Wednesday, November 26, 2008

Bertegas terhadap pengacau keharmonian kaum

SATU perkara yang paling dijaga di negara pelbagai kaum seperti Malaysia ialah cubaan membangkitkan isu sensitif berkaitan hubungan kaum atau agama.

Langkah berjaga-jaga itu bertujuan mengelak ketegangan yang boleh menjejaskan ketenteraman dan keselamatan negara.

Tragedi 13 Mei 1969 sepatutnya dijadikan iktibar oleh rakyat Malaysia bahawa isu perkauman yang gagal dibendung boleh mencetuskan huru-hara serta kejadian tidak diingini sehingga mengakibatkan pertumpahan darah.

Namun selepas hampir 40 tahun catatan 13 Mei berlalu, masih ramai di kalangan kita yang tidak belajar dan terus mensensasikan isu sensitif berkaitan agama dan perkauman dengan tidak diketahui apa matlamatnya.

Masih ada isu-isu yang boleh menimbulkan rasa benci sesama kaum dibangkitkan, sehingga menjadi polemik yang tidak berkesudahan.

Isu-isu seperti bukan Melayu tidak mendapat tempat di sektor awam misalnya disuarakan secara semberono tanpa memikirkan apa akibat daripada kenyataan yang tidak berasas sama sekali itu.

Tidak terfikirkah bahawa kenyataan provokatif seperti itu pasti menimbulkan kemarahan di kalangan bukan Melayu kononnya peluang mereka disekat walhal realitinya bukan Melayu sememangnya tidak berminat untuk menyertai sektor awam.

Dan apabila perasaan marah gagal dibendung maka tercetuslah api kebencian antara kaum di negara ini sehingga menggagalkan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berbilang kaum yang selayaknya dicontohi.

Begitu juga dengan beberapa isu lain yang cuba dibangkitkan untuk menunjukkan betapa kaum bukan Melayu di negara ini kononnya dianaktirikan sedangkan hakikatnya mereka juga hidup mewah di bumi Malaysia.

Selain isu perkauman, kebelakangan ini kita lihat keberanian sesetengah pihak mensensasikan isu berkaitan agama, tanpa peduli apa hak mereka untuk berbuat demikian.

Keberanian mensensasikan isu agama termasuk mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan semakin menjadi-jadi dan memberi gambaran bahawa semangat hormat-menghormati sesama kaum yang berlainan agama telah mula luntur.

Sedangkan isu-isu agama hanya melingkari penganut agama itu sahaja dan tidak mengikat penganut agama-agama lain, jadi tidak ada alasan mengapa ia perlu dipertikai dan disensasikan.

Kerajaan mesti bertindak pantas menangani perkembangan yang amat membimbangkan itu. Nampak jelas peringatan demi peringatan supaya isu perkauman dan agama tidak disensasikan gagal menarik perhatian pihak-pihak yang berkenaan.

Justeru seperti yang ditegaskan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, tindakan tegas mesti dikenakan terhadap pihak yang terus memainkan isu sensitif.

Ketegasan itu penting untuk menunjukkan bahawa kerajaan memandang serius apa juga cubaan untuk merosakkan keharmonian kaum di negara dan tidak teragak-agak mengambil sebarang tindakan.

No comments: