Wednesday, August 6, 2008

Tolak unsur rugikan Malaysia dalam rundingan FTA

SEJAK rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Amerika Syarikat dilancarkan pada 8 Mac 2006, sebanyak lapan pusingan rundingan telah diadakan termasuk yang paling terkini pada 14 hingga 18 Julai lalu di Washington.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kenyataannya berkata, Malaysia dan AS menggariskan pelan kerja susulan khusus yang disasarkan siap menjelang 1 Oktober ini bagi mempermudahkan lagi siri rundingan pada masa depan.
Aspek rundingan di pihak kerajaan telah menarik perhatian pelbagai pihak daripada rakyat biasa, peserta industri sehinggalah kepada penggubal dasar di Dewan Rakyat.
Mereka mendakwa FTA tersebut hanya akan menguntungkan AS dan boleh mengheret Malaysia ke dalam jerangkap penjajahan ekonomi.
Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang merupakan seorang akauntan profesional baru-baru ini turut meminta kerajaan agar membentangkan FTA di antara Malaysia-AS di Parlimen untuk diluluskan.
Beliau mahukan butir-butir rundingan didedahkan kerana ia melibatkan kepentingan orang ramai.
Nur Jazlan menyuarakan kebimbangannya terhadap proses rundingan, meskipun mengetahui kedudukannya sebagai ahli politik Barisan Nasional (BN) akan mudah dilihat serong jika mengkritik kerajaan pada hari ini.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili rakyat di peringkat akar umbi seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) turut menyuarakan kebimbangan mereka mengenai hala tuju FTA ini.
Menurut CAP, isu-isu khusus yang telah ditolak dalam rundingan WTO telah 'menyelinap balik' menerusi FTA yang disifatkan jauh lebih agresif.
Dalam konteks ini, umum dapat mengerti kegelisahan rakyat berhubung FTA.
Perundingan perjanjian yang begitu penting dan mempunyai kesan besar kepada Dasar Pembangunan dan Sosial Negara telah dijalankan dengan secara sulit dan tidak pernah dibentang kepada Parlimen untuk perbahasan. Keputusan perundingan tersebut hanya diperhalusi dan diluluskan oleh Kabinet.
Sewajarnya kerajaan membentangkan hasil perundingan tersebut di Parlimen dan mendapatkan kelulusan dari Parlimen untuk mencerminkan persetujuan rakyat kepada perjanjian tersebut.
Kerajaan AS juga tertakluk kepada Kongres Amerika untuk kelulusan sebarang rundingan demi menjaga kepentingan rakyat mereka.
Pentingnya untuk kerajaan menilai daripada sudut Malaysia ini digariskan dalam empat perkara berikut: Pertama, kerajaan belum pernah membuat satu analisis kos berbanding manfaat yang berkecuali mengenai sama ada perjanjian ini menguntungkan Malaysia dalam jangka masa panjang atau tidak.
Malaysia perlu belajar dari pengalaman kerajaan Mexico yang bersetuju dengan perjanjian NAFTA , yang pada mulanya rakyat Mexico merasakan NAFTA menguntungkan negara mereka apabila pelaburan asing dalam sektor pembuatan yang masuk mencurah-curah ke Mexico dari AS kerana kelebihan kos operasi di Mexico yang rendah.
Namun apabila kos operasi di Mexico meningkat setelah beberapa tahun, pelabur asing di negara itu telah memindahkan operasi mereka ke negara lain yang lebih murah seperti China dan meninggalkan Mexico dalam keadaan ekonomi yang mundur semula.
Perjanjian NAFTA itu juga mempunyai akibat yang lebih besar iaitu syarikat kewangan dan perkhidmatan AS telah berjaya menguasai sektor-sektor yang penting di Mexico hasil pembukaan sektor pasaran tersebut kepada syarikat-syarikat AS yang merupakan antara intipati syarat perjanjian NAFTA.
Kedua, rundingan FTA Malaysia-AS jelas berat sebelah dan memberikan kelebihan kepada AS. Antara tawaran yang diberikan kepada Malaysia adalah pembukaan pasaran AS kepada produk Malaysia yang memang telah lama dinikmati oleh negara ini.
Tawaran AS untuk mengurangkan tarif perusahaan daripada 3 peratus kepada 0 peratus tidak akan memberikan manfaat yang besar kepada negara ini.
Difahamkan antara sektor tambahan yang akan dibuka kepada syarikat Malaysia dalam FTA ini ialah pertahanan yang bernilai AS$200 bilion.
Malaysia adalah negara pembeli senjata, bukan pembuat senjata. Jadi, bagaimana syarikat Malaysia yang tidak mempunyai kepakaran antarabangsa dalam bidang pertahanan boleh memenangi kontrak untuk membekalkan senjata kepada tentera AS? Inilah contoh tawaran yang tidak bermakna kepada Malaysia.
Niat tersirat AS juga harus dipersoalkan untuk mengenakan sejumlah enam syarat tambahan tetap iaitu 'WTO (Pertubuhan Perdagangan Dunia) campur Enam', dalam perundingan FTA untuk memaksa Malaysia membuka sektor-sektor kritikal seperti perolehan kerajaan, pelaburan tempatan, perkhidmatan kewangan, telekomunikasi, e-perdagangan dan memperkenalkan dasar persaingan adil.
AS masih berkeras untuk mengenakan enam syarat tambahan ini walaupun ia telah dikecualikan daripada rundingan terbaru WTO di Doha beberapa tahun yang lepas. Kesimpulan yang boleh dibuat daripada tindakan AS ini ialah kuasa dunia itu mempunyai kepentingan besar dalam enam sektor industri tersebut.
Ketiga, Perjanjian FTA Malaysia-AS ini boleh memudaratkan dasar kepentingan bumiputera. Dasar liberalisasi penuh yang diamalkan dalam perjanjian FTA ini akan bercanggah dengan dasar membantu bumiputera di Malaysia. Kerajaan akan terpaksa memansuhkan dasar membantu bumiputra dalam sektor-sektor yang berkaitan dalam FTA. Tentunya kerajaan tidak boleh melaksanakan dasar liberalisasi tersebut dan mengabaikan kepentingan bumiputra tanpa menanggung akibat politik yang negatif di kemudian hari.
Keempat, peranan syarikat milik kerajaan atau GLC untuk membangunkan negara juga akan terjejas dengan FTA ini, terutamanya berkenaan dengan perolehan kerajaan, perkhidmatan, pelaburan dan dasar anti-kompetitif.
GLC diberikan perlindungan oleh kerajaan untuk membantu melaksanakan dasar pembangunan negara.
Di samping itu, GLC juga mempunyai tanggungjawab sosial yang penting. Sekiranya GLC dipaksa untuk membuka perniagaan mereka atau dilarang daripada memasuki sektor perniagaan tertentu disebabkan oleh peraturan anti-kompetitif, GLC dikhuatiri tidak akan dapat melaksanakan tanggungjawab mereka.
Dalam konteks ini, kerajaan perlu memiliki azam penuh untuk menolak syarat perjanjian yang tidak menguntungkan negara ini dan membatalkan perjanjian FTA Malaysia-AS sekiranya AS masih tidak mengubah pendirian. Ia hendaklah menguntungkan Malaysia. Bukan AS sahaja.

No comments: