Tuesday, February 5, 2008

KAUM INDIA PERLU MANFAATKAN KEWUJUDAN POLISI BARU

POLISI baru untuk kaum India yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, sudah pasti akan dicanang oleh pembangkang dan golongan yang tidak senang dengan kerajaan sebagai satu tindakan politik.
Pada saat-saat pilihan raya umum semakin hampir, apa jua perkara boleh menjadi isu.
Tidak salah untuk melihat dasar baru itu sebagai satu tindakan politik asalkan yang penting ia bukannya retorik.
Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, polisi itu menandakan komitmen kerajaan untuk terus meningkatkan taraf hidup kaum India.
Ia akan meliputi penambahan peluang kerjaya dalam sektor awam; lebih banyak biasiswa kepada pelajarnya; peningkatan pinjaman mikro kepada yang minat berniaga dan peluang mendapat latihan kemahiran.
Hal ini bukan pula bermakna pada masa sekarang tidak ada peluang untuk orang India mengisi jawatan dalam sektor awam. Atau tidak ada pelajar kaum itu yang memperoleh biasiswa. Apatah lagi tiada usahawan mereka yang mendapat kemudahan pinjaman.
Hakikat bahawa kaum India berjaya menguasai hampir 25 peratus kerjaya profesional seperti menjadi doktor perubatan, doktor haiwan dan peguam bahkan jutawan terkaya di Malaysia – membuktikan ruang dan peluang sebenarnya terbentang buat mereka.
Mereka memperolehnya seperti juga kaum lain di negara ini kerana mereka rakyat Malaysia.
Pertimbangan yang dibuat oleh kerajaan untuk memperkenalkan dasar baru itu, tidak lain untuk membantu memastikan ‘lebih banyak’ ruang dan peluang dibuka kepada kaum India.
Pada akhirnya, semua berbalik kepada soal sikap dan kesungguhan diri.
Seperti kaum Cina, kaum India sehingga kini kurang menunjukkan minat mengisi kekosongan dalam sektor awam mahupun menyertai pasukan keselamatan. Bilangan mereka yang tampil memohon adalah faktanya. Seberapa banyak bantuan yang diberikan pun tidak akan mencukupi tanpa sikap yang betul untuk memanfaatkannya.
Persoalannya kini, sejauh mana mereka bersedia dan sanggup berusaha untuk merebut peluang tersebut?
Pada masa sama, dasar yang baik masih tidak bermakna tanpa sistem penyampaian yang berkesan.
Di sini, agensi pelaksana terutama kakitangan kerajaan yang diberi tanggungjawab, merupakan pemangkin kepada kejayaan dasar itu.

No comments: