Tuesday, October 28, 2008

Pelihara martabat bahasa kebangsaan

HAKIKAT bahawa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub dalam Perlembagaan memang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak sekali pun.

Sebagai bahasa kebangsaan, penggunaan bahasa Malaysia amat dimartabatkan bukan sekadar di peringkat persekolahan malah diusahakan sehingga ke peringkat korporat dan perundangan.

Namun di sebalik usaha bersungguh-sungguh di pihak kerajaan untuk meletakkan bahasa Melayu di tempat yang sepatutnya, ada sahaja cubaan untuk menyanggah, kononnya bahasa lain perlu untuk memberi kefahaman kepada penduduk majoriti di sesuatu kawasan.

Hakikatnya alasan seumpama itu amat menyedihkan dan memalukan. Selepas 51 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan ada lagi kalangan rakyat negara ini yang tidak mahir berbahasa kebangsaan sehingga ke peringkat tidak tahu membaca nama jalan.

Di mana silapnya dasar kita sehingga masih ada kepercayaan sedemikian rupa atau pun terlalu rendahkah nilai bahasa Melayu untuk muncul sebagai bahasa kebangsaan di negara yang majoriti penduduknya berbangsa Melayu?

Apabila bercakap tentang perjuangan hak asasi manusia kita amat berkiblatkan negara-negara maju. Begitu juga apabila melahirkan kekaguman terhadap penguasaan ilmu, kita begitu terpegun dengan negara seperti Jepun. Malangnya apabila bercakap mengenai bahasa, kita lupa bumi yang dipijak serta langit yang dijunjung.

Sebaliknya kita mengutamakan kepentingan serta agenda yang tidak diketahui apa matlamat sebenarnya. Seolah-olah ada kalangan rakyat Malaysia yang keliru akan jati diri serta perkara-perkara yang perlu diberi keutamaan selaras dengan semangat yang telah dipersetujui sejak 51 tahun lalu.

Kekeliruan itu semakin terserlah jika dilihat daripada tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan permohonan Majlis Perbandaran negeri itu untuk memasang tanda nama jalan dalam tulisan jawi, Tamil dan Cina bagi tujuan warisan di jalan-jalan tertentu di Georgetown.

Biar pun Perlembagaan tidak menetapkan hukuman kepada mana-mana pihak yang gagal menjunjung semangat yang terkandung dalamnya, namun tindakan seumpama itu jelas menunjukkan bahawa rasa tidak hormat terhadap kitab utama negara kita.

Adakah setiap peruntukan yang digubal mesti ada klausa hukuman baru pihak-pihak yang berkenaan ingin menunjukkan kepatuhan?

Mengapa kita tidak menoleh kepada Perancis untuk dijadikan contoh terbaik bagaimana satu bahasa mampu menyatukan berpuluh bangsa. Mengapa kejayaan Perancis meneruskan kehebatan tamadunnya menggunakan bahasa kebangsaan yang tidak dirojak dengan bahasa-bahasa lain penduduk di situ langsung tidak dicemburui oleh rakyat pelbagai kaum di negara kita.

Kita tidak tahu bila masyarakat majmuk di Malaysia akan membuka mata, yang pasti tugas memartabatkan bahasa Melayu adalah tanggungjawab semua dan bahasa kebangsaan bukan sekadar perhiasan Perlembagaan.

No comments: