Tuesday, February 5, 2008

Keunikan masyarakat majmuk perlu dipertahan

DUA hari saja lagi masyarakat Cina di negara ini akan menyambut perayaan Tahun Baru Cina. Pada saat ini semua keluarga berketurunan Tionghua sibuk membuat persiapan akhir, apa lagi petang esok iaitu malam menjelang perayaan berkenaan akan diadakan adat 'makan besar' untuk seisi keluarga. Limau, ang pau dan permainan bunga api juga sinonim dengan perayaan itu.
Tanpanya kemeriahan perayaan Tahun Baru Cina tidak akan terasa. Namun yang menariknya di negara ini, sahabat dan kenalan daripada kaum lain turut menerima berbakul-bakul pemberian limau daripada rakan berketurunan Tionghua, sama ada yang dihantar di pejabat atau di rumah. Istimewanya di Malaysia perayaan Tahun Baru Cina atau perayaan untuk penganut mana-mana agama sekalipun, sambutannya dikongsi bersama oleh semua kaum tanpa mengira latar belakang dan keturunan, di kota atau desa, miskin atau kaya. Semangat saling kunjung mengunjung menjadi pengikat erat hubungan perpaduan dan keharmonian kaum masyarakat di Malaysia.

Biarpun soal agama sememangnya boleh menjadi isu sensitif kerana ia membabitkan kepercayaan sesebuah kaum, namun kita bangga kerana masyarakat pelbagai kaum di negara ini amat menjaga hak beragama kaum lain. Malah, ramai antara kita sudah mula memahami sedikit sebanyak mengenai amalan agama kaum lain.

Perayaan Tahun Baru Cina pada Khamis dan Jumaat ini, sekali lagi bakal diraikan atas semangat perpaduan dan keharmonian kaum oleh warga Malaysia. Lebih menarik di negara ini sambutan perayaan utama kaum yang ada di Malaysia turut disambut pada peringkat nasional oleh kerajaan. Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2008 peringkat nasional bakal berlangsung pada 10 Februari ini di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Majlis yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan turut diserikan pelbagai acara melambangkan keunikan masyarakat majmuk di negara ini.

Sehari sebelum itu, diadakan di Kota Bharu, Kelantan bagi memberi peluang masyarakat Tionghua dan orang ramai di Kelantan, Pahang dan Terengganu meraikan bersama sambutan perayaan berkenaan dan ia dijadualkan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Sambutan di ibu negara dan Kelantan itu adalah simbol semangat bersatu padu dan hormat menghormati budaya pelbagai kaum di negara ini. Justeru, saya ingin mengajak semua rakyat Malaysia ke Kelantan pada 9 Februari dan di ibu negara pada 10 Februari untuk sama-sama memeriahkan rumah terbuka berkenaan. Sewajarnya kita berkongsi nilai baik yang dianjurkan setiap agama dan menjauhi perkara yang boleh merenggangkan hubungan sesama kita, kerana matlamat kita adalah untuk melahirkan bangsa Malaysia bersatu yang sentiasa memelihara adat budaya bangsa.

Dalam keghairahan menyambut perayaan Tahun Baru Cina, soal keselamatan tidak harus sama sekali kita abaikan. Ops Sikap diadakan pada setiap musim perayaan, namun sejauh mana ia berjaya mengubah sikap pemandu dan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati, masih belum boleh kita banggakan, walaupun kadar kematian dilaporkan semakin berkurangan.
Perangkaan menunjukkan sejak 10 tahun lalu hingga tahun lalu, jumlah kecederaan membabitkan pengguna jalan raya berkurangan sehingga 39 peratus, walaupun dianggarkan sejumlah 400,000 pemandu baru di jalan raya pada setiap tahun.

Sejumlah 55,693 kecederaan dilaporkan berlaku pada 1998 berbanding 33,999 kes tahun lalu, ini menunjukkan penurunan sehingga 39 peratus. Jumlah kenderaan pula meningkat setiap masa dan sehingga kini dianggarkan ada kira-kira 16 juta kenderaan berdaftar di jalan raya negara ini. Pada 2007 sejumlah 6,282 kes kematian akibat kemalangan dicatatkan.

Daripada jumlah itu, 3,646 atau 58 peratus kes kematian membabitkan penumpang dan pembonceng motosikal, 1,228 adalah pemandu dan penumpang kereta dan 636 bagi pejalan kaki. Indeks kematian juga turun daripada 4.5 peratus kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar pada 2004 kepada 3.7 peratus kematian pada 2007.

Perangkaan berkenaan tidak harus dipandang ringan kerana setiap kehilangan nyawa bukan saja satu kehilangan bagi sebuah keluarga, malah kehilangan modal insan bagi sebuah negara. Budaya balik kampung sempena Tahun Baru Cina minggu ini dijangka menyebabkan kesesakan di kebanyakan laluan utama dan lebuh raya kerana masyarakat agama lain juga pastinya mengambil kesempatan daripada cuti panjang sempena Tahun Baru Cina.

Justeru, berhati-hatilah ketika memandu dan jangan biarkan keluarga anda menunggu kepulangan anda dengan tangisan. Pandu cermat, jiwa selamat. Datuk Noraini Ahmad ialah Ketua Puteri Umno Malaysia

No comments: