabit secara aktif dalam kempen kesedaran dengan pelbagai organisasi berteraskan masyarakat untuk membantu meningkatkan kesedaran mengenai keperluan untuk tidak mengambil ringan keselamatan mereka, sebaliknya mengambil bahagian secara aktif untuk memerangi jenayah.

Melalui projek inisiatif kejiranan selamat, MCPF berharap dapat menyenaraikan penyertaan semua lapisan masyarakat dalam mendidik orang ramai mengenai apa yang mereka perlu lakukan untuk mengelakkan jenayah.

TAN SRI LEE LAM THYE, Naib Pengerusi, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

No comments: