HAKIKAT bahawa peranan kaum wanita tidak boleh dipandang ringan dalam apa bidang sekalipun sudah terbukti. Begitu ramai wanita berjaya menyaingi kemampuan lelaki.
Dalam hak wanita berpolitik pun sama. Setiap mereka mempunyai satu undi untuk menentukan kemenangan parti mereka. Sebab itu Barisan Nasional (BN) sering memberi tempat sewajarnya kepada pemimpin wanita kerana menyedari undi wanita adalah nadi kekuatan parti.
Gabungan tenaga mereka amat diperlukan. Mereka bukan lagi hanya penyeri dalam menjalankan sesuatu misi parti. Ada kala, mereka bertugas lebih kuat daripada lelaki.
Ketika berkempen, merekalah yang lebih menonjol untuk menegakkan kebenaran. Di pusat-pusat pembuangan undi, mereka bertungkus-lumus membantu pengundi. Dari segi bilangan, wanita menjadi kumpulan majoriti dalam kebanyakan parti komponen.
Perkara ini selalu dibangkitkan oleh Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Rafidah Aziz. Pada 1 Februari lalu, Rafidah yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO berkata sayap itu tidak akan mendesak pucuk pimpinan parti supaya menambah kerusi calon wanita dalam pilihan raya umum kali ini.
Namun jika diambil kira ahli Wanita UMNO yang berjumlah 1.199 juta iaitu 35.8 peratus daripada keseluruhan ahli UMNO sebanyak 3.349 juta orang pada November 2007, maka sayap itu layak meminta tambahan kerusi pada pilihan raya umum ke-12.
Faktor utama wujud tuntutan supaya bilangan calon wanita ditambah dilihat lebih kepada menyahut kuota 30 peratus penyertaan wanita pada peringkat pembuat dasar dan keputusan.
Kemenangan 47 daripada 54 calon wanita BN yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-11 menunjukkan calon wanita diterima oleh pengundi.
Bagaimanapun hanya tiga menteri wanita dilantik dalam Kabinet berbanding 30 menteri lelaki atau 9.1 peratus. Daripada sumber Jabatan Perdana Menteri (JPM) juga menunjukkan bagi jawatan Timbalan Menteri, wanita cuma tiga orang berbanding dengan lelaki 35 orang atau 7.9 peratus dan Setiausaha Parlimen wanita mendapat enam tempat manakala lelaki 16 (27 peratus).
Jumlah 57 orang Senator pada 2004 hanya 19 Senator atau 33 peratus wanita, dengan tujuh ahli dipilih DUN dan 12 lagi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Perangkaan Ahli Dewan Rakyat bagi 2004 menunjukkan 197 ahlinya adalah lelaki dan 22 wanita atau 10 peratus daripada 219 kerusi Parlimen yang ada. BN mempunyai 198 wakil dan daripada jumlah itu, 17 adalah wanita.
Bagi parti pembangkang pula, Pas mempunyai enam wakil lelaki dan seorang wanita, DAP mempunyai 10 wakil lelaki dan tiga wanita, manakala Keadilan seorang wanita.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) 2004 pula, daripada 567 ADUN di seluruh negara seramai 531 adalah lelaki, manakala hanya 36 ADUN atau 6.3 peratus adalah wanita.
Memang wajar parti komponen BN menambah bilangan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada calon wanita dalam pilihan raya umum.
Selama ini wanita berjuang seiring dengan lelaki. Tidak nampak masalah tolak ansur di kalangan parti-parti komponen untuk memberi ruang dan kesempatan kepada wanita bertanding. Ini kerana ramai calon wanita yang berkelayakan di setiap bahagian boleh diketengahkan.
Soalnya sekarang, adakah wakil-wakil rakyat wanita memberi perkhidmatan lebih baik daripada wakil rakyat lelaki.
Menurut Ahli Parlimen Ampang, Dr. Rozaidah Talib, faktor budaya timur yang ada dalam jiwa wakil rakyat wanita mungkin membataskan mereka untuk menonjolkan diri daripada wakil rakyat lelaki.
Namun begitu wakil rakyat wanita lebih sensitif dalam menghayati masalah yang dibangkitkan oleh rakyat berbanding dengan Yang Berhormat lelaki.
“Dari peringkat sekolah lagi kaum wanita sudah menunjukkan kesungguhan dalam menjalankan apa sahaja aktiviti baik akademik atau kokurikulum. Sikap dan semangat ini terbawa-bawa apabila wanita diberi amanah untuk memimpin rakyat. Kami akan usaha supaya masalah rakyat dapat dibantu dan diatasi,” jelas Dr. Rozaidah yang juga merupakan Exco Persatuan Ahli Parlimen Wanita Komanwel (CWP).
Apa yang beliau rasa terkilan adalah masih wujud diskriminasi gender dalam politik tanah air. “Mengapa wakil rakyat wanita sering dipandang penuh prasangka dalam sama-sama memberi sumbangan tenaga dan fikiran untuk membangunkan rakyat. Wanita patut diberi lebih tempat dalam politik terutama, misalnya menjadi calon pilihan raya agar sesuai dengan bilangan dan sumbangan yang diberikan oleh kaum Hawa kepada agama, bangsa dan negara,” kata Dr. Rozaidah sambil menegaskan wanita hari ini sudah setanding dengan orang lelaki dan sesetengahnya lebih berwibawa.
Berdaftar
Oleh itu permintaan Naib Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya BN memberi 20 peratus kerusi untuk calon-calon wanita ada kewajaran. Setakat ini, di peringkat DUN hanya 6.9 peratus wanita yang diberi tempat dan peringkat Dewan Rakyat pula 9.4 peratus sahaja.
Hakikatnya, jumlah wakil rakyat wanita sekarang tidak sampai pun 10 peratus daripada 219 kerusi Parlimen dan 505 DUN yang dipertandingkan, sedangkan bilangan pengundi wanita lebih separuh daripada keseluruhan pengundi berdaftar negara ini.
Bagaimanapun hasrat ini sebagaimana dinyatakan Shahrizat, ia hanya boleh dicapai jika Menteri Besar dan Ketua Menteri mencalonkan lebih ramai wanita pada pilihan raya umum akan datang. Ini kerana keputusan senarai calon akan dipertimbangkan di peringkat negeri dahulu iaitu oleh Ketua Menteri dan Menteri Besar.
“Jika dilihat dari segi profil Wanita UMNO dan Puteri, ramai yang berkelayakan dan perlu diberi peluang terutama dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen,” kata Shahrizat.
Adalah lumrah calon-calon wanita dipandang sinis oleh sebilangan ahli politik lelaki. Justeru bakal calon-calon wanita sudah tentunya perlu berusaha lebih keras bagi mendapat tempat yang terhad dengan bakal-bakal calon lelaki. Malah mereka sudah semestinya mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri dalam pemilihan calon nanti.
Aktivis wanita, Prof. Madya Dr. Rusinah Siron berharap calon-calon wanita yang bakal bertanding dalam pilihan raya umum nanti perlu berwibawa dalam mengendalikan kes dan kejadian yang melibatkan isu-isu sensitif yang boleh menimbulkan sensasi dan kontroversi.
Dr. Rusinah yang juga Pensyarah Utama di Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan, Universiti Tenaga (Uniten) menasihatkan kepada bakal-bakal calon wanita supaya berhati-hati dalam setiap pandangan yang hendak diutarakan kepada masyarakat agar apa yang dikatakan akan dapat dikotakan.
Jika berdasarkan prestasi wakil-wakil rakyat wanita bagi mandat penggal ke-11 setakat ini, penganalisis politik Prof. Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman berpandangan secara purata adalah memuaskan.
“Ada juga tokoh profesional yang tidak disenangi rakyat mungkin kerana dia berasa dirinya lebih bagus daripada orang lain dan tidak merendah diri,” komen Naib Presiden Management & Science University (MSU) itu.
Menurut beliau lagi, ada calon wanita terdiri daripada latar belakang agama, doktor, peguam, profesional dan sebagainya tetapi bila dipilih menjadi wakil rakyat, dia tidak tahu cara mengetengahkan idea dan program pembangunan yang dikehendaki oleh rakyat kawasan diwakilinya.
“Ini kerana, walaupun mereka lahir dari kawasan berkenaan tetapi tidak semesti Yang Berhormat itu memahani adat budaya politik rakyat tempatan. Budaya politik orang kampung dan bandar berbeza,” jelas Mohd. Zainul Fithri yang juga Pengarah Institut Kepimpinan dan Pembangunan Modal Insan Malaysia, MSU.
Tuesday, February 5, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment