Friday, October 31, 2008

Mempromosi kepakaran Malaysia ke luar negara

Amalan kerja, keunikan tempatan boleh dikongsi profesional antarabangsa dalam pelbagai bidang

SALAH satu sifat terpuji rakyat Malaysia ialah merendah diri dan tidak suka memperagakan kebolehannya. Kedua-dua sifat itu selari dengan ajaran semua agama, apatah lagi Islam yang menganjurkan umatnya bersifat tawaduk yang berlawanan dengan sifat tercela seperti ego, sombong dan bangga diri.

Sifat terpuji rakyat Malaysia itu terserlah dalam dewan kuliah, kamar perbincangan, bilik mesyuarat dan ruang seminar. Biasanya orang Malaysia tidak lantang apatah lagi berbangga menyatakan bahawa sistem, kaedah dan amalan mereka terbaik yang wajar diteladani orang lain.

Hal ini juga terbawa-bawa kepada amalan profesional dalam pelbagai bidang. Tidak seperti bangsa Inggeris, Jepun dan Amerika, orang Malaysia tidak terbiasa dengan istilah 'amalan terbaik' atau 'standard kami' dalam sesuatu disiplin ilmu atau amalan profesional. Kalau pun ada, biasanya hanya disebut sebagai garis panduan atau prosedur biasa yang tidak menampakkan rasa bangga dan yakin dengan kebolehan, amalan dan sistem yang kita bina sekian lama.

Hal ini saya kemukakan kerana ketika ini saya terbabit di dalam dua inisiatif 'amalan terbaik' dalam bidang rawatan air minum dan standard serta piawaian peralatan dan teknologi air. Seperti biasa, kumpulan kami menamakannya 'garis panduan'.

Saya dimaklumkan bahawa 'garis panduan' dalam konteks pentadbiran pelbagai agensi di Malaysia adalah satu peraturan yang wajib diamalkan. 'Panduan' itu bermaksud 'standard' yang tidak mempunyai peruntukan perundangan dari segi amalannya. Saya membangkitkan hal ini kerana banyak 'garis panduan' yang diguna pakai di Malaysia sudah lama dirangka dan dilaksanakan (ini tidak termasuk standard dan piawai yang dibangunkan oleh Jabatan Standard Malaysia). Sesetengah garis panduan sudah ada perulangan edisi baru selepas mengambil kira pelbagai perkembangan dan keperluan terkini. Maknanya kita mempunyai prosedur dan amalan terbaik dikemaskini dan diguna pakai dengan meluas.

Di negara maju, khususnya Amerika dan Britain, garis panduan itu dikenali sebagai 'kod amalan' atau 'amalan terbaik'. Kod amalan mempunyai konotasi perundangan yang perlu diguna pakai ahli profesional. Amalan terbaik pula adalah prosedur yang boleh membantu mempertingkatkan keberkesanan dan keberkesanan sesuatu bidang tugas.

Dalam era globalisasi ini, amalan terbaik digunakan dengan meluas di serata dunia. Jika sesebuah syarikat ingin mengambil bahagian dalam projek pembangunan atau menyediakan perkhidmatan profesional maka amalan terbaik menjadi salah satu keperluan.

Banyak negara membangun mengguna pakai garis panduan yang disediakan oleh agensi antarabangsa. Dalam bidang bekalan air minum, misalnya, garis panduan yang disediakan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) – terbaru menerusi edisi keempat – digunakan dengan meluas, termasuk di Malaysia.

Namun demikian, garis panduan itu tidak terperinci dan tidak disokong peruntukan perundangan. Selain itu, garis panduan agensi antarabangsa bersifat generik dan hanya merangkumi aspek utama, misalnya dari segi kualiti, parameter penting dan penyampaian perkhidmatan.

Aspek lain yang lebih terperinci seperti kaedah penyelenggaraan loji, pengurusan aset, pemantauan kualiti dan sebagainya perlu dirujuk kepada manual atau amalan terbaik disediakan pelbagai badan profesional atau agensi penguat kuasa.

Hal sama telah dilaksanakan di Malaysia dalam pelbagai bidang, termasuk pengurusan alam sekitar, perkhidmatan air, sisa pepejal sehinggalah pengurusan kualiti pengajian tinggi.

Namun demikian, kita jarang mengemukakan amalan terbaik dan manual itu pada peringkat antarabangsa. Hal ini mungkin disebabkan sebahagiannya disediakan dalam bahasa Melayu dan membabitkan pelbagai pihak berkepentingan.

Selain itu, kita jarang menulis 'model' atau 'amalan' di Malaysia dalam jurnal akademik berjenama atau menulis buku diterbitkan penerbit antarabangsa. Oleh itu, kita perlu inisiatif berganda mengetengahkannya ke peringkat antarabangsa sebagai suatu alternatif kepada amalan terbaik dan manual disediakan badan profesional dari negara maju.

Hal ini saya timbulkan kerana banyak negara membangun cuba mempelajari dan mengguna pakai model pengurusan dan teknologi dimajukan di Malaysia kerana bersifat lebih praktikal berbanding dengan model dibangunkan di negara maju. Model Malaysia biasanya mengambil kira pelbagai aspek dan realiti seperti pembangunan kepakaran tempatan, inisiatif berasaskan penyelidikan dan kemampuan penyelenggaraan dengan biaya yang terbatas.

Hal ini begitu ketara dari segi skim bekalan air luar bandar dan perkhidmatan pembetungan secara tidak berpusat (decentralised sewage treatment system). Banyak negara dan profesional negara membangun begitu berminat untuk mencontohi model Malaysia khususnya dalam aspek penyediaan kemudahan dengan mengambil kira faktor kemampuan pengguna yang terbatas untuk membayar perkhidmatan disediakan.

Selain itu, keupayaan syarikat tempatan membangunkan kepakaran untuk merekabentuk, membina dan menyelenggara kemudahan canggih juga hampir setanding negara maju. Sehubungan itu, saya mencadangkan agar pihak kerajaan memberi perhatian lebih serius terhadap promosi kepakaran Malaysia kepada negara lain.

Promosi ini perlu dilakukan dengan mengambil kira lima cara aspek berikut:

Memberi mandat dan biaya kepada badan profesional tempatan untuk menyedia atau mengemas kini dokumen kod amalan dan amalan terbaik dalam pelbagai bidang

Mengguna pakai dokumen tersebut dalam pentadbiran dan pengurusan

Membangunkan modal insan dan kepakaran tempatan dengan cara memberi peluang kepada syarikat dan kepakaran tempatan untuk melaksanakan projek bernilai inovatif dan bukan konvensional

Menulis pengalaman dan amalan terbaik itu dalam genre penerbitan berjenama peringkat antarabangsa

Mempromosi kepakaran Malaysia kepada negara lain menerusi syarikat, universiti dan dokumen berkaitan kod amalan profesional tempatan.

Kita juga perlu melaksanakan strategi serampang tiga mata iaitu melaksanakan projek dengan berjaya, membangunkan kepakaran tempatan dan menjadikan projek dan kepakaran tersebut sebagai testimoni untuk melangkah ke pasaran dan cabaran global. Pada hemat saya, pelaksanaan semua projek mega mestilah disyaratkan mempunyai inovasi yang menampakkan citra dan daya kreativiti Malaysia.

Strategi itu membabitkan penggunaan teknologi dan pengetahuan terkini menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mengatasi pelbagai masalah semasa dengan kerjasama erat antara universiti dan industri, sekali gus meningkatkan kemahiran, kecekapan dan daya saing di kalangan profesional untuk menghadapi cabaran di pentas antarabangsa.

No comments: