APABILA Kementerian Kesihatan mengumumkan penambahan zon larangan merokok di tempat awam yang kini meliputi premis kaki lima kompleks beli-belah termasuk restoran dan kafe terbuka, sewajarnya kita menyokong langkah itu kerana ia bertujuan melindung mereka yang tidak merokok. Seperti diketahui umum, persekitaran yang tercemar dengan asap rokok boleh mendatangkan kesan buruk kepada bukan perokok, malah kajian mendapati satu pertiga daripada penghidap barah paru-paru adalah di kalangan mereka yang tidak merokok tetapi hidup dalam persekitaran orang merokok. Tidak dapat dinafikan mungkin timbul rasa tidak puas hati, terutama di kalangan perokok tegar yang berasakan hak mereka dinafikan, tetapi mereka perlu sedar bahawa orang lain juga berhak menikmati persekitaran tidak tercemar. Apapun, langkah itu jelas memperlihatkan kesungguhan pihak berkuasa melindungi mereka yang tidak merokok, sekali gus mengurangkan tabiat merokok. Bagaimanapun, dengan menambah zon larangan merokok tanpa diikuti langkah penguatkuasaan tidak akan membawa makna dan berkesan. Kita berharap Kementerian Kesihatan tidak setakat 'bercakap' tetapi bertindak melaksanakan penguatkuasaan larangan itu. Sebelum ini kita dapati masih ramai perokok yang tidak mempedulikan peraturan berkenaan, malah kita boleh melihat sendiri perokok dengan sewenang-wenangnya merokok di kawasan awam termasuk di pekarangan hospital dan klinik kerajaan tanpa rasa takut kepada peraturan dan tindakan penguatkuasaan.
Bagi memenuhi keperluan ini, penambahan tugas penguat kuasa dijangka menjadi sesuatu yang perlu bagi memastikan hasrat kementerian tercapai dalam melaksanakan peraturan berkaitan. Sudah sampai masanya semua pihak, terutama Kementerian Kesihatan mengambil tindakan tegas selepas memperkenalkan peraturan supaya ia tidak dipandang sinis oleh masyarakat, selain dipersendakan perokok. Kaedah berkesan perlu dilaksanakan segera termasuk menahan dan menyaman mereka yang melanggar peraturan. Kehadiran kakitangan penguat kuasa dengan lebih kerap di kawasan larangan yang menjadi tumpuan perokok amatlah perlu bagi memastikan kawasan terbabit bebas asap rokok. Kita juga berharap perokok mematuhi peraturan ditetapkan, malah lebih baik jika perokok terus menghentikan amalan tidak sihat itu yang bukan saja mengundang penyakit kronik kepada dirinya sendiri, tetapi juga turut dilarang agama. Selain penambahan zon larangan merokok, menaikkan harga rokok dan pelbagai kempen lain yang dilaksanakan kerajaan untuk mengurangkan jumlah perokok, Kementerian Kesihatan juga perlu memikirkan cara paling berkesan untuk mendidik masyarakat supaya menjauhi tabiat tidak berfaedah itu, manakala pihak berkuasa agama pula hendaklah sepakat dalam menentukan hukum bagi tabiat merokok kerana pada masa ini ada pelbagai fatwa berbeza sehingga menyebabkan ada pihak yang memperlekeh hukum berkenaan. Sudah tiba masanya pihak berkuasa agama menetapkan satu fatwa mengenai merokok yang dapat diterima pakai di seluruh negara.
Friday, October 31, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment