Tuesday, August 19, 2008

Teguhkan nasionalisme

Mendiang J.F. Kennedy pernah berkata: "Jangan tanya apa sumbangan negara pada anda sebaliknya tanya apa yang telah anda sumbangkan untuk negara." Ne- gara adalah pelindung, sempadan yang mencirikan identiti individu. Negara punyai kedaulatan, rakyat, kerajaan pemerintah dan kewujudannya diiktiraf di arena antarabangsa.

Sebab itu, Malaysia merupakan antara negara bertuah. Nikmat aman, stabil, kepimpinan yang peka pada rakyat selain masyarakatnya yang berdisiplin merupakan antara ramuan yang telah memastikan kelangsungan negara ini semenjak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Daripada konsep Semenanjung Tanah Melayu kemudiannya dilebarkan melalui gagasan Malaysia pada 16 September 1963 merangkumi Sabah dan Sarawak.

Konsep negara Persekutuan yang lahir kemudian memperlihatkan era pembangunan, kemajuan ekonomi dan integrasi antara rakyat berbilang kaum menjadi makin rencam.

Siapa pun tidak boleh menafikan hakikat bahawa idealisme kepimpinan yang dimulai Almarhum Tunku Abdul Rahman telah membolehkan negara menikmati kemerdekaan tanpa pertumpahan darah.

Labelkanlah apa sahaja sama ada kemerdekaan diperolehi dalam dulang emas atau perak, realitinya, jutaan nyawa dapat diselamatkan hasil muafakat dengan penjajah British.

Dalam masa yang sama juga lebih dua juta imigran beroleh hak kewarganegaraan sebaik sahaja negara merdeka berkat konsensus kontrak sosial antara Almarhum Tunku, Tun Sambanthan dan Tun Tan Siew Sin.

Dengan pampasan jaminan hak istimewa Melayu, kedaulatan Raja Melayu, serta Islam sebagai agama Persekutuan sebagai tukaran. Inilah semangat dan kerangka Perlembagaan Persekutuan yang menjadi nadi kepada pengekalan keamanan dan kelangsungan selain mencorakkan sejarah negara ini.

Hanya mereka yang buta sejarah, ego dengan tafsiran perundangan yang sempit dan lupa asal-usul sahaja masih cuba berkonfrantasi dengan apa yang telah tersurat dan tersirat.

Satu tindakan yang jelas mengkhianati sejarah dan menafikan muafakat pimpinan berbilang kaum terdahulu.

Sebab itu bukalah, telitilah mana-mana catatan buku sejarah atau kajian ilmiah, tidak dapat dinafikan bahawa asas nasionalisme negara dibangunkan atas puin-puin nasionalisme Melayu (mengambil kata-kata Allahyarham Rustam A. Sani).

Sistem politik dan pemerintahan terawal di Tanah Melayu jika mahu diambil Empayar Melaka sebagai asasnya (1403-1511) adalah sistem beraja mutlak (absolute monarchy). Sebab itu pengertian kerajaan yang diguna pakai sehingga ke hari ini menunjukkan hakikat wujudnya keadaan beraja.

Bezanya tindak-tanduk raja selepas merdeka diregulasikan oleh Perlembagaan, Raja sebagai simbol kedaulatan, perpaduan, selain menjalankan tugas-tugas asasi sebagai Ketua agama Islam dan pelindung adat-istiadat Melayu dan hak istimewa Melayu.

Timbulnya hak istimewa Melayu bukanlah satu tanda diskriminasi, atau bermatlamat mendiskriminasikan hak kaum lain. Akan tetapi berupa satu penegasan hak lantaran Melayu adalah pribumi, penduduk asal yang membangun, mendiami dan mencorakkan landskap sosiopolitik negara ini.

Kemudiannya dengan perkembangan peluasan tanah jajahan dan pengaruh ekonomi kapitalis, penjajah silih berganti. Bermula dari Portugis (1511-1641), Belanda (1641- 1824), British (1786-1957), Jepun (1942- 1945), Bintang Tiga (1945) selain kuasa Siam dan beberapa buah kuasa Eropah lain yang menduduki wilayah dalam Semenanjung Tanah Melayu secara yang terhad, misalnya Jerman di Langkawi.

Jika diamati dalam konteks penjajah British, yang paling lama menakluk negara, jaminan hak istimewa Melayu ini diakui sebagai misalan melalui pengenalan Undang-Undang Tanah Simpanan Melayu yang berkuat kuasa di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu mulai 25 November 1913.

Satu bukti bahawa penjajah sendiri mengakui pentingnya dilindungi hak dan kepentingan Melayu sebagai teras kestabilan politik yang makin diancam akibat perkembangan ekonomi dagang, sistem kapitalis dan himpitan daripada kaum imigran yang semakin ramai mencari rezeki di Tanah Melayu.

Kepercayaan

Justeru, apabila negara mencapai kemerdekaan, apa yang dilakukan oleh pimpinan ialah memulangkan semula jaminan hak yang selama ini dipunyai oleh kaum Melayu. Dalam masa yang sama sebagai menghargai sumbangan kaum pendatang dalam perkembangan sosioekonomi negara, maka hak-hak kaum lain dari sudut beragama, berbudaya, pendidikan, malah berpolitik dibiarkan terus dominan.

Lantaran itu, sebagai memahami realiti masyarakat majmuk yang ada, dan bagi memenuhi kehendak serta aspirasi pelbagai maka diwujudkan konsep perkongsian kuasa melalui perikatan badan siasah dan politik. Ia ditandai pada 1952, gabungan UMNO dan MCA dalam Pilihan Raya Majlis Bandaran Kuala Lumpur.

Formula yang ternyata baik ini kemudian dilanjutkan pada Pilihan Raya Umum Majlis Perundangan Persekutuan 1955, yang menyaksikan barisan kabinet pertama Tanah Melayu telah dibentuk.

Politik permuafakatan inilah menjadi landasan kepada gabungan parti politik secara besar-besaran menerusi Barisan Nasional pada tahun 1974, setelah terlampau banyak unsur politiking berlaku dalam kemelut kempen Pilihan Raya Umum 1969 sehingga menyebabkan timbulnya Tragedi 13 Mei.

Secara konsisten BN terus diberi mandat sehingga Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac 2008 sungguhpun tewas di lima buah negeri. Akan tetapi pentadbiran Kerajaan Persekutuan masih diberikan kepercayaan kepada BN atas faktor pengalaman dan keupayaan mentadbir yang telah dibuktikan selama ini.

Rencah, suka duka, pengalaman pahit manis terbentuknya gagasan negara bangsa ini sewajarnya diinsafi. Dari sudut kepimpinan, kita punyai konsistensi dari sudut dasar, keterbukaan dan matlamat mengutamakan kepentingan nasional.

Pimpinan negara semenjak dari zaman Almarhum Tunku melakukan sedaya mungkin usaha terbaik dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Pimpinan kita bukan diktator. Tidak juga autoritarian yang menjadikan jawatan sebagai pewarisan.

Pimpinan kita juga bukannya gemar berkonflik ataupun berusaha meluaskan hegemoni wilayah seperti mana tangan- tangan berdarah yang dipusakai oleh keluarga Bush di Amerika Syarikat.
Pemimpin kita adalah nasionalis sejati, yang meletakkan keutamaan nasional sebagai tanda aras utama untuk diperjuangkan.

Masyarakat negara ini amat cintakan keamanan. Penyumbang utama kestabilan negara, kemakmuran ekonomi sejati. Mudah mengikut arahan pimpinan, tidak banyak merungut, bekerja kuat, berdisiplin, mengatur hidup dalam suasana kemajmukan masyarakat mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan negara. Kuat amalan agamanya, toleran, menghormati antara satu sama lain.

Birokrat negara pula merupakan jentera pentadbiran yang cukup efisien, bersistematik dan menjadi antara nadi utama dalam proses pembangunan negara.

Ekonomi negara ini pula yang dilimpahi dengan hasil dari hutan, laut, perut bumi, dan pelbagai pengayaan barangan lain hasil kreativiti dan kepakaran rakyat tempatan. Semua ini menjadikan Malaysia antara negara perdagangan yang paling kompetitif dan cergas di dunia.

Tarikan pelaburan dan perhatian pelbagai syarikat multinasional. Hak beragama dijamin, kebebasan bersuara makin meluas, apatah lagi melalui medium siber yang menjadi antara pentas terkini dalam dasar langit terbuka.

Hak berpersatuan, mengeluarkan pendapat juga adalah yang terbaik meskipun masih banyak ruang yang boleh diperbaiki. Kepelbagaian budaya, ragam, sehingga juadah makanan menjadikan negara ini unik, lalu terbentuklah gagasan 'kesatuan dalam kepelbagaian.'

Keamanan

Namun, era semasa menyaksikan, keharmonian dan kerukunan hidup dan usaha membina jati diri bangsa Malaysia makin terhakis. Suasana politik selepas PRU ke- 12, menularnya fahaman hak asasi manusia yang melampau, adanya cabaran dan agenda pihak tertentu yang terselindung atas nama hak dan perundangan makin menjerumuskan kekuatan bangsa ini ke lembah kacau-bilau.

Tuntutan yang dibuat mula melampaui semangat kontrak sosial yang telah terpatri kukuh sekian lama. Himpitan ekonomi menyebabkan masyarakat makin celaru. Persaingan merebut kuasa menyebabkan fitnah besar dan kecil bermaharajalela.

Lantas timbul tuduhan 'saya benar, anda salah.' Api perkauman, sentimen keagamaan ditiupkan, golongan subversif mula mengambil tempat. Atas nama perjuangan dan didokongi sentimen primordial, hak dan perasaan kaum majoriti mula diapi- apikan.

Ironinya bagi golongan ini, keadilan hanya wujud apabila semua hak yang telah pun dijamin untuk kelompok majoriti berjaya direbut dengan apa cara sekalipun.

Menyedari hakikat itulah, sebelum bara dan api kekacauan mula merebak, sambutan Kemerdekaan kali ke-51 yang bakal disambut pada 31 Ogos ini harus menjadi satu hari untuk seluruh rakyat bermuhasabah diri.

Mana yang lebih penting, keamanan berkekalan atau kacau-bilau buatan sendiri akibat sentimen perkauman? Mana lebih utama, keharmonian dan kerukunan hidup antara Ali, Muthu, Ah Kaw, Joseph, dan Awang dengan pergaduhan sesama bangsa akibat salah sangka dan prejudis yang menebal?

Mana lebih penting antara kebebasan beragama yang dinikmati sekarang dengan rumah ibadatnya, kelonggaran menjalankan ritual dan upacara budaya mengikut anutan agama masing-masing dengan krisis antara agama seperti mana di Ambon, Indonesia, Myanmar dan Ayodha di India sedikit masa dahulu?

Pilihan di tangan kita, umumnya majoriti rakyat Malaysia tidak sanggup mengulangi episod duka dan hitam yang telah merencatkan pembinaan tamadun negara bangsa suatu ketika dahulu.
Umumnya rakyat Malaysia masa kini lebih matang, bijak, rasional dan menolak secara menyeluruh faham perkauman sempit, politik agama dan pergeseran kaum yang tidak menguntungkan.

Lantaran itu sambutan hari kemerdekaan kali ke-51 tahun ini harus dijadikan suatu gerak kerja untuk kembali memperkasa dan memperteguh nasionalisme bangsa.

Dengan matlamatnya memastikan Malaysia sebuah negara berdaulat, terus aman, makmur, kekal harmoni untuk diwarisi oleh generasi akan datang.

1 comment:

Awang Kata said...

Memang seharusnya mereka yang antinasional di negara ini dikecam habis-habisan. Kerana mereka membawa anasir subversif yang menggugat kenegaraan.