Friday, October 31, 2008

Mempromosi kepakaran Malaysia ke luar negara

Amalan kerja, keunikan tempatan boleh dikongsi profesional antarabangsa dalam pelbagai bidang

SALAH satu sifat terpuji rakyat Malaysia ialah merendah diri dan tidak suka memperagakan kebolehannya. Kedua-dua sifat itu selari dengan ajaran semua agama, apatah lagi Islam yang menganjurkan umatnya bersifat tawaduk yang berlawanan dengan sifat tercela seperti ego, sombong dan bangga diri.

Sifat terpuji rakyat Malaysia itu terserlah dalam dewan kuliah, kamar perbincangan, bilik mesyuarat dan ruang seminar. Biasanya orang Malaysia tidak lantang apatah lagi berbangga menyatakan bahawa sistem, kaedah dan amalan mereka terbaik yang wajar diteladani orang lain.

Hal ini juga terbawa-bawa kepada amalan profesional dalam pelbagai bidang. Tidak seperti bangsa Inggeris, Jepun dan Amerika, orang Malaysia tidak terbiasa dengan istilah 'amalan terbaik' atau 'standard kami' dalam sesuatu disiplin ilmu atau amalan profesional. Kalau pun ada, biasanya hanya disebut sebagai garis panduan atau prosedur biasa yang tidak menampakkan rasa bangga dan yakin dengan kebolehan, amalan dan sistem yang kita bina sekian lama.

Hal ini saya kemukakan kerana ketika ini saya terbabit di dalam dua inisiatif 'amalan terbaik' dalam bidang rawatan air minum dan standard serta piawaian peralatan dan teknologi air. Seperti biasa, kumpulan kami menamakannya 'garis panduan'.

Saya dimaklumkan bahawa 'garis panduan' dalam konteks pentadbiran pelbagai agensi di Malaysia adalah satu peraturan yang wajib diamalkan. 'Panduan' itu bermaksud 'standard' yang tidak mempunyai peruntukan perundangan dari segi amalannya. Saya membangkitkan hal ini kerana banyak 'garis panduan' yang diguna pakai di Malaysia sudah lama dirangka dan dilaksanakan (ini tidak termasuk standard dan piawai yang dibangunkan oleh Jabatan Standard Malaysia). Sesetengah garis panduan sudah ada perulangan edisi baru selepas mengambil kira pelbagai perkembangan dan keperluan terkini. Maknanya kita mempunyai prosedur dan amalan terbaik dikemaskini dan diguna pakai dengan meluas.

Di negara maju, khususnya Amerika dan Britain, garis panduan itu dikenali sebagai 'kod amalan' atau 'amalan terbaik'. Kod amalan mempunyai konotasi perundangan yang perlu diguna pakai ahli profesional. Amalan terbaik pula adalah prosedur yang boleh membantu mempertingkatkan keberkesanan dan keberkesanan sesuatu bidang tugas.

Dalam era globalisasi ini, amalan terbaik digunakan dengan meluas di serata dunia. Jika sesebuah syarikat ingin mengambil bahagian dalam projek pembangunan atau menyediakan perkhidmatan profesional maka amalan terbaik menjadi salah satu keperluan.

Banyak negara membangun mengguna pakai garis panduan yang disediakan oleh agensi antarabangsa. Dalam bidang bekalan air minum, misalnya, garis panduan yang disediakan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) – terbaru menerusi edisi keempat – digunakan dengan meluas, termasuk di Malaysia.

Namun demikian, garis panduan itu tidak terperinci dan tidak disokong peruntukan perundangan. Selain itu, garis panduan agensi antarabangsa bersifat generik dan hanya merangkumi aspek utama, misalnya dari segi kualiti, parameter penting dan penyampaian perkhidmatan.

Aspek lain yang lebih terperinci seperti kaedah penyelenggaraan loji, pengurusan aset, pemantauan kualiti dan sebagainya perlu dirujuk kepada manual atau amalan terbaik disediakan pelbagai badan profesional atau agensi penguat kuasa.

Hal sama telah dilaksanakan di Malaysia dalam pelbagai bidang, termasuk pengurusan alam sekitar, perkhidmatan air, sisa pepejal sehinggalah pengurusan kualiti pengajian tinggi.

Namun demikian, kita jarang mengemukakan amalan terbaik dan manual itu pada peringkat antarabangsa. Hal ini mungkin disebabkan sebahagiannya disediakan dalam bahasa Melayu dan membabitkan pelbagai pihak berkepentingan.

Selain itu, kita jarang menulis 'model' atau 'amalan' di Malaysia dalam jurnal akademik berjenama atau menulis buku diterbitkan penerbit antarabangsa. Oleh itu, kita perlu inisiatif berganda mengetengahkannya ke peringkat antarabangsa sebagai suatu alternatif kepada amalan terbaik dan manual disediakan badan profesional dari negara maju.

Hal ini saya timbulkan kerana banyak negara membangun cuba mempelajari dan mengguna pakai model pengurusan dan teknologi dimajukan di Malaysia kerana bersifat lebih praktikal berbanding dengan model dibangunkan di negara maju. Model Malaysia biasanya mengambil kira pelbagai aspek dan realiti seperti pembangunan kepakaran tempatan, inisiatif berasaskan penyelidikan dan kemampuan penyelenggaraan dengan biaya yang terbatas.

Hal ini begitu ketara dari segi skim bekalan air luar bandar dan perkhidmatan pembetungan secara tidak berpusat (decentralised sewage treatment system). Banyak negara dan profesional negara membangun begitu berminat untuk mencontohi model Malaysia khususnya dalam aspek penyediaan kemudahan dengan mengambil kira faktor kemampuan pengguna yang terbatas untuk membayar perkhidmatan disediakan.

Selain itu, keupayaan syarikat tempatan membangunkan kepakaran untuk merekabentuk, membina dan menyelenggara kemudahan canggih juga hampir setanding negara maju. Sehubungan itu, saya mencadangkan agar pihak kerajaan memberi perhatian lebih serius terhadap promosi kepakaran Malaysia kepada negara lain.

Promosi ini perlu dilakukan dengan mengambil kira lima cara aspek berikut:

Memberi mandat dan biaya kepada badan profesional tempatan untuk menyedia atau mengemas kini dokumen kod amalan dan amalan terbaik dalam pelbagai bidang

Mengguna pakai dokumen tersebut dalam pentadbiran dan pengurusan

Membangunkan modal insan dan kepakaran tempatan dengan cara memberi peluang kepada syarikat dan kepakaran tempatan untuk melaksanakan projek bernilai inovatif dan bukan konvensional

Menulis pengalaman dan amalan terbaik itu dalam genre penerbitan berjenama peringkat antarabangsa

Mempromosi kepakaran Malaysia kepada negara lain menerusi syarikat, universiti dan dokumen berkaitan kod amalan profesional tempatan.

Kita juga perlu melaksanakan strategi serampang tiga mata iaitu melaksanakan projek dengan berjaya, membangunkan kepakaran tempatan dan menjadikan projek dan kepakaran tersebut sebagai testimoni untuk melangkah ke pasaran dan cabaran global. Pada hemat saya, pelaksanaan semua projek mega mestilah disyaratkan mempunyai inovasi yang menampakkan citra dan daya kreativiti Malaysia.

Strategi itu membabitkan penggunaan teknologi dan pengetahuan terkini menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mengatasi pelbagai masalah semasa dengan kerjasama erat antara universiti dan industri, sekali gus meningkatkan kemahiran, kecekapan dan daya saing di kalangan profesional untuk menghadapi cabaran di pentas antarabangsa.

Penguatkuasaan bantu jayakan zon larangan merokok

APABILA Kementerian Kesihatan mengumumkan penambahan zon larangan merokok di tempat awam yang kini meliputi premis kaki lima kompleks beli-belah termasuk restoran dan kafe terbuka, sewajarnya kita menyokong langkah itu kerana ia bertujuan melindung mereka yang tidak merokok. Seperti diketahui umum, persekitaran yang tercemar dengan asap rokok boleh mendatangkan kesan buruk kepada bukan perokok, malah kajian mendapati satu pertiga daripada penghidap barah paru-paru adalah di kalangan mereka yang tidak merokok tetapi hidup dalam persekitaran orang merokok. Tidak dapat dinafikan mungkin timbul rasa tidak puas hati, terutama di kalangan perokok tegar yang berasakan hak mereka dinafikan, tetapi mereka perlu sedar bahawa orang lain juga berhak menikmati persekitaran tidak tercemar. Apapun, langkah itu jelas memperlihatkan kesungguhan pihak berkuasa melindungi mereka yang tidak merokok, sekali gus mengurangkan tabiat merokok. Bagaimanapun, dengan menambah zon larangan merokok tanpa diikuti langkah penguatkuasaan tidak akan membawa makna dan berkesan. Kita berharap Kementerian Kesihatan tidak setakat 'bercakap' tetapi bertindak melaksanakan penguatkuasaan larangan itu. Sebelum ini kita dapati masih ramai perokok yang tidak mempedulikan peraturan berkenaan, malah kita boleh melihat sendiri perokok dengan sewenang-wenangnya merokok di kawasan awam termasuk di pekarangan hospital dan klinik kerajaan tanpa rasa takut kepada peraturan dan tindakan penguatkuasaan.

Bagi memenuhi keperluan ini, penambahan tugas penguat kuasa dijangka menjadi sesuatu yang perlu bagi memastikan hasrat kementerian tercapai dalam melaksanakan peraturan berkaitan. Sudah sampai masanya semua pihak, terutama Kementerian Kesihatan mengambil tindakan tegas selepas memperkenalkan peraturan supaya ia tidak dipandang sinis oleh masyarakat, selain dipersendakan perokok. Kaedah berkesan perlu dilaksanakan segera termasuk menahan dan menyaman mereka yang melanggar peraturan. Kehadiran kakitangan penguat kuasa dengan lebih kerap di kawasan larangan yang menjadi tumpuan perokok amatlah perlu bagi memastikan kawasan terbabit bebas asap rokok. Kita juga berharap perokok mematuhi peraturan ditetapkan, malah lebih baik jika perokok terus menghentikan amalan tidak sihat itu yang bukan saja mengundang penyakit kronik kepada dirinya sendiri, tetapi juga turut dilarang agama. Selain penambahan zon larangan merokok, menaikkan harga rokok dan pelbagai kempen lain yang dilaksanakan kerajaan untuk mengurangkan jumlah perokok, Kementerian Kesihatan juga perlu memikirkan cara paling berkesan untuk mendidik masyarakat supaya menjauhi tabiat tidak berfaedah itu, manakala pihak berkuasa agama pula hendaklah sepakat dalam menentukan hukum bagi tabiat merokok kerana pada masa ini ada pelbagai fatwa berbeza sehingga menyebabkan ada pihak yang memperlekeh hukum berkenaan. Sudah tiba masanya pihak berkuasa agama menetapkan satu fatwa mengenai merokok yang dapat diterima pakai di seluruh negara.

Tuesday, October 28, 2008

Pemilikan 30 peratus ekuiti

DAYA saing sesebuah syarikat senaraian awam tidak akan terjejas hanya kerana syarat pemilikan 30 peratus ekuitinya diperuntukkan kepada bumiputera, selagi ia diurus secara berkesan.

Pengurusan syarikat terbabit perlulah memikul tanggungjawab dengan menerajuinya sebagai institusi perniagaan yang turut memikul tanggungjawab lain seperti diamanahkan oleh negara.

Justeru, dasar negara tidak boleh sebegitu mudah cuba dikorbankan semata-mata untuk mencari jalan singkat bagi meningkatkan daya saing sesebuah syarikat.

Atas kepentingan negara, sebarang cadangan untuk menghapuskan pemilikan bumiputera dalam syarikatsyarikat senaraian awam tidak harus timbul sama sekali, lebih-lebih lagi oleh pemimpin sebuah parti komponen Barisan Nasional yang mendukung dasar dan kepentingan negara.

Memang benar, pelbagai sudut perlu dilihat supaya sesebuah syarikat mampu dan lebih berdaya saing lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi dunia sekarang.

Namun, dalam konteks melebarkan pembangunan negara supaya semua kaum memainkan peranan sewajarnya, dasar-dasar asas untuk memperbetulkan sebarang bentuk kepincangan tidak boleh diceroboh atas alasan perniagaan semata-mata.

Faedah kedai rakyat

Terlebih dahulu kita berterima kasih kepada pegawai dan petugas penguatkuasaan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang telah, sedang dan akan memantau pergerakan harga barang di seluruh negara.

Namun begitu, kita juga memahami tidak semua tempat atau lokasi mampu dikunjungi oleh pihak KPDNHEP kerana banyak kekangan seperti kekurangan pegawai dan masalah semasa.
Kemelut harga barang yang dikatakan tidak stabil, berlaku turun naik dan dengan jelas tidak memihak kepada pengguna sudah banyak diperbahaskan. Pelbagai cadangan, usul dan perancangan disuarakan dengan tujuan memberi sedikit keadilan kepada pengguna. Kita sedia maklum dengan keperluan harian pengguna tidak banyak bezanya antara satu sama lain. Mereka memerlukan barangan yang sama dan situasi ini akan mewujudkan permintaan berterusan.

Oleh kerana permintaan yang stabil, berterusan dan kadang kala meningkat mengikut masa, maka peniaga dapat meramal dan menetapkan dengan tepat kuantiti serta harga. Di sini kuasa harga berkisar antara pemborong dan peniaga. Dua pihak ini seakan penentu kepada turun naik harga barangan di pasaran. Peniaga akan meletakkan harga berdasarkan tawaran dari pemborong. Jika pemborong memperolehi bekalan dengan mudah dalam kuantiti yang banyak, maka harga yang bakal ditetapkan peniaga mungkin berpatutan.

Tetapi sering kali kedengaran rungutan pemborong dan peniaga memberi alasan tentang bekalan yang sukar diperolehi. Alasan ini akan membawa kepada peningkatan harga.
Lazimnya situasi sebeginilah yang menjadi asas penetapan harga. Soal harga siling yang telah ditetapkan kerajaan tidak langsung menjadi rujukan.

Pengguna akan merasai kesannya secara langsung. Mereka seperti tidak ada kuasa untuk mempengaruhi kuasa penentu pemborong dan peniaga. Pengguna tidak menetapkan harga tetapi hanya mampu membuat pilihan berdasarkan kemampuan. Tetapi sejauh mana pengguna mampu bersabar untuk tidak memilih barangan tertentu sedangkan pada masa yang sama barangan tersebut amat diperlukan. Mahu tidak mahu pengguna akan membeli dan kes ini bukan kes tunggal tetapi akan berlaku kepada setiap pengguna.

Sebelum ini kita sudah sedia mengetahui akan kewujudan kedai harga patut yang diperkenalkan oleh KPDNHEP. Beberapa kedai atau pasar raya telah dianugerahkan status kedai harga patut kerana berupaya menjual barangan dengan harga yang lebih murah berbanding dengan kedai-kedai yang sedia ada. Tetapi kedai harga patut tidak wujud secara menyeluruh atau berada di semua lokasi di setiap daerah.

Malah ada pengguna yang tidak menyedari akan kewujudan kedai harga patut ini. Tetapi terdapat juga peniaga yang telah dianugerahkan status kedai harga patut mengambil kesempatan dengan meletakkan harga sama dengan kedai-kedai biasa yang lain. Pengguna tidak mudah untuk menyedari hal ini kerana sudah yakin dengan status kedai tersebut.

Dicadangkan agar pihak kerajaan melalui KPDNHEP merancang dan membuka premis seperti pasar raya di setiap daerah di negara ini dan premis itu dinamakan kedai rakyat atau kedai kerajaan. Ia mirip sebuah pasar raya serba lengkap barangan keperluannya dan lebih menumpukan kepada menyediakan barang-barang keperluan harian termasuk barangan basah.

Kedai rakyat boleh diuruskan oleh kakitangan KPDNHEP sendiri atau mengenalpasti peniaga yang mempunyai rekod yang baik untuk dilantik sebagai pengurus. Lokasi kedai rakyat perlu sesuai, strategik dan semua lapisan rakyat boleh sampai dengan mudah. Fikirkan imej atau identiti yang menarik untuk mempengaruhi pengguna datang berbelanja di kedai rakyat. Reka bentuk bangunannya perlu nampak gagah seperti pasar raya-pasar raya terkemuka.

Harga barangan ditentukan sendiri oleh KPDNHEP dan harga yang ditetapkan sudah pasti lebih murah dari apa yang ditawarkan oleh peniaga lain. Keadaan ini akan menguji kebolehan para pegawai di KPDNHEP untuk memastikan keadilan dapat diwujudkan untuk pengguna. Malah, ia juga boleh dijadikan asas untuk memahami masalah yang dialami para peniaga berkaitan harga barang selama ini.

Fungsi utama kedai rakyat ialah menyediakan keperluan harian rakyat dengan harga yang mampu dikawal sepenuhnya dan tidak mengutamakan keuntungan semata-mata. Ia mungkin lebih kepada menjaga kebajikan rakyat secara langsung. Rakyat diberi pilihan untuk mendapatkan barangan keperluan dengan kemampuan yang ada.

Kedai rakyat juga akan menjadi model kepada premis-premis lain supaya tidak rakus mengejar keuntungan semata-mata. Peniaga perlu ada tanggungjawab sosial dengan menawarkan perkhidmatan setanding dengan nilai harga. Bukannya mengambil kesempatan dengan permasalahan semasa untuk menaikkan harga tanpa alasan yang kukuh.

Kedai rakyat juga akan menjadi tempat rujukan utama pengguna mengenai hal-hal kepenggunaan seperti kualiti barang, status halal dan bantuan nasihat. Kewujudan kedai rakyat di setiap daerah akan memudahkan mereka membuat perbandingan harga dengan harga sebenar yang dikeluarkan atau ditetapkan oleh KPDNHEP sendiri.

Inilah fokus dan objektif utama cadangan pembukaan kedai rakyat ini. Pengguna perlu dididik secara langsung di premis perniagaan tentang hak dan kuasa mereka sebagai pengguna. Cara ini lebih menarik dan berkesan di samping saluran media yang lain.

Jika barangan di kedai rakyat sentiasa diletakkan pada tahap yang lebih murah, kita yakin pengguna tidak akan beralih ke kedai lain.

Peniaga lain akan memikirkan strategi baru untuk memastikan pelanggan tidak lari. Pengguna akan terdorong untuk memilih kedai yang disediakan kerajaan kerana khidmat dan rekod kerajaan amat cemerlang dalam hal-hal kebajikan untuk rakyat.

Kewujudan kedai rakyat atau kedai kerajaan ini akan menjadikan negara kita unik dalam aspek penyediaan perkhidmatan kepada rakyat. Mungkin ia agak pelik kerana kita sudah sebati dengan golongan peniaga yang memonopoli dalam menawarkan barang-barang keperluan harian kepada pengguna. Tetapi untuk kebaikan dan langkah meringankan beban rakyat ia patut dimulakan.

KPDNHEP juga mampu memerangi peniaga yang menaikkan harga sewenang-wenangnya kerana kepantasan maklumat harga barangan mudah diperolehi dengan hanya membandingkan harga di kedai rakyat dengan kedai-kedai lain. Pengguna mempunyai ruang yang luas untuk memainkan peranan dalam isu kenaikan harga barang.

Seterusnya, cadangan mewujudkan kedai rakyat ini akan meningkatkan keyakinan rakyat tentang usaha-usaha kerajaan dalam menyemarakkan tradisi membela rakyat yang menjadi slogan penting selama ini.

Jangan pertikai status bahasa Melayu

JIKA sebelum ini status orang Melayu dipertikai dan dikatakan sebagai kaum pendatang, kini bahasa Melayu pula dicabar apabila cuba diganding dan disamaratakan martabatnya dengan bahasa lain di negara ini dengan alasan yang cukup tidak munasabah. Isu yang sensitif sebegini tidak sepatutnya dibangkitkan di kala kita sedang menuju sebuah negara maju dan moden tidak lama lagi.

Keadaan ini secara signifikannya sangat tidak menghormati bahasa kebanggaan rakyat Malaysia dan mencemar semangat Perlembagaan negara kita.

Walaupun setelah bahasa Melayu ditukar menjadi bahasa Malaysia yang menyebabkan ramai yang terasa hati dan sedih, namun ditelan jua dengan harapan semua bangsa di negara ini dapat menerima bahasa keramat ini seadanya dan menjadikannya bahasa unggul di dalam segala urusan.

Sebaliknya, masih ada yang masih berdegil dan cuba menjadi popular dengan membenarkan pemasangan papan tanda nama jalan dalam pelbagai bahasa di kawasan tapak warisan dalam tulisan Jawi, Tamil dan Cina.

Persoalannya ialah perlukan perkara sedemikian dilakukan di kala bahasa Melayu adalah bahasa utama negara.

Keadaan ini seolah-olah menunjukkan bahawa bahasa Melayu masih tidak mendapat tempat di hati kalangan bukan Melayu dan tidak diterima sebagai bahasa kebangsaan walaupun pada hakikatnya bahasa Melayu adalah lambang perpaduan rakyat sejak sebelum merdeka lagi dan simbolik kepada pembentukan bangsa Malaysia pada masa hadapan.

Jika masing-masing kaum cuba menonjolkan keagungan bahasa mereka dan menjadi juara politik murahan serta membelakangkan bahasa Melayu dalam urusan seharian pentadbiran, ini hanya akan merugi dan menggagalkan wawasan kewujudan bangsa Malaysia yang berbilang kaum.

Perlembagaan Persekutuan 1957 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 jelas memperuntukkan kedudukan sebenar, realiti dan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi di negara ini. Untuk itu, bahasa Melayu hendaklah diletakkan di landasan yang betul dalam semua urusan rasmi serta tidak rasmi rakyat dan negara.

Bahasa Melayu juga mestilah menjadi teras kepada sistem pemerintahan, pendidikan, ekonomi, politik dan sebagainya. Namun begitu, ini tidaklah bermakna bahasa ibunda kaum lain dinafikan penggunaannya, malahan perlu digalakkan mengikut lunas dan ruang lingkup yang dibenarkan.

Oleh itu, sebagai warganegara Malaysia yang taat setia, maka semua pihak perlu akur dengan peruntukan yang ada tanpa banyak muslihat atau cuba merendah-rendahkan standard bahasa Melayu di negara sendiri.

Baru-baru ini beberapa badan, tokoh dan pejuang bahasa mengutuk langkah songsang sebuah kerajaan negeri meluluskan pemasangan tanda jalan dalam bahasa lain dan merayu semua pihak menolak sebarang usaha untuk cuba menyamaratakan bahasa kebangsaan dengan bahasa lain.

Bahasa Melayu mestilah menjadi bahasa unggul dan tunggal, bukannya bahasa tunggul yang boleh dipermain serta diperbodohkan begitu sahaja.

Sehubungan itu, kerajaan dan pihak terlibat diharapkan bertindak segera membetulkan keadaan dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mana-mana pihak yang cuba melanggar semangat perlembagaan dan tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan sewajarnya.

Adalah dibimbangi perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini akan membangkitkan kemarahan serta mencetus sesuatu yang boleh menimbulkan kontroversi, provokasi dan pertikaian umum di negara kita apabila peruntukan undang-undang sedia ada tidak lagi dihormati memandangkan perbuatan ini umpama kegiatan subversif yang cuba melemahkan kerajaan, perpaduan kaum dan sistem perundangan.

Dalam masa yang sama, semua kaum di negara ini perlu memahami bahawa usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan bukan milik mutlak orang Melayu.

Adalah menjadi tanggungjawab dan tugas semua rakyat Malaysia menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa terhebat dalam segala lapangan dan disiplin kehidupan di samping dihormati masyarakat dunia sampai bila-bila.

Oleh demikian, rakyat Malaysia mesti berbangga dengan standard dan status bahasa kebangsaan dan menolak sebarang usaha mengecil serta meremehkan peranan, peluang dan dimensi bahasa keempat paling ramai dituturkan di dunia ini.

Pelihara martabat bahasa kebangsaan

HAKIKAT bahawa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub dalam Perlembagaan memang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak sekali pun.

Sebagai bahasa kebangsaan, penggunaan bahasa Malaysia amat dimartabatkan bukan sekadar di peringkat persekolahan malah diusahakan sehingga ke peringkat korporat dan perundangan.

Namun di sebalik usaha bersungguh-sungguh di pihak kerajaan untuk meletakkan bahasa Melayu di tempat yang sepatutnya, ada sahaja cubaan untuk menyanggah, kononnya bahasa lain perlu untuk memberi kefahaman kepada penduduk majoriti di sesuatu kawasan.

Hakikatnya alasan seumpama itu amat menyedihkan dan memalukan. Selepas 51 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan ada lagi kalangan rakyat negara ini yang tidak mahir berbahasa kebangsaan sehingga ke peringkat tidak tahu membaca nama jalan.

Di mana silapnya dasar kita sehingga masih ada kepercayaan sedemikian rupa atau pun terlalu rendahkah nilai bahasa Melayu untuk muncul sebagai bahasa kebangsaan di negara yang majoriti penduduknya berbangsa Melayu?

Apabila bercakap tentang perjuangan hak asasi manusia kita amat berkiblatkan negara-negara maju. Begitu juga apabila melahirkan kekaguman terhadap penguasaan ilmu, kita begitu terpegun dengan negara seperti Jepun. Malangnya apabila bercakap mengenai bahasa, kita lupa bumi yang dipijak serta langit yang dijunjung.

Sebaliknya kita mengutamakan kepentingan serta agenda yang tidak diketahui apa matlamat sebenarnya. Seolah-olah ada kalangan rakyat Malaysia yang keliru akan jati diri serta perkara-perkara yang perlu diberi keutamaan selaras dengan semangat yang telah dipersetujui sejak 51 tahun lalu.

Kekeliruan itu semakin terserlah jika dilihat daripada tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan permohonan Majlis Perbandaran negeri itu untuk memasang tanda nama jalan dalam tulisan jawi, Tamil dan Cina bagi tujuan warisan di jalan-jalan tertentu di Georgetown.

Biar pun Perlembagaan tidak menetapkan hukuman kepada mana-mana pihak yang gagal menjunjung semangat yang terkandung dalamnya, namun tindakan seumpama itu jelas menunjukkan bahawa rasa tidak hormat terhadap kitab utama negara kita.

Adakah setiap peruntukan yang digubal mesti ada klausa hukuman baru pihak-pihak yang berkenaan ingin menunjukkan kepatuhan?

Mengapa kita tidak menoleh kepada Perancis untuk dijadikan contoh terbaik bagaimana satu bahasa mampu menyatukan berpuluh bangsa. Mengapa kejayaan Perancis meneruskan kehebatan tamadunnya menggunakan bahasa kebangsaan yang tidak dirojak dengan bahasa-bahasa lain penduduk di situ langsung tidak dicemburui oleh rakyat pelbagai kaum di negara kita.

Kita tidak tahu bila masyarakat majmuk di Malaysia akan membuka mata, yang pasti tugas memartabatkan bahasa Melayu adalah tanggungjawab semua dan bahasa kebangsaan bukan sekadar perhiasan Perlembagaan.

Sunday, October 19, 2008

Berakhir hegemoni AS

SEPANJANG Oktober ini dunia melihat campur tangan paling besar oleh kerajaan negara-negara kuasa ekonomi dunia dalam sistem kewangan dan perbankan mereka.

Pelbagai pakej menyelamatkan dapat disaksikan sama ada yang berasaskan kepada polisi kewangan atau ketegasan politik yang mana ia dilihat oleh banyak pihak sebagai berakhirnya era liberalisasi dan kapitalis yang diperjuangkan oleh barat selama ini.

Krisis ekonomi yang bermula dengan sub prima di Amerika Syarikat (AS) pada hujung tahun lalu berterusan menghantui sistem kewangan barat hingga menyebabkan institusi kewangan mereka runtuh satu persatu.

Bayangkan hampir semua institusi kewangan terkemuka yang menjadi nadi kepada sistem ekonomi dan kewangan barat terpaksa diselamatkan oleh kerajaan masing-masing - satu dasar yang sama sekali bertentangan dengan liberalisasi kewangan dan sistem kapitalis.

Di AS, syarikat Lehman Brothers yang berusia 160 tahun, kumpulan perbankan City Group, Merryl Lynchm, Morgan Stanly dan beberapa lagi semuanya menuju kemuflisan jika tidak diselamatkan. Di Eropah gergasi kewangan seperti Standard Chartered, HSBC, Barclays dan Royal Bank of Scotland (RBS) semuanya 'lemas' dan perlu diselamatkan.

Kini pelbagai pihak terutama negara-negara membangun dan dunia ketiga tertanya- tanya apa jadi dengan sistem yang dulu menjadi kemegahan barat. Ketika krisis ekonomi Asia kuasa-kuasa besar yang diterajui AS ini menentang sebarang campur tangan kerajaan dalam sistem kewangan masing-masing kononnya atas nama liberalisasi dan pasaran bebas.

Pada hal krisis ekonomi Asia pada 1997-98 bukan berpunca daripada masalah dalaman, tetapi akibat penyangak mata wang yang memanipulasi sistem pasaran bebas dan liberalisasi itu untuk mengaut keuntungan.

Usaha 'menyelamat' yang dilakukan oleh negara-negara lemah tersebut demi menjaga kepentingan nasional supaya tidak terlepas ke pihak luar dianggap sebagai menolong kroni. Malah kebanyakan negara Asia terutama Indonesia, Thailand dan Korea Selatan dipaksa mendapatkan bantuan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) hingga menyebabkan separuh daripada kepentingan nasional tergadai kepada pihak luar.

Tentu kita ingat bagaimana Pengerusi IMF ketika itu, Micheal Camdesus dengan lagaknya berpeluk tubuh menyaksikan Presiden Suharto menandatangani perjanjian untuk mendapatkan pinjaman. Hasil daripada bantuan IMF itu banyak saham syarikat besar milik negara itu terlepas ke tangan pihak asing.

Kepentingan

Dalam kes Korea Selatan, kepentingan syarikat gergasinya Daewoo juga terpaksa dijual kepada pihak luar. Malaysia juga dikritik hebat kerana bertindak menyelamatkan syarikat-syarikat utama terutama sektor perbankan hingga dituduh sebagai membantu kroni.

Tuduhan yang turut disokong oleh pemimpin politik pembangkang. Tetapi lihat hari ini. Apa sudah jadi dengan liberalisasi, deregulasi dan pasaran bebas yang menjadi kebanggaan AS dan sekutunya kira-kira 11 tahun dahulu? Semuanya rebah dan tersungkur ekoran terlalu percaya dengan liberalisasi dan deregulasi hingga boleh dikatakan tidak ada peraturan yang mengawal aktiviti kewangan mereka.

Kini kerajaan AS, Perancis, Jerman dan beberapa yang lain merupakan pemilik utama bank-bank terkemuka dunia. Malah ia juga menandakan berakhirnya penguasaan atau hegemoni ekonomi AS dan krisis kali ini dikatakan bakal mewujudkan satu sistem pasaran kewangan baru.

Ia dikatakan akan menyaksikan peralihan kuasa ekonomi daripada AS dan sekutunya kepada negara- negara seperti China, India, Brazil dan Russia. Kekuatan ekonomi negara-negara ini menjadi pengimbang kepada krisis sekarang yang mampu mengelakkan ekonomi dunia menuju petaka lebih besar.

Keempat-empat negara itu yang semakin aktif dalam pengeluaran, tenaga dan teknologi tertentu merupakan penampan kepada krisis yang sedang berlaku sekarang. Bayangkan simpanan China yang bernilai AS$1.9 trilion, simpanan petroleum Asia Barat AS$1.3 trilion dan Russia AS$500 bilion.

Kemudian ditambah pula dengan simpanan yang ada di Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Singapura yang melebihi AS$5 trilion sudah tentu boleh digunakan untuk mengambil alih kuasa ekonomi dunia.

Negara-negara ini akan menjadi pusat sistem kewangan dunia melalui keupayaan untuk mengambil alih bank dan institusi kewangan ketika pasaran kewangan AS dan Eropah merudum.

Bagi AS dan negara-negara Eropah, krisis yang berterusan menyebabkan kerajaan mereka tidak mempunyai pilihan. Mereka terpaksa campur tangan dan menyelamatkan bank-bank yang sedang tenat. Seluruh dunia dapat melihat perubahan bagaimana kuasa politik campur tangan dengan urusan perniagaan di Washington, London, Paris dan Berlin.

Bank-bank di negara terbabit juga tidak mempunyai pilihan. Ketua-ketua mereka dipanggil diberitahu bahawa kerajaan akan menyuntik kecairan sama ada mereka suka atau tidak atas dasar nasionalisme.

Setiausaha Kewangan AS, Hank Paulson pada 13 Oktober lalu berkata, itu bukan apa yang hendak mereka lakukan tetapi mereka tidak mempunyai pilihan. Katanya, kerajaan terpaksa membeli saham bank-bank terbabit kerana alternatif lain langsung tidak boleh diterima.

Ini merupakan pengakuan jujur bahawa pasaran bebas kini berkubur bersama leburnya sistem perbankan terhebat dunia di AS hingga usaha menyelamatkannya dianggap sebagai tugas nasional. Di United Kingdom, tugas nasional itu ialah menyelamatkan bank kedua terbesarnya RBS dan bank keenam terbesar HBOS yang kini sudah di bawah kawalan kerajaan.

Kerajaan negara itu yang sebelum ini mengkritik langkah menyelamat yang dilakukan Malaysia 11 tahun dulu kini menguasai 60 peratus saham RBS.

Malah bank kelima terbesar di UK, Lloyds juga kini sedang dijadikan milik kerajaan begitu juga dengan bank-bank kecil lain. Sebelum ini, Northern Rock dan Bradford & Bingley 100 peratus dijadikan milik negara. Ia bukti jelas yang menunjukkan negara-negara kuasa besar ini sekadar cakap tidak serupa bikin.

Mereka akan melakukan apa sahaja demi menyelamatkan syarikat-syarikat mereka, iaitu tindakan yang akan dilakukan oleh mana-mana kerajaan pun dalam dunia ini. Pengerusi Federal Reserve AS, Ben Bernan berkata, untuk menangani krisis itu kerajaan AS tidak akan berundur sama sekali.

Matlamat

Katanya, mereka akan melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat itu. Setakat ini AS telah mengepam AS$700 bilion untuk menyelamatkan pasaran kewangannya. Secara keseluruhannya negara itu telah menyuntik AS$1 trilion dengan terma yang digunakan ialah menyuntik kecairan bukannya menyelamat.

Setakat ini tidak ada siapa dapat meramalkan berapa banyak bank akan dijadikan milik kerajaan atau milik negara - satu pendekatan yang ditentang keras oleh pasaran bebas yang diterajui AS tidak lama dulu.

Di AS setakat ini semua nama besar sudah menjadi milik negara iaitu Bank of America, CitiGroup, Wells Fargo, JP Morgan Chase, Goldman Sacks, Morgan Stanley, Merrill Lynch, Bank of New York Mellon dan State Street. Sehingga kini krisis itu belum menampakkan tanda- tanda akan pulih.

Kerajaan AS dan Eropah terus memerhati dengan teliti kedudukan sistem kewangan mereka yang semakin rapuh dan tidak lagi mampu bertahan dengan asakan yang berpunca daripada liberalisasi dan deregulasi yang diperjuangkan sebelum ini.

Kini negara-negara terbabit terpaksa menelan kembali segala kritikan mereka terutama terhadap Malaysia yang menggunakan pendekatan konservatif untuk mengatasi krisis kewangan 1997-98.

Ketika itu kerajaan Malaysia juga 'menyuntik kecairan' bukannya menyelamat syarikat-syarikat kewangannya. Sama seperti yang dilakukan oleh AS dan UK sekarang.

Ketika itu juga kerajaan Malaysia menambat nilai ringgit pada RM3.80 berbanding dolar AS untuk mengelakkan ia daripada terus merudum diheret liberalisasi dan pasaran bebas. Semua itu dilakukan bukan untuk kepentingan kerajaan atau pemimpinnya.

Tetapi atas kepentingan nasional dan rakyat. Alasan yang digunakan oleh AS pada 13 Oktober lalu untuk menjustifikasikan pengambilalihan sembilan bank utamanya oleh kerajaan.

Nampaknya, tidak ada apa yang salah dengan tindakan yang diambil oleh Malaysia 11 tahun lalu. Yang pasti krisis yang melanda itu menyaksikan berakhirnya hegemoni AS ke atas sistem kewangan global. Malah tidak mustahil ia bakal menyaksikan peralihan paksi ekonomi dari barat ke timur.