WUJUD kebimbangan di kalangan rakyat kebelakangan ini yang disogokkan dengan siri demonstrasi jalanan atau tunjuk perasaan sebagai wadah melampiaskan rasa tidak puas hati.
Benar sejarah negara ada mencatatkan peristiwa penting yang berlaku lewat kejadian serupa.
Siapa yang boleh melupakan lautan pergerakan manusia di Kedah, Kelantan dan Johor Baharu pada 1946 yang menyaksikan kebangkitan parti-parti Melayu menuntut kemerdekaan dari bangsa penjajah dan berkuburnya gagasan Malayan Union?
Namun perlu difahami, sentimen tunjuk perasaan yang wujud ketika itu sangat besar bezanya dengan demonstrasi yang cuba disuburkan dalam masyarakat akhir-akhir ini.
Tanpa berlandaskan maksud yang jelas, demonstrasi jalanan hari ini sebaliknya dibayangi unsur berkepentingan politik yang boleh mengancam keselamatan dan membawa kepada keadaan tidak stabil dalam negara.
Pihak berkuasa juga pastinya mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku dalam memberikan kebenaran kepada perhimpunan lepas yang jelas tidak membawa sebarang faedah.
Ambil sahaja contoh perhimpunan Protes Sejuta Rakyat anjuran parti pembangkang di Kelana Jaya, Selangor, awal minggu lalu yang berkesudahan dengan aksi tidak senonoh dan memualkan.
Apakah terlalu sukar untuk sesiapa sahaja memikirkan kesan daripada demonstrasi seperti itu terhadap budaya dan sosial dalam masyarakat selain impak fizikal seperti kerosakan harta benda dan kesesakan lalu lintas yang terpaksa ditanggung oleh pihak lain yang tidak berkaitan?
Seperti yang dijelaskan oleh pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian, amalan demokrasi di negara ini tidak pernah menghalang keterbukaan suara dan pendapat di kalangan rakyat termasuklah yang disampaikan menerusi perhimpunan atau demonstrasi.
Namun ia terbatas kepada isu-isu yang bersifat kemanusiaan seperti piket di kalangan pekerja dan sebagainya, dengan kesedaran kebebasan yang dinikmati oleh seluruh rakyat perlu dihormati.
Dalam erti kata lain, mereka yang terbabit baik penganjur atau peserta harus faham kepada perlembagaan, peraturan dan undang-undang negara termasuk yang melibatkan pihak berkuasa atau berwajib.
''Tanpa kesedaran tersebut, bukanlah sukar untuk demonstrasi jalanan bertukar menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan dengan sentimen yang wujud hari ini, masyarakat kita masih belum mencapai satu tahap kematangan untuk membincangkan sesuatu isu yang boleh dianggap sensitif secara terbuka termasuk menerusi demonstrasi," katanya.
Menurut Sivamurugan, dalam konteks pelbagai kaum di negara ini juga, terdapat kekangan dan perbezaan tertentu yang perlu difahami dan diterima oleh pihak yang cuba menghidupkan amalan berdemontrasi.
Elemen-elemen sensitif itu selayaknya dihormati dalam memelihara perpaduan yang sudah sedia terbina sejak sekian lama dan menjadi asas kepada pembentukan negara Malaysia berlandaskan amalan demokrasi.
Persoalannya, sejauh mana masyarakat kita bersedia untuk mengenepikan sama sekali daripada membincangkan isu sensitif terutamanya yang berkaitan politik dan kaum secara terbuka?
Mampukah mereka yang terlibat dalam demonstrasi itu menjauhkan elemen emosi dan provokasi sekali gus mengelak kejadian yang tidak diingin sehingga memaksa pihak berkuasa mengambil tindakan?
''Hakikatnya, meskipun bilangan kelas pertengahan dalam masyarakat semakin bertambah, namun masih wujud mereka yang ekstrem, radikal dan sekular yang sukar membendung perasaan terutamanya apabila berdepan dengan isu-isu sensitif.
''Situasi ini pastinya tidak baik kepada keamanan dan perpaduan dalam negara," ujarnya.
Sejak berakhirnya pilihan raya umum lalu, banyak tumpuan yang terpaksa diberikan dalam mengatasi kemelut politik semasa yang secara tidak langsung merencatkan pembangunan negara.
Pastinya sebagai warganegara prihatin yang ingin berjasa kepada negara sekurang-kurangnya mengurangkan beban kemelesetan ekonomi yang berkait dengan keamanan dalam negara, demonstrasi jalanan sewajarnya dijauhi.
Dalam situasi kenaikan harga minyak dan kekurangan bekalan makanan yang menekan rakyat kebanyakan ketika ini, kerajaan perlu menumpukan perhatian sepenuhnya dalam meningkatkan kecekapan tadbir urus negara.
Malangnya, usaha itu boleh terganggu sekiranya kerajaan terpaksa berdepan dengan demonstrasi jalanan yang berterusan sehingga terpaksa memberikan lebih tumpuan terhadap aspek keselamatan.
Lebih memburukkan keadaan, keamanan negara yang menjadi keyakinan utama pelabur asing untuk terus menanam modal selama ini juga akan luntur dan kebimbangan itu sendiri sudah cukup untuk menjejaskan ekonomi negara.
Apa yang menghairankan, pembangkang mempunyai suara hampir seimbang dengan kerajaan dalam Parlimen, justeru kenapa cara yang lebih berdemokrasi, adil dan bermaruah itu tidak digunakan sepenuhnya untuk memanjangkan kegelisahan yang bersarang di hati masyarakat yang diwakili mereka?
Ketika peluang untuk mengadakan sekian banyak mesyuarat, pertemuan empat mata atau perbincangan meja bulat, mengapa perlu memilih hukum rimba yang bukan lagi amalan masyarakat bertamadun untuk menyelesaikan sengketa?
Begitu juga dengan kes-kes perbicaraan atas sebarang tuduhan ke atas individu tertentu, mengapa perlu mendahului undang-undang negara sedangkan diketahui, keadilan yang cuba ditegakkan di jalanan pastinya tidak memberi sebarang makna.
Barangkali kita perlu belajar daripada pengalaman negara jiran seperti Indonesia dan Filipina yang diberikan kebebasan sepenuhnya oleh pemerintah untuk mengadakan tunjuk perasaan dan demonstrasi jalanan.
Bukan berniat untuk merendah-rendahkan keadaan mereka, tetapi jika perbezaan kemajuan negara dan taraf hidup kebanyakan daripada kita dengan penduduk di negara berkenaan boleh dijadikan perbandingan, jelaslah demonstrasi jalanan bukan pendekatan terbaik dalam mengharapkan perubahan.
Terbelenggu dengan demonstrasi jalanan yang berpanjangan memberi tekanan kepada kerajaan sekali gus mengikat usaha menumpukan kepada pembangunan ekonomi. Situasi seperti itulah yang terjadi di negara jiran.
Sudah pasti kita sebagai rakyat Malaysia tidak rela menyaksikan nikmat keamanan dan pembangunan yang dikecapi sejak 50 tahun kemerdekaan lalu, terencat oleh rasa tidak puas hati melampau yang dilontar di jalanan.
Tuesday, July 15, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment