DUNIA tiba-tiba dikejutkan dengan peristiwa serangan bersenjata melibatkan sebuah kumpulan militan Islam di Mumbai lewat malam Rabu lepas membabitkan 10 kawasan strategik di wilayah ini.
Setiap kali membicarakan mengenai Mumbai yang juga ibu negeri bagi negeri Maharashtra, pastinya yang terbit di fikiran kita ialah industri filem Bollywood yang berpusat di sini.
Bagaimanapun peristiwa serangan kumpulan bersenjata ini bukanlah satu aksi rakaman filem seperti yang biasa dilihat penduduk tetapi ia kejadian sebenar yang setakat ini telah mengorbankan lebih 140 orang dan lebih 300 lagi cedera.
Namun apa yang menjadi perhatian ialah serangan ini yang dilancarkan di beberapa kawasan strategik pelancongan dan disasarkan kepada orang ramai dan pelancong asing terutama pelancong barat.
Malah sebuah pusat pertubuhan Yahudi turut diserang dan mereka yang berada di dalam bangunan itu dijadikan tebusan.
Setakat ini jumlah warga asing yang terbunuh adalah sekitar 15 orang membabitkan warga Amerika Syarikat (AS), Jerman, Jepun, Kanada, Australia Singapura dan Perancis manakala 22 yang lain cedera.
Antara kawasan yang menjadi sasaran kumpulan militan ini ialah dua hotel mewah terkenal iaitu Hotel Taj Mahal dan Hotel Oberoi Trident, Stesen Kereta Api Chatrapathi Sivaji sebuah hospital selain ibu pejabat kumpulan Yahudi ortodok, Chabad Lubavitch.
Pihak keselamatan terpaksa mengambil masa beberapa hari untuk melakukan operasi pembersihan di kesemua kawasan terlibat bagi melumpuhkan sama sekali kesemua anggota militan ini yang masih menahan tebusan.
Serangan ini bermula pada pukul 10.30 malam (1.00 pagi waktu Malaysia) pada Rabu lalu apabila sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali melepaskan tembakan secara rambang di beberapa kawasan strategik di bandar ini.
Berikutan dari peristiwa ini pihak berkuasa yang masih dalam keadaan terkejut kerana tidak menyangka peristiwa sebegini akan berlaku menghantar polis untuk melancarkan serangan balas.
Anggota militan ini kemudiannya memasuki hotel berkenaan dan bertindak menahan tebusan termasuklah warga asing.
Anggota komando terpaksa digunakan untuk melakukan serangan bagi menggempur anggota kumpulan ini yang berlindung di dalam hotel bersama tebusan mereka.
Perdana Menteri India, Manmohan Singh dalam sidang medianya menyalahkan kumpulan yang berpangkalan di negeri jiran, merujuk kepada Pakistan sebagai suspek utama.
Bagaimanapun kerajaan Pakistan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mereka bersekongkol dengan anggota militan dalam melancarkan serangan ini.
Kumpulan yang dikenali sebagai Deccan Mujahidden dikatakan kumpulan yang bertanggung jawab dalam serangan ini.
Namun kini persoalannya ialah bukan lagi siapa pihak yang bertanggung jawab melancarkan serangan ini tetapi kenapa serangan ini perlu dilakukan.
Apatah lagi mereka yang dikatakan melakukan serangan ini terdiri daripada mereka yang beragama Islam.
Peristiwa sebegini pastinya akan terus memberi gambaran bahawa agama Islam dan penganutnya adalah mereka yang tergolong sebagai pengganas walaupun hakikatnya agama suci ini tidak pernah menghalalkan tindakan sebegini.
Peristiwa sebegini akan terus mencalarkan nama baik agama Islam itu sendiri dan mengakibatkan penganutnya akan terus dipandang serong di mata penganut lain di seluruh dunia.
Adalah jelas tindakan keganasan sebegini tidak akan membantu menyelesaikan segala permasalahan yang melanda dunia Islam kini namun itu tidaklah bermakna kita semua hanya perlu berdiam diri dan merasa rendah diri.
Hakikatnya orang Islam masih jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang jika dibandingkan dengan rakan mereka dari agama lain.
Inilah sebenarnya yang perlu diimbangi dan dikuasai oleh semua penganut Islam dari hanya berterusan menuding jari menyalahkan pihak lain dan melancarkan serangan sebegini yang hanya merosakkan kesucian agama ini serta penganutnya yang benar-benar berpegang kepada ajarannya.
Namun kini keadaan bolehlah dikatakan umpama nasi telah menjadi bubur dan peristiwa berdarah di Mumbai ini akan menjadi kayu pengukur oleh negara dan penganut agama lain mengenai kedudukan Islam di mata mereka.
Pastinya ia akan mencalarkan lagi hubungan antara kaum dan agama di negara ini serta memungkinkan terbitnya konflik yang lebih mendalam kesan dari kejadian ini.
Apa pun masih belum terlambat bagi kesemua umat Islam bersatu untuk menyelesaikan konflik sebegini kerana hanya dengan penyatuan sahaja mampu menyelesaikan kemelut ini dari berlanjutan.
Ini adalah masa terbaik bagi semua penganut Islam untuk sedar bahawa dengan hanya penyatuan yang kukuh antara penganut Islam dapat mempertahankan hak dan kedudukan kita yang telah tertindas sejak sekian lama.
Sunday, November 30, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment