Tuesday, October 28, 2008

Faedah kedai rakyat

Terlebih dahulu kita berterima kasih kepada pegawai dan petugas penguatkuasaan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang telah, sedang dan akan memantau pergerakan harga barang di seluruh negara.

Namun begitu, kita juga memahami tidak semua tempat atau lokasi mampu dikunjungi oleh pihak KPDNHEP kerana banyak kekangan seperti kekurangan pegawai dan masalah semasa.
Kemelut harga barang yang dikatakan tidak stabil, berlaku turun naik dan dengan jelas tidak memihak kepada pengguna sudah banyak diperbahaskan. Pelbagai cadangan, usul dan perancangan disuarakan dengan tujuan memberi sedikit keadilan kepada pengguna. Kita sedia maklum dengan keperluan harian pengguna tidak banyak bezanya antara satu sama lain. Mereka memerlukan barangan yang sama dan situasi ini akan mewujudkan permintaan berterusan.

Oleh kerana permintaan yang stabil, berterusan dan kadang kala meningkat mengikut masa, maka peniaga dapat meramal dan menetapkan dengan tepat kuantiti serta harga. Di sini kuasa harga berkisar antara pemborong dan peniaga. Dua pihak ini seakan penentu kepada turun naik harga barangan di pasaran. Peniaga akan meletakkan harga berdasarkan tawaran dari pemborong. Jika pemborong memperolehi bekalan dengan mudah dalam kuantiti yang banyak, maka harga yang bakal ditetapkan peniaga mungkin berpatutan.

Tetapi sering kali kedengaran rungutan pemborong dan peniaga memberi alasan tentang bekalan yang sukar diperolehi. Alasan ini akan membawa kepada peningkatan harga.
Lazimnya situasi sebeginilah yang menjadi asas penetapan harga. Soal harga siling yang telah ditetapkan kerajaan tidak langsung menjadi rujukan.

Pengguna akan merasai kesannya secara langsung. Mereka seperti tidak ada kuasa untuk mempengaruhi kuasa penentu pemborong dan peniaga. Pengguna tidak menetapkan harga tetapi hanya mampu membuat pilihan berdasarkan kemampuan. Tetapi sejauh mana pengguna mampu bersabar untuk tidak memilih barangan tertentu sedangkan pada masa yang sama barangan tersebut amat diperlukan. Mahu tidak mahu pengguna akan membeli dan kes ini bukan kes tunggal tetapi akan berlaku kepada setiap pengguna.

Sebelum ini kita sudah sedia mengetahui akan kewujudan kedai harga patut yang diperkenalkan oleh KPDNHEP. Beberapa kedai atau pasar raya telah dianugerahkan status kedai harga patut kerana berupaya menjual barangan dengan harga yang lebih murah berbanding dengan kedai-kedai yang sedia ada. Tetapi kedai harga patut tidak wujud secara menyeluruh atau berada di semua lokasi di setiap daerah.

Malah ada pengguna yang tidak menyedari akan kewujudan kedai harga patut ini. Tetapi terdapat juga peniaga yang telah dianugerahkan status kedai harga patut mengambil kesempatan dengan meletakkan harga sama dengan kedai-kedai biasa yang lain. Pengguna tidak mudah untuk menyedari hal ini kerana sudah yakin dengan status kedai tersebut.

Dicadangkan agar pihak kerajaan melalui KPDNHEP merancang dan membuka premis seperti pasar raya di setiap daerah di negara ini dan premis itu dinamakan kedai rakyat atau kedai kerajaan. Ia mirip sebuah pasar raya serba lengkap barangan keperluannya dan lebih menumpukan kepada menyediakan barang-barang keperluan harian termasuk barangan basah.

Kedai rakyat boleh diuruskan oleh kakitangan KPDNHEP sendiri atau mengenalpasti peniaga yang mempunyai rekod yang baik untuk dilantik sebagai pengurus. Lokasi kedai rakyat perlu sesuai, strategik dan semua lapisan rakyat boleh sampai dengan mudah. Fikirkan imej atau identiti yang menarik untuk mempengaruhi pengguna datang berbelanja di kedai rakyat. Reka bentuk bangunannya perlu nampak gagah seperti pasar raya-pasar raya terkemuka.

Harga barangan ditentukan sendiri oleh KPDNHEP dan harga yang ditetapkan sudah pasti lebih murah dari apa yang ditawarkan oleh peniaga lain. Keadaan ini akan menguji kebolehan para pegawai di KPDNHEP untuk memastikan keadilan dapat diwujudkan untuk pengguna. Malah, ia juga boleh dijadikan asas untuk memahami masalah yang dialami para peniaga berkaitan harga barang selama ini.

Fungsi utama kedai rakyat ialah menyediakan keperluan harian rakyat dengan harga yang mampu dikawal sepenuhnya dan tidak mengutamakan keuntungan semata-mata. Ia mungkin lebih kepada menjaga kebajikan rakyat secara langsung. Rakyat diberi pilihan untuk mendapatkan barangan keperluan dengan kemampuan yang ada.

Kedai rakyat juga akan menjadi model kepada premis-premis lain supaya tidak rakus mengejar keuntungan semata-mata. Peniaga perlu ada tanggungjawab sosial dengan menawarkan perkhidmatan setanding dengan nilai harga. Bukannya mengambil kesempatan dengan permasalahan semasa untuk menaikkan harga tanpa alasan yang kukuh.

Kedai rakyat juga akan menjadi tempat rujukan utama pengguna mengenai hal-hal kepenggunaan seperti kualiti barang, status halal dan bantuan nasihat. Kewujudan kedai rakyat di setiap daerah akan memudahkan mereka membuat perbandingan harga dengan harga sebenar yang dikeluarkan atau ditetapkan oleh KPDNHEP sendiri.

Inilah fokus dan objektif utama cadangan pembukaan kedai rakyat ini. Pengguna perlu dididik secara langsung di premis perniagaan tentang hak dan kuasa mereka sebagai pengguna. Cara ini lebih menarik dan berkesan di samping saluran media yang lain.

Jika barangan di kedai rakyat sentiasa diletakkan pada tahap yang lebih murah, kita yakin pengguna tidak akan beralih ke kedai lain.

Peniaga lain akan memikirkan strategi baru untuk memastikan pelanggan tidak lari. Pengguna akan terdorong untuk memilih kedai yang disediakan kerajaan kerana khidmat dan rekod kerajaan amat cemerlang dalam hal-hal kebajikan untuk rakyat.

Kewujudan kedai rakyat atau kedai kerajaan ini akan menjadikan negara kita unik dalam aspek penyediaan perkhidmatan kepada rakyat. Mungkin ia agak pelik kerana kita sudah sebati dengan golongan peniaga yang memonopoli dalam menawarkan barang-barang keperluan harian kepada pengguna. Tetapi untuk kebaikan dan langkah meringankan beban rakyat ia patut dimulakan.

KPDNHEP juga mampu memerangi peniaga yang menaikkan harga sewenang-wenangnya kerana kepantasan maklumat harga barangan mudah diperolehi dengan hanya membandingkan harga di kedai rakyat dengan kedai-kedai lain. Pengguna mempunyai ruang yang luas untuk memainkan peranan dalam isu kenaikan harga barang.

Seterusnya, cadangan mewujudkan kedai rakyat ini akan meningkatkan keyakinan rakyat tentang usaha-usaha kerajaan dalam menyemarakkan tradisi membela rakyat yang menjadi slogan penting selama ini.

No comments: