Friday, July 18, 2008

Sejarah : Kendi kuatkan teori Melayu dari Champa


SALAH satu kendi yang ditemui Sungai Mentakab, Pahang berusia lebih 2,000 tahun.

PENEMUAN kendi berusia ribuan tahun tertanam di kawasan bukit berdekatan sungai di Mentakab, Pahang baru-baru ini menguatkan teori asal usul masyarakat Melayu zaman logam, sekitar 2,000 tahun lalu yang dikatakan dari Vietnam Utara dan Champa.

Kendi atau istilahnya dalam perkataan Sanskrit kundika adalah tempat menyimpan air yang biasanya diperbuat daripada logam seperti gangsa dan tembaga atau seramik. Selain menjadi tempat menyimpan air, kendi yang mempunyai signifikan tersendiri berdasarkan reka bentuk dan lakarannya yang unik turut digunakan bagi menyimpan wangi-wangian, mereneh ubat, upacara keagamaan dan perkahwinan.

Lazimnya, kendi yang diperbuat daripada logam digunakan golongan bangsawan yang dikenali sebagai 'Kendi Diraja' untuk dijadikan tempat mereka meludah dan sebagai tepak sirih yang mesti ada berdekatan. Dalam konteks zaman moden selepas kedatangan Islam, kendi dijadikan tempat menyimpan air suci iaitu air zam-zam dan ketika ini kendi yang diperbuat daripada logam sukar diperoleh berbanding jenis seramik. Pembuat kendi selalunya menjadikan haiwan mengkarung, cicak, buaya sebagai identiti ukiran hiasan kendi yang dihasilkan selain imej burung, kerbau, muka manusia, rebung dan buluh.

Keistimewaan dan keunikan sesebuah kendi itu selalu berdasarkan ukiran serta material yang digunakan dan kedua-dua faktor itu juga melambangkan kemewahan kepada pemiliknya. Penemuan dua lagi artifak sama di Port Dickson dan Terengganu, juga berdekatan kawasan sungai selepas itu mengukuhkan lagi teori kewujudan peradaban Kerajaan Melayu Maritim sezaman dengan Kerajaan Langkasuka, Champa dan Funan. Pengkaji sejarah tamadun alam Melayu, Wan Ahmad Arshad, yang menemui dan memiliki ketiga-tiga artifak itu berkata, zaman logam mula berpengaruh di Nusantara Melayu berdasarkan teori penghijrahan dari Vietnam Utara dan Champa. Kebanyakan institusi peradaban purba mempunyai akar umbi 'riverine maritime' yang kukuh serta strategik dan peradaban awal ini dipercayai berevolusi daripada masyarakat pra sejarah yang hidup secara nomad atau masyarakat pertanian yang terpimpin.

"Berdasarkan sumber bertulis China, seawal milenium pertama sebelum masihi dan selewat-lewatnya kurun ke-2 masihi sudah muncul kerajaan awal di alam Melayu seperti Dong Son, Vietnam Utara; Fu-Nan, Lembah Sungai Mekong; Champa, Vietnam Tengah; dan Langkasuka, Selatan Thailand-Kedah," katanya.

"Antara alasan perpindahan atau penghijrahan itu termasuk mencari tempat baru bagi putera raja atau mencari negeri baru untuk dibuka serta diterokai selepas kalah dalam peperangan. "Komuniti yang berpindah ini umumnya dipimpin seorang raja dan disertai oleh kerabat, menteri, hulu balang, bala tentera dan rakyat. Gambaran ini terdapat dalam sejarah Melayu mengenai pembukaan negeri Melaka itu sendiri," katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau tidak menolak penemuan tiga artifak kendi itu menjadi bukti arkeologi yang kukuh mengenai kewujudan sebuah peradaban Melayu awal setidak-tidaknya pada kurun pertama masihi.

"Berdasarkan reka bentuk kendi yang ditemui di Mentakab yang unik, seperti seekor burung mahawangsa bersayap, berparuh dan berkaki empat, bahagian pemegangnya mempunyai imej haiwan mengkarung dan material gangsa yang digunakan untuk membuatnya, ia jelas menunjukkan ciri-ciri artifak purba zaman logam atau budaya Dong Son.

"Manakala reka bentuk burung mahawangsa berkaki dua dengan tandu di atas badannya yang ditemui di Pasir Panjang, Port Dickson banyak persamaan dengan artifak yang ditemui di Mentakab. "Jadi, saya tidak menolak kemungkinan kedua-dua artifak itu adalah berpasangan sekali gus mengukuhkan lagi teori kewujudan peradaban Melayu zaman logam yang menjadikan kawasan pesisiran perairan sebagai tapak pentadbiran kerajaan," katanya.

Wan Ahmad yang juga pemilik Galeri Pusaka Moyang (GPM) di Senawang, Negeri Sembilan berkata reka bentuk ketiga-tiga artifak itu juga tidak melambangkan reka bentuk lazim artifak di zaman Kesultanan Melaka yang banyak dipengaruhi reka bentuk Arab, China, Indo-China dan Eropah.

"Ini membawa kepada andaian artifak ini berasal dari zaman logam, yang berlaku sekitar milenium pertama sebelum masihi. Zaman logam mula berpengaruh di nusantara Melayu berdasarkan teori penghijrahan dari Vietnam Utara dan Champa di mana lokasi asal artifak zaman logam banyak ditemui," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan artifak yang ditemui di Mentakab itu mempunyai kaitan dengan dakwaan penemuan kota purba - Kota Gelanggi, di Johor pada 2003.


No comments: