Wednesday, August 6, 2008

Selamat jadi keutamaan

DENGAN peranannya sebagai lebuh raya utama yang dilalui oleh ribuan kenderaan saban hari, soal keselamatan di sepanjang Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) seharusnya tidak menjadi satu isu.
Namun keretakan terbaru yang berlaku pada topang tiang 28 berhampiran dengan stesen komuter Kepong, Rabu lalu, meletakkan nyawa pengguna jalan raya pada situasi yang membahayakan.
Sejak peristiwa keretakan dua batang penyokongnya yang berlaku pada 2004, peristiwa terbaru yang berulang dalam tempoh yang singkat itu menimbulkan kehairanan luar biasa di kalangan pengguna jalan raya.
Malah, apa yang lebih membimbangkan, jejambat MRR2 yang ditopang oleh 33 tiang itu sejak peristiwa empat tahun lalu merekodkan kejadian keretakan yang agak kerap, termasuk kejadian pada Februari 2006.
MRR2 bukanlah satu-satunya jejambat lebuh raya yang ada di negara ini, malah ada lebuh raya bertingkat yang lebih tinggi dibina di seluruh negara, tetapi tidak pernah dilaporkan mengalami masalah yang serupa.
Jika boleh dilihat dari sudut kejuruteraan, pembinaan tiang jejambat lebuh raya sememangnya disesuaikan dengan beban trafik yang dijangkakan.
Ini bermaksud jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya tersebut langsung tidak mempengaruhi ketahanan jejambat lebuh raya yang dibina.
Justeru daripada pemahaman yang mudah, sekiranya beban trafik itu dilayani dengan bahan binaan seperti besi dan simen yang mencukupi serta sewajarnya, maka untuk berlakunya keretakan adalah mustahil sama sekali.
Lalu melihat kepada siri kejadian keretakan di MRR2, bukanlah sesuatu yang sukar untuk menyimpulkan bahawa kerja-kerja pembaikan jejambat MRR2 selepas kejadian pada 2004 dan 2006 lalu tidak dilakukan dengan sempurna.
Lebih jelas seperti yang dinyatakan oleh Ketua Program Pengurusan Persekitaran,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, (UKM), Prof. Dr. Abd. Rahim Md. Nor, pembaikan itu hanya dilakukan pada bahagian luar sahaja dan mengabaikan pemulihan asas strukturnya yang tidak kukuh.
Ibarat ditampal 'plaster' besi pada bahagian luar jejambat, keretakan yang berlaku ujar beliau, tidak mungkin dapat dibaikpulih sepenuhnya dan bahagian jalan raya yang terkopek serta simen yang jatuh akan terus berlaku pada masa depan.
''Hakikatnya, keretakan itu berlaku kerana reka bentuk serta kuantiti dan kualiti bahan binaan yang digunakan pada pembinaan di peringkat awal tidak sesuai. Justeru, kerja-kerja pembaikan perlu dijalankan di peringkat akar umbi, bukan pada bahagian permukaan sahaja," katanya.
Seperkara yang menarik perhatian seperti yang turut disentuh oleh Abd. Rahim ialah kesediaan kerajaan untuk mendedahkan laporan hasil siasatan syarikat perunding, Halcrow Group Limited (Halcrow) ke Parlimen.
Kajian itu yang dijalankan selepas kejadian keretakan MRR2 sebelum ini perlu dikongsi dengan orang ramai bagi menguraikan kesangsian dan tanda tanya mengenai punca sebenar kejadian tersebut.
Paling utama, ia juga dapat dijadikan rujukan dan perbincangan di kalangan pakar serta jurutera mengenai kaedah terbaik dalam mencari penyelesaian membaik pulih tiang jejambat itu berpandukan kajian yang dilakukan oleh sebuah badan profesional.
Abd. Rahim menambah, jika kerajaan dalam menangani isu keretakan di MRR2 itu kekal dengan pendekatan yang diambil ketika ini atau selepas kejadian lalu, maka sebarang usaha membaik pulih keretakan itu tidak mungkin akan berjaya.
Sememangnya apa yang harus dilakukan oleh kerajaan dalam mendepani isu keretakan itu ialah mengkaji punca berlakunya keretakan dan kemudiannya membaiki kerosakan tersebut.
Namun bagi pensyarah Kulliyyah Senibina dan Reka Bentuk Alam Sekitar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Khairusy Syakirin Has-yun Hashim, apa yang perlu benar-benar difahami daripada kajian itu ialah adakah ia disebabkan oleh pembaikan yang dilakukan sebelum ini atau berpunca ekoran kegagalan ketika proses merekabentuk jejambat tersebut dari awal lagi.
''Ini kerana jika keretakan itu berpunca daripada kegagalan daripada reka bentuk yang awal lagi, maka kerja-kerja pembaikan yang dilakukan akan menjadi sia-sia, ibaratnya kita membetulkan sesuatu yang sudah sedia rosak, maka hasilnya akan menjadi lebih rosak lagi," katanya,
Tidak menolak kualiti bahan binaan yang rendah juga boleh menjadi antara faktor kejadian terbaru, namun apa yang paling dibimbangi oleh beliau ialah keretakan itu berpunca daripada kegagalan manusia.
Apa yang cuba dijelaskan ialah apabila pembinaan jejambat jalan raya itu dilaksanakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab maka sekali gus kerja pembinaan berlangsung secara tidak ikhlas.
Dalam keadaan seperti itu, kerja-kerja pembinaan pastinya menolak kepada kualiti sebaliknya dilakukan hanya sekadar memenuhi kontrak yang diperoleh atau 'janji siap'.
Sekiranya hasil siasatan menemukan faktor kegagalan manusia sebagai punca, ia pastinya sesuatu yang sangat mendukacitakan kerana pembinaan jejambat itu membabitkan nyawa pengguna jalan raya.
Justeru, apa yang diharapkan oleh orang ramai ketika ini, kerajaan tidak hanya berusaha untuk membaik pulih jejambat MRR2 sekadar hanya boleh dilalui dalam tempoh terdekat, tetapi memastikan ia selamat untuk digunakan dalam jangka masa yang panjang.
Malah, sekiranya usaha itu memerlukan pembaikan sehingga menggantikan semula semua struktur tiang yang menopang jejambat MRR2, ia juga bukan satu kompromi bagi mengelak bencana yang lebih dahsyat pada masa depan.

No comments: