MENGIKUT sistem persekolahan Amerika Syarikat (AS), Gred 12 merupakan gred tertinggi. Pelajar-pelajar yang berjaya menamatkan Gred 12 menerima diploma masing-masing di majlis konvokesyen yang diadakan di pertengahan Jun setiap tahun.
Menariknya mereka berpakaian jubah dan topi seperti mana di majlis konvokesyen universiti. Walau apa pun, ketika menghadiri majlis tersebut mereka telah pun mendapat tempat di universiti-universiti pilihan masing-masing.
Terdapat perbezaan sistem pelajaran di peringkat universiti antara AS dengan Malaysia bahkan antara California dengan beberapa negeri lain di AS.
Di California tempoh belajar untuk ijazah pertama ialah empat tahun. Bagaimanapun, pelajar-pelajar yang ingin menjadi doktor terpaksa belajar selama lima tahun lagi di sekolah perubatan atau empat tahun di sekolah undang-undang untuk menjadi peguam.
Ketika isu biasiswa kerajaan menjadi polemik hangat di Malaysia, jarang sekali terbaca isu ini di akhbar-akhbar tempatan. Ini adalah kerana pihak universiti menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar cemerlang dan bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukannya.
Lagi pula pelajar-pelajar mempunyai pilihan untuk memasuki universiti negeri (state university) yang yurannya rendah berbanding dengan universiti swasta atau separa swasta. Pelajar-pelajar juga mempunyai pilihan memasuki kolej komuniti selama dua tahun sebelum menghabiskan baki dua tahun di universiti. Cara ini lebih murah.
Malahan tidak kurang pula yang belajar sambil bekerja. Mereka bekerja pada hujung minggu atau sebelum dan sesudah menghadiri kuliah.
Adalah sesuatu yang pelik apabila ada antara para pelajar dari peringkat sekolah tinggi bekerja sedangkan ibu bapa mereka dari kumpulan berada. Mereka membeli kereta (terpakai dan murah) melalui pendapatan sendiri.
Jelas mereka diajar berdikari sejak dari kecil. Lantaran itu jangan pelik kalau kawan-kawan ajak makan di luar tetapi kosnya dibayar masing-masing.
Ini bukan kedekut seperti mana yang sering dilontarkan kepada orang kedekut di Malaysia. Tetapi mereka lebih praktikal dalam hidup. Bukan senang mencari duit.
Sementara itu, yuran universiti untuk pelajar-pelajar tempatan dan pelajar asing adalah berbeza. Yuran untuk pelajar asing hampir-hampir sekali ganda daripada pelajar tempatan.
Pelajar-pelajar cemerlang seringkali mendapat tawaran di universiti-universiti terbaik seperti Harvard, Yale atau University of California Los Angeles (UCLA). Ini termasuklah mereka yang cemerlang dalam sukan.
Untuk memasuki universiti-universiti ini bukanlah mudah. Oleh kerana terlalu ramai yang memperolehi CGPA 4 pihak universiti terpaksa mengadakan kriteria lain umpamanya penyertaan mereka dalam aktiviti luar. Etnik minoriti seperti Afrika Amerika dan lain-lain biasanya diberi keutamaan.
Bagi pelajar-pelajar AS, memasuki universiti-universiti ternama banyak memberi peluang kerjaya dan gaji yang lebih lumayan. Ini kerana pengaruh persatuan alumni yang kuat. Yuran pengajian yang tinggi amat berbaloi dengan gaji yang tinggi.
Sesekali penulis tertanya diri sendiri, apalah ada kepada pelajar-pelajar Malaysia yang berkelulusan dari Harvard umpamanya. Adalah lebih baik menghantar para pelajar ke universiti-universiti yang sederhana dengan yuran lebih murah asalkan lebih ramai pelajar dapat dihantar.
Ketika kita bercakap mengenai penghantaran pelajar-pelajar ke Harvard, Oxford atau Cambridge, kita juga menghantar pelajar perubatan ke universiti-universiti yang beberapa tahun lalu tidak pernah kedengaran seperti di Indonesia dan negara-negara Eropah Timur.
Baru-baru ini penulis berkesempatan menghadiri majlis penyampaian diploma sekolah tinggi di Los Angeles. Seramai 582 pelajar menerima diploma masing-masing.
Majlis ini begitu ringkas dan tamat dalam masa lebih kurang satu jam.
Menarik perhatian ialah program majlis yang diadakan di stadium sekolah dikhususkan dan dikendalikan oleh para pelajar. Ucapan-ucapan guru besar dan pegawai-pegawai berkenaan di peringkat negeri California dan daerah sekolah (school district) tidak sampai dua minit seorang.
Seperkara yang ingin penulis tekankan ialah majlis ini dimulai dengan lagu kebangsaan AS.
Sebenarnya lagu kebangsaan AS sering dinyanyikan di majlis-majlis rasmi atau tidak rasmi. Hinggakan pertandingan akhir bola keranjang dan American Football dan mesyuarat kelab rotary dimulai dengan lagu kebangsaan.
Lalu teringatlah penulis tentang nasib lagu Negaraku. Berdasarkan kepada rungutan yang pernah dibaca di akhbar, lagu kebangsaan Malaysia ini jarang-jarang kedengaran. Malahan ada yang sengaja mempermainkannya dengan niat menghina sebagaimana dilakukan oleh seorang pelajar Malaysia di Taiwan tidak lama dulu.
Kini tibalah masanya Negaraku dinyanyikan di majlis-majlis rasmi dan bukan rasmi. Penulis bimbang kemungkinan Negaraku akan menerima nasib lagu Majulah Singapura. Khabarnya ramai rakyat negara itu tidak tahu erti lagu tersebut kerana mereka tidak memahami bahasa Melayu.
Tuesday, July 15, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment